Sunday, November 27, 2016

Khalid Samad Diserang Di Kawasan Parlimen: Sekadar Ulasan Kecil



Beberapa hari lalu, seluruh negara dan dunia dapat menyaksikan rakaman video yang tersebar dengan begitu cepat dan meluas tentang ahli parlimen Shah Alam diserang di kawasan parlimen Malaysia.

(Untuk menonton video kejadian, sila klik
Di sini)

Berdasarkan rakaman video tersebut, ternyata bahawa mereka yang terlibat dengan kekecohan di atas berasal dari Pasir Salak. Pelbagai kata maki dan nesta dihamburkan ke atas ahli parlimen Shah Alam. Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak profesional, bahkan ia lebih menjurus kepada sikap gangsterisme dan ala samseng sahaja.

Kawasan sekitar parlimen sepatutnya aman dan tenang daripada sebarang gangguan daripada mana-mana pihak. Setiap ahli parlimen sepatutnya tidak boleh diganggu atas tujuan yang tidak baik ketika mereka berada di kawasan parlimen. Dalam hal ini, sekalung tahniah harus ditujukan kepada pasukan keselamatan parlimen yang telah menjalankan tugas mereka dengan cukup baik dan profesional.

Dewan Rakyat juga turut membincangkan isu berkenaan pada hari yang sama. (Untuk menonton perbincangan ringkas di parlimen mengenai isu sama, sila klik
Di sini)

Hal yang dibincangkan dalam Dewan tidak sepatutnya terbawa-bawa hingga ke luar dewan, terutamanya oleh para penyokong dan pendokong ahli parlimen dan parti politik yang terlibat. Para penyokong dan pendokong seharusnya bertindak lebih rasional dan profesional. Ada ketikanya ahli dewan boleh bertegang urat macam nak putus urat ketika perbahasan di dalam Dewan, tetapi bila mereka keluar dewan, adakalanya mereka boleh duduk minum kopi semeja sambil bergelak ketawa. Jadi tidak perlu rasanya para penyokong dan pendokong di luar parlimen terlalu beremosi sehingga ke tahap lebih sudu dari kuah.

Sesiapa pun akan berpandangan bahawa tindakan menyerang mana-mana ahli parlimen di kawasan parlimen merupakan tindakan yang salah dan tidak profesional. Oleh kerana isu ini melibatkan seorang ahli parlimen daripada parti pembangkang, maka isu ini lebih meriah diperkatakan di media sosial sahaja. Kejadian yang hampir serupa pernah menimpa ke atas ahli parlimen Bukit Gelugor pada tahun 2009 lalu. Oleh itu, satu tindakan yang lebih berkesan perlu diambil oleh pihak yang berkenaan bagi menjamin keselamatan setiap ahli parlimen terutamanya ketika mereka berada di kawasan parlimen. Ia selaras dengan usul yang diluluskan secara sebulat suara pada permulaan setiap sesi parlimen yang menjamin kebebasan dan perlindungan ke atas setiap ahli parlimen daripada sebarang anasir yang cuba melakukan kacau ganggu.

Pasir Salak memang cukup terkenal dengan darah kepahlawanannya. Di sanalah Birch, seorang penjajah British dibunuh. Namun demikian darah pahlawan yang masih mengalir di Pasir Salak tidak seharusnya dicemari dengan tindakan ala samseng dan gangsterisme yang mengaibkan. Kelak nanti kerana setitik nila habis rosak susu sebelanga.


Ustaz Zamani Berpindah Sekolah



Ustaz Mohd Zamani Ibrahim merupakan antara guru yang sememangnya tidak asing lagi di sekolah tempat saya bertugas. Selain seorang ustaz, beliau juga merupakan salahseorang warden asrama selama bertahun-tahun lamanya. Selain itu, beliau juga merupakan ketua warden sejak dua atau tiga tahun yang lalu. Beliau juga merupakan salah seorang guru disiplin yang tegas.


(Ustaz Zamani)


Setelah bertugas selama lebih kurang 16 tahun di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, akhirnya permohonan Ustaz Zamani untuk berpindah telah diterima. Beliau dan isterinya, Cikgu Maisarah, yang juga bertugas di sekolah yang sama akan mula bertugas di sekolah barunya pada awal Januari 2017. Ustaz Zamani merupakan anak Kelantan. Maka itu, beliau telah memohon untuk berpindah ke negeri asalnya iaitu kelantan. Khabarnya sekolah barunya nanti di Kota Bharu.

Selaku rakan sejawat, saya dan semua guru lain tidak dapat nafikan bahawa Ustaz Zamani merupakan seorang guru yang cukup baik, ringan tulang, mudah membantu rakan sejawat, mudah untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh murid seperti tidak hadir ke kelas tambahan walaupun pada hari yang beliau tidak bertughas selaku warden.

Antara perkara yang tidak mungkin saya lupakan ialah pada tahun 2005 di mana kami berdua harus menghadiri satu kursus di Kota Bharu, Kelantan. Oleh kerana Kelantan adalah negeri kelahirannya dan kursus itu pula diadakan seminggu sebelum sekolah bercuti, maka Ustaz Zamani telah mengambil keputusan untuk ke Kota Bharu dengan kereta persendirian sahaja. Beliau turut mempelawa saya untuk mengikutnya ke Kota Bharu. Sudah tentulah pelawaan sebegini tidak akansaya tolak.

Sewaktu di Kota Bharu, selain menghadiri setiap slot dalam kursus seperti yang telah dijadualkan, Ustaz Zamani turut membawa saya berjalan-jalan ke bandar Kota Bharu, ke rumah kakaknya di Kadok, membeli-belah sedikit di Pasar Siti Khadijah, makan-makan di Pantai Cahaya Bulan dan sebagainya. Boleh dikatakan semua kos yang terlibat ditanggung sepenuhnya oleh Ustaz Zamani kecuali membeli-belah sedikit di Pasar Siti Khadijah. Di akhir kursus, sebelum saya berlepas pulang ke Kl, saya bertanyakan jumlah wang yang harus saya kongsikan dengan beliau untuk perjalanan ke Kota Bharu. Beliau dengan selamba mengatakan tidak perlu bayar. Puas saya mendesak, beliau tetap istikamah dengan kata-katanya. Bukan sekadar kos perjalanan, ia turut merangkumi kos makan sewaktu dalam perjalanan. Agaknya setelah bosan dengan pertanyaan saya yang berulang, akhirnya Ustaz Zamani berkata, jangan tanya lagi.


(Ustaz Zamani dan saya)


Selain itu, seperkara lagi yang tidak dapat dinafikan ialah, Ustaz Zamani merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menghidupkan surau serta solat secara berjemaah di asrama. Dalam hal sebegini beliau memang bersikap tegas sebagaimana sepatutnya. Setiap kali menjelang bulan Ramadhan, Ustaz Zamani merupakan tonggak dalam pelaksanaan program ihya’ Ramadhan selain kerjasama daripada guru-guru pendidikan Islam yang lain. Beliau juga antara tenaga penting dalam menggerakkan pembinaan surau baru di sekolah.

Mulai tahun 2017, saya dan seluruh warga SMPK Setapak akan kehilangan seorang rakan sejawat yang cukup baik dari awal hingga akhir. Semoga hubungan silatul rahim yang sedia terjalin tidak akan putus walaupun antara kami akan dipisahkan oleh jarak dan masa. Semoga Allah akan melimpahkan barakah dan rahmat-Nya kepada Ustaz Zamani dan keluarganya buat selama-lamanya.


Friday, November 25, 2016

Selamat Bercuti Sekolah Hujung Tahun




Hari ini (25 November) merupakan hari terakhir persekolahan bagi tahun 2016. Mulai 26 November, sekolah akan bercuti selama 5 minggu sahaja. Sekolah akan dibuka semula pada 3 Januari 2017 nanti bagi kebanyakan negeri di Malaysia.

Kepada semua murid, diucapkan selamat bercuti hujung tahun. Gunakanlah masa cuti persekolahan ini secara berfaedah. Kepada rakan sejawat pula, selamat bercuti juga diucapkan. Namun begitu, kita tidaklah bercuti sebagaimana murid-murid kita bercuti. Ada ketikanya kita kena ke sekolah juga untuk menyelesaikan pelbagai tugasan lain dalam tempoh cuti hujung tahun seperti ini. Manakala pada minggu terakhir cuti persekolahan nanti, kita akan kembali semula ke sekolah untuk menghadiri pelbagai mesyuarat, menyiapkan pelbagai tugasan bagi memastikan hari pertama sekolah dibuka, murid sudah boleh belajar dan pelaksanaan PdP akan dapat dilakukan dengan sempurna.

Selamat bercuti semua!


Friday, November 4, 2016

1 November




Pada 1 November lalu, seluruh rakyat Malaysia telah beroleh habuan lagi. Antaranya ialah harga petrol yang naik sebanyak 15 sen bagi seliter. Selain itu, harga minyak masak (kecuali yang dibungkus) juga turut naik kerana subsidinya ditarik. Ia berlaku pada 1 November lalu. Nasib baiklah harga minyak atar belum naik lagi!

Kenaikan harga yang berlaku tanpa belas kasihan ini akan sentiasa mengingatkan saya kepada kenyataan seorang timbalan menteri tak berapa lama dahulu, iaitu katanya, “kerana GST harga akan turun”. Kenyataan tersebut diulanginya untuk kali kedua dengan berani (sebenarnya sombong). Untuk ke sekian kalinya, mari kita sama-sama dengar nada butir kata timbalan menteri berkenaan sebagai halwa telinga bersama seperti di bawah ini

Kenyataan Datuk Ahmad Maslan

Dalam keadaan harga barangan naik berterusan sekarang, apakah perasaan sang timbalan menteri berkenaan terutamanya dengan kenyataan yang pernah dihamburkannya suatu ketika dahulu! Atau, adakah beliau ini memang seorang individu yang tiada perasaan langsung! Kalau orang yang berperasaan waras, sudah tentulah rasa malu dan rasa aib yang teramat sangat menyelubungi benaknya.

Sebenarnya apa yang berlaku sekarang ialah, apabila harga barangan naik dan terus naik dan ditambah lagi dengan GST, yang turun ialah kuasa beli golongan marhaen.