Satu rumah, satu naskhah
Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
smohd@bharian.com.my
2010/12/19
Setiap rumah umat Islam yang ada penghuni cacat penglihatan, disasar ada senaskhah al-Quran Braille
SEMANGAT mereka membuak-buak mahu turut sama membaca al-Quran, namun apakan daya sudah ditakdirkan Tuhan, mereka tiada upaya dari segi penglihatan. Lalu
hanya satu cara menjadi pilihan, sekadar mampu mendengar ayat suci dibacakan sebelum ke dalam memori ia disimpan.
Bagi yang kuat berazam dan kuat ingatan, tiada masalah mengingati kesemua 30 juzuk isi kandungan kitab suci. Betullah kata orang, biarpun penglihatan terhalang,
golongan ini memang berhati terang.
Seiring perkembangan zaman, teknologi juga turut berkembang. Proses membaca al-Quran buat golongan cacat penglihatan menjadi semakin mudah dan menyenangkan.
Tercipta al-Quran Braille umpama sinar suci buat mereka. Apa tidaknya, kandungan kitab Allah yang selama ini hanya mampu diperdengarkan oleh orang lain
kini sudah boleh dibaca sendiri. Banyak bezanya di antara mendengar dan membaca sendiri.
Mengimbau kemunculan al-Quran Braille, ia pada mulanya terhasil menggunakan mesin taip Perkins Brailler, tetapi proses menaipnya memakan masa amat panjang.
Untuk menyiapkan 30 juzuk, ada kala mengambil masa sehingga setahun.
Naskhah kemudian dihantar kepada Jawatankuasa Penyemakan al-Quran pada 1999 dan dibuktikan tidak ada kesalahan pada cetakan, namun timbul pula masalah
lain, kitab suci dalam cetakan sedemikian tidak mampu menampung permintaan kumpulan sasaran.
Menyedari masalah itu, Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Mah Hassan Omar mengambil langkah berani menggunakan komputer `bersuara’
sebagai usaha menggalakkan lebih ramai orang buta membaca dan menghayati kitab suci.
“Sebelum ini, kami menggunakan mesin taip Braille menghasilkan al-Quran untuk golongan cacat penglihatan, tetapi prosesnya memang mengambil masa. Contohnya
jika lima orang membaca al-Quran, dalam tempoh setahun hanya lima juzuk al-Quran cetakan ini dapat dihasilkan,” katanya.
Lama sebelum menghasilkan al-Quran Braille sendiri, SBM mendapat sumbangan al-Quran cetakan itu daripada Badan Yayasan Kebajikan Penatrat Islam Indonesia,
namun oleh kerana keperluan untuk kumpulan sasar di republik itu juga tinggi, sumbangan itu terpaksa dihentikan.
Pada 1990, muncul teknologi komputer bersuara untuk kegunaan golongan ini dan tanpa berfikir panjang, SBM memutuskan untuk membeli kemudahan itu sebelum
bersama dua rakan lain cuba memasukkan data al-Quran ke dalam komputer berkenaan.
“Ketika itu, kami yakin al-Quran berbentuk Braille dapat dicetak dengan lebih cepat berbanding cara menaip,” katanya sambil menambah usaha yang dimulakan
mereka pada 1999 berhasil dan lebih membanggakan cetakan melalui komputer berjaya menyiapkan dua naskhah kitab suci Braille hanya dalam tempoh 10 jam.
Bagaimanapun, SBM masih menghadapi kekangan terutama dari segi kewangan kerana kos mencetak senaskhah kitab suci jenis itu yang boleh mencecah RM300 adalah
di luar kemampuan persatuan.
Kekangan itu sekali gus membantutkan matlamat mereka yang mahu melihat sekurang-kurangnya dalam sebuah keluarga Islam yang ada ahlinya cacat penglihatan,
ada senaskah al-Quran Braille.
