Sunday, November 27, 2016

Ustaz Zamani Berpindah Sekolah



Ustaz Mohd Zamani Ibrahim merupakan antara guru yang sememangnya tidak asing lagi di sekolah tempat saya bertugas. Selain seorang ustaz, beliau juga merupakan salahseorang warden asrama selama bertahun-tahun lamanya. Selain itu, beliau juga merupakan ketua warden sejak dua atau tiga tahun yang lalu. Beliau juga merupakan salah seorang guru disiplin yang tegas.


(Ustaz Zamani)


Setelah bertugas selama lebih kurang 16 tahun di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, akhirnya permohonan Ustaz Zamani untuk berpindah telah diterima. Beliau dan isterinya, Cikgu Maisarah, yang juga bertugas di sekolah yang sama akan mula bertugas di sekolah barunya pada awal Januari 2017. Ustaz Zamani merupakan anak Kelantan. Maka itu, beliau telah memohon untuk berpindah ke negeri asalnya iaitu kelantan. Khabarnya sekolah barunya nanti di Kota Bharu.

Selaku rakan sejawat, saya dan semua guru lain tidak dapat nafikan bahawa Ustaz Zamani merupakan seorang guru yang cukup baik, ringan tulang, mudah membantu rakan sejawat, mudah untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh murid seperti tidak hadir ke kelas tambahan walaupun pada hari yang beliau tidak bertughas selaku warden.

Antara perkara yang tidak mungkin saya lupakan ialah pada tahun 2005 di mana kami berdua harus menghadiri satu kursus di Kota Bharu, Kelantan. Oleh kerana Kelantan adalah negeri kelahirannya dan kursus itu pula diadakan seminggu sebelum sekolah bercuti, maka Ustaz Zamani telah mengambil keputusan untuk ke Kota Bharu dengan kereta persendirian sahaja. Beliau turut mempelawa saya untuk mengikutnya ke Kota Bharu. Sudah tentulah pelawaan sebegini tidak akansaya tolak.

Sewaktu di Kota Bharu, selain menghadiri setiap slot dalam kursus seperti yang telah dijadualkan, Ustaz Zamani turut membawa saya berjalan-jalan ke bandar Kota Bharu, ke rumah kakaknya di Kadok, membeli-belah sedikit di Pasar Siti Khadijah, makan-makan di Pantai Cahaya Bulan dan sebagainya. Boleh dikatakan semua kos yang terlibat ditanggung sepenuhnya oleh Ustaz Zamani kecuali membeli-belah sedikit di Pasar Siti Khadijah. Di akhir kursus, sebelum saya berlepas pulang ke Kl, saya bertanyakan jumlah wang yang harus saya kongsikan dengan beliau untuk perjalanan ke Kota Bharu. Beliau dengan selamba mengatakan tidak perlu bayar. Puas saya mendesak, beliau tetap istikamah dengan kata-katanya. Bukan sekadar kos perjalanan, ia turut merangkumi kos makan sewaktu dalam perjalanan. Agaknya setelah bosan dengan pertanyaan saya yang berulang, akhirnya Ustaz Zamani berkata, jangan tanya lagi.


(Ustaz Zamani dan saya)


Selain itu, seperkara lagi yang tidak dapat dinafikan ialah, Ustaz Zamani merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menghidupkan surau serta solat secara berjemaah di asrama. Dalam hal sebegini beliau memang bersikap tegas sebagaimana sepatutnya. Setiap kali menjelang bulan Ramadhan, Ustaz Zamani merupakan tonggak dalam pelaksanaan program ihya’ Ramadhan selain kerjasama daripada guru-guru pendidikan Islam yang lain. Beliau juga antara tenaga penting dalam menggerakkan pembinaan surau baru di sekolah.

Mulai tahun 2017, saya dan seluruh warga SMPK Setapak akan kehilangan seorang rakan sejawat yang cukup baik dari awal hingga akhir. Semoga hubungan silatul rahim yang sedia terjalin tidak akan putus walaupun antara kami akan dipisahkan oleh jarak dan masa. Semoga Allah akan melimpahkan barakah dan rahmat-Nya kepada Ustaz Zamani dan keluarganya buat selama-lamanya.


No comments: