Wednesday, June 29, 2016

David Cameron




Pada 23 Jun (Khamis) yang lalu, Britain telah mengadakan pungutan suara bagi memilih sama untuk kekal dalam Kesatuan Eropah (EU) ataupun keluar daripada kesatuan tersebut. Hasil pungutan suara berkenaan ialah 51% rakyat Britain ingin negara tersebut keluar daripada EU.Manakala 48% ingin agar Britain kekal dalam EU.

Dari satu sudut, pungutan suara berkenaan tidak menjejaskan kedudukan David Cameron sebagai perdana menteri Britain. Ia sekadar penentuan hala tuju kepada salah satu dasar luar negara berkenaan sahaja.




Namun demikian, tidak lama selepas keputusan pungutan suara berkenaan diumumkan, David Cameron telah membuat pengumuman iaitu beliau akan meletakkan jawatannya selaku perdana menteri menjelang Oktobor hadapan. Sebelum ini David Cameron merupakan antara tokoh yang kuat berkempen agar Britain terus kekal dalam EU. Berdasarkan keputusan majoriti tipis rakyat Britain, apa yang diputuskan tidak sehaluan dengan dasar luar David Cameron. Walaupun keputusan rakyat Britain tidak menjejaskan kedudukan beliau selaku perdana menteri, tetapi atas rasa bertanggungjawab dengan kegagalannya untuk mempengaruhi rakyat Britain supaya memilih kekal dalam EU, David Cameron telah mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan perdana menteri yang disandangnya.

Dalam hal ini, David Cameron telah mengutamakan kehendak majoriti rakyat Britain. Beliau tidak menggunakan kedudukannya selaku pemimpin utama Britain untuk memaksa rakyatnya supaya ikut apa sahaja telunjuknya. Beliau berlapang dada dan bersikap terbuka untuk menerima kehendak majoriti rakyat Britain walaupun ia tidak sehaluan dengan kemahuannya sendiri.

Untuk itu, beliau merasakan demi kebaikan rakyat dan negaranya eloklah jika beliau melepaskan jawatannya selaku perdana menteri Britain. Inilah antara contoh pemimpin yang boleh diteladani. Walaupun parti pimpinannya masih boleh menerima kepimpinan beliau, tetapi David Cameron telah membuat satu keputusan yang lebih baik untuk rakyat dan negaranya iaitu dengan melepaskan kerusi perdana menteri yang didudukinya.


No comments: