Monday, September 25, 2017

Untuk Tatapan Pemandu Kenderaan Terpilih





Apa yang dipaparkan ini adalah untuk tatapan, renungan serta nasihat kepada para pemandu kenderaan terpilih. Kata orang tua-tua, beringat sebelum kena. Jangan kerana kecuaian anda, orang lain yang jadi mangsa.




(Klik di bawah untuk sumber maklumat serta tatapan lanjut)

https://www.instagram.com/p/BZHxSxmFVz9/?r=wa1

Kalau tidak mahu sama dengan spesies ******** silalah guna signal kenderaan pada ketika yang betul.

Sunday, September 24, 2017

Din Corner, Jasin




Din Corner merupakan antara tempat menjamu selera yang terkenal di Jasin. Letaknya tidak jauh daripada bandar Jasin sendiri iaitu sekitar 1km sahaja. Lokasi tepatnya ialah di Jalan Air Baruk iaitu bersebelahan dengan Masjid Air Baruk. Menurut cerita yang saya pernah dengar, kewujudannya sudah lama. Tempat makan ini dibuka hampir setiap hari dari jam 5.30 hinggalah ke jam 1 pagi.



Saya sendiri sudah beberapa kali singgah dan menjamu selera di tempat makan ini. Kali akhir saya singgah ialah pada 23 September di sebelah malam bersama keluarga.



Antara kelebihan tempat makan ini ialah pelbagai jenis juadah ada di sini. Ia merangkumi hampir semua jenis masakan panas, satay, burgar, dan pelbagai lagi. Maka itulah pengunjungnya sentiasa ramai.

Satu lagi keistimewaan tempat makan ini ialah ia turut dikunjungi pelbagai bangsa. Setiap kali saya berkunjung ke sini, telinga saya pasti dapat menangkap perbualan dalam bahasa Cina dan Tamil.

Jadi jika ada rakan-rakan yang akan ke Jasin, bolehlah singgah di tempat makan ini untuk menjamu selera.


Friday, September 22, 2017

Salam Maal Hijrah 1439





Hari ini, kita telah pun memasuki ke tahun baru Hijrah 1439. Ini bermakna, usia kita telah meningkat setahun lagi. Kita semakin jauh meninggalkan usia remaja. Kita juga semakin jauh meninggalkan kenangan silam yang pelbagai. Serentak dengan itu juga, kita akan semakin hampir dengan usia tua dan juga kematian. Kedua-duanya sedang menanti kita tanpa kita mengharapkannya. Demikianlah.

Sama ada kita bersedia atau sebaliknya, usia tua dan juga kematian tetap akan mendatangi kita suatu ketika nanti. Usia tua dan saat ketibaan ajal merupakan dua perkara yang hampir semua orang ingin menjauhinya. Semakin kita ingin menjauhinya, ia semakin hampir dengan kita. Itulah hakikat dan realiti yang harus kita sama-sama hadapi sama ada kita suka atau pun sebaliknya.

Justeru, bersempena dengan ketibaan tahun baru Hijrah 1439 ini, saya ingin mengajak diri sendiri dan juga kita semua untuk mengubah persepsi dan sudut pandangan kita mengenai dua perkara tersebut, iaitu usia tua dan juga kematian. Jika sebelum ini kita seakan memusuhinya, enggan berbual tentangnya, sering berkeadaan tidak bersedia untuk menghadapinya, sering kali mencari jalan untuk mengelakkan diri daripadanya serta sering sensitif tak tentu hala bila dikaitkan dengan dua perkara tersebut, kita ubah kepada sentiasa membuat persediaan untuk menghadapinya, suka dan gembira bila ada pihak yang mengingatkan kita kepadanya, sering kali membuat penilaian kendiri mengenai tahap persediaan diri sendiri untuk menghadapi saat ketibaannya serta akan berdukacita jika tiada siapa pun yang sudi mengingatkan kita kepada kedua-dua perkara tersebut.

Jika kita berjaya mengubah cara berfikir mengenai dua perkara di atas, maka kita tidak perlu lagi mencari ubat untuk panjang umur. Kita juga tidak perlu lagi bersusah-payah mencari formula untuk sentiasa kelihatan muda remaja. Kalau dah tua tu, tua jugalah. Kadang kala kasihan juga saya kepada mereka yang tak pernah putus asa untuk mencari kaedah agar sentiasa nampak muda macam si manis 17. Mungkin (untuk jangka pendek) sebilangan orang seakan berjaya menampilkan wajah yang sentiasa muda remaja, dapat menghilangkan kedut seribu di kulit atau di pipi, tetapi mereka lupa bahawa suara mereka tetap bunyi tua dan ganyut juga. Dengan erti kata lain, golongan berkenaan lupa untuk turut sama memudaremajakan suara mereka. Hasilnya, walaupun orang kata wajah mereka tak dimakan usia, tapi bila dengar suara saja, macam nak terkeluar gegendang telinga dibuatnya!

Oleh itu, kita tidak perlu menghijrahkan jasad kita ke mana-mana lagi, cukuplah jika kita berjaya menghijrahkan sudut pandangan kita, persepsi serta cara berfikir kita tentang usia tua dan juga saat ketibaan ajal kita nanti. Pada hemat saya, jika kita benar-benar berjaya menghijrahkan tanggapan kita tentang dua perkara di atas kepada yang lebih positif, insha-Allah kitalah antara makhluk Tuhan yang paling berbahagia sekali dalam hidup ini.

Saya sekadar melontarkan pandangan sahaja.

Klik di sini untuk mendengar lagu Maal Hijrah

Selamat menyambut tahun Hijrah 1439.


Sunday, September 17, 2017

Muhammad Mohd Taib Sekadar Pulang Ke Pangkuan Parti Lamanya




Petang tadi, satu sidang media telah diadakan di ibu pejabat UMNO. Kalau ditinjau media sebelumnya, seolah-olahnya ada perkara besar dan mustahak yang bakal diumumkan oleh presiden UMNO. Maka meriahlah sesi andai-mengandai dalam media sosial.

Klik di sini untuk menonton sebab kemasukan semula Tan Sri Muhammad Mohd Taib ke dalam UMNO

Akhirnya teka-teki terjawab juga apabila pengumuman penting yang dimaksudkan ialah mengumumkan kemasukan semula Tan Sri Muhammad Mohd Taib ke dalam UMNO. Bagi saya, kemasukan semula Tan Sri Muhammad ke dalam UMNO tak ubah bagai sirih pulang ke ganggang. Sudah tentulah kemasukan Tan Sri Muhammad mendapat ulasan yang begitu positif daripada para pemimpin UMNO. Pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki oleh Tan Sri Muhammad selama sekitar 5 tahun sewaktu dalam tempoh “cuti belajar” bersama pembangkang amat berguna dan sangat diperlukan oleh UMNO/BN ke arah memantapkan parti berkenaan dalam meredah gelombang dan cabaran dalam PRU ke-14 nanti.

Sewaktu mula-mula menyertai pembangkang dahulu, Tan Sri Muhammad telah menjadi ahli PAS. Walau bagaimanapun, pada tahun 2015 beliau telah meninggalkan PAS lantaran tersisihnya golongan profesional dalam parti berkenaan. Seterusnya Tan Sri Muhammad telah menyertai PKR pula. Adalah diharapkan pengalaman yang ada pada beliau dapat mengukuhkan lagi PKR pada masa akan datang.

Namun demikian, panas yang diharapkan hingga ke petang, tiba-tiba awan mendung dan hujan pula di tengah hari. PKR bukan sahaja gagal memanfaatkan apa yang ada pada Tan Sri Muhammad, kini beliau bukan sahaja keluar daripada PKR bahkan sudah kembali semula ke pangkuan parti lamanya. Jika Tan Sri Muhammad keluar PKR dan masuk BERSATU, ia mungkin tidak memberi kesan kepada gabungan Pakatan Harapan.

Kini setelah kembali semula ke pangkuan UMNO, Tan Sri Muhammad bolehlah berkawan semula dengan PAS. Dengan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi semasa “cuti belajar” tempoh hari, Tan Sri Muhammad mungkin berupaya untuk melunakkan para pemimpin spiritual PAS untuk terus menerima golongan profesional dalam UMNO pula.

Kemasukan semula Tan Sri Muhammad Mohd Taib ke dalam UMNO sedikit sebanyak bakal memberi kesan kepada gabungan pembangkang dalam menghadapi pilihanraya umum (PRU) yang akan datang. Sedikit sebanyak strategi lawan sudah ada dalam poket beliau. Dalam keadaan sekarang, kemasukan semula Tan Sri Muhammad ke dalam UMNO merupakan aset yang cukup penting khasnya dalam usaha menawan semula Selangor daripada pembangkang.

Namun demikian, sekiranya gagal ditangani dari awal, kemasukan semula Tan Sri Muhammad ke pangkuan UMNO boleh menjadi musibah besar pula. Ada kemungkinan wujud persaingan antara Tan Sri Muhammad dengan Tan Sri Noh Omar khususnya di Selangor. Sekiranya hal sebegini terjadi, sudah tentulah kemasukan semula beliau ke dalam UMNO sekadar membawa malang.

Namun demikian, saya percaya perkara sebegini sudah pun difikirkan dengan masak oleh ahli bijak pandai politik dalam UMNO. Para ahli politik yang bijak pandai dan pemimpin tertinggi dalam UMNO sudah tentunya ingin memastikan supaya panas yang sedang terik ini akan berterusan hingga ke petang, kalau boleh biar sampai maghrib dan melewati waktu isya.

Dalam politik, puji dan caci adalah perkara biasa. Dengan erti kata lain, kalau tak sanggup kena maki dan caci tak payahlah terjun dalam kubang politik. Jadi, pujian dan cacian yang sedang diterima serentak oleh Tan Sri Muhammad Mohd Taib pada waktu ini mungkin sudah merupakan asam garam yang tak ubah bagai alah bisa tegal biasa bagi beliau.

Sesungguhnya dalam politik tiada musuh yang abadi dan tiada kawan yang sejati.


Mengunjungi Yusiran Lagi





Pada 16 September (Sabtu), saya berkesempatan mengunjungi Saudara Yusiran untuk kali kedua pada bulan ini. Walau bagaimanapun kunjungan saya kali ini agak pendek iaitu sekitar 15 minit sahaja.

(Saya dan Yusiran)


Setibanya saya dan keluarga di rumahnya, pada pendengaran saya suasana rumahnya sunyi sahaja. Kebetulan salahseorang anak saudaranya ada di luar rumah dan beliau memberitahu saya Yusiran ada di dalam. Mungkin setelah mendengar kehadiran saya, Yusiran terus keluar di ruangan yang biasa tempat kami bertemu dan berbual. Kata Yusiran, kebanyakan ahli keluarganya sedang menghadiri satu majlis perkahwinan.

(Saya menyampaikan sumbangan daripada Cikgu Fekkeri kepada Yusiran)


Setelah bertanya khabar, saya terus menyampaikan sumbangan beberapa pihak kepadanya. Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah menyumbang senaskah Alquran Braille kepada beliau. Selain itu, Cikgu Fekkeri juga turut menyumbang seunit radio Alquran lengkap 30 juzuk yang membolehkan Yusiran mendengar Alquran secara audio. Di samping itu, Cikgu Fekkeri juga turut menyumbang sejumlah wang tunai untuk Yusiran.

Di samping itu, saya juga turut membawa seunit telefon bimbit yang telah dilengkapi dengan perisian Talks oleh Saudara Amat Onggak. Telefom berkenaan asalnya memang milik Yusiran tetapi tiada perisian Talks.

(Saya menyampaikan senaskah Alquran Braille sumbangan PERTIS)


Alhamdulillah, masih ada rakan dan kawan yang ingat pada Yusiran. Insha-Allah kita akan membantu setakat kemampuan yang ada. Sebenarnya bukan untuk Saudara Yusiran sahaja, bantuan dan ingatan seumpama ini tetap ada kepada sesiapa sahaja terutamanya yang sedang ditimpa kesusahan.

(Saya dan Yusiran sebelum berpisah)


Setelah 15 minit, saya sekeluarga pun beredar dari rumah Yusiran. Haluan saya selanjutnya ialah ke Hospital Jasin kerana ibu saya sedang menerima rawatan di sana.


Saturday, September 16, 2017

Genap Setahun Ustaz Harun Din Menghadap Ilahi




Pada 16 September 2016, kita digemparkan dengan berita kembalinya ke rahmatullah Datuk Dr. Harun Din. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di Amerika Syarikat. Allahyarham kemudiannya telah dikebumikan di Amerika Syarikat bumi di mana beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya.

Ustaz Harun Din merupakan antara ulamak dan ilmuwan Islam tersohor di tanah air. Bahkan Allahyarham juga turut dikenali dengan meluas di peringkat antarabangsa. Ia sekaligus membuktikan keilmuwan Allahyarham khususnya dalam bidang keagamaan amat dihormati dan disegani.

Sebelum Allahyarham menyerlahkan pendirian politiknya, beliau sering muncul di kaca TV dalam pelbagai topik dan isu keagamaan. Saya masih ingat lagi, pada dekad 90-an lalu, sewaktu muncul objek di langit, beliau antara tokoh yang telah mengutarakan pandangannya mengenai hal tersebut di kaca TV. Selain itu, beliau juga pernah mengulas isu kehilangan ayat-ayat Alquran tertentu daripada naskah tertentu.

Ustaz Harun Din juga amat terkenal dalam bidang perubatan Islam. Saya masih ingat, ada ahli politik tertentu ketika itu yang memperlekehkan pengetahuan dan kemahiran Allahyarham dalam bidang perubatan Islam. Maklumlah ada orang tertentu yang hanya melihat ilmu perubatan dari sudut saintifik semata-mata memang sukar untuk menerima hakikat bahawa penyakit juga boleh sembuh dengan keberkatan ayat-ayat Alquran dan doa menerusi hadith-hadith Nabi.

Namun demikian, dalam bidang politik Allahyarham kurang berjaya. Beliau beberapa kali tewas dalam pilihanraya, antaranya beliau pernah tewas di DUN Tambun Tulang dan juga di parlimen Arau.

Biar apa pun pendirian politiknya, keilmuwan Allahyarham Ustaz Harun Din tetap dihormati oleh pelbagai pihak. Justeru, perginya Allahyarham menghadap Ilahi setahun yang lalu sebenarnya telah meninggalkan suatu kekosongan khususnya dalam bidang keagamaan. Pemergian beliau tak ubah umpama yang patah tak akan tumbuh, yang hilang tak berganti lagi. Semoga Allahyarham sentiasa diampuni Allah dan dihimpunkan beserta dengan para solihin.

Alfatihah ....


Thursday, September 14, 2017

Pn. Halimah Yaacob Presiden Wanita Pertama Singapura




13 September 2017 merupakan detik yang cukup bersejarah bagi seluruh rakyat Singapura. Pada tarikh berkenaan, Pn. Halimah Yaacob telah diisytiharkan sebagai bakal presiden selanjutnya bagi republik berkenaan.

Klik di sini untuk pengisytiharan Pn Halimah Yaacob sebagai presiden

Pn. Halimah Yaacob merupakan presiden Melayu kedua di Singapura selepas Yusuf Ishak (1965-1971). Walau bagaimanapun, Pn. Halimah Merupakan presiden wanita pertama di Singapura. Ia merupakan satu pencapaian yang cemerlang bagi seorang wanita di republik tersebut.

Klik di sini untuk latar belakang ringkas Pn. Halimah Yaacob

Seperkara yang harus kita ingat ialah, berdasarkan latar belakang beliau, Pn. Halimah telah berjaya mencapai pada kedudukan beliau sekarang melalui dasar meritokrasi yang selama ini dipraktikkan oleh republik Singapura. Pada hemat saya, gaya dan cara beliau mungkin berbeza daripada orang Melayu di luar negaranya. Sudah tentulah Pn. Halimah mempunyai sifat dan sikap yang kental, berdaya saing, berminda terbuka serta berwawasan jauh, maka itulah beliau berjaya mencapai ke tahapnya sekarang di tengah-tengah sistem meritokrasi negaranya.

Walaupun Pn. Halimah Yaacob adalah seorang Melayu, tetapi beliau adalah Melayu Singapura masa kini yang tentunya sudah jauh bezanya dengan Melayu bukan Singapura dalam pelbagai aspek.


Monday, September 11, 2017

Merafak Ucapan Takziah




Dengan kehendak Allah jua, maka pada hari ini (Isnin), 11 September 2017 bersamaan 20 Zulhijjah 1438, maka telah mangkat Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Ibn Almarhum Sultan Badli Shah di Istana Anak Bukit pada jam 2.30 petang.

Klik di sini untuk pengumuman rasmi tentang kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah

Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah merupakan antara raja Melayu yang lama bertakhta iaitu sekitar 59 tahun lamanya. Baginda juga turut melakar sejarah bilamana berpeluang untuk menjawat jawatan Yang Di-Pertuan Agong sebanyak dua kali. Kali pertama baginda menjadi Yang Di-Pertuan Agong ialah dari tahun 1970 – 1975 dan dari tahun 2011 – 2016 untuk kali keduanya.

Klik di sini untuk membaca biodata ringkas Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah

Dengan ini, dengan penuh rasa dukacita yang amat sangat, saya merafakkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh kerabat diraja Kedah serta kepada seluruh rakyat Kedah Darul-Aman di atas kemangkatan dan kembalinya ke rahmatullah Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Ibn Almarhum Sultan BadliShah.



Sesungguhnya kemangkatan baginda merupakan satu kehilangan bukan sahaja kepada negeri Kedah, bahkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga roh almarhum akan sentiasa dicucuri rahmat setiap ketika, akan beroleh keampunan serta dihimpunkan bersama-sama para solihin.

Alfatihah ....






Alex Lee Guan Hock Meninggal Dunia (Catatan Lewat)




Salah seorang rakan senasib, Saudara Alex Lee Guan Hock telah meninggal dunia malam tadi sekitar jam 8.30 malam. Namun demikian, hanya pagi tadi saya baru mendapat khabar berkenaan melalui Tn. Hj. Muhammad Lee, salah seorang adik mendiang. Seorang lagi adik Alex ialah Saudara Muhammad Adam Lee.

Alex merupakan seorang kawan yang baik. Saya telah mengenali beliau sejak tahun 1982 lagi. Sewaktu beliau bertugas di SBM HQ, saya sering juga minta bantuan beliau terutama yang berkaitan dengan urusan audio. Beliau juga merupakan antara penggerak penting dalam pelaksanaan rakaman dan pengedaran bahan-bahan audio SBM yang telah memberi manfaat kepada ramai ahli. Bermula dari era pita kaset hinggalah ke pengedaran bahan audia berbentuk CD, Alex adalah penggerak utama yang sukar dicari ganti. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan pengedaran pelbagai bahan berita menerusi e-mail hari ini telah bermula dengan program penyediaan bahan audio pita kaset. Penggerak utamanya sudah tentulah Alex dan juga Saudara Azmi Anuar.

Bagi saya, kepakaran pengendalian perkakasan audio yang ada pada beliau sukar untuk ditandingi oleh orang lain. Setakat yang saya tahu, Alex tidak pernah mendapat latihan dalam bidang yang berkaitan di mana-mana institusi. Namun dengan dorongan minat yang mendalam, beliau sentiasa komited dalam melaksanakan tugasnya.

Kepada seluruh ahli keluarga mendiang Alex, saya ucapkan takziahyang sedalam-dalamnya. Hari ini, kita semua kehilangan seorang lagi rakan yang baik hati, ringan tulang dan ikhlas dalam persahabatan.


Sunday, September 10, 2017

Majlis Perkahwinan Rifaat Dan Norlina








Pada 9 September (Sabtu), saya sekeluarga berpeluang menghadiri majlis perkahwinan Mohd Rifaat Hussin dengan pasangannya Norlina Mohamad. Majlis telah berlangsung di Jalan Tunku Kursiah, Seremban, Negeri Sembilan. Sekitar sebulan lalu, Rifaat sendiri telah datang ke sekolah untuk mengedarkan kad jemputan majlis perkahwinannya.

(Saya bersama pasangan mempelai)


Saya dan keluarga tiba di lokasi majlis sekitar jam 2.00 petang. Waktu itu hujan gerimis. Kedua-dua ibu bapa Rifaat telah menyambut kehadiran kami dengan cukup mesra. Saya turut menyampaikan hadiah perkahwinan sumbangan bekas beberapa orang guru Rifaat yang tidak dapat hadir.

(Saya menyampaikan hadiah daripada bekas beberapa orang guru Rifaat yang tidak dapat hadir)


Mohd Rifaat merupakan bekas murid SMPK Setapak. Beliau kemudiannya telah berjaya melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya (UM).

(Menteri Besar NS juga turut hadir)


Antara tetamu kenamaan yang turut hadir dalam majlis ini ialah YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Haji Muhammad Haji Hassan.

Pada pendengaran saya, majlis perkahwinan tetap meriah walaupun disirami hujan tengah hari. Ia diserikan lagi bilamana beberapa orang rakan Rifaat yang lain turut sama hadir bagi memeriah dan mendoakan segala yang baik untuk Rifaat dan pasangannya.



Kepada Rifaat, selamat pengantin baru diucapkan. Doa saya semoga kekal bahagia hingga ke Jannah.


Thursday, September 7, 2017

Aktiviti Lawatan Ke Muzium Diraja Kuala Lumpur





Pada 7 September 2017 (Khamis), seramai 36 murid tingkatan 5 dan 4 sekolah tempat saya bertugas telah mengadakan aktiviti lawatan ke Muzium Diraja, Kuala Lumpur. Aktiviti lawatan ini dirancang bersempena dengan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah yang masih berlangsung. Saya sendiri telah bertindak selaku penyelaras untuk aktiviti lawatan kali ini. Saya turut disertai oleh Cikgu Liana, Cikgu Jorianna Tan dan Pn. Azlina selaku guru pengiring.


(Saya bersama murid-murid di hadapan Muzium Diraja)


Saya pernah mengunjungi Muzium Diraja ini pada 7 Mei yang lalu. Berdasarkan kunjungan itulah saya berpendapat ia boleh memberi manfaat kepada murid-murid saya menerusi aktiviti lawatan. Walaupun tidak banyak bahan/barang pamiran yang boleh disentuh, tetapi melalui pelbagai catatan yang ada , ia masih boleh memberi maklumat kepada murid-murid saya. Guru-guru pengiring akan membacakan kepada murid-murid saya setiap catatan yang ada. Selain itu, guru-guru pengiring juga sedaya upaya telah memberi penerangan tentang setiap gambar yang dipamirkan.


(ada pengunjung lain yang ingin bergambar dengan kami)


Di samping itu, murid-murid saya juga dapat merasai suasana sebuah istana. Melalui pergerakan dalam muzium berkenaan, mereka juga dapat merasai keluasan sebuah istana kediaman raja. Di samping itu, melalui sentuhan pada pintu, dinding, tangga serta langsir yang terdapat dalam muzium berkenaan, murid-murid saya juga dapat merasai betapa berkualiti dan mahalnya bahan dan barangan yang terdapat dalam sebuah istana. Demikianlah.

Klik di sini untuk maklumat ringkas mengenai Muzium Diraja

Walau bagaimanapun, saya sedikit terkilan kerana lawatan kami kali ini tidak dapat memasuki balai pamiran (dahulunya balairong seri). Saya dimaklumkan oleh seorang kakitangan yang bertugas, balai berkenaan baru sahaja ditutup kepada pengunjung pada 4 September yang lalu. Semasa lawatan saya pada Mei lalu, saya memang berkesempatan memasuki balai berkenaan dan dapat merperoleh banyak info menerusi barang dan pelbagai catatan yang terdapat dalam balai berkenaan. Apa yang saya kesalkan ialah sewaktu saya berhubung dengan pihak Muzium Diraja (menerusi telefon) beberapa kali sebelum ini, mereka sedikit pun tidak memaklumkan kepada saya tentang penutupan balai pamiran selepas 4 September.


(Waktu untuk pulang)


Adalah tidak benar sama sekali bila ada pihak yang berpendapat mereka yang cacat penglihatan tidak sesuai untuk dibawa melawat ke tempat-tempat seperti ini. Kami ada pelbagai cara tersendiri untuk beroleh manfaat di mana sahaja kami lawati. Walaupun kami tidak akan dapat semua perkara, tetapi kami juga tidak akan tercicir semua perkara.


Wednesday, September 6, 2017

Harga Petrol Terus Naik





Sekitar jam 7.00 petang tadi, saya telah melewati sebuah stesen minyak dan mendapati banyak kenderaan mula beratur untuk membeli minyak kenderaan masing-masing. Keadaan ini membolehkan saya meneka dengan tepat iaitu harga petrol bermula esok (7 September) pastinya terus naik. Jangkaan saya memang tidak meleset bilamana info yang saya perolehi menerusi internet mengesahkan apa yang telah diduga

Klik di sini untuk melihat secara terperinci harga mingguan petrol

Mulai esok, harga Ron97 akan naik 4 sen seliter daripada RM2.44 kepada RM2.48 seliter. Manakala minyak Ron95 pula akan naik 4 sen selitar juga iaitu daripada RM2.16 kepada RM2.20 seliter.

(Pemandangan di salah sebuah stesen minyak di ibu kota)


Nampaknya dua bulan terakhir ini harga petrol dan diesel secara umumnya menunjukkan trend penaikan. Ini juga mungkin petanda bahawa pilihanraya umum tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Antara tanda penting pilihanraya umum semakin hampir ialah apabila harga minyak menunjukkan trend penurunan.

Kenderaan saya juga turut sama beratur untuk mengisi minyak kemudiannya.


Monday, September 4, 2017

Mengunjungi Yusiran





Pada 3 September (Ahad), saya dan isteri berkesempatan mengunjungi Saudara Yusiran Ahmad di kediamannya yang terletak sekitar 3 km sahaja dari bandar Jasin. Seperti kunjungan sebelum ini, Yusiran seperti biasa sahaja. Beliau tetap merindui kehidupannya masa lalu. Kl tetap tidak luput dari ingatannya.

(Yusiran)


Sebagaimana biasa juga, beliau tetap menanti kehadiran rakan dan teman-teman lamanya. Setiap kali saya datang, Yusiran tentu suka dan gembira. Sesiapa yang pernah mengunjungi Yusiran sebelum ini tentu lebih memahami apa yang saya katakan.

(Saya dan Yusiran)


Yusiran juga ada memberitahu saya, beberapa minggu lalu ada beberapa rakan yang mengunjunginya. Yusiran juga ada beritahu, ada juga rakan yang merancang untuk mengunjunginya tetapi terpaksa membatalkannya di saat akhir atas sebab tertentu. Itu bukanlah salah sesiapa. Lain kali bila ada kesempatan, kita ziarahi Yusiran lagi. Demikianlah.

Untuk pengetahuan bersama, setiap minggu Yusiran akan ke hospital Jasin sebanyak 3 kali untuk rawatan dialesis iaitu pada hari selasa, khamis dan sabtu. Maklumat ini agak penting terutama bagi sesiapa yang merancang untuk menziarahi beliau.

(Waktu berpisah)


Setelah sekitar setengah jam, saya dan isteri meminta diri. Maklumlah cuaca pun kurang baik. Jika tiada aral, kami akan bertemu lagi 3 minggu yang akan datang, insha-Allah.


Thursday, August 31, 2017

Lagu Tanggal 31 Ogos




Tatkala musim sambutan bulan kebangsaan negara kita, antara lagu patriotik yang popular berkumandang di mana-mana ialah lagu Tanggal 31 Ogos nyanyian asal Ahmad CB.

Klik di sini untuk mendengar lagu asal 31 Ogos oleh Ahmad CB

Sebagai pengetahuan bersama, Ahmad CB atau nama panjangnya Ahmad Chass Barra lahir di Medan, Indonesia. Beliau kemudiannya telah berhijrah ke Malaya untuk mencari untung nasib di rantau orang.

Klik di sini untuk rujukan lanjut tentang Ahmad CB

Klik juga di sini untuk rujukan lanjut tentang Ahmad CB

Walaupun beliau bukan asal orang Tanah Melayu, tetapi antara lagu popular beliau ialah tentang kemerdekaan Tanah Melayu iaitu Tanggal 31 Ogos. Lagu berkenaan kemudiannya telah dipopularkan semula oleh penyanyi Sudirman Hj Arshad.

Klik di sini untuk mendengar lagu 31 Ogos versi Sudirman Hj Arshad

Walaupun Ahmad CB kelahiran Medan, Indonesia, tetapi semangat patriotisme yang ditiupnya menerusi lagu ciptaan beliau tetap bersemarak mewarnai negara Malaysia. Mungkin ada benarnya kata-kata, Selat Melaka bukan pemisah, tetapi penyambung antara dua pantai.

Selamat ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-60.


Wednesday, August 30, 2017

Majlis Pernikahan Anak Saudara Sebelah Isteri di Jengka (Catatan Lewat)






Pada 27 Ogos (Ahad), lalu, saya sekeluarga telah menghadiri majlis pernikahan anak saudara lelaki sebelah isteri saya. Majlis akad nikah telah berlangsung di Masjid As-Solihin, Jengka 4, Pahang, manakala kendurinya pula telah diadakan di rumah keluarga pengantin perempuan yang tidak jauh dari masjid berkenaan. Nampaknya hujung minggu lalu, dua hari berturut-turut saya menghadiri majlis akad nikah.

(Pasangan mempelai)


Pengantin lelaki iaitu Syed Muhammad Shafie bin Syed Ahmad kini sedang bertugas dengan Jabatan Agama Islam Pahang. Beliau berkelulusan Syariah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Majlis telah berlangsung secara sederhana tetapi meriah dan lancar. Khutbah nikah telah dibacakan sendiri oleh abang ipar saya yang juga bapa kepada pengantin lelaki. Dengan sekali lafaz, anak saudara lelaki kami sudah berstatus suami. Maka bermulalah tugas dan tanggungjawab barunya sebagai seorang hamba Allah.

Klik di sini untuk menonton lagu Maher Zain yang ditujukan khas untuk mempelai

Sebagaimana doa dalam lagu berkenaan, demikianlah juga doa kami seisi keluarga untuk kedua-dua mempelai. Semoga kekal bahagia hingga ke jannah.

Di bawah ini dikongsikan sebahagian kecil foto majlis berkenaan.