Wednesday, September 25, 2013

Sejarah Alquran Braille Sudah Dibukukan



Selama ini, maklumat mengenai perkembangan Alquran Braille di negara kita hanya tersimpan dalam pengetahuan individu-individu tertentu. Ia juga tersimpan menerusi pengalaman murid cacat penglihatan yang pernah belajar Alquran Braille di SKPK Princess Elizabeth di Johor Baru. Manakala SKPK Princess Elizabeth pula merupakan sekolah dan tempat di mana pembelajaran mengenai Alquran Braille di negara kita telah bermula di peringkat awal. Pembelajaran Alquran Braille di sekolah tersebut terus berjalan hingga ke hari ini. Maknanya sudah 65 tahun pembelajaran Alquran Braille dilaksanakan di SKPK Princess Elizabeth.

Kalau ada pun tulisan mengenai sejarah dan perkembangan Alquran Braille di Malaysia, ia hanyalah penulisan kecil-kecilan sahaja. Antara persoalan yang sukar dijawab selama ini ialah bagaimana Alquran Braille boleh sampai ke Tanah Melayu pada dekad 50-an lalu. Jawapan yang dikemukakan selama ini hanya bersandarkan kepada teori semata-mata. Dengan erti kata lain, selama ini tiada sebarang usaha dibuat untuk mengkaji mengenai sejarah Alquran Braille di negara ini secara ilmiah.

(Dr. Mustaqim bersama bekas Naib Canselor USIM dalam satu majlis pada 12 Mac 2012)


Akhirnya, dengan izin dari Allah jua, dan dengan berkat usaha yang tidak mengenal jemu, sebuah buku mengenai sejarah dan kaedah Alquran Braille di Malaysia telah berjaya dihasilkan. Orang yang telah mengambil inisiatif untuk membuat kajian ilmiah mengenai Alquran Braille di Malaysia sehingga terhasilnya buku berkenaan ialah Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif. Beliau juga merupakan salah seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Antara Keistimewaan yang ada pada Prof. Madya Dr. Mustaqim ialah, beliau seorang yang berpenglihatan. Beliau sememangnya berkemahiran dalam membaca dan menulis tulisan Arab Braille dan Alquran Braille. Oleh kerana kagum dengan kemahiran beliau dalam membaca Alquran Braille, beliau telah diberikan senaskah Alquran Braille secara percuma (mungkin sebagai hadiah) sewaktu beliau berada di Jordan. Selain itu, beliau juga sememangnya berkemahiran dalam bahasa Arab dan Inggeris. Ini telah memberi kelebihan untuk beliau meluaskan lagi sumber untuk kajian beliau mengenai Alquran Braille. Beliau adalah orang yang telah memberi maklumat kepada saya mengenai fatwa tentang Alquran Braille yang dikeluarkan oleh beberapa negara Arab. Beliau juga seorang yang amat gigih ketika mendalami tulisan Arab Braille. Oleh kerana beliau juga mahir dengan bahasa Arab, maka beliaulah yang telah dapat membaca dan seterusnya meneliti fatwa mengenai Alquran Braille yang ditulis dalam tulisan Arab Braille tanpa baris sebagaimana yang terdapat dalam Alquran Braille keluaran negara Mesir yang ada dalam simpanan Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).



Secara ringkasnya, tajuk buku ini ialah “BRAILLE ALQURAN Sejarah dan Kaedah”. Ia mengandungi 176 halaman tidak termasuk indeks dan prakata. Buku ini telah diterbitkan oleh penerbit USIM tahun 2013. Buku ini terbahagi pula kepada 6 bab seperti berikut:

Bab 1: Tulisan Berasaskan Sentuhan: Sejarah Dan Perkembangannya.
Bab 2: Sistem Braille: Struktur, Pengelasan dan Transkripsi.
Bab 3: Sejarah Braille Alquran Di Malaysia.
Bab 4: Alquran Braille PERTIS: Struktur dan Metode.
Bab 5: Kod Braille Wasilah Bacaan Alquran: Struktur dan Metode.
Bab 6: Sejarah dan Metode Penulisan Alquran Braille Di Negara Islam Lain.

