Esok murid tingkatan 5 seluruh negara akan mula menduduki pepriksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya yakin, di saat ini, para calon sudah berada di tahap kesiap-siagaan yang tertinggi bagi menghadapi peperiksan yang penting itu. Debaran peperiksaan sememangnya lumrah dan merupakan asam garam tatkala hampir ke hari peperiksaan. Namun begitu, sikap sering bertenang dan sentiasa memastikan agar kita tidak berada dalam keadaan tertekan amat penting terutamanya di saat-saat seperti ini.
Pada saat ini juga, strategi ulang kaji yang paling berkesan dan terancang amat diperlukan bagi memastikan kejayaan dalam setiap kertas yang diambil. Jangan terlalu bergantung dan percaya kepada soalan-soalan ramalan. Ia sekadar sebagai panduan umum semata-mata. Kita harus ingat, kejayaan dalam peperiksaan sangat bergangtung kepada kemampuan dan kebijaksanaan kita dalam mengingati segala ilmu yang telah dicurahkan oleh guru. Ini bukannya masa untuk kita bergantung nasib kepada telekan nujum Pak Belalang sahaja.
Selain itu, saya juga amat berharap agar murid-murid dapat mengenepikan segala permasalahan yang sedang melanda. Beri tumpuan yang sepenuhnya kepada peperiksaan yang akan mula dihadapi esok. Jika ada berselisih dengan rakan dan kawan, cepat-cepat minta maaf dan berdamai. Jadi, kita akan lebih damai dan tenteram bila menduduki apa sahaja kertas peperiksaan.
Sokongan para ibu bapa juga amat penting. Selain daripada doa restu, sokongan terbuka seperti kata-kata peransang, bersalaman ketika anak hendak melangkah ke dewan peperiksaan, bertelefon jika anak tinggal jauh di asrama dan sebagainya amat penting dan merupakan penguat semangat anak-anak untuk lebih tenteram dan yakin ketika berada dalam dewan peperiksaan.
Kepada murid seluruh negara, khususnya murid-murid saya sendiri, saya ucapkan selamat menduduki peperiksaan yang akan bermula esok. Ingatlah, niat, usaha, doa, sabar dan tawakal adalah antara resepi terbaik untuk mengecap kejayaan yang hakiki, insha-Allah.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment