Sunday, June 19, 2016

Surau Medan Idaman




Sejak beberapa tahun kebelakangan dan setiap kali tibanya bulan Ramadhan, antara tempat yang menjadi kegemaran saya sekeluarga menunaikan solat sunat tarawih ialah di surau Medan Idaman. Lokasinya tidak berapa jauh dari ibu pejabat PERTIS Malaysia. Oleh kerana kebanyakan jemaahnya terdiri daripada orang Arab dan juga mereka yang berasal daripada Afrika Utara, surau ini lebih dikenali sebagai surau Arab sahaja.

Sebagaimana beberapa surau dan masjid di tempat lain, surau ini juga mengerjakan solat sunat tarawih sebanyak 8 rakaat sahaja dan kemudiannya akan diikuti dengan 3 rakaat solat sunat witir. Sudah menjadi kelaziman di surau ini iaitu antara salam dan takbir untuk rakaat berikutnya, tiada sebarang bacaan lain seperti selawat dialunkan. Ini bermakna, selepas salam, imam dan para jemaah terus berdiri untuk mengerjakan solat dan rakaat berikutnya.

Pada hemat saya, imam yang mengepalai solat mungkin terdiri daripada mereka yang hafaz Alquran. Mungkin kerana mereka adalah orang Arab, jadi lahjah bacaannya memang menarik. Ini ditambah pula dengan kemerduan alunan bacaan ayat-ayat Alquran yang dialunkan oleh imamnya.




Nenurut saksi mata pula, situasi tatkala mengerjakan solat agak pelbagai. Ada yang boleh bergerak lebih dari 3 kali dalam satu-satu masa. Ada juga yang boleh membetulkan anak masing-masing ketika solat. Hal ini terjadi mungkin kerana jemaah di sini datangnya daripada pelbagai pelusuk dunia yang berpegang kepada beberapa mazhab lain selain daripada mazhab Shafie.

Bagi saya, dalam situasi sebegini, kita juga harus bersikap terbuka iaitu menerima keadaan yang ada dengan seadanya. Jika kita berpegang kepada mazhab Shafie, mereka juga turut berpegang kepada mazhab lain yang turut diiktiraf menurut ahli sunnah wal jamaah. Oleh itu, cara mereka solat juga secara umumnya tiada sebarang keraguan dan kesalahan jika disandarkan kepada pegangan dan ikutan mazhab masing-masing. Demikianlah.

Berdasarkan pendengaran saya pula, bahasa Arab memang cukup sinonim dengan surau ini. Namun demikian, dicelah-celah hingar-bingar bahasa Arab, terselit juga bahasa Melayu dan Inggeris.

Sedikit perbezaan tahun ini jika dibandingkan dengan tahun-tahun lepas, kali ini selepas selesai solat sunat tarawih disampaikan tazkirah ringkas dalam bahasa Inggeris. Tazkirah yang disampaikan memang ringkas iaitu tidak sampai pun 5 minit.

Ini merupakan sedikit perkongsian kisah bulan Ramadhan tahun ini.


No comments: