Tengah hari tadi, saya telah menunaikan solat Jumaat di salah sebuah masjid yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah kediaman kami di Kuantan. Saya turut disertai oleh seorang biras, Luqman serta seorang anak buah kami yang muda setahun daripada Luqman. Kami tiba di masjid agak lewat sedikit, iaitu selepas azan pertama. Jadi, kami terpaksa duduk di saf bahagian belakang sahaja.
Saf tempat saya bersolat letaknya di bahagian bawah tapi masih lagi di atas kawasan bersimen. Ia dibentangi dengan tikar sahaja, bukan permaidani sebagaimana kalau di bahagian atas dan dalam masjid. Oleh kerana letaknya di bahagian bawah dan belakang pula, maka rata-rata kawasan tempat saya bersolat dipenuhi oleh budak-budak. Ada juga orang dewasa seperti saya, tapi mungkin kami daripada kategori yang datang lewat. Agaknya, jangankan seekor unta, sebiji telur ayam pun kami tak dapat. Begitulah kalau sudah datang lewat di masjid untuk solat Jumaat pada hari Jumaat.
Di kebanyakan masjid, sebelum tuan khatib mula membaca khutbah, tuan bilal terlebih dahulu akan mengingatkan pada jemaah agar tidak bercakap-cakap ketika khatib sedang membaca khutbah. Bahkan tuan bilal akan menyelitkan sepotong hadith yang menyuruh pada jemaah supaya diam ketika khatib sedang membaca khutbah.
Antara lain, tuan bilal akan berkata: (setelah membaca matan hadith yang dimaksudkan) ”Daripada Abi Hurairah R.A., Nabi S.A.W. bersabda: Jika ada di antara kamu yang bercakap-cakap ketika khatib sedang membaca khutbah walau dengan berkata ”diam” sekalipun (mengingatkan orang lain supaya diam), maka hilanglah pahala Jumaatnya. Dari itu, diamlah dan dengarlah dengan taat mudah-mudahan kita akan beroleh kebahagian di dunia dan akhirat”. Saya dapat mengingat kata-kata tuan bilal serta hadith yang dibacanya kerana hampir setiap minggu saya akan mendengar (diingatkan) dengan perkara yang sama.
Apa yang berlaku tadi ialah, sewaktu tuan khatib sedang membaca khutbah, kawasan sekitar tempat saya sedang duduk juga agak hingar dengan suara-suara para jemaah. Pada pendengaran saya, hampir semua suara yang membuat hingar tersebut adalah suara budak-budak. Saya rasa, budak-budak yang membuat hingar berkenaan mungkin budak-budak sekolah rendah dan juga budak-budak yang di peringkat awal sekolah menengah. Boleh dikatakan di sepanjang khatib sedang membaca khutbah, hingar-bingar berkenaan turut sama mengiringi suara tuan khatib. Bahkan sewaktu solat Jumaat sedang berlangsung, saya dapat mendengar dengan jelas suara-suara budak-budak di bahagian belakang daripada saf di mana saya berada masih bercakap-cakap dan juga mungkin mereka sedang main-main. Hal tersebut berterusan hinggalah tuan imam memberi salam. Ini bermakna budak-budak berkenaan tidak melaksanakan solat Jumaat. Saya pun tidak pasti mengapa mereka harus datang ke masjid. Berdasarkan pengalaman saya solat Jumaat di beberapa buah masjid, situasi hingar-bingar sebegini bukannya berlaku di semua masjid sahaja, tetapi pada masa yang sama ia juga berlaku bukan pada satu masjid sahaja.
Walaupun yang bercakap-cakap itu merupakan golongan budak-budak dan mungkin ada di antara mereka yang masih belum baligh lagi, tetapi saya pasti hampir kesemua mereka sudah pun mumayiz dan punya akal yang telah pun berfungsi dengan baik.
Tuan bilal telah pun memberikan peringatan supaya jangan bercakap-cakap ketika khatib sedang membaca khutbah dan ia turut disisipkan dengan sepotong hadith lagi. Sayangnya peringatan daripada tuan bilal itu tak ubah bagai mencurah air di daun keladi sahaja. Perlakuan bercakap-cakap ketika khatib sedang membaca khutbah bukan sahaja boleh mengakibat pahala mereka yang terlibat akan hilang (menurut mafhum hadith tadi), bahkan ia turut boleh mengganggu perhatian para jemaah yang lain terhadap isi khutbah yang sedang disampaikan oleh tuan khatib. Selain itu, ia juga mengakibatkan tujuan utama budak-budak berkenaan datang ke masjid pada hari Jumaat tidak kesampaian. Saya yakin, mereka semua datang bukan semata-mata kerana sebiji pisang atau wang seringgit dua. Ia juga menunjukkan peringatan yang telah diberikan oleh tuan bilal sejurus sebelum bermulanya khutbah tidak sampai objektifnya. Sebab itulah situasi hingar tetap berlaku semasa tuan khatib sedang mengumandangkan khutbahnya. Tatkala tuan khatib sedang membaca khutbah para jemaah lain tidak boleh pula melarang hingar yang sedang dilakukan oleh kumpulan budak-budak tadi, takut-takut pahala jemaah yang berkenaan akan luput pula.
Terdapat berbagai kemungkinan mengapa situasi hingar sepertimana di atas boleh terjadi. Ia mungkin disebabkan budak-budak yang berusia sedemikian tidak begitu faham mengapa mereka harus ke masjid terutamanya pada hari Jumaat, apatah lagi untuk memahami mengapa mereka harus diam ketika tuan khatib membaca khutbah. Ia juga disebabkan kaedah peringatan yang diguna pakai di masjid-masjid selama ini tidak begitu berkesan khususnya kepada golongan budak-budak tadi. Kadang-kadang situasi sebegini tidaklah menghairankan sangat kerana adakalanya budak-budak dewasa pun tidak faham mengapa mereka harus diam ketika tuan khatib membaca khutbah.
Bagi saya, situasi seperti di atas tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Ia harus ditangani sebaik mungkin. Semua pihak, sama ada pihak masjid, para jemaah, ibu bapa, guru dan semua pihak lain harus bekerjasama untuk membaiki keadaan. Apabila situasi sebegini mampu ditangani dengan baik, sudah tentulah matlamat kita datang ke masjid untuk solat Jumaat akan dapat dicapai kerana ibadah kita lebih sempurna.
Bagi saya, antara langkah yang mungkin boleh difikirkan ialah setiap ibu bapa harus memberikan ingatan kepada anak-anak mereka yang datang ke masjid untuk solat Jumaat mengenai perkara-perkara yang tidak sepatutnya mereka lakukan dan ia termasuklah bercakap-cakap ketika tuan khatib sedang membaca khutbah. Peranan yang sama juga boleh dilakukan oleh guru-guru di sekolah. Tidak semestinya ia dipikul oleh ustaz dan ustazah semata-mata, bahkansemua guru Islam sepatutnya memikul tanggungjawab yang serupa.
Di samping itu, pihak masjid juga boleh memohon kerjasama daripada ahlii-ahli jawatankuasa masjid supaya mengingatkan khasnya golongan budak-budak supaya diam dan jangan bercakap-cakap ketika tuan khatib sedang membaca khutbah. Peringatan seumpama ini boleh diberikan beberapa minit sebelum azan pertama dikumandangkan. Ia tidak semestinya diberikan menerusi pembesar suara masjid. Memadailah jika mana-mana AJK masjid pergi kepada bahagian masjid yang ramai budak dan seterusnya memberikan peringatan yang patut-patut. Tidak perlu keras, cukuplah sekadar peringatan secara memujuk. Maklumlah mereka itu masih budak lagi. Bak kata orang tua-tua, kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Kalau sudah menjadi buluh, memang susah untuk dilentur.
Selanjutnya, jika perlu, pihak masjid juga boleh memasang banner di masjid dengan ukuran yang sesuai dan dengan saiz fonts yang sesuai juga bagi memberikan peringatan kepada sekalian jemaah supaya jangan bercakap-cakap ketika tuan khatib sedang membaca khutbah. Sebaik-baiknya isi peringatan yang ditulis pada banner berkenaan hendaklah sama dengan skrip dan hadith yang digunakan oleh tuan bilal ketika memberi peringatan kepada para jemaah sejurus sebelum tuan khatib memulakan khutbahnya. Menerusi kaedah seumpama ini, bukan sahaja ia akan mengingatkan kepada budak-budak yang belum akil baligh, bahkan secara tidak langsung budak-budak yang sudah dewasa pun akan mendapat peringatan yang serupa. Sayugia saya tegaskan, banner seumpama inni hanya sesuai dipasang ketika solat Jumaat sahaja.
Mudah-mudahan perkongsian pengalaman serta saranan ke arah memperbaiki keadaan sedikit sebanyak akan memberi manfat untuk kita semua. Sesungguhnya ibadah kita tentunya akan lebih sempurna sekiranya kita dapat melakukan ibadah dengan lebih khusyuk lagi. Sudah pastilah kita akan dapat melaksanakan ibadah dengan lebih khusyuk lagi bilamana ia tidak diganggu dengan hingar-bingar yang tidak sepatutnya.
Saya sekadar berkongsi pengalaman dan mengutarakan saranan sahaja.
Salam dari Kuantan.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment