Baru-baru ini, saya sekeluarga telah mengunjungi Bukit Melawati, Kuala Selangor. Dari sudut sejarah, kawasan ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri, khususnya yang berkaitan dengan sejarah awal kesultanan Selangor serta pentadbiran awal negeri tersebut.
Mengikut catatan dalam buku Sejarah Melayu, nama Kelang pernah disebut sebagai sebua petempatan iaitu pada awal kurun ke-15. Tun Perak pernah menjadi penghulu kepada orang-orang Kelang. Sewaktu Siam menyerang Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, bantuan orang Kelang amat penting ketika itu. Digambarkan bahawa orang Kelang telah berperang bersungguh-sungguh melawa tentera Siam.
Kawasan Kuala Selangor mula menjadi penting apabila Raja Lumu iaitu anak kepada Opu Daeng Celak mula menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat pemerintahannya pada sekitar tahun 1743. Apabila baginda mendapat pengiktirafan daripada sultan Perak selaku pemerintah yang berdaulat untuk Selangor pada tahun 1766, Raja Lumu terus menjadikan Kuala Selangor, khususnya Bukit Melawati sebagai pusat pemerintahan baginda. Di atas bukit inilah dibina istana dan kota sebagai lambang pemerintahan serta kedaulatan baginda. Sementara itu, setelah kedaulatan Raja Lumu ke atas Selangor diiktiraf oleh sultan Perak, maka baginda telah memakai gelaran Sultan Sallehhuddin.
Setelah Sultan Salehuddin mangkat, baginda telah digantikan oleh puteranya, Sultan Ibrahim. Sultan Ibrahim merupakan seorang raja yang gagah beran dan perkasa orangnya. Pada tahun 1784, berlakulah serangan besar-besaran orang Bugis Riau ke atas kedudukan Belanda di Melaka. Serangan orang Bugis ini diketuai oleh Raja Haji,iaitu bapa saudara kepada Sltan Ibrahim. Sultan Ibrahim turut memberi bantuan kepada serangan yang dikepalai oleh bapa saudaranya tetapi bantuan yang diberikan dikatakan tiba lewat. Peperangan tersebut telah berakhir dengan kekalahan tentera Bugis. Raja Haji sendiri telah terbunuh dalam peperangan tersebut. Tentera Belanda telah menyerang Riau dan memaksaSultan Mahmud III supaya menandatangani perjanjian yang telah meletakkan Riau di bawah kekuasaan Belanda.
Sebagai membalas bantuan ketenteraan yang pernah diberikan oleh Sultan Ibrahim, maka pada tahun 1785, Belanda telah menyerang Kuala Selangor. Akibatnya, Sultan Ibrahim bersama 300 orang pengikutnya telah berundur ke Pahang. Setahun kemudian, iaitu pada tahun 1786, dengan bantuan orang Pahang, Sultan Ibrahim telah menyerang kembali Kuala Selangor dan berjaya merampasnya kembali daripada Belanda.
Walau bagaimanapun, tidak lama kemudianBelanda telah menyerang kembali Kuala Slangor. Selama setahun Belanda telah mengepung kawasan ini hingga akhirnya Sultan Ibrahim telah menandatangani perjanjian damai dengan bersetuju utuk menjual bijih timah kepada kompeni Belanda. Perjanjian damai yang ditandatangani ini berbeza dengan perjanjian damai yang pernah ditandatangani oleh Belanda dengan pemerintah Melayu yang lain. Perjanjian damai ini sama sekali tidak menggugat kedaulatan Sultan Ibrahim.
Setelah Kemangkatan Sultan Ibrahim pada tahun 1826, baginda telah digantikan oleh salah seorang puteranya dengan gelar Sultan Muhammad Syah (1826-1857). Selain berjaya memajukan Kuala Selangor, Sultan Muhammad dengan bantuan kerabat diraja Selangor, turut berjaya memajukan perdagangan bijih timah di sekitar Kelang, Kuala Lumpur serta Lukut.
Setelah kemangkatan Sultan Muhammad, baginda telah digantikan oleh menantu yang juga merupakan anakanda saudaranya, iaitu Sultan Abdul Samad. Zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad merupakan zaman yang penuh dengan pelbagai peristiwa danperubahan. Pada masa pemerintahan bagindalah pihak Inggeris mula campur tangan dalam pentadbiran Selangor. Semasa pemerintahan baginda juga berlaku perang saudara yang juga dikenali sebagai Perang Kelang gara-gara perebutan kawasan bijih timah. Sultan Abdul Samad juga turut memindahkan pusat pentadbiran baginda dari Kuala Selangor ke Jugra di Langat. Maka itulah juga makam baginda serta kerabat baginda banyak terdapat di Jugra.
Apabila Sultan Abdul Samad mangkat pada tahun 1898, baginda telah digantikan pula oleh cucunda baginda yang memakai gelaran Sultan Alaiddin Sulaiman Syah, Baginda merupakan moyang kepada ke bawah duli Tuanku Sultan Selangor hari ini. Pada tahun 1911, baginda Sultan Alaiddin Sulaiman Syah telah memindahkan pula pusat pentadbiran baginda dari Jugra ke Kelang. Maka itulah juga hari ini Kelang merupakan bandar diraja bagi Selangor. Sultan Alaiddin Sulaiman Syah telah mangkat pada tahun 1938 dan telah dimakamkan di makam diraja Kelang.
Hari ini, d atas bukit ini hanya ada sebuah muzium, sebuah rumah api serta deretan pokok yang menghijaukan kawasan sekitarnya. Manakala rumah pegawai daerah serta rumah jurutera daerah juga terletak ke bawah sedikit. Selain itu, di kaki bukit iaitu tidak jauh daripada Masjid Pekan Kuala Selangor pula terdapat bangunan yang menempatkan 3 makam sultan Selangor yang awal . Namun begitu, bila disingkap sejarah lama, bukit ini turut menyimpan sejarah yang semakin terpendam daripada pengetahuan generasi masa kini.
Di dalam muzium ini, kita boleh mendapat pelbagai maklumat khususnya mengenai sejarah awal pentadbiran kesultanan Selangor serta kedatangan orang Bugis ke Selangor. Selain pelbagai catatan yang harus dibaca oleh setiap pengunjung, pelbagai jenis barang lama juga turut dipamerkan dalam muzium ini.
Rumah api yang terdapat di sini telah dibina pada awal kurun ke-20. Tujuannya adalah sebagai petunjuk arah kepada kapal-kapal yang belayar melalui sekitar Kuala Selangor.
Selain itu, dari atas bukit ini kita boleh melihat kawasan laut yang mengasyikkan pemandangan. Pada masa lalu, dari atas bukit inilah juga sultan dan para pembesar dapat meninja pergerakan musuh yang boleh mengancam keselamatan negeri.
Selain itu, di satu lokasi atas bukit Melawati ini terdapat sebuah batu hamparan. Kononnya di atas batu inilah tempat di mana hukuman bunuh dilaksanakan ke atas puak penderhaka. Ada juga sumber yang mengisahkan bahawa dari atas batu ini Baginda Sultan Abdul Samad akan bersemayam untuk memerhati pekan Kuala Selangor.
Pada hari ini juga, selain bukit ini dikunjungi oleh manusia, ia turut menjadi tempat puluhan bahkan mungkin ratusan monyetberkeliaran. Haiwan ini jinak dan mungkin sudah biasa dengan pengunjung. Justeru, kita boleh melihat pelbagai aksi daripada monyet terutama bila para pengunjung tiba dengan tren yang sememangnya disediakan. Apa yang monyet tersebut tahu, bila tren datang, haiwan-haiwan tersebut akan dapat makanan.
Semasa kunjungan tempoh hari, kami menaiki bukit Melawati dengan tren. Sebaliknya kami menuruni bukit berkenaan hanya dengan berjalan kaki sahaja. Tujuan utamanya ialah supaya saya dapat benar-benar merasai dan menikmati fenomena alam yang segar dan mengasyikkan.
Jika makam Opu Daeng Celak ada di Sungai Timun, Pulau Bintan, Riau, maka makam anak cucunya pula ada di Bukit Melawati, Jugra dan di Kelang.
No comments:
Post a Comment