Monday, November 5, 2012

Selamat Menduduki SPM



Mulai hari ini (5 November) murid-murid tingkatan 5 seluruh negara mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Musim peperiksaan ini akan berterusan hingga 6 Disember nanti. Sejak dua tiga hari kebelakangan, pelbagai pihak telah digesa supaya membuat persediaan rapi untuk menghadapi pelbagai kemungkinan
dalam musim peperiksan kali ini. Antara kemungkinan yang paling kritikal ialah kemungkinan berlakunya banjir.

Golongan pendidik merupakan golongan yang telah membuat persediaan sejak awal tahun lagi. Tak perlu disuruh dan tak payah digesa, memang inilah tanggungjawab dan tugas golongan pendidik, iaitu untuk membentuk generasi yang akan datang dalam pelbagai aspek, terutamanya dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Maka hari ini, bermulalah pula tugas murid untuk meluah dan mencurahkan segala input yang telah mereka perolehi daripada guru-guru masing-masing. Tidak dinafikan bahawa adakalanya tatkala murid sedang melangkah ke dewan peperiksaan, debaran seorang guru itu lebih kencang daripada anak-anak muridnya sendiri.




Kepada seluruh murid di Malaysia, khususnya anak-anak murid saya sendiri, diucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM. Segala tunjuk ajar, ingatan dan pesanan yang diberikan selama ini jadikan panduan dan azimat khususnya tatkala menjawab soalan-soalan peperiksaan.



Tiada lain doa dan harapan guru-guru melainkan agar semua murid akan berjaya .dengan cemerlang nanti. Saya juga yakin, para ibu bapa juga merafakkan doa dan harapan yang serupa untuk anak masing-masing.

Saya turut menujukan ucapan yang sama kepada bekas anak-anak murid saya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Beberapa hari lepas, dua orang bekas anak murid saya menghantar SMS minta doakan kejayaan untuk mereka. Kepada kedua-duanya, terima kasih diucapkan kerana masih Mengingati saya selaku bekas guru mereka.

Selamat menduduki peperiksaan SPM.

No comments: