Wednesday, November 30, 2011

Menyusuri Sungai Sarawak

Salah satu aktiviti yang sedaya upaya tidak akan saya lepaskan bila berkunjung ke Kuching ialah menyusuri Sungai Sarawak. Saya akan cuba cari juga masa untuk membolehkan aktiviti berkenaan dapat dilakukan. Demikianlah dengan kunjungan kali ini. Jadual untuk menyusuri Sungai Sarawak telah pun saya tetapkan pada 27 November 2011 (Ahad) iaitu di sebelah petang. Alhamdulillah ia telah dapat dilaksanakan mengikut jadual walaupun sebelumnya hujan telah turun dengan lebat sekali.











Sejak dari sebelum kedatangan Brooke lagi, sungai Sarawak merupakan nadi penting kepada perkembangan dan kemajuan Kuching. Apatah lagi ketika itu di Sarawak sungai merupakan laluan perhubungan paling penting. Justeru tidak hairanlah bilamana Sungai Sarawak turut berperanan besar dalam mencorakkan perkembangan ekonomi Sarawak hingga kini.





Semasa era pemerintahan Brooke, perkembangan Sungai Sarawak semakin pesat. Brooke telah memusatkan kawasan pentadbirannya di tepi Sungai Sarawak. Kepentingan Sungai Sarawak sebagai sebuah lokasi yang strategik semakin terserlah bilamana sebuah kubu pertahanan telah didirikan oleh Charles Brooke di tebing Sungai Sarawak pada tahun 1879. Kubu yang dimaksudkan ialah Fort Magherita. Hari ini Fort Magherita merupakan antara mercu tanda klasik di Bandaraya Kuching.





Hari ini, Sungai Sarawak tetap mempunyai kepentingan serta daya tarikannya yang tersendiri. Sungai Sarawak merupakan pembahagi utama di antara Bandaraya Kuching Selatan dengan Bandaraya Kuching Utara. Dek kerana sungai ini jugalah Bandaraya Kuching mempunyai dua orang datuk bandar. Sungai ini merupakan pemisah di antara kawasan majoriti berpenduduk Melayu (Kuching Selatan) dengan kawasan majoriti berpenduduk Cina (Kuching Utara).











Antara keunikan Sungai Sarawak ialah di sekitar tebingnya terdapat banyak pangkalan perahu. Ini menunjukkan betapa pentingnya perkhidmatan perahu tambang di Sungai Sarawak. Sama ada kepada orang tempatan, apatah lagi kepada pelancong, perkhidmatan perahu tambang di Sungai Sarawak mempunyai daya penarik serta keunikannya yang tersendiri. Walaupun sudah ada jambatan konkrit yang menghubungkan antara kedua-dua tebing Sungai Sarawak, tetapi ia tidak menggugat keunikan perkhidmatan perahu tambang di Sungai Sarawak.



Kebijaksanaan kerajaan negeri Sarawak dalam memanfaatkan Sungai Sarawak telah membolehkan munculnya pembangunan industri pelancongan di sekitar kawasan tepi Sungai Sarawak. Kesan dan tinggalan sejarah, perkampungan Melayu di Kuching Selatan, bangunan-bangunan yang semakin menjulang tinggi di Kuching Utara telah membentuk suatu pemandangan yang padanya tersirat banyak makna yang boleh ditafsirkan.





Bagi pengunjung yang berpenglihatan, pemandangan sekitar pesisir Sungai Sarawak khususnya pada waktu petang amat memukau. Bagi pujangga pula, mungkin fenomena sebegini mampu mencetuskan ilham baru. Bagi yang sedang stress pula, ia boleh dilonglaikan dengan cara santai seperti ini.











Manakala bagi mereka yang tidak berpenglihatan, bersyukurlah bila dapat dengar bunyi air sungai yang mengalir, bau sungai yang adakalanya menusuk hidung, bau minyak enjin bot, bunyi bot lain bila bertembung, bunyi kanak-kanak bermain di sekitar perkampung tepi sungai, dapat mencecahkan tangan ke air tatkala bot sedang bergerak, merasai tiupan angin petang yang menyamankan, dan kalau nasib sedikit baik dapat dengar penerangan ringkas sama ada daripada ahli keluarga, rakan taulan yang sudi atau daripada pemilik bot sendiri.









Saya tidak lupa mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Abang Pian yang telah melancarkan rancangan saya untuk menyusuri Sungai Sarawak pada kali ini. Bahkan Abang Pian turut memberikan penerangan yang agak terperinci kepada saya berkenaan perkara-perkara yang terdapat di sekitar Sungai Sarawak tatkala kami menyusuri sungai. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Abang Pian.

Di bawah ini, saya kongsikan beberapa foto yang dikira menarik untuk tatapan kita semua.























style="display:block; margin:0px auto 10px; text-align:center;cursor:pointer; cursor:hand;width: 320px; height: 240px;" src="https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgu5jDdx267wIlKUZ_spEZshxNMc-cBp0kStX612KEIWlAkLI9vW98betHgywIVH5nZ0gel_Rh3a8-3JvqUaCS78D5MtC7OfGKIt88_pGhCkevwl9wmK6_vOVWDlwsyRzK4lOqCO2ahz1P3/s320/sebuah+bot+berlatarbelakngkan+dun+%2528cantik%2529.JPG" border="0" alt=""id="BLOGGER_PHOTO_ID_5681198612206531554" />

No comments: