Tuesday, June 4, 2013

Raja Dan Rakyat



Bagi sebahagian besar orang Melayu, penghormatan mereka terhadap institusi raja masih tinggi. Bagi mereka, institusi raja masih punya peranan penting dalam sistem pentadbiran dan institusi sosial moden hari ini. Walaupun hari ini negara kita mempraktikkan sistem raja berperlembagaan, tetapi institusi raja masih mendapat tempat yang tinggi khususnya dalam kalangan orang Melayu. Justeru, sebarang penghinaan kepada institusi raja-raja Melayu dianggap penghinaan juga kepada orang Melayu.


Maka itulah juga sebahagian besar orang Melayu masih lagi “berhalus” bila berkomunikasi dengan raja-raja Melayu. Biar bagaimana sekalipun fiil dan perangai raja-raja Melayu itu, orang Melayu tetap membahasakan raja-raja mereka sebagai “tuanku” iaitu singkatan kepada “tuan kepada aku”. Sebelum mula bicara dengan raja-raja, orang Melayu akan mohon ampun terlebih dahulu, takut-takut apa yang akan dibicarakan itu sama ada dari segi kalimah mahupun ayat tidak mendapat perkenan daripada raja-raja. Orang Melayu pula bila berbicara dengan raja akan membahasakan diri mereka sebagai “patik” atau “pacal” yang hina. Selepas selesai berbicara, sekali lagi orang Melayu akan memohon ampun kepada raja supaya apa yang telah dibicarakan dan jika ada yang tidak berkenan oleh raja diharap akan mendapat keampunan daripada baginda. Selain itu, masyarakat Melayu turut memberikan pelbagai keistimewaan kepada raja-raja mereka. Ini termasuklah warna kuning, penggunaan perkataan-perkataan tertentu yang hanya dikhususkan untuk raja, memberi laluan kepada pengamalan adat-istiadat tertentu, dan sebagainya. Demikianlah cara orang Melayu memuliakan raja mereka dari dahulu hingga kini. Sebahagian besar orang Melayu masih memulaiakan raja-raja mereka dari segenap aspek dari hujung rambut hingga hujung kaki. Atas dasar ketaatan dan kepercayaanh kepada agama, orang Melayu tidaklah sampai menganggap raja-raja mereka sebagai maksum. Demikianlah.


Dalam sistem raja berperlembagaan hari ini, institusi raja merupakan lambang kenegaraan yang sangat penting. Penghinaan kepada institusi raja dianggap penghinaan juga kepada negara. Sebab itulah pihak yang melawan raja dianggap melawan negara, saling tak tumpah dengan konsep daulat dan derhaka yang pernah di amalkan di negeri-negeri Melayu masa dahulu. Maka itulah juga raja-raja tidak boleh berpihak dalam semua tindakan baginda, melainkan hanya memihak kepada yang benar dan berkepentingan negara sahaja.


Baru-baru ini, timbul isu penghinaan kepada Yang Di-Pertuan Agong. Ekoran itu, beberapa laporan polis telah dibuat. Selain itu, seorang dua orang besar pula turut melontarkan ulasan yang mengkritik terhadap bentuk penghinaan berkenaan. Sekali imbas kritikan seorang dua orang besar berkenaan ada asasnya. Pada masa yang sama, pihak yang telah melontarkan penghinaan tersebut akan berhadapan dengan dakwaan pula. Mereka pasti dicari hingga ke lubang cacing. Begitulah kaedahnya orang Melayu mempertahankan raja-raja Melayu dan institusinya.


Pada masa sama, penghinaan berkenaan juga menunjukkan tidak semua rakyat Malaysia memahami apatah lagi untuk menghormati raja-raja Melayu dan institusinya. Penghinaan sedemikian jika dibiarkan berterusan pasti akan menyebabkan berlakunya keresahan dalam masyarakat. Kita harus menjunjung tinggi institusi raja sebagaimana kita seharusnya menjunjung tinggi perlembagaan negara kita. Ingat, sesiapa yang sabit dengan kesalahan melawan Yang Di-Pertuan Agong, hukumannya mati!




Demikianlah kita memelihara institusi raja-raja Melayu. Kita memeliharanya dengan penuh kemuliaan, penuh penghormatan dan menerusi undang-undang. Begitulah kasih dan cinta kita terhadap raja-raja Melayu dan institusinya yang sama-sama kita warisi sejak zaman berzaman. Inilah pusaka bangsa yang telah diwariskan kepada kita oleh Sultan Muhammad (almarhum) salah seorang sultan dalam kesultanan Melayu Melaka dahulu kerana bagindalah yang mula-mula menetapkan adat istiadat diraja yang masih diguna pakai hingga ke hari ini.


Persoalan sejauh mana pula raja-raja Melayu bertanggungjawab memelihara dan melindungi hamba rakyatnya, terpulanglah kepada sifat dan sikap raja-raja itu sendiri. Apabila hamba Melayu itu telah mencurahkan segala taat dan setia mereka kepada raja-raja tanpa berbelah bagi, maka sesungguhnya orang Melayu telah pun melaksanakan amanah mereka kepada tuan mereka. Pada hemat saya, Waadat (perjanjian) Sang Sapurba merupakan asas kepada bentuk hubungan dan tanggungjawab di antara raja-raja Melayu dengan sekalian hamba rakyatnya. Sama ada kita menganggap waadat tersebut sebagai lagenda ataupun metos, tetapi apa yang terkandung dalam waadat tersebut merupakan asas yang masih kita sama-sama ikuti dan warisi hingga ke hari ini.


Berdasarkan kepada waadat tersebut, orang Melayu hendaklah mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja-raja Melayu walau bagaimana jua pun fiil dan perangai raja-raja Melayu itu. Menurut perjanjian itu lagi, orang Melayu boleh dijatuhi hukuman bunuh jika sabit kesalahannya kerana menderhaka. Maka itulah agaknya, pada hari ini, sesiapa yang sabit kesalahannya kerana melawan Yang Di-Pertuan Agong, maka orang berkenaan boleh dijatuhi hukuman mati.


Menurut perjanjian berkenaan juga, raja-raja juga mempunyai amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Raja-raja tidak boleh mengaibkan mana-mana hamba Melayu. Jika besar sekali pun dosa dan kesalahan mereka dan jika sabit dengan hukum syarak, maka bunuh sahaja mereka dan orang yang didapati bersalah itu tidak boleh diaibkan dengan apa cara sekali pun. Di akhir perjanjian tersebut, ada dinyatakan bahawa jika sekiranya raja-raja Melayu ingkar pada perjanjian tersebut, maka tidaklah menjadi kewajipan segala hamba Melayu untuk mentaati lagi perjanjian berkenaan. Demikianlah.



(kawasan Istana Kampung Gelam pada tahun 2009)



Jika sekiranya mana-mana hamba rakyat itu diaibkan, dinista, dihamburkan dengan kata-kata keji atau dipermalui, maka itu sebagai tanda bahawa raja-raja berkenaan akan kehilangan negerinya. Kalau pun negeri itu tidak hilang, zuriat raja berkenaan mungkin tidak lagi akan mewarisi takhta itu lagi. Darjat anak cucunya pula akan setara dengan status hamba rakyat yang lain. Ada kemungkinan mereka juga akan merempat dan berkelana sebagaimana pacal-pacal yang lain juga. Demikianlah perjanjian yang sudah termetrai di antara raja-raja Melayu dengan segala orang Melayu. Ia merupakan garis panduan yang menetapkan tanggungjawab di antara pemerintah dengan golongan yang diperintah. Maknanya jika ia dipatuhi maka akan harmonilah hubungan di antara pihak yang memerintah dengan golongan yang diperintah. Sebaliknya jika ia dimungkiri, maka musibah akan menimpa mana-mana pihak yang mula-mula memungkirinya. Sesungguhnya bila dibuka semula lipatan sejarah, ternyata ada benarnya tentang implikasi yang telah menimpa pihak-pihak yang telah memungkiri perjanjian tersebut.


Jika sekiranya golongan raja-raja itu tergelincir daripada landasan tanggungjawabnya selaku pemerintah dan golongan atasan, maka menjadi tanggungjawab orang besar-besar pula untuk menegur, menasihati atau menunjuk ajar dengan cara yang baik dan dengan penuh berhemah. Ingatlah baik-baik bagaimana Tun Perak dengan penuh diplomasi telah menegur golongan raja bila budi dan fiil mereka tidak lagi selari dengan apa yang sepatutnya. Walaupun anaknya sendiri, Tun Besar, mati dibunuh oleh putera raja yang bakal menjadi sultan suatu hari kelak, tetapi dengan tegas Tun Perak telah menghalang orang Melayu daripada menderhaka kepada raja mereka. Namun demikian, dengan penuh diplomasi Tun Perak telah memberi isyarat jelas kepada sultan yang sedang memerintah bahawa puteranya itu tidak sesuai lagi untuk dijadikan sultan kelak. Sebagai seorang sultan yang bijak, isyarat daripada Tun Perak itu amat difahami baginda. Lalu puteranya itu dibuang ke Pahang. Putera baginda yang lain pula diangkat selaku pewaris takhta Melaka. Manakala kepada orang besar-besar yang sentiasa bersama raja, ingat-ingatlah pula pesa Tun Perak, anak harimau jangan diajar makan daging, kelak dia ditangkapnya.



(Istana Melaka kini tinggal replika sahaja)



Buku Sejarah Melayu juga telah mentamsilkan bahawa Raja itu umpama api manakala orang besar-besar pula umpama kayu. Api tidak akan dapat menyala jika tanpa kayu. Selanjutnya, buku yang sama juga menerangkan bahawa raja umpa pohon manakala hamba rakyat pula umpa akar. Pohon tidak akan dapat berdiri tegak jika tanpa sokongan akar yang kukuh. Demikianlah muafakat yang sepatutnya terjalin di antara raja dan rakyat. Jika salah satu pihak ingkar dan mungkir, ia pasti akan merugikan pihak yang satu lagi.


Ketaatan orang Melayu tanpa berbelah bagi kepada raja-raja mereka pula harus disusuli dengan raja-raja Melayu menunjukkan sikap dan sifat kasih sayang, memelihara serta melindungi semua hamba rakyat tanpa mengira siapa mereka. Raja-raja Melayu juga hendaklah menjalankan pemerintahan dengan penuh keadilan, tanggungjawab dan saksama dalam semua segi. Jika dirasakan sesuai, contohilah apa yang pernah dilakukan oleh Amirul Mu’minin, Khalifah Umar bin Al-Khattab iaitu dengan menyamar diri untuk mengetahui sendiri keadaan sebenar hamba rakyat dan golongan marhaen. Adakalanya sembah orang tertentu mengenai situasi hamba rakyat bukanlah semuanya betul.


Golongan kerabat raja di semua peringkat pula hendaklah turut sama menyayangi dan mengasihi sekalian hamba rakyat dengan sepenuhnya. Adalah tidak molek jika ada antara mana-mana kaum kerabat raja yang bersifat angkuh dan sombong hanya semata-mata mereka adalah kerabat raja. Alangkah baiknya jika sifat sedemikian diganti dengan sifat-sifat terpuji seperti bersyukur dan merendah diri. Sesungguhnya meredah diri itu sama sekali tidak akan merendahkan peribadi kalian. Sama ada disedari atau tidak, sekalian hamba rakyat sentiasa berdoa untuk kesejahteraan raja-raja mereka dan kaum kerabatnya, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Dalam ribuan doa tersebut, mungkin ada satu dua doa daripada hamba rakyat yang baik dan alim yang mendapat perkenan daripada Allah.


Satu keistimewaan yang dikurniakan Allah kepada sekalian raja-raja ialah di mana doa mereka tiada hijab di sisi Allah. Syaratnya raja-raja berkenaan mestilah merupakan raja yang adil dalam menjalankan pemerintahan. Sebab itulah juga dalam pepatah orang tua-tua ada disebut, raja adil raja disembah.


Walaupun kini kita sudah memasuki millennium ketiga selepas Masihi dan berada di zaman yang serba canggih, biarpun zaman raja berkuasa mutlak sudah berganti dengan era raja berperlembagaan, tetapi fungsi institusi raja masih lagi relevan. Syaratnya kedua-dua pihak, sama ada raja mahupun rakyat, haruslah melaksanakan amanah serta tanggungjawab masing-masing selari dan selaras dengan garis panduan umum sebagaimana yang telah termetrai dalam Waadat Sang Saperba kerana waadat berkenaan masih dan akan terus relevan. Bangsa kita akan ditimpa musibah yang tidak terduga jika waadat tersebut dimungkiri oleh mana-mana pihak.





No comments: