Sunday, November 11, 2012

Bertandang Lagi Ke Pulau Langkawi










Alhamdulillah, sekitar jam 2.36 petang tadi, pesawat Air Asia AK6304 yang saya sekeluarga naiki dari LCCT telah selamat mendarat di lapangan terbang Langkawi. Selain daripada saya bertiga, kami turut disertai oleh umi kami (ibu mertua saya) serta seorang anak saudara perempuan. Sepatutnya pesawat berkenaan berlepas dari LCCT pada sekitar jam 12.30 tengah hari. Namun begitu, atas sebab-sebab tertentu berlakulah penangguhan pelepasan selama sejam.













Bagi saya, ini kali ketujuh saya menjejakkan kaki di pulau lagenda ini. Manakala bagi 4 lagi ahli keluarga saya, ini merupakan kali pertama mereka sampai ke pulau ini. Walaupun ini merupakan kali ketujuh saya sampai ke mari, tetapi ini merupakan kali pertama tujuan saya ke sini benar-benar atas tujuan untuk santai dan merehatkan minda. Selain itu, tujuan kami ke sini kali ini adalah untuk melepaskan hajat umi kami yang ingin benar menjejakkan kaki ke pulau Langkawi. 6 kali kedatangan saya sebelum ini lebih merupakan atas urusan rasmi dan dengan byaiaan wang kerajaan.














Setelah semua urusan di lapangan terbang selesai dan setelah menanti dengan agak lama kereta sewa yang dijanjikan tak juga kunjung tiba, akhirnya saya telah membuat keputusan untuk mencari kereta sewa yang lain. Alhamdulillah sekali lagi, urusan berkenaan agak mudah. Kami mendapat sebuah kereta sewa wira yang sangat sesuai dengan jumlah 5 orang. Untuk tujuan santai kali ini, saya telah memutuskan untuk menyewa kenderaan sahaja dan bergerak dengan memandu sendiri di sepanjang kami di Langkawi kali ini. Nasib baiklah isteri saya ada lesen dan yakin untuk memandu. Kalau harapkan saya, sampai ke sudah pun JPJ tidak akan beri lesen!







Untuk memandu sendiri kali ini, kami akan bergantung kepada GPS dan juga peta Langkawi. Manakala tempat-tempat yang bakal kami kunjungi pula secara kasarnya sudah pun ditentukan. Sebagaimana biasa, jika saya yang membuat rancangan, aktiviti membeli-belah merupakan acara paling akhir dan itu pun kalau ada kesempatan.




Mudah-mudahan segalanya akan berjalan dengan lancar di sepanjang kami berada di Langkawi. Semoga umi kami akan merasa gembira dan puas dengan family trip kali ini. Segalanya dengan izin dari Allah jua.




Salam dari Langkawi.




No comments: