Saturday, June 18, 2016

Terima Kasih FKM UTM




Baru-baru ini, sebagaimana yang telah tersebar menerusi beberapa akhbar, saya dan Tn. Hj. Muhammad Lee Abdullah telah menerima panel ebraille Alquran seunit seorang. Ini bermakna, kami berdua merupakan individu pertama yang telah beroleh panel berkenaan. Upacara penyampaian secara rasmi panel berkenaan telah berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor pada 13 Jun yang lalu. Ia telah disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Wahid Omar bersempena dengan perhimpunan bulanan UTM.




Berdasarkan aplikasi teknologi serta beberapa kelebihan yang terdapat pada panel berkenaan, sememangnya memiliki seunit panel berkenaan merupakan impian sebilangan besar golongan cacat penglihatan. Menerusi panel tersebut, Alquran Braille boleh diakses dengan begitu mudah sekali. Kita boleh mencari surah dan membuat pilihan ayat dengan cepat dan senang. Panel berkenaan juga berupaya menghasilkan titik-titik Braille yang membentuk tulisan Alquran Braille untuk dibaca oleh para penggunanya. Di samping itu, ia turut dilengkapi dengan sistem audio bagi memudahkan penggunanya menyemak bacaan Alquran. Ini bermakna, para pengguna boleh menyemak bacaan Alquran menerusi dua aplikasi secara serentak iaitu menerusi sistem tulisan Braille yang dapat dirasa dan juga menerusi sistem audio yang dapat didengar.




Selain itu, panel ini juga boleh dibawa ke mana-mana dengan mudah kerana beratnya sekitar 1.4 kg sahaja. Berbeza dengan Alquran cetak Braille sebelum ini di mana senaskah lengkap 30 juzuk beratnya hampir 10 kg. Manakala surah dan ayatnya pula termuat dalam jilid yang berbeza kerana Alquran Braille bercetak terbahagi pula kepada 6 jilid. Setiap jilid pula mengandungi 5 juzuk.

Walaupun saya sudah memiliki seunit panel ebraille Alquran, namun demikian Alquran Braille bercetak tidak mungkin saya tinggalkan. Ia tetap masih diperlukan sampai bila-bila. Situasinya samalah seperti golongan yang berpenglihatan yang berupaya membaca Alquran menerusi telefon pintar tetapi pada masa yang sama mereka juga tidak meninggalkan Alquran bertulisan cetak.

Saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih khususnya kepada pihak yang berkaitan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah bermurah hati memberi panel Alquran ebraille seunit seorang kepada saya dan Tn. Hj. Muhammad Lee. Sememangnya pemberian ini sangat besar maknanya kepada kami berdua. Walaupun kami tidak pernah memintanya, tetapi kami sering berdoa semoga suatu hari nanti kami akan dapat memiliki panel berkenaan. Sebesar-besar syukur kami ke hadhrat Ilahi.




Setiap kali saya menggunakannya, saya tidak lupa berdoa semoga semua pihak yang terlibat sehingga terhasilnya panel berkenaan akan beroleh ganjaran yang sebesar-besarnya daripada Allah Yang Maha Kaya.


No comments: