Saturday, November 12, 2011

Menghadiri Majlis Perkahwinan Cikgu Nazri Dan Rozila Azlin



Tengah hari tadi, saya sekeluarga sempat menghadiri majlis perkahwinan di antara Cikgu Nazri Sahmad dengan pasangannya Rozila Azlin Rosli. Majlis telah di adakan di perkarangan Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Sekitar jam 1.20 tengah hari, saya sekeluarga tiba di lokasi majlis. Sewaktu saya tiba, Cikgu Rizal Tan dan keluarganya sedang berjalan meninggalkan majlis. Katanya, dia tidak dapat menunggu hingga majlis persandingan kerana anak sulungnya ada urusan lain.



Cikgu Nazri merupakan seorang guru cacat penglihatan dan sedang berkhidmat di sebuah sekolah di Kajang (kalau tak silap). Anak kelahiran bumi kenyalang ini sudah agak lama menetap di semenanjung. Saya sendiri telah mengenali beliau sudah lebih dari sedekad. Beberapa orang ahli keluarga beliau juga saya turut kenal dengan agak mesra.

Manakala Azlin (Rozila Azlin) pula merupakan anak kepada rakan baik saya. Saya memang berkawan baik dengan kedua ibu bapanya lebih daripada 20 tahun. Bahkan saya telah pun kenal Azlin semenjak beliau di sekolah rendah lagi. Memandangkan perkenalan yang baik dan lama kepada kedua-dua mempelai serta ahli keluarga mereka, maka itulah saya cari juga kesempatan untuk menghadiri majlis perkahwinan mereka.

Berdasarkan kepada pendengaran dan pengamatan saya, majlis perkahwinan Cikgu Nazri dan Azlin begitu meriah sekali. Orang datang tak putus-putus. Agaknya tak menang tangan ibu bapa kedua-dua mempelai bersalaman dengan para tetamu yang hadir.



Pujian harus diberikan kepada majlis ini atas beberapa aspek. Layanan yang diberikan amat memuaskan. Mungkin menyedari bahawa sebahagian besar para tetamunya adalah mereka yang tidak berpenglihatan, layanan yang disediakan amat bersesuaian dengan golongan tetamu yang datang. Kita disambut dengan begitu mesra sejak tiba di pintu utama lagi. Manakala makan dan minum pula tidak sukar kerana ada saja orang yang bertanya dan membantu. Lauk-pauknya pula enak dan menyelerakan. Persembahan kompang serta nyanyian yang dipersembahkan secara berselang-seli amat menghiburkan.

Kepada Cikgu Nazri dan Azlin, selamat pengantin baru diucapkan. Doa kami semoga anda berdua kekal bahagia dunia dan akhirat. Kepada ibu bapa kedua-dua mempelai, tahniah kerana menerima menantu.

Di bawah ini saya sisipkan beberapa foto yang sempat diambil dalam majlis perkahwinan tengah hari tadi.















No comments: