Ada khabar dari jauh yang sampai ke pengetahuan saya bahawa SBM pusat sedang merisik sebuah bangunan. Khabarnya bangunan tersebut terletak di Brickfields. Jika benar, ia mengukuhkan lagi pandangan bahawa masyarakat cacat penglihatan khususnya di sekitar Lembah Kelang memang tidak dapat melarikan diri dari Brickfields. Di mana pun mereka tinggal, mereka akan tetap menjadikan Brickfields sebagai lokasi strategik untuk kegiatan bercorak sosial dan rekreasi.
Konon khabarnya juga, lokasi bangunan yang sedang dirisik itu letaknya tidak berapa jauh daripada ibu pejabat SBM sekarang. Khabarnya lagi, bangunan berkenaan berketinggian sekitar 4 tingkat? Ada khabar yang mengatakan sekitar sehari dua lepas 4 orang “pembesar” SBM telah membuat risikan ke atas bangunan berkenaan? Betul ke Tuan Haji?
Bagi saya, langkah SBM untuk memiliki sebuah bangunan baru adalah sebagai meneruskan usul yang telah diluluskan dalam mesyuarat agung luar biasa SBM yang telah diadakan pada 18 Disember 2011 yang lalu. Bagi saya, tidak timbul isu “jual istana untuk beli rumah kedai”. Buat apa ada istana kalau ia hanya memberi peluang untuk pihak lain mengambil kesempatan!
Perlu saya tegaskan di sini, setakat yang saya maklum risik khabar yang sedang diusahakan oleh SBM masih belum muktamad lagi. Pasti akan ada perbincangan lanjut antara SBM dengan pemilik bangunan berkenaan. Sekiranya semuanya berjalan lancar, saya menganggarkan menjelang suku pertama tahun hadapan ia akan dapat diselesaikan.
Walaupun demikian, barisan kepimpinan SBM sekarang harus mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku sebelum ini. Jika laksanakan jual beli mana-mana aset termasuklah bangunan, ia harus dilakukan secara telus dan tulus. Jangan sekadar pandai beli tetapi nama hak milik bangunan tak pandai tukar sampai berbelas tahun!
Usaha kepimpinan SBM sekarang untuk mendapatkan bangunan baru merupakan inisiatif ke arah merealisasikan kehendak majoriti ahli yang telah meluluskan keputusan sedemikian pada hujung tahun lalu.
No comments:
Post a Comment