“Kos untuk sekotak kertas Braille saja sudah kira-kira RM120. Kami memerlukan kira-kira 1,000 helai kertas jenis itu untuk mencetak senaskah al-Quran,
belum dikira lagi kertas Braille yang rosak disebabkan masalah mesin cetak,” katanya yang juga seorang peguam dan turut menerajui Pusat Sumber Braille
Kuala Lumpur.
Namun, ketika itu pelbagai organisasi yang prihatin dengan masalah golongan cacat penglihatan turut menyumbang al-Quran Braille seperti Yayasan Emkay,
Yayasan Sime Darby, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan orang perseorangan.
Menyambung kisah perit mereka dalam menghasilkan al-Quran Braille, Mah Hassan berkata, kertas yang diguna bagi memuatkan cetakan itu juga memainkan peranan
kerana ketebalannya jika dikira dalam bentuk timbangan mesti tidak kurang 150 gram dan permukaannya pula tidak kasar bagi memudahkan pembacaan.
“Sejak diperkenalkan, ada sekurang-kurangnya 5,000 naskhah al-Quran Braille diletakkan di sekolah dan pusat latihan golongan cacat penglihatan seluruh
negara, namun agak menyedihkan kerana sukar mencari naskhah berkenaan di kebanyakan masjid utama di negara kita.
“Sepatutnya pihak berkuasa bertanggungjawab dalam hal agama mengambil inisiatif menyediakan al-Quran Braille di masjid untuk kegunaan jemaah cacat penglihatan.
Saya juga merayu lebih banyak syarikat korporat membantu dalam hal ini supaya dalam setiap keluarga Islam yang ada penghuni cacat penglihatan, sekurang-kurangnya
ada senaskhah al-Quran Braille,” katanya.
INFO
al-Quran Braille
• Dicetak dalam bentuk jawi Braille untuk membantu golongan cacat penglihatan menguasai al-Quran dengan baik.
• Menggunakan kod khas bagi memudahkan kumpulan sasar membaca dan mengikut tajwid yang betul.
• Boleh dibaca oleh pengguna cacat penglihatan dari seluruh dunia asalkan tahu sistem tulisan jawi Braille.
• Proses penghasilan membabitkan kerjasama pakar agama yang mahir dengan tulisan Braille.
Tulisan Braille
• Sejenis sistem tulisan sentuh yang digunakan oleh orang buta.
• Dicipta oleh seorang Perancis bernama Louis Braille yang buta disebabkan kemalangan semasa kecil.
• Ketika berusia 15 tahun, Braille mengubah suai tulisan tentera bagi memudahkan tentera membaca ketika gelap.
• Sistem ini dinamakan sistem Braille, tetapi ketika itu Braille tidak mempunyai huruf W.
• Braille terdiri daripada sel yang mempunyai enam titik timbul yang dinomborkan.
• Huruf Braille bahasa Melayu hampir sama dengan kod huruf Braille Inggeris.
• Simbol Braille juga diperkaya sehingga boleh digunakan untuk membaca nota muzik dan matematik.
• Boleh dihasil menggunakan batuan loh (slate) dan stilus (stylus ) di mana titik dihasilkan daripada belakang muka kertas, menulis dengan imej cermin,
menggunakan tangan, atau menggunakan mesin taip Braille yang dikenali sebagai Perkins Brailler.
• Juga boleh dihasil menggunakan mesin cetak Braille yang disambung kepada komputer.
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM)
• Organisasi sukarela kebangsaan yang ditubuhkan dan diterajui sendiri warga cacat penglihatan.
• Keanggotaan mencakupi semua bangsa dan pelbagai lapisan masyarakat.
• Objektif untuk meningkatkan taraf kedudukan sosio ekonomi orang cacat penglihatan di negara ini.
• Membimbing kumpulan sasar menjadi warga Malaysia yang berguna dan produktif.
• Telefon, 03-22746162, Faks 03-22743818, e-mel admin@sbm.org.my.
Ulasan
Mungkin ada pihak yang sudah jemu dan jelak membaca petikan yang saya sisipkan di atas. Maklumlah, ia bukan sahaja petikan yang kian lusuh ditelan masa, tetapi isu yang dipaparkan juga mungkin meloyakan sesetengah orang. Bagi mereka yang memahami dan rasional, tentunya mengerti betapa banyaknya pemalsuan fakta yang seolah-olahnya telah dilakukan dengan penuh kesengajaan.
Dalam konteks SBM, tentunya ia tiada kaitan langsung. Barang diingat bahawa SBM bukannya sebuah pertubuhan keagamaan, apatah lagi untuk terlibat secara langsung dalam percetakan Alquran Braille. Dalam hal ini, Perlembagaan SBM dengan jelas telah menggariskan perkara berikut:
The Society of the Blind in Malaysia is a non-religious, non-political, national voluntary organisation of blind individuals of all races and from all walks of life resident in Malaysia dedicated to the task of securing equal rights and opportunities for blind people in this country by working collectively and fraternally for the socio-economic advancement of blind people, with the view of enabling them to become responsible, useful and productive citizens.
Manakala pada 27 Disember 2010 pula, individu yang bertanggungjawab secara langsung dengan pembekalan fakta palsu tersebut telah membuat penafiannya menerusi satu email kepada salah seorang rakan lain. Walau bagaimanapun, saya minta berbanyak maaf kerana buat masa ini saya masih belum berkesudian untuk memuatkan kandungan penuh email yang saya maksudkan menerusi blog ini.
Antara lain, individu yang berkenaan menyatakan kekesalan beliau di atas kekilafan yang berlaku. Seterusnya, menurut kandungan email berkenaan, ndividu yang terlibat telah menghubungi wartawan yang berkaitan dan menyatakan bahawa SBM tidak terlibat dengan penerbitan Alquran Braille.
Bagi saya, kekesalan yang diluahkan oleh individu berkenaan menerusi email tak ubah sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Kita harus faham, artikel berkenaan telah dimuatkan dalam sebuah akhbar berstatus arus perdana. Oleh itu adalah tidak mencukupi bahkan jauh daripada memadai jika individu berkenaan hanya sekadar meluahkan kekesalan beliau di peti-peti email sahaja. Bagi saya, ralat dan pembetulan fakta harus dilakukan dalam akhbar yang sama. Barulah ikhlas namanya. Kalau pun wartawan yang terlibat secara langsung dalam penulisan artikel di atas tidak lagi bertugas dengan akhbar yang sama, ia sepatutnya tidak dijadikan sebab dan penghalang untuk melaksanakan apa-apa jua pembetulan fakta sekiranya pihak-pihak yang berkaitan ikhlas untuk melakukannya.
Lebih malang lagi, pada 14 Mac 2012 (Rabu) yang lalu, sekumpulan penyelidik dari sebuah jabatan kerajaan yang sedang membuat sedikit penyelidikan mengenai Alquran Braille turut menjadikan artikel di atas sebagai bahan rujukan utama mereka. Ini bermakna, kumpulan penyelidik berkenaan atau sesiapa sahaja yang menjadikan artikel di atas sebagai sumber rujukan akan terdedah dengan pelbagai macam pemalsuan fakta mengenai Alquran Braille. Selagi kita tidak berusaha membetulkannya, maka selagi itulah orang ramai akan terdedah dengan fakta palsu mengenai Alquran Braille.
Mengapa hal sebegini boleh terjadi? Sudah tentu jawapannya ialah kerana ralat dan pembetulan yang sepatutnya dilakukan tidak dilaksanakan dengan sempurna. Ia juga memberi isyarat bahawa luahan kekesalan menerusi email semata-mata apatah lagi kalau ia dilakukan tidak ikhlas dan lebih kepada sekadar untuk melepaskan batuk di tangga sahaja langsung tidak berkesan untuk membetulkan kesalahan fakta yang telah dilakukan.
Dengan itu, selagi pembetulan yang sewajarnya tidak dilakukan ke atas artikel di atas, maka kandungannya akan terus mengelirukan orang lain. SBM akan terus dirujuk sebagai organisasi yang berfungsi mencetak Alquran Braille sebagaimana yang termuat dalam artikel di atas.
Dalam kandungan email luahan kekesalan individu berkenaan bertarikh 27 Disember 2010 itu, individu yang terlibat ada mengatakan bahawa SBM tidak terlibat dengan percetakan Alquran Braille. Jadi kalau bukan SBM, organisasi mana yang dimaksudkan oleh individu yang berkenaan? Tuan Haji tahu ke?
Satu lagi, kalau dibaca dengan teliti artikel di atas, ada perenggan yang berbunyi:
“Pada 1990, muncul teknologi komputer bersuara untuk kegunaan golongan ini dan tanpa berfikir panjang, SBM memutuskan untuk membeli kemudahan itu sebelum bersama dua rakan lain cuba memasukkan data al-Quran ke dalam komputer berkenaan.”
Siapakah dua rakan lain yang dimaksudkan oleh individu yang berkenaan? Adakah Tuan Haji salah seorang daripada dua rakan yang dimaksudkan? Atau, adakah sekali lagi pihak yang berkenaan akan menuding jari bahawa itu juga adalah kesilapan wartawan?
Mengapa saya selak semula kitab lama seperti ini? Tujuannya supaya kita semua mengambil iktibar daripadanya. Yang baik kita sama-sama jadikan teladan dan yang buruk kita sama-sama jadikan sempadan. Mana-mana individu yang cuba untuk menjadikan SBM tak ubah sebagai kuda tunggangan untuk kepentingan peribadi semata-mata, golongan seperti ini tanpa mengira siapa dan apa gelarannya harus diketepikan. Kita sama-sama harus faham dan insaf, walaupun mungkin kita mahir menipu, mencuri, memutar dan membelit, tetapi kita tidak mungkin boleh melakukannya pada semua orang dan pada semua keadaan.
Sama-samalah kita ingat, orang yang paling pengecut ialah orang yang takut untuk berhadapan dengan kebenaran. Manakala orang yang paling berani ialah orang yang berani membetulkan kesalahan yang ada dalam dirinya sendiri.
Kabarnya salah satu usul yang telah diluluskan menerusi mesyuarat agung luar biasa SBM pada 18 Disember 2011 lalu tersekat pelaksanaannya? Betul ke? Usul yang mana???
3 comments:
Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Syukur alhamdulillah, dan terima kasih sekali lagi, saudara. Ya, saya turut mengikuti artikel saudara seminggu yang lalu (13 Jun, 2012) mengenai percaturan PRU AGM SBM tahun ini. Malah, khabar angin mengenai bas percuma untuk semalam sahaja pun saya ada dengar melalui salah seorang rakan kita. Ditambah Tuan Haji Nazari sendiri turut mengesahkan hamba Allah itu memang ingin sekali lagi bertanding untuk jawatan terpenting itu untuk mencabarnya, walhal dialah yang telah melantik rakan kita tersebut untuk bertanding pada mesyuarat yang berlangsung pada 2010 itu.
Mengenai artikel pada akhbar arus perdana ini, memang terdapat sekurang-kurangnya dua fakta yang terseleweng, di samping fakta utama SBM bukan sebuah pertubuhan berorientasikan keagamaan, apatah lagi Islam. Seingat saya, dan menurut salah seorang bekas kepimpinan tertinggi SBM, teknologi komputer berkeperluan khas telah bermula sekitar 1989, dan setahu saya, boleh dikatakan bilangan pengguna komputer di kalangan rakan-rakan kita itu sahaja pun teramat kurang, kan? Juga, sejak bilakah dia mempelopori percetakan Al-Quran Braille ini? Kalaupun dia mendakwa Al-Quran mulai dicetak sejak SBM menggunakan komputer, adakah dia tu yang mengusahakannya? Malah, rasanya tak keterlaluan untuk saya sebutkan, saya teramat-amat meragui kepakarannya dalam aspek ini, kerana terbukti saudara dan Haji Muhammad Lee yang benar-benar merealisasikan usaha itu sejak tahun 1994.
Justeru, walaupun saya tak dapat menghadiri AGM ini atas faktor-faktor teknikal, saya ingin mengirimkan salam buat saudara dan sekalian rakan-rakan ahli yang akan menghadirinya, dengan satu penegasan sahaja: "Jangan kita jadi sampah dik pemimpin yang terlondeh maruah!". Menutup bicara, jutaan ampun maaf atas ketidakwajaran dan expressi yang begitu emosi.
Terima kasih.
Assalam,
Dalam komen yang lalu, ada dinyatakan bahawa:
"Malah, rasanya tak keterlaluan untuk saya sebutkan, saya teramat-amat meragui kepakarannya dalam aspek ini, kerana terbukti saudara dan Haji Muhammad Lee yang benar-benar merealisasikan usaha itu sejak tahun 1994.
Mungkinkah ini jawapan kepada apa yang dinyatakan dalam artikel bertarikh 19.12.2010 tersebut iaitu:
"Pada 1990, muncul teknologi komputer bersuara untuk kegunaan golongan ini dan tanpa berfikir panjang, SBM memutuskan untuk membeli kemudahan itu sebelum
bersama dua rakan lain cuba memasukkan data al-Quran ke dalam komputer berkenaan."?
Terima kasih, Saudara IT. Sekadar penjelasan: Ketika proses mengkomputerkan Al-Quran itu, Tn. Hj. Muhammad Lee menggunakan komputernya sendiri iaitu Eureka, sejenis komputer yang memang diaturcara khas baik dari segi peralatan mahupun perisiannya untuk golongan OKU penglihatan, Eureka; dikeluarkan oleh Syarikat Robotron dari Australia. Sepanjang pemerhatian saya, mereka (Hj. Muhammad Lee dan Saudara Zakaria) menyalin semula naskhah Al-Quran yang telah dicetak/Braille daripada Perpustakaan MAB, tanpa melibatkan langsung perkakasan dan perisian komputer di SBM. Kalau adapun, kebarangkalian mereka menumpang komputer dan pencetak (embosser) Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS); itupun setelah beberapa tahun projek itu berlangsung. Juga, adalah teramat palsu dakwaan si dajjal ini bahawa SBM terlibat dalam projek ini kerana antara tahun 1994-1999 itu, merekalah yang mengusahakan pelbagai versi semakan, pembetulan serta penambahbaikan format, dan yang saya tak akan lupa ialah ketika mereka mengunjungi saya di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ), Jalan Gertak Merah, pada tahun 1996, memohon bantuan saya dalam menyelaraskan format. Sekalipun benar mereka berdua ada menumpang komputer dan embosser SBM untuk mencetak salinan-salinan contoh untuk semakan selanjutnya bersama pihak berwajib, adakah itu bermakna SBM terlibat aktif dalam projek ini? Logik tak? Juga harus dimaklumi, sepanjang tempoh itu, hamba Allah ini menjawat awatan sebagai Yang Di-Pertua PERTIS sehingga dia kecundang besar pada sesi pemilihan untuk AJK Pusat pada tahun 2000.
Oleh itu, rasanya elok benar untuk Saudara Blogger atau Hj. Muhammad Lee menukilkan sejarah sebenar yang lengkap akan proses percetakan Al-Quran berkomputer ini untuk tatapan semua, sekaligus menyelongkar habis-habisan sedalam tujuh lapisan bumi ini pembohongan dan tembelang si cerdik yang dah terbalik qiblatnya ini. Bukan apa; sekadar penegasan, yang benar tetap benar, sekaligus berani kerana benar. Ingatlah pesanan di bahagian awal blog ini: "Katakanlah yang benar, walaupun ia pahit untuk didengar". Dengan ini, saya secara peribadi teramat mempersilakan sama ada salah seorang atau kalian berdua, untuk tampil ke hadapan memperjelaskan isu ini sehabis lengkap, meskipun akan kedapatan pihak yang akan bersekongkol dengannya dan memerangi kita.
Terima kasih, dan ayuh; selamat berjihad!
Post a Comment