Dengan membaca buku ini, banyak maklumat penting dan menarik dapat kita perolehi. Antaranya, orang yang mula-mula memperkenalkan tulisan Arab Braille bernama Lovel, seorang Kristian. Ini bermakna, dalam konteks Braille, Bible Braille telah dihasilkan lebih dahulu daripada Alquran Braille. Semua perkembangan ini telah berlaku di timur tengah.

Di negara kita pula, Major D.R. Bridges pernah mewakili Tanah Melayu dalam persidangan mengenai Alquran Braille peringkat antarabangsa. Beliaulah yang telah membawa balik ke Tanah Melayu beberapa naskah Alquran Braille yang kemudiannya telah ditempatkan di beberapa institusi yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan seperti di Princess Elizabeth School (PES).

Sebenarnya banyak lagi fakta menarik yang dapat diperolehi jika kita membaca lebih lanjut buku ini. Oleh itu, selepas ini, marilah kita sama-sama dapatkan buku ini untuk menambah lagi khazanah maklumat mengenai perkembangan dan sejarah Alquran Braille di negara kita. Dengan mengetahui sejahnya kita tidak lagi membuat keputusan silap khasnya mengenai penulisan, penggunaan, pengajaran dan pembelajaran Alquran Braille.



Pada masa sama, saya juga tidak menafikan bahawa kandungan yang dipaparkan dalam buku ini bukanlah bersifat muktamad. Namun demikian, saya amat yakin buku ini berpotensi besar untuk merintis lebih banyak lagi kajian dan penyelidikan ilmiah mengenai Alquran Braille pada masa-masa yang akan datang.

Kepada Prof. Madya Dr. Mustaqim, setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih saya ucapkan. Walaupun Prof. seorang yang berpenglihatan, minat, kemahiran serta pengetahuan tinggi dan mendalam yang Prof. miliki mengenai Alquran Braille amat mengkagumkan saya. Saya dapat merasakan, apabila golongan yang cacat penglihatan membaca buku ini, mereka juga turut sama akan berterima kasih dan kagum dengan apa yang Prof. telah sumbangkan.

Semoga Allah memberkati dan merahmati penulis buku ini dari dunia sampai akhirat.


1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakn pengunjung sekalian.

Ma sha Allah! Subhanallah! Alhamdulillah! Akhirnya, terjawab sudah segala kemusykilan kita selama ini mengenai sejarah Al-Quran Braille Negara! Ya, sepertimana yang saudara katakan, walaupun berkemungkinan ia bukan sesuatu yang muktamad, namun setidak-tidaknya ia merupakan antara fakta serta bukti kukuh penguasaan pengetahuan Al-Quran Braille oleh P E S sejak 1948 ... Malah, proses pendigitalannya juga, kalau tidak keterlaluan untuk disebutkan di sini, juga dimulai oleh P E S setengah kurun kemudian ... Justeru, sayugia untuk kita ingati bersama, sepertimana yang pernah saudara sebutkan, walaupun kedapatan pihak-pihak tertentu yang cuba melakukan kemungkaran terhadap usaha murni kita ini, ianya pasti kecundang lagi hia, kan? Lantaran itu, saya turut ingin mengungkapkan sekalung syabas serta terima kasih tak terhingga kepada Dr. Prof. di atas usaha murni ini. Semoga usaha beliau ini akan dikira sebagai antara sedekah jariah yng manfaatnya kekal abadi buatnya hingga ke sana, insha Allah. Akhir kata, jika diizinkan, saya ingin sekali melanjutkan perkenalan saya dengan beliau; justeru, sekiranya boleh dan atas keizinnya, saya ingin sekali mendapatkan sekurang-kurangnya talian bimbitnya unuk dihubungi, dan kirimkanlah butiran "contact"ny itu sama ada menerusi "E-mail" atau SMS.

Terima kasih dan salam jihad.