Friday, December 23, 2011

Menjejaki Tinggalan Pahlawan Mat Kilau

Catatan ini mungkin agak lewat sedikit saya kongsikan dengan para pengunjung blog ini. Atas beberapa sebab dan masa, saya tidak dapat memuatkan catatan ini ke dalam blog ini secepat mungkin iaitu sejurus saya membuat kunjungan ke Pulau Tawar, Jerantot, Pahang. Walaupun ia agak lewat, namun ia tetap saya kongsikan juga bersama-sama para pengunjung sekalian. Mudah-mudahan sedikit sebanyak ia memberi manfaat kepada sesiapa yang menatap dan membacanya, insha-Allah.



Saya yakin, bagi sesetengah di antara kita, menziarahi makam Mat Kilau bukan sesuatu yang asing. Mungkin ada juga di antara kita yang pernah ke kawasan permakaman ini lebih dari sekali. Lagi pun, kalau tak ke sana pun masih tidak menjadi apa kerana maklumat serta imej makam serta kawasan perkampungan ini sudah banyak terpapar dalam ruang maya.



Bagi saya, walaupun hampir semua maklumat mengenai pahlawan Mat Kilau sudah boleh diperolehi daripada pelbagai medium seperti buku, catatan dan juga ruang maya, saya akan lebih puas jika tubuh daban dan kaki ini sendiri yang berjaya sampai dan berjejak di kawasan permakaman pahlawan Pahang ini. Maka itulah, pada 10 Disember 2011 (Sabtu) yang lalu, saya sekeluarga telah berkunjung ke kawasan permakaman Mat Kilau serta kawasan di sekitar Pulau Tawar yang letaknya kira-kira 170 km dari kediaman kami di Kuantan.



Sekitar jam 1.30 tengah hari, dalam cuaca yang hujan sederhana lebat, saya sekeluarga tiba di sekitar bandar Jerantot. Kami kemudiannya singgah di Restoran Singgah Sokmo untuk makan tengah hari. Sambil menjamu selera, kami turut bertanya kepada kakitangan restoran lokasi destinasi tujuan kami. Alhamdulillah, kami mendapat kerjasama baik daripada mereka yang ditanya. Menurutnya, lokasi yang hendak kami tuju tidak berapa jauh lagi dari restoran berkenaan.



Setelah selesai makan tengah hari, kami pun meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju. Oleh kerana hujan, jalannya agak berair. Walaupun demikian, pemandangan kiri dan kanan jalan, amat menghiburkan mata. Begitulah saya dimaklumkan oleh isteri dan Luqman. Luqman sendiri amat terpesona dengan pemandangan yang sungguh mendamaikan itu.





Akhirnya, kenderaan kami pun berhentilah di sebuah masjid yang terletak di kampung persemadian Mat Kilau di mukim Pulau Tawar. Masjid yang kami singgahi ini merupakan masjid yang lebih baru. Masjid lama tempat Mat Kilau mengisytiharkan dirinya pada tahun 1969 terletak tidak berapa jauh dari sini. Saya akan kisahkan mengenai masjid lama yang bersejarah itu nanti.



Daripada salah seorang jemaah di masjid ini, saya mendapat maklumat mengenai lokasi pusara Mat Kilau. Selain itu, saya juga turut diberi maklumat mengenai orang yang seharusnya ditemui untuk memperolehi info lanjut berkenaan sejarah Mat Kilau. Orang yang dimaksudkan ialah Pakcik Abu Bakar yang juga merupakan salah seorang imam di masjid ini.







Setelah solat zohor dan asar secara jamak dan kasar, saya sekeluarga pun bergeraklah ke kawasan permakaman Mat Kilau. Letaknya memang tidak berapa jauh dari masjid tadi.





Dalam kawasan perkuburan ini, terdapat banyak pusara yang lain. Manakala pusara Mat Kilau mudah untuk dikenali kerana ada signboard dan ditambahi dengan kelainan yang ada di sekitar pusara berkenaan.







Di sisi makam Mat Kilau, terdapat dua makam lagi. Salah satunya ialah makam ibu Mat Kilau yang bernama Che Mahda. Satu lagi makam tiada diketahui siapa yang disemadikan di situ.





Mat Kilau dikatakan telah dilahirkan sekitar tahun 1865/1866. Ada kemungkinan juga Mat Kilau telah dilahirkan pada tahun-tahun lebih awal daripada itu. Ini kerana sewaktu Mat Kilau meninggal dunia pada tahun 1970, beliau dikatakan telah pun berusia sekitar 122 tahun.







Antara ahli akademik yang cukup mahir dengan sejarah Mat Kilau ialah Dr. Aruna Gopinath. Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Saya sendiri pernah mendengar secara langsung mengenai sejarah Mat Kilau daripada Dr. Aruna sewaktu menghadiri kelas kendalian beliau di UM dahulu.



Dari kawasan permakaman Mat Kilau, saya sekeluarga bergerak pula ke rumah tuan imam yang dimaksudkan. Nama penuh tuan imam ini ialah Abu Bakar bin Muhammad bin Haji Abbas bin Salleh bin Tok Pandak Kerayong. Saya memanggilnya sebagai Pakcik Bakar sahaja. Usia tuan imam ini sudah melebihi 80 tahun.



Ketibaan saya sekeluarga di rumah Pakcik Bakar telah disambut dengan begitu baik dan mesra sekali oleh Pakcik Bakar dan keluarganya. Pakcik Bakar amat mesra, mudah bekerjasama dan tidak kedekut dalam berkongsi info khasnya mengenai Mat Kilau kepada saya sekeluarga. Kebetulan pula, keluarga Pakcik Bakar ada bersemenda dengan Mat Kilau. Salah seorang isteri Mat Kilau adalah sepupu kepada ayah Pakcik Bakar. Jadi sudah tentulah banyak kisah dan cerita mengenai pahlawan Pahang ini yang beliau ketahui. Namun begitu, sedikit kekangan khususnya bagi orang luar bila berkomunikasi dengan Pakcik Bakar ialah di mana beliau bercakap dalam dialek Pahang yang agak pekat. Jadi, kalau tidak biasa mungkin sukar bagi orang luar untuk memahami dengan baik butir bicara Pakcik Bakar. Walau bagaimanapun, oleh kerana isteri saya orang Pahang juga, maka kekangan sedemikian telah dapat saya atasi, alhamdulillah.

Selepas berjuang di Pahang, pada tahun 1895, Mat Kilau serta pahlawan-pahlawan lain terpaksa berundur. Pihak Inggeris pula telah mengisytiharkan Mat Kilau serta pahlawan-pahlawan yang seangkatan dengannya sebagai penderhaka. Mungkin selepas gagal menjejaki Mat Kilau, pihak Inggeris menerusi akhbar-akhbarnya di Singapura telah menghebahkan berita bahawa Mat Kilau serta beberapa orang pahlawan Pahang yang lain telah mati.

Pada masa yang sama, untuk mengelakkan daripada dikenali di dikesan oleh Inggeris, Mat Kilau telah hidup dalam penyamaran. Beliau serta beberapa orang pahlawan lain terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mengelakkan diri masing-masing dikesan. Mat Kilau telah menggunakan pelbagai nama lain. Antara nama-nama samaran yang telah digunakan termasuklah Mat Siam, Mat Dadu dan sebagainya. Sewaktu mengisytiharkan dirinya, Mat Kilau menggunakan nama Mohamad bin Ibrahim dan menggunakan kad pengenalan bernombor 2044778.



Pakcik Bakar juga mempunyai beberapa orang anak yang juga bertugas sebagai guru. Salah seorang daripada mereka sedang bertugas di Sekolah Kebangsaan Inddera Mahkota (SKIM) di Kuantan.



Sebelum kami bertolak meninggalkan rumahnya, Pakcik Bakar tidak lupa membekalkan kepada kami buah-buahan kampung serta sedikit sayur-sayuran. Demikianlah budi baik Pakcik Bakar sekeluarga yang tidak mungkin kami sekeluarga lupakan.



Dari rumah Pakcik Bakar, kami ke lokasi di mana terletaknya masjid lama tempat Mat Kilau mula-mula mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau selepas bertahun-tahun hidup dalam penyamaran. Masjid ini terletak di tepi Sungai Pahang. Masjid ini tidak lagi digunakan iaituselepas masjid yang baru dibina. Mungkin antara sebab masjid ini tidak lagi digunakan kerana letaknya yang jauh daripada penempatan orang kampung. Pada masa dahulu sungai merupakan nadi penting kepada sesebuah penempatan. Namun begitu, selepas jalan raya mengambil alih peranan sungai, maka penempatan penduduk kawasan pedalaman mula beralih daripada tepi sungai ke kawasan yang hampir dengan jalan raya.





Kini masjid lama yang penuh nilai sejarh ini terbiar begitu sahaja. Bumbungnya pun hampir menyembah bumi. Namun begitu, ada bahagian-bahagian masjid ini yang kelihatan masih kukuh dan utuh. Tiang dan dindingnya masih kuat dan keras.



Foto ini pula menunjukkan bahagian terletaknya mimbar masjid. Di sinilah dikatakan tempat di mana Mat Kilau telah membuat pengisytiharan mengenai dirinya yang sebenar selepas solat Jumaat. Peristiwa ini telah berlaku pada hari Jumaat, 26 Disember 1969.





Pengisytiharan tersebut telah menggemparkan khususnya di Pahang. Maka pada 8 Januari 1970, kerajaan Pahang telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat pengisytiharan tersebut. Pada bulan Ogos 1970, Setelah penyiasatan selesai, maka menteri besar Pahang ketika itu telah membuat penesahan bahawa lelaki yang telah membuat pengisytiharan sebagai Mat Kilau sebelum ini adalah benar. Walau bagaimanapun, beberapa hari kemudian, Mat Kilau telah kembali ke Rahmatullah. Menurut Pakcik Bakar, Mat Kilau telah meninggal di Pekan. Dengan wasiat daripada Mat Kilau sendiri, jenazahnya telah dibawa pulang ke kampung asalnya di Pulau Tawar untuk dikebumikan.



Setelah puas mengamati persekitaran dalam dan luar masjid ini, akhirnya saya sekeluarga pun bergeraklah untuk pulang semula ke Kuantan. Sesungguhnya misi kali ini amat berharga dan sangat berguna bagi saya. Kalau selama ini saya sekadar mendengar dan membaca kisah sejarah Mat Kilau, tetapi kali ini dengan izin daripada Allah, saya dapat menjejakkan kaki ke kampung asal Mat Kilau, menjejakkan kaki ke masjid lama yang bersejarah serta dapat juga menziarahi makam pahlawan besar ini. Semoga roh Mat Kilau sentiasa berada dalam cucuran rahmat Allah sepanjang masa hendaknya.

Sesungguhnya kisah Mat Kilau serta kisah pahlawan-pahlawan lain mempunyai pelbagai perkara yang boleh dijadikan sebagai iktibar. Kalau dahulu pihak Inggeris dengan mudah mengisytiharkan seseorang itu sebagai pemberontak dan penderhaka, apa bezanya dengan hari ini. Untuk memudahkan penghapusan golongan yang dianggap memberikan ancaman, Amerika Syarikat umpamanya dengan mudah akan mengkategorikan satu-satu organisasi atau individu itu sebagai pengganas. Demikianlah sejarah mengajar kita. Sebab itulah, kalau kita gagal belajar dan mengambil iktibar dari sejarah, maka kita akan dihukum dengan mengalami semula sejarah yang sama.

No comments: