Sunday, November 29, 2009

Cikgu Salmah Binti Osman

Dalam tulisan saya mengenai Cikgu Sulaiman bin Shafie, seorang pengunjung blog ini ada mencadangkan agar saya turut menulis kisah mengenai Cikgu (Ustazah) Salmah binti Osman. Saya kira cadangan pengunjung berkenaan sangat baik. Maka saya pun menimpan cadangan tersebut kejap-kejap dan berazam akan memaparkan tulisan mengenai Cikgu Salmah bila tiba masa yang sesuai. Lagipun, untuk memastikan tulisan tersebut berfakta dan bermakna, saya perlu berjumpa dengan Cikgu Salmah sendiri.



Akhirnya kesempatan yang saya tunggu-tunggu itu tiba juga. Pada 22 November lalu, saya telah ke Johor Bahru untuk satu mesyuarat bersama-sama pasukan penyelidik dari UTM. Pada masa yang terluang, saya telah menziarahi Cikgu Salmah di rumahnya di Larkin. Cikgu Salmah telah menyambut kedatangan saya serta keluarga dengan begitu mesra sekali.



Sudah menjadi kebiasaan bagi kami yang menuntut di Sekolah Princess Elizabeth (PES) ketika itu untuk memanggil semua guru dengan panggilan “cikgu” walaupun guru tersebut merupakan seorang ustaz atau ustazah. Begitulah juga dengan Cikgu Salmah. Beliau merupakan seorang ustazah yang berkhidmat di bawah payung Kementerian Pelajaran Malaysia. Kami sangat mesra dengan memanggil beliau sebagai “Cikgu Salmah” sahaja.

Sedari awal lagi, Cikgu Salmah tidak pernah mengikuti sebarang latihan, kursus, apatah lagi memiliki sebarang sijil, diploma atau ijazah dalam apa yang diistilahkan sebagai pendidikan khas. Sekolah Princess Elizabeth pula merupakan sekolah kedua atau ketiga tempat beliau mengajar. Pada awal dekad 70-an, apabila beliau ditempatkan sahaja di Sekolah Princess Elizabeth, Cikgu Salmah terus berazam untuk belajar sistem tulisan Braille, terutamanya sistem tulisan Jawi dan Alquran Braille. Pada mulanya, beliau merasakan memang agak sukar untuk belajar semuanya itu. Namun demikian, demi rasa tanggungjawab khasnya kepada murid-muridnya yang cacat penglihatan, beliau bertekad untuk memahirkan dirinya dengan tulisan Braille walau dengan apa cara sekalipun.

Petempatan Cikgu Salmah di Sekolah Princess Elizabeth adalah kerana pada ketika itu sekolah tersebut sangat memerlukan seorang guru dalam bidang pendidikan Islam. Sayugia diingat iaitu Cikgu Sulaiman yang sedia berkhidmat di sekolah tersebut bukanlah di bawah payung Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebaliknya Cikgu Sulaiman adalah di bawah Jabatan Agama Islam Johor. Antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Agama islam Johor mempunyai kurikulum serta sukatan pelajaran masing-masing. Justeru, Cikgu Sulaiman mengajar di sebelah petang (dan lebih dikenali sebagai sekolah agama atau sekolah petang). Manakala Cikgu Salmah pula mengajar di sebelah pagi dan tertakluk kepada dasar, kurikulum serta sukatan pelajaran sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal sebegini memang biasa di Johor hinggalah ke hari ini.



Pada ketika itu, Cikgu Ismail bin Abdullah (Allahyarham) merupakan antara guru cacat penglihatan yang berkhidmat di Sekolah Princess Elizabeth. Kata Cikgu Salmah, beliau banyak belajar Braille daripada Cikgu Ismail. Selain itu, kata Cikgu Salmah lagi, pada peringkat awalnya beliau juga tidak segan dan malu untuk belajar sistem tulisan Braille dengan murid-muridnya sendiri. Akhirnya berkat usaha yang tidak mengenal jemu dan malu, Cikgu Salmah telah berjaya menguasai sistem tulisan Braille dengan baik terutamanya tulisan Jawi dan Alquran Braille. Sebab itu, ketika saya mula menjejakkan kaki sebagai murid di Sekolah Princess Elizabeth pada pertengahan dekad 70-an lalu, Cikgu Salmah memang sudah mahir dengan sistem tulisan Braille.

Dengan kemahiran tulisan Braille yang dimiliki, Cikgu Salmah bukan sahaja dapat memanfaatkannya untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, bahkan ia telah dimanfaatkan lebih jauh dari itu. Setakat yang saya maklum, tatkala menyediakan bahan-bahan untuk pengajaran dan pembelajaran, menyemak kerja murid, apatah lagi dalam menyediakan soalan peperiksaan atau menyemak skrip jawapan murid, Cikgu Salmah amat jarang sekali menggunakan khidmat murid untuk sama ada membraillekan bahan atau membacakan jawapan kepadanya. Semuanya beliau lakukan sendiri. Hanya pada ketika-ketika tertentu, Cikgu Salmah akan meminta pertolongan muridnya, itupun sekadar untuk memastikan kesahihan tulisan Braille muridnya. Demikianlah tingginya kemahiran dan besarnya iltizam yang ada kepada guru-guru dalam pendidikan khas ketika itu.

Saya masih ingat lagi, sekitar tahun 1978, Cikgu Salmah telah memulakan program solat secara berjemaah bagi setiap waktu solat kepada semua murid PES. Sebelumnya, solat secara berjemaah hanya dilaksanakan ketika waktu zohor dan asar, serta pada waktu maghrib dan isya pada hari Jumaat, iaitu ketika Cikgu Sulaiman ada di sekolah. Pada waktu-waktu lain, murid-murid PES akan solat secara sendiri-sendiri. Untuk memastikan murid-muridnya solat berjemaah sebagaimana yang beliau rancangkan, Cikgu Salmah telah melantik dalam kalangan murid-murid sendiri mereka yang layak untuk menjadi imam dan bilal. Di bahu mereka inilah diamanahkan tanggungjawab untuk melaksanakan solat secara berjemaah terutama sekali pada ketika guru-guru agama seperti Cikgu Sulaiman dan beliau tiada di sekolah.

Alhamdulillah, dengan pelaksanaan program yang telah Cikgu Salmah rancangkan, maka solat secara berjemaah telah dilaksanakan pada setiap waktu tanpa mengira sama ada hari cuti atau hari persekolahan, tanpa mengira sama ada guru-guru agama ada di sekolah atau sebaliknya. Saya dimaklumkan, solat secara berjemaah dalam kalangan murid-murid PES terus dilaksanakan sehingalah ke hari ini. Demikianlah besarnya kesan daripada tarbiah yang telah dimulakan oleh Cikgu Salmah.

Selain itu, Cikgu Salmah juga telah mengajar murid-muridnya supaya membaca wirid dan doa setiap kali selepas solat. Wirid pendek akan dibaca selepas solat zohor, asar dan isyak. Manakala bacaan wirid yang lebih panjang akan dibaca setiap kali selepas solat maghrib dan subuh. Sekali lagi, para imam yang telah dilantik dalam kalangan murid akan diamanahkan untuk melaksanakan program bacaan wirid berkenaan.

Untuk mengimarahkan lagi surau sekolah, Cikgu Salmah telah memulakan program bacaan surah yasin dan tahlil pada setiap hari Khamis malam Jumaat, iaitu selepas solat maghrib. Sebenarnya program bacaan surah Yasin dan tahlil telah pun dilaksanakan oleh Cikgu Sulaiman pada setiap hari Jumaat malam Sabtu selepas solat maghrib. Program tersebut dibimbing sendiri oleh Cikgu Sulaiman. Walau bagaimanapun, keistimewaan program di bawah kendalian Cikgu Salmah ialah ia dikendalikan sendiri oleh murid-murid yang difikirkan layak. Ini bermakna, murid sendiri yang menjadi imam dan mengetuai bacaan surah Yasin dan tahlil hingga selesai dengan solat isyak. Boleh dikatakan, dalam setiap program berkenaan, Cikgu Salmah akan turut hadir dan akan bersolat sekali dengan murid-muridnya. Mana-mana yang patut ditegur, akan beliau tegur supaya ibadat akan lebih sempurna.

Untuk memeriahkan lagi aktiviti bacaan surah Yasin dan tahlil pada hari Khamis malam Jumaat tersebut, Kami semua akan dijamu dengan air sirap dan kuih iaitu setelah selesai solat isyak. Setahu saya, jamuan seperti itu telah berterusan pada setiap hari Khamis malam Jumaat sehinggalah Cikgu Salmah bertukar ke sekolah lain. Kemudiannya baru saya tahu iaitu wang perbelanjaan untuk jamuan tersebut bukannya wang sekolah, tetapi wang tersebut adalah dari wang saku Cikgu Salmah sendiri. Namun begitu, Cikgu Salmah tidak pernah menceritakan semuanya itu kepada kami semua. Demikianlah ikhlasnya guru-guru pendidikan khas ketika itu. Sesungguhnya keikhlasan yang disembunyikan seperti itu amat memberi kesan yang besar kepada diri saya.

Selain itu juga, Cikgu Salmah turut menggalakkan murid-muridnya supaya menghafal surah Yasin, bacaan tahlil serta doanya sekali. Saya masih ingat lagi, oleh kerana galakan tersebut, maka ada di antara kami yang berlumba-lumba untuk menghafal surah Yasin, wirid, bacaan tahlil serta doanya, di samping doa-doa lain. Kesannya, pada ketika itu, ramai juga di antara murid-muridnya yang menghafal sekurang-kurangnya surah Yasin dan juga bacaan tahlil.

Untuk mengalakkan murid-muridnya berpuasa pada bulan Ramadhan, Cikgu Salmah akan memberi hadiah berupa wang tunai kepada mana-mana muridnya yang berjaya berpuasa sebulan penuh. Oleh kerana hendakkan wang hadiah tersebut, ada antara muridnya yang akan terus berpuasa kalau sekadar demam sikit. Akhirnya baru saya tahu, wang hadiah yang beliau berikan itu juga merupakan dari wang sakunya sendiri.

Untuk memastikan supaya semua program yang telah diatur berjalan lancar di samping murid-muridnya mendapat tarbiah yang benar-benar sempurna dan berkesan, maka Cikgu Salmah telah mengambil inisiatif dengan membraillekan sendiri kitab wirid, surah Yasin dan tahlil. Setelah siap dibraillekan, beliau sendiri telah mencetaknya dengan menggunakan mesin cetak yang dikenali thermoform dan diberikannya kepada setiap murid seorang sebuah. Saya masih ingat lagi, antara yang terkandung dalam kitab tersebut termasuklah wirid selepas solat, 5 doa yang masyhur yang diamalkan selepas solat, surah Yasin, tahlil serta doanya, doa solat sunat hajat serta beberapa doa kecil yang lain.

Di samping itu, Cikgu Salmah turut menyalin ke dalam Braille kitab Berzanji. Seingat saya, Beliau telah menyalin kitab tersebut lengkap hingga rawi 19 serta dengan selawatnya sekali. Kesemuanya itu beliau lakukan secara individu. Hanya bila perlu, beliau akan meminta pertolongan terutamanya daripada Cikgu Ismail untuk menyemaknya.

Bagi saya, Cikgu Salmah tidak mungkin mampu melakukan semua itu jika beliau tidak mahir dengan sistem tulisan Braille, terutamanya tulisan Jawi dan Alquran Braille. Dengan adanya kitab-kitab yang telah disalin ke dalam bentuk Braille oleh Cikgu Salmah, maka murid-muridnya berupaya untuk lebih akrab dengan segala bacaan dan zikir yang perlu, tidak hanya semata-mata menerusi keupayaan menghafal, tetapi semuanya itu mampu diteroka melalui kemampuan mereka membaca sistem tulisan Jawi dan Alquran Braille. Demi untuk murid-muridnya, Cikgu Salmah sanggup mengorbankan masanya. Setahu saya, kesemuanya itu beliau lakukan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran dan juga di luar waktu persekolahan.

Seorang rakan ada memberitahu saya, antara sebab beliau tertarik dengan agama Islam ialah cara Cikgu Salmah melaksanakan pengajarannya ketika di dalam kelas. Cikgu Salmah hanya memperkatakan mengenai kebaikan Islam. Katanya lagi, Cikgu Salmah juga tidak pernah membezakan antara murid Islam dan juga bukan islam ketika melayan semua muridnya. Cara sedemikian, kata rakan saya itu, mempunyai kesan jangka panjangnya yang tersendiri. Kata rakan saya itu lagi, itulah antara punca beliau tertarik dengan agama Islam dan hari ini beliau merupakan penganut Islam.

Selain itu, Cikgu Salmah mempunyai sifat keibuan yang tiada tolok bandingnya. Maklumlah kami semua tinggal di asrama dan berjauhan daripada ibu bapa sendiri. Seorang rakan pernah bercerita kepada saya, sewaktu beliau menghadapi masalah pada matanya, Cikgu Salmah telah memanggil rakan saya itu, dibawanya ke tempat yang sesuai dan Cikgu Salmah sendiri telah memerah susunya untuk dititikkan pada mata rakan saya itu. Bagi saya, berkesan atau tidak itu cerita lain. Yang pentingnya Cikgu Salmah telah melaksanakan tanggungjawabnya melebihi daripada seorang guru.

Ada ketikanya, Cikgu Salmah juga akan membawa mana-mana muridnya yang sesuai untuk membeli-belah di Bandar Johor Baru. Sebenarnya tujuannya bukanlah untuk membeli-belah sangat, tapi ia lebih kepada untuk mendedahkan kepada murid-muridnya suasana ketika membeli-belah.

Bila saya bertanya, pernahkah beliau mendapat apa-apa anugerah sepanjang beliau mengajar murid-murid cacat penglihatan, Cikgu Salmah diam. Setelah saya ulangi pertanyaan tersebut untuk kali kedua, Cikgu Salmah pun menjawab yang antara lain katanya, saya mendidik awak semua bukan untuk mendapatkan apa-apa anugerah. Saya ikhlas bila mengajar awak semua. Bila awak semua sudah menjadi manusia yang berguna, itu sudah cukup bagi saya. Lagipun, anugerah yang paling abadi ialah anugerah daripada Allah. Demikian jawab Cikgu Salmah. Terharu saya mendengar jawapan daripada beliau. Berdasarkan kepada apa yang Cikgu Salmah telah sumbangkan, maka tidak salah rasanya jika beliau juga patut dipertimbangkan untuk menerima apa jua bentuk anugerah. Namun begitu, saya penuh yakin, keikhlasan telah mengatasi segala-galanya. Justeru, saya dapat merasakan tidak terlintas dalam hati Cikgu Salmah untuk memikirkan mengenai anugerah lantaran jasanya kepada golongan cacat penglihatan.

Cikgu Salmah turut memberitahu saya, pada hari ini, Sekolah Princess Elizabeth merupakan sekolah yang paling beliau ingati dan murid-murid cacat penglihatan merupakan murid-murid yang paling beliau sayangi. Kenangan tatkala di Sekolah Princess Elizabeth bersama-sama dengan murid-murid yang cacat penglihatan sentiasa subur, segar dan mekar dalam lipatan memori beliau.



Sempena dengan kunjungan saya ke rumahnya, saya turut menyampaikan sebuah cendera mata kecil lagi tidak sepertinya kepada Cikgu Salmah. Cendera mata tersebut berupa tulisan surah Alfatihah yang ditulis dalam tulisan biasa dan juga dalam bentuk tulisan Alquran Braille. Ia sebagai tanda bahawa illmu yang beliau curahkan selama ini sangat bermanfaat kepada anak-anak muridnya. Saya turut memberitahu beliau, tulisan pada cendera mata tersebut saya hasilkan sendiri dengan menggunakan perisian komputer. Sebaik sahaja Cikgu Salmah menerima dan melihat cendera mata tersebut, beliau terus menangis. Saya tidak pasti mengapa beliau menangis. Mungkin beliau bersyukur kerana ilmu yang beliau curahkan selama ini telah dapat dimanfatkan oleh murid-muridnya. Mungkin juga kerana beliau teringat kisah silam tatkala mengajar di Sekolah Princess Elizabeth. Hanya Allah jua yang tahu apa sebenar sebabnya.





Sesungguhnya apa yang saya paparkan ini hanya merupakan setitis daripada selautan jasa yang telah Cikgu Salmah curahkan kepada golongan cacat penglihatan, walaupun beliau berkhidmat Cuma sekitar 11 tahun di Sekolah Princess Elizabeth. Orang seperti beliaulah yang sering membuatkan dunia kami celik walaupun tanpa penglihatan. Tiada apa yang dapat kami balaskan untuk beliau, melainkan doa setiap ketika semoga Allah sentiasa merahmati, memberkati dan memelihara Cikgu Salmah serta keluarga dan keturunannya.

Salam dari Kuantan.

Saturday, November 28, 2009

Coretan Malam

Sewaktu minum petang tadi, saya dimaklumkan oleh adik ipar iaitu harga getah sekarang tinggi. Sekilo boleh mencecah hampir RM4.00. Sepatutnya, tatkala mewah sebeginilah maka semua yang terlibat kena berjimat-cermat. Maklumlah harga tinggi sebegini bukannya pada setiap masa. Ada kalanya harganya akan turut menjunam. Bagi yang beringat dan sentiasa sediakan payung sebelum hujan, maka kesempatan yang ada akan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Waktu mewah seperti ini mereka akan menyimpan dan sekali-kali tidak akan boros berbelanja.

Manakala bagi yang tidak beringat, waktu mewah seperti ini, mereka akan berbelanja sehabisnya. Bila harga komoditi tersebut merudum, barulah teringat nak menyimpan. Inilah yang dikatakan orang, sudah hujan baru nak cari payung.

Saya rasa, dalam menguruskan ekonomi negara, ataupun menguruskan pendapatan keluarga sendiri, cara pengurusan ekonomi seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Allah Yusuf patut dijadikan teladan. Sewaktu mewah tidak berbelanja berhabisan supaya menjadi bekal ketika susah dan sempit. Demikianlah sejarah memberitahu dan mengajar kita semua. Hanya kita sahaja yang sering bebal kerana tak mahu belajar dari sejarah.

Apa yang tak sedapnya, kata adik ipar saya, waktu harga getah sedang tinggi seperti inilah hal lain pula yang berlaku. Kadang-kadang berlaku kecurian getah. Ada kalanya yang melakukan kerja terkutuk tersebut bukannya orang lain, orang sekampung juga. Hendak diadukan kepada polis, bukti tak cukup, tapi syak tu adalah.

Apa yang agak memeranjatkan saya ialah apabila adik ipar saya memberitahu, ada juga yang sanggup membubuh pasir, batu atau ranting kayu ke dalam mangkuk yang berisi getah. Bila difikirkan, saya pun tak pasti apa untungnya kepada orang yang berbuat khianat sedemikian. Mungkin hatinya saja yang puas melihat kerugian dan kesusahan orang lain. Harap-harapnya kita semua dijauhkan daripada berperangai seperti syaitan.

Salam dari Melaka.

Friday, November 27, 2009

Suasana Hari Raya Qurban Di Kampung Sendiri

Pada tahun ini (1430 Hijrah), giliran kami sekeluarga menyambut hari raya Qurban di kampung saya di Melaka. Dari JB, saya terus singgah di Melaka pada hari Rabu lalu. Seperti kebiasaan, persiapan untuk sambutan hari raya Haji di sebelah pantai barat tidaklah semeriah mana. Namun begitu, persiapan serba sedikit tetap dibuat. Yang mana akan mengadakan majlis qurban, sudah tentulah bersiap sedia dengan lembu atau jenis binatang yang akan diqurbankan.



Pada hari raya Qurban kali ini, seluruh adik-beradik saya pulang. Maka pada malam hari raya, riuh-rendah juga di buatnya di rumah ibu saya, suatu keadaan yang amat dinanti-nantikan oleh Luqman. Maklumlah ibu saya sudah mempunyai 16 orang cucu. Cucunya yang ke-16 baru sahaja berusia 13 hari. Luqman merupakan cucunya yang ke-13.

Seperti biasa, pada pagi hari raya, kami tidak bersarapan dahulu. Mengikut sunnah, pada hari raya Qurban, kita digalakkan mengambil makanan selepas selesai solat sunat hari raya. Kami sekeluarga telah bersolat sunat hari raya di masjid yang letaknya sekitar 1.6 km dari rumah saya. Saya merasakan, di masjid, jemaahnya ramai, tapi tidaklah seramai pada hari raya aidil fitri. Itu apa yang dapat saya rasakan.



Selesai solat sunat hari raya, di rumah ibu saya upacara qurban dijalankan. Seekor lembu dijadikan qurban pada tahun ini. Tuan Haji Md Nor (imam di kampung ini) telah menyempurnakan penyembelihan lembu kali ini. Upacara penyembelihan mudah sahaja dilaksanakan.





Setelah itu, kami sekeluarga dengan disertai oleh orang-orang kampung telah beramai-ramai melapah lembu berkenaan. Tujuannya untuk memudahkan pembahagian daging lembu kepada yang layak. Di sinilah terserlahnya semangat ukhwah serta kerjasama antara penduduk kampung yang sentiasa terjalin erat. Semangat ukhwah dan kerjasama sebegini jarang dapat disaksikan di kawasan bandar. Ini mungkin disebabkan suasana latar masyarakat yang berbeza.



Selepas solat Jumaat, saya serta seluruh seisi keluarga mengadakan kenduri kecil. Kami semua sangat-sangat bersyukur dengan rezeki serta pelbagai nikmat lain yang telah dikurniakan-Nya.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya Qurban kepada seluruh muslimin dan muslimat, teristimewa kepada semua pengunjung blog inni. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberi ucapan selamat hari raya kepada saya sama ada menerusi SMS ataupun email. Marilah sama-sama kita hayati natijah dan iktibar daripada sambutan hari raya Qurban. Sesungguhnya tiada pengorbanan yang lebih abadi selain daripada pengorbanan semata-mata kerana Allah dan rasul-Nya.

Salam Dari Melaka.

Wednesday, November 25, 2009

Kunjungan Ke Singapura

Semalam (24 November) saya dan keluarga telah berkesempatan untuk berkunjung ke Singapura. Seharian kami berada di pulau yang pernah “dilanggar todak” tersebut. Sebenarnya, saya dan keluarga telah merancang untuk ke Singapura hujung tahun lepas. Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu rancangan tersebut terpaksa ditangguhkan. Alhamdulillah, kali ini rancangan kami sekeluarga telah dimakbulkan Allah.

Sedari awal lagi, kami sekeluarga memang bertekad iaitu kunjungan ke Singapura bukan sekali-kali untuk membeli-belah. Selain daripada menziarahi kakak sepupu saya yang tinggal di sana, saya sememangnya memendam hasrat untuk mengunjungi 3 tempat iaitu Masjid Sultan, Istana Kampung Gelam dan Geylang. Kesemua kawasan ini mempunyai kepentingan kepada sejarah petempatan orang Melayu di singapura.

Sekitar jam 8.30 pagi (24 November), Shahril dan Azizan telah sedia menanti kami di lobi hotel. Saya memang merancang untuk menggunakan pengangkutan awam sahaja kali ini. Shahril dan Azizan kemudiannya menghantar kami ke stesen bas awam di Larkin. Setibanya saya dan keluarga di stesen bas Larkin, saya pun terus menuju ke tempat money changer untuk menukar wang Malaysia ke Dollar Singapura. RM 500.00 yang kami tukar, kami dapat 202.50 Dollar Singapura. Saya rasa cukuplah untuk berbelanja sehari di kota Singa nanti. Setelah itu, kami pun mengisi borang imigresen. Ada orang yang tolong isikan. Kami bayar RM 5.00 untuk perkhidmatan tersebut.

Lebih kurang jam 9.45 pagi, bas yang membawa kami ke Singapura pun bergerak meninggalkan stesen bas Larkin. Sejak awal lagi kakak sepupu saya telah berpesan supaya kami menggunakan perkhidmatan bas ekspres yang berwarna merah. Kami akur saja. Sebelum tiba ke tempat destinasi, kami terpaksa melalui (berhenti) di dua pusat pemeriksaan atau check point, iaitu di sebelah Malaysia dan juga di sebelah Singapura.



Akhirnya kami tiba di Rochor Road. Kakak Zaleha (kakak sepupu saya) telah sedia menanti.



Dari stesen bas Rochor Road, kami berjalan kaki sahaja melintasi King George Avenue, kemudiannya ke Maude Road. Di sinilah letaknya rumah Kak Zaleha. Di sini hampir semua rumah berbentuk flat. Setibanya kami di rumahnya, Kak Zaleha terus menjamu kami dengan minuman. Begitulah adat orang Melayu bila menerima tetamu. Setelah itu, makan tengah hari pula dihidangkan. Abang Akob, suami Kak Zaleha tak ada di rumah kerana ada urusan di Bangi. Walau bagaimanapun, kedatangan kami telah beliau maklum.

Setelah solat zohor, lebih kurang jam 1.30 tengah hari, kami sekeluarga dengan ditemani Kak Zaleha pun bergerak ke destinasi pertama, iaitu Masjid Sultan. Walaupun jaraknya tidaklah sejauh mana, saya sengaja guna perkhidmatan teksi. Bukannya apa, sekadar untuk menambah pengalaman. Pemandunya berbangsa Cina. Biasalah, cakap Melayu memang tidak fasih, tapi pemandu berkenaan cuba juga untuk berbahasa Melayu. Oleh kerana saya kasihan mendengarkan beliau terkial-kial untuk berbahasa Melayu, saya terus gunakan bahasa Inggeris. Barulah rancak komunikasi antara kami.



Masjid Sultan merupakan antara masjid tertua di Singapura. Di persekitaran masjid ini barulah telinga saya dapat menangkap perbualan dalam bahasa Melayu. Sejak dari saya tiba tadi, telinga saya hanya menangkap perbualan orang ramai sama ada dalam bahasa Inggeris atau Cina. Di persekitaran masjid ini terdapat kedai-kedai yang menjual berbagai barangan, termasuklah tudung, kain, kedai makan, permainan kanak-kanak dan sebagainya. Kak Zaleha memberitahu saya, di Singapura tidak terdapat warung atau gerai tepi jalan seperti di Malaysia.



Setelah meneliti persekitaran luar, saya pun masuklah ke dalam masjid. Hari itu terdapat ramai juga pelancong di persekitaran masjid ini. Para pelancong juga boleh memasuki kawasan dalam masjid tetapi tidak di ruang solat. Setelah masuk ke dalam masjid, sudah tentulah saya tidak akan melepaskan peluang untuk mengerjakan solat tahyatul masjid. Untuk itu, seorang pelancong dari Portugal yang beragama islam telah menawarkan diri untuk membantu saya. Mulanya beliau membawa saya ke tempat berwudhu’ (mengambil air sembahyang). Setelah itu, beliau membawa saya ke ruang solat pula. Beliau tunggu saya hingga saya selesai solat. Selepas itu, pelancong berkenaan baru membawa saya bertemu dengan isteri saya semula. Semoga Allah merahmati beliau.

Saya juga berkesempatan berbual dengan seorang anak tempatan yang bernama Abu Ahmad. Beliau pernah bekerja di Kuala Lumpur. Katanya, menurut jadual, petang ini kambing-kambing untuk upacara qurban akan tiba. Katanya lagi, kambing-kambing tersebut diimport dari Australia. Upacara qurban tersebut akan dijalankan di pekarangan masjid ini juga.



Saya juga dimaklumkan, terdapat beberapa makam orang tertentu di sekitar masjid ini. Oleh kerana keadaan tidak sesuai, saya tidaklah meminta untuk menziarahi makam-makam berkenaan. Lagipun sebelumnya, Kak Zaleha memberitahu saya, orang ramai tidak dibenarkan untuk ke makam tersebut atas sebab-sebab tertentu. Setakat yang saya maklum, antara makam yang terdapat di sini ialah makam keluarga dan keturunan Almarhum Sultan Hussein yang memerintah Singapura antara tahun 1819-1835.



Dari Masjid Sultan, kami bergerak ke Malay Heritage Centre. Dahulunya ia adalah Istana Kampung Gelam, tempat persemayaman Sultan Hussein. Oleh kerana jaraknya yang tidak jauh, kami hanya berjalan kaki sahaja. Kalau dahulu ia merupakan istana tempat bersemayamnya seorang raja Melayu, kini ia hanya merupakan sebuah muzium tempat orang ramai bernostalgia dengan kegemilangan silam. Untuk masuk ke dalam bangunannya, kami dikenakan bayaran 4 Dollar Singapura. Luqman percuma. Di kaunter, saya disapa oleh kakitangan yang bertugas. Beliau bertanya dari mana saya datang. Saya memberitahu saya dari KL. Katanya, beliau berasal dari Pulau Pinang.



Bangunan ini merupakan binaan 2 tingkat. Ia telah diubah suai oleh pemerintah Singapura beberapa tahun lalu. Di tingkat bawah, antara barangan/bahan yang dipamirkan termasuklah senjata orang Melayu, sejarah petempatan awal, dokumen perjanjian antara Raffles dengan Sultan Hussein yang ditulis dalam tulisan Jawi (tetapi ia nampak usang dan ada antara tulisannya yang sukar dibaca lagi), mengenai keluarga Sultan Hussein dan sebagainya.



Selain itu, terdapat juga salasilah sultan Johor sekarang. Sultan Abdul Jalil (1699-1718) mempunyai anak bernama Tun Abbas. Tun Abbas pula mempunyai anak bernama Tun Abdul Jamal. Anaknya pula bernama Temenggung Abdul Hamid. Anaknya pula bernama Temenggung Abdul Rahman. Anaknya pula bernama Temenggung Daeng Ibrahim. Anak Temenggung Daeng Ibrahim inilah adalah Sultan Abu Bakar, sultan Johor moden yang pertama. Ini bermakna, kesultanan Johor, Pahang dan Terengganu hari ini adalah dari keturunan yang sama.



Beberapa unit komputer turut disediakan untuk kemudahan pengunjung. Melalui komputer berkenaan, para pengunjung boleh menggunakannya untuk mendapat maklumat lanjut mengenai sesuatu perkara menerusi audio visual. Saya turut menggunakannya (dengan bantuan isteri sebab tak ada JAWS) untuk mendapatkan maklumat mengenai kehidupan awal orang Melayu di Singapura. Para pengunjung turut dihiburkan dengan muzik dan lagu Melayu tetapi dengan volume yang perlahan. Sewaktu saya sedang berkunjung, irama syair sedang dikumandangkan. Seperkara yang menarik di sini ialah, keterangan mengenai bahan atau barangan ditulis dalam bahasa Melayu.

Hari ini, keagungan dan kegemilangan kesultanan Melayu hanya jadi bahan pamiran sahaja. Mengapa hari ini orang Melayu hanya mampu bernostalgia dengan keemilangan silam? Antara sebabnya ialah mungkin kerana syarat-syarat dalam Waadat Sang Saperba telah dinodai. Sekiranya orang Melayu terus-terusan berpecah-belah, maka jangan hairan suatu hari nanti, kita sekali lagi akan jadi khadam di bumi sendiri. Kalau dahulu keagungan kesultanan Melayu merentasi selat dan lautan, hari ini ia hanya terperosok dalam muzium seperti ini. Demikianlah sejarah memberitahu dan mengajar kita.

Agak lama juga saya menghabiskan masa di sini. Setelah agak puas (belum puas dalam erti kata yang sebenar), kami pun bergeraklah ke Geylang pula. Sekali lagi saya memilih untuk menggunakan perkhidmatan teksi. Kak Zaleha mencadangkan kami gunakan bas sahaja, tapi saya menolaknya. Kali ini, pemandu teksi berbangsa Melayu. Kata pemandu teksi ini, di Singapura waktu antara jam 5 petang hingga 8 malam, tambang teksi akan naik sebanyak 35%. Tujuannya untuk tidak menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan teksi pada waktu sesak seperti itu.

Geylang merupakan kawasan perniagaan yang ramai orang Melayu. Di sini, sekali lagi telinga saya dapat menangkap perbualan dalam bahasa Melayu dengan agak kerap. Bagi orang Melayu dan Islam, kalau nak cari makanan halal, maka di sinilah tempatnya. Sesampai sahaja di Geylang, kami terus mencari tempat makan. Saya memesan nasi rawon. Sebenarnya sudah lama saya mendengar nama makanan ini tapi tak pernah merasainya. Peluang keemasan seperti ini sudah tentulah tak akan saya lepaskan. Setelah dirasa, hmmm ia memang sedap dan menyelerakan. Harganya baru 3.50 Dollar Singapura. Cubalah convert kepada Ringgit Malaysia. Kata salah seorang peniaga di sini, kalau malam, tempat ini lebih hidup.



Setelah menjamu selera, kami pun bergerak ke Kampung Melayu yang terletak tidak jauh. Sewaktu berjalan, kami terserempak dengan kubur yang tertulis nama Labu bin Labi. Kalau tak silap saya, kisah mengenai Labu bin Labi pernah keluar dalaam akhbar beberapa ketika lalu. Menurut catatan pada kubur tersebut, Labu bin Labi telah meninggal dunia pada tahun 1961.

Kak Zaleha memberitahu, kubur ini tidak lama lagi akan dikorek untuk dipindahkan ke tempat lain. Kata Kak Zaleha lagi, kawasan Kampung Melayu akan dirobohkan untuk dibina baru. Para peniaganya akan dipindahkan ke tempat lain. Memang pun, sewaktu melalui kawasan Kampung Melayu, suasananya sunyi macam kawasan mati. Hanya beberapa kedai sahaja yang masih beroperasi.



Dari kawasan Kampung Melayu, kami berjalan kaki lagi dan akhirnya kami singgah di Muslim Convert Association Of Singapore (MCAS). Saya dimaklumkan, MCAS berperanan seumpama PERKIM jika di Malaysia. Ia tempat mereka yang baru memeluk Islam untuk belajar mengenai agama Islam. Tingkat bawah adalah untuk aktiviti seperti kelas, manakala tingkat atas pula merupakan ruang solat. Kata Kak Zaleha, kalau dalam bulan Ramadhan, tempat ini meriah kerana setiap hari majlis berbuka puasa secara beramai-ramai dianjurkan di sini.



Dari MCAS, kami berjalan kaki lagi dan kali ini menghala ke stesen MRT Paya Lebar. Saya dapati, di sepanjang tempat pejalan kaki tak ada track khas sebagai laluan bebas halangan khususnya untuk pejalan kaki yang cacat penglihatan sebagaimana yang ada di Brickfields. Nampaknya, dalam hal ini, KL lebih prihatin daripada Singapura. Walau bagaimanapun, apalah gunanya kalau ada track laluan bebas halangan, tetapi pada hakikatnya ia penuh dengan rintangan!

Di stesen MRT Paya Lebar, kami menaiki MRT untuk ke Changi Airport. Ketika sedang menunggu MRT, saya dapat mendengar dengan jelas pengumuman oleh pihak berkuasa MRT di stesen berkenaan dibuat dalam 4 bahasa, iaitu bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil. Bila MRT tiba, para penumpangnya tidak berebut-rebut menaiki train, mereka masuk dengan tertib. Di dalam train, saya pada mulanya berdiri, kemudian ada penumpang lain terus memberi tempat duduk kepada saya, isteri saya dan Luqman. Kami melalui stesen Yunos, Kembangan, Bedok dan turun di stesen Tanah Merah. Di sini, kami naik satu lagi perkhidmatan MRT untuk ke Changi Airport.

Changi Airport merupakan antara lapangan terbang yang sibuk. Kak Zaleha memberitahu saya, ada kalanya orang datang ke mari sekadar untuk menenangkan fikiran sahaja. Saya pun tak pasti mengapa tempat seperti ini digunakan untuk menenangkan fikiran. Di sini, saya juga berpeluang untuk menaiki sky train untuk ke terminal dua dan kembali semula ke terminal utama. Setelah puas menikmati pemandangan di Changi Airport, kami pun menaiki semula MRT untuk pulang ke rumah kak Zaleha.

Dari aspek kebersihan, saya akui Singapura memang antara bandar yang bersih. Rakyatnya juga berbudi bahasa walaupun dengan orang luar. Untuk mendapat pertolongan, ia sangat mudah kerana orang Singapura memang ramah dan mudah menolong. Walaupun mungkin sebahagian besar orang Singapura tidak fasih berbahasa Melayu, namun begitu mereka akan cuba juga bertutur dalam bahasa Melayu jika mereka tahu kita tidak fasih berbahasa Inggeris.

Setelah solat maghrib (dan isya secara jamak), kami pun berangkat pulang semula ke JB. Walaupun Kak Zaleha memujuk supaya kami tidur sahaja di rumahnya untuk semalam dua, saya menolaknya. Lagipun pagi esok saya ada satu lagi pertemuan dengan seorang pensyarah UTM. Akhirnya, Kak Zaleha dengan berat hati terpaksa melepaskan kami untuk pulang ke JB. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Kak Zaleha (kakak sepupu saya) yang sudi menjadi “pemandu pelancong” di sepanjang kunjungan saya dan keluarga ke Singapura.

Lebih kurang jam 9.15 kami tiba di stesen bas Larkin. Saya terus ke money changer untuk menjual semula Dollar Singapura yang masih berbaki. Kami hanya berbelanja sebanyak 50 Dollar Singapura sahaja, iaitu untuk tambang dan makan. 150.00 Dollar Singapura kami jual semula dan kami dapat kembali sebanyak RM 368.20. Kami makan malam di Larkin sebelum kembali semula ke hotel.

Walaupun tanpa penglihatan, ia tidak menghalang saya untuk mencari dan mengalami pengalaman sendiri.

Salam dari Melaka.
Basri Masih Menderita

Sebentar tadi, sekembali sahaja saya ke hotel dari Singapura, saya terus menerpa ke komputer untuk menyemak email. Berikut adalah isi email yang saya terima dari Along Zahari:




Rakan-rakan sekalian,

Pada hari Khamis lalu, 19/11/2009, pihak hospital telah berjaya mendapatkan penderma darah untuk Basri dan pembedahan pun telah dapat dijalankan. Bagaimanapun, menurut isteri beliau, satu lagi pembedahan terpaksa dilakukan tengah hari tadi untuk membuang nanah di tempat yang dibedah pada hari Khamis itu. Dikhuatiri nanah itu akan merebak ke bahagian lain.

Itulah senario terkini saudara Basri.

Along Zahari


Nampaknya penderitaan yang sedang ditanggung oleh Basri masih belum berakhir. Sungguh hebat penderitaan yang sedang ditanggung beliau dan keluarganya. Saya semakin kagum dengan ketabahan yang ditunjukkan oleh Basri serta keluarganya dalam menghadapi ujian Allah ini. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.



Saya turut bersyukur kerana di antara kita, masih ada insan yang masih sudi membantu Basri. Masing-masing dengan cara masing-masing memberi bantuan. Setidak-tidaknya Saudara Along Zahari sentiasa membekalkan kepada kita dengan maklumat terkini mengenai Basri. Selain itu, saya juga dapat maklumat, secara senyap-senyap Saudara Along Zahari turut membantu Basri dalam meringankan bebanan beliau. Terima kasih Along!

Sekali lagi, saya menyeru kepada yang berkemampuan, marilah sama-sama kita terus membantu Basri dalam mengharungi hidupnya. Semalam Basri telah membahagiakan kita dengan bakat permainan gambusnya. Hari ini marilah sama-sama kita membahagiakan beliau pula. Mudah-mudahan hari esok Allah pula akan membahagiakan kita.

Salam dari JB.

Sunday, November 22, 2009

Coretan Malam

Alhamdulillah, sebesar puji dan syukur saya ke hadhrat Allah kerana saya sekeluarga telah selamat tiba di Bandaraya Johor Baharu sekitar jam 3.30 petang tadi. Saya juga bersyukur kerana di sepanjang perjalanan dari KL ke JB yang mengambil masa sekitar 3 jam setengah, segalanya aman dan lancar. Sebenarnya tujuan penting saya ke JB ialah untuk menghadiri satu mesyuarat penting bersama-sama pasukan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Mengikut jadual, mesyuarat akan berlangsung sehari penuh esok.





Setibanya saya dan keluarga di JB, kami telah disambut oleh salah seorang pensyarah dari UTM. Kami kemudiannya telah dibawa ke sebuah hotel yang letaknya tidak jauh dari UTM. Di sinilah kami akan menginap untuk beberapa hari ini.



Sekitar jam 5.30, oleh kerana ada masa terluang, saya sekeluarga pun berkesempatan menziarahi Cikgu Salmah di rumahnya di Larkin. Kedatangan kami telah disambut dengan begitu mesra sekali. Sebenarnya, tujuan utama saya ke rumah Cikgu Salmah ialah untuk menyiapkan bahagian akhir tulisan saya mengenai beliau. Ia juga sebagai memenuhi cadangan salah seorang pengunjung blog ini yang pernah mencadangkan supaya saya turut menulis mengenai sumbangan beliau dalam bidang pendidikan khas. Nama Cikgu Salmah mungkin tidak dikenali oleh generasi pendidikan khas cacat penglihatan hari ini, sama ada dalam kalangan murid apatah lagi dalam kalangan tenaga pengajarnya. Namun begitu, berkat dan manfaat daripada ilmu yang telah beliau curahkan sentiasa subur dan segar menyirami generasi pendidikan khas cacat penglihatan hingga ke hari ini. Insha Allah, tulisan penuh mengenai Cikgu Salmah akan saya muatkan dalam posting-posting yang akan datang.

Salam dari JB.
Laluan Selamat: Adakah Ia Benar-benar Selamat?



Di Brickfields, dan juga di beberapa tempat lain di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur, ada satu laluan (track) khas yang dibina di atas sepanjang kawasan pejalan kaki. Tujuan utama laluan khas itu dibina adalah untuk memudahkan golongan cacat penglihatan berjalan tanpa halangan terutamanya yang boleh mendatangkan bahaya kepada golongan tersebut. Ini bermakna, sepatutnya, di atas laluan khas tersebut tidak seharusnya ada sebarang benda, sama ada kenderaan, gerai, atau apa sahaja yang boleh menjadi halangan kepada pejalan kaki khasnya dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan.



Sekiranya di atas laluan khas tersebut masih ada sebarang benda atau apa sahaja sehingga ia menjadi halangan kepada pejalan kaki yang cacat penglihatan, maka sudah tentulah objektif pembinaan kemudahan laluan khas tersebut tidak tercapai. Ini bermakna, laluan khas tersebut lebih merupakan perhiasan daripada kemudahan.

Apa yang berlaku, terutamanya di sekitar Brickfields ialah, laluan khas berkenaan bukan lagi merupakan laluan yang selamat dan bebas halangan. Di sesetengah kawasan di Brickfields, adalah menjadi satu fenomena biasa di mana di atas laluan khas berkenaan terdapat pelbagai benda, termasuklah motor sikal atau gerai menjual makanan. Oleh itu, laluan khas yang sepatutnya merupakan laluan bebas halangan, kini sudah merupakan laluan yang penuh dengan cabaran dan rintangan. Ada kalanya, bila pejalan kaki yang cacat penglihatan menggunakan laluan khas tersebut, mereka akan terlanggar benda seperti kenderaan yang diletakkan di atas laluan tersebut. Ada juga pejalan kaki cacat penglihatan yang diminta supaya “ke tepi” oleh pemilik gerai makanan tertentu kerana kawasan laluan khas berkenaan sudah merupakan sebahagian daripada gerai mereka. Sebenarnya, siapa yang sepatutnya ke tepi?



Justeru, janganlah kita merasa hairan bilamana kita melihat ada pejalan kaki cacat penglihatan yang tidak menggunakan laluan khas tersebut. Ada kalanya, tidak menggunakan laluan khas tersebut lebih selamat daripada menggunakannya. Persoalannya, mengapakah fenomena di atas boleh berlaku?

Bagi saya, antara sebabnya ialah kesedaran awam mengenai keperluan laluan khas tersebut kepada golongan cacat penglihatan masih sangat kurang. Kebanyakan orang awam masih kurang faham mengenai “laluan bebas halangan” serta kepentingannya untuk golongan cacat penglihatan. Sebab itulah pihak yang berkenaan tidak pernah merasai apa-apa bila meletakkan kenderaan atau gerai di atas laluan khas tersebut. Mereka tidak peduli walaupun apa yang mereka lakukan telah menghalang keselesan golongan lain.

Selain itu, bagi saya, peranan agensi penguatkuasaan juga masih boleh dipertingkatkan lagi. Mungkin kerana ada di antara pemilik gerai makanan atau pemilik kenderaan yang tidak pernah diberikan peringatan, nasihat atau tidak pernah disaman atas kesalahan yang berkaitan, maka itulah juga mereka merasakan meletakkan kenderaan atau meletakkan gerai di atas laluan khas bukan merupakan suatu kesalahan. Oleh itu, pihak penguat kuasa seperti DBKL, polis atau JPJ disarankan supaya berperanan dengan lebih berkesan lagi agar objektif mewujudkan laluan khas yang bebas halangan dapat dicapai. Sekiranya kesedaran awam mengenai hal ini berada pada tahap yang memuaskan, maka sudah tentulah peranan agensi penguat kuasa dapat dikurangkan.

Selain itu juga, saya turut merasakan peranan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan golongan cacat penglihatan, khususnya yang beroperasi di Brickfields boleh dipertingkatkan. Umpamanya, para NGO berkenaan boleh menjalankan kempen ke arah menyedarkan komuniti awam di Brickfields mengenai peranan dan kepentingan laluan khas yang bebas halangan kepada golongan cacat penglihatan. Untuk memastikan keberkesanan kempen, para NGO berkaitan boleh melaksanakan kempen secara bersepadu dengan kerjasama daripada agensi penguat kuasa yang berkaitan seperti DBKL, polis atau JPJ. Adalah diharapkan melalui kempen seumpama ini, masyarakat awam di Brickfields lebih memahami mengenai keperluan dan kepentingan laluan khas yang bebas halangan kepada golongan cacat penglihatan.



Sesungguhnya, bagi golongan cacat penglihatan, kemudahan laluan khas yang bebas halangan bukanlah suatu keistimewaan, sebaliknya ia merupakan suatu keperluan.

Friday, November 20, 2009

Bicara Umum

Selamat Bercuti


Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan untuk tahun 2009 bagi
kebanyakan negeri. Di Kedah, Kelantan dan Terengganu, semalam
merupakan hari terakhir. Sudah tentulah kegembiraan khususnya kepada
para pelajar pada hari ini sesuatu yang tidak tersembunyi lagi.
Maklumlah selepas ini mereka akan bercuti selama 6 minggu. Para guru
pun gembira juga!

Kepada para pelajar, saya ucapkan selamat bercuti. Gunakanlah masa
percutian yang panjang ini dengan perkara-perkara yang berfaedah dan
bermanfaat. Bagi mereka yang tinggal di kawasan-kawasan rendah,
berhati-hatilah terutamanya ketika hujan lebat. Maklumlah sekarang
musim banjir.

Kepada rakan-rakan sejawat, saya juga mengucapkan selamat bercuti.
Walau bagaimanapun, ada di antara kita yang harus bertugas dalam cuti.
Itu perkara biasa bagi golongan seperti kita. Ini termasuklah mereka
yang kena jadi pengawas peperiksaan SPM atau STPM, kena menanda kertas
jawapan dan sebagainya. Kepada mereka yang berkenaan, selamat
berkhidmat saya ucapkan.

Bagi saya sendiri, setakat ini, 12 hari daripada cuti saya nanti akan
dikorbankan untuk tugas rasmi pada Disember nanti.

Selamat bercuti kepada yang berkenaan.

Wednesday, November 18, 2009

Bicara Basri

Rayuan Derma Darah Daripada Beseri

Sebentar tadi, sekitar jam 9.28 malam, Kak Jamilah, isteri Basri,
menelefon saya. Beliau memberitahu, operation ke atas Basri yang
sepatutnya dilakukan beberapa hari lalu terpaksa ditangguhkan.
Penangguhan tersebut adalah kerana pihak berkaitan tiada simpanan
darah jenis O Negatif, iaitu darah yang dimiliki oleh Basri. Beliau
(Kak Jamilah) memohon pertolongan saya untuk menyebarkan rayuannya
sekeluarga, iaitu kepada sesiapa yang memiliki darah jenis O Negatif
dan sudi untuk membantu/menderma, supaya berbuat demikian sesegra
mungkin. Kata Kak Jamilah lagi, operation ke atas Basri akan
dilakukan bila jenis darah yang diperlukan mencukupi.

Oleh itu, kepada yang memiliki jenis darah yang sangat-sangat
diperlukan Basri, marilah kita bersama-sama membantu Basri agar beliau
mampu untuk bernafas lagi walau pun hanya untuk beberapa detik cuma.
Marilah bersama-sama kita membantu Basri, setidak-tidaknya beliau
dapat mendengar suara isteri dan anaknya walaupun sekadar untuk
seketika.

Kepada yang sudi untuk membantu/menderma darah untuknya, anda boleh
menghubungi Basri di talian tangannya, 013-3406441. Segala bantuan
yang bakal dihulurkan, didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Tuesday, November 17, 2009

Bicara Umum

Selamat Berjaya

Bermula esok (18 November), Murid-murid saya di tingkatan 5 tahun ini
akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Setelah 2
tahun berusaha menuntut ilmu, maka bermula esok mereka akan
mencurahkan semula apa yang telah dipelajari di atas kertas-kertas
jawapan menerusi satu kaedah yang dipanggil "peperiksaan".

Kepada semua anak murid saya, serta kepada seluruh calon khususnya
untuk peperiksaan SPM, saya mengucapkan selamat berjaya dalam
peperiksaan. Sebagai mengulangi pesanan yang biasa saya sampaikan,
jawablah dengan tenang. Jangan gopoh. Jangan terlalu over confident.
Bacalah soalan sekurang-kurangnya 2 kali. Jika mendapati satu-satu
soalan itu sukar, jangan buang masa. Beralihlah kepada soalan lain.
Bila ada masa, kembalilah kepada soalan yang masih belum dijawab tadi.
Jangan sekali-kali cuba meniru dalam peperiksaan walau dengan apa
cara sekalipun. Perbuatan meniru terutamanya ketika dalam peperiksaan
merupakan perlakuan yang sangat keji. Pastikan semua nota dan catatan
untuk diulang kaji lengkap dan disimpan di tempat yang sesuai supaya
mudah dicari. Pastikan juga jadual peperiksaan telah diperolehi.
Teliti jadual tersebut dan lakukanlah ulang kaji agar sesuai dengan
jadual peperiksaan. Sekiranya anda merasa tidak puas hati dengan
jawapan yang telah anda berikan dalam kertas yang telah lepas, jangan
terlalu memikirkannya kerana dikhuatiri akan mengganggu penumpuan anda
untuk kertas-kertas yang selanjutnya. Jangan lupa untuk membawa
catatan ringkas di mana sahaja anda pergi supaya ulang kaji boleh
dilakukan pada bila-bila masa.

Selain itu, kesihatan hendaklah dijaga dengan baik. Pastikan agar
memperoleh tidur yang cukup. Jika mengulang kaji di waktu malam,
jangan terlalu lewat sehingga mengurangkan waktu rehat dan waktu
tidur. Jangan lupa untuk mengambil sarapan walaupun sedikit sebelum
ke pusat peperiksaan. Ketika akan ke pusat peperiksaan, jangan makan
terlalu kenyang kerana ia akan mengakibatkan otak tidak dapat bekerja
dengan baik.

Jika anda sedang menghadapi apa jua masalah sama ada dengan rakan,
keluarga atau sebagainya, ketepikannya dahulu dan beri tumpuan yang
semaksimumnya kepada peperiksaan yang sedang berjalan. Elakkan
daripada berkelahi atau bergaduh terutamanya dengan rakan-rakan.
Perkelahian atau pergaduhan pasti akan mengganggu penumpuan anda dalam
peperiksaan. Jangan melencong ke tempat-tempat lepak kerana ia hanya
membuang masa dan turut boleh mengganggu penumpuan kepada peperiksaan.

Selain itu, jangan lupa untuk sentiasa berdoa selain berusaha. Jika
mampu, lakukan solat hajat. Minta restu daripada ibu bapa dan guru.
Minta mereka agar sentiasa mendoakan kejayaan anda.

Untuk semua yang terlibat, selamat berjaya.

Monday, November 16, 2009

Menungan Malam

Bermain dengan Fikiran Sendiri

Entah mengapa tatkala malam semakin larut begini, sekonyong-konyong
fikiran saya melayang jauh ke negeri Cik Siti Wan Kembang. Apa yang
sedang menimpa Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nikmat
menyucuk-nyucuk kotak fikir saya. Apa yang sedang berlaku ke atas
diri beliau masa kini menimbulkan seribu satu macam persoalan dalam
diri saya. Rumusan mudah yang boleh diketengahkan ialah apa yang
sedang berlaku merupakan ujian dari Allah. Semakin tinggi taraf
seseorang itu di sisi Allah, maka semakin hebatlah ujian ke atasnya.
Sebab itulah para rasul merupakan golongan insan yang paling hebat
menerima ujian. Nabi Muhammad S.A.W. yang juga merupakan makhluk
trmulia di sisi Allah, merupakan insan yang paling hebat menerima
ujian.

Mungkin peristiwa yang paling mendukacitakan dalam hidup Tuan Guru
ialah apabila beliau terpaksa mengambil keputusan membatalkan
hasratnya untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Pembatalan itu pula
disebabkan timbulnya seakan fitnah terancang yang sengaja
diperbesar-besarkan oleh golongan tertentu. Pembatalan itu pula
dibuat tatkala hanya menanti hari sahaja untuk berangkat ke tanah
suci. Tuan Guru sendiri kelihatan mengesat air mata (begitulah saya
dimaklumkan) ketika mengumumkan sendiri pembatalan tersebut. Bagi
saya, bukan Allah tidak sudi menerima Tuan Guru sebagai tetamu-Nya
kali ini, tetapi ada pihak lain yang telah menghalang Tuan Guru
daripada menjadi tetamu Allah kali ini. Apakah pihak berkenaan tidak
takut dan tidak merasa malu dengan Allah?

Tuan Guru adalah individu yang sangat-sangat dihormati dan disegani
oleh lawan apatah lagi oleh rakan. Kezuhudannya tiada siapa yang
dapat menyangkalnya lagi. Saya penuh yakin dan percaya, jika tidak
kerana Tuan Guru terlibat dengan politik, semua pihak akan menyukai
dan menyayangi beliau. Hanya kerana beliau merupakan seorang ahli
politik selain seorang ulamak, maka itulah ada pihak yang tidak
menyukai beliau dan sentiasa mencari jalan dan peluang untuk
menjatuhkan beliau.

Apa yang sedang dialami oleh Tuan Guru hari ini punya seribu satu
pengajaran jika direnungkan. Orang yang baik tidak semestinya akan
disukai oleh semua orang. Jika kita ingin benar-benar membela agama
Allah, kita harus bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai rintangan
dan cabaran. Bagi saya, permusuhan yang paling kejam ialah permusuhan
yang disebabkan oleh politik kerana dia tidak mengira siapa lawannya.

Saya tetap yakin, Tuan Guru pasti berjaya menghadapi semua ujian yang
menimpanya selagi beliau tetap istiqamah dengan Allah.

Adalah tidak salah untuk menjadi orang baik, yang salahnya jika kita
gagal untuk bersabar ketika ujian datang menerjah.

Bicara Isu

Golongan Cacat Penglihatan Dan Fahaman Shiah
"Sebelum Parah Menjadi Barah, Masih Ada Jalan Pulang" (Tajuk Forum)

Sebelum saya meneruskan dengan tulisan kali ini, terlebih dahulu saya
mohon berbanyak maaf kerana ada beberapa maklumat yang telah saya
ketengahkan dalam posting semalam tidak tepat. Pertama, nama salah
seorang ahli panel bukannya Dr. Fadhli Hisham, tetapi nama beliau
ialah Dr. Badli Hisham bin Mohd Nasir. Kedua, beliau bukan pensyarah
dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebaliknya beliau
merupakan seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM). Ketiga, saya juga terlupa untuk
memaklumkan bahawa majlis forum berkenaan turut disiarkan menerusi
Radioweb PERTIS. Mereka yang tidak sempat untuk menghadiri forum
berkenaan masih boleh mengikutinya melalui alamat radioweb yang
sepatutnya saya nyatakan dan saya sepatutnya memautkan alamat tersebut
dalam blog ini. Segala kesilapan adalah bukan disengajakan.

Sepertimana yang telah dirancang, maka sekitar jam 10.30 pagi (Ahad
15 November), forum sebagaimana tajuknya di atas pun bermula.
Ketiga-tiga ahli panel yang terlibat ialah Ustaz Wan Mohd Nasir bin
Wan Abdul Wahab (penceramah bebas), Prof. Madya Dr. Badli Hisham bin
Mohd Nasir, pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) dan saya sendiri selaku Naib Yang Dipertua
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

Forum dimulakan oleh Ustaz Wan Mohd Nasir yang mengupas persoalan
mengenai sebab-sebab berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Menurut Ustaz Wan Mohd Nasir, Kewafatan Rasulullah S.A.W. merupakan
detik penting bermulanya perpecahan dalam kalangan umat Islam. Ini
kerana , dengan kewafatan Rasulullah S.A.W., umat Islam telah
bertelingkah mengenai pelantikan khalifah bagi menggantikan Rasulullah
S.A.W. Walau bagaimanapun, ia telah dapat diselesaikan dengan baik.
Pembunuhan ke atas Khalifah Uthman bin Affan, pelantikan Saidina Ali
selaku khalifah untuk menggantikan Khalifah Uthman serta penentangan
daripada Muawiyah bin Abu Sufian telah menyemarakkan lagi perpecahan
dalam kalangan umat Islam. Kemunculan gerakan Abdullah bin Saba' juga
telah menyumbakgn kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam. Ini
ditambah pula dengan kemunculan gerakan lain seperti Khawarij,
Qadariyah dan sebagainya. Faktor selanjutnya ialah faktor politik.
Kadang kala, orang politik lebih mengutamakan politik mereka daripada
agama. Hal ini bukan perkara baru, bahkan telah berlaku sejak sekian
lama. Menurut Ustaz Wan Mohd Nasir lagi, penduduk Iran, sebahagian
penduduk Lubnan, Iraq dan beberapa buah negara lagi merupakan penganut
Shiah Imamiyah Jaafariyah. Kata beliau, fahaman tersebut antara yang
ekstrim.

Seterusnya, Ustaz Wan Mohd Nasir juga menyatakan bahawa perpecahan
dalam kalangan umat islam punya implikasi tertentu. Umat Islam
menjadi lemah. Pergaduhan sesama umat islam sering berlaku.
Sebenarnya panjang lebar Ustaz Wan Mohd Nasir mengupas dan mengulas
persoalan-persoalan yang diberi. Apa yang saya kemukakan dalam
tulisan ini hanyalah ringkasan ulasan dan kupasan yang telah beliau
utarakan.

Prof. Madya Dr. Badli Hisham Mohd Nasir pula mengupas persoalan
mengenai mengapa sesetengah ahli masyarakat kita boleh tertarik dengan
fahaman Shiah. Kata beliau, ada antara pengikut ahli sunnah yang
belum benar-benar mendalami ilmu berkaitan dengan ahli sunnah. Bila
mereka diajukan mengenai unsur-unsur fahaman Shiah, mereka cepat
terpengaruh. Seterusnya kata beliau, unsur pernikahan mut'ah juga
menarik sebilangan orang untuk menganuti fahaman Shiah. Selanjutnya
menurut beliau, kepandaian pendakwah Shiah dalam membentangkan
hujah-hujah mereka untuk membuktikan bahawa Shiah merupakan ajaran
yang benar. Seterusnya, orang ramai juga tertarik kerana kecintaan
golongan Shiah terhadap Rasulullah serta para ahlul bait.

Seterusnya beliau juga diminta mengupas mengapa kerajaan hanya
mengizinkan satu fahaman sahaja untuk diamalkan di negara ini, iaitu
ahli sunnah waljamaah. Kata Dr. Badli Hisham, ia bertujuan untuk
mengelakkan umat Islam di negara ini daripada berpecah-belah dan
menjadi lemah. Ia juga bertujuan mengelakkan daripada berlakunya
kecelaruan dalam ajaran Islam yang diamalkan di negara ini. Lagi pun,
kata beliau, fahaman ahli sunnah telah diamalkan oleh umat Islam di
negara ini sejak ratusan tahun yang lalu. Bukanlah sesuatu yang mudah
untuk menukar fahaman dalam sekelip mata sahaja kerana implikasinya
sangat buruk.

Setelah itu, saya pula selaku Naib Yang Dipertua PERTIS, mengambil
giliran. Mulanya saya diminta mengupas mengenai satu kursus yang
pernah diajar di UM sekitar dekad 90-an lalu. Saya memberitahu,
kursus yang dimaksudkan ialah Perkembangan Pemikiran Islam I dan II.
Kursus ini mendedahkan kepada penuntut mengenai perkara-perkara asas
mengenai fahaman Shiah. Antaranya termasuklah hadith-hadith yang
mengizinkan untuk mengerjakan solat jamak dan kasar walaupun bukan
dalam musafir. Ia juga turut merangkumi kemuliaan keluarga Nabi
Muhammad S.A.W. serta zuriatnya. Ia juga mencakupi hujah mengapa
Saidina Ali yang sepatutnya menggantikan Nabi Muhammad selaku pemimpin
dan bukannya Saidina Abu Bakar, Saidina Umar atau Saidina Uthman.
Selanjutnya, ia turut mencakupi beberapa kesalahan yang pernah
dilakukan sama ada oleh Saidina Abu Bakar, Saidina Umar ataupun
Saidina Uthman bin Affan.

Seterusnya saya juga diminta untuk mengulas mengenai sejauh manakah
golongan cacat penglihatan sudah terpengaruh dengan fahaman Shiah.
Setakat yang saya maklum, sekurang-kurangnya 3 penuntut cacat
penglihatan pernah mengikuti kuliah mengenai Perkembangan Pemikiran
Islam di UM pada dekad 80-an dan 90-an lalu. Namun demikian, tiada
seorang pun dari mereka yang telah menukar fahaman mereka kepada
Shiah. Namun demikian, saya juga tidak menafikan bahawa sudah ada
sebilangan kecil golongan cacat penglihatan Islam di negara ini yang
mula cenderung kepada fahaman Shiah. Namun begitu, ia masih di
peringkat awal dan kecenderungan mereka pula belum pergi jauh. Saya
juga memaklumkan setakat ini saya kurang pasti berapakah jumlah
sebenar orang cacat penglihatan Islam di negara ini yang telah mula
cenderung dengan fahaman Shiah. Namun begitu, saya yakin jumlahnya
masih sangat kecil. Antara faktor mereka boleh terpengaruh dengan
fahaman Shiah ialah pergaulan dan hubungan dengan rakan-rakan mereka
yang berpenglihatan dan berfahaman Shiah.

Akhir sekali, saya selaku NYDP PERTIS memberi jaminan bahawa
persatuan akan berusaha memastikan supaya para ahlinya kekal dalam
anutan ahli sunnah waljamaah.

Apa yang saya tulis di sini merupakan ringkasan daripada perjalanan
forum berkenaan. Forum berkenaan sepatutnya berlangsung selama 2 jam
tetapi ia telah berlarutan sehingga 2 jam dan 45 minit. Kehadiran
juga amat memberangsangkan.

Untuk pengetahuan kita bersama, forum berkenaan juga telah dirakam
dalam bentuk CD audio. Mereka yang berminat boleh memperolehi CD
berkenaan. Untuk memperolehinya, sila hubungi Tuan Haji Muhammad Lee
Abdullah, kakitangan unit Penerbitan PERTIS di talian tangannya,
013-3403045, atau hubungi beliau di talian ibu pejabat PERTIS,
03-40212631 pada waktu pejabat.

Saturday, November 14, 2009

Bicara Isu

Golongan Cacat Penglihatan Dan Fahaman Shiah
(Sekadar Mukadimah)

Sejak akhir-akhir ini negara dikejutkan dengan kononnya wujudnya
fahaman Wahhabi dalam masyarakat kita. Sebelum ini, sudah terdengar
kisah dan perkhabaran bahawa fahaman Shiah telah pun bertapak dalam
masyarakat kita. Sebenarnya, bagi saya, perkara mengenai kewujudan
fahaman Shiah dalam masyarakat kita bukanlah sesuatu yang baru. Saya
masih ingat lagi, pada dekad 90-an dahulu, saya sendiri pernah
menghadiri satu seminar yang bertemakan "Taqrib Bainal Mazahib"
(Perpaduan Antara Dua Mazhab). Namun demikian, bagi masyarakat umum,
mungkin adalah sesuatu yang agak memeranjatkan bilamana ada pihak yang
mendakwa bahawa fahaman Shiah mula menular dalam kalangan golongan
cacat penglihatan di negara ini.

Persoalannya, benarkah fahaman Shiah benar-benar sudah menular dalam
kalangan golongan cacat penglihatan Islam di negara kita? Jika benar,
bagaimanakah segelintir golongan cacat penglihatan boleh terdedah dan
dipengaruhi oleh fahaman berkenaan? Sudah berapa ramaikah orang cacat
penglihatan yang telah "menganut" fahaman Shiah? Jika dakwaan di atas
benar-benar wujud, bagaimana pula untuk menangani fahaman berkenaan
dalam kalangan golongan cacat penglihatan Islam? Pihak mana pula yang
harus dipertanggungjawab untuk melaksanakannya?

Baru-baru ini, Setiausaha Agung (merangkap Pengerusi Biro Pendidikan
Dan Dakwah) Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia
(PERTIS), En. Abu Hassan, ada memaklumkan kepada saya mengenai
beberapa perkembangan mengenai perkara di atas khasnya dalam kalangan
golongan cacat penglihatan Islam di Negara ini. Tanpa beliau sedari,
beberapa maklumat yang beliau sampaikan kepada saya bukanlah perkara
baru bagi saya. Seterusnya, En. Abu Hassan telah mencadangkan agar
PERTIS selaku satu-satunya NGO untuk golongan cacat penglihatan Islam
di Negara ini menganjurkan satu forum dengan tujuan untuk memberi
pendedahan kepada ahli dan juga masyarakat cacat penglihatan umumnya
mengenai fahaman Shiah. Setelah memikirkannya, akhirnya saya
bersetuju supaya forum berkenaan dianjurkan oleh PERTIS.

Setelah melalui beberapa perbincangan, akhirnya PERTIS telah
memutuskan untuk mengadakan forum yang berkaitan pada pagi esok, 15
November 2009 (Ahad). Forum berkenaan akan diadakan di dewan utama
Kompleks MAB di Brickfields. Ia dijangka akan bermula pada jam 10.00
pagi. Tiga penalis telah diundang bagi menyerikan forum berkenaan,
iaitu Ustaz Wan Mohd Nasir bin Wan Abdul Wahab (pendakwah bebas),
Prof. Madya Dr. Fadhli Hisham (pensyarah dari Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia) dan saya sendiri selaku Naib Yang Dipertua
PERTIS.

Adalah diharapkan semoga forum esok akan sedikit sebanyak dapat
memberi input baru lagi terkini khususnya kepada golongan cacat
penglihatan Islam mengenai isu yang sedang berbangkit. Perlu saya
jelaskan dan tegaskan di sini, bukanlah hasrat dan niat PERTIS ketika
menganjurkan forum di atas untuk menuding dan menetapkan pendirian
bahawa pihak anu itu salah dan pihak polan sahaja yang betul. Hal ini
saya kemukakan kerana, pada petang tadi sewaktu saya singgah di
Brickfields, kedengaran di telinga saya ada pihak yang kononnya akan
membawa "juara" untuk mewakili pihaknya untuk berdebat dengan ahli
penal esok. Saya perlu tegaskan di sini bahawa forum esok bukan
berformatkan perdebatan. Ia hanya sekadar pendedahan secara umum dan
akan disusuli dengan sesi soal jawab ringkas dan terbatas. Besarlah
harapan saya semoga semua pihak yang bakal hadir di forum berkenaan
pagi esok akan bersikap rasional dan profesional.

Insha Allah, dalam posting selanjutnya akan saya muatkan mengenai
perjalanan dan hasil forum tersebut.

Friday, November 13, 2009

Menungan Malam

Penghargaan Kepada BPK

Baru-baru ini, untuk kesekian kalinya saya tela dijemput untuk
menghadiri satu mesyuarat anjuran Bahagian Pembangunan Kurikulum,
Kementerian pelajaran Malaysia (BPK). Tujuan mesyuarat berkenaan
ialah untuk menyudahkan kerja-kerja akhir yang berkaitan dengan
kurikulum khususnya yang ada kaitan dengan bidang pendidikan khas.
Sudah semestinyalah saya terlibat secara langsung dengan pendidikan
khas untuk golongan cacat penglihatan.

Fokus dan objektif utama kesemua mesyuarat berkenaan ialah untuk
memastikan agar murid-murid cacat penglihatan tidak terpinggir dari
arus perdana pendidikan negara. Jika objektif utama ini tercapai,
barulah "Education For All" akan dapat dicapai. Selain itu,
diskriminasi terhadap golongan cacat penglihatan dalam pendidikan juga
dapat dikurangkan. Di samping itu, ia juga dapat menjamin kualiti
pendidikan untuk golongan cacat penglihatan setara dan setanding
dengan mereka yang berpenglihatan. Seterusnya, ia juga akan dapat
memastikan supaya golongan cacat penglihatan yang berkemampuan
sentiasa mampu bersaing dengan mereka yang berpenlihatan di arus
perdana pendidikan negara sehinggalah ke peringkat yang tertinggi.

Sejak dari mula saya dilibatkan dengan mesyuarat berkenaan,
sehinggalah ke mesyuarat yang terakhir yang saya hadiri baru-baru ini,
satu perkara yang sentiasa menjadi perhatian saya ialah komitmen para
pegawai khususnya dari unit Masalah Penglihatan BPK. Walaupun kesemua
para pegawai yang terlibat berpenglihatan belaka, namun niat yang
tersirat untuk melihat murid-murid cacat penglihatan akan dapat
mencapai objektif yang disasarkan sentiasa meluap dan membara. Bila
berbicara dengan mereka, topik yang sering diperkatakan ialah
bagaimana untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan dalam kalangan
mereka yang cacat penglihatan. Bual bicara juga sering berkisar
bagaimana golongan cacat penglihatan dapat sentiasa berada di arus
perdana pendidikan. Bahkan, ada seorang pegawai secara terus-terang
memberitahu saya, sekiranya pendidikan untuk murid-murid cacat
penglihatan dipisahkan dari arus perdana pendidikan, beliau sanggup
meninggalkan BPK. Beliau bukan bermaksud untuk meletakkan jawatan,
tetapi mungkin rela berhijrah ke bahagian/jabatan lain.

Saya juga tertarik dengan keakraban hubungan di luar mesyuarat antara
para pegawai BPK dengan peserta mesyuarat khususnya dengan golongan
cacat penglihatan. Saya tidaklah bermaksud supaya golongan cacat
penglihatan mesti dilayan umpama menatang minyak yang penuh. Hubungan
baik di luar mesyuarat menunjukkan bahawa kesungguhan para pegawai
berkenaan membantu golongan cacat penglihatan bukan setakat di atas
kertas semata-mata. Hal seumpama ini saya ketengahkan kerana saya
juga turut punya pengalaman yang tidak menyeronokkan dengan bahagian
lain ketika bermesyuarat.

Justeru, malu rasanya jika saya gagal membantu dan menyumbang sesuatu
kepada Unit Masalah Penglihatan BPK sedangkan di pihak mereka nampak
kesungguhan yang tinggi untuk membantu golongan cacat penglihatan.
Sebab itulah, walau sesibuk mana pun, jika saya dipanggil
bermesyuarat, saya pasti hadir jika dapat pelepasan.

Di sini, saya seikhlasnya ingin mengucapkan penghargaan dan terima
kasih yang tidak terhingga kepada En. Rasid selaku Ketua Unit yang
bagi saya telah berjaya mengemudikan unitnya dengan baik. Saya juga
ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada En. Ahmad
Bustamam Ali (kini sedang berkursus di Jepun), En. Megat Hafiz dan
juga tidak lupa kepada Ketua Bidang Pendidikan Khas BPK, Pn. Siti
Syamsinar. Ucapan terima kasih yang sama juga saya tujukan kepada
semua pihak yang mempunyai haluan dan matlamat yang sama seperti para
pegawai BPK. Golongan seperti andalah yang mampu memartabatkan kami
di tengah-tengah masyarakat.

Thursday, November 12, 2009

Bicara Isu

Pengajian Alquran Braille Di Terengganu

Sekitar jam 8.25 malam tadi, saya sempat bersembang dengan Saudara
Samsudin Wahab menerusi skype selama lebih kurang 20 minit. Beliau
merupakan ahli PERTIS Terengganu dan sekarang pun beliau menetap di
Batu Rakit, Terengganu. Beliau merupakan tenaga pengajar untuk kelas
Alquran Braille di Terengganu. Kelas berkenaan adalah anjuran bersama
antara Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan islam Malaysia (PERTIS)
Terengganu dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM)
Terengganu.

Menurut Samsudin, Kelas berkenaan dijalan sebanyak 3 kali seminggu
dan ia berlangsung selama 2 jam bagi setiap sesi. Kelas berkenaan
dijalankan bertempat di pejabat PERTIS Terengganu.

Kata Samsudin lagi, pada peringkat permulaan, hanya ada 4 orang
pelajar sahaja. Walau bagaimanapun, hari ini kelas tersebut mempunyai
30 orang pelajar. Pelajar yang termuda berusia 20 tahun, manakala
pelajar tertua berusia sekitar 50-an. Kesemua mereka adalah cacat
penglihatan dan mereka pula tiada asas pengetahuan mengenai tulisan
Braille. Ada di antara pelajarnya yang memang tidak berpeluang untuk
ke sekolah sebelum ini. Ada juga pelajarnya yang mengalami kecacatan
penglihatan setelah dewasa.

Saya merasa gembira dan bersyukur kerana golongan cacat penglihatan
yang beragama Islam di Terengganu begitu bersemangat untuk mendalami
Alquran menerusi Alquran Braille. Walaupun sebilangan besar antara
mereka memang tiada pengetahuan asas mengenai tulisan Braille, namun
keinginan mereka untuk belajar dan mengenal Alquran menerusi tulisan
Alquran Braille patut dipuji. Kebetulan pula, tenaga pengajarnya
(Saudara Samsudin Wahab) merupakan seorang yang memang berpengetahuan
mengenai sistem Alquran Braille. Justeru, tidak menghairankan
bilamana PERTIS Terengganu merupakan antara PERTIS peringkat negeri
yang aktif dalam pengendalian kelas pengajian Alquran Braille.

Kata Samsudin, pada masa hadapan, beliau turut merancang untuk
melaksanakan kelas pelajaran untuk sistem tulisan Braille rumi pula.
Bagi saya, itu merupakan satu rancangan yang baik.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada tenaga
pengajar dan juga para pelajar untuk kelas Alquran Braille di
Terengganu kerana mempunyai semangat waja untuk mendekati Allah
menerusi pengajian Alquran Braille. Saya juga ingin mengucapkan
terima kasih kepada kerajaan Terengganu yang terus menyokong dan
mendokong aktiviti kelas Alquran Braille menerusi MAIDAM.

Bagi saya, antara faktor penting pelaksanaan kelas pengajian Alquran
Braille di Terengganu dapat berjalan lancar ialah kerana mereka tidak
terjebak dengan sistem kod Alquran Braille alternatif versi Malaysia.
Bagi golongan yang sudah terjebak dengan kod Alquran Braille
alternatif versi Malaysia, banyak masa yang telah terbuang, banyak
wang telah dibazirkan dan banyak program ke arah memajukan Alquran
Braille khususnya di negara ini telah tergendala.

Perkara ini diburukkan lagi bilamana mereka yang beria-ia benar untuk
memartabatkan kod Alquran Braille alternatif bersi Malaysia merupakan
mereka yang tidak mahir dengan tulisan Alquran Braille dan bukan juga
pengguna asli Alquran Braille itu sendiri. Pada hemat saya, sekiranya
golongan berkenaan tidak terjebak dengan kod Alquran Braille
alternatif versi Malaysia, banyak yang boleh dilakukan demi untuk
memartabatkan Alquran Braille sama ada di peringkat nasional mahupun
di arena antarabangsa. Saya pun tidak pasti, apa sebenarnya yang
sedang mereka tangguk!

Wednesday, November 11, 2009

Bicara Isu

Keluhan Seorang Rakan

Hari Sabtu lalu, saya telah ke Brickfields untuk mendapatkan rawatan
urut dari seorang rakan. Rakan saya yang ini merupakan juruurut yang
bagus. Sebenarnya saya amat jarang sekali menerima rawatan urut.
Kali ini saya seakan wajib untuk menerima rawatan urut kerana badan
dan otak terasa terlalu letih. Maklumlah hujung tahun begini, guru
mana yang tak sibuk. Apatah lagi kalau guru berkenaan mengajar kelas
yang bakal menduduki peperiksaan awam yang penting seperti SPM. Ia
ditambah pula dengan tugasan lain yang bersangkutan yang semuanya
mempunyai aras kepentingan yang sama.

Berbalik kepada rakan saya yang ini, beliau merupakan seorang
kakitangan yang sedang bertugas dengan salah sebuah badan bukan
kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan golongan cacat penglihatan.
Kerja sebagai juruurut merupakan kerja sampingan beliau. Namun
begitu, hampir keseluruhan masa lapangnya digunakan untuk melakukan
kerja selaku juruurut untuk menjana pendapatan tambahan untuknya dan
keluarga beliau.

Memang sudah menjadi kelaziman kebanyakan juruurut gemar bercerita
ketika mengurut. Kisah yang diceritakan pula macam-macam.
Setidak-tidaknya juruurut berkenaan akan bercerita mengenai kesihatan
badan. Urat ini ada kaitan dengan perut; urat ini ada kaitan dengan
otak dan kepala; urat ini ada kaitan dengan jantung dan hati; urat
yang ini pula ada kaitan dengan benda itu!

Kali ini, rakan saya yang ini bercerita mengenai rasa tidak puas
hatinya terhadap badan NGO di mana beliau sedang berkhidmat. Katanya,
sebilangan kakitangan dalam pentadbiran bukan lagi bekerja untuk
kepentingan golongan cacat penglihatan, walaupun mereka adalah
peneraju badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan yang
cacat penglihatan. Kata rakan saya, sesetengah pentadbir NGO
berkenaan langsung tidak menghormati pengalaman yang dimiliki oleh
kakitangan tertentu yang sudah lama berkhidmat. Katanya lagi,
sesetengah kakitangan ditukarkan ke bahagian lain sesuka hati.
Sebagai contoh, katanya lagi, kakitangan X telah berkhidmat selama
puluhan tahun di satu bahagian, bahkan kepakaran kakitangan berkenaan
sudah mendapat pengiktirafan meluas. Malangnya kakitangan berkenaan
telah ditukarkan ke bahagian lain yang tiada kena mengena dengan
kepakaran yang telah beliau miliki. Bukankah langkah sedemikian
merugikan semua pihak? Apakah ada pihak lain yang sedang menangguk di
air keruh? Demikian soalnya pula.

Seperkara lagi, katanya, sejak akhir-akhir ini, hanya puak tertentu
sahaja yang mendapat manfaat dari NGO berkenaan. NGO berkaitan hanya
mementingkan puak tertentu dalam aspek-aspek tertentu. Ini sudah
tentulah merugikan pihak lain. Katanya, oleh kerana NGO berkenaan
ditubuhkan untuk orang buta, mendapat gran dan kemudahan lain atas
nama orang buta, mencari derma juga atas nama orang buta, maka sudah
sewajarnyalah dalam apa-apa hal pun golongan cacat penglihatan harus
diutamakan. Tetapi mengapa pentadbir tertentu nampaknya hanya memberi
tumpuan hanya kepada puak tertentu sahaja?

Menurut rakan saya itu, ada pentadbir tertentu, kalau bercakap dengan
orang luar, lembut gigi dari lidah. Kononnya dialah selama ini yang
menjadi juara dalam membantu golongan cacat penglihatan. Walhal,
dalam pentadbiran, ianya lebih kepada indah khabar dari rupa. Kata
rakan saya lagi, inilah akibatnya jika sesebuah NGO untuk golongan
cacat penglihatan ditadbir oleh sicelik yang tidak mengutamakan
golongan sasaran.

Oleh kerana kecewa dengan sikap pentadbir berkenaan, kata rakan saya
itu, ada sesetengah kakitangan yang sudah lama berkhidmat mula
memikirkan untuk berhenti/bersara lebih awal. Beliau sedar ia mungkin
akan merugikan golongan cacat penglihatan. Maklumlah kepakaran yang
diperolehi melalui pengalaman bukannya mudah untuk dicari. Namun
begitu, jika tiaperubahan dan jika tiada pilihan lain, maka
terpaksalah kakitangan yang kecewa itu memilih untuk berhenti sahaja.
Rakan saya itu juga termasuk dalam golongan kakitangan berkenaan.

Akhirnya, beliau meminta saya supaya menulis sesuatu mengenai
kepincangan NGO berkenaan. Tujuannya bukan untuk memburukkan NGO
berkaitan, tetapi supaya golongan penderma tidak berasa kecewa di atas
sumbangan yang telah mereka hulurkan. Beliau mencadangkan supaya saya
menulis dalam surat khabar. Saya sekadar diam dan mendengar sahaja.
Namun begitu, saya turut memberitahu rakan saya itu, kalau hendak
tulis di surat khabar, kena ada banyak data, fakta dan bukti. Beliau
memberi jaminan akan membantu ke arah itu. Saya sekadar diam tanpa
memberi sebarang komitmen.

Demikianlah antara keluhan rakan saya itu. Bayangkan, beliau
mengurut saya hampir 2 jam. Selama itulah juga beliau bercerita.

Selama ini, saya sangka masalah sedemikian hanya melanda
bahagian-bahagian tertentu di sektor awam, rupa-rupanya ia mula
berjangkit kepada NGO pula. Kalau di sektor awam, orang yang tak tahu
Braille dalam pendidikan khas boleh dapat cemerlang. Orang yang tidak
ada wawasan untuk memajukan orang cacat penglihatan pun boleh
diiktiraf sebagai juara kononnya banyak berjasa kepada golongan
tersebut. Orang yang baru setahun jagung dalam pendidikan khas pun
boleh diiktiraf sebagai pentadbir cemerlang. Sedangkan pengetahuan
dan pengalamannya mengenai perihal orang cacat penglihatan begitu
terbatas dalam lingkungan tempat dia bekerja sahaja.

Bagi saya, adalah amat malang sekali bilamana ada badan bukan
kerajaan (NGO) yang sepatutnya membantu golongan cacat penglihatan,
tetapi tidak lagi mementingkan golongan berkenaan.

Di sinilah perlunya semua golongan cacat penglihatan supaya bersatu
untuk membela nasib sendiri. Sikap berpuak-puak, mementingkan diri
dan NGO tertentu serta memburuk-burukkan orang lain harus dihentikan.
Memang ada orang yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan dan
kecacatan orang lain. Bila kita tidak bersatu, kita seolah-olahnya
memberi kesempatan yang lebih luas pula kepada pihak berkenaan untuk
meraih keuntungan peribadi.

Monday, November 9, 2009

Ucapan Takziah

Bapa Kak Rosnah Meninggal Dunia

Dalam tulisan saya semalam, antara nama yang terkandung dalam email
daripada Saudara Zahari yang saya sisipkan ialah bapa kepada Pn.
Rosnah yang tergolong dalam kalangan mereka yang tidak sihat. (sila
lihat posting semalam untuk perincian lanjut). Sekitar jam 10.30 pagi
tadi, saya menerima SMS daripada Saudara Zahari Hashim yang
memberitahu bahawa bapa Kak Rosnah telah kembali ke rahmatullah. Saya
sekeluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada
Kak Rosnah sekeluarga. Sesungguhnya ketentuan Allah tiada siapa yang
dapat menegahnya.

Kepada Kak Rosnah dan keluarga, bersabarlah banyak-banyak. Marilah
bersama-sama kita mendoakan semoga roh Allahyarham Haji Ahmad sentiasa
di dalam perlindungan Allah sepanjang masa dan tergolong dalam
kalangan mereka yang solihin.
Alfatihah ......

Sunday, November 8, 2009

Bicara Basri

Basri Masih Belum Sihat

Pada awal malam tadi, tatkala saya menyemak email, saya menemui email
yang dihantar oleh sahabat saya, Saudara Zahari Hashim. Antara lain,
kandungan email beliau ialah mengenai musibah/ujian yang sedang
ditanggung oleh beberapa rakan dan salah seorangnya ialah Basri.
Menurut kandungan email berkenaan, Basri telah dimasukkan semula ke
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Khamis lepas kerana
penyakitnya. Nampaknya, musibah/ujian yang sedang ditanggung Basri
masih belum berakhir.

Sekitar jam 9.30 malam sebentar tadi, isteri Basri pula menghubungi
saya melalui telefon. Beliau memaklumkan kepada saya keadaan terkini
Basri. Menurutnya, satu pembedahan akan dilakukan ke atas Basri esok.
Saya tidak pasti pula pembedahan apa. Katanya lagi, Basri juga
memerlukan bantuan darah. Kata isteri Basri lagi, jika sekiranya
pembedahan yang dilakukan gagal, maka usaha terakhir ialah kaki Basri
terpaksa dipotong. Menurut isteri Basri lagi, kebanyakan saudara-mara
Basri tidak mahu kaki Basri dipotong.

Saya memberitahu isteri Basri, dalam hal ini doktor tentunya lebih
tahu. Sekiranya doktor menyatakan potong kaki merupakan satu-satunya
ikhtiar yang masih ada, maka semua pihak mesti akur. Saya berkata
demikian supaya isteri dan keluarga Basri bersedia untuk menghadapi
sebarang kemungkinan. Saya faham, sesiapa pun tidak mahu anggotanya
cacat, apatah lagi kalau dua kecacatan.

Akhirnya, isteri Basri merayu supaya saya mengusahakan sesuatu untuk
membantu Basri dan keluarganya. Saya memberi jaminan, selagi ada
usaha saya akan lakukan. Lagi pun, Basri bukan orang lain, sahabat
lama saya juga.

Marilah kita sama-sama mengusahakan apa jua yang terdaya oleh kita
untuk membantu Basri. Paling tidak pun, setelah membaca tulisan ini,
panjatkanlah secebis doa untuk kesejahteraan Basri. Kepada mereka
yang sudi membantu walau dalam bentuk apa jua sekali pun, saya bagi
pihak Basri dahului dengan ucapan berbanyak-banyak terima kasih.

Di bawah ini, saya sisipkan kandungan email yang telah dihantar
kepada saya oleh Saudara Zahari Hashim.

Rakan-rakan dan Para sahabat sekalian.

Assalamualaikum dan salam ukhwah.

Ada beberapa orang rakan kita yang sedang kritikal dan terlantar di
hospital sekarang ni yang sangat-sangat mengharap bantuan dari kita.
Paling tidak pun, marilah kita bantu berdoa atau menunaikan sembahyang
hajat untuk membantu mereka ini.

1. Basri.

Dia telah dibenarkan pulang ke rumah sebelum Deepavali hari tu setelah
didapati keadaan kesihatannya memuaskan. Sehingga itu tidak
kedengaran lagi suara-suara untuk memotong kakinya itu.

Bagaimanapun, minggu lalu dia telah dimasukkan semula ke Pusat
Perubatan Universiti Malaya akibat betisnya terlangar katil. Harus
diterangkan juga bahawa pehanya telah dibedah untuk mengambil kulit
bahagian itu bagi menutup bahagian tapak kakinya yang juga telah
dibedah sebelumnya. Belum pun baik bahagian peha itu, kini bahagian
betisnya pula perlu dibedah. Khamis lepas, pembedahan tersebut telah
pun dilakukan. Bagaimanapun, menurut isterinya yang telah menghubungi
saya pagi tadi, satu lagi pembedahan ke atas betisnya akan dilakukan
pada hari ini. Kalau tak berjaya, ada berkemungkinan kaki kirinya itu
akan dipotong. Oleh itu, isterinya meminta sangat-sangat agar kita
semua melakukan sembahyang hajat dan berdoa agar kaki Basri tidak
sampai ke tahap perlu dipotong. Itulah pesanan daripada isteri Basri
kepada saya untuk disampaikan kepada kalian semua.

2. Bapa Rosnah.

Menurut apa yang disampaikan kepada saya minggu lalu, bapa Rosnah
sudahpun dibenarkan pulang ke rumah setelah berada dalam wad selepas
raya puasa tempoh hari. Sama-samalah kita berdoa agar keadaan
kesihatan bapanuya yang sedang menghidap barah usus itu cepat sembuh.

3. Zuraidah Ali.

Dia adalah seorang oku penglihatan yang juga berkerusi roda. Dia
adalah bekas pelajar Sek. Men. Tunku Melek di Alor Setar.

Selepas menduduki SPM, keadaan kesihatannya menjadi bertambah
kritikal. Telah beberapa kali keluar masuk hospital. Kini dia sedang
terlantar di Hospital Alor Setar. Ada kalanya, dia berada dalam koma
hingga tidak dapat berinteraksi dengan orang di sekelilingnya. Ada
kalanya dia sedar. Semoga dia juga akan berada dalam doa kita semua
agar akan cepat sembuh.

Apalah daya kita untuk membantu insan-insan yang sedang diuji ini
selain dari memohon kepada Allah SWT agar mereka akan cepat sembuh.
Berdoalah untuk mereka.

Salam dari kejauhan