Monday, November 21, 2011

Tahniah Kepada Pasukan Harimau Muda

Sebentar tadi, pasukan bola sepak muda negara (harimau muda), telah berjaya merangkul pingat emas dalam temasya sukan SEA di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia. Saya yakin, seluruh warganegara Malaysia tentunya gembira dengan kejayaan tersebut. Tidak ketinggalan orang-orang besar serta ahli politik negara. Khabarnya, sesi sidang dewan rakyat telah ditamatkan pada jam 8.00 malam untuk membolehkan ahli-ahli yang berhormat berpeluang menonton perlawanan akhir berkenaan.

Kejayaan tersebut amat manis bagi semua pihak dan seluruh rakyat Malaysia. Ia merupakan kejayaan kali kedua berturut-turut pasukan bola sepak kita memperoleh pingat emas dalam acara bola sepak di temasya sukan SEA. Ia juga kesinambungan kepada kejayaan pasukan negara yang berjaya menewaskan pasukan indonesia dalam merebut piala Suzuki hujung tahun lepas. Kejayaan ini dirasakan teramat manis bilamana pasukan kita berjaya mengkecundangkan pasukan lawan di tempat lawan.

Sebelumnya, Indonesia bukan main lagi besar cakap mereka. Kata mereka, selepas ini tiada lagu kebangsaan negara lain yang akan berkemundang di stadium mereka. Kalau kita berkesempatan ikuti laporan dan berita akhbar Indon sehari dua sebelum perlawanan akhir, macam-macam klausa dan frasa kata dinukilkan untuk memperlekehkan pasukan bola sepak negara kita. Walaupun mungkin ia merupakan satu strattegi bercorak psykologi, tetapi kalau sudah keterlaluan sudah tentu ia boleh menimbulkan rasa muak dan cuak pihak lain. Akhirnya, segala klausa dan frasa kata yang telah digunakan untuk memperkecilkan pihak lawan memakan diri mereka sendiri. Mereka menangis teresak-esak sambil menelan kembali segala kata-kata yang telah dilemparkan kepada pasukan kita sebelumnya. Kata-kata semangat mereka ”bangun dan bangkit” sudah jadi ”duduk dan tidur”

Kepada pasukan harimau muda, setinggi-tinggi tahniah diucapkan. Anda telah membuktikan, di atas tanah harimau lebih gagah dan lebih perkasa daripada sang geruda. Anda juga telah berjaya mensenyap dan melenyapkan gelora di Stadium Bung Karno. Situasi di Stadium Gelora Bung Karno selepas berakhirnya perlawanan akhir sebentar tadi tak ubah umpama stadium yang dirempuh geruda sendiri.

Alhamdulillah! Tahniah! Tahniah! Tahniah!

No comments: