Setinggi-tinggi syukur kita patut rafakkan ke hadhrat Allah kerana kita masih diberikan peluang oleh-Nya untuk melangkah ke tahun hijrah yang baru, 1433 Hijrah. Amat beruntunglah bagi sesiapa yang memanfaatkan usia yang dipinjamkan dengan berbuat kebajikan serta mencari keredhaan Allah. Sebaliknya, akan kerugianlah bagi sesiapa yang hanya tahu menggunakan usia yang dipinjamkan kepadanya dengan melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah.
Tiada sesiapa pun yang dapat menafikan bahawa peristiwa hijrah yang telah berlaku di zaman Rasulullah mempunyai signifikan yang sungguh besar dan sangat istimewa. Peristiwa hijrah merupakan titik tolak kepada perkembangan seruan dakwah islamiyah yang sedang diusahakan oleh baginda Rasulullah ketika itu. Justeru, terdapat perbezaan yang sungguh nyata dan besar dalam konteks perkembangan Islam di antara masa sebelum hijrah dengan selepas peristiwa hijrah.
Dalam konteks Alquran pula, secara umumnya ia turut dibahagikan kepada dua, iaitu ayat-ayat Makiyah (yang diturunkan di Makkah) dan juga ayat-ayat Madaniyah (ayat-ayat yang diturunkan di Madinah). Sudah semestinyalah pembahagian sedemikian ada kaitan langsung dengan peristiwa hijrah itu sendiri.
Selaras dengan tujuan tersirat hijrah itu sendiri, marilah kita bersama-sama melaksanakan konsep hijrah dalam kehidupan seharian kita. Maknanya, marilah kita bersama-sama menukar sikap, sifat, polisi, perbuatan atau yang seumpamanya daripada buruk kepada baik, daripada baik kepada yang lebih baik dan daripada yang lebih baik kepada yang terbaik semata-mata hanya kerana Allah, Tuhan yang telah menghidupkan kita dan yang akan mematikan kita semua.
Salam dari Kuching.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment