Sunday, June 19, 2016

Pasca Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Kangsar Dan Sg Besar





Semalam (18 Jun), pilihanraya kecil parlimen untuk Kuala Kangsar dan Sg Besar telah berlangsung. Barisan Nasional (BN) telah berjaya mengekalkan penguasaannya di kedua-dua kerusi parlimen berkenaan. Keputusan penuh adalah seperti berikut:




Bagi Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid (BN) telah berjaya meraih sebanyak 12653 undi. Manakala Dr. najihatusallehah Ahmad daripada PAS pula berjaya meraih sebanyak 5684 undi. Sementara itu, Dr. Ahmad tarmizi Ramli daripada Parti Amanah Negara (PAN) pula berjaya meraih sebanyak 4883 undi. Izat Bukhary selaku calon bebas di mana-mana pilihanraya sekadar beroleh undi sagu hati sebanyak 54. Ini bermakna Datin Mastura berjaya mengekalkan kemenangan BN di parlimen Kuala Kangsar dengan majoriti sebanyak 6969 undi.




Di parlimen Sg Besar pula, Budiman Mohd Zohdi berjaya meraih sebanyak 16800 undi. azhar abd syukur daripada PAN pula berjaya meraih sebanyak 7609 undi. Manakala Dr. Abdul rani Osman daripada PAS berjaya meraih sebanyak 6902 undi. Majoriti yang diperolehi oleh Budiman Mohd Zohdi ialah sebanyak 9191 undi.

Selaku pemerhati kecil-kecilan, dari awal lagi saya sudah menjangkakan iaitu apabila berlaku pertandingan 3 penjuru, kemenangan akan berpihak kepada BN. Ini ditambah pula dengan sejarah pilihanraya kecil di negara kita iaitu kebiasaannya ia akan dimonopoli oleh BN kecuali di kerusi tegar pembangkang.

Sebelum berlangsung hari pengundian, boleh dikatakan semua parti politik bercakap iaitu masing-masing mempunyai harapan untuk menang. Biasalah orang politik, mana tahu untuk bercakap kecil. Walhal rasanya masing-masing sudah maklum iaitu perlawanan 3 penjuru akan membawa musibah kepada puak pembangkang itu sendiri. Namun demikian, oleh kerana masing-masing ingin memaparkan ego dan sombong masing-masing, perlakuan yang sudah diketahui akan membawa musibah itu diungang juga.

Kemenangan BN di kedua-dua kerusi berkenaan menunjukkan BN masih merupakan parti politik nombor 1 di negara kita. Biar apa pun isu yang cuba dipalitkan dengan parti politik berkenaan, keunggulannya tetap terselah. Ia tetap menjadi pilihan para pengundi khususnya di kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

Kemenangan majoriti yang lebih besar di kedua-dua kerusi parlimen dalam pilihanraya kecil semalam mungkin merupakan petunjuk iaitu pengaruh barisan kepimpinan negara sekarang sukar untuk digugat. Walaupun kempen puak pembangkang dibantu oleh tokoh yang pernah menduduki kerusi eksekutif nombor 1 negara, tetapi ia langsung tidak memberi bekas kepada kekuatan dan pengaruh BN. Bahkan BN berjaya meraih majoriti yang lebih besar pula.

Dalam situasi sekarang, kalau ditanya kepada sesiapa pun iaitu apa yang akan terjadi bila berlaku pertandingan 3 penjuru. Jawapannya ialah pembangkang sukar untuk menang. Dengan itu, bila berlaku juga pertandingan 3 penjuru, maka ia sekadar menyerlahkan keegoan dan kebodohan pihak pembangkang semata-mata. Kehadiran pihak pembangkang dalam pilihanraya kecil di kedua-dua kerusi parlimen semalam lebih menjurus untuk memecah-belahkan undi semata-mata. Walaupun dari aspek demokrasi ia adalah halal, tetapi dari sudut kesatuan dan perpaduan ia adalah hancur.

Lebih lanjut lagi, kemenangan bergaya BN di kedua-dua kerusi parlimen dalam pilihanraya kecil semalam merupakan penerusan kepada kecemerlangan parti berkenaan selepas kemenangan besar dalam pilihanraya negeri Sarawak bulan lalu. Ia menunjukkan bahawa BN bukan sahaja sudah diterima di Sarawak, tetapi ia semakin diterima kembali oleh para pengundi di semenanjung.

Dari satu sudut yang lain pula, kemenangan besar BN di Sg Besar boleh juga dijadikan kayu ukur bagi BN untuk merampas kembali Selangor daripada pemerintahan pakatan. Dalam pilihanraya umum nanti (sekiranya keadaan tidak berubah), PAS sudah tentunya akan diketepikan kerana ia bukan komponen Pakatan Harapan. Sebaliknya PAN akan dijadikan sandaran untuk meraih undi daripada para pengundi yang selama ini menyokong PAS. Manakala PAS pula sudah tentunya tidak akan berdiam diri. Ia juga akan berusaha untuk menonjolkan dirinya sebagai sebuah parti politik yang masih unggul dan mendapat sokongan ramai. Bila berlaku pertandingan di antara PAS dan PAN, maka akan berpecah-belah undi pembangkang dan sekaligus akan memberikan laluan yang lebih mudah untuk BN untuk berkuasa semula di Selangor.

Kemerosotan undi yang diperolehi oleh PAS di Sg Besar sehingga lebih bawah daripada PAN sepatutnya membuka mata dan otak para pemimpin tertinggi PAS untuk bermuhasabah diri dan gaya kepimpinan masing-masing. Barisan pimpinan PAS yang ada kini mungkin masih mendapat sokongan daripada sebilangan ahli parti, tetapi ia tidak bermakna ia akan turut mendapat sokongan daripada mereka yang berada di luar parti. Dalam mana-mana pilihanraya sekali pun, sokongan dan dokongan mereka yang berada di luar parti jauh lebih penting daripada dokongan dan sokongan dalam kalangan ahli parti sendiri. Apalah gunanya jika kalian sekadar diterima oleh ahli parti semata-mata tetapi ditolak oleh majoriti para pengundi. Ia hanya akan menjadikan kalian sebagai pemimpin yang syok sendiri sahaja.

Dari sudut politik orang Melayu pula, pilihanraya kecil semalam semakin menyerlahkan kemerosotan kuasa politik orang Melayu itu sendiri. Pada masa ini, sukar untuk orang Melayu bersatu kembali khasnya dari aspek politik. Perpaduan jitu yang pernah ditunjukkan oleh bangsa Melayu tatkala dilanda gagasan Malayan Union 70 tahun lalu tidak lagi dijadikan teladan. Sebaliknya ia hanya bahan sejarah yang semakin terperosok dalam buku teks sejarah, dalam arkib negara dan juga sebagai bahan kajian ahli akademik semata-mata.

Akhirnya saya ingin mengucapkan tahniah kepada BN yang telah berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi parlimen Kuala Kangsar dan Sg Besar dengan kejayaan yang lebih bergaya. Sesungguhnya kelemahan pembangkang adalah kekuatan anda. Kekurangan pembangkang adalah kelebihan anda. Perpecahan pembangkang adalah perpaduan untuk anda. Kecelaruan pembangkang merupakan kelebihan kepada anda. Kebodohan pembangkang merupakan kecerdikan untuk anda. Jika situasi pembangkang sebegini berterusan, maka saya menjangkakan BN akan beroleh kemenangan besar dalam pilihanraya umum yang akan datang. Bukan setakat itu sahaja, kemarau kurang majoriti dua pertiga yang melanda BN selama dua musim pilihanraya sebelum ini mungkin boleh berakhir menerusi pilihanraya umum yang akan datang.


No comments: