Sewaktu catatan ini saya nukilkan, saya baru sahaja pulang dari menghadiri satu majlis bersama beberapa orang turki. Secara keseluruhannya, majlis ini amat berfaedah dan ia juga turut mempunyai kepentingan tertentu dengan PERTIS sendiri, insha-Allah. Sewaktu saya menghadiri majlis berkenaan tadi, beberapa SMS telah masuk ke peti telefon saya dan ia tentunya mengenai SBM. Sejak kemungkinan saya akan hadir ke mesyuarat dwitahunan itu tersebar ke pengetahuan beberapa orang ahli, beberapa SMS mengenai pertubuhan berkenaan mulai menerobos ke telefon saya.
Salah satu perkara yang telah saya muatkan dalam tulisan terakhir saya sebelum ini menerusi blog ini ialah mengenai kehadiran En. Ivon Ho ke mesyuarat itu nanti. Sepertimana yang telah saya tulis, kehadiran En. Ivon Ho merupakan sesuatu yang di luar dugaan kerana sejak beberapa tahun lamanya, beliau tidak pernah melibatkan diri dalam mesyuarat agung seperti ini. Persoalan yang telah saya timbulkan, mengapa beliau tergerak hati dan sanubarinya untuk hadir dalam mesyuarat agung ditahunan kali ini? Apakah isu serius atau perkara besar yang telah mengheret beliau ke mesyuarat agung kali ini? Bak kata pepatah orang tua-tua, kalau tidak ada apa-apa, takkan tempua bersarang rendah. Kalau tak ada perkara besar, takkan En. Ivon Ho turun ke mesyuarat agung kali ini!!!
Teori pertama mengatakan bahawa, tujuan En. Ivon Ho turun kali ini sebagai sokongan kepada salah seorang calon yang akan bertanding sebagai presiden SBM. Konon isi teorinya, suatu ketika dahulu, En. Ivon Ho pernah hampir kena buang daripada jawatannya. Dengan bantuan daripada individu tertentu, En. Ivon Ho terselamat daripada dibuang. Jadi, sebagai membalas budi, maka itulah En. Ivon Ho hadir ke mesyuarat agung dwitahunan kali ini sebagai tanda sokongan kepada calon yang telah membantu beliau dahulu.
Manakala teori kedua pula mengatakan tujuan En. Ivon Ho hadir ke mesyuarat agung dwitahunan kali ini adalah sebaliknya. Matlamat utamanya adalah untuk memberikan sokongan kepada calon yang seorang lagi. Perkara ini diperkuatkan lagi oleh satu SMS yang asuk ke telefon saya. Antara lain, penghantar SMS berkenaan mengaku bahawa beliau bertanggungjawab memastikan agar En. Ivon Ho turut mendaftar ke mesyuarat agung berkenaan. Selanjutnya, penghantar SMS itu juga turut memberitahu mengenai pendirian En. Ivon Ho dalam mesyuarat agung kali ini terutamanya mengenai pemilihan calon presiden nanti.
Mengapa perhatian saya terarah dan berpusat kepada En. Ivon Ho? Apakah signifikannya kehadiran dan pendirian En. Ivon Ho dalam mesyuarat dwitahunan kali ini?
Walaupun sudah lama tidak melibatkan diri secara langsung dalam mesyuarat dwitahunan SBM, sumbangan dan peranan En. Ivon Ho dalam SBM sama sekali tidak boleh diketepikan. Mungkin generasi sekarang tidak berapa tahu kisah dan sejarahnya. Mengapa peranan dan sumbangan En. Ivon Ho dalam SBM tidak begitu diketahui oleh generasi orang buta masa kini? Jawapannya mudah sahaja. Ia adalah kerana keikhlasan yang tersemat pada En. Ivon Ho sendiri. Beliau tidak pernah meminta sesiapa pun menulis atau membukukan apa yang telah beliau sumbangkan kepada SBM dan golongan cacat penglihatan. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, jika hendak dinilai dengan sumbangan beliau, En. Ivon Ho seharusnya telah dianugerahi lebih daripada AMN.
Justeru, pengaruh yang masih ada kepada En. Ivon Ho khususnya dalam SBM sama sekali tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Saya penuh yakin, pengaruh En. Ivon Ho bukan sahaja dalam kalangan ahli SBM yang berbangsa Cina, bahkan ia turut mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan ahli SBM yang berbangsa Melayu. Ini adalah kerana sumbangan dan jasa yang pernah beliau taburkan telah merentasi ras dan kepercayaan.
Sikap En. Ivon Ho berbeza daripada sesetengah orang yang pernah menjadi pemimpin SBM. Demi untuk mencari nama dan populariti mudah dan murah, ada orang yang sanggup mengaitkan SBM dengan percetakan Alquran Braille sebagaimana yang diheboh-hebahkan menerusi laporan dalam Berita Minggu pada 19 Disember 2010 yang lalu. Walhal ia bukan sahaja sama sekali bercanggah dengan perlembagaan SBM itu sendiri, bahkan fakta yang diketengahkan pun salah dan palsu. Sepatutnya para ahli SBM harus sedar dan insaf, sesiapa sahaja yang cuba menjadikan SBM hanya sebagai kuda tunggangan seperti ini, harus ditolak dari awal lagi. Kita mungkin boleh lupa kepada sejarah, tetapi sejarah sama sekali tidak akan lupa kepada kita!
Saya juga adalah ahli SBM sejak dahulu lagi.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment