Wednesday, June 8, 2016

Berbekam



Secara umumnya, berbekam ialah mengeluarkan darah kotor dari tubuh seseorang. Cara darah berkenaan dikeluarkan pula pelbagai. Kebiasaannya darah berkenaan akan dikeluarkan menerusi bahagian belakang kepala. Sebelum darah berkenaan dikeluarkan, bahagian yang berlibat akan dicukur terlebih dahulu. Kemudian bahagian kulit kepala yang terlibat akan ditoreh sedikit untuk membolehkan darah dikeluarkan. Darah berkenaan akan disedut dengan alat tertentu yang akan dialirkan ke dalam cawan sebelum ia dibuang.

Setakat yang saya maklum, hari ini kaedah dan teknik berbekam sudah pelbagai. Bayaran yang dikenakan juga berbeza-beza mengikut pengamal dan tempat bekam tersebut dilaksanakan. Sekiranya aktiviti berbekam adalah untuk tujuan rawatan, maka kita digalakkan untuk melakukannya beberapa kali dalam tempoh tertentu. Sekiranya ia bertujuan sekadar untuk menjaga kesihatan atau untuk mengikut sunnah, memadai jika kita melakukannya setahun sekali sahaja. Demikianlah apa yang saya maklum.

Setakat yang saya maklum juga, berbekam merupakan antara sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Bulan Rajab dan Syaaban merupakan bulan-bulan yang disunatkan untuk kita berbekam. Semasa saya di bangkut sekolah dahulu, seorang ustaz pernah menceritakan kisah bekam Nabi Muhammad dengan Abdullah bin Zubair. Berbekam juga merupakan antara kaedah rawatan berkesan untuk merawat pelbagai penyakit.

Oleh kerana berbekam merupakan antara sunnah Rasulullah, maka sudah tentulah kita digalakkan untuk melakukannya jika kita mampu dan kalau kita mahu. Namun demikian, sekiranya kita tidak mahu melakukannya, ia bukanlah suatu kesalahan. Pun begitu, kita tidak sepatutnya memandang sinis atau merendah-rendahkan aktiviti berbekam kerana ia adalah antara sunnah Rasulullah.

Seingat saya, saya mula berjinak-jinak dengan rawatan bekam hampir 15 tahun yang lalu. Saya akui ia merupakan antara kaedah yang berkesan untuk menjaga kesihatan kita. Ada sesetengah orang berpandangan, berbekam boleh mendatangkan ketagihan. Maksudnya, kalau kita biasa melakukan rawatan bekam, kononnya ia akan menjadi semacam suatu kewajipan untuk kita berbekam walaupun tanpa sebarang sebab. Berdasarkan pengalaman saya, ketagihan sedemikian tidak pernah saya alami. Saya pernah tidak berbekam beberapa tahun (sekadar untuk eksperimen peribadi) dan setelah tempoh berkenaan saya tidak merasa ketagih. Apa yang berlaku ialah beberapa penyakit tertentu mula datang dan hinggap pada diri saya.

(Selepas berbekam)



Kini saya memulakan semula aktiviti berbekam. Setakat ini ia menunjukkan kesan yang cukup memuaskan. Maka itulah dua hari sebelum Ramadhan lalu, saya dan anak tunggal kami telah berbekam dengan orang yang biasa kami berbekam sebelum ini.

Saya sekadar berkongsi sahaja.


No comments: