Tuesday, August 30, 2011

Jangan Keliru



Isu mengenai kenyataan Haji Muhammad Sabu tentang tragedi Bukit Kepong masih hangat. Selain ia telah dihangatkan oleh beberapa media arus perdana, kehangatan isu ini turut dirancakkan lagi dengan pelbagai ulasan menerusi pelbagai blog.

Dalam mengulas hal yang sama, saya ingin memetik kenyataan oleh Haji Muhammad Sabu yang telah dikeluarkan menerusi Harakah Daily sebagai berikut:



Bekas tentera jangan termakan dakyah Umno

Mohd Sabri Said
BUTTERWORTH, 29 Ogos: Sambutan Merdeka sudah menjadi perayaan Umno tidak lagi dirayakan sebagai sambutan terulung negara ekoran banyak fakta mengenainya diselewengkan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Ini, katanya dengan menafikan golongan yang bersama menentang penjajah sebaliknya hanya mengagungkan kepimpinan Perikatan dan Umno yang diiktiraf oleh penjajah.
Beliau ketika ditemui di majlis berbuka puasa di Surau Al Ghufron, Taman Kuala Bekah, Penaga semalam juga menafikan apa yang ditulis dalam media pro kerajaan kononnya beliau menghina pejuang negara dengan menyokong penganas dalam kopeni pasukan ke 4 Parti Komunis Malaya (PKM).
Baginya, sejarah sebenar tentang serangan terhadap tragedi Bukit Kepong telah diselewengkan apabila mengambarkan serangan dilakukan oleh PKM padahal ia diketuai oleh Muhamad Indera yang menentang polis yang dianggap bersekongkol dengan penjajah.
"Banyak fakta sejarah telah diselewengkan terhadap serangan Bukit Kepong sedangkan serangan sebenar diketuai oleh Mohamad Indera dengan puaknya yang tidak menyenangi penjajah atau polis yang menjadi alat penjajah," jelasnya yang hadir bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan rombongan untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan daif.
Menurutnya, akibat fakta yang tidak kena pada filem 'Bukit Kepong' arahan Jins Shamsuddin membuatkan ramai orang terkeliru apabila cerita sebenar diceritakan semula di khalayak ramai.
Apa yang diperkatakan memang betul sambungnya, sebab waktu itu negara bukan lagi merdeka, polis yang bertugas adalah polis yang bersekongkol dengan penjajah.
Golongan yang menyerang penjajah pukul ratanya dianggap komunis walhal ramai anak muda Melayu ketika itu tidak menyenangi golongan yang bersubahat dengan British.
Untuk menyokong komunis nyata tidak sama sekali kerana komunis itu sendiri telah hancur dan hanya menjadi pameran di muzium.
"Contohnya pandangan Imam Khomeini sendiri jelas tentang Komunis. Semasa hayatnya dia sendiri mengatakan blok komunis bakal tinggal kenangan dalam muzium. Hari ini benar-benar berlaku," katanya.
Sepatutnya nama seperti Pak Sako, Tok Janggut, Mak Kilau, Dato' Bahaman, Dr Burhanudin, Ahmad Boestamam dan orang yang seangkatan denganya diberikan penghormatan bukan sahaja nama-nama besar Umno sahaja.
Kepada bekas anggota tentera pula terangnya, usah termakan dakyah Umno yang cuba memburukkan namanya dengan menyifatkan beliau menghina pejuang negara.
"Saya tetap puji tentera selepas negara mencapai kemerdekaan kerana perjuangan mereka untuk mempertahankan maruah negara berbanding di era sebelum merdeka sebab polis ketika itu bekerja dengan penjajah," tegasnya.





Tanggapan yang mengatakan semua pihak yang bekerja dengan British adalah boneka atau tali barut British adalah salah sama sekali. Tidak semua orang yang bekerja dengan British di zaman prakemerdekaan adalah boneka atau tali barut British termasuklah pasukan polis yang mempertahankan Bukit Kepong pada Februari 1950. Selain itu, sebelum perang dunia kedua, golongan guru juga merupakan sebahagian kakitangan kerajaan dan gaji mereka dibayar oleh British. Walaupun golongan guru adalah kakitangan kerajaan yang bekerja dengan British, tetapi pada masa itu semangat nasionalisme dalam kalangan golongan guru antara yang menyerlah. Golongan sedemikian telah menyemarakkan semangat nasionalisme mereka antaranya dalam bentuk tulisan. Maka muncullah hasil tulisan yang berbau nasionalisme seperti novel yang telah dihasilkan oleh Harun Aminurashid (Harun Mohd Amin). Dengan erti kata lain, kita tidak harus membuat satu generaliisasi iaitu sesiapa sahaja yang bekerja dengan kerajaan (British) adalah boneka atau tali barut British.

Situasi yang hampir serupa juga berlaku pada hari ini. Tidak semua kakitangan kerajaan sekarang adalah boneka atau tali barut UMNO. Ramai juga tokoh-tokoh PAS hari ini merupakan kakitangan kerajaan yang pernah berkhidmat di bawah kerajaan Barisan Nasional suatu ketika dahulu. Antara mereka termasuklah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob (bekas guru), Datuk Dr. Harun Din, Ustaz Hassan Muhammad dan Ustaz Daud Iraqi (bekas pensyarah), bahkan Datuk Fadhil Mohd Noor (almarhum) juga pernah berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan di bawah Barisan Nasional. Adakah tokoh-tokoh di atas tali barut UMNO hanya semata-mata mereka kakitangan kerajaan (semasa mereka sedang dalam perkhidmatan)?

Di samping itu, dalam kalangan pegawai dan personel tentera hari ini juga didapati bukan semuanya terdiri daripada penyokong UMNO. Salah seorang bekas panglima angkatan tentera Malaysia (Tan Sri Mohd Sani Abd Gafur) kemudiannya merupakan penyokong PAS. Dalam pilihanraya umum 1999, calon PAS yang menentang Dato’ Seri Najib di Parlimen Pekan ialah Brigedier General (Bersara) Datuk Zakaria Dahlan, seorang bekas pegawai tinggi dalam angkatan tentera Malaysia.

Berdasarkan sedikit fakta yang saya bentangkan, jelas di sini bahawa tidak semua kakitangan kerajaan adalah boneka atau tali barut parti yang sedang memerintah. Walau bagaimanapun, tokoh-tokoh yang saya sebutkan di atas boleh dipuji kerana semasa mereka berada dalam perkhidmatan kerajaan, mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka secara profesional. Mereka dapat membezakan di antara kepentingan politik dengan kepentingan negara. Saya penuh yakin, bagi tookoh ketenteraan seperti Brigedier General (Bersara) Datuk Zakaria Dahlan atau Tan Sri Mohd Sani sendiri, tanggungjawab mereka adalah untuk mempertahankan negara dan bukannya parti politik tertentu.

Hal yang serupa juga berlaku semasa zaman prakemerdekaan. Tidak semua kakitangan kerajaan yang berkhidmat waktu itu adalah tali barut atau boneka British termasuklah pasukan keselamatan seperti pasukan polis atau tentera. Begitu juga, tidak semua golongan yang menentang British adalah pejuang. Penentangan pihak komunis di bawah Parti Komunis Malaya (PKM) sama sekali tidak boleh dianggap sebagai perjuangan. Bahkan penentangan yang dilakukan oleh PKM adalah merupakan penderhakaan terhadap ibu pertiwi (Tanah Melayu).

Seperkara lagi, adalah kesilapan besar bila kita cuba menyamakan pemberontakan PKM dengan perjuangan Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Datuk Maharaja Lela atau Penghulu Dol Said. Perjuangan tokoh di atas adalah untuk mempertahankan tanah air daripada dijajah, sedangkan pemberontakan PKM bertujuan untuk menubuhkan rejim komunis di Tanah Melayu.

Justeru bila ada pihak yang mendakwa pasukan polis yang mempertahankan balai polis Bukit Kepong adalah tali barut British semata-mata kerana mereka polis British merupakan kenyataan yang salah dan sangat tidak berhati-hati. Bolehkah Haji Muhammad Sabu membuktikan bahawa pasukan yang menyerang balai polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 bukan pasukan PKM? Adakah pihak-pihak berkenaan ingin mengatakan bahawa pasukan yang menyerang Bukit Kepong bukan PKM hanya semata-mata dalam pasukan tersebut ada orang Melayu yang bernama Mat Indera?

Selain itu, kenyataan oleh Imam Khomeni (almarhum) sama sekali tidak relevan dengan situasi yang ditempuh oleh Tanah Melayu pada dekad 40-an dan 50-an. Waktu itu, gerakan Komunisme sedang memuncak. Usaha-usaha global sedang giat dijalankan untuk menubuhkan rejim komunisme di seluruh dunia termasuklah di Tanah Melayu. Justeru, darurat telah diisytiharkan pada tahun 1948. Perisitiharan darurat adalah kerana ancaman komunis dan juga bertujuan untuk memudahkan pihak keselamatan untuk menentang PKM. Adakah mana-mana pihak dapat mengemukakan bukti bahawa fakta yang ada mengenai darurat adalah salah?

Seperkara lagi, tentu kita ingat dengan perjuangan oleh Lt. Adnan di Bukit Candu, Singapura. Beliau telah berjuang bersama-sama British dan di bawah panji-panji British untuk mempertahankan Tanah Melayu (termasuklah Singapura) dalam perang dunia kedua. Adakah kita ingin mengatakan bahawa Lt. Adnan juga boneka dan tali barut British hanya semata-mata beliau berjuang bersama-sama tentera British ketika itu? Sedangkan apa yang beliau dan anggota-anggotanya pertahankan adalah Tanah Melayu!

Sejarah pasukan keselamatan bukan bermula hanya selepas merdeka. Pasukan polis di Tanah Melayu telah ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1807. Manakala Raja Chulan pula telah menubuhkan rejemen askar Melayu pada tahun 1933. Perjuangan pasukan keselamatan kita telah pun bermula sejak sebelum merdeka lagi. Apa yang mereka pertahankan bukannya United Kingdom, tetapi Tanah Melayu. Saya tidak nafikan adakalanya pasukan keselamatan ini telah dipergunakan untuk mempertahankan kepentingan British di Tanah Melayu, tetapi perjuangan dan sumbangan pasukan berkenaan ke atas Tanah Melayu sama sekali tidak boleh kita ketepikan hanya semata-mata mereka bernaung di bawah panji-panji Union Jack pada waktu itu. Saya sangat berharap supaya ini bukan usaha awal untuk menghalalkan kepulangan Chin Peng di tanah air tercinta suatu hari nanti!!!

Oleh itu, janganlah kerana marahkan seekor dua nyamuk, habis kelambu dibakar. Membaca buku sejarah bukan macam baca novel. Beberapa teori pendidikan sejarah harus diaplikasikan sebelum satu-satu fakta itu diketengahkan, ini termasuklah teori Kaji Banding dan juga Anakromisme. Setiap fakta yang dikemukakan harus disaring secara hati-hati tanpa biast. Oleh itu, adalah suatu kesilapan besar apabila kita membuat satu generalisasi yang sangat umum apabila mengemukakan satu-satu fakta sejarah.

Salam dari Kuantan.

Salam Aidil Fitri



Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!
Walillahilhamd!




Setelah sebulan kita menjalani ibadah puasa, kini tiba pula satu lagi anugerah Allah buat para muslimin, iaitu kehadiran bulan Syawwal. Ia adalah anugerah kepada kejayaan kita mengharungi bulan puasa serta kejayaan kita dalam memanfaatkan semaksimumnya keberkatan bulan berkenaan.



Bersempena dengan kedatangan hari raya aidil fitri, saya mengucapkan selamat menyambut hari raya aidil fitri khususnya kepada kedua-dua ibu bapa saya, ibu mertua saya, seluruh kerabat, saudara-mara sama ada di sebelah saya mahupun di sebelah isteri saya.



Ucapan selamat hari raya juga saya tujukan kepada seluruh rakan setugas, anak-anak murid serta warga sekolah SMPK Setapak, Kuala Lumpur.

Ucapan selamat hari raya turut saya tujukan kepada pengikut (followers) serta seluruh pengunjung blog ini. Terima kasih di atas sokongan anda selama ini.



Saya juga ingin mengucapkan selamat hari raya kepada seluruh muslimin dan muslimat di mana jua berada.



Pada kesempatan ini saya sekeluarga menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas apa jua kesilapan, kesalahan atau kekhilafan yang telah kami lakukan selama ini, sama ada yang disengajakan atau tidak. Memanglah, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelombang, begitulah juga dengan saya sekeluarga.



Salam dari Kuantan.

Monday, August 29, 2011

Saya Sudah Dengar Petikan Ceramah Muhammad Sabu


Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada salah seorang pengunjung blog inni yang sudi mengemailkan petikan ucapan Muhammad Sabu dalam bentuk video. Sekali lagi berbanyak terima kasih saya ucapkan.



Setelah menerima email petikan ucapan yang penuh kontrovesi itu, saya terus mendengarnya beberapa kali. Berikut adalah apa yang dapat saya perkatakan mengenai isi ceramah yang telah disampaikan oleh Muhammad Sabu.

Intisari Ceramah

1. Pasukan polis yang mempertahankan Bukit Kepong adalah polis British;

2. Yang menyerang Bukit Kepong itu adalah pejuang kerajaan;

3. Mat Indera, ketua pasukan yang menyerang balai polis Bukit Keponng adalah orang Melayu;

4. Tok Janggut, sebelum beliau dihukum bunuh, British telah menghasut sultan Kelantan untuk mengisytiharkan Tok Janggut adalah penderhaka;

5. Pegawai British jadi pejuang kemerdekaan seperti Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman;

6. Siapa yang lawan British dikatakan pengganas dan jahat seperti Rasyid Maidin, Dr. Burhanuddin Al-Helmy ... ;

Pandangan Dan Ulasan Saya

1. Isttilah “polis British” yang digunakan kepada para anggota polis yang mempertahankan Bukit Kepong bagi saya tidak tepat. Kebanyakan mereka adalah polis yang berbangsa Melayu. Apa yang mereka pertahankan ialah Bukit Kepong, yang terletak di Tanah Melayu dan bukannya London atau mana-mana bahagian United Kingdom. Walaupun gaji para anggota berkenaan dibayar oleh British, tetapi sumber kewangan untuk membayar gaji mereka adalah sumber dari Tanah Melayu. Di sini, Muhammad Sabu ternyata telah tersalah faham mengenai istilah “polis British”.

2. Muhammad Sabu juga membuat kesilapan yang sangat besar bila mendakwa kononnya yang menyerang Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan. Kita harus faham, tujuan utama serangan ke atas Bukit Kepong bukan untuk memerdekakan Tanah Melayu, sebaliknya ia lebih bertujuan untuk menubuhkan sebuah negara yang berideologikan komunisme. Memang benar di antara yang menyertai serangan ke atas bukit Kepong ialah Mat Indera, tetapi yang jelas di sini ialah pihak penyerang adalah komunis totok. Beberapa minggu sebelum peristiwa Bukit Kepong, pihak komunis telah membuat rancangan untuk menyerang balai polis Pagoh. Rancangan komunis tersebut telah dapat dihidu oleh pasukan keselamatan, lalu pasukan keselamatan telah membuat rancangan balas untuk menyerang komunis lebih dahulu. Rancangan pasukan keselamatan telah berjaya dilaksanakan dan dalam pertempuran tersebut hampir 30 pengganas komunis berjaya dibunuuh dan ditawan. Ekoran dari kekalahan itulah maka PKM telah membuat rancangan untuk menyerang sasaran pasukan keselamatan yang lemah dan terpencil. Balai polis Bukit Kepong merupakan antara sasaran PKM waktu itu. Adakah Muhammad Sabu mengetahui sejarah ini secara terperinci?

3. Mengenai Dato’ Onn pula, pihak British telah bekerjasama dengan beliau ketika beliau menjadi Yang Di-Pertua UMNO. Walau bagaimanapun, apabila Dato’ Onn meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti politik yang lain, British tidak lagi beekerjasama dengan Dato’ Onn. Antara sebabnya ialah kerana parti politik yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn tidak mendapat sokongan majoriti daripada penduduk Tanah Melayu. Kalau tidak silap, Dato’ Onn sendiri telah tewas dalam pilihanraya untuk Majlis Perundangan Persekutuan yang telah diadakan pada 27 Julai 1955. Sebaliknya UMNO yang kemudiannya telah dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman Putra telah mendapat sokongan besar daripada orang Melayu. Sebab itulah UMNO dan Perikatan telah diberi kepercayaan untuk berunding dengan pihak British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Walaupun Dato’ Onn tidak lagi berada dalam UMNO, hubungan beliau dengan British tetap baik. Idea dan buah fikirannya tetap mendapat perhatian daripada UMNO, Perikatan mahupun British.

4. Dari satu segi, saya bersetuju dengan Muhammad Sabu iaitu siapa yang melawan British dianggap jahat dan pengganas khususnya oleh British sendiri. Tokoh-tokoh seperti Abu Bakar Al-Bakir atau Dr. Burhanuddin Al-Helmy dianggap jahat dan pengganas oleh British, walhal mereka bukanlah jahat dan penggnas sebagaimana yang didakwa. British melabelkan tokoh berkenaan sebagai pengganas untuk menghalalkan tindakan British yang menangkap dan memenjarakan tokoh berkenaan. Walau bagaimanapun, bukan semua tokoh yang menentang British tarafnya sama. Golongan seperti Rasyid Maidin, Mat Indera atau yang seumpama dengan mereka adalah penderhaka negara kerana berjuang atas landasan komunisme. Biarlah mereka yang tersalah pilih landasan untuk berjuang, jangan kita pula yang tersalah pilih tokoh untuk diagung-agungkan. Dalam hal ini, Muhammad Sabu kurang berhati-hati ketika menyaring dan menghalusi fakta sejarah untuk dijadikan modal dan bahan ketika berceramah.

Setelah menghalusi pelbagai kenyataan, dapatlah saya simpulkan, memang benar, kenyataan Muhammad Sabu boleh melukakan hati ramai orang. Muhammad Sabu telah membuka pintu yang seluas-luasnya terutamanya kepada musuh-musuh politiknya untuk membedil beliau semahu-mahunya. Kesilapan beliau ini sedikit sebanyak akan turut sama mengheret PAS kerana beliau adalah timbalan presidennya. Saya kurang bersetuju jika Muhammad Sabu sudah dilabelkan sebagai pengkhianat atau pengganas. Beliau baru di tahap membela pengganas dan belum lagi melakukan apa-apa keganasan. Bagi saya, apa yang boleh dilakukan oleh Muhammad Sabu buat masa ini ialah teliti semula ucapan beliau, kalau benar beliau telah tersalah, akui kesalahan yang telah dibuat. Jika perlu, mohonlah maaf secara terbuka. Barulah maruah dan kredibiliti beliau selaku pemimpin yang telah beliau calarkan sendiri akan dapat dipulihkan secara perlahan-lahan.

Terlajak perahu boleh diundur, kalau terlajak beri ceramah ....?

Saya sekadar mengutarakan pandangan semata-mata.

Salam dari Kuantan.

Kita Di Hujung Ramadhan




Wadda’ wadda’ ya Ramadhan;
Wadda’ wadda’ ya Ramadhan;
Wadda’ wadda’ ya Ramadhan;
Wadda’ ‘alaina bil ghufran.

“Selamat berpisah wahai Ramadhan;
Selamat berpisah wahai Ramadhan;
Selamat berpisah wahai Ramadhan;
Mudah-mudahan perpisahan kita dalam keampunan”.


(Demikianlah antara bait-bait syair yang sering kami sekeluarga alunkan di hari-hari terakhir bulan Ramadhan saban tahun).

Sedar tak sedar, kini umat Islam sudah pun tiba di hujung Ramadhan 1432 Hijrah. Ini bermakna, bulan yang penuh barakah ini sekali lagi akan meninggalkan kita buat kali ini. Sekali lagi juga, kita semua berada dalam situasi ketidakpastian sama ada akan bertemu lagi atau sebaliknya dengan Ramadhan pada tahun berikutnya. Pada saat-saat sebeginilah para malaikat akan menangisi pemergian bulan yang penuh dengan kemuliaan ini.



Berbahagialah bagi mereka yang telah berjaya memanfaatkan kehadiran bulan Ramadhan kali ini dengan amal ibadah yang sememangnya dituntut oleh Allah. Kerugianlah pula kepada mereka yang masih gagal memanfaatkan kehadiran Ramadhan kali ini dengan amalan yang seharusnya dilakukan. Sebagaimana yang dinyatakan tadi, tiada kepastian untuk kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang berikutnya sebagaimana yang mungkin telah dialami oleh mereka yang akrab dengan kita. Mereka sendiri tidak pernah mengetahui bahawa Ramadhan tahun lalu merupakan Ramadhan terakhir buat mereka. Adakah Ramadhan kali ini pula merupakan Ramadhan terakhir buat kita juga?



Amat beruntunglah bagi mereka yang telah mendapat kerahmatan, keampunan serta yang telah dilepaskan dari seksa neraka bersempena dengan Ramadhan kali ini. Beruntunglah bagi mereka yang telah melipatgandakan amal ibadah di sepanjang Ramadhan kali ini dengan penuh keikhlasan. Beruntunglah bagi mereka yang telah berjaya mengeratkan hubungan silatul rahim dalam bulan Ramadhan kali ini. Beruntunglah juga bagi para peniaga yang telah menjalankan perniagaan masing-masing dengan penuh keikhlasan, kebaikan serta yang lebih mementingkan keuntungan akhirat. Hanya mereka yang sengaja menempah kerugian sahaja yang akan rugi dengan kehadiran Ramadhan setiap tahun.



Kepada sekalian muslimin, jangan lupa tunaikan zakat fitrah yang telah diwajibkan ke atas kita sebelum solat sunat aidil fitri! Saya sekadar mengingatkan pada diri sendiri dan juga kepada mereka yang suka akan peringatan. Jika kita gagal menunaikannya, nescaya sia-sialah ibadah puasa kita.

Salam dari Kuantan.

Sunday, August 28, 2011

Antara Isi Ceramah Mad Sabu Dengan Laporan Utusan Malaysia



Pagi ini saya terbaca laporan mengenai ceramah Mad Sabu menerusi Utusan Online yang telah berlangsung di Tasik Gelugor pada 21 Ogos lalu. Menurut laporan akhbar berkenaan, Mad Sabu dalam ceramahnya telah mendakwa bahawa pasukan komunis yang menyerang balai polis Bukit Kepong pada bulan Februari 1950 lalu merupakan pejuang sebenar dan bukannya pasukan polis yang mempertahankan balai polis Bukit kepong. Di samping itu, menurut laporan akhbar itu lagi, Mad Sabu juga ada mendakwa bahawa Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman bukanlah pejuang kemerdekaan yang sebenar.



Selain daripada laporan berkenaan, beberapa orang pemimpin negara serta seorang waris anggota pasukan polis yang telah terbunuh dalam peristiwa serangan komunis berkenaan turut memberikan ulasan masing-masing juga menerusi akhbar berkenaan. Biasalah, ulasan yang diberikan sudah tentunya mengecam Mad Sabu.

Satu persoalan yang boleh kita fikirkan sama-sama ialah, Adakah pihak-pihak yang berkenaan mendengar sendiri isi kandungan ceramah yang telah disampaikan oleh Mad Sabu? Atau, adakah ulasan yang dibuat hanya semata-mata berdasarkan laporan daripada akhbar seperti Utusan Malaysia sahaja?

Berdasarkan bentuk ulasan yang diutarakan, seolah-olahnya ia dibuat hanya berdasarkan laporan daripada akhbar berkenaan semata-mata. Saya yakin, para pengulas termasuklah para menteri yang turut mengulas tidak pun mendengar sendiri apa yang diceramahkan oleh Mad Sabu. Jika ulasan yang dibuat itu berdasarkan laporan satu pihak sahaja, maka ulasan yang dilontarkan itu tidak berkualiti kerana ulasan sedemikian adalah ulasan berpihak (berpihak hanya kepada laporan akhbar berkenaan semata-mata).

Untuk membolehkan para pembaca membuat penilaian yang lebih adil, sepatutnya akhbar Utusan Malaysia selitkan sekali isi ceramah Mad Sabu secara video menerusi akhbar onlinenya. Jadi, selain daripada membaca apa yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan, golongan pembaca boleh mendengar sendiri apa yang diceramahkan oleh Mad Sabu. Setelah itu, barulah ulasan yang lebih adil dan lebih seimbang boleh dibuat. Hanya golongan yang berotak singkat sahaja yang akan tergopoh-gapah mengajukan ulasan walhal apa yang diulasnya itu hanya bersandarkan laporan daripada satu pihak sahaja. Dengan makna lain, check and balance mesti ada sebelum sebarang ulasan dibuat.

Seperkara lagi, kita seharusnya mendengar isi kandungan ceramah Mad Sabu secara keseluruhan dan bukannya yang diedit atau yang dipotong di mana. Setelah mendengarnya secara keseluruhan, baru kita akanmendapat kefahaman yang sebenar konteks dan isi yang ingin disampaikan oleh Mad Sabu.

Dalam masa yang agak terhad tadi, saya cuba juga mendapatkan maklumat menerusi internet mengenai kandungan ceramah Mad Sabu sebagaimana yang digembar-gemburkan, tetapi masih belum berjaya. Jadi, buat masa ini saya tidak boleh lagi melontarkan ulasan lanjut mengenai apa yang telah diceramahkan oleh Mad Sabu.

Pada masa yang sama, pendirian saya adalah jelas, pemberontakan komunis sama sekali tidak boleh disamakan dengan perjuangan membebaskan tanah air daripada penjajah. Sampai bila-bila pun, kita wajib menolak ideologi komunisme yang ingin dipaksakan ke atas negara kita. Ideologi komunis itu sendiri bertentangan dengan Islam di mana salah satu daripada unsurnya ialah tidak percaya kepada kewujudan Alllah. Kalau ada lebai atau haji yang menyokong pemberontakan komunis, maka lebai atau haji sedemikian adalah mereka yang bersubahat dengan golongan yang tidak percaya kepada Allah.



Selain itu, fakta sejarah dengan jelas membuktikan pemberontakan komunis telah banyak mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat dan negara ini. Sebab itulah juga, suatu ketika tak lama dahulu, bila ada pihak-pihak tertentu yang cuba berusaha untuk membawa Chin peng pulang semula ke tanah air, saya secara jelas telah melontarkan pandangan bahawa usaha sedemikian harus ditentang habis-habisan. Apa yang telah dilakukan oleh Chin Peng dan gerombolannya sama sekali tidak boleh dilupakan. Biar dia terus berada di tempat dia berada sekarang hingga ke akhir hayatnya.



Saya akan cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai isi ceramah yang telah disampaikan oleh Mad sabu terlebih dahulu sebelum saya melontarkan pandangan saya mengenai apa yang telah diceramahkan oleh beliau. Saya tidak mahu terikut-ikut dengan golongan tertentu yang tergopoh-gapah memberikan ulasan sedangkan saya sekadar mendapat maklumat dari satu pihak sahaja buat masa ini.

Salam dari Kuantan.

Saturday, August 27, 2011

Tazkirah Tuan Guru Nik Aziz Di Manis FM




Alhamdulillah, sebesar-besar puji dan kesyukuran ke hadhrat Allah, sekitar jam 1.00 tengah hari tadi, saya sekeluarga telah selamat tiba di Kuantan. Perjalanan selesa, walaupun berlaku juga kesesakan di tempat-tempat tertentu. Tahun ini, giliran saya sekeluarga berhari raya di Kuantan. Jika tiada aral, insha-Allah, pada raya kedua kami akan ke Melaka pula.



Sekitar jam 4.00 petang tadi, saya serta isteri keluar ke bandar. Sewaktu di dalam kereta, saya telah membuka radio dan terus mendengar siaran dari Manis FM. Radio Manis FM berpusat di Kota Bharu. Liputan siarannya pula turut mencakupi Kuantan dan sebahagian Terengganu.

Selepas azan asar dikumandangkan, Manis FM telah menyiarkan pula rancangan yang dinamakan Tazkirah Ramadhan. Penyampai tazkirah pula ialah Tuan Guru Haji Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan. Rasanya, rancangan ini adalah rancangan tajaan kerana ia mendapat kerjasama daripada PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan). Kandungan tazkirah pula ialah mengenai tanda-tanda kebesaran Allah. Menurut isi tazkirah berkenaan, kalimah “ayat” sebagaimana yang terdapat dalam Alquran mempunyai dua makna, pertama, ia membawa maksud ayat-ayat yang boleh dibaca (maqru’ah) seperti ayat Alquran. Kedua, ia juga bermaksud tanda yang boleh dilihat, seperti gunung, bukit, langit dan sebagainya.



Sebenarnya ini bukan kali pertama saya mendengar suara Tuan Guru Nik Aziz memberi tazkirah sedemikian menerusi siaran radio Manis FM. Isi kandungan tazkirah yang disampaikan menarik dan amat baik untuk dijadikan renungan dan panduan. Seperkara lagi, kandungan tazkirah yang disampaikan tiada unsur-unsur politik, satu unsur yang amat ditakuti dan digeruni oleh sesetengah pihak.

Seorang rakan dari Kelantan pernah memberitahu saya, walaupun Tuan Guru Haji Nik Aziz adalah menteri besar Kelantan, tetapi suara beliau tidak boleh sewenangnya dikumandangkan menerusi satu lagi siaran radio di negeri berkenaan. Berbeza dengan menteri besar di negeri-negeri tertentu di mana suara mereka boleh masuk dan dikumandangkan menerusi siaran radio di negeri masing-masing semahunya. Jadi bila ada siaran radio lain yang bersedia untuk mengumandangkan suara tokoh seperti Tuan Guru Nik Aziz, ia merupakan satu keberanian yang bersifat demokratik.

Kebiasaannya orang Melayu bila berpolitik memang tanpa batasan.

Salam dari Kuantan.

Friday, August 26, 2011

Selamat Bercuti



Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan bagi separuh pertama semester kedua setelah bersekolah selama 11 minggu. Murid-murid seluruh negara akan bercuti selama seminggu. Sesi persekolahan akan diteruskan semula pada 5 September nanti.

Rasanya cuti ini lebih bermakna kerana pada masa yang sama umat Islam akan menyambut hari raya aidil fitri. Justeru, kegembiraan yang tergambar dalam kalangan murid sekolah berkali ganda ceria.

Bagi murid yang tinggal di asrama, kegembiraan lebih menyerlah. Maklumlah setelah 11 minggu berjauhan dari keluarga dan sanak saudar, pulang ke kampung kali ini sememangnya merupakan saat-saat yang amat dinantikan. Saya boleh bercakap demikian kerana saya pernah mengalaminya suatu ketika dahulu.



Sebenarnya bukan sahaja murid-murid yang seronok, guru-guru juga turut sama tumpang gembira. Maklumlah setelah 11 minggu memerah minda mencari pelbagai kaedah dan strategi ke arah melaksana dan menjayakan pengajaran dan pembelajaran untuk masa depan anak-anak murid, kini tiba masanya untuk merehatkan minda buat seketika. Demikianlah.

Kepada anak-anak murid dan juga rakan-rakan setugas, saya ucapkan selamat bercuti. Kepada murid-murid tingkatan 5, jangan lupa, sebaik bermula semula persekolahan pada 5 September nanti, peperiksaan percubaan untuk SPM akan bermula. Jangan lupa untuk laksanakan ulang kaji secara tersusun.



Kepada semua, diucapkan selamat bercuti!

Thursday, August 25, 2011

Kemalangan Akibat Mercun: Satu Tragedi Tahunan




Saluran darah terputus akibat mercun
Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my


Pergelangan Nik Shazreen yang cedera akibat terkena mercun bola.
________________________________________
KOTA BHARU 8 Ogos – Seorang pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Oktober ini putus salah satu saluran darah di tangan kirinya selepas mercun bola yang dipasang remaja itu meletup sebelum sempat dibaling.
Dalam kejadian pukul 10 malam tadi, Nik Shazreen Nik Zaulaimi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas di sini mengalami kecederaan itu selepas terkena serpihan mercun.
Bapanya, Nik Zulaimi Mat Salleh, 45, ketika kejadian dia sedang minum di rumah selepas pulang menunaikan solat tarawih.
“Pada masa itu, anak saya sedang bermain mercun bersama beberapa rakannya di padang permainan kira-kira 50 meter dari rumah kami di Taman Anggerik, Kok Lanas.
“Tiba-tiba, anak saya pulang ke rumah dengan tangan kirinya berlumuran darah dan memberitahu tangannya terkena serpihan mercun bola yang dipasang.
“Katanya, mercun itu meletup terlalu cepat kerana sumbunya pendek sehingga tidak sempat dibaling jauh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Melihat keadaan kecederaan yang dialami, Nik Zulaimi segera menghantar anaknya ke Klinik Pulai Chondong sebelum dirujuk ke Hospital Machang.
Bagaimanapun, kecederaan anak kedua daripada lima adik beradik itu serius menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk mendapat rawatan lanjut.
“Saya pernah melarangnya bermain mercun sebelum ini tetapi tidak diendahkan, selepas apa yang berlaku, saya pasti dia sudah serik,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, mangsa dirujuk ke hospital kira-kira pukul 12.42 malam tadi sebelum menjalani pembedahan kira-kira pukul 9.30 pagi ini.



Petikan akhbar di atas merupakan antara beberapa petikan akhbar mengenai kemalangan akibat bermain mercun bagi tahun 2011 yang sempat saya kumpulkan.

Peribahasa Melayu ada berbunyi: “Malang tidak berbau”. Maksudnya lebih kurang, kejadian malang yang menimpa seseorang itu sukar hendak dikesan atau diramalkan. Walau bagaimanapun, dalam konteks malang akibat bermain mercun, peribahasa “malang tidak berbau” langsung tidak relevan. Semua orang mengetahui, bila bermain mercun, bukan sahaja ia membakar wang dan membazir masa, bahkan acapkali juga batang tubuh yang terlibat juga turut terbakar dan adakalanya sampai melecur dan ada juga yang sampai cacat. Justeru, agaknya antara peribahasa yang sesuai dikaitkan dengan kemalangan akibat mercun ialah sudah terantuk baru tengadah. Sudah terkena baru hendak menyesal, sayangnya penyesalan sedemikian sudah tidak berguna lagi.

Setiap tahun, khususnya semasa bulan Ramadhan dan tatkala menjelang hari raya aidil fitri, peristiwa kemalangan akibat mercun pasti akan terpampang di dada-dada akhbar. Peristiwa kemalangan serupa yang telah berlaku pada tahun-tahun lalu langsung tidak memberi kesan. Justeru kemalangan yang sama akan berulang untuk ke sekian kalinya pada tahun-tahun berikutnya. Mengapa fenomena sedemikian terus-terusan berlaku walaupun semua orang tahu (termasuk yang ditimpa malang) kesan dan akibat bermain mercun? Mengapa kemalangan bermain mercun yang berlaku sebelum ini masih gagal dijadikan iktibar?

Salah satu sebab berlakunya fenomena sedemikian ialah kerana bermain mercun sememangnya sesuatu yang menyeronokkan. Bukan sahaja golongan kanak-kanak yang merasai keseronokkannya, bahkan orang dewasa yang sepatutnya menjadi contoh dan ikutan juga turut teruja dengan keseronokan bermain mercun. Bila sudah terlalu seronok dan asyik, mereka yang terlibat dengan permainan mercun sengaja lupa akan kesan dan akibat yang akan ditanggung bila berlaku kemalangan. Bila sudah hilang sebatang dua jari, baru hendak insaf bahawa keseronokan sebelum ini hanya sekadar kegembiraan yang membawa padah.

Satu lagi sebabnya ialah di mana kita tidak dapat nafikan bahawa pada masa ini mercun masih mudah diperolehi. Memang benar bahawa pihak berkuasa telah pun mengharamkan penjualan dan bermain mercun. Penguatkuasaan peraturan juga terus dilaksanakan ke atas penjualan dan permainan mercun. Walau bagaimanapun, atas beberapa sebab, ia masih boleh didapati dengan agak mudah terutamanya di sesetengah tempat. Oleh kerana ia mudah diperolehi, maka tidak hairanlah jika bermain mercun masih aktif di tempat-tempat tertentu.

Di samping itu, kemahiran membuat mercun sendiri masih diwarisi oleh sebilangan orang. Ada orang yang memaklumkan kepada saya, bukannya susah sangat untuk buat mercun sendiri, ada belerang, minyak tanah, sumbu, buluh dan sebagainya dan dicampur sedikit kemahiran tertentu, mercun sendiri yang juga dikenali meriam buluh boleh dihasilkan. Waktu saya kecil dahulu, meriam buluh memang ada dimainkan di sekitar kampung saya. Walau bagaimanapun, pada masa ini saya jarang dengar lagi letupan meriam buluh di kampung saya kerana saya pun jarang berada di kampung dalam tempoh yang lama ketika bulan puasa.

Di samping itu juga, kesedaran yang maksimum mengenai akibat bermain mercun masih gagal dipupuk khususnya dalam kalangan kanak-kanak, golongan remaja atau dalam kalangan kanak-kanak berumur. Golongan sedemikian mungkin mengetahui kesan dan akibat buruk daripada bermain mercun, tetapi mereka masih tidak sedar kesan dan akibat buruk sedemikian juga berpotensi besar untuk menimpa diri mereka bila mereka bermain dengan mercun. Tanyalah kepada mangsa-mangsa kemalangan akibat mercun, mereka tahu akan kesan dan akibatnya, tetapi mereka tidak pernah menyangka yang mereka juga boleh ditimpa kemalangan sedemikian.

Adakalanya golongan kanak-kanak berumur turut sama menyertai kanak-kanak yang belum cukup umur bermain mercun. Bila kanak-kanak yang belum cukup umur mendapati golongan kanak-kanak berumur turut sama menyertai mereka, maka golongan kanak-kanak yang belum cukup umur tersebut akan merasakan apa yang sedang mereka lakukan bukanlah suatu kesalahan. Sebaliknya mereka akan merasakan ia merupakan suatu keseronokan pula. Tambahan lagi, sorakan daripada kanak-kanak yang berumur lebih gempita daripada kanak-kanak yang belum cukup umur terutamanya bila letupan berlaku bertalu-talu, maka bertalu-talu pulalah tempik sorak golongan kanak-kanak berumur.

Saya pasti, ramai yang mengetahui akibat dan kesan bila bermain mercun. Golongan kanak-kanak berumur tentu lebih arif mengenainya. Kalau sekadar melecur dan terbakar sikit-sikit, itu sudah jadi perkara biasa. Ada juga yang sampai hilang jari. Ada juga yang terpaksa pindah sekolah ke sekolah pendidikan khas seperti sekolah tempat saya bertugas kerana kehilangan deria penglihatan gara-gara terkena mercun. Ada juga yang terpaksa berhari raya di hospital. Kalau dia seorang saja yang terlibat tak mengapa juga, tapi bila seorang ahli keluarga yang degil masuk hospital gara-gara bermercun, ahli keluarga yang lain pun turut terbabit sama. Ada yang terpaksa bergilir-gilir menjaga mangsa mercun. Kalau bergilir-gilir menyambut tetamu yang berkunjung bersempena hari raya ada makna juga!

Bagi saya, selagi kesedaran maksimum mengenai akibat bermain mercun gagal dipupuk, maka selagi itulah tragedi tahunan seperti ini akan berulang setiap tahun.

Bila kanak-kanak belum cukup umur yang bermain mercun, kita boleh marah atau rotan mereka. Kalau kanak-kanak berumur pula yang galak bermain mercun, apa yang patut kita lakukan?

Wednesday, August 24, 2011

Bazar Ramadhan Danau Kota



Bila tiba bulan Ramadhan, antara yang mewarnainya ialah kewujudan tempat berniaga yang lebih dikenali sebagai bazar Ramadhan. Kalau di Kuala Lumpur, kewujudan bazar-bazar Ramadhan di sana sini merupakan fenomena biasa di bulan puasa. Pelbagai juadah ada dijual terutamanya untuk berbuka puasa. Jadi, bagi kumpulan bujang atau yang tidak sempat masak di rumah, bazar Ramadhan adalah tempat untuk mencari makanan bagi menjamu selera ketika berbuka. Ada juga yang membeli untuk keperluan sahur sekali.



Antara bazar Ramadhan yang agak kerap saya sekeluarga kunjungi ialah bazar Ramadhan di Danau Kota. Kebetulan, lokasinya pun tidaklah berapa jauh dari kediaman saya. Dari segi keistimewaan, bazar Ramadhan di sini sama sahaja dengan bazar-bazar Ramadhan di tempat lain. Mungkin, sedikit memudahkan ialah di bazar Ramadhan ini sedikit mudah untuk meletakkan kenderaan.



Beberapa tahun lalu, ada seorang artis terkenal turut berniaga di bazar Ramadhan ini. Kalau saya sebut namanya, tentu ramai yang mengenalinya. Artis berkenaan menjual beberapa jenis sup. Ada sup tulang; ada sup daging; ada sup ayam; mi sup dan mihun sup pun ada juga. Sup yang dijual oleh artis ini memang ada keistimewaannya yang tersendiri. Rasanya sungguh enak dan begitu menyelerakan. Waktu itu, setiap kali saya mengunjungi bazar Ramadhan Danau Kota, saya pasti membeli sup yang beliau jaja. Kata orang, kalau kita makan satu jenis makanan beberapa kali, kita akan jadi jemu, tetapi tidak pula dengan sup jajaan artis berkenaan.

Sekali peristiwa, semasa saya sedang membeli sup jualannya, tiba-tiba artis berkenaan bertanya saya: “Kerja di mana bang?” Saya menjawab: “Dulu ingat nak jadi pelakon, tapi apa nak buat, tak ada bakat.” Artis berkenaan berkata pula: “Perli ke!”



Hari ini, saya sekeluarga masih lagi mengunjungi bazar Ramadhan Danau Kota, tapi tidaklah sekerap seperti sebelumnya. Rasa ingin menjamu selera dengan sup bikinan artis berkenaan tetap segar, tapi artis berkenaan sudah dua tahun tidak lagi berniaga di bazar Ramadhan Danau Kota. Saya sendiri tak pasti di bazar Ramadhan mana beliau berniaga kali ini.


Sunday, August 21, 2011

Majlis Berbuka Puasa Anjuran PERTIS Pusat



Semalam (20 Ogos), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah menganjurkan majlis berbuka puasa. Ia juga merupakan sebahagian daripada program Ihya Ramadhan (menghidupkan bulan Ramadhan) yang juga merupakan program tahunan PERTIS. Program Ihya Ramadhan tahun ini turut mendapat sokongan padu daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan juga daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sekitar 200 tetamu jemputan, para pegawai JAWI serta ahli-ahli PERTIS telah menghadiri majlis berkenaan. Majlis telah berlangsung di sekitar Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.



Majlis semalam telah dimulakan dengan pertandingan kuiz agama. Selepas solat asar, ia diteruskan lagi dengan ceramah agama. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Zakaria Talib dari Negeri Sembilan.





Sekitar jam 6.00 petang, majlis perasmian telah dijalankan. Tetamu utama untuk majlis perasmian kali ini ialah Yang Berbahagia Datuk Haji Wan Muhammad bin Datuk Sheikh Abdul Aziz, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Turut sama hadir ialah Ustaz Haji Omar Said, Timbalan Pengarah Operasi JAWI.



Setelah selesai alu-aluan daripada pengerusi majlis, tampil pula Saudara Abdul Majid Mohd Yusuf untuk memperdengarkan alunan bacan ayat-ayat suci Alquran. Abdul Majid merupakan salah seorang pelajar yang sedang belajar di Darul Quran, JAKIM. Saya kira, tentunya Datuk Haji Wan Muhammad merasa gembira dengan penampilan Abdul Majid. Beliau (Datuk Wan) merupakan antara orang yang telah bekerja keras bagi memastikan golongan cacat penglihatan yang layak mendapat peluang untuk meneruskan pengajian di Darul Quran beberapa tahun lalu.



Dalam ucapan alu-aluan, saya selaku Yang Di-Pertua PERTIS telah mengutarakan sebab Datuk Haji Wan Muhammad diundang sebagai tetamu utama walaupun kini beliau hanyalah sekadar bekas Ketua Pengarah JAKIM. Bagi seluruh warga PERTIS, keprihatinan Datuk Haji Wan Muhammad kepada PERTIS terutamanya semasa berjawatan sebagai Ketua Pengarah di JAKIM tiada tolok bandingnya dan tidak mungkin dilupakan. Jasa beliau akan sentiasa tersemat utuh dan kekal dalam ingatan kami sampai bila-bila. Datuk Haji Wan Muhammad sentiasa mencarikan peluang supaya PERTIS berupaya bergerak maju untuk kepentingan para ahlinya. Setiap kali beliau diundang untuk menghadiri majlis-majlis anjuran PERTIS, selagi berkeupayaan beliau tidak pernah menghampakan persatuan ini. Oleh itu, sewajarnyalah Datuk Haji Wan Muhammad dikenang dan diingati walaupun kini beliau bukan lagi mempunyai apa-apa jawatan dalam perkhidmatan awam, khususnya di JAKIM. Bagi saya dan seluruh warga PERTIS, hubungan ukhwah dan silaturahim khususnya dengan beliau sama sekali tidak semata-mata hanya kerana beliau berjawatan. Demikianlah.



Dalam ucapan balasnya, Datuk Haji Wan Muhammad mengucapkan berbanyak terima kasih kepada PERTIS kerana masih mengingati beliau walaupun kini beliau bukan lagi berjawatan Ketua Pengarah. Beliau turut merasa terharu bila mendapat undangan untuk merasmikan majlis ini. Beliau juga turut berharap agar hubungan yang sedia ada akan dapat dikekalkan sampai bila-bila. Beliau juga turut berpesan kepada hadirin supaya jadilah insan yang sentiasa mencari peluang dan bukan sekadr menunggu peluang kalau hendak membuat kebajikan.







Setelah selesai Datuk Wan memberikan ucapan, upacara penyampaian hadiah dan cendera mata pula diadakan. Sekali lagi Datuk Wan telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan upacara berkenaan. Para penerima hadiah dan cendera mata terdiri daripada para pemenang pertandingan kuiz serta pegawai-pegawai pertandingan.



Setelah selesai, para tetamu jemputan serta hadirin mula bergerak ke kafetaria MAB bagi persediaan berbuka puasa. Saya duduk semeja dengan Datuk Wan dan Ustaz Omar Said. Selain itu, Cikgu Jais, Cikgu Radzali serta 3 orang penuntut dari Darul Quran turut semeja. Apa yang menarik perhatian saya ialah, ketika berbuka, Datuk Wan sendiri yang melayan 3 penuntut Darul Quran ketika makan. Ini termasuklah membubuhkan nasi, lauk, air minum serta sering bertanya apa yang mereka perlukan lagi secara berulang. Dalam diam, saya sangat mengagumi sifat rendah diri yang dipunyai Datuk Wan. Rasa-rasanya saya yang masih tak punya apa-apa jawatan ini pun masih jauh lagi untuk bersifat semulia itu sebagaimana beliau.



Bagi saya, menu yang dihidangkan amat memuaskan dan amat menyelerakan. Makanan yang dihidangkan pula amat mencukupi. Rasa-rasanya tiada siapa yang tak cukup makan! Terima kasih banyak-banyak kepada pihak JAWI yang sudi menaja makanan dalam majlis berbuka puasa kali ini.



Selesai berbuka, kami bergerak pula ke surau yang letaknya di tingkat 3. Datuk Wan dan saya berjalan bersama-sama ke lokasi solat. Selesai solat maghrib, barulah Datuk Wan serta Ustaz Haji Omar Said meminta diri. Mengikut jadual, mereka akan bersolat tarawih di tempat lain pula. Di sini, saya bagi pihak PERTIS sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Datuk Wan Muhammad serta Ustaz Haji Omar Said di atas kesudian menghadiri majlis berbuka puasa anjuran persatuan ini. Semoga kita akan dipertemukan Allah pada ketika yang lain pula, insha-Allah.





Acara diteruskan lagi dengan solat isya dan solat sunat tarawih secara berjemaah. Selesai solat sunat witir, tazkirah pula diadakan. Sebelum bersurai untuk sesi malam, moreh pula diadakan.



Di sini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja keras untuk menjayakan majlis pada kali ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada seluruh ahli PERTIS yang telah menghadiri program kali ini. Sokongan anda semua sebenarnya yang telah memeriahkan majlis ini.

Saya juga baru tahu, rupa-rupanya Datuk Haji Wan Muhammad juga turut pernah mengunjungi dan membaca blog ini! Alhamdulillah dan terima kasih.

Ramadhan Dan Kenangan



Kini dua pertiga daripada Ramadhan sudah bersama kita. Beruntunglah bagi mereka yang benar-benar sedang memanfaatkan kehadiran bulan yang penuh barakah ini. Masih tidak rugi bagi sesiapa yang baru hendak memulakan kayuhan ibadah bersempena dengan kedatangannya. Akan rugilah orang yang mensia-siakan ketibaan bulan yang sememangnya telah diperuntukkan untuk umat Nabi Muhammad.



Bagi saya, kehadiran Ramadhan setiap tahun tentunya mempunyai kenangan tersendiri yang telah berlaku dalam hidup saya pada masa lalu. Sebenarnya saya mula berpuasa dalam erti kata yang sebenar ketika saya berusia 7 tahun. Sebelum berusia sedemikian, saya berpuasa juga tapi kadang penuh, kebanyakannya setengah hari sahaja. Begitulah di zaman kanak-kanak. Namun demikian, ibadah berpuasa tetap menjadi latihan ketika datangnya bulan Ramadhan seawal saya berusia 5 tahun lagi. Demikianlah.

Walaupun saya mula berpuasa dalam keadaan sebenar ketika berusia 7 tahun, tetapi puasa saya pada tahun berkenaan tidak penuh. Masih segar dalam ingatan saya, pada tahun tersebut saya dapat berpuasa penuh sebanyak 23 hari sahaja. Selebihnya saya hanya berpuasa setengah hari sahaja. Ada sekali peristiwa, saya terpaksa membatalkan puasa saya di hadapan ibu saya kerana beliau menemui saya sedang makan biskut pada waktu tengah hari. Saya lupa, bukan sahaja Tuhan melihat perbuatan keji saya itu, bahkan Dia memperlihatkannya pula kepada ibu saya. Oleh kerana peristiwa tersebut mendatangkan kesan yang begitu mendalam pada diri saya, maka itulah juga sehingga ke hari ini pun peristiwa “malang” masih segar dalam ingatan.

Ketika saya di sekolah rendah (SKPK Princess Elizabeth, Johor Baru), puasa saya lebih teratur. Maklumlah, kesempatan untuk mencuri-curi makan boleh dikatakan tidak ada. Lagipun peristiwa saya ditangkap makan biskut oleh ibu saya sebelumnya sentiasa membentengi saya daripada cuba curi-curi makan ketika berpuasa. Demikianlah mendalamnya didikan yang telah ditarbiahkan oleh ibu saya kepada saya walaupun ketika itu saya masih kecil lagi. Satu keistimewaan bagi sesiapa di sekitar Bandaraya Johor Baru ketika itu ialah, setiap kali masuk waktu berbuka, sedas bedilan meriam akan dilepaskan. Bergema bunyinya dan boleh didengar dengan jelas di SKPK Princess Elizabeth.



Ketika saya di sekolah rendah juga, waktu untuk kami bersahur ialah pada sekitar jam 2 pagi. Selepas makan, kami akan tidur semula hingga pagi. Saya sedikit hairan, mengapa waktu sahur (ketika itu) jam 2 pagi? Mengapa tidak dilewatkan lagi, jam 4 pagi umpamanya? Daripada maklumat salah seorang guru ketika itu, saya dapat tahu, memang tahun-tahun sebelumnya waktu sahur ialah sekitar jam 4 pagi. Walau bagaimanapun, ada segelintir murid yang agak nakal sedikit waktu itu, bukan sahaja mereka tidak tidur semula selepas makan sahur, bahkan ada di antara mereka yang sampai main bola sepak selepas sahur. Perkara sebegini memanglah agak menyusahkan kakitangan sokongan sekolah yang bertugas. Akhirnya, untuk membendung masalah sedemikian, maka itulah waktu makan sahur ketika itu telah diubah kepada jam 2 pagi. Jadi, selepas sahur, memang kami tiada pilihan lain selain tidur semula. Saya tidak pastilah pula pada hari ini jam berapa pula waktu sahur bagi murid-murid di sekolah berkenaan. (Kisah mengenai bagaimana murid cacat penglihatan bermain bola sepak ada saya postingkan menerusi blog ini pada hujung tahun 2008).



Sewaktu di sekolah rendah juga, adakalanya bagi murid-murid yang dapat berpuasa penuh akan diberikan ganjaran. Pada masa itu, ganjaran yang popular ialah wang. Saya masih ingat lagi, Cikgu Salmah merupakan guru yang rajin memberikan ganjaran sedemikian. Bagi murid yang dapat berpuasa penuh akandapat 50 sen. Masa itu,jumlah wang sebanyak itu bagi peringkat kanak-kanak pula memang terasa besar. Saya pernah mendapat ganjaran sebanyak yang sepatutnya tapi bukan dalam semua tahun.

Semasa berbuka puasa pula, kami akan makan buah tamar dan kuih sekeping dua serta minum air manis sebaik sahaja masuk waktu berbuka. Setelah itu, kami akan solat maghrib. Selepas solat maghrib, baru dihidangkan nasi. Bagi saya, cara sebegini lebih teratur dan lebih mudah untuk mengerjakan solat maghrib.

Saya masih ingat lagi, adakalanya dalam bulan puasa, ramai juga yang sakit. Bila sakit, ada “lesen” untuk berbuka. Cakap sahaja pada kakitangan asrama: “Kak, saya sakit, rasanya tak larat nak puasa”. Kakitangan asrama akan menjawab: “Kalau tak larat, berbukalah”. Sebab itulah juga saya tidak pernah mendapat ganjaran kerana berpuasa penuh setiap tahun! Mama Haikal pun lebih kurang juga.

Saya serta rakan-rakan yang lain sudah pun didedahkan dengan ibadat solat sunat tarawih sejak di peringkat sekolah rendah lagi. Cikgu Sulaiman Shafie (Allahyarham) akan datang ke sekolah pada setiap malam Ramadhan dan seterusnya akan menjadi imam kepada kami bermula dengan solat isya hinggalah selesai solat sunat witir. Waktu itu, kami mengerjakan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat dan dicampur dengan witir 3 rakaat. Tiada rungutan kerana mengerjakan solat dengan rakaat yang sebanyak itu. Manakala bilal untuk tarawaih pula akan dipilih dalam kalangan murid-murid yang senior. Saya pernah diberi kepercayaan oleh Cikgu Sulaiman untuk menjadi bilal ketika saya di darjah 5. Sampai bila-bila pun, saya tetap mengakui bahawa suasana solat sunat tarawih semasa di sekolah rendah merupakan antara yang paling meriah dan merupakan sesuatu yang paling manis dan indah dalam hidup saya.

Untuk pendidikan menengah pula, saya telah berpindah ke KL. Waktu itu, saya bersekolah di St. John’s Institution, tetapi saya tinggal di asrama SMPK Setapak. Demikianlah yang saya lalui dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6 atas. Di peringkat sekolah menengah, rasanya ibadah puasa semakin mantap. Namun begitu, terdapat sedikit sebanyak perbezaan khususnya dari sudut suasana. Semasa saya di tingkatan 1 dan 2, saya bersekolah dalam sesi petang. Jadi, bila datang bulan puasa, terasa juga keletihannya. Keadaan lebih mencabar semasa saya di tingkatan 1. Sudahlah bersekolah sesi petang, kenderaan asrama (SMPK Setapak) pula rosak sampai hampir 10 bulan. Tempoh tersebut turut merangkumi bulan puasa. Dalam tempoh kenderaan rosak, saya serta rakan-rakan lain yang bersekolah luar, terpaksa pergi dan balik sekolah dengan menaiki kenderaan awam. Bayangkan, bila bulan puasa, sudahlah keletihan bila bersekolah petang, kena balik ke asrama pula dengan kenderaan awam. Bila balik dari sekolah pada waktu petang, saya terpaksa berebut dengan orang ramai untuk menaiki bas. Kalau penumpang bas yang lain kasihan, saya akan dapat tempat duduk. Kalau tidak, saya berdiri sahaja dari Lebuh Ampang sampai hentian bas berhampiran asrama tempat saya tinggal. Walaupun agak perit ketika itu, tapi kesannya tetap ada. Setidak-tidaknya, saya dan rakan-rakan senasib waktu itu telah melalui satu tarbiah bukan dalam keadaan dimanjakan.

Semasa di peringkat sekolah menengah, solat sunat tarawih turut dilaksanakan, tetapi kali ini ia dilaksanakan sepenuhnya oleh para penghuni asrama. Dari imam, bilal hinggalah maamum, semuanya penghuni asrama belaka. Kami mengerjakan solat sunat tarawih sebanyak 8 rakaat sahaja. Mulanya terasa ganjil juga, maklumlah dari 20 rakaat turun merudum kepada hanya 8 rakaat sahaja. Kata orang tua-tua, alah bisa tegal biasa. Hari ini, terasa pelik pula kalau buat solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat. Berbeza semasa di sekolah rendah, waktu sahur di SMPK Setapak ketika itu ialah pada jam 4.30 pagi.

Setiap kali bulan Ramadhan, Persatuan Pelajar Islam (PPI) St. John’s Institution sering menganjurkan majlis berbuka puasa di sekolah. Sekurang-kurangnya sehari dalam sebulan. Setelah saya memasuki sesi pagi waktu persekolahan iaitu di tingkatan 3 dan ke atas, boleh dikatakan hampir setiap tahun saya tidak melepaskan peluang untuk menghadiri majlis berkenaan. Untuk itu, Ustaz Haji Ahmad Hussein akan menulis surat kepada warden asrama dengan memaklumkan mengenai majlis berkenaan serta meminta pelepasan untuk saya serta beberapa orang rakan lain bagi menyertai majlis tersebut. Seingat saya, surat berkenaan tidak pernah menghampakan. Selepas menghadiri majlis berbuka di sekolah, saya serta beberapa rakan akan ke Masjid Jamik Jalan Tun Perak untuk solat isya dan seterusnya bersolat tarawih. Ketika inilah saya mula terdedah dengan solat tarawih di luar asrama serta majlis moreh yang diadakan selepas selesai solat tarawih. Saya akan tiba semula di asrama sekitar jam 11 malam. Bila warden asrama bertanya sebab lewat tiba semula di asrama, saya berterus-terang sahaja. Warden tidak berkata apa-apa. Tahun berikutnya bila surat yang sama ditulis, saya akan mendapat pelepasan seperti biasa. Begitulah.

Bila saya tamat pengajian dari Universiti Malaya (UM), perubahan telah mula berlaku dalam kehidupan saya. Sebelum ini, saya banyak menghabiskan masa dengan kehidupan di asrama (termasuklah semasa menuntut di UM). Setelah tamat pengajian tinggi, saya mula belajar hidup sendiri. Dengan hasrat untuk tidak mahu menyusahkan keluarga, saya telah memilih untuk terus tinggal di KL. Waktu itu, saya masih belum lagi bertugas selaku pendidik seperti hari ini. Oleh itu, makan, minum dan tempat tinggal kena uruskan sendiri.



Perubahan cara dan persekitaran hidup sedikit sebanyak turut membawa perubahan kepada bulan Ramadhan yang saya lalui. Pada bulan November 1992, saya mula menjadi warga Brickfields. Bila tiba waktu berbuka, saya serta rakan-rakan yang lain akan mencari gerai makan yang sesuai untuk berbuka. Antara gerai yang menjadi tumpuan waktu itu termasuklah gerai Hamid, gerai Kak Fauziah dan juga gerai Zul (gerai Mahmud). Ada ketikanya, gerai Hamid akan beroperasi selama 24 jam sehari dalam bulan Ramadhan. Gerai berkenaan hanya akan tutup pada hari Ahad sahaja. Jadi ia sedikit sebanyak telah mengurangkan masalah kami yang bujang khususnya untuk mencari tempat bersahur. Berbuka puasa dan bersahur dengan rakan-rakan ada kemeriahannya yang tersendiri. Masing-masing dengan cara mereka sendiri ketika berbuka mahupun bersahur. Ada yang makan sedikit, ada yang makan banyak, ada yang makan alah kadar. Oleh kerana makan di gerai, jenis makanannya pula beraneka. Hanya kemampuan duit dan nafsu makan yang akan menentukan jenis dan kuantiti makanan yang terhidang ketika berbuka dan juga bersahur.

Oleh kerana makan dan minum kena cari sendiri dan tidak lagi terhidang sebagaimana di asrama sewaktu zaman persekolahan dan di kolej kediaman semasa di UM, maka ada hari-harinya nasib saya tidaklah sebaik mana. Ada masanya, terutamanya hari minggu, boleh dikatakan semua gerai di sekitar Brickfields akan tutup. Kalau ada pun yang buka pasti cepat habis kerana lebih dahulu telah diserbu oleh pelanggan yang datang lebih awal. Untuk mengatasi masalah sedemikian dan sebagai persediaan sahur, saya akan membeli makanan setelah selesai solat sunat tarawih. Makanan tersebut akan saya simpan untuk dimakan sewaktu sahur. Jadi, bila tiba waktu sahur, makanan tersebut telah sejuk. Sejuk pun sejuklah. Saya makan dan telan juga sewaktu bersahur. Tatkala inilah saya akan teringat kembali sewaktu tinggal di asrama sebelumnya. Ada kalanya, bila tidak sempat membeli makanan, saya akan makan buah kurma sahaja untuk sahur. Jumlah buah kurma yang saya telan bukannya sebiji dua, ada kalanya sampai sekitar 30 biji. Rupa-rupanya ia lebih dari mencukupi daripada sekadar mengalas perut.

Solat tarawih pula dilakukan bersama jemaah lain di surau Kampung Katijah (waktu itu). Oleh kerana surau berkenaan diuruskan oleh golongan mamak, maka imamnya juga terdiri daripada golongan berkenaan. Bukanlah ada masalah apa pun, tapi kalau baca Alfatihah dan surah sewaktu solat, masha-Allah, laju macam kereta api ekspres.

Ada kalanya, saya dan seorang dua rakan lain akan berbuka puasa di masjid-masjid tertentu disekitar Kuala Lumpur. Waktu itu, saya agak arif masjid mana yang mewah ketika berbuka dan untuk moreh. Boleh dikatakan, bila tiba bulan Ramadhan, bagi golongan bujang dan musafir di sekitar KL, ia juga merupakan masa untuk berjimat cermat. Maklumlah, setiap hari boleh menikmati juadah berbuka dan moreh secara percuma. Pilih sahaja masjid yang mana satu.

Seperkara yang mungkin tidak luput dari ingatan saya ialah, suatu ketika beberapa rakan telah mencadangkan supaya rumah sewaan saya dijadikan tempat untuk solat isya dan solat sunat tarawih di sepanjang Ramadhan. Mulanya saya teragak-agak untuk menerima cadangan berkenaan. Namun begitu, setelah berfikir dan mendapat persetujuan daripada rakan-rakan serumah yang lain termasuklah Cikgu Jais, akhirnya saya bersetuju. Maka untuk sepanjang Ramadhan beberapa tahun, rumah sewaan kami jadi tempat saya serta beberapa rakan lain mengerjakan solat isya dan solat sunat tarawih. Antara jemaah yang paling setia termasuklah Saudara Zainal Abidin, Hafiz Chali, Muhammad Mahmud (Allahyarham), Kaspan Adnan, Jamil Bustam, Mohd Rosmadi serta beberapa rakan yang lain.

Bila saya memasuki alam berumah tangga, sekali lagi perubahan drastik berlaku dalam kehidupan yang saya jalani. Bulan Ramadhan yang saya lalui paling terurus, termasuklah waktu berbuka dan bersahur. Saya tidak lagi sekadar telan buah kurma atau makan sup sejuk. Maha benarlah sebagaimana sabda junjungan yang mulia, salah satu daripada saat yang menggembirakan bagi orang yang berpuasa ialah ketika waktu berbuka, selain daripada ketika bertemu dengan Tuhan di akhirat kelak. Bahkan kegembiraan sewaktu berbuka akan berganda-ganda bilamana ia turut disertai oleh isteri dan anak tersayang.

Setiap kali Ramadhan tiba, kenangan lalu pasti datang mengimbas. Sesungguhnya suka duka masa lampau banyak mempengaruhi cara dan corak kehidupan yang sedang saya jalani masa kini. Walaupun yang telah berlalu itu tidak akan kembali lagi, tetapi kita boleh jadikan apa yang telah berlaku sebagai pedoman tatkala meniti hari-hari yang mendatang.

Saturday, August 20, 2011

Larangan Membaca Alquran Dengan Pembesar Suara Sebelum Waktu Subuh



Baru-baru ini, negara telah dihangatkan dengan berita mengenai larangan membaca Alquran sebelum subuh dengan menggunakan pembesar suara di Pulau Pinang. Menurut sumber daripada kerajaan negeri Pulau Pinang, keputusan berkenaan tidak dipengeruhi oleh kepimpinan kerajaan negeri. Manakala pihak mufti Pulau Pinang pula ada mengeluarkan kenyataan beberapa hari lepas bahawa larangan berkenaan bukannya fatwa atau hukum, sebaliknya ia sekadar nasihat semata-mata.

Ekoran daripada itu, beberapa pihak telah mengeluarkan pelbagai kenyataan. Ada yang pro dan tidak kurang pula yang berpandangan kontra dengan isu berkenaan. Seperkara yang terserlah daripada lontaran pandangan berkenaan ialah kecenderungan memberikan pandangan yang dipengaruhi oleh elemen politik. Oleh kerana isu ini melibatkan kerajaan Pulau Pinang yang kebetulan diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR), maka pandangan daripada mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan Pulau Pinang sudah tentulah bersifat kontra. Begitulah sebaliknya, pandangan daripada golongan yang sehaluan dengan kerajaan negeri pula bersifat menyokong.

Membaca Alquran sebelum waktu subuh di masjid-masjid atau di surau-surau dengan pembesar suara di negara kita bukanlah satu perkara baru. Ia telah pun berakar tunjang sejak sekian lama dahulu. Di kebanyakan tempat di negara kita khasnya di Semenanjung, sejurus sebelum masuknya waktu subuh, akan berkumandanglah alunan bacaan Alquran atau tarhim dari corong-corong pembesar suara dari masjid atau surau yang berhampiran. Kalau qari yang mengalunkan bacaan berkenaan bersuara merdu, maka akan sayulah jadinya suasana pada subuh berkenaan. Saya masih ingat, sewaktu menuntut di sekolah rendah di Johor baru, mungkin kawasan sekolah dikelilingi masjid dan surau, maka apabila menjelang waktu subuh, bergemalah suara alunan bacaan Alquran atau tarhim. Sayu dibuatnya. Ia juga memberi tanda kepada kami bahawa waktu subuh sudah hampir tiba. Walaupun masih kecil, keadaan sedemikian tidak pernah dianggap mengganggu.

Seorang bekas guru saya iaitu Cikgu Khoo Peng Kui yang pernah mengajar di sekolah yang sama pada dekad 60-an lalu, pernah bercerita kepada saya, antara tempat yang paling beliau tidak akan lupakan ialah SKPK Princess Elizabeth. Katanya, ketika itu beliau tidak memakai jam. Walau bagaimanapun, beliau tidak pernah lewat bangun pagi kerana sering dikejutkan dengan alunan Alquran, bacaan tarhim dan juga azan pada waktu subuh. Walaupun beliau bukan beragama Islam, beliau tidak merasa terganggu dengan alunan bacaan Alquran atau tarhim menjelang masuknya waktu subuh. Mungkin ada pihak lain akan berkata, bukan semua orang macam Cikgu Khoo Peng Kui!

Setakat yang saya ingat, mungkin negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang cuba melarang (menasihati) tempat-tempat solat supaya tidak menggunakan pembesar suara untuk membaca Alquran sebelum waktu subuh. Kalau kita masih ingat, dalam dekad 80-an lalu, seorang ketua tertinggi agama Islam di sebuah negeri ada mengeluarkan arahan supaya pembesar suara di satu kawasan dalam negerinya diperlahankan ketika bacaan Alquran dialunkan sebelum waktu subuh. Walau bagaimanapun, arahan berkenaan tidak menjadi isu atau tidak diisukan mungkin kerana negeri berkenaan waktu itu dikuasai oleh puak dacing.

Ada tempat tertentu di negara kita, sebelum waktu subuh bukan alunan bacaan Alquran yang dikumandangkan menerusi pembesar suara, tetapi siaran daripada radio tertentu pula yang diperdengarkan dan ia bergema di segenap kampung. Sekali-sekala mungkin siaran berkenaan sayup-sayup di bawan angin pagi ke kampung lain pula. Setakat ini, ia masih belum lagi menjadi isu dan fatwa mengenai mengumandangkan siaran radio menerusi pembesar suara di masjid atau surau juga belum dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa agama. Mengapa?

Bagi saya, masalah yang timbul di sini ialah ada pihak yang merasa terganggu bilamana alunan bacaan Alquran atau tarhim dikumandangkan menerusi pembesar suara masjid atau surau terutamanya menjelang masuknya waktu subuh. Maklumlah tidur pada waktu sedemikian memang paling enak dan paling menyedapkan. Bukan sahaja mereka yang bukan beragama Islam yang merasainya, sebahagian umat Islam pun turut merasai sama keenakan tidur menjelang masuknya waktu subuh. Bila saat yang begitu mengasyikkan tidur itu diganggu memang tersentaklah jasad dan perasaan. Nasib baiklah azan pada waktu tengah malam sebagaimana yang pernah diamalkan dalam kerajaan Andalusia dahulu tidak dipraktikkan di negara kita pada hari ini.

Bagi saya, dalam konteks mengganggu, bukan sahaja alunan bacaan Alquran atau tarhim pada waktu subuh sahaja yang boleh mendatangkan gangguan. Ada kalanya, bunyi bising loceng dari tempat ibadat tertentu atau bau bahan-bahan yang digunakan untuk sembahan yang sangat kuat juga boleh mendatangkan gangguan. Namun begitu, setakat ini, tiada larangan daripada mana-mana pihak berkuasa tempatan supaya memperlahankan bunyi loceng atau mengurangkan bau-bauan yang digunakan. Walau bagaimanapun, bila satu pihak telah memulakannya, maka tidak mustahil untuk pihak lain pula yang akan mengikut langkah yang telah dilakukan.

Apa yang sepatutnya dilakukan khususnya di Pulau Pinang ialah, tempoh masa untuk mengumandangkan bacaan Alquran atau tarhim sebelum waktu subuh boleh dipendekkan. Kalau sebelum ini ia mungkin dilaksanakan sejam atau 45 minit sebelum azan subuh, mungkin ia boleh dipendekkan kepada setengah jam atau 15 minit sahaja. Langkah seterusnya, sekiranya pembesar suara itu terlalu kuat, maka berpatutanlah jika bunyinya diperlahankan sedikit. Lagi pun, pembesar suara yang dipasang terlalu kuat pun tidak akan menghasilkan bunyi yang baik. Kadangkala ia boleh menyebabkan bunyinya serak dan pecah.

Bagi saya, melarang terus bacaan Alquran atau tarhim dengan menggunakan pembesar suara sebelum masuk waktu subuh bukanlah satu langkah yang sesuai.

Sunday, August 14, 2011

Biara Buddha Anjurkan Majlis Buka Puasa



Rancangan sebuah biara Buddha di Brickfields yang akan menganjurkan majlis buka puasa pada 20 Ogos ini memang sudah diketahui oleh kebanyakan mereka yang cacat penglihatan. Ia turut dihebahkan menerusi talian maklumat Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) sejak seminggu dua yang lalu. Beberapa hari lalu, ia turut dimuatkan pula menerusi blog Merah Tinta (MSO) iaitu berdasarkan kiriman email daripada salah seorang penjenguk blog berkenaan.

Berdasarkan maklumat yang dihebahkan, makanan yang akan disediakan halal. Manakala waktunya pula semestinyalah waktu berbuka puasa bagi seluruh umat Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pengangkutan untuk ke biara tersebut juga disediakan. Sesiapa sahaja yang cacat penglihatan memang diundang ke majlis berkenaan asalkan berdaftar terlebih dahulu dengan orang/pihak yang telah ditentukan. Menurut maklumat yang dihebahkan majlis berkenaan juga akan diserikan dengan cabutan nombor bertuah.

Pada masa (tarikh dan waktu) yang sama, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) juga turut menganjurkan majlis berbuka puasa khusus untuk para ahlinya. Majlis akan berlangsung di sekitar Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.

Di sini, saya bukan hendak membicarakan mengenai hukum berbuka puasa di tempat ibadat agama lain bagi penganut Islam. Lagi pun, ilmu agama yang ada pada saya masih dangkal dan ia sama sekali tidak melayakkan saya untuk menjatuhkan apa-apa fatwa mengenai hukum berbuka puasa di tempat ibadat agama lain. Lagi pun, kalau salah memberi pendapat, ia dianggap bertentangan pula dengan konsep 1Malaysia. Pernah ke Rasulullah mengutarakan konsep 1Madinah sewaktu baginda menjadi pemimpin di sana?

Berbalik kepada majlis berbuka puasa sebagaimana di atas, setakat yang saya maklum, berbuka puasa bukan setakat semata-mata makan dan minum bila masuk waktu maghrib. Pada saat itu, Allah menurunkan keberkatan bagi orang yang sedang berbuka puasa. Dalam satu hadith yang sahin, antara lain Rasulullah bersabda: “Bagi orang yang berpuasa, mereka akan mendapat dua kegembiraan, iaitu ketika berbuka puasa dan ketika menemui Tuhannya di akhirat nanti.” Sesuaikah kita mendapat salah satu kegembiraan sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah sedangkan ketika itu kita berada di tempat ibadat agama lain?

Seperkara lagi, berbuka puasa berlaku serentak dengan waktu maghrib. Dengan pelbagai acara untuk satu-satu majlis berbuka puasa seperti cabutan nombor bertuah, selain daripada makan, minum, sembang dan lain-lain lagi, ada kemungkinan ruang untuk melaksanakan solat maghrib juga akan kian kesempitan. Selaku umat Islam, kita harus faham, kewajipan solat 5 waktu sama tarafnya dengan kewajipan berpuasa. Sebab itulah kedua-duanya (puasa dan solat 5 waktu) merupakan 2 perkara daripada 5 perkara dalam rukun Islam. Bolehkah pihak penganjur menyediakan waktu dan ruang untuk solat maghrib kepada jemputan yang beragama Islam sebagaimana sewajibnya? Saya tidak mengatakan solat di tempat ibadat orang lain hukumnya tidak sah!

Bagi pihak penganjur dan juga biara Buddha berkenaan, mereka mungkin tidak begitu memahami konsep berbuka puasa. Bagi mereka, berbuka puasa ialah makan bila tiba masanya. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita selaku umat Islam untuk memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya kepada pihak penganjur mengenai berbuka puasa menurut kaca mata Islam supaya pihak yang berkenaan lebih memahaminya. Di sini, saya berkeyakinan, sekiranya pihak penganjur diberikan penjelasan mengenai konsep berbuka puasa yang sebenar menurut Islam secara berhemah dan dengan tutur kata yang baik, mereka boleh menerimanya. Hasrat untuk memperluaskan pemahaman mengenai derma mata sememangnya baik. Justeru, ia harus dilaksanakan dengan cara yang baik juga yang sepatutnya tidak bercanggah dengan nilai-nilai agama semua pihak yang dijemput ke majlis berkenaan.

Kepada rakan-rakan senasib yang seakidah dan bercadang untuk menghadiri majlis berkenaan, tepuk dada tanyalah iman. Jangan kerana sepinggan makanan, secawan minuman dan sehelai nombor bertuah, akidah kita jadikan taruhan.

Harus difahami, saya bukan membincangkan isu ini dari sudut hukum, saya sekadar memperkatakannya dari sudut kesesuaian majlis itu sahaja.

Genap Dua Tahun Asri Rabbani Pergi Yang Takkan Kembali

Semalam (13 Ogos), genap sudah dua tahun Ustaz Asri meninggalkan dunia yang maha fana ini. Ustaz Asri yang juga turut dikenali sebagai Asri Rabbani telah pergi menghadap Ilahi pada hari Khamis 13 Ogos 2009. Ketika itu kita dan seluruh umat Islam sedang mengira hari untuk ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Walaupun sudah dua tahun Ustaz Asri menghadap Penciptanya, tetapi alunan nasyid dendangan beliau sentiasa menjadi halwa telinga kita hampir setiap ketika. Seolah-olahnya beliau masih lagi bersama kita. Alunan irama nasyidnya, bait-bait lagunya, kalimah zikir dan munajad beliau sentiasa segar membelah sunyi kerohanian insani. Namun begitu, hakikatnya, beliau kini sudah tiada lagi buat selama-lamanya.

Ada ketikanya, azan waktu solat alunan beliau turut dikumandangkan oleh sesetengah media penyiaran. Ia sekaligus mengingatkan insan yang masih meminjam nyawa daripada Yang Maha Esa seperti kita mengenai kewajipan menunaikan solat 5 waktu. Alangkah moleknya apa yang telah ditinggalkan oleh dia yang telah pergi kepada kita yang masih belum sampai masa untuk pergi seperti dia?

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Demikianlah Ustaz Asri, oleh kerana sewaktu hidupnya beliau telah melaksanakan usaha amar maaruf dan nahyi mungkar menerusi bakat seninya, maka setelah beliau meninggalkan kita, apa yang telah beliau usahakan masih terus dikumandangkan. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa mencucuri rahmat-Nya ke atas beliau sepanjang masa.

Sebenarnya banyak yang boleh sama-sama kita jadikan iktibar mengenai kisah Ustaz Asri. Sementara nyawa masih terpinjam, sama-samalah kita membuat bakti semoga ia akan mendapat keredhaan Allah. Sekiranya bakti yang kita buat baik, bermanfaat serta memberi impak yang baik kepada orang lain dan disisipkan pula dengan rasa keikhlasan yang tertinggi, insha-Allah ia akan dikenang sepanjang zaman. Sebaliknya, jika kita asyik mencuri sahaja untuk kepentingan peribadi, dan kita gunakan pula hasil curian itu kononnya untuk berbakti dan berdakwah, mungkin sementara hidup kita dipuji segelintir orang, tetapi ingatlah usia kita bukanlah sepanjang mana. Esok lusa kita akan mati jua. Setelah kita menghadap Ilahi dan apabila tembelang dan temberang kita pecah dipukul masa, nescaya curi dan bakti yang telah ditaburkan selama ini akan membusuk semesta maya. Tatkala itu, anak cucu kita pun akan malu untuk mengaku bahawa mereka adalah anak dan cucu kepada kita.

Sepatutnya tulisan ini saya postingkan semalam, tetapi oleh kerana sejak petang Jumaat hingga pagi tadi saya berada di lokasi yang tidak dapat akses kepada internet, maka lewat sedikit saya postingkan tulisan yang tak seberapa ini.

Thursday, August 11, 2011

Sesi Dialog Bersama YB Shahrizat



Pagi tadi, saya berkesempatan menghadiri sesi dialog bersama-sama YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Sesi berkenaan telah berlangsung di dewan utama, Kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, Kuala Lumpur. Saya tiba di Kompleks MAB sekitar jam 10.35 pagi. Kehadiran saya adalah selaku Yang Di-Pertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Selain saya, PERTIS turut diwakili En. Zamzuri Ghani (Bendahari Kehormat) dan Pn. Arilzoh Mokhtar (AJK Pusat Biasa).



Sesi dialog ini dihadiri bukan sahaja golongan cacat penglihatan semata-mata, bahkan segala jenis OKU turut sama hadir. Selain itu, mereka yang tidak cacat tetapi turut sama hadir bagi mewakili badan-badan bukan kerajaan yang ada kaitan dengan kategori kecacatan tertentu. Seingat saya, saya pernah menghadiri sesi yang sama, juga mewakili PERTIS pada 9 Ogos 2009 (Ahad) yang lalu. Ketika itu, sesi berkenaan telah berlangsung di Hotel Meridian, KL Sentral. Kali ini, ia berlangsung di dewan utama, Kompleks MAB. Saya tidak mahulah membuat apa-apa telahan mengenai tempat penganjuran sesi dialog ini. Anjurkanlah di mana pun, asalkan venue penganjurannya mudah diakses oleh golongan sasar, sudah memadai.

Sekitar jam 11.05 YB menteri pula tiba. Setelah ucapan ringkas daripada YB menteri, maka sesi dialog pun dimulakan. Sesi kali ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat. Agaknya sudah menjadi semacam adat, bila YB menteri turun, maka segala pembesar di kementerian berkenaan juga akan turut sama turun padang. Antara orang besar kementerian yang hadir termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian, Timbalan KSU Kementerian, Ketua Pengarah Jabatan kebajikan Masyarakat, Timbalan Ketua Pengarah, beberapa orang pengarah bahagian dan lain-lain lagi. Tidak ketinggalan dan turut sama hadir ialah seorang penolong pengarahnya yang cacat penglihatan.



Format yang digunakan untuk sesi dialog kali ini ialah di mana para peserta dialog akan dibenarkan untuk bercakap mengenai apa sahaja isu yang berkaitan dengan OKU dalam masa yang terhad. Pihak YB Menteri pula akan mencelah jika perlu untuk bertanyakan maklumat lanjut. Rasanya, kakitangan kementerian tertentu pula akan mengambil nota dan catatan untuk keperluan YB Menteri. Majlis telah berlangsung hingga lebih kurang jam 1.40 tengah hari. Pada pendengaran saya, dewan MAB memang penuh dengan para peserta yang merangkumi pelbagai kategori kecacatan serta wakil pelbagai NGO.



Pelbagai isu telah diketengahkan oleh para peserta. Isu-isu yang diketengahkan pula amat berkaitan dengan kecacatan yang dialami. Yang pastinya, lain kecacatan, lain pula masalah/cabaran yang dihadapi. Justeru, ia semestinya memerlukan cara penyelesaian yang berbeza.

Untuk golongan cacat penglihatan, antara isu yang sempat diketengahkan termasuklah isu mengenai trek laluan khas yang kadangkala tidak mesra pengguna, penguatkuasaan yang lemah, isu pengemis, pelaksanaan dasar 1% dalam sektor pekerjaan, serta lain-lain lagi.

Berbeza dengan sesi sebelumnya yang pernah saya hadiri dua tahun yang lalu, dalam sesi kali ini saya tidak bercakap. Saya lebih suka mendengar orang lain bercakap. Saya sekadar mendengar isu-isu yang dibangkitkan dan kemudian cuba membuat analisis sendiri. Pada masa yang sama, saya memberi sokongan moral kepada En. Abbas Asyaari (Pengerusi SBM Cawangan KL/Selangor) yang duduk di sebelah kanan saya supaya bercakap.

Bagi saya, cara turun padang sebegini yang telah diamalkan oleh YB Menteri ada baiknya. Setidak-tidaknya beliau dapat mendengar sendiri daripada golongan sasar mengenai isu dan masalah semasa yang sedang dihadapi. Maknanya, YB Menteri tidak sekadar mendapat maklumat daripada orang tengahnya semata-mata.

Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada Cik Siti Hajar kerana sudi membantu saya untuk mengambil foto yang kemudiannya dapat saya muatkan menerusi blog ini.

Saturday, August 6, 2011

Sembang Petang

Iktibar Bersama

Dalam kebanyakan situasi, sukar bagi mereka yang berpenglihatan untuk memahami kami yang tidak berpenglihatan, terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan perasaan, emosi, naluri, sensitiviti, psikologi atau yang seumpama dengannya. Dalam hal ini, agak sukar juga bagi mereka yang tidak berpenglihatan untuk menerangkan kepada mereka yang berpenglihatan bagaimana kami boleh melakukan sesuatu itu dengan sempurna dalam keadaan tanpa penglihatan. Jadi, untuk memendekkan alkisah, mereka yang berpenglihatan akan membuat kesimpulan mudah, iaitu dengan merumuskan bahawa “hati mereka terang”. Betul ke mereka yang tidak berpenglihatan hatinya sentiasa terang?

Setelah saya melalui pelbagai pengalaman hidup sebagai insan yang ditakdirkan buta bagi tempoh lebih 4 dekad, saya merasakan sebilangan besar mereka yang masih berpenglihatan mempunyai persepsi yang salah mengenai dunia golongan cacat penglihatan. Rata-rata mereka yang berpenglihatan berpersepsi iaitu kecacatan penglihatan yang menimpa seseorang itu menyebabkan golongan tersebut buta segala-galanya. Mereka beranggapan dunia golongan cacat penglihatan gelap seluruhnya sama seperti bilamana mereka (golongan berpenglihatan) menutup mata sendiri serapat-rapatnya.

Benarkah orang yang cacat penglihatannya akan turut cacat dalam semua perkara? Benarkah dunia golongan cacat penglihatan merupakan dunia yang diselubungi kegelapan yang segelap-gelapnya?

Seperkara yang sering kita lupa ialah, cacat atau sempurna fizikal seseorang itu, semuanya adalah kurniaan Allah Yang Maha Kuasa. Jadi, Bila Dia menjadikan seseorang itu cacat, sudah tentulah kecacatan itu akan ditampung pula dengan sedikit kelebihan di aspek yang lain pula. Di sinilah letaknya keadilan Allah. Maknanya, Dia tidak akan menjadikan sesuatu itu sia-sia begitu sahaja. Jika kita berupaya melihat apa yang telah dijadikan-Nya dengan penuh rasa keinsanan, sudah tentulah ia amat menginsafkan kita. Demikianlah.

Sebab itulah juga, walaupun Allah menjadikan seseorang itu buta, tetapi Allah menunjukkan kaedah bagaimana golongan berkenaan berupaya melayari internet. Sebelum kita sama-sama dapat melihat bagaimana golongan cacat penglihatan melayari internet, pernahkah kita terfikir bahawa golongan tersebut juga mempunyai kaedah tersendiri untuk sama-sama tercebur ke dalam dunia ICT? Itu baru satu contoh sahaja mengenai keadilan Ilahi. Walau bagaimanapun, mungkin masih ramai yang gagal mengaitkan sesuatu kecacatan yang telah ditakdirkan itu dengan keadilan Penciptanya. Oleh kerana mereka gagal membuat perkaitan sedemikian, maka ada yang telah mengambil kesempatan dengan memperlekehkan kebutaan seseorang. Bila mereka telah melakukannya, golongan tersebut akan merasa puas.

Bagi mereka yang tidak begitu memahami golongan cacat penglihatan, mereka akan menggunakan cara yang dangkal untuk mempersendakan golongan berkenaan. Untuk mengintai apa yang sedang dilakukan oleh orang buta, ada yang sanggup tukar kasut atau buka kasut terus dan berjalan perlahan-lahan dan tertinjit-tinjit pula. Nasib baiklah kaki mereka tak terkena paku tajam. Kalau sekali-sekali terkena, alangkah padannya muka mereka? Dari aspek pendengaran, mungkin apa yang dilakukan oleh golongan berpenglihatan yang dangkal ini seakan berjaya. Walau bagaimanapun, sedarkah mereka ada dalam kalangan mereka yang tidak berpenglihatan telah dikurniakan Allah dengan pendengaran yang super tajam? Itulah keadilan Allah namanya. Satu lagi, mungkin cara yang digunakan sebagaimana di atas sedikit sebanyak dapat mengelakkan kehadiran mereka daripada dikesan menerusi pendengaran. Bagaimana pula dengan bau ketiak, bau hamis atau bau busuk yang ada pada badan si pengintai berkenaan? Ke mana pula hendak ditinggalkan bau badan masing-masing? Di sini, sekali lagi, Allah itu Maha Adil, tapi ramai yang sering melupainya.

Masih segar dalam ingatan saya hingga kini kejadian yang berlaku pada 11 Mei 2000 (Khamis). Kejadian malang berkenaan berlaku sekitar jam 9.35 pagi. Tempat kejadiannya pun masih segar dalam ingatan. Ketika itu saya sedang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sebuah kelas. Tiba-tiba muncul seorang guru lain (guru berkenaan seorang berpenglihatan) melangkah masuk ke dalam kelas saya secara senyap-senyap, kemudian menghulurkan nota kepada salah seorang murid dalam kelas berkenaan, kemudian berlalu pergi. Sepatah haram perkataan pun tidak keluar dari mulutnya. Kejadian tersebut mungkin sekejap, tetapi ia telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam diri saya sehingga ke hari ini. Bahkan beberapa ketika selepas kejadian itu, saya merasa begitu cuak kepada sebahagian besar rakan-rakan sejawat yang berpenglihatan. Alhamdulillah, perasaan yang tidak baik dan tidak adil tersebut dapa saya buangkan sedikit demi sedikit.

Untuk memastikan bahawa si fulan telah masuk ke dalam kelas saya sebentar tadi, saya terus bertanya kepada murid-murid saya ketika itu: “Betul ke, Cikgu fulan masuk tadi?” Salah seorang murid yang hadir menjawab: “Betul cikgu, dia bagi nota pada saya.” Murid yang sama kemudiannya bertanya pula: “... Tapi kenapa dia masuk senyap-senyap, cikgu?” Saya menjawab: “Perangai busuk macam tu kamu semua jangan ikut. Walaupun cikgu yang ada di hadapan kamu ni buta, tapi Allah berkuasa memberitahu pada cikgu apa yang sedang berlaku dengan apa cara sekalipun.” Murid-murid saya ketika itu terdiam sebentar bila mendengar jawapan saya.

Mengapakah rakan sejawat saya itu bersikap sedemikian pada kelas yang sedang saya kendalikan? Adakah beliau akan berbuat perkara yang sama kepada kelas yang sedang dikendalikan oleh rakan-rakan sejawatnya yang berpenglihatan seperti dia? Sedarkah dia, dengan berkelakuan sedemikian, secara tidak langsung dia telah menghalalkan kepada murid-murid saya untuk mempermainkan guru-gurunya yang cacat penglihatan? Bahkan, sedarkah dia, perbuatannya itu akan saya ingat sampai ke akhir nanti? Saya penuh yakin, sehingga ke hari ini pun, rakan sejawat berkenaan tidak tahu bahawa sebenarnya saya mengetahui perbuatan sumbangnya itu. Saya juga yakin, pada hari ini beliau berkemungkinan besar sudah lupa dengan perbuatan busuknya itu.

Saya kongsikan pengalaman ini kepada semua supaya kita sama-sama mengambil iktibar daripadanya. Berdasarkan pengalaman sendiri serta rakan-rakan senasib yang lain, perbuatan busuk seperti ini akan berlaku secara bersiri dan berepisod. Hanya pelakunya sahaja yang berbeza. Ini bermakna, sikap busuk ini ada bukan pada seorang manusia sahaja. Rupa-rupanya ia dimiliki oleh ramai orang dan terdiri daripada mereka yang memegang pelbagai kelas jawatan pula.

Saya yakin, rakan-rakan senasib yang lain juga mempunyai pengalaman masing-masing dalam mengharungi karenah yang ditimbulkan oleh golongan berpenglihatan yang dangkal ini. Adakalanya pengalaman yang kita lalui memang mengguris hati dan perasaan. Sudah menjadi kebiasaan bagi saya, bila saya mengalami situasi seperti di atas, saya akan membaca secara berulang kali surah Abasa dari ayat 1 hingga 4 (surah Abasa ialah surah ke-80 dalam juzuk ke-30). Berdasarkan pengalaman sendiri, dengan membaca ayat-ayat sebagaimana yang saya nyatakan tatkala berhadapan dengan golongan berpenglihatan yang dangkal ini, hati, emosi dan perasaan akan mudah tenang. Maklumlah, ketika orang lain mempersendakan kita, pada masa yang sama Allah tetap membela golongan yang tidak berpenglihatan. Demikianlah adilnya Ilahi.

Coretan ini saya suratkan berdasarkan pengalaman sendiri dan juga rungutan serta keluhan daripada rakan-rakan senasib yang lain.