Saturday, November 19, 2011

Selamat Menerima Menantu Kepada MSO

Tengah hari tadi, saya sekeluarga berkesempatan untuk menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan MSO. Saya telah pun menerima kad jemputan daripada MSO sejak sebelum hari raya qurban lagi. Sewaktu menerima kad tersebut, saya memberitahu MSO, “Insha-Allah jika tiada aral kami sekeluarga akan hadir”.



Alhamdulillah, walaupun pada hari ini saya agak sibuk mempengerusikan mesyuarat AJK Pusat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), sewaktu mesyuarat berhenti rehat pada jam 1.00 tengah hari saya telah berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan MSO. Majlis berkenaan telah berlangsung di sekitar rumah MSO sendiri.



Sekitar jam 1.20 tengah hari, saya sekeluarga telah pun berada di lokasi majlis. Pada pendengaran saya, majlis berkenaan meriah. Ramai tetamu yang datang. Para pengunjung turut dihiburkan dengan lagu-lagu pengantin selain daripada irama nasyid yang turut sama dikumandangkan. Manakala nasi dan lauk-pauknya pula bagi saya memang menyelerakan.



Oleh kerana tuan rumah majlis ini merupakan seorang penulis dan penganalisis politik tersohor, sudah tentulah ramai para tetamunya terdiri daripada orang politik juga. Yang bagusnya, orang politik daripada fahaman siasah berbeza turut sama meraikan majlis berkenaan.



Maka itu, saya sempat juga bersalaman dan berbicara sepatah dua dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Lembut tutur kata kerabat raja Kelantan ini. Pada pendengaran dan pengamatan saya, tiada riak kesombongan pada diri beliau. Wallahu Aalam.



Kesempatan ini saya ambil untuk mengucapkan tahniah kepada MSO sekeluarga kerana telah selamat menerima menantu kedua mereka. Doa kami semoga jodoh anak menantunya akan berpanjangan hingga ke akhirnya. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada MSO sekeluarga kerana telah memberikan layanan yang baik kepada saya sekeluarga.

Sekitar jam 1.50 tengah hari saya telah meninggalkan lokasi majlis untuk kembali semula ke ibu pejabat PERTIS bagi mempengerusikan mesyuarat sesi petang pula.

No comments: