Hari Sabtu lalu, saya telah ke Brickfields untuk mendapatkan rawatan
urut dari seorang rakan. Rakan saya yang ini merupakan juruurut yang
bagus. Sebenarnya saya amat jarang sekali menerima rawatan urut.
Kali ini saya seakan wajib untuk menerima rawatan urut kerana badan
dan otak terasa terlalu letih. Maklumlah hujung tahun begini, guru
mana yang tak sibuk. Apatah lagi kalau guru berkenaan mengajar kelas
yang bakal menduduki peperiksaan awam yang penting seperti SPM. Ia
ditambah pula dengan tugasan lain yang bersangkutan yang semuanya
mempunyai aras kepentingan yang sama.
Berbalik kepada rakan saya yang ini, beliau merupakan seorang
kakitangan yang sedang bertugas dengan salah sebuah badan bukan
kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan golongan cacat penglihatan.
Kerja sebagai juruurut merupakan kerja sampingan beliau. Namun
begitu, hampir keseluruhan masa lapangnya digunakan untuk melakukan
kerja selaku juruurut untuk menjana pendapatan tambahan untuknya dan
keluarga beliau.
Memang sudah menjadi kelaziman kebanyakan juruurut gemar bercerita
ketika mengurut. Kisah yang diceritakan pula macam-macam.
Setidak-tidaknya juruurut berkenaan akan bercerita mengenai kesihatan
badan. Urat ini ada kaitan dengan perut; urat ini ada kaitan dengan
otak dan kepala; urat ini ada kaitan dengan jantung dan hati; urat
yang ini pula ada kaitan dengan benda itu!
Kali ini, rakan saya yang ini bercerita mengenai rasa tidak puas
hatinya terhadap badan NGO di mana beliau sedang berkhidmat. Katanya,
sebilangan kakitangan dalam pentadbiran bukan lagi bekerja untuk
kepentingan golongan cacat penglihatan, walaupun mereka adalah
peneraju badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan yang
cacat penglihatan. Kata rakan saya, sesetengah pentadbir NGO
berkenaan langsung tidak menghormati pengalaman yang dimiliki oleh
kakitangan tertentu yang sudah lama berkhidmat. Katanya lagi,
sesetengah kakitangan ditukarkan ke bahagian lain sesuka hati.
Sebagai contoh, katanya lagi, kakitangan X telah berkhidmat selama
puluhan tahun di satu bahagian, bahkan kepakaran kakitangan berkenaan
sudah mendapat pengiktirafan meluas. Malangnya kakitangan berkenaan
telah ditukarkan ke bahagian lain yang tiada kena mengena dengan
kepakaran yang telah beliau miliki. Bukankah langkah sedemikian
merugikan semua pihak? Apakah ada pihak lain yang sedang menangguk di
air keruh? Demikian soalnya pula.
Seperkara lagi, katanya, sejak akhir-akhir ini, hanya puak tertentu
sahaja yang mendapat manfaat dari NGO berkenaan. NGO berkaitan hanya
mementingkan puak tertentu dalam aspek-aspek tertentu. Ini sudah
tentulah merugikan pihak lain. Katanya, oleh kerana NGO berkenaan
ditubuhkan untuk orang buta, mendapat gran dan kemudahan lain atas
nama orang buta, mencari derma juga atas nama orang buta, maka sudah
sewajarnyalah dalam apa-apa hal pun golongan cacat penglihatan harus
diutamakan. Tetapi mengapa pentadbir tertentu nampaknya hanya memberi
tumpuan hanya kepada puak tertentu sahaja?
Menurut rakan saya itu, ada pentadbir tertentu, kalau bercakap dengan
orang luar, lembut gigi dari lidah. Kononnya dialah selama ini yang
menjadi juara dalam membantu golongan cacat penglihatan. Walhal,
dalam pentadbiran, ianya lebih kepada indah khabar dari rupa. Kata
rakan saya lagi, inilah akibatnya jika sesebuah NGO untuk golongan
cacat penglihatan ditadbir oleh sicelik yang tidak mengutamakan
golongan sasaran.
Oleh kerana kecewa dengan sikap pentadbir berkenaan, kata rakan saya
itu, ada sesetengah kakitangan yang sudah lama berkhidmat mula
memikirkan untuk berhenti/bersara lebih awal. Beliau sedar ia mungkin
akan merugikan golongan cacat penglihatan. Maklumlah kepakaran yang
diperolehi melalui pengalaman bukannya mudah untuk dicari. Namun
begitu, jika tiaperubahan dan jika tiada pilihan lain, maka
terpaksalah kakitangan yang kecewa itu memilih untuk berhenti sahaja.
Rakan saya itu juga termasuk dalam golongan kakitangan berkenaan.
Akhirnya, beliau meminta saya supaya menulis sesuatu mengenai
kepincangan NGO berkenaan. Tujuannya bukan untuk memburukkan NGO
berkaitan, tetapi supaya golongan penderma tidak berasa kecewa di atas
sumbangan yang telah mereka hulurkan. Beliau mencadangkan supaya saya
menulis dalam surat khabar. Saya sekadar diam dan mendengar sahaja.
Namun begitu, saya turut memberitahu rakan saya itu, kalau hendak
tulis di surat khabar, kena ada banyak data, fakta dan bukti. Beliau
memberi jaminan akan membantu ke arah itu. Saya sekadar diam tanpa
memberi sebarang komitmen.
Demikianlah antara keluhan rakan saya itu. Bayangkan, beliau
mengurut saya hampir 2 jam. Selama itulah juga beliau bercerita.
Selama ini, saya sangka masalah sedemikian hanya melanda
bahagian-bahagian tertentu di sektor awam, rupa-rupanya ia mula
berjangkit kepada NGO pula. Kalau di sektor awam, orang yang tak tahu
Braille dalam pendidikan khas boleh dapat cemerlang. Orang yang tidak
ada wawasan untuk memajukan orang cacat penglihatan pun boleh
diiktiraf sebagai juara kononnya banyak berjasa kepada golongan
tersebut. Orang yang baru setahun jagung dalam pendidikan khas pun
boleh diiktiraf sebagai pentadbir cemerlang. Sedangkan pengetahuan
dan pengalamannya mengenai perihal orang cacat penglihatan begitu
terbatas dalam lingkungan tempat dia bekerja sahaja.
Bagi saya, adalah amat malang sekali bilamana ada badan bukan
kerajaan (NGO) yang sepatutnya membantu golongan cacat penglihatan,
tetapi tidak lagi mementingkan golongan berkenaan.
Di sinilah perlunya semua golongan cacat penglihatan supaya bersatu
untuk membela nasib sendiri. Sikap berpuak-puak, mementingkan diri
dan NGO tertentu serta memburuk-burukkan orang lain harus dihentikan.
Memang ada orang yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan dan
kecacatan orang lain. Bila kita tidak bersatu, kita seolah-olahnya
memberi kesempatan yang lebih luas pula kepada pihak berkenaan untuk
meraih keuntungan peribadi.
1 comment:
adalah menjadi terlalu malang jika tempat berpayung, basah juga yang diterima.
Post a Comment