Friday, May 31, 2013

Alquran Braille Mushaf Malaysia: Jangan Menangguk Di Air Keruh




Pada 28 Mei 2013 (Selasa) yang lalu saya telah menghadiri satu mesyuarat mengenai cadangan untuk membangunkan penulisan Alquran Braille mushaf Malaysia. Mesyuarat berkenaan adalah di bawah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang juga bertindak selaku urusetia mesyuarat. Selain saya yang mewakili Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), wakil beberapa badan bukan kerajaan untuk golongan cacat penglihatan lain turut sama hadir. Selain itu, wakil-wakil daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Bahagian Teks Dan Kawalan Alquran Kementerian Dalam Negeri turut sama hadir.





Sebelum saya meneruskan dengan tulisan saya kali ini, sila baca dahulu berita yang telah terpampang dalam Berita Harian pada 30 Mei 2013 seperti di bawah ini dan beri perhatian pada bahagian yang bercetak tebal:


RM1.06j terbit bahan bacaan Braille Zaiton (kiri) bersama Shawalludin (dua dari kiri) dan Jaafar (kanan) melihat Mohd Yusof Abdullah bersama buku Braille selepas majlis pelancaran penajaan Yayasan Sime Darby di Kuala Lumpur, semalam.

Inisiatif Sime Darby mahu semai budaya pembelajaran berterusan

Kuala Lumpur: Yayasan Sime Darby (YSD) menaja RM1.06 juta untuk menerbitkan bahan bacaan, termasuk al-Quran dalam bentuk Braille, khusus bagi kegunaan orang buta di negara ini. Ahli Majlis Tertinggi YSD, Datin Paduka Zaitoon Othman, berkata inisiatif itu diambil kerana kadar penerbitan bahan bacaan Braille masih rendah di negara ini selain selari dengan matlamat pendidikan YSD. “Ketika ini tiada organisasi yang fokus terhadap penerbitan berbentuk Braille terutama bahan bacaan berbahasa Malaysia kerana kos penghasilan dan penerbitan yang tinggi. Beri keyakinan“Selain itu, melalui tajaan ini kami mahu memberi keyakinan kepada mereka melalui buku supaya berusaha mencapai cita-cita walaupun memiliki kekurangan dan menyemai budaya pembelajaran secara berterusan,” katanya pada majlis penyerahan replika cek kepada Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM). Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi YSD, Tan Sri Datuk M Jegathesan; Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Yatela Zainal Abidin; Penasihat Kebangsaan PPOBM, Datuk Sheikh Shawalludin dan Presiden PPOBM, Jaafar Md Isa. Hasil semula 800 buku BrailleMelalui tajaan terbabit, PPOBM akan menghasilkan semula 800 buku versi Braille tahun ini dan menyasarkan 1,200 buku, daripada enam buku termasuk berjudul Meniti Catatan Sejarah: Koleksi Artikel 2002-2003, Islam, Budaya Kerja dan Pembangunan Masyarakat, Asas-Asas Masyarakat Cemerlang, Rukun Negara, Polemik Sejarah Malaysia serta Wanita Islam dan Bekerja Sendiri selain menerbitkan al-Quran versi Braille. Penerbitan al-Quran versi Braille dilakukan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2015. Tajaan itu juga, termasuk pembelian sepuluh mesin untuk menghasilkan teks Braille, mesin pengimbas dengan perisian Braille selain menampung kos penerbitan lain seperti bayaran kepada editor dan pembaca pruf.


Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RM1_06jterbitbahanbacaanBraille/Article/



Sebenarnya, kalau saya hendak menulis mengenai mesyuarat berkenaan, saya boleh melakukannya pada hari itu juga iaitu sejurus selepas berakhirnya mesyuarat. Namun demikian, selaku kakitangan awam, saya amat faham kesan dan spekulasi yang mungkin timbul jika apa yang dimesyuaratkan itu didedahkan. Lagi pun, pada hemat saya, belum tiba masanya lagi untuk saya mendedahkan apa yang baru diputuskan oleh mesyuarat berkenaan. Jauh sekali daripada saya atau PERTIS untuk lantas mengambil kesempatan daripada apa-apa unsur atau maklumat daripada mesyuarat berkenaan untuk kepentingan sama ada saya atau pun persatuan yang sedang saya pimpin.




Demi Allah, saya atau persatuan yang sedang saya pimpin sama sekali tidak menaruh iri jauh sekali merasa hasad terhadap mana-mana badan bukan kerajaan lain khasnya yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan bila mereka mendapat rezeki ratusan ribu atau jutaan ringgit. Sesungguhnya rezeki itu dari Allah dan menjadi iradat Allah untuk mengurniakan rezeki yang sebanyak mana dan kepada siapa yang Dia hendak anugerahkan.


Berbalik kepada mesyuarat berkenaan, PPOBM (Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia) turut menghantar 2 wakilnya (kalau saya tidak silap). Antara yang telah diputuskan melalui mesyuarat berkenaan ialah penubuhan satu jawatankuasa untuk meneruskan usaha membangunkan kaedah penulisan Alquran Braille mushaf Malaysia. Beberapa nama telah dicadangkan untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan. Salah satu nama yang dicadangkan itu merupakan wakil daripada PPOBM.


Namun demikian, (mungkin presiden PPOBM juga tidak faham), kesemua nama yang dicadangkan itu masih lagi di peringkat cadangan. Ini kerana cadangan nama-nama berkenaan masih belum lagi ditandatangani dan disahkan oleh Yang Berbahagia Ketua Pengarah JAKIM. Maknanya, selagi tidak dapat surat pelantikan yang bertandatangan, maka selagi itulah nama-nama yang telah dicadangkan itu masih belum sah selaku ahli jawatankuasa sebagaimana yang telah dicadangkan. Ia juga bermakna jawatankuasa yang dicadangkan itu juga masih belum lagi wujud dalam erti kata sebenar. Harap faham!!!


Di samping itu, pihak berkenaan juga mendakwa mempunyai hubungan denga JAKIM, KDN dan juga dengan USIM. Kerja belum bermula bagaimana sudah ada hubungan? Kalau pun ada hubungan, hubungan yang macam mana? Hubungan peribadi tidak sesuai untuk dicampuradukkan dalam konteks ini!


Selain itu, mesyuarat berkenaan juga langsung tidak menyentuh apatah lagi membincangkan mengenai hak untuk memegang, menyimpan dan hak penerbitan ke atas soft copy Alquran Braille mushaf Malaysia yang bakal dibangunkan. Oleh yang demikian, bagi saya, tidak wajar bagi mana-mana pihak mendakwa bahawa pihaknya akan menerbitkan Alquran Braille mushaf Malaysia berkenaan. Lebih tidak wajar jika apa-apa maklumat daripada mesyuarat itu digunakan untuk kepentingan peribadi mana-mana individu ataupun untuk kepentingan mana-mana organisasi. Ingat, baru dengan guruh di langit air tempayan jangan dicurahkan! Kalau hendak cari duit sebanyak mana pun, carilah, tapi jangan sampai menangguk di air keruh.


Mesyuarat berkenaan juga turut merangka (secara kasar) pelan tindakan dan pelan operasi. Adalah dijangkakan bahawa hujung tahun 2015 baru semua tugasan dan kerja akan dapat disempurnakan. Itu jangkaan sahaja. Jika banyak onarnya, mungkin ia akan mengambil masa yang lebih panjang.


Oleh itu, tidak wajar bila ada pihak yang mendakwa bahawa Alquran Braille mushaf Malaysia akan mula diterbitkan menjelang tahun 2015. Kalau pun penulisan mengenai Alquran Braille berkenaan dapat disempurnakan pada sekitar tahun 2015, ia tidaklah bermakna bahawa Alquran berkenaan akan diterbitkan pada tahun itu juga. Sebelum penerbitan bermula, banyak lagi perkara lain yang perlu diselesaikan.


Jadinya, kalau hendak beli mesin pencetak Braille (embosser) sampai segudang, belilah, tapi jangan beritahu kepada penderma bahawa ia akan digunakan untuk mencetak Alquran Braille. Sepertimana yang telah saya katakan, kami belum lagi bincang hak penerbitan Alquran Braille mushaf Malaysia berkenaan.


Saya suka mengingatkan pada diri saya sendiri dan juga kepada sesiapa yang gemar mendengar nasihat, usaha untuk membangunkan penulisan Alquran Braille mushaf Malaysia ini masih di peringkat “baru hendak berbunga”. Oleh itu janganlah ada mana-mana pihak yang cuba untuk mencantasnya dengan mencampuradukkan dengan lain-lain kepentingan. Apa jua yang telah berlaku pada masa-masa lepas, kita serahkan kepada Allah untuk mengampunkannya (sekiranya bertaubat) atau menghukumnya (sekiranya masih angkuh dan sombong). Jika ada mana-mana yang bersikap “lebih sudu dari kuah”, saya khuatir usaha yang baru hendak bermula ini , akan terencat di pertengahan jalan. Oleh itu, jika kita benar-benar ingin memartabatkan Alquran Braille di negara ini dengan penuh keikhlasan dan dalam erti kata yang sebenar, marilah kita sama-sama fokus kepada usaha ini. Lain-lain kepentingan (jika ada) buang jauh-jauh. Kita seharusnya merasa malu dengan mereka yang berpenglihatan dan tiada kepentingan apa-apa pun dalam usaha ini tetapi sanggup mengorbankan apa sahaja untuk berganding bahu dengan kita bagi melihat usaha ini berjaya.


1 comment:

mohammad yusri bin azis said...

Cikgu, tafsiran Al-quran dalam braille dah ada ke belum?