Biasanya setiap Syawal, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) tidak ketinggalan untuk menganjurkan majlis sambutan aidil fitri. Pernah juga sekitar 7 tahun yang lalu, penganjuran sambutan aidil fitri terpaksa dianjurkan pada awal bulan Zulqaidah kerana lokasi yang dicadangkan untuk penganjuran sambutan berkenaan penuh dengan tempahan di sepanjang Syawal. Maknanya sama ada cepat atau lambat, PERTIS tetap menganjurkan sambutan aidil fitri.
Berdasarkan info dalam telemaklumat terkini PERTIS yang bertarikh 18 Julai bersamaan 29 Ramadhan (mungkin tarikh kalendar Islam terlepas pandang untuk diubah), tiada maklumat mengenai penganjuran sambutan aidil fitri untuk tahun ini. Ini bermakna, ada kemungkinan besar tahun ini tiada sambutan aidil fitri anjuran PERTIS. Kemungkinan ini dikuatkan lagi apabila salah seorang AJK Pusat PERTIS ada mengatakan, mungkin PERTIS tidak menganjurkansambutan aidil fitri kali ini kerana ia sudah banyak dianjurkan oleh NGO lain.
Pada hemat saya, sekiranya PERTIS tidak menganjurkan sambutan aidil fitri kali ini hanya semata-mata kerana majlis sedemikian sudah banyak dianjurkan oleh pihak lain adalah sangat kurang tepat. Kita perlu faham, dalam majlis seumpama itu, makan minum bukanlah merupakan agenda paling utama. Apa yang lebih penting ialah majlis sedemikian sebenarnya lebih merupakan masa untuk mempertemukan seluruh ahli PERTIS dan komuniti cacat penglihatan yang hadir. Dengan adanya pertemuan sedemikian, maka ia akan dapat mengukuhkan lagi jalinan ukhwah dan silatul rahim antara sesama ahli dan masyarakat. Apabila PERTIS yang menjadi penganjur majlis sambutan aidil fitri, maka sebenarnya PERTIS juga turut sama berperanan dalam mengukuhkan ikatan silatul rahim dalam kalangan masyarakat cacat penglihatan dan juga antara golongan cacat penglihatan dengan mereka yang berpenglihatan. Bilamana majlis sedemikian turut sama dihadiri oleh rakan-rakan yang bukan beragama Islam, ia akan menampakkan lagi sikap keterbukaan PERTIS di tengah-tengah masyarakat. Orang luar akan berpersepsi, walaupun PERTIS merupakan sebuah organisasi yang berteraskan Islam, tetapi ia turut mempunyai hubungan yang baik dengan golongan yang bukan Islam. Demikianlah.
Di samping itu, dalam majlis sambutan aidil fitri seperti inilah juga PERTIS seharusnya turut sama mengundang mereka yang selama ini telah memberi sokongan moral dan material kepadanya. Bila pihak-pihak berkenaan hadir dalam majlis aidil fitri anjuran PERTIS, sedikit sebanyak jauh di sudut hati mereka akan merasakan sumbangan mereka telah dihargai. Selain itu, golongan penyumbang berkenaan dapat melihat dengan mata kepala mereka sendiri secara lebih dekat lagi kelompok golongan sasar yang mereka telah bantu selama ini.
Oleh itu, selain daripada ahli-ahli PERTIS, majlis sambutan aidil fitri anjuran PERTIS seharusnya turut dihadiri oleh seluruh komuniti cacat penglihatan sama ada yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam. Selain itu, sepertimana yang saya katakan tadi, mereka yang telah menyumbang kepada PERTIS dalam apa jua bentuk juga patut diundang sama ke majlis berkenaan. Ia termasuklah mereka yang telah menyumbang kepada penerbitan Alquran Braille, pemberian embosser (terutama penaja 3 unit embosser V5 yang baru diterima oleh PERTIS), penaja penerbitan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, penaja panel e-Braille, institusi-institusi yang selama ini telah menyumbang kepada masyarakat cacat penglihatan dalam pelbagai aspek penyelidikan, golongan pembaca dan penulis yang telah menjayakan penghasilan buku teks Braille kendalian PERTIS, mereka yang pernah menjadi penggerak kepada program 1Masjid 1Alquran Braille, jabatan dan agensi kerajaan dan swasta yang akrab dengan PERTIS, organisasi-organisasi lain yang mempunyai hubungan baik dengan PERTIS serta lain-lain pihak yang dirasakan sesuai dan wajar. Ingatlah, orang berbudi kita berbahasa. Bila orang memberi kita jangan sekadar tahu terima sahaja.
Saya masih ingat lagi, sewaktu PERTIS menjadi penganjur majlis sambutan aidil fitri bersama-sama dengan JAKIM sekitar 7 atau 8 tahun lalu yang turut sama dihadiri oleh Ketua Pengarah JAKIM ketika itu (Datuk Wan Muhammad), semasa majlis sedang berjalan, tiba-tiba lalu sekumpulan orang buta yang bukan Islam, dengan cepat Datuk Wan Muhammad mengarahkan kakitangan JAKIM yang ada supaya mempersilakan kumpulan berkenaan masuk ke majlis dan sama-sama menikmati hidangan yang ada. Peristiwa inilah yang kemudiannya menjadi panduan kepada saya dalam menganjurkan majlis yang serupa selanjutnya.
Sebagaimana yang telah saya utarakan kepada beberapa orang AJK Pusat PERTIS beberapa hari lalu, Dalam apa jua aktiviti PERTIS seharusnya bertindak lebih proaktif. Majlis sambutan aidil fitri bukan sekadar untuk kita menjamu perut semata-mata. Pihak PERTIS harus berupaya melihat dengan lebih jauh lagi faedah dan manfaat tersirat yang bakal diraih jika majlis sedemikian berjaya dianjurkan dengan baik dan sempurna. Jika tiada faedah dan manfaat sedemikian, maka mengapa pihak lain bersungguh-sungguh untuk menganjurkannya?
Bila menganjurkan majlis sedemikian, beberapa perkara seharusnya dijadikan teladan dan panduan. Makanan yang dihidangkan walaupun sekadar satu atau dua jenis sahaja, ia hendaklah mencukupi dan dapat dirasa oleh seluruh tetamu yang hadir. Selain itu, dalam majlis yang sedemikian, elakkan daripada sebarang perkelahian secara terbuka kerana ia hanya akan mengaibkan persatuan sahaja. Sepatutnya dalam majlis seperti ini kita harus saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.
Saya sekadar berkongsi pandangan sahaja.
No comments:
Post a Comment