Luahan Tanda Tanya
Sewaktu menyambut hari raya aidil adha baru-baru ini, saya ada menerima satu SMS yang antara lain mengucapkan selamat menyambut hari aidil ahda kepada saya. SMS berkenaan diakhiri dengan ”Ikhlas daripada *************”.
Mulanya saya tidak begitu mengambil perhatian sangat dengan SMS berkenaan. Namun begitu, bila saya terbaca semula SMS berkenaan untuk kali kedua, baru saya terperasan, nama pengirim yang tercatat pada SMS berkenaan sama dengan nama seorang menteri kabinet, tapi dia tidak menggunakan pangkal ”datuk” pada namanya sebagaimana nama menteri yang saya maksudkan.
Beberapa persoalan terus menyelinap ke dalam minda saya. Mengapa saya seorang sahaja (dalam keluarga saya) yang menerima SMS sedemikian daripada orang berkenaan, sedangkan isteri saya tidak? Setelah berfikir, rasanya saya dapat temui kemungkinan njawapannya.
Dari aspek politik, saya dan isteri saya merupakan pengundi berdaftar di dua kawasan parlimen yang berbeza. Isteri saya masih lagi merupakan seorang pengundi berdaftar di salah sebuah kawasan parlimen di Negeri Sembilan. Manakala saya pula, sejak dari awal merupakan seorang pengundi berdaftar di salah sebuah kawasan parlimen di Kuala Lumpur.
Semasa kempen pilihanraya umum 2008 lalu, selaku salah seorang pengundi berdaftar di parlimen ************* saya agak kerap menerima SMS berbentuk kempen sama ada daripada calon PR atau pun daripada calon BN. Bahkan kedua-dua pihak pernah menghubungi saya menerusi telefon untuk berkempen. Dari sudut strategi, kedua-dua pihak telah benar-benar memanfaatkan semua kaedah yang ada termasuklah menerusi SMS dan telefon untuk berkempen.
Selepas pilihanraya, apa yang berlaku ialah, saya tidak lagi dihubungi oleh sama ada calon yang menang apatah lagi calon yang kalah sampai merah mata kerana kekalahannya. Kalau calon yang kalah tidak menghubungi saya dan para pengundi lain tidaklah menghairankan sangat. Calon yang sudah menang dan kini merupakan ahli parlimen di kawasan tersebut turut sama lupa untuk menelefon para pengundinya. Kalau ya pun tak ada masa untuk bertemu muka, apalah salahnya sekali-sekala hantar SMS kepada pengundi berdaftar di kawasannya untuk bertanya masalah, mengucapkan terima kasih atau setidak-tidaknya bertanya khabar. Adakah kami para pengundi hanya diingati sewaktu musim berkempen sahaja?
Apabila saya menerima SMS daripada seorang pengirim yang namanya mirip nama seorang menteri, soalan yang menerpa ke minda saya ialah, adakah tokoh ini akan menjadi calon untuk parti pemerintah di kawasan parlimen ************* dalam pilihanraya yang akan datang? Kalau ia benar-benar terjadi, bakal melepaslah mantan calon BN sebelum ini. Ke manalah dia hendak membawa diri.
Kepada ahli parlimen kawasan *************, adakah nombor telefon kami para pengundi hanya dicari ketika waktu berkempen sahaja? Inilah nasib pengundi, diingati cuma semusim, dilupai bermusim-musim.
Agaknya inilah asam garam fiil orang politik.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment