Friday, December 30, 2011

Peminta Derma

Sudah menjadi fenomena biasa bagi saya dan juga mungkin kebanyakan daripada kita apabila sering didatangi oleh individu tertentu sambil memohon derma. Antara lokasi yang kerap berlaku situasi sedemikian ialah di tempat-tempat makan seperti gerai atau restoran, stesen-stesen minyak, di hentian R&R, di hadapan bank dan sebagainya. Golongan peminta derma yang saya maksudkan merupakan mereka yang berpenglihatan, kelihatan sihat dan acapkali pula berperwatakan baik. Lazimnya tujuan memohon derma adalah untuk pembiayaan rumah anak-anak yatim, pembinaan surau atau masjid, pembinaan madrasah dan sekolah agama atau yang seumpamanya. Fenomena di atas sering saya temui di banyak tempat. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ia berlaku hampir pada setiap hari. Perlu saya tegaskan di sini, mereka yang menjual barangan seperti kerepek dan keropok tidak termasuk dalam golongan yang sedang saya bincangkan.

Bagi saya, sama ada kita hendak memberi atau menyumbang kepada golongan peminta derma di atas atau sebaliknya, ia terpulang kepada keikhlasan serta kepercayaan masing-masing kepada golongan peminta derma berkenaan serta tujuan mereka meminta derma. Biar apa pun, “Tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima”.

Walau bagaimanapun, oleh kerana fenomena di atas kerap saya temui, beberapa persoalan muncul dalam minda saya. Adakah mereka ini merupakan golongan peminta derma yang benar-benar meminta bagi membantu pihak-pihak yang memerlukan? Walaupun saya tiada statistik sebenar mengenai jumlah golongan berkenaan, tetapi mengapa saya boleh menemui mereka hampir pada setiap hari di lokasi yang berbeza pula? Tidak adakah pihak yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai golongan ini?

Gelagat golongan peminta derma ini pula pelbagai. Ada yang akan memujuk sehingga mendapat derma daripada yang diminta. Ada juga yang seakan tidak mahu berganjak sehinggalah dia beroleh sesuatu. Ada juga yang membawa sesuatu seperti CD/VCD, buku, pelbagai minyak dan sebagainya untuk “dijual” tetapi kelazimannya harga yang ditawarkan lebih tinggi daripada harga pasaran bagi barangan yang sama. Alasannya mudah, membeli sambil menyumbang.

Apa yang menjadi kehairanan saya ialah, kemunculan golongan peminta derma seperti di atas jarang dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Setakat yang saya ketahui, jarang pihak-pihak tertentu untuk menyiasat sama ada tujuan golongan meminta derma untuk tujuan yang betul atau sebaliknya. Oleh kerana golongan ini ada sesuatu untuk dikemukakan seperti risalah, resit, pelbagai barangan dan sebagainya, jadi mereka tidak boleh dikategorikan sebagai kutu rayau, orang papa atau pengemis. Mungkin kita sekadar boleh mengkategorikan golongan ini sebagai peminta derma sahaja.

Saya dapat merasakan bilangan golongan sebegini semakin ramai. Sebab itulah saya dan mungkin kita juga dapat menemui golongan seperti ini di merata tempat. Persoalannya, jika tujuan golongan ini meminta derma untuk tujuan pembinaan surau, masjid, rumah anak-anak yatim dan seumpamanya, di manakah peranan institusi-institusi tertentu untuk membantu golongan berkenaan? Kita sering berbangga bilamana pungutan zakat meningkat setiap tahun. Adakah kita juga boleh merasa bangga jikalau golongan peminta derma untuk tujuan kebajikan ini juga turut meningkat?

Bukanlah tujuan saya untuk menimbulkan keraguan kepada golongan peminta derma seperti ini. Apa yang saya bimbangi ialah ada pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil kesempatan di atas kemurahan hati sebahagian besar daripada kita untuk menderma dan menyumbang dengan menyamar seperti orang baik dan meminta derma kononnya untuk tujuan kebajikan. Maklumlah pada zaman hampir kiamat sebegini, seorang manusia kadangkala berupaya untuk menyamar dan berlakon sehingga sepuluh perwatakan.

Sekiranya tujuan golongan peminta derma ini benar-benar baik, jujur dan ikhlas untuk berbuat kebajikan, bagi saya ia tiada salahnya. Orang ramai pula memang digalakkan untuk menyumbang kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Walau bagaimanapun, adalah menjadi hak mereka yang akan menderma untuk bertanya lebih lanjut latar belakang peminta derma serta tujuan derma berkenaan. Jadi kepada peminta derma, jangan marah atau berkecil hati bila anda ditanya beberapa soalan sebelum sejumlah derma dihulurkan.

Salam dari Kuantan.

Berita Petang

Pengetua Baru SMPK Setapak

Sebentar tadi, sekitar jam 4.23 petang, saya menerima panggilan telefon daripada seorang hamba Allah. Manakala pada jam 4.30 petang sebentar tadi juga, saya turut menerima satu SMS daripada hamba Allah yang lain. Kedua-duanya mengkhabarkan berita yang serupa, iaitu pengetua baru untuk SMPK Setapak sudah diketahui. Menurut sumber, pengetua yang baru tersebut sepatutnya melaporkan diri pada 27 Disember 2011 yang lalu.

Untuk maklumat bersama, konon khabarnya pengetua yang baru ini seorang lelaki. Kalau saya sebut namanya, mungkin ramai yang sudah kenal. Namun begitu, saya tidak mahu mendahului mana-mana pihak. Biarlah pengetua yang baru ini datang sendiri ke sekolah dan memperkenalkan dirinya yang sudah pun dikenali.

Kepada pengetua yang baru, selamat datang ke SMPK Setapak.

Mungkin ada yang terlompat-lompat kegirangan bila mengetahui sifulan ini adalah pengetua baru SMPK Setapak?

Salam dari Kuantan.

Monday, December 26, 2011

Menghadiri Majlis Perkahwinan Anak En. Isa

Semalam (25 Disember ), saya sekeluarga berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan (majlis sambut menantu) yang telah diadakan oleh En. Isa. Majlis telah berlangsung di dewan besar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Setakat yang saya maklum, ini kali kedua En. Isa mengadakan majlis kenduri perkahwinan anaknya.



En. Isa merupakan bekas kakitangan perpustakaan di Universiti Malaya. Beliau sudah lebih kurang 4 tahun bersara. Kebetulan pula, En. Isa pernah tinggal satu taman perumahan dengan emak saudara saya. Jadi hubungan kami sememangnya baik dan erat. Walaupun kini En. Isa sudah tinggal jauh sedikit daripada ibu kota dan selepas persaraan dan perpindahannya kami agak jarang bertemu, namun rupa-rupanya beliau masih lagi ingat kepada saya.



Saya sekeluarga tiba di lokasi majlis agak lewat sedikit, iaitu sekitar jam 2.30 petang. Sebaik terpandang saya, En. Isa terus menegur saya dengan baik dan mesra. Setelah bertukar-tukar khabar, En. Isa terus mempersilakan saya sekeluarga ke ruang makan untuk menjamu selera. Kebetulan En. Isa berpengalaman dalam soal masak-memasak. Jadi, makanan untuk majlisnya beliau sendiri yang memasaknya. Sebab itulah rasanya sungguh menyelerakan!

Saya mula mengenali En. Isa pada minggu pertama saya menjejakkan kaki ke kampus lagi. Hubungan kami sentiasa baik. Beliau juga rajin membantu saya mencarikan buku-buku yang saya perlukan. Maklumlah semua buku di perpustakaan UM bertulisan licin. Kakitangan seperti En. Isa pula memang cukup mahir di ceruk atau perosok mana buku yang saya perlukan disimpan. Selain En. Isa, kakitangan lain di bahagian yang sama sememangnya tidak jemu membantu saya dan rakan-rakan senasib khasnya dalam soal mencari buku. Kerana kebaikan mereka seperti inilah yang membuatkan hubungan kami sentiasa baik dan mesra. En. Isa juga turut menyebut beberapa nama rakan senasib yang lain yang pernah menjejakkan kaki ke UM.



Tatkala saya baru selesai makan, tiba-tiba datang seseorang dan duduk di sebelah saya sambil bertanya: ”Zakaria, masih kenal dengan Abang Hamid ke?” Mendengar sahaja suaranya, sudah tentu saya kenal. Saya terus menjawab: ”Insha-Allah, saya masih ingat dengan Abang Hamid. Lagipun suara Abang Hamid tak berubah, masih macam dulu juga.” Beliau ketawa kecil mendengar jawapan daripada saya. Kami terus berbual mesra dan panjang terutamanya tentang kisah-kisah lama semasa saya di UM.

Abang Hamid pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan di UM untuk tempoh puluhan tahun. Beliau seorang kakitangan yang sungguh mesra dan mudah menolong. Beliau juga rajin bercerita. Saya pula suka mendengar cerita-cerita Abang Hamid, terutamanya pengalaman hidupnya. Apa yang membuatkan saya boleh mengingati beliau dengan cepat ialah kerana suaranya yang tidak berubah serta dialek Kedahnya yang masih pekat macam dulu juga.

Kini Abang Hamid juga sudah 5 tahun bersara. Namun begitu, katanya, beliau masih lagi ke UM bila ada masa terluang, terutama untuk bertemu dengan rakan-rakan lama yang masih ada.



Kata Abang Hamid lagi, kini beliau merasa begitu lega sekali. Bukan sahaja kerana sudah bersara, lebih lanjut lagi kerana hutang (seperti hutang rumah dan sebagainya) sudah selesai, dua daripada tiga anaknya sudah pun berumah tangga. Anaknya yang bungsu berada di tahun akhir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mungkin kerana seronok berbual, sedar tak sedar sudah sekitar sejam saya terpaku di majlis berkenaan. Sekitar jam 3.30 petang, saya terpaksa meminta diri. Sebagaimana biasa, sebelum berpisah, kami bertukar-tukar contact pula. Mudah-mudahan hubungan sebegini akan berterusan hendaknya, insha-Allah.



Kepada En. Isa, berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan kerana masih berkesudian mengundang saya ke majlis seperti ini. Saya juga tidak lupa mengucapkan selamat menerima menantu kepada beliau dan keluarga.

Hari ini terima menantu, lain tahun terima cucu!

Saturday, December 24, 2011

Sembang Petang

Dilema Sebuah Restoran

Ada sebuah restoran. Letaknya beberapa kilometer dari rumah saya. Rasanya restoran ini agak terkenal juga. Mungkin ada dua faktor yang menyebabkan restoran ini terkenal. Pertama, mungkin kerana masakannya. Kedua, kerana harganya.

Saya pernah masuk dan menjamu selera di restoran berkenaan. Kalau tak silap saya ketika berbuka puasa dua atau tiga tahun yang lalu. Kami makan tiga beranak sahaja dan harganya RM 118.00. Itulah kali pertama dan terakhir kami sekeluarga masuk dan menjamu selera di restoran berkenaan. Sejak itu, kami sekadar jengah dari luar sahaja bila melalui sekitar restoran berkenaan.

Sejak kebelakangan ini, sudah beberapa kali saya lalu di sekitar restoran berkenaan. Apa yang terpampang pada restoran berkenaan ialah under renovation. Kalau tak silap saya pampangan sedemikian bukannya sehari atau seminggu, mungkin sudah lebih sebulan.

Saya juga pernah bertemu dengan pampangan yang sama di tempat-tempat lain. Apa yang berlaku kemudiannya ialah selepas sebulan dua, kedai berkenaan telah bertukar tangan. Mungkinkah nasib yang serupa akan dialami oleh premis restoran berkenaan?

Selepas kali pertama dan terakhir saya menjamu selera di restoran berkenaan, saya pernah mendengar keluhan mereka yang pernah melanggani restoran berkenaan. Kalau tak silap, pernah satu rombongan badan berkanun masuk dan menjamu selera di restoran berkenaan, kemudiannya dikenakan bil melebihi seribu ringgit. Bila ada orang lain yang minta pandangan saya berkenaan restoran berkenaan, saya sekadar berterus terang sahaja. Tidak saya kurangi atau tambahi walaupun satu huruf.

Mungkin betul premis restoran berkenaan sedang direnovasi. Walau bagaimanapun, sewaktu kami melalui sekitarnya pada waktu siang, tak ada pula tanda-tanda orang sedang bekerja atau bahan-bahan binaan yang dibawa keluar masuk ke kawasan premis? Apa sebenarnya yang telah berlaku?

Foto premis restoran berkenaan ada dalam simpanan saya. Tak tergamak pula saya untuk menyisipkan sekali fotonya dalam posting kali ini. Biarlah posting ini sekadar teks tanpa foto.

Adakah ini yang dibidalkan orang tua-tua dahulu, untung secupak rugi segantang?

Friday, December 23, 2011

Menjejaki Tinggalan Pahlawan Mat Kilau

Catatan ini mungkin agak lewat sedikit saya kongsikan dengan para pengunjung blog ini. Atas beberapa sebab dan masa, saya tidak dapat memuatkan catatan ini ke dalam blog ini secepat mungkin iaitu sejurus saya membuat kunjungan ke Pulau Tawar, Jerantot, Pahang. Walaupun ia agak lewat, namun ia tetap saya kongsikan juga bersama-sama para pengunjung sekalian. Mudah-mudahan sedikit sebanyak ia memberi manfaat kepada sesiapa yang menatap dan membacanya, insha-Allah.



Saya yakin, bagi sesetengah di antara kita, menziarahi makam Mat Kilau bukan sesuatu yang asing. Mungkin ada juga di antara kita yang pernah ke kawasan permakaman ini lebih dari sekali. Lagi pun, kalau tak ke sana pun masih tidak menjadi apa kerana maklumat serta imej makam serta kawasan perkampungan ini sudah banyak terpapar dalam ruang maya.



Bagi saya, walaupun hampir semua maklumat mengenai pahlawan Mat Kilau sudah boleh diperolehi daripada pelbagai medium seperti buku, catatan dan juga ruang maya, saya akan lebih puas jika tubuh daban dan kaki ini sendiri yang berjaya sampai dan berjejak di kawasan permakaman pahlawan Pahang ini. Maka itulah, pada 10 Disember 2011 (Sabtu) yang lalu, saya sekeluarga telah berkunjung ke kawasan permakaman Mat Kilau serta kawasan di sekitar Pulau Tawar yang letaknya kira-kira 170 km dari kediaman kami di Kuantan.



Sekitar jam 1.30 tengah hari, dalam cuaca yang hujan sederhana lebat, saya sekeluarga tiba di sekitar bandar Jerantot. Kami kemudiannya singgah di Restoran Singgah Sokmo untuk makan tengah hari. Sambil menjamu selera, kami turut bertanya kepada kakitangan restoran lokasi destinasi tujuan kami. Alhamdulillah, kami mendapat kerjasama baik daripada mereka yang ditanya. Menurutnya, lokasi yang hendak kami tuju tidak berapa jauh lagi dari restoran berkenaan.



Setelah selesai makan tengah hari, kami pun meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju. Oleh kerana hujan, jalannya agak berair. Walaupun demikian, pemandangan kiri dan kanan jalan, amat menghiburkan mata. Begitulah saya dimaklumkan oleh isteri dan Luqman. Luqman sendiri amat terpesona dengan pemandangan yang sungguh mendamaikan itu.





Akhirnya, kenderaan kami pun berhentilah di sebuah masjid yang terletak di kampung persemadian Mat Kilau di mukim Pulau Tawar. Masjid yang kami singgahi ini merupakan masjid yang lebih baru. Masjid lama tempat Mat Kilau mengisytiharkan dirinya pada tahun 1969 terletak tidak berapa jauh dari sini. Saya akan kisahkan mengenai masjid lama yang bersejarah itu nanti.



Daripada salah seorang jemaah di masjid ini, saya mendapat maklumat mengenai lokasi pusara Mat Kilau. Selain itu, saya juga turut diberi maklumat mengenai orang yang seharusnya ditemui untuk memperolehi info lanjut berkenaan sejarah Mat Kilau. Orang yang dimaksudkan ialah Pakcik Abu Bakar yang juga merupakan salah seorang imam di masjid ini.







Setelah solat zohor dan asar secara jamak dan kasar, saya sekeluarga pun bergeraklah ke kawasan permakaman Mat Kilau. Letaknya memang tidak berapa jauh dari masjid tadi.





Dalam kawasan perkuburan ini, terdapat banyak pusara yang lain. Manakala pusara Mat Kilau mudah untuk dikenali kerana ada signboard dan ditambahi dengan kelainan yang ada di sekitar pusara berkenaan.







Di sisi makam Mat Kilau, terdapat dua makam lagi. Salah satunya ialah makam ibu Mat Kilau yang bernama Che Mahda. Satu lagi makam tiada diketahui siapa yang disemadikan di situ.





Mat Kilau dikatakan telah dilahirkan sekitar tahun 1865/1866. Ada kemungkinan juga Mat Kilau telah dilahirkan pada tahun-tahun lebih awal daripada itu. Ini kerana sewaktu Mat Kilau meninggal dunia pada tahun 1970, beliau dikatakan telah pun berusia sekitar 122 tahun.







Antara ahli akademik yang cukup mahir dengan sejarah Mat Kilau ialah Dr. Aruna Gopinath. Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Saya sendiri pernah mendengar secara langsung mengenai sejarah Mat Kilau daripada Dr. Aruna sewaktu menghadiri kelas kendalian beliau di UM dahulu.



Dari kawasan permakaman Mat Kilau, saya sekeluarga bergerak pula ke rumah tuan imam yang dimaksudkan. Nama penuh tuan imam ini ialah Abu Bakar bin Muhammad bin Haji Abbas bin Salleh bin Tok Pandak Kerayong. Saya memanggilnya sebagai Pakcik Bakar sahaja. Usia tuan imam ini sudah melebihi 80 tahun.



Ketibaan saya sekeluarga di rumah Pakcik Bakar telah disambut dengan begitu baik dan mesra sekali oleh Pakcik Bakar dan keluarganya. Pakcik Bakar amat mesra, mudah bekerjasama dan tidak kedekut dalam berkongsi info khasnya mengenai Mat Kilau kepada saya sekeluarga. Kebetulan pula, keluarga Pakcik Bakar ada bersemenda dengan Mat Kilau. Salah seorang isteri Mat Kilau adalah sepupu kepada ayah Pakcik Bakar. Jadi sudah tentulah banyak kisah dan cerita mengenai pahlawan Pahang ini yang beliau ketahui. Namun begitu, sedikit kekangan khususnya bagi orang luar bila berkomunikasi dengan Pakcik Bakar ialah di mana beliau bercakap dalam dialek Pahang yang agak pekat. Jadi, kalau tidak biasa mungkin sukar bagi orang luar untuk memahami dengan baik butir bicara Pakcik Bakar. Walau bagaimanapun, oleh kerana isteri saya orang Pahang juga, maka kekangan sedemikian telah dapat saya atasi, alhamdulillah.

Selepas berjuang di Pahang, pada tahun 1895, Mat Kilau serta pahlawan-pahlawan lain terpaksa berundur. Pihak Inggeris pula telah mengisytiharkan Mat Kilau serta pahlawan-pahlawan yang seangkatan dengannya sebagai penderhaka. Mungkin selepas gagal menjejaki Mat Kilau, pihak Inggeris menerusi akhbar-akhbarnya di Singapura telah menghebahkan berita bahawa Mat Kilau serta beberapa orang pahlawan Pahang yang lain telah mati.

Pada masa yang sama, untuk mengelakkan daripada dikenali di dikesan oleh Inggeris, Mat Kilau telah hidup dalam penyamaran. Beliau serta beberapa orang pahlawan lain terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mengelakkan diri masing-masing dikesan. Mat Kilau telah menggunakan pelbagai nama lain. Antara nama-nama samaran yang telah digunakan termasuklah Mat Siam, Mat Dadu dan sebagainya. Sewaktu mengisytiharkan dirinya, Mat Kilau menggunakan nama Mohamad bin Ibrahim dan menggunakan kad pengenalan bernombor 2044778.



Pakcik Bakar juga mempunyai beberapa orang anak yang juga bertugas sebagai guru. Salah seorang daripada mereka sedang bertugas di Sekolah Kebangsaan Inddera Mahkota (SKIM) di Kuantan.



Sebelum kami bertolak meninggalkan rumahnya, Pakcik Bakar tidak lupa membekalkan kepada kami buah-buahan kampung serta sedikit sayur-sayuran. Demikianlah budi baik Pakcik Bakar sekeluarga yang tidak mungkin kami sekeluarga lupakan.



Dari rumah Pakcik Bakar, kami ke lokasi di mana terletaknya masjid lama tempat Mat Kilau mula-mula mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau selepas bertahun-tahun hidup dalam penyamaran. Masjid ini terletak di tepi Sungai Pahang. Masjid ini tidak lagi digunakan iaituselepas masjid yang baru dibina. Mungkin antara sebab masjid ini tidak lagi digunakan kerana letaknya yang jauh daripada penempatan orang kampung. Pada masa dahulu sungai merupakan nadi penting kepada sesebuah penempatan. Namun begitu, selepas jalan raya mengambil alih peranan sungai, maka penempatan penduduk kawasan pedalaman mula beralih daripada tepi sungai ke kawasan yang hampir dengan jalan raya.





Kini masjid lama yang penuh nilai sejarh ini terbiar begitu sahaja. Bumbungnya pun hampir menyembah bumi. Namun begitu, ada bahagian-bahagian masjid ini yang kelihatan masih kukuh dan utuh. Tiang dan dindingnya masih kuat dan keras.



Foto ini pula menunjukkan bahagian terletaknya mimbar masjid. Di sinilah dikatakan tempat di mana Mat Kilau telah membuat pengisytiharan mengenai dirinya yang sebenar selepas solat Jumaat. Peristiwa ini telah berlaku pada hari Jumaat, 26 Disember 1969.





Pengisytiharan tersebut telah menggemparkan khususnya di Pahang. Maka pada 8 Januari 1970, kerajaan Pahang telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat pengisytiharan tersebut. Pada bulan Ogos 1970, Setelah penyiasatan selesai, maka menteri besar Pahang ketika itu telah membuat penesahan bahawa lelaki yang telah membuat pengisytiharan sebagai Mat Kilau sebelum ini adalah benar. Walau bagaimanapun, beberapa hari kemudian, Mat Kilau telah kembali ke Rahmatullah. Menurut Pakcik Bakar, Mat Kilau telah meninggal di Pekan. Dengan wasiat daripada Mat Kilau sendiri, jenazahnya telah dibawa pulang ke kampung asalnya di Pulau Tawar untuk dikebumikan.



Setelah puas mengamati persekitaran dalam dan luar masjid ini, akhirnya saya sekeluarga pun bergeraklah untuk pulang semula ke Kuantan. Sesungguhnya misi kali ini amat berharga dan sangat berguna bagi saya. Kalau selama ini saya sekadar mendengar dan membaca kisah sejarah Mat Kilau, tetapi kali ini dengan izin daripada Allah, saya dapat menjejakkan kaki ke kampung asal Mat Kilau, menjejakkan kaki ke masjid lama yang bersejarah serta dapat juga menziarahi makam pahlawan besar ini. Semoga roh Mat Kilau sentiasa berada dalam cucuran rahmat Allah sepanjang masa hendaknya.

Sesungguhnya kisah Mat Kilau serta kisah pahlawan-pahlawan lain mempunyai pelbagai perkara yang boleh dijadikan sebagai iktibar. Kalau dahulu pihak Inggeris dengan mudah mengisytiharkan seseorang itu sebagai pemberontak dan penderhaka, apa bezanya dengan hari ini. Untuk memudahkan penghapusan golongan yang dianggap memberikan ancaman, Amerika Syarikat umpamanya dengan mudah akan mengkategorikan satu-satu organisasi atau individu itu sebagai pengganas. Demikianlah sejarah mengajar kita. Sebab itulah, kalau kita gagal belajar dan mengambil iktibar dari sejarah, maka kita akan dihukum dengan mengalami semula sejarah yang sama.

Terima Kasih Syabas

Sudah beberapa hari saya tiada di rumah. Maklumlah, bila cuti sekolah begini, banyaklah tempat untuk saya berpergian. Hujung minggu lepas, saya di sekitar Sungai Petani. Bila kembali ke KL semula, tidur semalam di rumah, kemudian balik kampung sendiri di Melaka pula. Hari ini, baru saya tiba semula di KL.



Bila saya tiba di rumah tengah hari tadi, saya dapati ada kebocoran pada salur paip di hadapan rumah saya. Ini sudah merupakan pembaziran. Sekitar jam 2.30 petang, saya pun membuat laporan kepada Pusat Aduan 24 Jam, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) di talian 1800885252. Pegawai bertugas yang mengendalikan aduan saya amat mesra dan ini memudahkan saya untuk membuat laporan menerusi talian telefon dengan lebih lancar. Di akhir laporan, pegawai wanita berkenaan telah memberikan saya nombor rujukan untuk laporan yang telah saya buat iaitu 1886246.



Saya tidak pernah berpengalaman membuat laporan kepada Syabas. Dengan itu, saya menjangkakan kakitangan syarikat berkenaan akan datang membaiki kebocoran yang berlaku paling awal pun sekitar jam 6 petang nanti. Demikian jangkaan saya.

Alhamdulillah, sekitar sejam selepas saya membuat laporan tersebut, kakitangan Syabas telah tiba di tempat berlakunya kebocoran dan terus membuat kerja membaikinya. Sewaktu saya melakukan posting tulisan ini, kakitangan berkenaan masih lagi tekun membaiki kebocoran yang berlaku.



Kepada pihak Syabas, setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan. Dalam hal ini, saya akui memang Syabas efisyen dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi membendung pembaziran air. Selaku pengguna, kita seharusnya memberikan kerjasama dengan melaporkan segera kepada pihak Syabas bila berlaku kebocoran pada salur paip air.

Thursday, December 22, 2011

kandungan SMS Di Antara Saya Dan Saudara Ahmad Shaha bin Mohd Hanafiah

pada 18 Disember 2011 (Ahad) yang lalu, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) telah mengadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) bagi membincang serta meluluskan hal ehwal perbelanjannya bagi tahun 2012. Kalau tak silap saya, dalam agenda Hal-hal lain, perkara mengenai penjualan premis tertentu telah turut dibincangkan. Agenda inilah sebenarnya yang telah menghangatkan suasana mesyuarat tersebut. Demikianlah saya telah dikhabarkan.

Sebenarnya, bilamana saya mengetahui hal mengenai premis turut akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut, saya juga ada bercadang untuk menghadiri mesyuarat berkenaan. Namun demikian, oleh kerana saya telah pun mempunyai rancangan lain yang telah pun disusun atur sekitar sebulan setengah lebih awal, maka niat dan hasrat untuk menghadiri mesyuarat berkenaan terpaksa saya urungkan sahaja.

Berbalik kepada isu penjualan bangunan tadi, tidak salah rasanya jika saya katakan ia telah pun bermula sejak tahun 2000 lagi, iaitu dalam mesyuarat dwitahunan (BGM) SBM yang telah diadakan di Kuala Terengganu waktu itu. Secara ringkasnya, cadangan pembelian premis yang menjadi isu ketika itu ialah premis yang terletak di Taman Seri Setapak, Gombak. Saya berpandangan, lokasi premis yang hendak deibeli itu tidak strategik, tidak akan mendatangkan perolehan sebagaimana yang diharapkan serta lokasinya juga kurang mesra dengan ahli-ahli SBM sendiri yang cacat penglihatan. Yang nyatanya, pada hari ini, apabila pihak pengurusan tertinggi SBM sendiri yang mengajukan cadangan untuk menjual semula premis SBM terutamanya yang ada di Gombak, ia menunjukkan apa yang telah saya serta rakan-rakan yang sehaluan dengan saya ketika itu seperti Saudara Musa Sabri perkatakan pada tahun 2000 (sekitar 11 tahun yang lalu), adalah benar dan bukan sekadar teori semata-mata.

Rentetan itu, pada 21 Disember 2011 (Rabu) baru-baru ini, saya telah berkomunikasi secara SMS dengan Saudara Ahmad Shaha bin Mohd Hanafiah. Rata-rata perbincangan kami berdua adalah mengenai perkara penjualan premis sebagaimana yang telah dibincangkan dalam mesyuarat agung khas (EGM) SBM pada Ahad lalu.

Untuk maklumat bersama, Saudara Ahmad Shaha merupakan bekas juruaudit dalaman SBM dan beliau berpengalaman sebagai juruaudit dalaman SBM selama beberapa tahun. Sewaktu menjalankan tugasnya selaku juruaudit, beliau seorang yang terperinci dan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga semata-mata.

Kandungan SMS di antara kami berdua telah saya susun secara kronologi masa. Dengan itu, diharapkan para pembaca dapat memahami perkara yang dibincangkan secara kronologi juga. Butiran SMS antara saya dan Saudara Ahmad Shaha tidak saya kurangi dan juga tidak saya tambahi walau satu huruf pun.

Maka dengan itu, di bawah ini, saya perturunkan kandungan lengkap SMS di antara saya dengan Saudara Ahmad Shaha.

(Nota: Komunikasi SMS antara saya dengan Saudara Ahmad Shaha bin Mohd Hanafiah telah bermula pada sekitar jam 1.27 pagi, 21 Disember 2011, Rabu. Ia telah berlangsung secara berselang masa).

Saya: Salam shaha. Saya nak tanya seikhlasnya, awak sokong atau tidak hak sbm jual bangunan tu?

(Nota: kalimah “hak” dalam SMS di atas telah tesalah eja, yang saya maksudkan ialah “hal”).

Shaha: Salam. Cikgu cuba baca ke-dua2 usul bertulis dpd MP. Cuba dapatkan salinan brail dari HQ. Kemudian cikgu komen dimana silapnya. Saya dah mengambil bahagian dalam perbahasan usul2 itu. Sy yakin ada yg tak kena dgn usul2 itu. Apa komen cikgu? Baca dulu. Kemudian komen. Kalau cikgu hadir pd egm hari ahad lalu lagi bagus. Kalau ada musa sabri, jaafar isa dan ramai lagi kawan2 kita lagi bagus. Tq.

Saya: Kalau tak untung mengapa harus disimpan lagi? Kalau nak ikutkan hal yg tak kena, masa pembelian bangunan di gombak dulu pun kaedahnya sudah tak kena. Sebab itu antara yg kuat menetang pembeliannya pd tahun 2000 dulu ialah saya dan musa sabri.

Shaha: Memang betul. Tapi jgn melibatkan bangunan2 yg lain. Itu yg sy tak setuju. Miskin sangatkah sbm? Sampai nak jual bangunan2 lain. Ingat! pinjaman bank byk syarat dan lambat byr dikenakan faedah/bunga yg tinggi. Byk risiko. Klu sbm tak cukup cash, kumpulkan atau tambahkan dn, kemudian beli bangunan baru. Jual saham yg tak cergas dan tak memberi pulangan lumayan. Kekalkan bangunan 40A, 42A dan bangunan 123A itu dijadikan tempat rekreasi dalaman dan buat apa habiskan wg utk sewa kat MAB. Mereka yg dpt nm. Fikirkan secara matang. Tk.

Shaha: Salam. Pd pendpt sy usul membeli bangunan ibu pejabat sbm tidak lengkap. Dia tidak menyatakan harga bangunan ibu pejabat sbm 40A, 42A, KL/SEl dan terbitan setiap saham amanah, berapa harga seunit setiap jenis saham amanah yg dilaburkan? Perkara ini patut dibahaskan pd mesyuarat AGM tahun depan sbb tak sesuai dgn ramai ahli yg tidak hadir pd EGM tahun ini. Begitu juga dgn usul membeli bangunan cawangan sbm sendiri. Tidak lengkap. Fikirkan baik buruknya dan kemudian dipertimbangkan dgn adil dan saksama. Fair & square. Perlembagaan sbm tak dibincangkan dgn bertambahnya jawatankuasa utama inikan pula nak beli bangunan sbm. Takkan semua aset nak dijual? Pd ms akn dtg, sbm akan mengalami kerugian yg besar. Jgn salahkan ahli2 sbm. Yg patut dipersalahkan ialah majlis presiden sbm. Ramai ahli tidak diberi peluang utk menyuarakan pendpt mereka melalui saluran AGM 2 tahun sekali. Sepatutnya dibincangkan tahun lepas.

Saya: Untuk jangka masa 10 tahun dan lebih, adalah tidak stratigik untuk terus bertahan di brickfields. Oleh itu lokasi lain yg lebih strategik perlu dicari. Lokasi bangunan yg ada di Gombak juga sudah lama tak strategik.

Shaha: Mn ahli2 sbm nak jumpa kalau di luar brickfields sedangkan gombak lagi banyak masalah mobiliti oku mcm kita.

Saya: Ingat! Kita tak boleh pertahankan brickfields hanya semata untuk oku buta bila pembangunan dtg. Atas sebab pembangunan, oku buta harus bersedia untuk tinggalkan brickfields bila tiba masanya ...

Shaha: Siapa bw mulut mem-buruk2kan nm sy? Siapa memfitnahkan sy? dan tikam sy dari belakang? Siapa dalang tokok tambah? Yg tak ada sy kt, di-ada2kan kpd nazari. Sy cukup marah. Mereka cuba nak me-laga2kan sy dgn nazari. Dia bercadang utk jumpa sy 1 hari nanti utk menjelaskan perkara2 sebenarnya. Tk.

Saya: Hal personal antara sdra dgn nazari saya tak tahu menahu. Saya hanya bincangkan hal sbm sahaja!

Shaha: Sy rasa itu hanya cadangan. Matlamat utama bangunan gombak. Bangunan yg lain sukar utk dijual dlm masa terdekat

Saya: Itu satu kemungkinan

Shaha: Matlamat utama nak jual bangunan di gombak. Sbm tak tertangan masalah yg ada. Sewa tak bayar 2 tahun. Dokumen sewaan tak lengkap. Semuatu berlaku masa mantan presiden dulu

Saya: Betul ke? Mana awak dpt majlumat ini?

Shaha: Cikgu yg sms sy tadi. Takkan tak ingat kot? Agm tahun 2000.

Saya: Maksud saya, fakta mengenai Matlamat utama nak jual bangunan di gombak sebab Sbm tak tertangan masalah yg ada. Sewa tak bayar 2 tahun. Dokumen sewaan tak lengkap. Semuatu berlaku masa mantan presiden dulu. Faktanya dpt dari mana? Ia tiada kena mengena dgn bgm tahun 2000. Itu fakta selepas bgm tahun 2000.

Shaha: Ada tahun2 yg sy audit fail sewa bangunan setapak. Sy pernah tanya pn jasmine, mengapa ada penyewa yg tak byr sewa? Alasan mereka belum cukup wang. Sbm simpati dan beri tempoh. Soalnya berapa lm tempoh byrn balik tunggakan sewa itu, sy tak tahu. Sy tak diberi peluang utk melihat fail perjanjian antara sbm pemilek bangunan setapak dgn penyewa2. Sy tak tahu menahu hal itu. Maafkan sy. Jgnlah pula sy dipersalahkan.

Shaha: Siapalah nak balas demdam kpd sy. Sy rs mcm ada musuh dlm selimut, gunting dlm lipatan dan api dlm sekam.

Saya: Maknanya ada yg tak telus antara sbm dgn penyewa premis di gombak. Ia tidak telus mungkin kerana berlaku conflict of interest antara pemilik dgn penyewa premis berkenaan.

Shaha: Maafkan sy. Sebagai juruaudit dlmn pd ms itu, sy tidak ada kuasa utk mengatasi kuasa majlis presiden. Sy terpaksa diamkan dan akur shj. Sejak nazari jadi presiden, kuasa penuh diambil alih oleh beliau. Juruaudit dlmn tiada suara lagi. Inventori diawasi oleh EXCO. Sy tiada apa2 jwtn dlm sbm kini. Tahun 2010 sy klh utk jwtn yg sm. Mungkin ada org tak suka dgn sy sebab sy suka melawan cakap mereka. Soalan2 sy cukup byk sy kemukakan sampai mereka jemu dgn cr sy bekerja di sbm hq pd ms itu.

(Nota: Mesej di atas dihantar oleh Shaha kepada saya tiga kali berturut-turut).

Shaha: Entahlah. Memang sy dpt salinan surat inventori di atas kertas dpd Exco pd ms tu. Sy tak dpt periksa secara langsung. Mereka suruh sy periksa akaun shj dan fail2 harta sbm. Itu shj.

Saya: Salam shaha. Saya bercadang untuk masukkan semua komunikasi sms kita dlm blog saya. Tujuannya untuk ditatap dan dinilai oleh ahli sbm yg sering berkunjung ke blog saya. Harap sdr tak keberatan. Tq.

Shaha: Ok. Tapi kena ber-hati2. Ada yg cuba sabotaj sy. Kena tapis dulu. Tq.

Shaha: Perjanjian jual beli bangunan bertulis utk sy periksa, sbm tidak benarkan sy melihat fail tersebut. Mereka tidak bekerjasama dgn sy. Sy terpaksa diam shj. Apa mereka nak buat, suka hati merekalah.

Saya: Jgn bimbang. Yg benar tetap benar. Bila kita yakin kita di pihak yg benar, kita jgn takut.

Shaha: Tak apelah. Kali ni terpulang kpd juruaudit dlmn sekrng utk periksa fail2 sewa beli bangunan sbm. Maafkan sy.

(Nota: komunikasi SMS antara kami berdua tamat pada sekitar jam 4.10 petang, 21 disember 2011 Rabu).

Kalau diteliti kandungan SMS dari Saudara Shaha, di dalamnya ada maklumat, ada fakta, ada luahan dan juga ada kekesalan. Terpulanglah kepada kita untuk membuat penilaian yang adil dan berpertimbangan.

Salam dari Jasin, Melaka.

Tahniah Kepada Yang Berjaya Dalam PMR 2011

Hari ini, keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah diumumkan. Setakat ini, saya belum mencari maklumat penuh mengenai keputusan berkenaan. Namun demikian, saya suka mengambil kesempatan ini utntuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka yang telah beroleh kejayaan dalam keputusan PMR sebagaimana yang telah diumumkan siang tadi.

Dalam kalangan anak buah saya, ada tiga orang kesemuanya yang telah melalui peperiksaan tersebut. Anak buah saya yang terbaik telah berjaya memperolehi 6 A dan 2 B. Apa pun, tahniah kepada ketiga-tiga anak buah saya.

Khabarnya anak Tuan Haji Nazari, presiden SBM, telah berjaya memperolehi straight A. Tahniah Tuan Haji!

Tahniah sekali lagi kepada yang berjaya. Yang kurang berjaya, jangan putus asa. Lipatgandakan usaha lagi dalam tahun-tahun mendatang. Ingat, kegagalan hari ini bukan gagal selama-lamanya, dan kejayaan hari ini juga bukan bererti kejayaan untuk selama-lamanya.

Salam dari Jasin, Melaka.

Thursday, December 15, 2011

Godam

Ruang siber adalah ruang tanpa batasan, tanpa had dan tanpa sempadan. Bagi saya, ada tiga aspek penting untuk membolehkan seseorang melungsuri ruang siber secara bebas, yakin dan jaya, iaitu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran. Dengan berbekalkan ketiga-tiga unsur ini, seseorang itu boleh melungsuri ruang siber mengikut perwatakan cipttaannya sendiri. Sebagai contoh, di luar ruang siber, dia mungkin seorang yang dianggap baik dan pendiam, tetapi apabila dia berjaya menembusi ruang siber, sikap dan perwatakannya berubah. Daripada seorang yang baik dan pendiam, dia berubah watak kepada seorang penggodam dan pelucah. Demikianlah hebatnya ruang siber.

Kepada mereka yang kini merupakan ahli kepada smpksetapak google groups, tentunya sudah maklum mengenai apa yang sudah terjadi. Dua orang murid yang berkebetulan sedang belajar di Sekolah Menengah Pdendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur dan mempunyai sedikit kemahiran ICT telah bertindak liar dengan mula menjadi penggodam. Mungkin ilmu godamnya masih belum khatam, maka tindakan godamnya telah dapat dikesan dengan cepat. Bak kata Cute, mereka pandai makan tapi tak pandai simpan!

Lebih malang lagi, godaman mereka bukan setakat merosakkan laman sesawang orang lain, bahkan ia turut disisipkan dengan perkataan-perkataan lucah. Kelak nanti orang lain akan berkata pula, mengapa muridnya kencing berlari, sebab gurunya kencing berdiri!

Apa yang menjadi perhatian saya ialah, hasil godaman mereka berdua, ia bukan sahaja telah membusukkan nama masing-masing, bahkan nama sekolah juga turut terkait dan terjejas. Bak kata orang tua-tua, kerana dua ekor kerbau yang membawa lumpur, habis semua terpalit. Agaknya, tak lama lagi, orang pun mula akan berkata, gurunya blogger, muridnya penggodam!

Sejak dari awal lagi, guru-guru di SMPK Setapak, khasnya pengetuanya sewaktu melancarkan Virtual SMPK Interactive (VSI) beberapa bulan lalu, telah mengingatkan semua murid, khasnya mereka yang terlibat dengan pengendalian VSI agar memanfaatkan ilmu serta ruang yang ada ke arah kebaikan serta untuk kemudahan pelajaran. Mereka juga turut diingatkan agar jangan sesekali menyalahgunakan ilmu dan kemudahan yang ada dengan berbuat perkara yang tidak baik dan tidak diingini. Namun hari ini, apa sudah jadi? Kerana dua titik nila, habis susu sekawah!

Bilamana anda berdua tidak berpenglihatan dan mahir pula dalam ICT, orang luar akan berkata: ”Isshh, tak sangka!” Bilamana anda berdua tidak berpenglihatan tetapi merupakan penggodam, orang luar juga akan berkata: ”Isshh, tak sangka!!!”

Saya sambut baik sikap berani salah seorang daripada mereka yang membuat pengakuan secara jujur dan terbuka. Saya sangat berharap semoga kedua-dua mereka tidak mengulangi lagi perbuatan yang tidak patut sebegitu. Anda berdua harus faham, bila anda berdua berbuat demikian, nama sekolah tempat anda berdua sedang belajar dan mungkin juga nama guru-guru yang sedang mengajar anda juga akan turut terkait sama, walaupun itu bukan kemahuan asal anda berdua. Ingatlah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Kepada anda berdua penggodam muda, gunakanlah ilmu serta pengalaman godam yang masih sedikit yang anda miliki itu untuk membanteras godaman orang lain pula.

Tuesday, December 13, 2011

Dirgahayu Tuanku

Hari ini, negara kita telah mencatat sejarahnya yang tersendiri. Ia bersempena dengan perisytiharan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang ke-14. Istiadat pemasyhuran telah bermula sekitar jam 11.15 pagi. Ia telah berlangsung di Istana Negara (istana baru) di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Tuanku Abdul Halim Al-Muadzam Syah telah dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-14 dalam mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu ke-226 pada Oktober lalu.



Ini merupakan kali kedua Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Agong, satu sejarah bukan sahaja buat diri baginda, bahkan buat negara secara umumnya. Baginda Tuanku Abdul Halim telah menjadi Yang Di-Pertuan Agong buat kali pertama bermula pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975.

Sejarah juga tercatat bilamana majlis istiadat perisytiharan Yang Di-Pertuan Agong ke-14 ini telah berlangsung di istana negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Secara keseluruhannya istana baru ini berkeluasan 96.5 hekter. Istana ini telah mula digunakan secara rasmi bermula 15 November yang lalu.



Di sini, selaku rakyat Malaysia yang setia pada raja dan negaranya, marilah sama-sama kita menjunjung kasih serta merafakkan sembah tahniah kepada Tuanku Abdul Halim Ibn Almarhum Sultan Badlishah di atas pemilihan dan perisytiharan baginda selaku Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-14 serta kepada Tuanku Haminah Hamidun selaku Raja Permaisuri Agong. Sama-samalah juga kita berdoa semoga Allah sentiasa melimpahkan taufik serta hidayah-Nya kepada baginda berdua sepanjang masa serta diberikan kekuatan untuk memerintah negara.

Saya juga penuh yakin, dengan sikap adil yang sememangnya sudah sebati dengan diri baginda, baginda akan dapat memerintah negara ini dengan penuh keadilan, saksama dan benar-benar akan dapat berfungsi selaku payung negara.



Di sini, saya juga tidak lupa merafakkan sembah tahniah kepada Tuanku Sultan Muhammad V dari Kelantan yang turut terpilih dan telah diisytiharkan sebagai timbalan Yang Di-Pertuan Agong. Mudah-mudahan gabungan kedua-dua yang dipertuan yang berjiwa rakyat ini akan membawa keberkaan kepada tanah air yang tercinta ini.

Di samping itu, saya juga tidak lupa untuk merafakkan setinggi-tinggi junjung kasih kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibn Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah serta Tuanku Nur Zahirah di atas perkhidmatan baginda berdua selaku Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-13. Perkhidmatan baginda telah pun tamat semalam dengan penuh adat istiadat diraja.

Dirgahayu Tuanku!

Sunday, December 11, 2011

Sembang Malam

Musim Tengkujuh

Sekitar bulan November dan Disember merupakan musim tengkujuh. Fenomena ini akan menyebabkan hujan turun dengan banyaknya. Ia juga kerap mengakibatkan banjir di kebanyakan kawasan. Selain itu, sudah menjadi kelaziman hujan akan turun sepanjang hari dan malam. Kadangkala lebat, kadangkala renyai-renyai silih berganti. Kalau dahulu, ia hanya dirasai di bahagian pantai timur semenanjung. Mungkin kerana perubahan alam, kini bahagian pantai barat semenanjung juga turut merasai bahang musim berkenaan.

Bagi kebanyakan orang yang bekerja sendiri, musim sebegini akan mengganggu punca rezeki masing-masing. Golongan penoreh getah tidak dapat ke kebun atau ladang bila hujan turun. Begitu juga dengan golongan nelayan pasti tidak akan dapat ke laut bila musim tengkujuh tiba. Manakala golongan peniaga di pasar malam juga akan turut terjejas bilamana perniagan tidak dapat dijalankan. Kalau buka gerai pun kurang untung kerana pembeli tak dapat datang. Waktu-waktu beginilah harga pelbagai hasil laut akan naik melambung, tapi yang sering dapat mengaut untung bukannya golongan nelayan.

Walau bagaimanapun, ada juga golongan yang mendapat rezeki bila hujan turun begini. Bila hujan lebat, ada sahaja pemilik kenderaan yang tidak sempat menyelamatkan kenderaan masing-masing. Akibatnya kenderaan akan terendam dalam air untuk beberapa ketika. Maka tersenyumlah pemilik bengkel kenderaan. Senyuman yang paling lebar ialah senyuman pemilik bengkel kenderaan yang suka menghisap darah.

Di samping itu, golongan orang tengah dalam perniagaan juga akan tersenyum. Waktu beginilah berkemungkinan ada peniaga jenis ini yang akan mengeluarkan barangan yang sudah lama tersimpan dalam stor untuk dijual dengan harga yang lebih tinggi.

Musim tengkujuh juga sering mengakibatkan banjir. Bila banjir maka berbondong-bondonglah orang ramai yang tinggal di kawasan rendah berpindah ke pusat-pusat pemindahan banjir yang disediakan oleh pihak yang berkuasa. Menurut mereka yang ada pengalaman menguruskan pusat-pusat pemindahan banjir, di pusat-pusat sebegini pun kita boleh menyaksikan pelbagai telatah manusia. Ada yang keluh-kesah memikirkan rumah serta harta benda yang ditinggalkan. Ada juga yang nampak tenang seolah-olah tiada apa yang perlu difikirkan. Ada juga yang suka bila tiba musim banjir dan kena pindah sebab dapat makan dan minum percuma. Ada juga yang susah untukbalik semula ke rumah masing-masing bila air surut. Maklumlah bukan selalu dapat makan percuma seperti ini!

Bila air surut, mereka yang dipindahkan sebelum ini harus pulang semula ke rumah masing-masing. Bila pulang, satu hal lain pula menanti. Rumah dan kawasan kediaman harus dibersihkan semula. Kata seorang rakan yang pernah mengalami pengalaman sedemikian, air banjir bukannya bersih pun. Kadangkala bau airnya lebih busuk daripada najis manusia. Katanya lagi, air yang surut akan meninggalkan macam-macam benda dalam rumah. Ini termasuklah selut, lumpur, sampah-sarap, bangkai binatang pelbagai spesies, pendek kata apa saja yang bernama sisa sampah boleh berada dalam rumah kediaman selepas air surut. Jadi, kerja-kerja membersih harus dilakukan segera. Waktu sebeginilah seringkali mangsa-mangsa banjir harus berusaha bersendirian untuk membersihkan kediaman masing-masing kerana orang dan jiran lain pun turut menghadapi hal yang serupa dan keutamaan mesti diberikan kepada rumah kediaman sendiri sebelum boleh membantu orang lain. Demikian pengalaman salah seorang rakan saya.

Bagi kebanyakan mangsa banjir, kerugian akibat rumah dinaiki air tetap dirasai. Bezanya hanyalah sedikit atau banyak kerugian yang ditanggung. Waktu sebeginilah mangsa-mangsa banjir berkenaan akan mengharapkan bantuan daripada pelbagai pihak. Sepatutnya pada masa inilah semua pihak tanpa mengira siapa menggembeleng tenaga untuk membantu mereka yang terjejas akibat banjir. Amat malang sekali bila ada pihak yang cuba menangguh di air keruh dengan cuba mempolitikkan perkara mengenai membantu mangsa-mangsa banjir. Gara-gara terlebih berpolitik, perkara berkaitan membantu mangsa banjir pun gagal diselaraskan dengan baik. Walhal yang hendak membantu dengan yang hendak dibantu merupakan mereka yang sebangsa dan seagama!

Kepada yang suka dengan peringatan, banjir bukan musim pesta air. Jika kita lalai, pada bila-bila masa kita boleh ditelan air banjir. Salah seorang rakan saya turut menjadi masa banjir di Kelantan setahun dua yang lalu. Oleh itu, berwaspada dan berhati-hatilah. Pastikan diri kita serta orang yang berada di bawah tanggunggan kita selamat daripada menjadi mangsa banjir.

Apa-apa hal pun, kita sama sekali tidak dapat menolak hakikat iaitu hujan itu rahmat. Kalau pun ia dirasai tidak memberi rahmat kepada kita, ia masih merupakan rahmat kepada orang lain.

Tatkala posting ini dibuat, di tempat tinggal saya hujan masih lebat. Entah mengapa, waktu inilah saya bermonolog keseorangan.

Salam dari Kuantan.

Saturday, December 10, 2011

Mengapa Desak Tuan Guru Nik Aziz Berundur

Baru-baru ini, timbul semula desakan agar YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nikmat supaya tidak lagi bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang. Bermula dalam perhimpunan agung UMNO, ia kemudiannya dituruti oleh desakan yang sama daripada beberapa tokoh UMNO lain termasuklah yang sudah pencen daripada jawatan tinggi dalam parti tersebut. Walau bagaimanapun, kita harus faham, tokoh seumpama ini hanya pencen dari jawatannya sahaja, beliau tidak pernah pencen dari berpolitik dalam erti kata yang sebenar.



Kalau kita soroti isu yang sama, sebenarnya desakan seumpama ini bukanlah satu perkara baru. Saya masih ingat lagi, pada dekad 90-an lagi seorang tokoh politik Kelantan ketika itu turut mengajukan desakan yang sama. Bahkan menurut tokoh berkenaan, kalau Tuan Guru Nik Aziz meninggalkan jawatannya selaku menteri besar, beliau (Tuan Guru) akan diberikan jawatan selaku mufti Kelantan. Bila desakan yang hampir serupa timbul semula pada masa ini, sudah tentunya kita akan tercari-cari sebab-musabab mengapa desakan sedemikian harus timbul dari semasa ke semasa.

Bagi saya, terdapat beberapa kemungkinan mengapa musuh politik Tuan Guru Nik Aziz harus menimbulkan desakan sedemikian khususnya pada masa ini. Antaranya ialah kerana kegagalan musuh politik Tuan Guru Nik Aziz menewaskan beliau melalui pilihanraya khususnya di peringkat DUN. Memang benar, Tuan Guru Nik Aziz pernah tewas di tangan calon UMNO dalam pilihanraya tahun 1986 di kerusi Parlimen Bachok. Namun demikian, ia sama sekali tidak menggugat pengaruh serta kekuatan beliau di peringkat DUN. Ini terbukti bilamana Tuan Guru terus beroleh kejayaan dalam mempertahankan kerusi peringkat DUN untuk sekian penggal hingga kini. Selanjutnya, dalam senyap UMNO Kelantan terpaksa mengakui hakikat bahawa bagi sekian penggal di masa depan, kedudukan Tuan Guru Nik Aziz di peringkat DUN Kelantan juga memang sukar untuk digugat. Jadi, salah satu cara supaya Tuan guru Nik Aziz tidak lagi berada di dalam DUN ialah menerusi desakan agar beliau bersara dari politik Kelantan secara terhormat menurut kacamata UMNO. Demikian kemungkinan strategi mereka.

Bilamana UMNO mendesak agar Tuan Guru Nik Aziz berundur, ia sebenarnya menunjukkan bahawa golongan UMNO mengakui bahawa kekuatan PAS khususnya di Kelantan turut sama ditunjangi oleh kekuatan pengaruh serta wibawa Tuan Guru Nik Aziz itu sendiri. Maknanya, selagi Tuan guru masih aktif dalam politik Kelantan, selagi itulah UMNO akan berputih mata untuk menawan kembali negeri tersebut khasnya daripada PAS. Apa yang berlaku selama ini ialah pasang surut jumlah kerusi khasnya PAS di DUN Kelantan yang berbeza antara satu penggal dengan penggal yang lain. Hakikatnya, sejak tahun 1990 sehingga kini kerajaan negeri yang diterajui PAS tetap berjaya mempertahankan kuasanya walaupun ada ketikanya ia hanya dipisahkan dengan kelebihan 1 kerusi sahaja daripada UMNO/BN.



Sebelum ini, macam-macam usaha telah dilakukan dan berbagai onar telah ditimbulkan oleh musuh-musuh politik Tuan Guru Nik Aziz guna untuk menggugat kepimpinan beliau di Kelantan. Rakyat Kelantan telah dijanjikan sebuah universiti baru. Walaupun ia kemudiannya telah ditunaikan biar pun UMNO/BN masih belum dipilih oleh rakyat Kelantan, tetapi rata-rata sudah maklum ia hanyalah sekadar gula-gula politik untuk orang Kelantan semata-mata.

Di samping itu, UMNO/BN juga turut menghebah-hebohkan kononnya tiada pembangunan di Kelantan, Kelantan jauh tertinggal daripada negeri-negeri lain, Kelantan akan lebih maju jika berada di bawah pemerintahan UMNO.BN dan macam-macam lagi. Pada masa yang sama, UMNO/BN gagal menyelami kemampuan orang Kelantan berfikir dan membuat banding beza tentang apa yang sering diwar-warkan oleh pihak UMNO/BN sendiri. Betulkah Kelantan benar-benar ketinggalan hanya kerana negeri tersebut bukan diperintah oleh UMNO/BN? Ada rakan-rakan dari Kelantan memberitahu saya, bila mereka ke negeri-negeri jiran Kelantan yang sedang diperintah oleh UMNO/BN, mereka dapati kawasan pendalamannya sama sahaja dengan apa yang ada di Kelantan. Jadi, tanya mereka, apa bezanya antara Kelantan dengan negeri-negeri lain dari aspek pembangunan? Demikian saya diberitahu.

Bahkan berdasarkan pengalaman sendiri berpergian di kawasan-kawasan pendalaman di negeri-negeri yang sedang diperintah oleh UMNO/BN dan kawasan yang serupa di Kelantan, sebenarnya ia tak ada beza. Pembangunan akan berlaku bukan sangat atas faktor politik, tetapi ia lebih kepada faktor ekonomi, lokasi yang strategik serta kepentingan sosial. Sebab itulah sistem transit aliran ringan, sistem ERL serta sistem monorel meluncur laju di kawasan-kawasan yang dikuasai oleh pembangkang!

Walaupun pihak Persekutuan seolah-olahnya sedang menafikan hak kerajaan negeri Kelantan terhadap hasil petrolium, tetapi ia nampaknya tidak menggugat kesepaduan sokongan rakyat Kelantan terhadap kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz. Berdasarkan banding beza dengan apa yang dilakukan oleh pihak Persekutuan terhadap kerajaan negeri Terengganu atau Sarawak, rakyat Kelantan amat sedar dalam isu ini negeri mereka sedang dianaktirikan oleh Persekutuan. Hakikatnya, antara petrolium dengan Tuan Guru, rakyat Kelantan tetap memilih untuk terus bersama dengan kepimpinan Tuan Guru yang mereka cintai.

Bagi saya, pihak yang sepatutnya meminta agar Tuan Guru Nik Aziz berundur ialah ahli-ahli PAS sendiri. Rasanya, kalau kebanyakan cawangan dan kawasan PAS menyuarakan agar Tuan Guru berundur dalam pilihanraya ke-13 ini, selaku pemimpin yang bermaruah, Tuan Guru tidak akan keberatan untuk akur dengan kehendak golongan majoriti yang separti dengan beliau.



Apa yang berlaku selama ini ialah, sudah beberapa kali Tuan Guru Nik Aziz menyuarakan hasratnya untuk berundur tetapi ia ditegah oleh ahli-ahli PAS khususnya yang berada di Kelantan. Sebagai antara kumpulan siasah terlama di negara ini, hal ini memang disedari oleh UMNO/BN, tetapi demi untuk menimbulkan onar politik, maka ditimbulkanlah isu agar Tuan Guru berundur. Sedangkan pada masa yang sama, UMNO/BN amat menyedari hakikat iaitu sama ada Tuan Guru Nik Aziz harus berundur atau sebaliknya, ia adalah urusan dalaman PAS sendiri.

Rasanya, daripada mendesak supaya Tuan Guru Nik Aziz berundur, adalah lebih aula, lebih berwawasan dan lebih berfaedah jikalau ahli-ahli UMNO mendesak mana-mana pemimpinnya yang mula menjadi liabiliti kepada parti tersebut supaya berundur. Sekiranya golongan pemimpin serta wakil-wakil rakyat UMNO yang kini sudah mula menjadi liabiliti kepada parti berundur, rasanya ia lebih berfaedah kepada parti tersebut. UMNO/BN akan lebih yakin, lebih gagah dan lebih disenangi rakyat bilamana ia tidak lagi dibarisi oleh para pemimpin yang bermasalah dan kontroversi. Peliknya, para pemimpin yang bermasalah dan kontroversi akan dibela dan disanjung, dipuji-puja sehabis-habisnya. Hal sebeginilah yang sudah menjadi tradisi dan sukar dikikis dalam UMNO.

Bukanlah tujuan saya untuk mendewa-dewakan mana-mana pemimpin. Walau bagaimanapun, lontaran pandangan golongan berkecuali dan tidak taksub kepada mana-mana kumpulan siasah atau mana-mana pemimpin siasah seperti saya rasanya lebih terbuka, lebih telus, lebih ikhlas dan tidak akanterikat dengan mana-mana pihak. Maklumlah, golongan seperti saya bukanlah pengikut tegar mana-mana kumpulan. Golongan seperti saya akan bercakap apa yang diyakini betul dan benar sahaja. Mana yang benar kita sama-sama ikut. Mana yang salah pula sama-samalah kita sanggah.

Salam dari Kuantan.

Friday, December 9, 2011

"Diamlah Dan Dengarlah Dengan Taat"

Tengah hari tadi, saya telah menunaikan solat Jumaat di salah sebuah masjid yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah kediaman kami di Kuantan. Saya turut disertai oleh seorang biras, Luqman serta seorang anak buah kami yang muda setahun daripada Luqman. Kami tiba di masjid agak lewat sedikit, iaitu selepas azan pertama. Jadi, kami terpaksa duduk di saf bahagian belakang sahaja.

Saf tempat saya bersolat letaknya di bahagian bawah tapi masih lagi di atas kawasan bersimen. Ia dibentangi dengan tikar sahaja, bukan permaidani sebagaimana kalau di bahagian atas dan dalam masjid. Oleh kerana letaknya di bahagian bawah dan belakang pula, maka rata-rata kawasan tempat saya bersolat dipenuhi oleh budak-budak. Ada juga orang dewasa seperti saya, tapi mungkin kami daripada kategori yang datang lewat. Agaknya, jangankan seekor unta, sebiji telur ayam pun kami tak dapat. Begitulah kalau sudah datang lewat di masjid untuk solat Jumaat pada hari Jumaat.

Di kebanyakan masjid, sebelum tuan khatib mula membaca khutbah, tuan bilal terlebih dahulu akan mengingatkan pada jemaah agar tidak bercakap-cakap ketika khatib sedang membaca khutbah. Bahkan tuan bilal akan menyelitkan sepotong hadith yang menyuruh pada jemaah supaya diam ketika khatib sedang membaca khutbah.

Antara lain, tuan bilal akan berkata: (setelah membaca matan hadith yang dimaksudkan) ”Daripada Abi Hurairah R.A., Nabi S.A.W. bersabda: Jika ada di antara kamu yang bercakap-cakap ketika khatib sedang membaca khutbah walau dengan berkata ”diam” sekalipun (mengingatkan orang lain supaya diam), maka hilanglah pahala Jumaatnya. Dari itu, diamlah dan dengarlah dengan taat mudah-mudahan kita akan beroleh kebahagian di dunia dan akhirat”. Saya dapat mengingat kata-kata tuan bilal serta hadith yang dibacanya kerana hampir setiap minggu saya akan mendengar (diingatkan) dengan perkara yang sama.

Apa yang berlaku tadi ialah, sewaktu tuan khatib sedang membaca khutbah, kawasan sekitar tempat saya sedang duduk juga agak hingar dengan suara-suara para jemaah. Pada pendengaran saya, hampir semua suara yang membuat hingar tersebut adalah suara budak-budak. Saya rasa, budak-budak yang membuat hingar berkenaan mungkin budak-budak sekolah rendah dan juga budak-budak yang di peringkat awal sekolah menengah. Boleh dikatakan di sepanjang khatib sedang membaca khutbah, hingar-bingar berkenaan turut sama mengiringi suara tuan khatib. Bahkan sewaktu solat Jumaat sedang berlangsung, saya dapat mendengar dengan jelas suara-suara budak-budak di bahagian belakang daripada saf di mana saya berada masih bercakap-cakap dan juga mungkin mereka sedang main-main. Hal tersebut berterusan hinggalah tuan imam memberi salam. Ini bermakna budak-budak berkenaan tidak melaksanakan solat Jumaat. Saya pun tidak pasti mengapa mereka harus datang ke masjid. Berdasarkan pengalaman saya solat Jumaat di beberapa buah masjid, situasi hingar-bingar sebegini bukannya berlaku di semua masjid sahaja, tetapi pada masa yang sama ia juga berlaku bukan pada satu masjid sahaja.

Walaupun yang bercakap-cakap itu merupakan golongan budak-budak dan mungkin ada di antara mereka yang masih belum baligh lagi, tetapi saya pasti hampir kesemua mereka sudah pun mumayiz dan punya akal yang telah pun berfungsi dengan baik.

Tuan bilal telah pun memberikan peringatan supaya jangan bercakap-cakap ketika khatib sedang membaca khutbah dan ia turut disisipkan dengan sepotong hadith lagi. Sayangnya peringatan daripada tuan bilal itu tak ubah bagai mencurah air di daun keladi sahaja. Perlakuan bercakap-cakap ketika khatib sedang membaca khutbah bukan sahaja boleh mengakibat pahala mereka yang terlibat akan hilang (menurut mafhum hadith tadi), bahkan ia turut boleh mengganggu perhatian para jemaah yang lain terhadap isi khutbah yang sedang disampaikan oleh tuan khatib. Selain itu, ia juga mengakibatkan tujuan utama budak-budak berkenaan datang ke masjid pada hari Jumaat tidak kesampaian. Saya yakin, mereka semua datang bukan semata-mata kerana sebiji pisang atau wang seringgit dua. Ia juga menunjukkan peringatan yang telah diberikan oleh tuan bilal sejurus sebelum bermulanya khutbah tidak sampai objektifnya. Sebab itulah situasi hingar tetap berlaku semasa tuan khatib sedang mengumandangkan khutbahnya. Tatkala tuan khatib sedang membaca khutbah para jemaah lain tidak boleh pula melarang hingar yang sedang dilakukan oleh kumpulan budak-budak tadi, takut-takut pahala jemaah yang berkenaan akan luput pula.

Terdapat berbagai kemungkinan mengapa situasi hingar sepertimana di atas boleh terjadi. Ia mungkin disebabkan budak-budak yang berusia sedemikian tidak begitu faham mengapa mereka harus ke masjid terutamanya pada hari Jumaat, apatah lagi untuk memahami mengapa mereka harus diam ketika tuan khatib membaca khutbah. Ia juga disebabkan kaedah peringatan yang diguna pakai di masjid-masjid selama ini tidak begitu berkesan khususnya kepada golongan budak-budak tadi. Kadang-kadang situasi sebegini tidaklah menghairankan sangat kerana adakalanya budak-budak dewasa pun tidak faham mengapa mereka harus diam ketika tuan khatib membaca khutbah.

Bagi saya, situasi seperti di atas tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Ia harus ditangani sebaik mungkin. Semua pihak, sama ada pihak masjid, para jemaah, ibu bapa, guru dan semua pihak lain harus bekerjasama untuk membaiki keadaan. Apabila situasi sebegini mampu ditangani dengan baik, sudah tentulah matlamat kita datang ke masjid untuk solat Jumaat akan dapat dicapai kerana ibadah kita lebih sempurna.

Bagi saya, antara langkah yang mungkin boleh difikirkan ialah setiap ibu bapa harus memberikan ingatan kepada anak-anak mereka yang datang ke masjid untuk solat Jumaat mengenai perkara-perkara yang tidak sepatutnya mereka lakukan dan ia termasuklah bercakap-cakap ketika tuan khatib sedang membaca khutbah. Peranan yang sama juga boleh dilakukan oleh guru-guru di sekolah. Tidak semestinya ia dipikul oleh ustaz dan ustazah semata-mata, bahkansemua guru Islam sepatutnya memikul tanggungjawab yang serupa.

Di samping itu, pihak masjid juga boleh memohon kerjasama daripada ahlii-ahli jawatankuasa masjid supaya mengingatkan khasnya golongan budak-budak supaya diam dan jangan bercakap-cakap ketika tuan khatib sedang membaca khutbah. Peringatan seumpama ini boleh diberikan beberapa minit sebelum azan pertama dikumandangkan. Ia tidak semestinya diberikan menerusi pembesar suara masjid. Memadailah jika mana-mana AJK masjid pergi kepada bahagian masjid yang ramai budak dan seterusnya memberikan peringatan yang patut-patut. Tidak perlu keras, cukuplah sekadar peringatan secara memujuk. Maklumlah mereka itu masih budak lagi. Bak kata orang tua-tua, kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Kalau sudah menjadi buluh, memang susah untuk dilentur.

Selanjutnya, jika perlu, pihak masjid juga boleh memasang banner di masjid dengan ukuran yang sesuai dan dengan saiz fonts yang sesuai juga bagi memberikan peringatan kepada sekalian jemaah supaya jangan bercakap-cakap ketika tuan khatib sedang membaca khutbah. Sebaik-baiknya isi peringatan yang ditulis pada banner berkenaan hendaklah sama dengan skrip dan hadith yang digunakan oleh tuan bilal ketika memberi peringatan kepada para jemaah sejurus sebelum tuan khatib memulakan khutbahnya. Menerusi kaedah seumpama ini, bukan sahaja ia akan mengingatkan kepada budak-budak yang belum akil baligh, bahkan secara tidak langsung budak-budak yang sudah dewasa pun akan mendapat peringatan yang serupa. Sayugia saya tegaskan, banner seumpama inni hanya sesuai dipasang ketika solat Jumaat sahaja.

Mudah-mudahan perkongsian pengalaman serta saranan ke arah memperbaiki keadaan sedikit sebanyak akan memberi manfat untuk kita semua. Sesungguhnya ibadah kita tentunya akan lebih sempurna sekiranya kita dapat melakukan ibadah dengan lebih khusyuk lagi. Sudah pastilah kita akan dapat melaksanakan ibadah dengan lebih khusyuk lagi bilamana ia tidak diganggu dengan hingar-bingar yang tidak sepatutnya.

Saya sekadar berkongsi pengalaman dan mengutarakan saranan sahaja.

Salam dari Kuantan.

Thursday, December 8, 2011

Sembang Tengah Hari

Cakap-cakap Mengenai Tarikh Pilihanraya

Hari ini, seperkara yang tidak boleh disembunyikan lagi ialah cakap-cakap mengenai bila pilihanraya umum ke-13 akan dilaksanakan. Cakap-cakap hal ini sudah meluas dan merata di seantero pelusuk negara. Ia seakan tidak boleh dibendung lagi. Nampaknya semakin ramai orang tanpa mengira siapa berminat bercakap mengenainya.

Di mana-mana sahaja kita pasti akan terdengar orang ramai bercakap mengenai pilihanraya umum ke-13. Di kedai, gerai dan warung ia memang merupakan antara topik hangat. Di desa dan bandar topik ini kian membesar. Di surau dan masjid juga tidak terkecuali di mana sesetengah para jemaahnya turut bercakap mengenai tarikh pilihanraya yang akan datang, tapi mereka akan bercakap mengenainya sebelum atau sesudah solat dan bukan sewaktu solat. Kalau di sekolah, saya tak pasti pula kerana sekarang musim cuti sekolah.

Mengikut peraturan yang sedia ada, penggal parlimen sekarang akan berakhir pada 8 Mac 2013. Sekiranya pada tarikh tersebut parlimen masih belum dibubarkan lagi, maka ia mempunyai tempoh selama 60 hari lagi dari tarikh berkenaan untuk dibubarkan. Sekiranya selepas tempoh berkenaan parlimen masih lagi belum dibubarkan, maka ia akan terbubar dengan sendirinya. Demikianlah menurut sedikit pengetahuan saya mengenainya, itu pun kalau saya tak siilap. Ini bermakna, penggal parlimen sekarang masih mempunyai baki tempoh sekurang-kurangnya setahun dan 3 bulan lagi untuk dibubarkan.

Kalau tak silap saya juga, ke bawah duli Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membubarkan parlimen di peringkat Persekutuan di atas nasihat daripada YAB Perdana Menteri. Manakala di peringkat negeri pula, raja-raja di negeri-negeri berkenaan mempunyai kuasa untuk membubarkan dewan undangan negeri masing-masing juga dengan nasihat daripada menteri-menteri besar di negeri-negeri yang berkenaan.

Seperkara yang harus kita sama-sama faham ialah hal mengenai pilihanraya adalah bidang kuasa sesebuah negeri. Ini bermakna, tidak semestinya sesebuah negeri itu akan mengadakan pilihanraya serentak dengan pilihanraya peringkat Persekutuan. Walau bagaimanapun, pada amalan yang sedia terpakai, pilihanraya Persekutuan kebiasaannya diadakan serentak dengan negeri-negeri di semenanjung. Walau bagaimanapun, tidaklah bertentangan dengan peraturan yang sedia ada jika mana-mana negeri tidak membubarkan dewan undangan negeri masing-masing serentak dengan pembubaran parlimen peringkat Persekutuan asalkan tempoh untuknya bagi meneruskan penggal dewan undangan negeri yang sedang berjalan masih ada. Demikianlah.

Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, pilihanraya peringkat negeri di kedua-dua negeri berkenaan telah diadakan berasingan daripada pilihanraya peringkat Persekutuan. Setelah lebih40 tahun, barulah negeri Sabah mula mengadakan pilihanraya peringkat negeri serentak dengan peringkat Persekutuan bermula pilihanraya umum ke-12 yang lalu, itu pun kalau saya tak silap. Ini bermakna, hanya negeri Sarawak sahaja yang masih melaksanakan pilihanraya peringkat negeri berasingan daripada pilihanraya peringkat Persekutuan. Itu pun kalau saya tak silap juga. Harap-harapnya saya benar-benar tak silap, insha-Allah.

Mengapa orang ramai semakin ramai bercakap mengenai pilihanraya ke-13?

Bak kata pepatah orang tua-tua, kalau tak ada angin tak akan pokok boleh bergoyang. Kebiasaannya bila sesuatu perkara hendak terjadi, adalah tanda-tanda tertentu yang muncul lebih dahulu. Umpamanya, bila hari hendak siang, ada tanda-tandanya sampai orang dulu-dulu boleh cipta gurindam mengenai alamat hari nak siang. Kalau hari hendak hujan pun ada tanda-tandanya hinggakan orang buta pun boleh tahu secara umum bahawa hujan akan turun tidak lama lagi.

Begitulah juga dengan pilihanraya ke-13. Mengapa orang ramai sudah heboh bercakap mengenainya? Jawapannya ialah kerana mereka sudah dengar beberapa tanda besar mengenainya. Sebilangan kaum pendidik konon khabarnya sedang mengikut kursus berkaitan pilihanraya. Agaknya kursus bagaimana mengira kertas undi? Begitu juga dengan kakitangan awam lain juga dikatakan telah mula mengikuti kursus berkenaan pengendalian pilihanraya. Demikian konon khabarnya.

Selain itu, ada juga sesetengah orang yang sudah bijak dan pandai bercakap, kononnya pelbagai insentif yang diberikan oleh pihak yang berkuasa juga merupakan antara tanda pilihanraya hampir dekat. Gaji mula naik, bantuan persekolahan dapat, bantuan RM 500.00 sedang diuruskan, pendek kata, macam-macam lagi durian runtuh sedang berjatuhan dan bergolekan mencari penerima habuan. Maklumlah, kalau tak ada apa-apa, tak akan tempua mula bersarang rendah!

Pada masa yang sama, ramai juga yang cuba jadi nujum pak belalang khususnya bilakah tarikah sebenar pilihanraya ke-13 akan diadakan. Ada yang mengatakan ia akan diadakan sebelum bulan Jun tahun hadapan. Ada juga yang berani dengan mengatakan pilihanraya akan diadakan pada hujung tahun ini iaitu sejurus sahaja belanjawan tahun hadapan diluluskan. Ada juga yang meramalkan pilihanraya akan diadakan pada musim cuti sekolah bulan Mac tahun hadapan. Ada juga yang meramalkan pilihanraya ke-13 akan berlangsung bila semua insentif yang telah diluluskan selesai diagih-agihkan. Ada pula yang meramalkan pilihanraya akan berlangsung bila Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya disumbat ke dalam sana. Pendek kata, macam-macam ramalan boleh kita sama-sama dengar. Macam main teka-teki pula lakunya.

Bagi saya sendiri, saya tak mahulah jadi nujum pak belalang. Bila tiba tarikh pilihanraya, saya akan menunaikan kewajipan saya selaku rakyat negara ini. Saya yakin, bila bermula sahaja genderang perang pilihanraya secara rasmi, maka akan berderinglah telefon saya. Kedua-dua pihak akan menelefon saya untuk berkempen. Macam dalam pilihanraya sebelum ini! Tapi kali ini, tahulah saya melayannya.

Salam dari Kuantan.

Wednesday, December 7, 2011

Selamat Kembali Semula Ke Ruang Maya

Cikgu Ahmad Bustamam merupakan seorang pegawai yang bertugas di Unit Masalah Penglihatan, Sektor Pendidikan Khas, Bahagian pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Untuk maklumat bersama, beliau merupakan seorang yang berpenglihatan tetapi amat menyayangi mereka yang tidak berpenglihatan.

Alkisahnya, suatu ketika dahulu beliau mempunyai blog sendiri. Agak aktif juga beliau dengan blognya. Sewaktu di Jepun pun beliau masih mengirimkan hasil tulisannya untuk tatapan bersama. Blog kendalian beliau mempunyai keunikan yang tersendiri iaitu beliau memperkatakan sesuatu mengenai golongan yang tidak berpenglihatan dari kaca mata mereka yang berpenglihatan. Di sinilah terserlahnya kelainan dan keunikan tulisan-tulisan beliau.



Nak jadi cerita, setelah beberapa ketika mengendalikan blognya, entah ribut mana yang melanda, sekonyong-konyong beliau boleh terlupa akkan password blognya. Maka menyepilah blognya daripada hasil tulisan yang berharga itu. Lama juga blog beliau sepi dan sunyi. Suatu ketika, Cikgu Ahmad Bustamam pernah meminta saya agar memadam pautan blognya yang telah sunyi itu daripada blog ini. Mulanya saya keberatan, tetapi setelah yakin bahawa memang benar beliau telah benar-benar lupa akan password blognya, maka dengan berat hati saya pun padamkanlah pautan berkenaan.

Pada Isnin lalu, beliau telah menghantar SMS kepada saya dengan memaklumkan bahawa kini beliau sudah memulakan semula blognya dengan blog baru. Saya rasa amat gembira. Mulai saat itu saya akan dapat menatap kembali tulisan-tulisan beliau khasnya mengenai pengalaman beliau bersama-sama kami yang tidak berpenglihatan ini.

Setelah mengenali rapat Cikgu Ahmad Bustamam sejak tahun 2005, saya merasakan tulisan-tulisan beliau amat bermanfaat. Tidak semestinya beliau akan memuji sahaja golongan yang tidak berpenglihatan. Adakalanya beliau juga mempunyai pandangan tersendiri terhadap golongan kami yang mana pandangan tersebut ikhlas, telus dan berterus-terang. Hakikat bahawa golongan tidak berpenglihatan seperti saya bukannya malaikat dan tidak terlepas daripada kesilapan dan kekhilafan amat disedari oleh Cikgu Ahmad Bustamam. Justeru, saya merasakan tulisan-tulisan beliau mengenai golongan kami amat seimbang, ikhlas dan sukar diperolehi dari sumber lain.

Kepada Cikgu Ahmad Bustamam, selamat kembali semula ke ruang maya. Kalau takut password hilang sekali lagi, suruh sahaja Cikgu Rohaiza simpan sama pasword berkenaan.

Kepada para pengunjung sekalian, silalah kunjungi sama blog kendalian Cikgu Ahmad Bustamam sebagaimana yang tersenarai dalam Laman Sesawang Pilihan di hujung blog ini.

Salam dari Kuantan.

Tuesday, December 6, 2011

Peristiwa Hitam 10 Muharram

Tarikh 10 Muharram merupakan antara tarikh yang telah menggarapkan banyak peristiwa sama ada peristiwa suka mahupun duka. Justeru beberapa amalan sunat turut dituntut supaya kita melakukannya bila datangnya tarikh 10 Muharram. Terima kasih saya ucapkan kepada Firdaus Khairi, salah seorang bekas anak murid saya, yang telah menghantar menerusi SMS mengenai beberapa amalan yang sunat dilakukan bersempena dengan kedatangan tarikh 10 Muharram.

Salah satu peristiwa besar yang telah berlaku selepas kewafatan Rasulullah pada tarikh 10 Muharram ialah pembunuhan ke atas Saidina Hussein bin Ali, cucu baginda Rasulullah sendiri. Peristiwa menyayat hati itu telah berlaku pada 10 Muharram tahun 61 Hijrah. Ia telah berlaku di sebuah tempat bernama Karbala. Peristiwa pembunuhan ke atas cucu Rasulullah berkenaan tidak terhenti setakat itu sahaja. Implikasi daripada peristiwa tersebut turut memberi kesan kepada perjalanan sejarah umat Islam hingga kini.

Saidina Hussein bin Ali bin Abu Talib bin Abdul Muttalib merupakan cucu Rasulullah kerana ibunya, Saidatina Fatimah merupakan puteri kepada Rasulullah. Saidina Hussein telah dilahirkan di Madinah di sekitar tahun ke-5 Hijrah. Adalah diriwayatkan sewaktu kelahirannya, Rasulullah telah menangis teresak-esak. Bila ditanya mengapa baginda menangis, Rasulullah menjawab yang antara lain katanya suatu hari nanti cucu baginda ini akan dibunuh orang.


“.... Setelah menimang-nimang beberapa saat lamanya, beliau (Rasulullah) meletakkan cucu yang baru lahir itu di atas pangkuannya. Begitu beliau mengamat-amati cucu yang dipangkunya itu, wajah beliau yang semulanya cerah berseri-seri mendadak berubah menjadi suram, kemudian sambil memeluk cucunya beliau menangis teresak-esak.... dengan suara parau sambil menahan tetesan air mata beliau menjawab, aku menangisi anakku ini, kerana kelak ia akan dibunuh oleh orang-orang durhaka”.


(Sumber: Alhusain bin Ali R.A. Pahlawan Besar, ooleh HMH Alhamid Alhusaini, halaman 3).

Semasa kecilnya, Saidina Hussein amat dikasihi oleh baginda Rasulullah. Berbeza daripada saudaranya, Saidina Hassan bin Ali, Saidina Hussein merupakan seorang yang tegas. Saidina Hussein juga merupakan seorang yang cerdik, bijaksana serta amat warak. Beliau mendapat tarbiah langsung daripada Rasulullah, bapanya Saidina Ali dan juga daripada ibunya Saidatina Fatimah Az-Zahrah. Maka itulah keilmuannya dalam hal ehwal agama tidak perlu dipertikaikan lagi.

Semasa rumah Khalifah Uthman bin Affan dikepung oleh para pemberontak, Saidina Hussein dan saudaranya Saidina Hassan dikatakan telah ditugaskan untuk menjaga pintu rumah Khalifah Uthman daripada dibolosi oleh para pemberontak berkenaan. Sebab itulah juga ada diriwayatkan, rumah Khalifah Uthman berjaya dibolosi juga melalui bumbung rumahnya.

Menurut catatan sejarah, sebelum Khalifah Muawiyah bin Abi Sufian menghembuskan nafas terakhirnya, beliau ada berpesan kepada anaknya Yazid yang juga bakal menggantikannya, antara lain pesan Muawiyah, Sekiranya engkau (Yazid) dapat menawan Hussein dalam peperangan, hendaklah engkau memaafkannya dan membebaskannya. Pesanan Muawiyah menunjukkan bahawa beliau sendiri mengakui kemuliaan Saidina Hussein bin Ali. Sayangnya pesanan Muawiyah itu telah diabaikan oleh Yazid kemudiannya.



Pertempuran di Karbala berlaku di antara kumpulan yang dipimpin oleh Saidina Hussein yang merupakan ahli keluarganya serta pengikut setia beliau, dengan tentera Yazid yang diketuai oleh Umar bin Saad dengan dipantau oleh Shammar bin Ziiljauzan. Sejak dari awal lagi pertempuran ini tidak seimbang kerana jumlah pengikut Saidina Hussein hanya sekitar 72 orang sahaja, sedangkan tentera Yazid pula dikatakan berjumlah sehingga 4 ribu orang. Walaupun Saidina Hussein amat menyedari keadaan yang tidak seimbang ini, namun demi akidah dan maruah, beliau tetap bersemangat untuk mempertahankannya. Demikianlah Saidina Hussein.

Pertempuran di Karbala berakhir dengan kematian Saidina Hussein. Saidina Hussein mati bila dipanah oleh salah seorang tentera Yazid ketika beliau hendak mengambil air untuk putranya, Ali Zainal Abidin yang ketika itu sedang sakit. Melihatkan Hussein rebah, seorang lagi tentera Yazid dengan pantas telah menerpa dan memancung kepada Hussein. Perbuatan tentera tersebut mungkin bertujuan untuk mendapatkan pujian, anugerah atau laba daripada khalifah Yazid bin Muawiyah yang memerintah ketika itu.

Pasukan tentera Yazid memang mengetahui bahawa kekuatan mereka jauh lebih besar daripada kekuatan Saidina Hussein dan para pengikutnya. Mereka juga tahu orang yang ingin mereka lawan ialah Saidina Hussein bin Ali bin Abi Talib, cucu kepada Rasulullah. Bahkan sesetengah daripada tentera Yazid yang terlibat dalam medan pertempuran tersebut pernah melihat dan bertemu dengan datuknya, Rasulullah. Mereka amat sedar, bila mereka mengucapkan dua kalimah syahadah, nama ”Muhammad” yang mereka sebutkan dalam pengakuan itu adalah datuk kepada Saidina Hussein. Mereka juga amat sedar Saidina Hussein adalah cucunda kesayangan Rasulullah. Mereka mengetahui kemuliaan yang ada pada Saidina Hussein. Namun begitu, demi habuan duniawi semata-mata, mereka teruskan juga bertempur hingga akhirnya terbunuhlah Saidina Hussein.

Para ulamak serta ahli sejarah sependapat bahawa kematian Saidina Hussein di Karbala merupakan satu peristiwa hitam dalam sejarah umat Islam. Golongan yang paling bersedih dengan peristiwa hitam berkenaan ialah golongan Syiah. Bagi Golongan ini, pembunuhan Saidina Hussein merupakan suatu tragedi yang sangat besar dan pembunuhnya serta mereka yang terlibat menentang Saidina Hussein adalah mereka yang telah melakukan kesalahan yang besar. Justeru, ahli sejarah telah menggaris 4 kesalahan besar yang telah dilakukan oleh Khalifah Yazid bin Muawiyah dan salah satunya ialah bertanggungjawab ke atas kematian Saidina Hussein.

Bagi golongan Syiah, adalah kurang wajar kita bersuka-sukaan pada tarikh 10 Muharram memandangkan pada tarikh tersebutlah cucunda kesayangan Rasulullah telah dibunuh. Bagi mereka, kita seharusnya berdukacita dan melahirkan rasa dukacita di atas tragedi tersebut.