Thursday, December 7, 2017

Cikgu Mokhtar Kembali Ke Rahmatullah (Catatan Lewat)





Sesiapa dalam kalangan cacat penglihatan yang pernah menuntut di Sekolah Princess Elizabeth di Johor Baru antara awal dekad 60-an hingga tahun 1991 tentu kenal dan ingat dengan Cikgu Mokhtar bin Abdul Latif. Beliau merupakan seorang guru yang sangat berdedikasi, komited serta sangat memahami keperluan muridnya sama ada dari aspek jasmani mahupun dari aspek rohani. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan sifat dan keterampilan beliau sebagai seorang guru tiada tolok bandingnya dan sukar untuk ditemui pada masa ini. Demikianlah.

Dengan kehendak Allah jua maka pada 4 Disember lalu (Isnin) dalam waktu maghrib, Cikgu Mokhtar yang amat kita sayangi dan ingati telah kembali ke rahmatullah, pergi buat selama-lamanya menghadap Ilahi ketika berusia 79 tahun. Berita duka ini pada mulanya saya ketahui melalui Cikgu Fekkeri. Berdasarkan maklumat yang ada, saya telah hubungi sendiri salah seorang ahli keluarga Allahyarham (Pn. Faizah) dan beliau telah mengesahkan pemergian Cikgu Mokhtar. Beliau turut memaklumkan waktu solat jenazah dan pengembumian.

(Pusara Allahyarham Cikgu Mokhtar)


Pada pagi 5 Disember (Selasa) saya dengan ditemani oleh isteri dan anak tunggal kami, telah bergegas dari kampung di Melaka ke Shah Alam bagi menghadiri majlis pengebumian Allahyarham. Alhamdulillah ketika saya tiba di tanah perkuburan di Seksyen 21, bacaan talkin sedang dialunkan. Beberapa orang anggota keluarga Allahyarham turut sempat saya temui.

(Saya dan Cikgu Fauzi)


Antara pengunjung yang saya temui ialah Cikgu Fauzi yang pernah berkhidmat di Sekolah Princess Elizabeth sewaktu Allahyarham sebagai guru besarnya sebelum beliau berkhidmat di UPSI sebagai pensyarah.

(Saya bersalaman dengan Cikgu Raja Zaleha)


Saya turut berkesempatan bertemu dan bercakap dengan isteri Allahyarham, Cikgu Raja Zaleha. Allahyarham Cikgu Mokhtar dan isterinya Cikgu Raja Zaleha merupakan guru yang pernah berkhidmat di Sekolah Princess Elizabeth pada masa yang hampir sama. Kedua-duanya pernah mengajar saya dan ramai lagi rakan senasib.

Setakat yang saya maklum, Allahyarham Cikgu Mokhtar mula mengajar di Sekolah Princess Elizabeth pada awal dekad 60-an. Beliau terus berkhidmat di sekolah berkenaan sehinggalah beliau bersara pada sekitar tahun 1991. Sebelum bersara, Allahyarham Cikgu Mokhtar merupakan guru besar yang kelima di sekolah berkenaan.

Walaupun kini Cikgu Mokhtar sudah tiada lagi, namun setiap ilmu yang pernah dicurahkannya tetap subur dan mekar kepada semua anak muridnya. Saya dan seluruh bekas anak murid Allahyarham akan sentiasa berdoa semoga Allah mengampuni beliau, merahmati serta menghimpunkannya dalam kalangan para solihin.

Alfatihah ....