Wednesday, June 29, 2016

David Cameron




Pada 23 Jun (Khamis) yang lalu, Britain telah mengadakan pungutan suara bagi memilih sama untuk kekal dalam Kesatuan Eropah (EU) ataupun keluar daripada kesatuan tersebut. Hasil pungutan suara berkenaan ialah 51% rakyat Britain ingin negara tersebut keluar daripada EU.Manakala 48% ingin agar Britain kekal dalam EU.

Dari satu sudut, pungutan suara berkenaan tidak menjejaskan kedudukan David Cameron sebagai perdana menteri Britain. Ia sekadar penentuan hala tuju kepada salah satu dasar luar negara berkenaan sahaja.




Namun demikian, tidak lama selepas keputusan pungutan suara berkenaan diumumkan, David Cameron telah membuat pengumuman iaitu beliau akan meletakkan jawatannya selaku perdana menteri menjelang Oktobor hadapan. Sebelum ini David Cameron merupakan antara tokoh yang kuat berkempen agar Britain terus kekal dalam EU. Berdasarkan keputusan majoriti tipis rakyat Britain, apa yang diputuskan tidak sehaluan dengan dasar luar David Cameron. Walaupun keputusan rakyat Britain tidak menjejaskan kedudukan beliau selaku perdana menteri, tetapi atas rasa bertanggungjawab dengan kegagalannya untuk mempengaruhi rakyat Britain supaya memilih kekal dalam EU, David Cameron telah mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan perdana menteri yang disandangnya.

Dalam hal ini, David Cameron telah mengutamakan kehendak majoriti rakyat Britain. Beliau tidak menggunakan kedudukannya selaku pemimpin utama Britain untuk memaksa rakyatnya supaya ikut apa sahaja telunjuknya. Beliau berlapang dada dan bersikap terbuka untuk menerima kehendak majoriti rakyat Britain walaupun ia tidak sehaluan dengan kemahuannya sendiri.

Untuk itu, beliau merasakan demi kebaikan rakyat dan negaranya eloklah jika beliau melepaskan jawatannya selaku perdana menteri Britain. Inilah antara contoh pemimpin yang boleh diteladani. Walaupun parti pimpinannya masih boleh menerima kepimpinan beliau, tetapi David Cameron telah membuat satu keputusan yang lebih baik untuk rakyat dan negaranya iaitu dengan melepaskan kerusi perdana menteri yang didudukinya.


Sunday, June 26, 2016

Masjid Jamik Jalan Tun Perak Kuala Lumpur




Semalam (25 Jun), saya sekeluarga telah berkunjung ke Masjid Jamik Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Tujuan kunjungan kami adalah untuk membantu anak tunggal kami bagi menyiapkan tugasan untuk mata pelajaran Sejarah dalam PT3. Saya telah mencadangkan kepadanya untuk menjadikan Masjid Jamik Jalan Tun Perak sebagai bahan tugasannya.

Secara peribadi, memang masjid ini mempunyai kenangan tersendiri bagi saya. Sewaktu saya menuntut di sekolah menengah dahulu iaitu di St. John’s Institution yang mana lokasinya tidak jauh dari masjid ini, di sinilah saya sering menunaikan solat Jumaat hampir setiap minggu. Ketika itu, saya memang mahir dengan jalan dan kawasan sekitar masjid ini. Bahkan saya berupaya berjalan seorang diri dari sekolah ke masjid ini untuk solat Jumaat.

Hari ini keadaannya sudah banyak berubah. Jadi saya tidak lagi mempunyai keyakinan seperti dahulu untuk bergerak seorang diri di kawasan ini. Inilah perubahan namanya.

Di bawah ini, saya sisipkan beberapa foto yang mungkin boleh membantu murid tingkatan 3 yang kebetulan turut menjadikan masjid jamik ini sebagai bahan tugasan sejarah masing-masing. Mudah-mudahan perkongsian ini ada manfaatnya, insha-Allah.