Sebagaimana yang telah saya tulis dalam tulisan terakhir saya menerusi blog ini beberapa hari yang lalu, tumpuan sebahagian masyarakat cacat penglihatan di negara kita sekarang terarah kepada mesyuarat dwitahunan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) yang akan berlangsung dari 22 – 24 Jun 2012 yang akan datang. Mesyuarat berkenaan akan berlangsung di Johor Baru. Khabarnya YAB Menteri Besar Johor sendiri akan merasmikan mesyuarat berkenaan.
Saya merupakan salah seorang ahli SBM sejak dahulu lagi. Nombor keahlian saya lebih awal daripada nombor keahlian Tuan Haji Presiden. Kali terakhir saya menghadiri mesyuarat dwitahunan berkenaan ialah ketika ia diadakan di Kuala Terengganu pada tahun 2000. Sejak itu, saya tidak lagi menghadiri mesyuarat berkenaan. Saudara Musa Sabri merupakan satu-satunya orang yang benar-benar tahu mengapa saya tidak menghadirinya.
Menurut sumber yang rapat dengan SBM, jumlah yang telah berdaftar untuk menghadiri mesyuarat dwitahunan kali ini ialah seramai 596 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 466 ahli pula layak mengundi. Ini bermakna, seramai 130 orang mungkin merupakan Ahli Bersekutu (AM), para sukarelawan atau para pemerhati yang telah berdaftar. Namun demikian, kehadiran jumlah ahli yang layak mengundi ini dijangka akan bertambah kerana mengikut perlembagaan pertubuhan tersebut, seseorang yang tidak berdaftar untuk menghadiri mesyuarat berkenaan juga boleh hadir, boleh bersuara dan juga boleh mengundi. Bagi mereka yang hadir tanpa mendaftar terlebih dahulu mereka tidak dapat menikmati kemudahan yang disediakan seperti pengangkutan, penginapan dan juga makanan ketika mesyuarat berlangsung. Demikianlah.
Tuan Haji tahu ke semua angka yang saya nyatakan di atas? Atau, esok lusa baru hendak tercari-cari maklumat?
Antara agenda tumpuan dalam mesyuarat ditahunan ini nanti ialah pemilihan untuk mengisi 9 kerusi (kalau tak silap) dalam Majlis Presiden yang akan berkhidmat untuk tempoh 2 tahun berikutnya. Walaupun suasana pada keseluruhannya nampak tenang, tetapi dalam diam ada beberapa khabar yang harus diberikan perhatian terutamanya oleh sesiapa yang bakal menghadiri ke mesyuarat dwitahunan berkenaan. Sudah hampir pasti presiden sekarang akan mempertahankan kerusi kepresidenannya. Pada masa yang sama, khabar angin juga turut bertiup kencang bahawa kedudukan presiden sekarang akan dicabar oleh seorang dua pencabar. Siapakah para pencabar yang dimaksudkan? Yang pasti, Yang Di-Pertua PERTIS langsung tidak tersenarai sebagai antara pencabarnya.
Sementara itu, berdasarkan senarai yang telah mendaftar untuk menghadiri mesyuarat dwitahunan berkenaan, nama En. Ivon Ho juga turut tersenarai. Hal ini agak mengejutkan saya. Seingat saya, sudah lama En. Ivon Ho tidak melibatkan diri beliau dalam mesyuarat agung dwitahunan SBM. Timbul tandatanya dalam hati saya, mengapa kali ini En. Ivon Ho tergerak hatinya untuk hadir dalam mesyuarat berkenaan? Hendak dikatakan untuk tujuan bertanding, berdasarkan khabar angin yang bertiup kian kencang, nama beliau langsung tidak tersenarai sebagai bakal calon yang akan bertanding di mana-mana posisi. Untuk pengetahuan bersama, En. Ivon Ho merupakan antara orang yang terlibat dengan pengasasan SBM yang ketika itu dikenali sebagai Pertubuhan Orang Buta Selangor (SSB) pada tahun 1964. Saya banyak mendapat maklumat berkenaan sejarah awal SBM (dahulunya SSB) daripada beliau.
Seperkara lagi, konon khabar anginnya, ada sebuah bas yang turut sama akan mengangkut sebilangan ahli SBM ke JB untuk menghadiri mesyuarat dwitahunan tersebutt. Uniknya, bas ini bukan di bawah biayaan pihak SBM. Konon khabarnya lagi, bas berkenaan akan bertolak ke JB pada Sabtu sebelah malam. Maknanya ia akan tiba di JB pada sebelah pagi Ahad. Siapa sebenarnya yang membiayai bas berkenaan? Bas mana yang akan digunakan, bas Leng Seng atau Bas Seri Jaya? Mengapa mesti tiba di lokasi mesyuarat pada pagi Ahad? Hendak bermesyuarat atau sekadar ingin mengundi sahaja? Satu lagi, mengapa biaya satu bas sahaja? Bukankah bagus kalau dibiayai lebih dari sebuah bas kerana lebih banyak bas maka lebih ramailah pengundi!
Inilah antara rencah-rencah berpersatuan dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Pertandingan jawatan dalam organisasi bukanlah sesuatu yang asing. Sama-samalah kita lihat nanti.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment