Friday, May 31, 2013

Alquran Braille Mushaf Malaysia: Jangan Menangguk Di Air Keruh




Pada 28 Mei 2013 (Selasa) yang lalu saya telah menghadiri satu mesyuarat mengenai cadangan untuk membangunkan penulisan Alquran Braille mushaf Malaysia. Mesyuarat berkenaan adalah di bawah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang juga bertindak selaku urusetia mesyuarat. Selain saya yang mewakili Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), wakil beberapa badan bukan kerajaan untuk golongan cacat penglihatan lain turut sama hadir. Selain itu, wakil-wakil daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Bahagian Teks Dan Kawalan Alquran Kementerian Dalam Negeri turut sama hadir.





Sebelum saya meneruskan dengan tulisan saya kali ini, sila baca dahulu berita yang telah terpampang dalam Berita Harian pada 30 Mei 2013 seperti di bawah ini dan beri perhatian pada bahagian yang bercetak tebal:


RM1.06j terbit bahan bacaan Braille Zaiton (kiri) bersama Shawalludin (dua dari kiri) dan Jaafar (kanan) melihat Mohd Yusof Abdullah bersama buku Braille selepas majlis pelancaran penajaan Yayasan Sime Darby di Kuala Lumpur, semalam.

Inisiatif Sime Darby mahu semai budaya pembelajaran berterusan

Kuala Lumpur: Yayasan Sime Darby (YSD) menaja RM1.06 juta untuk menerbitkan bahan bacaan, termasuk al-Quran dalam bentuk Braille, khusus bagi kegunaan orang buta di negara ini. Ahli Majlis Tertinggi YSD, Datin Paduka Zaitoon Othman, berkata inisiatif itu diambil kerana kadar penerbitan bahan bacaan Braille masih rendah di negara ini selain selari dengan matlamat pendidikan YSD. “Ketika ini tiada organisasi yang fokus terhadap penerbitan berbentuk Braille terutama bahan bacaan berbahasa Malaysia kerana kos penghasilan dan penerbitan yang tinggi. Beri keyakinan“Selain itu, melalui tajaan ini kami mahu memberi keyakinan kepada mereka melalui buku supaya berusaha mencapai cita-cita walaupun memiliki kekurangan dan menyemai budaya pembelajaran secara berterusan,” katanya pada majlis penyerahan replika cek kepada Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM). Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi YSD, Tan Sri Datuk M Jegathesan; Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Yatela Zainal Abidin; Penasihat Kebangsaan PPOBM, Datuk Sheikh Shawalludin dan Presiden PPOBM, Jaafar Md Isa. Hasil semula 800 buku BrailleMelalui tajaan terbabit, PPOBM akan menghasilkan semula 800 buku versi Braille tahun ini dan menyasarkan 1,200 buku, daripada enam buku termasuk berjudul Meniti Catatan Sejarah: Koleksi Artikel 2002-2003, Islam, Budaya Kerja dan Pembangunan Masyarakat, Asas-Asas Masyarakat Cemerlang, Rukun Negara, Polemik Sejarah Malaysia serta Wanita Islam dan Bekerja Sendiri selain menerbitkan al-Quran versi Braille. Penerbitan al-Quran versi Braille dilakukan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2015. Tajaan itu juga, termasuk pembelian sepuluh mesin untuk menghasilkan teks Braille, mesin pengimbas dengan perisian Braille selain menampung kos penerbitan lain seperti bayaran kepada editor dan pembaca pruf.


Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RM1_06jterbitbahanbacaanBraille/Article/



Sebenarnya, kalau saya hendak menulis mengenai mesyuarat berkenaan, saya boleh melakukannya pada hari itu juga iaitu sejurus selepas berakhirnya mesyuarat. Namun demikian, selaku kakitangan awam, saya amat faham kesan dan spekulasi yang mungkin timbul jika apa yang dimesyuaratkan itu didedahkan. Lagi pun, pada hemat saya, belum tiba masanya lagi untuk saya mendedahkan apa yang baru diputuskan oleh mesyuarat berkenaan. Jauh sekali daripada saya atau PERTIS untuk lantas mengambil kesempatan daripada apa-apa unsur atau maklumat daripada mesyuarat berkenaan untuk kepentingan sama ada saya atau pun persatuan yang sedang saya pimpin.




Demi Allah, saya atau persatuan yang sedang saya pimpin sama sekali tidak menaruh iri jauh sekali merasa hasad terhadap mana-mana badan bukan kerajaan lain khasnya yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan bila mereka mendapat rezeki ratusan ribu atau jutaan ringgit. Sesungguhnya rezeki itu dari Allah dan menjadi iradat Allah untuk mengurniakan rezeki yang sebanyak mana dan kepada siapa yang Dia hendak anugerahkan.


Berbalik kepada mesyuarat berkenaan, PPOBM (Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia) turut menghantar 2 wakilnya (kalau saya tidak silap). Antara yang telah diputuskan melalui mesyuarat berkenaan ialah penubuhan satu jawatankuasa untuk meneruskan usaha membangunkan kaedah penulisan Alquran Braille mushaf Malaysia. Beberapa nama telah dicadangkan untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan. Salah satu nama yang dicadangkan itu merupakan wakil daripada PPOBM.


Namun demikian, (mungkin presiden PPOBM juga tidak faham), kesemua nama yang dicadangkan itu masih lagi di peringkat cadangan. Ini kerana cadangan nama-nama berkenaan masih belum lagi ditandatangani dan disahkan oleh Yang Berbahagia Ketua Pengarah JAKIM. Maknanya, selagi tidak dapat surat pelantikan yang bertandatangan, maka selagi itulah nama-nama yang telah dicadangkan itu masih belum sah selaku ahli jawatankuasa sebagaimana yang telah dicadangkan. Ia juga bermakna jawatankuasa yang dicadangkan itu juga masih belum lagi wujud dalam erti kata sebenar. Harap faham!!!


Di samping itu, pihak berkenaan juga mendakwa mempunyai hubungan denga JAKIM, KDN dan juga dengan USIM. Kerja belum bermula bagaimana sudah ada hubungan? Kalau pun ada hubungan, hubungan yang macam mana? Hubungan peribadi tidak sesuai untuk dicampuradukkan dalam konteks ini!


Selain itu, mesyuarat berkenaan juga langsung tidak menyentuh apatah lagi membincangkan mengenai hak untuk memegang, menyimpan dan hak penerbitan ke atas soft copy Alquran Braille mushaf Malaysia yang bakal dibangunkan. Oleh yang demikian, bagi saya, tidak wajar bagi mana-mana pihak mendakwa bahawa pihaknya akan menerbitkan Alquran Braille mushaf Malaysia berkenaan. Lebih tidak wajar jika apa-apa maklumat daripada mesyuarat itu digunakan untuk kepentingan peribadi mana-mana individu ataupun untuk kepentingan mana-mana organisasi. Ingat, baru dengan guruh di langit air tempayan jangan dicurahkan! Kalau hendak cari duit sebanyak mana pun, carilah, tapi jangan sampai menangguk di air keruh.


Mesyuarat berkenaan juga turut merangka (secara kasar) pelan tindakan dan pelan operasi. Adalah dijangkakan bahawa hujung tahun 2015 baru semua tugasan dan kerja akan dapat disempurnakan. Itu jangkaan sahaja. Jika banyak onarnya, mungkin ia akan mengambil masa yang lebih panjang.


Oleh itu, tidak wajar bila ada pihak yang mendakwa bahawa Alquran Braille mushaf Malaysia akan mula diterbitkan menjelang tahun 2015. Kalau pun penulisan mengenai Alquran Braille berkenaan dapat disempurnakan pada sekitar tahun 2015, ia tidaklah bermakna bahawa Alquran berkenaan akan diterbitkan pada tahun itu juga. Sebelum penerbitan bermula, banyak lagi perkara lain yang perlu diselesaikan.


Jadinya, kalau hendak beli mesin pencetak Braille (embosser) sampai segudang, belilah, tapi jangan beritahu kepada penderma bahawa ia akan digunakan untuk mencetak Alquran Braille. Sepertimana yang telah saya katakan, kami belum lagi bincang hak penerbitan Alquran Braille mushaf Malaysia berkenaan.


Saya suka mengingatkan pada diri saya sendiri dan juga kepada sesiapa yang gemar mendengar nasihat, usaha untuk membangunkan penulisan Alquran Braille mushaf Malaysia ini masih di peringkat “baru hendak berbunga”. Oleh itu janganlah ada mana-mana pihak yang cuba untuk mencantasnya dengan mencampuradukkan dengan lain-lain kepentingan. Apa jua yang telah berlaku pada masa-masa lepas, kita serahkan kepada Allah untuk mengampunkannya (sekiranya bertaubat) atau menghukumnya (sekiranya masih angkuh dan sombong). Jika ada mana-mana yang bersikap “lebih sudu dari kuah”, saya khuatir usaha yang baru hendak bermula ini , akan terencat di pertengahan jalan. Oleh itu, jika kita benar-benar ingin memartabatkan Alquran Braille di negara ini dengan penuh keikhlasan dan dalam erti kata yang sebenar, marilah kita sama-sama fokus kepada usaha ini. Lain-lain kepentingan (jika ada) buang jauh-jauh. Kita seharusnya merasa malu dengan mereka yang berpenglihatan dan tiada kepentingan apa-apa pun dalam usaha ini tetapi sanggup mengorbankan apa sahaja untuk berganding bahu dengan kita bagi melihat usaha ini berjaya.


Monday, May 27, 2013

Selamat Pengantin Baru Kepada UAI



Pada 26 Mei 2013 (Ahad), khabarnya Ustaz Azhar Idrus (UAI) telah berkahwin untuk kali ketiga. Ustaz Azhar merupakan antara penceramah tersohor tanah air masa kini. Penampilan beliau sering mendapat perhatian khususnya dalam kalangan anak-anak muda. Saya sendiri pernah menghadiri ceramah beliau secara langsung sekali iaitu sewaktu ia diadakan di Kuantan hujung tahun lepas.


Khabarnya juga majlis perkahwinan Ustaz Azhar turut dihadiri oleh kedua-dua isteri beliau yang sedia ada. Mungkin kedua-dua mereka sudah merasai nikmat memperoleh “payung emas”, kerana itulah mereka tidak kekok untuk hadir. Agaknya begitulah.


Walau apa pun, saya mengucapkan selamat pengantin baru kepada Ustaz Azhar. Doa saya semoga akan berpanjanganlah jodoh hingga ke syurga. Mudah-mudahan juga akan semakin bertambahlah umat Muhammad yang beriman dan beramal solih. Kalau ada jodoh lagi, jangan biarkan 1 quota yang masih ada terus kosong!


Saturday, May 18, 2013

Cikgu Mohamed Ismail Kembali Ke Rahmatullah



Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa Cikgu Mohamed bin Ismail telah kembali ke rahmatullah pada sekitar jam 9.00 pagi tadi. Berita ini telah dimaklumkan kepada saya oleh En. Fauzi Mansor yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu menerusi satu panggilan telefon pada sekitar 9.05 pagi tadi. Menurut maklumat mutakhir yang disampaikan kepada saya sebelum tulisan ini dipostingkan, jenazah beliau akan dikebumikan selepas solat asar hari ini juga.



(Saya dan Cikgu Mad pada tahun 2011)


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesihatan Cikgu Mad memang berada dalam keadaan yang tidak begitu memuaskan. Beliau dikatakan menghidap penakit barah hidung sejak beberapa tahun.


Cikgu Mad telah menerima pendidikan awal di SKPK Princess Elizabeth, Johor Baru. Selanjutnya beliau telah meneruskan pelajaran peringkat menengahnya di Kuala Terengganu. Selepas tamat persekolahan, beliau telah berjaya melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya. Beliau juga turut mengikuti pengajian diploma pendidikan di universiti yang sama.



(Cikgu Mad semasa menyertai sesi demo panel E-Braille anjuran UTM dan PERTIS di Terengganu pada tahun 2011)



Bermula tahun 1980, beliau mula berkhidmat sebagai guru di Terengganu. Beliau pernah berkhidmat di beberapabuah sekolah seperti SMK Padang Midin dan SMK Seri Nilam. Beliau telah bersara dari jawatannya pada bulan Januari 2012 ketika sedang menyandang gred gaji DG48. Untuk maklumat bersama, walaupun beliau seorang guru yang cacat penglihatan, sejak mula berkhidmat sebagai pendidik, beliau telah ditempatkan di sekolah biasa hinggalah ke saat persaraanya. Dengan erti kata lain, beliau tidak pernah berpengalaman mengajar di mana-mana sekolah pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan. Justeru beliau merupakan antara guru cacat penglihatan yang berpengalaman luas bertugas di sekolah aliran biasa untuk murid yang tidak cacat. Pada tahun 2005, Cikgu Mad telah dianugerahkan tokoh guru untuk kategori OKU.



(Cikgu Mad Berucap dalam mesyuarat agung PERTIS kebangsaan tahun 2010)



Di dalam bidang kesukarelawanan pula, Cikgu Mad merupakan antara pengasas penubuhan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk negeri Terengganu pada tahun 2000. Jika saya tidak silap, Cikgu Mad merupakan pengerusi PERTIS Terengganu yang pertama. Pada tahun 2004, Cikgu Mad telah terpilih sebagai Yang Di-Pertua PERTIS kebangsaan. Beliau terus berkhidmat selaku YDP PERTIS sehingga bulan Julai 2010.



(cikgu mad ketika mengumumkan tidak bertanding untuk YDP PERTIS pada tahun 2010)



Kepada ahli keluarga Allahyarham Cikgu Mad, bersabarlah menerima ketentuan daripada Ilahi. Sesungguhnya masa untuk beliau mengadap Ilahi sebagaimana yang telah dijanjikan sudah pun tiba. Masa untuk kita menuruti beliau juga pasti akan tiba, hanya saatnya sahaja yang masih menjadi rahsia.


Marilah kita bersama-sama mendoakan semoga roh Cikgu Mad sentiasa dalam perlindungan serta dalam rahmat Allah hendaknya sepanjang masa.


Alfatihah ....







Sunday, May 12, 2013

Tahniah Untuk Zamzuri



Sekitar jam 8.09 malam sebentar tadi, En. Zamzuri Ghani telah menelefon saya dan memberitahu bahawa isteri beliau telah pun selamat melahirkan putera mereka yang kedua di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Suaranya sungguh ceria. Maklumlah baru dapat rezeki lagi. Menurut beliau lagi, kelahiran putera mereka kali ini cepat hampir 3 minggu. Ini adalah kerana isterinya mengalami sedikit masalah kesihatan. Walau bagaimanapun, kelahiran putera mereka yang kedua ini telah berlaku dengan selamat.


Kepada En. Zamzuri, sekalung tahniah diucapkan. Semoga putera kedua ini akan menambah lagi seri dan ceria kepada anda dan isteri tercinta.


Setakat ini saya belum diberitahu nama apa yang akan diberikan kepada putera mereka yang kedua ini. Kalau susah sangat, tak payah fikir panjang-panjang, namakan sahaja putera itu “Zakaria” ....


Friday, May 10, 2013

Kekalahan Ibrahim Ali Dan Zulkifli Nordin Adalah Wajar



Dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-13 baru-baru ini, dua kerusi parlimen yang paling mendapat tumpuan saya dan mungkin juga sebahagian besar orang ramai ialah Pasir Mas dan juga Shah Alam. Kedua-dua kerusi tersebut telah ditandingi antaranya oleh dua calon yang penuh kontroversi dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Mereka yang saya maksudkan sudah tentulah Datuk Ibrrahim Ali dan juga Datuk Zulkifli Nordin. Keputusan pengundian di kedua-dua kerusi berkenaan telah mengkabulkan doa ramai orang apabila Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas) dan Datuk Zulkifli Nordin (Shah Alam) kecundang terjelupuk di kerusi masing-masing.




Bagi Datuk Zulkifli Nordin, ini merupakan penggal kedua beliau bertanding dalam pilihanraya umum. Dalam PRU Ke-12 pada tahun 2008, beliau telah bertanding dan menang sebagai ahli parlimen bagi kerusi Kulim Bandar Baru, Kedah. Kemenangan beliau adalah atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Malangnya, di pertengahan musim, Datuk Zulkifli Nordin telah belot dan melompat keluar dari PKR yang seterusnya mengisytiharkan dirinya sebagai wakil bebas di parlimen. Dari aspek undang-undang perbuatan melompat parti seperti yang dilaksanakan oleh Datuk Zulkifli tidaklah merupakan suatu kesalahan kerana tiada undang-undang antilompat parti diamalkan di negara kita. Namun begitu, dari aspek etika dan harga diri, perbuatan sedemikian tetap dikategorikan sebagai suatu pengkhianatan terutamanya kepada parti politik yang dimenangi dan diwakili sewaktu PRU sebelumna. Walaupun beliau mendakwa selaku wakil bebas, tetapi hampir kesemua tindak-tanduknya selepas pengisytiharan sebagai wakil bebas lebih condong dan cenderung ke arah Barisan Nasional (BN). Tidak cukup dengan itu, beliau banyak mengkritik (mengutuk) PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka dan secara keterlaluan, seolah-olahnya mereka tidak pernah akrab sebelum ini.


Menjelang PRU 13, dengan kelicikan yang ada padanya, Datuk Zulkifli telah berjaya meletakkan dirinya sebagai calon yang bertanding di kerusi parlimen Shah Alam di bawah lambang dacing. Hal ini sudah tentulah menimbulkan rasa tidak puas hati bbeberapa pihak khususnya di Shah Alam. Status Datuk Zulkifli Nordin sebagai winable candidate sepatutnya diragui bilamana sebelumnya beliau telah menimbulkan kontroversi terhadap masyarakat beragama Hindu di Malaysia. Kontroversi yang beliau timbulkan tidak mungkin reda dalam masa singkat. Justeru tindakan meletakkan beliau sebagai calon di Shah Alam merupakan satu tindakan yang sama sekali tidak berpandangan jauh.


Datuk Zulkifli juga merupakan seorang yang angkuh dan bersifat cakap besar. Menjelang PRU 13, beliau telah melahirkan keyakinan bahawa beliau akan menang di kerusi Shah Alam 101%. Katanya lagi, selepas 5 Mei nanti, beliau adalah seorang wakil rakyat. Kenyataan beliau ini bukan sahaja cuba memperlekeh dan memperkecilkan lawannya (Khalid Samad), tetapi ia menunjukkan bahawa Datuk Zulkifli bersahsiah rendah, sombong dan angkuh. Ia sama sekali berlawanan dengan imej Islam yang cuba beliau tonjolkan sebelum ini.


Justeru eloklah kalau Datuk Zulkifli dengar kembali kenyataan “cakap besar” yang telah beliau hamburkan sebelum hari pengundian PRU 13 baru-baru ini. Setelah dengar kembali, cuba renung semula, benarkah sekarang anda adalah seorang wakil rakyat? Di manakah keyakinan 101% anda untuk menang di Shah Alam sebelum ini? Apa yang anda lakukan tak ubah bagai baru dengar guruh di langit, air di tempayan sudah dicurahkan!






Mengenai Datuk Ibrahim Ali pula, kalau tak silap catatan saya, ini merupakan kali ke-7 berturut-turut beliau menyertai pilihanraya umum iaitu bermula dengan pilihanraya umum ke-7 pada tahun 1986. Ia tidak termasuk dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir pada 2005.


“Keistimewaan” Datuk Ibrahim Ali ialah beliau pernah bertanding di bawah lambang tiga parti yang berasaskan Melayu atau Islam iaitu UMNO, Parti Melayu Semangat 46 dan juga PAS. Ini tidak termasuk beliau bertanding sebagai calon bebas. Justeru tidak peliklah jika beliau turut popular dengan nama timang-timangan “alkataki”. Datuk Ibrahim kalau berucap tidak langsung memikirkan kesan ucapannya pada masa depan. Suatu ketika dahulu beliau pernah mengatakan yang antara lain “Hanya orang gila sahaja yang akan masuk UMNO”. Ucapan berkenaan dibuat ketika beliau berada di luar UMNO. Apa yang menghairankan, tokoh yang sering menjadi idola beliau ialah bekas pemimpin tertinggi UMNO juga.


Dalam PRU ke-12 pada tahun 2008, Datuk Ibrahim telah berjaya bertanding dan seterusnya menang di kerusi parlimen Pasir Mas di bawah lambang bulan. Maknanya PAS telah memberi laluan untuk beliau bertanding bukan sahaja menggunakan lamban parti berkenaan, bahkan kerusi Pasir Mas yang diperuntukkan untuk beliau merupakan antara kerusi yang selamat untuk sesiapa yang bertanding mengguakan lambang bulan. Malangnya, setelah menang di Pasir Mas dan di pertengahan musim Datuk Ibrahim telah mempamirkan isi hati dan budinya yang hakiki. Beliau mula mengkhianati Pakatan Rakyat (PR) khasnya PAS. Beliau mula mencerca dan menghina tokoh-tokoh PAS yang telah berkorban dengan memberi laluan mudah untuknya dalam PRU Ke-12. Kemuncak kepadapengkhianatan Datuk Ibrahim ialah apabila beliau mengisytiharkan dirinya sebagai wakil bebas di parlimen.


D sini, saya sendiri tidak sampai hati untuk mengenengahkan semula penghinaan dan cercaan yang pernah dihamburkan oleh hamba Allah yang seorang ini khususnya kepada PAS dan kepada Tuan Guru Datuk Nik Aziz. Bila saya tatap semula penghinaan dan cercaan yang pernah beliau hamburkan, hati pasti jadi sakit. Justeru biarlah saya pendam saaja dalam arkib peribadi.


Sewaktu hari penamaan calon untuk PRU 13 baru-baru ini, tidak semena-mena bakal calon BN, Che Johan Che Pa, telah tidak menyerahkan kertas pencalonannya untuk disahkan sebagai calon di Pasir Mas. Walhal beliau dikatakan turut hadir di pusat penamaan calon. Perlakuan Che Johan ini telah memberi ruang kepada Datuk Ibrahim untuk berlawan satu sama satu dengan calon PAS, Nik Abduh. Dengan ini Datuk Ibrahim amat berharap agar beliau akan mendapat kemenangan lebih mudah di Pasir Mas. Apatah lagi, bagi Datuk Ibrahim, Nik Abduh hanyalah seorang yang masih kurang pengalaman dalam politik.


Di akhir pengundian, Allah Yang Maha Besar telah mentakdirkan bahawa sipengkhianat tidak selamanya akan menang. Hari kekalahan untuk golongan sedemikian sudah tiba agaknya. Maka itulah pemimpin nombor wahid dan thani Pertubuhan Pribumi Prkasa Malaysia (Perkasa) telah tumbang tersembam ditimbus ditimpa majoriti kekalahan yang besar. Dalam hal ini, Datuk Ibrahim seharusnya bermuhasabah diri bahawa kemenangannya di Pasir Ms selama ini ukan kerana batng tubuhnya tetapi kerana parti politik yang beliau wakili semasa bertanding.


Dengan kekalahan dan tersungkurna dua orang makhlu pengkhianat ini, maka ramai yang telah sujud syukur dan merafakkan kesyukurannya ke hadrat Ilahi. Mudah-mudahan selepas ini tidak akan berulang lagi perbuatan pengkhianatan sumbang sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh kedua-dua makhluk di atas. Marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada apa yang telah menimpa kedua-duanya agar kesalahan dan dosa yang sama tidak diulangi pada masa-masa yang akan datang. Sesungguhnya keputusan PRU 13 untuk kerusi parlimen Pasir Mas membuktikan bahawa bulan teta mengambang terang di Pasir Mas walaupun ia cuba digerhanakan oleh seorang insan yang bernama Datuk Ibrahim Ali.


Selepas ini, saya ingin mencadangkan agar Datuk Ibrahim Ali dan juga Datuk Zulkifli Nordin bersara sahajalah daripada politik. Kemudian bolehlah jadi penganalisis politik bebas. Lagipun kedua-dua mereka memang sudah ada banyak pengalaman sebagai wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat.