Tuesday, February 9, 2010

Menungan Malam

Cikgu Rahman Dalam Ingatan

Cikgu Rahman (Cikgu Abdul Rahman bin Omar) merupakan antara manusia yang tak mungkin luput dari ingatan saya selama-lamanya. Saya mula berkenalan dengan beliau tatkala kami sama-sama bertugas di SMK Haji Zainul Abidin, Pulau Pinang kira-kira sedekad yang lalu. Beliau berpindah ke sekolah berkenaan 2 minggu lewat daripada tarikh kemasukan saya ke sekolah berkenaan. Sebelumnya beliau bertugas di Sekolah Al-Masyhur, sebuah sekolah yang terkenal juga di Pulau Pinang.



Sejak pertemuan dan perkenalan antara saya dan Cikgu Rahman, kami terus menjadi akrab. Dari sudut usia, Cikgu Rahman jauh lebih berusia daripada saya. Namun demikian ia bukan halangan untuk kami berdua menjadi begitu rapat. Keakraban kami banyak disebabkan oleh kebaikan dan keprihatinan cikgu Rahman terhadap saya.



Setiap hari Jumaat, Cikgu Rahman akan membawa saya ke masjid untuk solat Jumaat. Di sepanjang saya bertugas di Pulau Pinang, beliau tak pernah keciciran walaupun sekali untuk mempastikan saya akan ke masjid bersama-sama beliau pada setiap hari Jumaat.

Adalah menjadi kebiasaan, Cikgu Rahman akan membawa saya ke rumahnya dahulu sebelum kami sama-sama ke masjid. Bila tiba di rumahnya, saya akan dijamu dengan makanan ringan seperti mi atau kuih-kuih. Selepas pulang dari masjid, beliau akan menjamu pula saya dengan nasi. Begitulah setiap minggu. Selepas makan, Cikgu Rahman akan menghantar saya ke St. Nicholas kerana pada waktu itu saya menyewa salah sebuah bilik tamu di sana sebagai tempat tinggal saya. Begitulah setiap hari Jumaat.



Selain itu, pada setiap pagi, Cikgu Rahman akan membawakan untuk saya sebekas air (kebiasaannya teh panas) dan juga roti. Ia berlangsung pada setiap pagi tanpa putus. Saya pernah beberapa kali meminta agar beliau tidak membawakan sarapan untuk saya terlalu kerap, tetapi beliau menolaknya. Katanya, selagi dia dan saya bertugas di sekolah yang sama, maka selagi itulah beliau akan membawakan sarapan untuk saya. Akhirnya saya tak mampu untuk menolaknya lagi.

Oleh kerana saya kerap ke rumah Cikgu Rahman, maka saya kemudiannya juga turut rapat dengan ahli keluarganya. Saya kenal dan mesra dengan anak-anaknya dan juga dengan Kak Kiah, isterinya.

Bila naik kereta bersama Cikgu Rahman, beliau suka dengar ceramah agama yang bukan berbau politik. Maka tahulah saya, Cikgu Rahman memang kurang minat dengan politik.

Satu perkara mengenai Cikgu Rahman ialah, beliau suka bertanya jika saya menghadapi masalah di Pulau Pinang. Pertanyaan sedemikian kerap dan berulang. Maka jawapan saya juga sentiasa sama, tiada masalah. Ada ketikanya, bila saya ketiadaan teman untuk membeli tiket bas untuk pulang ke KL, Cikgu Rahmanlah yang akan menemani saya. Pernah beberapa kali beliau ingin menolong untuk mencarikan rumah sewa, tapi saya menolaknya kerana saya memang merancang untuk tidak tinggal lama di Pulau Pinang.



Oleh kerana akrabnya antara saya dengan Cikgu Rahman, ada juga beberapa guru di sekolah kami yang menganggap saya adalah anak angkat Cikgu Rahman. Sama ada saya atau Cikgu Rahman, kami tak memberi sebarang komen. Kami dengar sahaja ulasan atau usikan mereka.

Pada awal tahun 2000, saya berjaya berpindah ke KL. Tentunya saya begitu gembira kerana dapat bertukar ke KL. Hanya satu sahaja yang membuatkan hati saya begitu berat untuk meninggalkan Pulau Pinang, iaitu Cikgu Rahman. Setelah saya berpindah ke KL, Cikgu Rahman ada memberitahu saya, pada hari Jumaat anaknya yang bungsu akan bertanya, mengapa saya tidak datang ke rumahnya. Demikianlah akrabnya kami.

Takdir dan ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menolaknya. Pada hujung Julai 2001, Cikgu Rahman kembali ke Rahmatullah. Hidayah, salah seorang anak Cikgu Rahman menghubungi saya ketika itu tatkala jenazahnya masih di rumah. Pilu hati saya mendengar berita sedih itu. Apakan daya, oleh kerana sebab yang tidak termampu saya mengelaknya, saya tidak dapat ke Pulau Pinang untuk menghadiri pengkebumian Cikgu Rahman. Setiap kali saya teringatkan Cikgu Rahman, pasti Alfatihah akan saya bacakan untuknya.

Hari ini, walaupun hampir 9 tahun Cikgu Rahman menghadap Ilahi, namun hubungan antara saya dan keluarganya tetap akrab dan mesra. Anak-anaknya juga ramai yang sudah berumah tangga dan berjaya. Ada juga antara anak-anaknya yang sudah menjawat jawatan seperti pensyarah dan guru.

Semoga Cikgu Rahman sentiasa di dalam rahmat Allah hendaknya.

Thursday, February 4, 2010

Menungan Malam

Tukang Kasut Di Kaki Lima

Petang tadi, saya telah ke Wangsa Maju untuk beberapa urusan. Salah satunya ialah urusan berkaitan kasut isteri saya yang rosak sedikit. Katanya, dah tak selesa untuk dipakai lagi.



Kebetulan ada seorang tukang kasut di satu kaki lima. Jadi, kami pun singgahlah untuk membaiki kasut isteri saya dengan beliau. Sambil membaiki kasut, saya pun duduk berhampiran beliau dan mula membuka bicara. Pada mulanya, pertanyaan saya merupakan soalan-soalan biasa sahaja. Bila pertanyaan saya dijawab dengan agak mesra, itu bermakna responnya baik.

Kata tukang kasut berkenaan, beliau berasal dari Batu Pahat. Katanya lagi, beliau sudah lama berhijrah ke KL. Pada masa ini, beliau menetap di Setapak, tetapi tidak menyatakan lokasinya secara terperinci.



Saya kemudiannya mula bertanya mengenai sekitar pekerjaannya. Kata tukang kasut berkenaan, beliau memang menjadi tukang baiki kasut sepenuh masa. Setiap hari, beliau akan mula beroperasi bermula jam 12 tengah hari hingga jam 7 malam.

Beliau meneruskan bicara, katanya, beliau sudah beroperasi di tempat sekarang sejak tahun 1997 lagi. Bagi saya, tempoh tersebut cukup panjang bagi seorang tukang baiki kasut. Beliau meneruskan lagi dengan berkata, “Orang sekolah tak tinggi macam saya ni, inilah pekerjaan yang sesuai.” Saya berkata pula, “Tak mengapa, asalkan ianya halal dan diredhai Allah.”

Lalu saya bertanya lagi, bagaimana beliau boleh bertahan selama hampir 13 tahun selaku tukang baiki kasut? Katanya, minat dan itu sahaja kemahiran yang ada padanya. Saya berkata lagi, pelanggan mesti mencukupi, sebab itulah boleh bertahan sebegitu lama. Beliau berkata, kalau kita buat kerja betul mestilah semua pelanggan puas hati. Esok atau lusa bila kasut mereka rosak, mereka akan datang semula. Saya sekadar mengangguk tanda setuju.

Kemudian saya bertanya lagi, adakah beliau kerap balik ke Batu Pahat? Katanya, sudah 10 tahun beliau tak pulang sebab tak cukup belanja. Katanya lagi, tahun ini beliau berazam akan pulang juga untuk menjenguk kampungnya. Sudah cukup belanja agaknya, tapi saya berkata dalam hati sahaja.

Lalu saya bertanya lagi, adakah dia mempunyai keluarga (isteri dan anak). Katanya, kerja selaku tukang baiki kasut sekadar cukup makan untuk seorang sahaja, tak cukup untuk menanggung orang lain.



Daripada pemerhatian saya, kerjanya halus dan teliti. Ia menggambarkan kemahiran yang ada pada beliau selaku tukang baiki kasut. Satu sahaja yang mungkin beliau perlu perbaiki, beliau melakukan kerjanya tanpa menggunakan sarung tangan. Bukankah yang dibaiki ialah kasut. Bila sebut sahaja tugas-tugas kasut, maka macam-macam yang dipijaknya, yang basah, yang kering, yang lembut, yang keras, pelbagai jenis sisa dan buangan, semua habis dilanyaknya. Lagi pun, jika menggunakan sarung tangan, ia dapat mengelakkan pelbagai virus atau kuman masuk dan meresap ke dalam badan.

Terfikir juga saya untuk mencadangkan kepada beliau supaya menggunakan sarung tangan, tapi takut berkecil hati pula beliau. Setelah saya berfikir semula, saya rasa lain kali bila saya menjadi pelanggannya saya bercadang untuk menghadiahkannya sarung tangan. Mudah-mudahan dia faham maksudnya.

Walaupun dia hanya cuma seorang tukang baiki kasut, dia juga punya hati yang perlu kita jaga.

Berita Pagi

Menziarahi Cikgu Mad

Alhamdulillah, dalam kesibukan semalam, saya sekeluarga berkesempatan juga menziarahi Cikgu Mad (Cikgu Mohamed bin Ismail). Ketika ini beliau dengan ditemani isterinya tinggal sementara di tempat penginapan di MAB.

Sekitar jam 10.15 malam, saya sekeluarga tiba di MAB untuk menziarahi beliau. Menurut Kak Jun (isterinya), jika tiada aral melintang, hari ini(Khamis) mereka akan kembali ke Terengganu. Lagi pun, katanya, selepas perayaan tahun baru Cina nanti, mereka kena datang semula ke KL untuk meneruskan rawatan.

Mengenai keadaan kesihatannya yang terkini, beliau belumlah sihat lagi. Sebab itulah kena datang semula ke KL untuk meneruskan rawatan. Lagi pun, beliau (Cikgu Mad) masih dalam tempoh cuti lagi. Cikgu Mad sendiri tak berani meramalkan kemungkinan masa depan kesihatannya.

Kami juga sempat berbual mengenai PERTIS. Maklumlah pertemuan antara YDP (Cikgu Mad) dengan NYDP (saya). Saya sekadar mentaklimatkan perkembangan paling terkini mengenai PERTIS. Ini termasuklah kerjasama dengan UTM dan juga kemasukan kakitangan baru. Cikgu Mad memberitahu, kemungkinan besar, saya akan terus kena mempengerusikan mesyuarat PERTIS untuk tempoh yang panjang. Saya diam dan akur sahaja.

Sekitar jam 10.40 malam, kami pun meninggalkan MAB. Kami tinggalkan dengan doa semoga Cikgu Mad cepat sembuh.

Orang sakit sahaja yang terlebih maklum betapa nikmatnya jadi orang sihat.

Monday, February 1, 2010

Menungan Malam

Jadilah Jiran Yang Baik

Saya berjiran dengan seorang jiran. Namanya pun jiran, jadi rumahnya tidaklah berapa jauh jaraknya daripada rumah saya. Saya kenal jiran ini melalui suaranya sahaja. Bertegur sapa memang tak pernah walaupun setelah lebih lima tahun kami berjiran. Beberapa ketika dahulu, isteri saya cuba juga berkomunikasi dengan sang isteri jiran saya ini, tetapi melihatkan impak yang tidak kena, jadi hubungan yang baru nak berputik terus lebur menjadi debu.

Foto rumah jiran saya yang ini memang ada dalam simpanan saya. Tak sampai hati pulak saya paparkan dalam tulisan kali ini, takut-takut nombor rumahnya terpampang sekali. Nanti seisi alam tahu. Yang malu, kami setaman juga. Rasanya sang jiran yang seorang ini tak mungkin rasa malu, kerana saya rasa dia memang tak punya malu.

Sang jiran saya ini ada anak lelaki yang sudah dewasa. Satu hobi anak lelakinya ialah suka pasang muzik sekuat volume. Dia tak peduli, orang nak tidur ke, nak apa ke, yang dia tahu menyanyi sekuat lagu yang dipasangnya. Mungkin tak ada siapa yang sudi nak beritahu yang suaranya tak ubah macam bunyi stim roll sedang baiki jalan raya. Hari ini, bunyi muzik yang bagai kawah gunung berapi pecah tu dah tak kedengaran lagi. Saya pun tak pasti entah ke mana anak lelakinya sudah melingkup.

Satu fenomena sang jiran yang ini ialah gemar bergaduh, terutamanya pada waktu tengah malam. Pernah beberapa kali saya terjaga dari tidur, bila dengar jam (guna talking clock) baru pukul dua pagi. Saya terjaga gara-gara sang jiran suami isteri berkelahi macam waktu siang. Itulah, lain kali kalau nak berkelahi waktu malam, tinjau-tinjaulah jam dahulu.

Walau bagaimanapun, sejak sang jiran yang ini ubah suai rumahnya macam penjara, yang mana bahagian hadapannya tidak lagi bertingkap, hanya ada pintu untuk mereka keluar masuk, maka kurang sedikit bunyi gaduh mereka terkeluar dari rumah. Tapi, kalau bunyi terlalu kuat, terkeluar juga bunyinya sayup-sayup.

Yang istimewanya, bila mereka suami isteri bergaduh, mereka bergaduh dalam bahasa orang putih. Isi pergaduhan dipenuhi dengan caci maki dan carut marut. Apa, dia ingat si buta sebelah ni tak faham bahasa orang putih ke? Nasib baiklah Luqman masih belum fasih berbahasa orang putih lagi.

Acapkali juga, bila sang suami balik rumah, tak kiralah siang atau malam, kalau malam tak kira pukul berapa pun, dia akan panggil anak bininya sekuat suaranya. Kadang-kadang, tengah diulit mimpi pun boleh terjaga dibuatnya. Selagi tak ada respon dari anak atau bininya, selagi itulah tak berhenti dia memekik. Kalau ada lastik, sudah lama mukanya itu saya lastik.

Sekali peristiwa, dua orang tukang rumah sedang membuat kerja di rumah saya. Tiba-tiba sang suami jiran saya pulang dan terus memekik memanggil anak bininya. Terkejut juga tukang rumah yang sedang buat kerja di rumah saya.

Satu lagi tabiatnya, kalau dia pulang dan tak memekik, dia akan bunyikan hon kenderaannya sekuatnya dan panjang-panjang. Tak kiralah siang atau malam. Selagi tak ada respon, selagi itulah hon kenderaannya terus dibunyikan.

Menurut seorang jiran lain yang sudah lama tinggal di sini, begitulah perangai sang jirang yang seorang ini. Bukan orang lain tak mahu tegur, tapi nak memandang mukanya pun menyampah. Nasib baiklah saya tak perlu tengok mukanya.

Sengaja saya paparkan kisah sang jiran saya yang seorang ini supaya kita semua yang masih waras boleh mengambil iktibar daripada tabiatnya. Mana-mana yang baik, kita jadikan teladan, mana-mana yang buruk kita jadikan sempadan.

Sunday, January 31, 2010

Bicara Silam

PES: Suatu Coretan Silam



Sekolah Princess Elizabeth (PES) di Johor Baru merupakan sekolah rendah kedua bagi saya. Sebelumnya, saya pernah bersekolah di sebuah sekolah biasa yang letaknya sekitar 1.6 km dari rumah saya. Bagi saya, PES bukan sekadar sebuah institusi yang hanya memberikan pendidikan akademik semata-mata. Peranan dan sumbangan PES kepada mereka yang pernah menerima pendidikan di sekolah tersebut amat besarkhususnya dalam menyediakan asas kukuh kepada murid-muridnya untuk lebih berdikari pada masa hadapan. Oleh kerana hampir semua muridnya tinggal di asrama, maka pendidikan yang telah diberikan kepada murid-muridnya telah merentasi skop dan bidang akademik.



Dari sudut sejarahnya, PES telah ditubuhkan sejak tahun 1948 lagi. Di awal penubuhannya, ia menumpang di rumah kebajikan masyarakat di Batu 3, Jalan Skudai. Pada tahun 1954, sekolah berkenaan telah berpindah ke tapaknya yang ada hari ini, iaitu di Lorong 5, Jalan Nongchik, Johor Baru.



Guru besarnya yang pertama ialah Cikgu Ann binti Majeed (Yang Berbahagia Dato’ Ann Majeed). Selain itu, guru-guru generasi pertama yang lain ialah Cikgu Sharifah Kamaliah binti Dato’ Syed Abdul Kathir, Cikgu Fatimah binti Dato’ Ismail dan Cikgu Rahmah binti Abdullah. Kesemua guru yang saya senaraikan masih lagi hidup dan rasanya semua mereka telah berusia 80 tahun dan ke atas.



Salah satu pendidikan bukan akademik yang sangat diberi perhatian oleh PES kepada murid-muridnya ialah aspek pengurusan diri. Ini bermakna, selain daripada belajar dalam bilik darjah, murid-muridnya turut diajar bagaimana untuk menguruskan diri masing-masing secara lebih teratur dan sempurna. Pihak yang berperanan besar dalam pelaksanaan aspek pengurusan diri ini ialah kakitangan asrama yang amat mesra dengan panggilan “kakak” oleh semua murid.



Saya masih ingat lagi, bila saya masuk ke PES, antara aspek pengurusan diri yang mula-mula diajarkan kepada saya ialah cara-cara melipat kain baju, menyusun pakaian dalam almari, cara yang betul menyangkut baju dan seluar pada penyangkut dan juga cara mengemas tempat tidur. Setelah itu, diajarkan pula cara memasang dan mengikat tali kasut dengan betul. Oleh kerana kami semua murid yang cacat penglihatann, maka kakak-kakak berkenaan mempunyai kaedah tersendiri untuk mengajar kami semua perkara berkaitan pengurusan diri hingga pandai. Mereka tidak pula berpandangan, oleh kerana murid-murid ini tidak nampak, mereka tidak payah buat, mereka tidak perlu diajar semuanya itu. Kakitangan asrama berkenaan sekali-kali tidak berpandangan negatif sedemikian. Itulah yang istimewanya pendidikan khas ketika itu.



Bila saya naik darjah dua, saya dan rakan-rakan sebaya diajar pula cara untuk mencuci kasut sekolah termasuklah cara menggunakan kapur kasut, sama ada yang berbentuk cecair mahupun yang berbentuk ketulan. Setelah kami pandai mencuci kasut sekolah sendiri, maka setiap hujung minggu kami dimestikan untuk mencuci kasut sekolah sendiri. Kakitangan asrama akan memantau cucian kami. Mana-mana murid yang terlalu malas mencuci kasut sekolah sendiri akan kena hukuman. Saya masih ingat lagi, seorang kawan telah ditangkap kerana tidak mencuci kasut sekolahnya oleh seorang kakitangan asrama. Waktu itu hari sudah malam, sedangkan esok merupakan hari persekolahan pula. Jadi, kawan saya itu telah disuruh mencuci kasut sekolahnya segera. Setelah dicuci, kakitangan asrama berkenaan menyuruh kawan saya supaya meniup kasut sekolahnya hingga kering. Gerun juga saya dibuatnya, maklumlah waktu itu masih budak-budak lagi. Beberapa tahun lalu, tatkala menyingkap semula peristiwa tersebut, kawan saya yang kena hukuman tersebut menyifatkan bahawa ia bukan satu hukuman, tetapi merupakan didikan yang berkesan.



Selain itu, kami juga dididik cara dan adab ketika makan. Kami diajar bagaimana cara yang betul menyuap makanan dengan tangan. Kami juga diajar cara makan yang betul dengan menggunakan sudu dan garfu. Kami turut diajar cara yang betul meletakkan sudu dan garfu selepas makan. Jadi, tidak hairanlah sebahagian besar lepasan PES tahu menggunakan sudu dan garfu ketika makan.



Saya masih ingat lagi, bila tiba waktu makan, loceng akan dibunyikan sebanyak 2 kali. Loceng pertama, semua murid dikehendaki kembali ke asrama masing-masing dan beratur. Loceng kedua pula, semua murid akan berjalan ke dewan makan dalam barisan mengikut rumah (asrama) masing-masing. Sampai sahaja di dewan makan, murid-murid akan berdiri di tempat masing-masing untuk mendengar pengumuman, nasihat, peringatan atau sebagainya, jika ada. Setelah itu, doa sebelum makan akan dibacakan secara beramai-ramai oleh semua murid, barulah semua murid akan duduk dan makan. Isi bacaan doa sebelum makan itu pula dicipta khas supaya sesuai untuk semua orang, bangsa dan kepercayaan. Masih segar dalam ingatan saya, isi bacaan doa sebelum makan di PES ketika itu berbunyi: “Kami bersyukur, kepada Tuhan, di atas rezeki, yang di hadapan kami ini”.

Selepas makan pula, semua murid tidak boleh meninggalkan dewan makan dengan begitu sahaja. Setelah semua selesai makan, semua murid akan berdiri semula di tempat masing-masing. Kemudian bacaan doa selepas makan pula dibaca secara beramai-ramai juga. Doa tersebut berbunyi: “Kami bersyukur, kepada Tuhan, di atas rezeki, yang telah kami terima”. Setelah itu, baru semua murid boleh meninggalkan dewan makan dengan teratur dan tertib.



Sementara itu, bagi murid-murid darjah 5 dan 6, ada tugasan tertentu yang harus mereka laksanakan. Mereka harus membantu kakak-kakak untuk mencuci pinggan mangkuk selepas makan. Mereka juga harus menolong kakak-kakak untuk menghidang makanan sebelum makan. Semua murid yang berkaitan harus melaksanakan tugas ini mengikut giliran yang telah ditetapkan tanpa kecuali sama ada yang rabun mahupun yang buta. Demikianlah antara situasi pendidikan khas ketika itu.

Selain itu, setelah naik darjah 4 atau 5, saya dan rakan-rakan lain juga turut diajar mencuci pakaian sendiri. Kami diajar bagaimana untuk merendam, memberus baju dengan cara yang betul, membilas, hinggalah kepada menyidai pakaian di ampaian. Semuanya itu diajarkan kepada kami oleh kakak-kakak secara terperinci, penuh dedikasi dan sabar. Setelah kami pandai mencuci pakaian, maka kami semua dikehendaki mencuci pakaian sendiri. Hanya pakaian seragam sekolah sahaja yang masih dicuci oleh kakak-kakak.

Ada juga di antara kami yang agak malas mencuci pakaian sendiri. Ada yang merendamnya entah berapa hari. Ada juga yang mencucinya dengan merendamnya sahaja tanpa diberus dan disental. Semuanya diperhati dan diketahui oleh kakak-kakak. Sesiapa yang tidak makan nasihat, pasti akan kena hukum. Demikianlah kami dididik ketika itu.

Di samping itu, setelah kami naik darjah 4 atau 5, kami turut diajar cara untuk menggosok pakaian dengan menggunakan seterika. Kami diajar bagaimana memegang seterika dengan cara yang betul, cara meletakkan seterika, cara untuk mengetahui tahap kepanasan seterika dan sebagainya. Oleh kerana kakak-kakak yang mengajar kami menggosok penuh dedikasi, sabar dan positif, maka akhirnya menggosok pakaian bagi mereka yang tanpa penglihatan bukanlah sesuatu yang mustahil. Kini kami mampu melakukannya sendiri.



Selain itu, kami juga turut diajar cara mandi dan menggosok gigi dengan cara yang betul. Saya masih ingat lagi, kakak-kakak berkenaan akan mengajar kami cara mandi secara amali. Bagaimana menyiram air, bagaimana cara menggosok dan menyabun badan, celah mana yang patut digosok, cara mana untuk menggosok daki di badan, semuanya diajar secara amali. Mungkin kerana pada ketika itu masih budak, jadi perasaan malu kuranglah sedikit. Saya timbulkan kisah ini kerana ada pihak-pihak tertentu yang mempersoalkan, bagaimana orang buta mandi? Bersihkah cara mandian mereka? Bagaimana orang buta menyabun badan? Dan macam-macam lagi. Bagi saya, persoalan yang ingin saya timbulkan di sini hari ini ialah, mahukah dan mempukah “orang sekarang” menunjukkan cara mandi yang betul kepada murid-murid buta di peringkat sekolah rendah?

Jika kami di rumah, sebilangan ibu bapa yang mempunyai anak yang cacat penglihatan mungkin tak sanggup untuk mengajar dan menyuruh anak-anak mereka yang cacat penglihatan untuk melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan pengurusan diri sebagaimana yang saya nyatakan di atas lantaran rasa kasihan yang tanpa batasan. Sesuggguhnya, pendidikan bukan akademik yang telah saya dan rakan-rakan lain terima sewaktu di PES merupakan asas yang kukuh untuk membolehkan kami berdikari dalam aspek pengurusan diri pada hari ini. Sikap kakak-kakak di PES yang penuh dedikasi, sabar serta berpandangan positif telah membolehkan aspek pengurusan diri dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Di sini, saya tidaklah bermaksud dan mendakwa semua lepasan PES bersih dan tahu menguruskan diri masing-masing. Mana-mana yang tak makan nasihat, tidak terurus juga diri mereka.

Apa yang saya ketengahkan ini adalah peristiwa yang berlaku di PES di sekitar dekad 70-an dan 80-an lalu. Saya tidak pasti adakah fenomena yang sama masih lagi wujud di PES pada hari ini.

Kepada kakak semua, terima kasih kami ucapkan.

Thursday, January 28, 2010

Bicara Shaha

Shaha Semakin Pulih

Sekitar jam 11.35 tadi, saya menerima berita menerusi SMS daripada Sdr Muhammad Adam Lee. Antara lain, kandungan SMS berkenaan berbunyi:


Salam. Alhamdulillah, Sdr Shaha hampir pulih sepenuhnya dpd minor stroke, dijangka keluar esok/lusa, waktu tak pasti.


Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Saudara Adam Lee yang telah berkongsi berita suka ini.

Selaku rakan, saya turut gembira dengan berita ini. Harapan dan doa saya dan kita semua agar Shaha akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat. Saya berdoa semoga Shaha tidak ditimpa stroke kerana tak sanggup rasanya saya menyaksikan sepasang suami isteri ditimpa musibah yang serupa.

Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada rakan-rakan yang telah berkesempatan menziarahi Shaha siang tadi. Saya sendiri tak pasti bila akan berkesempatan untuk menziarahi beliau.

Bicara Berita

Rakan-rakan Yang Ditimpa Musibah

(kemas kini jam 3.45 petang)

Adalah dimaklumkan bahawa En. Ahmad Shaha berada di tingkat 7, katil 6B, HUKM. Manakala Cikgu Mohamed Ismail pula di tingkat 6, wad 6, katil 16 Pusat Perubatan Universiti Malaya.

(Berikut adalah teks asal tulisan ini).

Pagi tadi, setibanya di sekolah, Cikgu Fekkeri memberitahu saya bahawa En. Ahmad Shaha bin Mohd Hanafiah telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) semalam. Katanya lagi, beliau diserang stroke ketika sedang bertugas di pejabat.

Sekitar jam 11.30 pagi juga, saya mendapat panggilan telefon daripada ibu pejabat PERTIS dan memaklumkan bahawa Cikgu Mohamed bin Ismail yang juga merupakan Yang Dipertua PERTIS juga telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Setakat yang saya telah maklum, keadaan kesihatan Cikgu Mohamae kembali tidak memuaskan sejak beberapa hari lalu. Kali terakhir saya berhubung dengan beliau ialah pada hari Isnin lalu untuk memaklumkan kepada beliau perkembangan terkini mengenai PERTIS.

Setakat ini, saya masih lagi belum terima butiran lanjut mengenai kedua-dua sahabat kita itu, termasuk di wad mana mereka ditempatkan. Insha-Allah, jika ada yang terkini, saya akan berkongsi dengan para pengunjung blog ini.

Walau bagaimanapun, marilah sama-sama kita memohon ke hadhrat Allah semoga kedua-dua sahabat kita itu akan pulih kesihatannya seperti sedia kala.

Tuesday, January 26, 2010

Bicara Umum

Sudut Bacaan Di gerai Makan



Di kebanyakan tempat, gerai makan tepi jalan seperti ini adalah pemandangan dan fenomena biasa. Oleh kerana tarafnya hanya sebuah gerai, maka kemudahan sampingan yang disediakan untuk para pelanggan juga kebiasaannya terhad dan minimum. Biasanya yang ada di gerai-gerai seumpama ini ialah peti TV yang berbunyi kuat. Adakalanya sukar untuk pelanggan lain berbual kerana kuatnya bunyi TV yang dibuka.

Namun begitu, ada sedikit kelainan pada Kak Yan Warung yang terletak di Taman Melati kerana di gerai ini ada disediakan sudut bacaan. Sementara menanti makanan yang telah dipesan tiba, para pelanggan boleh menyantap minda dengan bahan-bahan bacaan yang disediakan di sudut ini. Mungkin itulah yang diharapkan oleh pemilik gerai ini daripada sudut bacaan yang disediakan.



Setakat yang sempat kami belek, bahan-bahan bacaan yang tersedia tidaklah berat sangat. Kepelbagaiannya juga masih boleh ditambah. Walau bagaimanapun, kita harus dapat membezakan di antara perpustakaan lengkap dengan sudut bacaan di gerai makan.

Dari apa yang dapat saya perhatikan (melalui pendengaran), sebahagian besar para pelanggan di sini masih lagi berborak dan ketawa sambil menanti pesanan mereka tiba. Ini bermakna mereka tidak memegang sebarang bahan bacaan. Adakah mereka tidak perasan kewujudan sudut bacaan berkenaan? Ataupun mereka masih berpersepsi sudut berkenaan lebih merupakan sudut perhiasan daripada sudut bacaan! Yang pastinya, ia menunjukkan bahawa tabiat membaca masih jauh untuk menjadi budaya dalam masyarakat kita.

Adalah diharapkan, dengan adanya sudut bacaan seperti ini mungkin suatu hari kelak ia dapat mengubah budaya masyarakat kita yang kebiasaannya datang ke gerai makan hanya untuk berborak dan menyumbat perut semata-mata. Bagi saya tidak salah, bahkan patut digalakkan untuk melakukan aktiviti santapan minda walaupun di gerai-gerai makan seperti ini.

Untuk mengesahkan apa yang saya perhatikan tadi, saya sempat bertanya kepada pekerja gerai ini mengenai sambutan pelanggan terhadap sudut bacaannya. Kata pekerja berkenaan, setakat ini sambutannya belum lagi ke tahap menggalakkan. Katanya lagi, penambahbaikan akan diusahakan ke atas sudut bacaan berkenaan. Saya sempat bertanya kepada beliau, bila buku Braille boleh diletakkan di sudut bacaannya? Mungkin kakitangan berkenaan tidak menyangka soalan cepumas sebegitu boleh ditanyakan. Beliau terdiam seketika, akhirnya beliau menjawab: “Insha-Allah bang, suatu hari nanti kami usahakan”.

Sesungguhnya, kewujudan sudut bacaan di Kak Yan Warung patut dipuji dan harus disokong oleh semua pihak. Walaupun ia hanya bertaraf gerai tepi jalan, tetapi usahanya untuk memupuk “budaya membaca” dan “masyarakat berilmu” telah mengungguli sebilangan restoran makanan yang bersar, ternama lagi berjenama.

Saturday, January 23, 2010

Menungan Malam

Iktibar Daripada Kematian

Setiap makhluk Allah pasti akan melalui satu detik peristiwa yang dinamakan kematian. Walau bagaimanapun, tarikh/saat sebenar bila kematian itu akan kita lalui tidaklah diketahui kerana ia merupakan antara rahsia yang dirahsiakan oleh Allah daripada pengetahuan makhluk-Nya. Namun begitu, kemestian terhadap detik tersebut memang tidak tersangkal lagi. Sama ada kita suka atau tidak, sama ada kita sudah bersedia atau belum, atau semasa kita sedang lalai atau tatkala beringat, detik tersebut pasti akan datang menemui kita pada saat yang telah ditentukan-Nya.

Kematian juga akan datang menemui kita tanpa mengira siapa kita. Sama ada kita orang besar atau kecil, raja atau rakyat, orang beriman atau fasiq, ulamak atau juhalak, orang biasa atau luar biasa, golongan berkuasa atau tanpa kuasa, bila tiba masanya kita pasti akan ditemuinya. Bila tiba ketikanya, kita akan ke dalam tanah juga akhirnya.



Kematian juga akan datang kepada kita tanpa mengira apa yang sedang kita lakukan. Maka itulah ada yang mati tatkala sedang berehat. Ada yang mati selepas makan. Ada yang mati ketika sedang menyanyi. Ada yang mati dalam kapal terbang. Ada yang mati kemalangan. Ada yang mati ketika sedang solat. Ada yang mati dalam masjid. Bahkan ada juga yang mati di sarang maksiat dan di di meja arak dan judi. “Barang dijauhkan Allah daripada kita semua hendaknya”.

Ada kalanya manusia penuh dengan elemen pelik dan mengajaibkan.
Walaupun kematian itu berlaku pada setiap hari, saat dan waktu, namun masih ramai yang gagal mengambil iktibar daripadanya. Mereka tahu suatu hari nanti mereka akan ke dalam tanah juga. Namun begitu ia gagal menginsafkan golongan tersebut. Perbuatan maksiat, keji, derhaka kepada Allah, tinggalkan solat, hina-menghina,tidak amanah, menipu, memfitnah, pijak-memijak, dan sebagainya tetap berlaku dan secara berleluasa pula. Yang lebih pelik lagi, bila berlaku kematian dalam kalangan keluarga sendiri atau dalam kalangan sahabat handai yang akrab, ada golongan yang akan bersedih, tapi Cuma untuk sementara sahaja. Setelah berlalu beberapa ketika, bukan sahaja kesedihan itu hilang, bahkan mereka akan mengulangi semula perbuatan yang tidak baik itu. Seolah-olahnya kematian itu hanya untuk orang lain sahaja dan mereka yang berkenaan akan hidup selama-lamanya.

Sebagai makhluk yang lemah dan tidak berdaya, eloklah kita sama-sama sentiasa mengingati mati. Ingat kepada kematian tidak bermakna kita akan mundur. Sebaliknya jika kita mengingati mati dengan kaedah yang betul dan dengan penuh keinsafan, saya yakin kita akan beroleh kecemerlangan hidup di dunia dan juga di akhirat. Dengan mengingati mati, kita akan terhindar daripada sifat-sifat keji dan mazmumah seperti sombong, takabur, khianat, ujub, riak, hubbud-dunia, penyalahgunaan kuasa, tidak amanah, dan sebagainya. Mengingati mati bukan bermakna menolak kemajuan.

Sementara kita masih diberi peluang berada di dunia yang fana ini, marilah kita menanam sebanyak-banyaknya benih yang baik supaya kita dapat mengutip hasil yang baik ketika di akhirat nanti. Sesungguhnya kematian adalah suatu kepastian.

Ucapan Takziah

Sembah Takziah



Sekitar jam 11.30 malam tadi (Jumaat), saya mendengar pengumuman dari siaran TV yang mengumumkan bahawa ke bawah duli Tuanku Sultan Iskandar (sultan Johor) telah mangkat, berpindah dari alam fana ke alam baqa. Sebelumnya, pada jam 11.00 malam berita dari siaran radio masih memaklumkan bahawa DYTM Tengku Ibrahim Ismail telah dilantik sebagai pemangku raja kerana Tuanku Sultan gering. Menurut berita ke bawah duli Tuanku Sultan Iskandar telah pun mangkat di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru pada jam 7.15 malam (Jumaat).



Di sini, saya sekeluarga ingin merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat diraja Johor kerana telah berpulangnya ke bawah duli Tuanku itu. Memang sudah menjadi ketetapan daripada Yang Maha Esa bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui-Nya pada saat yang telah ditentukan.

Saya suka mengingatkan kepada diri saya dan kepada yang gemar mendengar peringatan, buat waktu ini elakkanlah daripada mengungkit dan mengorek cerita dan kisah kurang baik oleh Tuanku itu. Hal ini saya ketengahkan kerana sudah ada blogger yang mula memaki-hamun antara satu sama lain gara-gara mangkatnya ke bawah duli Tuanku itu. Baginda yang mangkat, mengapa pula orang lain yang harus bermaki-hamun antara satu sama lain? Sepatutnya kematian akan membuatkan kita lebih insaf, bukannya sebaliknya.

Pun begitu, saya sama sekali bukanlah bertujuan untuk menolak hakikat bahawa "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama". Oleh itu, sementara nyawa masih terpinjam, sama-samalah kita berdoa agar kita semua akan mati dalam kebaikan dan akan meninggalkan nama yang baik pula.