Friday, October 26, 2012

Salam Aidil Adha

Hari ini, 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam menyambut ketibaan hari raya aidil adha. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji atau hari raya qurban. Bagi sesetengah masyarakat Islam, hari raya haji ini dianggap lebih meriah dan lebih besar. Justeru tidak hairanlah jika di sesetengah tempat di negara kita sendiri, perayaan ini disambut lebih meriah jika dibandingkan dengan hari raya aidil fitri. Lagi pun, bersempena dengan kehadiran hari raya haji ini, Allah telah mengharamkan kepada umat-Nya yang beriman daripada mengerjakan puasa selama empat hari berturut-turut iaitu bermula pada 10 Zulhijjah.

Bersempena dengan kehadiran hari raya haji juga, umat Islam amat dituntut supaya melaksanakan ibadah qurban. Maka itulah hari raya ini juga turut dikenali sebagai hari raya haji. Binatang yang boleh digunakan untuk pelaksanaan ibadah qurban juga telah ditentukan.
Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W. merupakan titisan zuriat yang telah diselamatkan daripada peristiwa dua qurban. Bersempena dengan kehadiran hari raya haji kali ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut hari raya haji kepada seluruh muslimin di mana jua berada. Semoga sambutan hari raya haji kali ini akan membawa lebih makna kepada kita semua.
Salam dari Kuantan.

Bertemu Semula

Rasanya sudah lebih daripada dua minggu saya tidak muncul dengan apa-apa coretan dalam blog ini. Dalam tempoh tersebut, pelbagai peristiwa yang sama-sama kita lalui. Tentunya ada antara peristiwa tersebut lebih bererti jika ia disusuli dengan coretan, ulasan, catatan atau sebagainya. Namun demikian, lantaran beberapa sebab saya tidak dapat melaksanakannya sebagaimana biasa menerusi blog ini. Demikianlah kelemahan yang ada pada diri saya yang perlu saya akur. Kebetulan pula, sebagai seorang pendidik yang berkebetulan pula mengajar murid-murid tingkatan 5, masa inilah antara masa yang kritikal bagi melaksanakan strategi akhir sebelum murid-murid melangkah ke dewan peperiksaan pada bulan hadapan. Almaklumlah, memang sudah menjadi lumrah yang perlu diakur, jika muird itu berjaya, murid berkenaan dikatakan memang pandai, tetapi bila murid berkenaan gagal, maka gurulah yang tidak pandai mengajar. Antara sebab lain mengapa saya tidak muncul dengan coretan sepanjang tempoh di atas ialah kerana sejak pengendali blog “dipaksa” mengendalikan dengan interface yang baru, saya menghadapi sedikit kesukaran untuk menyisipkan foto ke dalam teks untuk dipostingkan. Mungkin bagi mereka yang menggunakan mouse, hal sebegini langsung tiedak timbul. Maklumlah dengan click sana dan click sini, semuanya dapat dilaksanakan dengan begitu mudah sekali. Walau bagaimanapun, kaedah yang sama tidak mungkin dilakukan oleh pengendali blog yang sepenuhnya menggunakan papan kekunci (keyboard) seperti saya. Saya terpaksa mencari sendiri kaedah yang sesuai supaya saya dapat menyertakan foto ke dalam tulisan saya (jika sesuai) sebagaimana biasa. Oleh itu, saya harus mencari sendiri kaedah yang sesuai menerusi try an error. Masa yang terbatas semakin membataskan usaha saya untuk mencari dan mencuba kaedah yang sesuai.
Alhamdulillah, akhirnya saya bertemu juga kaedah yang sesuai serta jawapan mengapa interface yang baru ini tidak friendly kepada pengendali blog seperti saya. Setelah menemui jalan penyelesaian terhadap cabaran yang saya hadapi sebelum ini, rasanya saya semakin memahami maksud ungkapan orang tua-tua, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Di sini, saya tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada sahabat lama saya, Rokiah Nawi, yang telah sudi untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman beliau dalam membantu saya menyelesaikan cabaran yang saya hadapi. Mungkin bagi beliau ia kecil sahaja, tetapi bagi saya ia sungguh bermakna. Terima kasih banyak-banyak. Salam dari Kuantan.

Monday, October 8, 2012

Berita Petang

Yusiran Di HKL

            Bila saya sebut nama Yusiran, hampir semua rakan senasib mengenali beliau.  Beliau merupakanseorang yang periang, tidak kisah dengan hal orang lain dan boleh dikatakan jarang mencari fasal dengan orang lain.  Saya menerima perkhabaran bahawa Yusiran kini di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

            Pagi tadi, saya sempat menghubungi beliau menerusi telefon.  Kata Yusiran, beliau telah dimasukkan ke HKL pada Khamis lepas.  Pada Sabtu lepas kakinya pula telah dipotong hingga paras lutut gara-gara penyakit kencing manis.  Nampaknya dalam tahun ini sahaja, sudah 3 orang cacat penglihatan yang terpaksa dipotong kakinya gara-gara penyakit kencing manis.  Salah seorang daripada mereka telah pun meninggal dunia pada 20 Mei yang lalu.

            Sebagai rakan, jika ada kelapangan, marilah kita menziarahi Saudara Yusiran.  Kalau dahulu beliau rakan yang sama-sama ketawa dengan kita, kini tiba pula giliran kita untuk bersama-sama kongsi tangis dengan beliau pula.  Kepada sesiapa yang ingin menziarahi beliau, bolehlah ke HKL, tingkat 2, wad1 dan katil 21.  Mudah-mudahan dengan sokongan moral daripada kita, beliau akan dapat ketengan dan kekuatan diri.


Wednesday, October 3, 2012

Berita Petang

Esah Md Zain Kembali Ke Rahmatullah
Pagi tadi, saya menerima SMS yang memaklumkan bahawa Esah binti Md Zain telah kembali ke rahmatullah. Esah merupakan salah seorang rakan saya di sekolah rendah dahulu. Walau bagaimanapun, selepas alam sekolah menengah, saya telah terputus hubungan dengan beliau hinggalah ke hari ini apabila saya menerima berita tentang kematian beliau. Esah merupakan seorang yang berasal dari Kelantan.
Tiada berita lanjut mengenai kematian beliau seperti meninggal di mana dan sakit apa. Terima kasih saya ucapkan kepada Saudara Muhammad bin Mohd Ali atas SMS yang telah beliau kirimkan untuk berkongsi berita berkenaan.
Semoga roh Allahyarhamuha sentiasa dicucuri rahmat sepanjang masa, insha-Allah.
Alfatihah ......
Salam dari Bandaraya Melaka.