Thursday, December 1, 2011

Fort Margherita





Pada 27 November (Ahad) lalu, saya serta ahli keluarga yang lain telah berkesempatan mengunjungi Fort Margherita. Letaknya di seberang sungai Sarawak tempat hotel penginapan kami. Kami telah menghabiskan hampir sejam di sekitar kompleks bersejarah ini. Secara peribadi, setelah mengunjungi Kuching kali keenam barulah saya berpeluang untuk mengunjungi Fort Margherita. Demikianlah ketentuan-Nya yang tak mungkin mampu untuk kita tolak.





Fort Margherita merupakan antara kompleks paling bersejarah di sekitar Bandaraya Kuching. Ia juga merupakan antara mercu tanda penting di bandar raya ini. Sebagai sebuah kubu pertahanan, lokasinya memang strategik. Kedudukannya mampu untuk mengawal lalu-lintas di sekitar Sungai Sarawak dengan baik dan berkesan. Lokasinya juga tidak jauh dari kediaman Brooke.



Selain pernah berfungsi sebagai kubu pertahanan, Fort Margherita juga pernah dijadikan sebagai penjara. Terdapat beberapa bilik tahanan yang masih kukuh pintunya. Pendek kata, sesiapa yang ditahan di sini, memang susahlah hendak melepaskan diri.







Mengikut kiraan salah seorang ahli keluarga saya, terdapat sekitar 13 laras meriam. Manakala yang keempat belas meriamnya sudah tiada, hanya tinggal tapak dan rodanya sahaja. Boleh dikatakan hampir kesemua meriamnya menghadap ke sungai.





Saya juga berkesempatan ke tingkat atas. Laluannya sempit dan kita harus melaluinya dengan begitu berhati-hati supaya tidak terjatuh. Di sini terdapat bilik tahanan dan juga sebuah bilik yang menyimpan tengkorak. Menurut maklumat yang diberitahu kepada saya oleh salah seorang kakitangan yang bertugas, tengkorak-tengkorak berkenaan ialah kepala musuh yang telah dipancung dalam beberapa siri pertempuran.







Pada hemat saya, bangunan ini telah dibina dengan batu-bata yang sangat keras. Bak kata sesetengah golongan cacat penglihatan, kalau ketuk pun tak berbunyi.



Di bawah ini saya perturunkan semula tulisan yang terdapat padda salah sebuah batu peringatan yang terdapat di luar bangunan ini. Sebenarnya imej tulisan ini ada dimuatkan dalam posting ini tetapi ia tidak dapat dibaca oleh perisian pembaca skrin. Jadi untuk memudahkan rakan-rakan pengunjung yang senasib, maka saya muatkan apa yang tertulis pada batu peringatan berkenaan yang telah saya salin semula.




KUBU MARGHERITA (1879) KUCHING, SARAWAK

Reka bentuk kubu ini adalah berdasarkan pada kubu-kubu Inggeris di zaman Pembaharuan. Ia dibentuk sedemikian rupa sebagai benteng daripada serangan musuh serta merupakan bangunan tersergam indah menghiasi pemandangan sesuatu bandar. Tapak bangunan ini biasanya dipilih dengan teliti pada perairan sungai supaya ianya merupakan suatu bangunan kawasan yang boleh mengawas kemaraan musuh ke bandar tersebut, serta menghindarkan dari serangan yang mengejut. Tetapi sejak 1879, Sarawak adalah dalam suasana aman. Oleh yang demikian, kubu ini tidak pernah digunakan sepertimana tujuan asalnya, kubu ini kemudiannya digunakan sebagai penjara sehinggalah penjara baru dibina berhampiran dengan padang tembak kira-kira 1.61 km daripada tempat ini.



Hinggalah pada masa perang dunia kedua, kubu ini dijaga oleh pengawal yang bertugas siang dan malam dan memekikkan “Semuanya Baik” pada tiap-tiap satu jam mulai pukul 8 malam sehingga pukul 5 subuh. Pekikan ini disambut pula oleh pengawal di Istana, pengawal di pejabat jam besar kerajaan di seberang sungai dan akhirnya pengawal di pejabat perbendaharaan. Pekikan yang sahut menyahut di dalam sunyi ini ialah untuk memastikan bahawa pengawal tidak tertidur semasa bertugas.

Kubu Margherita telah mengibarkan 4 jenis bendera di bawah 4 berlainan pentadbiran. Pertama ialah bendera Brooke, kemudian bendera matahari terbit semasa pendudukan Jepun, bendera Union Jack di bawah penjajahan British dan kini menggunakan bendera sendiri setelah Sarawak mencapai kemerdekaan.

Sekarang kubu ini telah dijadikan sebagai Muzium Polis.



Kini, Fort Margherita tidak lagi berfungsi sebagai muzium polis. Muzium berkenaan telah pun berpindah ke lokasi lain yang letaknya tidak berapa jauh dari sini. Hari ini, Fort Margherita benar-benar berfungsi sebagai sebuah kompleks sejarah yang sunyi daripada kesibukan seharian di sekitar Bandaraya Kuching.

Rasanya ini merupakan catatan terakhir saya berkenaan kunjungan ke Kuching baru-baru ini. Berbanyak maaf saya pohonkan sekiranya catatan-catatan yang telah saya muatkan tidak sempurna, tidak memuaskan atau tidak jelas. Untuk ke sekian kalinya juga saya menegaskan bahawa tujuan saya memuatkan catatan sebegini adalah untuk berkongsi pengalaman kunjungan saya di tempat-tempat berkenaan. Mana yang baik itu bolehlah diambil sebagai pedoman dan mana yang kurang tinggalkan sahaja dalam ruang catatan ini.



Di bawah ini, saya kongsikan beberapa foto yang saya kira menarik untuk perkongsian bersama. Selamat menatap!































No comments: