Monday, July 18, 2016

Politik semasa: Sekadar Coretan




Perjalanan politik negara hari ini semakin berliku dan haru-biru. Perpecahan politik yang sudah lama terbelah selepas retak, kini agaknya sedang menghala ke arah berkecai dan berderai. Kestabilan politik yang diimpikan oleh seluruh rakyat seakan tidak mungkin menjadi realiti lagi buat masa ini. Walhal kestabilan politik merupakan elemen yang cukup penting ke arah merealisasikan Wawasan 2020. Sekarang ini nampaknya hala tuju wawasan berkenaan sudah semakin kurang diperkatakan. Kebetulan pula pencetus wawasan berkenaan tidak lagi sebulu dan sehaluan dengan parti yang sedang memegang kuasa. Pihak-pihak yang berkepentingan lebih banyak membazirkan masa dan tenaga untuk bercakap dan bertindak bagi mempertahankan legasi politik masing-masing.

Pengumuman Tun Dr. Mahathir untuk menubuhkan satu lagi parti politik yang seterusnya akan bergabung dengan Pakatan Harapan sekadar mengharu-birukan keadaan yang sedia ada. Memang benar, dari aspek demokrasi penubuhan satu atau seratus lagi parti politik bukanlah satu kesalahan, bahkan ia dikatakan sebagai bukti bahawa demokrasi itu sentiasa subur. Namun demikian, dari aspek keperluan, adakah penubuhan satu lagi parti politik akan memberi manfaat atau sebaliknya kepada majoriti rakyat dan juga negara? Hakikatnya, penubuhan lebih banyak parti politik hanya akan melemahkan perpaduan politik itu sendiri. Rasanya daripada menubuhkan satu lagi parti politik, adalah lebih strategik jika Tun Mahathir berperanan sebagai penggerak dan penyatu kepada semua parti-parti pembangkang yang sedia ada tetapi selama ini tidak pernah mempunyai mimpi yang serupa.

Amerika Syarikat yang merupakan sebuah negara yang palint totok dalam pengamalan demokrasi hanya mempunyai 2 parti politik utama sahaja iaitu Democrat dan Rebublican. Manakala di Britain pula, dua parti parti politik yang paling popular ialah Parti Buruh dan juga Parti Konservatif. Kalau pun ada parti-parti politik yang lain, ia hanya merupakan parti-parti politik kecil yang tidak menggugat kestabilan politik yang ada. Ini menunjukkan Amerika Syarikat dan beberapa negara di Eropah cukup bijak dalam menterjemahkan konsep demokrasi dalam politik. Bagi mereka bermusuhan dalam politik ada batasnya. Permusuhan politik sering kali tidak menggugat perpaduan rakyat dan kestabilan negara. Ahli-ahli politik di negara-negara berkenaan bijak menilai kredibiliti diri sendiri. Justeru, jika mereka merasakan kredibiliti politik mereka sudah menurun dan sudah tidak relevan lagi dengan aspirasi majoriti rakyat dan negara, mereka sendiri akan memilih jalan keluar tanpa perlu ditunjuk oleh pihak-pihak lain. Demikianlah matangnya politik mereka.

Berbalik semula apa yang sedang dialami dalam negara sendiri, tidak keterlaluan jika saya katakan politik negara kita masih lagi pada takuk pramatang. Permusuhan dalam politik adakalanya berlaku tanpa batasan. Keadaan lebih kronik lagi bilamana ada sesetengah ahli politik berpersepsi musuh politik sama dengan musuh negara. Sesetengah ahli politik dan parti politik lebih banyak memfokuskan kepada cita-cita politik masing-masing daripada wawasan dan kepentingan negara. Bila banyak masa dan tenaga dicurahkan untuk berpolitik, maka sudah tentulah ruang yang ada semakin terbatas untuk benar-benar memberi fokus kepada permasalahan sebenar yang dihadapi oleh rakyat. Hala tuju pembangunan negara juga pasti terjejas kerana ahli politik tertentu terpaksa membazirkan lebih banyak masa dan tenaga yang ada untuk memberi tumpuan kepada survival politik masing-masing.

Orang Melayu yang selama ini pun masih gagal untuk membangunkan keupayaan ekonomi sendiri, kini semakin berpecah-belah pula dalam aspek politik. Kecamukan politik dalam kalangan orang Melayu seakan tiada penghujungnya. Kemunculan satu demi satu parti politik yang berpaksikan orang Melayu menunjukkan perpecahan politik Melayu yang semakin meruncing. Orang Melayu semakin lupa akan pesan nenek moyang mereka tentang bersatu teguh dan bercerai roboh. Orang Melayu juga semakin jauh daripada ungkapan bulat air kerena pembentung dan bulat kata kerana muafakat. Orang Melayu kian menolak untuk sesal dahulu agar beroleh pendapatan, sebaliknya semakin memilih untuk sesal kemudian yang tiada guna buat selama-lamanya.

Jika diselongkar lembaran silam, UMNO sebagai parti keramat orang Melayu sejak penubuhannya, sebenarnya berupaya untuk memerintah negara ini secara bersendirian tanpa disertai oleh parti-parti politik yang lain. Namun demikian, atas dasar tolak ansur politik yang cukup mahal harganya, UMNO telah memberikan sejumlah kerusi yang sepatutnya menjadi miliknya kepada parti sekutunya yang bukan Melayu dalam Perikatan dan telah menyeru orang Melayu di kawasan berkenaan agar memberi sokongan kepada calon parti sekutunya itu. Maka itu, pada masa lalu, adalah suatu perkara biasa bilamana calon daripada parti MCA bertanding dan menang di kawasan yang majoritinya adalah pengundi Melayu. Pada masa yang sama juga, amat jarang calon UMNO berpeluang bertanding dan menang di kawasan yang majoritinya adalah pengundi bukan Melayu. Sebab itulah saya katakan, tolak ansur politik yang pernah dilakukan oleh UMNO amat mahal harganya. Demikianlah kisah tentang UMNO yang dahulu.

Manakala situasi hari ini pula sudah jauh berbeza. Oleh kerana perpecahan politik dalam kalangan orang Melayu semakin kronik, maka saya melihat tiada satu pun parti politik orang Melayu yang punya kemampuan yang pernah dimiliki oleh UMNO yang dahulu. Keperluan sokongan daripada parti-parti politik lain sebenarnya bukan lagi atas dasar tolak ansur, tetapi ia disebabkan perpecahan dan kelemahan orang Melayu berpolitik. Parti-parti politik yang berpaksikan orang Melayu kini terpaksa bergantung kepada sokongan parti politik lain sama ada untuk mengekalkan kuasa yang ada atau pun untuk mengambil kuasa. Manakala parti-parti lain yang bersedia memberi sokongan kepada parti-parti politik yang berpaksikan orang Melayu, sudah tentulah tidak akan memberi sokongan secara percuma sahaja. Pepatah kalau ada ubi tentu ada batas, tentunya akan menjadi prasyarat kepada sokongan yang diberi. Dalam situasi ini, pihak yang akan rugi tentulah golongan pribumi juga.

Penglibatan Tun Dr. Mahathir yang masih aktif dalam politik juga merupakan sesuatu yang luar biasa. Kelazimannya sesiapa pun yang sudah berusia 91 tahun akan menghabiskan lebih banyak masa untuk bersantai dan berehat sahaja. Namun demikian, jiwa politik yang ada dalam diri beliau masih subur dan masih belum bertemu saat untuk bersara. Kini beliau mula berperanan semakin penting sebagai penggerak utama dalam kalangan tokoh dan parti-parti politik pembangkang.

Pada hemat saya, roh, jiwa dan hati Tun Mahathir masih lagi UMNO. Bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan jiwa UMNO-nya sentiasa subur, dahulu, kini dan mungkin untuk selama-lamanya. Beliau keluar dari UMNO sekadar salah satu strateginya untuk menumbangkan Datuk Seri Najib daripada kerusi perdana menteri sahaja. Hal yang sama pernah beliau lakukan terhadap mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ternyata ia telah membuah hasil yang diharapkan. Setelah Tun Abdullah berundur daripada jawatan perdana menteri, Tun Mahathir telah kembali semula ke pangkuan UMNO. Setakat ini strategi keluar UMNO dengan tujuan untuk menumbangkan Datuk Seri Najib masih belum menampakkan hasil. Ternyata anak Bugis yang seorang ini cukup kental dalam mempertahankan apa yang beliau sedang miliki. Namun demikian, satu kelebihan yang ada pada Tun Mahathir ialah sikapnya yang sukar untuk berputus asa. Selain itu, Tun Mahathir juga merupakan tokoh yang jarang kekeringan idea dalam menyelesaikan permasalahan dan cabaran yang mendepaninya.

Sebagaimana yang saya nyatakan di atas, salah satu peranan penting yang sedang diusahakan oleh Tun Mahathir ialah untuk menyatukan barisan pembangkang bagi menghadapi UMNO dan BN dalam pilihanraya umum yang akan datang. Namun demikian, ia bukanlah satu tugas mudah. Walaupun semua parti pembangkan yang ada hanya menghadapi satu musuh politik sahaja (UMNO/BN), tetapi oleh kerana tiada muafakat dan kegagalan untuk mewujudkan pakatan yang berkesan mengakibatkan musuh yang hanya satu itu amat sukar untuk dihadapi. Bahkan perpecahan demi perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang merupakan kelebihan yang cukup strategik bagi UMNO/BN untuk terus kekal di tampuk kekuasaan walaupun selepas pilihanraya umum yang akan datang. Walaupun parti-parti pembangkang kini semakin dibarisi oleh para pemimpin yang cerdik dan berpengalaman, tetapi oleh kerana tindak-tanduk mereka yang sering tidak cerdik dan seakan belum cukup pengalaman semakin memberi laluan mudah kepada UMNO/BN untuk terus mengekalkan kuasa mereka.

Mungkin matlamat utama tokoh-tokoh seperti Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz dan orang-orang yang seumpama mereka ialah sekadar untuk menukar perdana menteri sahaja. Mereka tidak mahu lagi berperdanamenterikan Datuk Seri Najib. Manakala matlamat parti Amanah, PKR dan DAP pula adalah untuk menukar terus kerajaan yang sedia ada dengan sebuah kerajaan yang baru berlandaskan demokrasi. Hanya matlamat PAS sahaja yang masih terselindung di sebalik kopiah dan jubah para pemimpinnya. Manakala bentuk dan corak kerajaan baru yang mereka dambakan pula mungkin berbeza antara satu parti dengan parti yang lain. Perbezaan yang wujud pula sukar untuk mencari titik persamaan. Sebab itulah, pada masa ini kita sekadar dihidangkan dengan matlamat untuk menumbangkan krajaan UMNO/BN. Apa yang parti-parti pembangkang tersebut akan buat selanjutnya selepas mereka berjaya menumbangkan kerajaan UMNO/BN masih kabur lagi. Sebab itulah barisan pembangkang yang ada dikatakan boleh tidur sebantal tetapi mimpi masing-masing tetap jauh berbeza.

Antara kelebihan yang sedang dimiliki oleh Datuk Seri Najib ialah beliau sedang di tampuk kekuasaan. Dengan kedudukan yang ada, beliau boleh melakukan apa sahaja demi mempertahankan apa yang sedang beliau genggam. Kemenangan besar BN dalam pilihanraya negeri Sarawak serta kemenangan dengan majoriti besar dan di luar jangka dalam pilihanraya kecil di parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar merupakan petunjuk iaitu pada masa ini sokongan rakyat terhadap BN dan Datuk Seri Najib kian meningkat. Agaknya kalau pilihanraya umum diadakan sekarang harus juga BN mampu untuk memperoleh kemenangan dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Sebagai rekod, BN telah hilang kedudukannya selaku parti pemerintah yang memperoleh jumlah kerusi dua pertiga di Dewan Rakyat sejak tahun 2008.

Tidak keterlaluan jika saya nyatakan iaitu dalam situasi politik negara yang kian kompleks ini PAS nampaknya semakin kabur hala tujunya. Cubaan PAS untuk mewujudkan blok ketiga pembangkang hanya sekadar menjadi bahan tawa sahaja. Sama ada disedari atau tidak, mungkin ada pihak lain yang sedang memperkudakan PAS untuk survival politik pihak yang berkenaan. Pihak yang berkenaan cukup maklum buat masa ini PAS dan Amanah tidak mungkin boleh duduk semeja. Ini memberi harapan besar iaitu dalam pilihanraya umum yang akan datang pertandingan 3 penjuru di kawasan-kawasan tertentu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Apabila berlaku pertandingan 3 penjuru, pihak yang akan tersungkur dan tertiarap tentulah PAS dan Amanah juga. Manakala UMNO yang sememangnya cukup cerdik mencari peluang bukan sekadar mampu untuk mengekalkan kerusi yang ada, bahkan peluang untuk merampas kerusi-kerusi lain juga semakin cerah. Lihat sahajalah apa yang telah berlaku dalam pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Jika sokongan pengundi terhadap UMNO/BN disebabkan protes terhadap perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang, maka undi protes yang serupa juga akan berlaku jika perpecahan yang ada gagal diselesaikan. Di parlimen Sungai Besar, Amanah sekadar berbangga kerana undi yang diraih oleh calonnya lebih tinggi daripada undi yang diraih oleh calon PAS. Hakikatnya yang kalah tetap kalah juga.

Pada hemat saya, Parti Amanah Negara mungkin boleh dibubarkan dan seluruh ahlinya boleh kembali semula ke pangkuan PAS dengan syarat barisan kepimpinan PAS yang ada sekarang juga harus dibubarkan dan digantikan dengan tokoh-tokoh lain yang lebih berlapang dada, terbuka minda dan berpertimbangan. Selagi barisan pimpinan PAS yang ada tidak boleh diusik, maka selagi itulah Parti Amanah Negara akan terus membayangi dan menyaingi PAS. Penyokong akar umbi amat mengharapkan agar Amanah dan PAS bertaut kembali. Pada masa sama mereka juga sedar harapan mereka tak ubah pungguk rindukan bulan sahaja. Sebab itulah awal-awal tadi saya katakan orang politik lebih memikirkan survival politik masing-masing sahaja dan bukannya berpolitik untuk kesejahteraan golongan akar umbi.

Justeru, selagi situasi yang sedang melanda parti-parti pembangkang tidak berubah, maka hasrat untuk melihat kerajaan yang sedia ada bertukar merupakan sesuatu yang jauh panggang dari api. Jika sekalian rakyat umpama pelanduk, maka mereka akan mati gara-gara gajah sama gajah yang berlawan. Semuanya angkara kita berpolitik tanpa mengenal musim lagi.

Saya sekadar pemerhati kecil sahaja.


No comments: