Sunday, July 10, 2011

Menghadiri Forum Akta OKU 2008

Petang tadi, saya telah berkesempatan untuk menghadiri forum mengenai Akta Orang Kurang Upaya (OKU). Forum berkenaan telah diadakan di dewan utama, Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields, Kuala Lumpur. Forum berkenaan telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Belia, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM). Forum berkenaan telah bermula sekitar jam 2.50 petang dan telah berakhir sekitar jam 5.00 petang. Menurut saksi mata, sekitar 70 orang telah menghadiri forum berkenaan. Kehadiran turut merangkumi pelbagai bangsa dan agama yang berkongsi satu kecacatan, iaitu cacat penglihatan.



Forum berkenaan telah dibarisi oleh 2 orang ahli penal, iaitu En. Mohammad Faizal Che Yusuf dan En. Hashim Ishak. En. Mohamad Faizal merupakan seorang peguam bela dan peguam cara. Beliau juga merupakan Setiausaha SBM Terengganu dan juga Pengerusi PERTIS Kelantan. Beliau juga merupakan salah seorang AJK Jawatankuasa Hak Asasi Manusia dalam Majlis Peguam.

En. Hashim Ishak pula merupakan Pengerusi SBM Kawasan Melaka. Sesuai dengan statusnya selaku Pengerusi SBM kawasan, beliau juga turut menganggotai Majlis Presiden SBM. Tugas hakiki beliau ialah kakitangan di Jabatan Penerangan Melaka.



Saya sendiri telah diundang selaku komentator dalam forum berkenaan. Manakala moderator forum pula ialah Saudara Ahmad Syamsuri.



Dalam pembentangannya, En. Mohamad Faizal telah menerangkan asas serta sejarah ringkas kewujudan Akta OKU 2008. Menurut beliau, akta berkenaan telah pun didraf oleh beberapa orang OKU sejak hampir 10 tahun lalu. Namun demikian, apabila draf berkenaan dihantar ke pihak atasan untuk pertimbangan, draf akta berkenaan telah ditolak. Walau bagaimanapun, katanya, kerajaan seterusnya telah bersetuju untuk menggubal satu akta yang kemudiannya dikenali sebagai Akta OKU 2008. Persetujuan berkenaan diberikan supaya ia selaras dengan kehendak masyarakat antarabangsa supaya satu akta (Akta OKU 2008) diwujudkan untuk memberikan hak dan perlindungan kepada golongan berkenaan.

Seterusnya, En. Faizal menambah, selaku seorang yang cacat penglihatan, beliau turut terasa terluka dengan Akta OKU 2008. Pernyataan berliau berasaskan kepada akta berkenaan yang mana ia tidak memperuntukkan sebarang panalti kepada pihak berkuasa, sama ada kerajaan atau pihak berkuasa tempatan jika gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk memberikan hak yang sama kepada golongan OKU. Sebagai contoh, jika pihak berkuasa tempatan gagal untuk menyediakan kemudahan yang sesuai kepada golongan cacat anggota agar mereka bolek akses kepada kemudahan awam yang disediakan, maka pihak berkuasa tempatan berkenaan dilindungi daripada tindakan undang-undang. Demikianlah apa yang saya faham daripada penerangan oleh En. Faizal. Ini bermakna, kemudahan yang disediakan selama ini untuk golongan OKU lebih kepada simpati semata-mata. Justeru, pihak berwajib akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika sesuatu kemudahan untuk golongan OKU tidak disediakan sebagaimana sepatutnya.



En. Hashim pula, dalam pembentangannya, menyatakan Akta OKU 2008 telah memberikan impak yang baik kepada golongan OKU. Pada masa yang sama, beliau mengakui terdapat kelemahan di sana sini dalam Akta OKU 2008. Namun begitu, kata beliau, kalau tak ada rotan, akar pun berguna juga. Selanjutnya, beliau turut mengesyorkan supaya jika golongan OKU berhadapan dengan masalah atau karenah daripada pihak berkuasa, jangan duduk diam sahaja. Sebaliknya tindakan seperti menulis surat kepada pihak yang berkaitan hendaklah dilakukan supaya penjelasan yang sesuai dapat diperolehi daripada pihak yang berkenaan. Di hujung pembentangan sebanyak dua pusingan itu, En. Hashim berharap semoga golongan OKU juga harus memperbaiki jati diri masing-masing supaya dapat hidup sama tinggi dan sama rendah dengan masyarakat. Dalam hal ini, beliau mengatakan, golongan OKU harus berani untuk berhijrah ke tempat lain jika hal sedemikian diperlukan.



Selaku komentator, saya mengucapkan syabas kepada pihak penganjur. Bagi saya, ini merupakan antara peluang yang ada bagi kebanyakan golongan cacat penglihatan untuk mendapatkan input secara terus mengenai Akta OKU 2008. Saya menambah, perjuangan untuk membela nasib golongan seperti kita akan memakan masa yang lama. Saya turut mengambil contoh, untuk menyelesaikan rasa tidak puas hati golongan cacat penglihatan terhadap 2 perkataan yang terdapat dalam sijil peperiksaan awam anjuran Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), ia telah mengambil masa sekitar 3 tahun untuk diselesaikan. Dua perkataan yang saya maksudkan ialah “Calon Istimewa”. Rasa tidak puas hati berkenaan mula saya bangkitkan pada tahun 2007 dan hanya pada tahun 2010 barulah pihak berkenaan bersetuju untuk menggugurkan dua perkataan tersebut daripada sijil peperiksaan yang berkaitan. Itu baru masalah yang melibatkan dua perkataan sahaja!



Secara peribadi, saya merasakan forum petang tadi lebih bertujuan sekadar untuk memberikan input kepada golongan cacat penglihatan sahaja. Manakala dari segi kesannya serta tindakan susulan yang boleh diajukan kepada pihak berkuasa, buat masa ini, ia tidak akan mendatangkan impak yang besar. Lagi pun, dari aspek kuasa mengundi, golongan OKU bukanlah berkedudukan kumpulan penentu undi yang strategik. Di sini, saya tidaklah bermaksud hak mengundi dalam kalangan OKU di negara ini berada pada tahap kelas kedua. Hak mengundi kita sama sahaja dengan warganegara yang lain. Atas faktor populasi, ia menyebabkan kuasa undi golongan OKU setakat ini tidak berstatus selaku undi strategik.

Akhir sekali, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur. Majlis pada petang tadi sedikit sebanyak telah memberikan info dan input yang berguna khususnya kepada mereka yang telah menghadirinya.

Memang benar, kalau tidak ada rotan, akar pun berguna juga, tapi apalah gunanya kalau akar yang ada merupakan akar reput? Jika akta yang ada sekadar untuk melindungi pihak yang cuai dengan niat untuk kebaikan, ia lebih merupakan akta gula-gula semata-mata.

No comments: