SBM: Jangkauan Masa Depan
Hampir seminggu telah berlalu di mana Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) selesai menganjurkan mesyuarat agung dwitahunannya kali ke-9. Bagi yang telah berjaya mencapai apa yang disasarkan dalam mesyuarat tersebut, mungkin masih belum kering air liur memperkatakanpencapaian yang telah berjaya dicapai. Manakala bagi yang tidak begitu berjaya pula, mungkin masih punya kekuatan untuk bertahan daripada rasa dukacita yang masih tebal menyelubungi kalbu masing-masing. Mungkin ada dalam kalangan puak ini yang belum hilang pening kepalanya memikirkan sebab-musabab ditolak ahli yang bukan sedikitjumlahnya.
Walau apa pun, yang sudah berlalu, biarkanlah ia berlalu. Bak kata orang tua-tua, biduk lalu kiambang bertaut. Kini sudah tiba masanya seluruh ahli SBM bersatu semula dengan merapatkan saf bagi memacu SBM ke arah masa depan yang lebih gemilang. Kesatuan dan perpaduan yang benar-benar gitu amat diperlukan oleh SBM daripada para ahlinya bagi menghadapi pelbagai cabaran yang sedang mendepani pertubuhan ini.
Salah satu cabaran yang harus ditangani oleh SBM ialah apabila salah seorang kakitangannya yang penuh pengalaman tiba-tiba telah meletakkan jawatannya. Kakitangan yang saya maksudkan ialah En. Abdul Razak bin Mohd Yusuf. Dua hari lepas saya telah menerima satu panggilan telefon yang memaklumkan perletakan jawatan oleh En. Abdul Razak. Perkara tersebut kemudiannya telah disahkan melalui sumber yang boleh dipercayai. Seperkara yang tidak boleh diketepikan dalam hal ini ialah, En.Razak merupakan seorang kakitangan yang sudah lama berkhidmat dengan SBM. Kalau tak silap saya hampir dua dekad lamanya. Satu lagi, En.Razak juga mempunyai satu kelebihan iaitu kebolehannya berbahasa Mandarin. Kelebihan ini telah banyak memberi manfaat kepada SBM itu sendiri. Untuk tempoh jangka pendek, pastinya perletakan jawatan En. Razak akan memberi kesan kepada SBM.
Oleh itu, besarlah harapan sebahagian besar ahli SBM agar perletakan jawatan En. Razak akan dapat ditangani oleh barisan kepimpinan terkini SBM dengan baik dan efektif. Jika En. Razak benar-benar telah berpatah arang dengan SBM, maka seorang kakitangan yang baru dan yang setara dengan kebolehan En.Razak perlu dicari. Saya tidak berhasrat untuk merongkai sebab-musabab perletakan jawatan En.Razak dari SBM. Bagi saya, ia lebih merupakan urusan antara SBM dengan beliau. Apa yang penting sekarang, jika perlu, pengganti En. Rzak harus dicari segera agar segala urusan yang selama ini diuruskan oleh En.Razak tidak tergendala di tengah jalan.
Satu lagi perkara yang harus diselesaikan oleh SBM ialah mengenai usul penjualan dua unit bangunan yang terletak di Jalan Gombak, Kuala Lumpur. Bukan sahaja pelaksanaan usul berkenaan harus disegerakan, tetapi iktibar daripada kecuaian yang terselongkar juga harus benar-benar diteladani oleh barisan kepimpinan terkini SBM. Apa sahaja yang dilakukan oleh SBM, mestilah dilakukan secara tulus dan telus. Jangan sembunyikan lagi apa-apa yang sepatutnya diketahui oleh ahli daripada pengetahuanmereka . Sepertimana yang saya katakan dalam mesyuarat baru-baru ini, bagi daging yang sudah busuk, semakin lama disimpan semakin busuk baunya. Walau bagaimanapun, saya turut mendengar khabar angin bahawa barisan pimpinan terkini SBM benar-benar serius untuk melaksanakan usul berkenaan. Manakala pihak yang berkaitan pula pada perkiraan saya tentunya sedang mencongak untuk mencari lokasi baru sebagai tapak untuk memindahkan operasinya. Justeru tidak hairanlah jika ada pihak yang mungkin telah pun menghantar notis kepada SBM untuk ke tempat lain?
Satu perkara menarik yang telah diumumkan oleh presiden dalam mesyuarat dwitahunan lalu ialah mengenai cadangan pindaan beberapa peruntukan dalam perlembagaan pertubuhan tersebut. Khabarna cadangan pindaan berkenaan akan mula dibentangkan dalam mesyuarat agung khas hujung tahun ini.
Sekiranya difikirkan sesuai dan ada keperluan, maka eloklah pindaan kepada peruntukan tertentu dibuat. Tujuannya untuk memastikan agar perlembagaan berkenaan sentiasa relevan dengan kehendak dan tuntutan semasa. Kalau cadangan pindaan berkenaan hendak dibentangkan hujung tahun ini, maka pada perkiraan saya sudah pastilah usaha-usaha awal ke arah itu sudah dimulakan. Jika lambat, saya kurang yakin satu cadangan pindaan yang sempurna, konkrit dan komprehensif dapat dibentangkan nanti. Tuan Haji masih ingat ke tiga orang yang telah dipertanggungjawabkan untuk menterjemahkan perlembagaan SBM ke bahasa Melayu?
Satu perkara yang sudah lama terlintas dalam minda saya ialah cadangan supaya SBM menubuhkan unit penerbitan atau unit produksi Braille atau bubuhlah apa-apa nama pun asalkan tujuan dan maksudnya serupa. Tujuan utamanya ialah untuk menerbitkan bahan-bahan bacaan ke dalam Braille. Pada hemat saya, jumlah penerbit Braille yang ada masa kini mungkin boleh ditambah lagi. Barulah kelewatan menyiapkan buku-buku Braille yang diperlukan di sekolah-sekolah sedikit sebanyak akan dapat diatasi. Jika SBM benar-benar serius nanti, maka pastikanlah supaya bahan bacaan Braille yang diterbitkan nanti berkualiti. Standard kod Braillenya pula hendaklah sentiasa dijaga supaya penggunanya nanti (murid sekolah) akan dapat dihidangkan dengan kod Braille yang terkini, tepat dan berkualiti. Bila sudah tertubuhnya unit produksi sebagaimana yang dicadangkan, maka pihak SBM bolehlah mengambil dua atau tiga orang kakitangan untuk ditempatkan di unit berkenaan. Setidak-tidaknya SBM dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan ahlinya. Bagi saya, sekiranya unit berkenaan dapat diuruskan dengan baik dan efektif, maka unit berkenaan juga boleh menyumbang kepada pendapatan SBM itu sendiri. Jika unit berkenaan benar-benar menjadi realiti, satu sahaja ingatan saya, jangan sesekali mengambil soft copy orang lain sebagai jalan singkat untuk menghasilkan bahan yang boleh dicetak Braille.
Besarlah harapan saya serta sebahagian besar ahli agar SBM dapat meneruskan fungsinya selaku badan yang boleh bersuara bagi kepentingan masyarakat cacat penglihatan di negara kita. Penglibatan SBM dalam menyuarakan kepentingan golongan cacat penglihatan dalam sistem pilihanraya di negara menerusi Jaatankuasa Pilihan Khas (PSC) Parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihanraya negara baru-baru ini merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan. Selain itu, kalau tak silap, SBM juga turut menyuarakan kebimbangan masyarakat cacat penglihatan mengenai duit shiling yang baru. Hal ini juga sudah ada dalam perhatian pihak Bank Negara Malaysia. Agaknya sebab itulah juga beberapa pegawai daripada Bank Negara Malysia telah dijemput dan seterusnya memberikan penerangan ringkas mengenai duit shiling yang terkini. Sebagai sebuah badan bukan kerajaan kendalian langsung oleh golongan cacat penglihatan yang terbesar di negara kita, SBM seharusnya boleh berfungsi lebih dari itu. SBM harus mendepani pihak lain dalam menyuarakan apa sahaja isu yang ada kaitan dengan golongan cacat penglihatan di negara kita.
Seterusnya, saya juga tidak lupa mengingatkan pada diri sendiri dan juga rakan-rakan dalam pimpinan tertinggi SBM supaya jangan ulangi kesilapan pemimpin yang terdahulu. Selaku pemimpin sebuah badan bukan kerajaan yang besar, para pemimpinnya harus mesra ahli. Jangan sekali-kali memperlekehkan suara dan pendapat mana-mana ahli. Jangan sombong, jangan riak dan jangan juga takabur. Sifat sedemikian tidak mendatangkan faedah langsung. Bergaullah dengan semua ahli sepanjang masa. Jangan bila hendak bertanding baru hendak bercampur dengan ahli. Itu ada udang di sebalik batu namanya. Lagi pun, ahli-ahli SBM sudah cukup dewasa untuk digula-gulakan. Kalau kebencian para ahli sudah menggelombang, tiada siapa yang dapat menahaninya.
Saya bukanlah bagus sangat, sekadar mengingatkan pada diri sendiri dan rakan-rakan sahaja.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
1 comment:
Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Terima kasih sekali lagi di atas analisa ini. Semoga setidak-tidaknya ia direnung kita semua dengan mendalam, khasnya saf kepimpinan terbaru SBM sendiri. Bukan apa, sekadar menjamin kemaslahatan bersama, insha Allah.
Pertama, takziah di atas perletakan jawatan En. Abd. Razak Yusuf yang sememangnya terbukti cekap dan mesra-ahli. Justeru, saranan saudara agar pengganti yang setanding dengannya mesti diperoleh segera wajib diberi perhatian serius kepimpinan sekarang.
Kedua, selain peranan SBM di Jawatankuasa Parlimen Penambahbaikan Pilihanraya (PSC) baru-baru ini (tahun lepas), seingat saya, Tn. Hj. Nazari ada juga memaklumkan peranan SBM sebagai NGO pendesak OKU Penglihatan yang mengembalikan semula hak kita terhadap Elaun Pekerja Cacat (EPC) yang cuba disekat golongan berkepentingan, konon mengelak salahguna wang demi menjana kemewahan peribadi.
Terakhir, tapi belum berakhir ... Elok benar segala yang melibatkan kepentingan rakan ahli diambil perhatian serius dengan mengelak apa juga penyelewengan dan salahguna atau salahtadbir, sekaligus mengelak kesangsian rakan ahli yang kini boleh saya katakan, rata-ratanya "celik-info", dan tak kurang juga yang rajin menyiasat meskipun jadi penyiasat tak rasmi. Juga, di samping unit percetakan Braille, SBM juga barangkali elok memperluas fungsi pusat sumber komputernya menjadi pusat siber alternatif lagi berkesan kepada rakan-rakan kita walaupun ia mungkin sukar untuk dicapai dalam kadar dua tahun ini sahaja; namun setidak-tidaknya langkah-langkah ke arah itu bolehlah diorak sedikit demi sedikit bergantung kepada peruntukan belanjawan dan kesesuaian masa dan tempat. Menutup bicara, diharap segala yang dikongsikan ini akan menjana faedah maksima kepada kita semua, insha Allah, khasnya kepada para ahli SBM tercinta ini.
TErima kasih.
Post a Comment