Wednesday, October 23, 2013

Pemilihan Pucuk Pimpinan Tertinggi UMNO: Sekadar Coretan



19 Oktober yang lalu merupakan hari kemuncak kepada rentetan proses memilih barisan pucuk pimpinan dalam UMNO. Ia merupakan detik penting dalam sejarah UMNO itu sendiri. Ini merupakan pemilihan pertama dalaman UMNO era pasca pilihanraya umum ke-13. Apa yang pasti ialah seolah-olahnya menunjukkan bahawa keputusan pilihanraya umum bulan Mei lalu tidak begitu mempengaruhi keputusan pemilihan dalam UMNO kali ini. Walaupun pencapaian UMNO dalam pilihanraya umum berkenaan tidaklah sebagus mana tetapi rata-rata barisan kepimpinannya masih mampu mengekalkan statusquo yang sedia ada. Di sam ping itu, ada calon tertentu yang tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu tetapi masih diberikan kepercayaan dan peluang untuk menerajui salah satu sayap dalam UMNO.

Untuk dua jawatan teratas (presiden dan timbaan presiden), ia telah dimenangi oleh penyandang masing-masing tanpa pertandingan. Sama ada ia bersifat demokratik atau tidak, itu bukan persoalannya. Ini kerana sebahagian ahli UMNO telah bersetuju supaya kedua-dua kedudukan paling atas tidak dipertandingkan. Almaklumlah kalau tak setuju nanti dianggap menentang pula. Berdasarkan keputusan semalam, saya yakin statusquo menang tanpa bertanding ini bukanlah bersifat selama-lamanya. Akan tiba masa dan ketikanya kedudukan dua tempat teratas berkenaan akan dicabar juga, sama ada kedua-dua kedudukan berkenaan atau salah satu daripadanya. Lagipun mencabar kedudukan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan seperti ini tidak bertentangan dengan perlembagaan UMNO.

Untuk tiga kerusi naib presiden pula, nampaknya ketiga-tiga penyandang sebelum ini turut berjaya mengekalkan kedudukan masing-masing. Ketiga-tiga mereka merupakan ahli parlimen dan ada kedudukan dalam kerajaan iaitu berstatus menteri. Ini mungkin merupakan isyarat daripada akar umbi bahawa hanya pemimpin yang sedia ada sahaja yang masih berkeupayaan dan yang harus diberikan kepercayaan untuk menerajui UMNO. Lebih jauh lagi, para pemilih juga menyandarkan harapan tinggi supaya ketiga-tiga naib presiden dapat memacu UMNO ke satu anjakan yang setara dengan tuntutan massa.



Manakala kekalahan Tan Sri Mohd Isa dan Datuk Seri Mohd Ali Rostam pula sudah dijangka lebih awal. Datuk Seri Mohd Ali baru sahaja kalah di parlimen Bukit Katil dan tiada pula jawatan dalam kerajaan. Apabila beliau tewas pula untuk merebut salah satu kerusi naib presiden, maka apa yang menimpa beliau bolehlah diibaratkan bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Hanya Datuk Seri Mohd Ali sahaja yang tahu sakit atau tidaknya. Adakalanya orang politik sukar untuk menokhtahkan kerjaya politiknya. Adakah laluan politik yang semakin menurun yang sedang dilalui oleh Datuk Seri Mohd Ali akan membuatkan beliau mula berfikir untuk bersara dari politik?



Manakala Tan Sri Mohd Isa pula walaupun merupakan ahli parlimen Jempul dan pengerusi FELDA, tetapi beliau juga tidak ada kedudukan dalam kerajaan. Lagipun, kesilapan lamanya dalam UMNO mungkin masih menjadi igauan kepada sebahagian pemilih. Ini mungkin juga isyarat daripada sebilangan ahli UMNO yang tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Percubaan kali pertama Datuk Mukhriz Tun Mahathir untuk menduduki salah satu kerusi naib presiden gagal mungkin disebabkan pengaruh ketiga-tiga penyandang kerusi naib presiden masih kuat. Lagipun masih ada yang mengemukakan teori bahawa populariti politik Datuk Mukhriz masih lagi dibayangi oleh nama dan pengaruh bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Namun begitu Datuk Mukhriz tidak seharusnya berputus asa kerana sekali gagal ia bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya. Lagipun, saya berkeyakinan bahawa beliau akan diberi tempat sebagai salah seorang daripada 10 (kalau saya tidak silap) tempat sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO yang akan dilantik oleh presiden nanti.



Selepas ini Datuk Mukhriz harus mencari identiti sendiri. Beliau tidak boleh lagi hanya bergantung kepada populariti pengaruh dan nama bapanya semata-mata. Oleh kerana pilihanraya kecil DUN Sungai Limau semakin hampir, maka tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa kegagalan Datuk Mukhriz untuk menduduki salah satu kerusi naib presiden UMNO boleh memberi kesan kepada jentera BN untuk pilihanraya kecil berkenaan.

Namun begitu kegagalan Datuk Mukhriz untuk merebut kerusi naib presiden perlu juga dilihat dari sudut yang lain. Mungkin orang yang paling kecewa di atas kegagalan Datuk Mukhriz ialah bapanya sendiri, Tun Mahathir. Kegagalan Datuk Mukhriz kali ini telah membantutkan usaha atau rancangan untuk melonjakkan kedudukan Datuk Mukhriz sendiri ke aras yang lebih tinggi. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa kegagalan Datuk Mukhriz kali ini merupakan kekalahan moral kali kedua kepada Tun Mahathir. Kalau kita masih ingat, beberapa tahun lalu Datuk Mukhriz juga gagal untuk menewaskan Khairy Jamaludin dalam perebutan kedudukan sebagai ketua sayap pemuda. Kali ini Datuk Mukhriz sekali lagi gagal untuk menempatkan dirinya pada salah satu kerusi naib presiden. Moralnya ialah, sebilangan ahli UMNO sendiri enggan menerima peralihan teraju kepimpinan dalam parti berkenaan yang bercorak warisan.

Dalam sejarah perjalanan UMNO kerusi naib presiden amat penting kerana ia merupakan kedudukan paling strategik untuk meninjau kerusi timbalan presiden dan kerusi presiden dengan lebih jelas lagi. Kepedihan gara-gara kekalahan moral kali ini semakin dirasai oleh Tun Mahathir bilamana Khairy Jamaludin berjaya pula untuk mempertahankan kedudukan selaku ketua pemuda UMNO dengan kemenangan yang cukup bergaya.

Untuk sayap pemuda UMNO pula, kemenangan Khairy Jamaludin turut sudah diramal lebih awal oleh sebilangan penganalisis politik. Ini memandangkan para pencabarnya tidak berkesempatan untuk menunjukkan bakat mereka khususnya dalam politik. Apatah lagi para pencabar beliau merupakan orang yang masih baru dalam politik. Mereka pula tiada jawatan dalam kerajaan. Sepatutnya para pencabar Khairy perlu mengambil iktibar daripada kekalahan Datuk Mukhriz beberapa tahun lalu dalam perebutan jawatan ketua pemuda UMNO.

Beberapa kelebihan yang sememangnya sudah dimiliki Khairy turut membantu kemenangan beliau untuk mempertahankan kerusi ketua pemuda UMNO. Beliau merupakan seorang menteri kabinet. Beliau juga telah membuktikan kesetiaannya yang tulen kepada UMNO. Beliau juga kini lebih bersikap terbuka sama ada kepada kawan mahupun kepada lawan. Inilah yang dikatakan kematangan dalam berpolitik. Keistimewaan seperti ini juga jarang dimiliki oleh sebilangan pemimpin dalam kalangan generasi tua dalam UMNO. Di samping itu, Khairy juga mula menunjukkan kemampuannya dalam mentadbir kementerian yang dikepalainya. Beliau dikatakan punya wawasan yang jelas dalam memacu golongan belia ke arah yang lebih berfokus. Selain itu, wawasannya dalam merancakkan program memajukan sukan juga semakin menyerlah. Saya berpendapat, untuk pemilihan yang akan datang (2016) Khairy sudah boleh membuat persediaan untuk menduduki salah satu kerusi naib presiden UMNO.



Dari aspek yang lain pula, kemenangan Khairy agaknya turut menceriakan bapa mertuanya. Maka berlakulah dua reaksi yang berbeza daripada dua orang mantan presiden UMNO, yang seorang marah-marah, manakala yang seorang lagi tersenyum-senyum.



Bagi sayap wanita UMNO pula, kemenangan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menunjukkan bahawa apa yang beliau alami selama ini langsung tidak mencacatcelakan sokongan golongan wanita dalam UMNO kepada beliau. Bahkan kelakuannya yang telah menyingsing lengan dalam mesyuarat perwakilan wanita UMNO beberapa tahun lalu mungkin dianggap suatu keberanian yang tiada taranya khasnya oleh golongan wanita dalam UMNO. Justeru tidak menghairankan bilamana golongan wanita dalam UMNO masih menaruh kepercayaan besar kepada Datuk Seri Shahrizat untuk memimpin sayap wanita bagi jangka masa beberapa tahun lagi. Beberapa isu yang terpalit kepada beliau selama ini sama sekali tidak mempengaruhi undi para pemilih UMNO. Kehebatan beliau dalam mempertahankan kerusi ketua wanita UMNO juga turut terserlah. Beliau sememangnya tiada sebarang jawatan dalam kerajaan. Hanya berstatus mantan menteri sahaja. Beliau juga tidak bertanding dalam pilihanraya umum yang lalu. Keupayaan beliau dalam mempertahankan kedudukannya selaku ketua wanita UMNO dalam situasi sedemikian cukup mengkagumkan.

Mungkin apa yang diharapkan oleh para ahli UMNO peringkat akar umbi ialah perubahan kepada UMNO itu sendiri. UMNO harus berubah agar sentiasa relevan dengan kehendak semasa. Para pemimpin atasan UMNO seharusnya lebih terbuka untuk mendengar pandangan golongan muda dalam UMNO. Itu yang sepatutnya berlaku dan dilakukan.

Walau bagaimanapun, berdasarkan barisan kepimpinan yang baru sahaja terpilih, sasaran perubahan yang diharapkan mungkin sukar untuk dicapai. Untuk menuju ke arah perubahan yang hakiki, beberapa masalah utama yang sedang menunjangi parti tersebut harus diselesaikan secara total. Amalan politik wang dikatakan masih belum reda. Perbuatan menikam dari belakang masih berleluasa. Penguasaan keturunan golongan bangsawan juga tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan. Kejayaan mengekalkan statusquo yang ada bermakna kesukaran melakukan anjakan perubahan yang lebih relevan.

Sama ada kita suka atau tidak, hakikatnya apa yang berlaku dalam UMNO tetap mempunyai implikasi terhadap negara kita secara keseluruhannya. Maka itulah tidak menghairankan bilamana pemilihan pucuk pimpinan UMNO baru-baru ini diperhatikan dari dalam dan diintai dari luar.

Thursday, October 17, 2013

PERTIS Dan Al-Tasneem


Pada 28 September yang lalu, pen pembaca Alquran untuk golongan cacat penglihatan telah diperkenalkan. Semenjak itu, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Di samping itu, pelbagai maklum balas turut diterima khususnya daripada mereka yang telah membeli set pen berkenaan. Secara umumnya, maklum balas berkenaan lebih tertumpu kepada saranan ke arah penambahbaikan penggunaan pen itu sendiri. Ada juga kalangan pengguna yang sanggup online menerusi telefon sekitar setengah jam lamanya hanya semata-mata untuk sesi pengajaran bagi kaedah penggunaan yang betul. Demikianlah antara rencah-rencah sambutan yang telah diterima daripada kalangan penggunanya setakat ini.



Oleh kerana hangatnya sambutan daripada golongan sasar, ada di antara mereka yang sanggup pergi sendiri ke pejabat Altasneem di Taman Melati Utama untuk pelbagai tujuan. Ada yang datang untuk menukar pen yang rosak. Ada yang datang untuk mengemukakan pelbagai saranan untuk memantapkan lagi aplikasi pada pen berkenaan. Ada juga yang datang dengan menyarankan supaya kegunaan pen berkenaan diperluaskan lagi dan tidak hanya terhad kepada sebagai pembaca alquran sahaja.

Untuk melancarkan lagi promosi pen berkenaan, maka baru-baru ini satu pertemuan telah diadakan di antara pihak PERTIS dan Altasneem. Tujuan utama perbincangan tersebut ialah untuk mencari kaedah bagi memenuhi saranan yang telah diutarakan oleh pengguna pen berkenaan. Ini membuktikan bahawa Altasneem tidak mendengar segala saranan yang diutarakan dengan sebelah telinga sahaja. Apabila sesuatu saranan dikemukakan, maka kesesuaian pelaksanaannya perlu dihalusi bagi kepentingan kedua-dua pihak, yang memberi saranan dan juga yang akan melaksanakan saranan berkenaan. Demikianlah.

Antara yang telah diputuskan menerusi perbincangan tersebut ialah, pihak Altasneem bersetuju untuk mengadakan satu lagi sesi sebagaimana yang telah dianjurkan pada 28 September yang lalu. Tujuan utama sesi kali ini ialah untuk mendengar sendiri maklum balas daripada mereka yang telah menggunakan pen berkenaan. Berdasarkan pengalaman pada sesi lepas, pihak Altasneem juga telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada tunjuk ajar bagi kaedah penggunaan yang betul khusus kepada mereka yang telah membeli set pen berkenaan.

Walau bagaimanapun, tarikh untuk sesi kali kedua ini belum ditetapkan lagi. Kedua-dua pihak (PERTIS dan Altasneem) bersetuju untuk menganjurkan sesi berkenaan secepat yang boleh. Kedua-dua pihak juga bersetuju iaitu jika segalanya berjalan lancar, sesi kedua kali ini juga akan diadakan di tempat yang sama sebagaimana sesi yang lepas.

Selain itu, kedua-dua pihak juga secara umumnya turut bersetuju untuk memilih Kuala Terengganu sebagai lokasi pertama untuk sesi promosi ini diadakan di luar Lembah Kelang. Ini memandangkan permintaan yang tinggi yang telah diterima khususnya daripada ahli-ahli PERTIS Terengganu. Menurut rancangan, sesi ini akan diadakan pada separuh kedua bulan November nanti, insha-Allah.

Di samping itu, pihak Altasneem juga bersetuju untuk mencari jalan dan kaedah bagi membolehkan mereka yang berpenglihatan terhad (rabun) untuk akses kepada Alquran bertulisan biasa yang disertai dengan pen pembaca Alquran. Antara cadangan yang telah diketengahkan ialah dengan membesarkan tulisan pada Alquran berkenaan. Ia mungkin akan menyebabkan berlaku sedikit kenaikan kos. Kepada mereka yang berkepentingan dengan kaedah ini juga boleh hadir pada sesi pertemuan kali kedua nanti dan seterusnya mengajukan sendiri cadangan sebegini kepada pihak Altasneem.

Perlu saya tegaskan di sini bahawa peranan saya dan juga PERTIS dalam mengenengahkan beberapa inovasi yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan seperti pen pembaca Alquran dan juga panel E-Braille Teaching Aid amatlah kecil. Kami tidak terlibat secara aktif sebagai kumpulan penyelidik. Apa yang kami buat hanya sekadar memberi nasihat dan pandangan khususnya yang berhubung dengan aspek Braille itu sendiri. Ia adalah untuk kepentingan kumpulan penggunanya iaitu golongan yang cacat penglihatan. Jadi tidak perlulah ada mana-mana pihak yang cuba menabur tohmah kononnya melalui projek-projek seperti ini saya telah mengaut keuntungan peribadi. Jika segala fakta dan data diketengahkan, kelak individu yang menabur tohmah itu juga yang menanggung malu.

Kalau tak mahu ingat pada Quran dan hadith, ingat-ingatlah pada pesan orang tua-tua, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan celaka!!!

Sunday, October 13, 2013

Salam Aidil Adha 1434 Hijrah



Jika diizinkan Allah, pada 15 Oktober 2013 ini (10 Zulhijjah), seluruh umat Islam di Malaysia akan menyambut hari raya aidil adha 1434 Hijrah. Selain di negara kita, kebanyakan umat Islam di negara-negara lain juga akan menyambut perayaan aidil adha pada tarikh yang sama. Sementelahan pula, hari wuquf (9 Zulhijjah) jatuh pada 14 Oktober.



Ibadah Haji merupakan rukun kelima dalam senarai rukun Islam. Mereka yang berkemampuan diwajibkan mengerjakan haji sekali seumur hidup. pada setiap musim haji, umat Islam dari seluruh pelusuk dunia akan berhimpun di Makkah untuk melaksanakan ibadah-ibadah tertentu. Ini merupakan perhimpunan terbesar manusia di peringkat antarabangsa. Kemuncak kepada perhimpunan tersebut ialah apabila para jemaah haji berhimpun di tempat yang sama iaitu di padang Arafah pada tarikh yang sama iaitu pada 9 Zulhijjah. Inilah yang dikatakan wuquf.



Wuquf di Arafah merupakan salah satu daripada rukun haji. Pada 9 zulhijjah, seluruh umat Islam yang sedang mengerjakan haji di Makkah akan bergerak ke Arafah untuk berwuquf. Mana-mana jemaah haji yang gagal berwuquf maka luputlah ibadah hajinya. Setelah selesai wuquf, para jemaah haji akan mula bergerak ke Muzdalifah dan seterusnya akan ke Mina untuk ibadah seterusnya. Kesemua peristiwa ini hanya berlaku di Makkah sahaja. Tidak mungkin akan berlaku di tempat lain.

Satu lagi ibadah yang punya kaitan rapat dengan musim haji ialah ibadah qurban. Ibadah ini boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja. Waktu untuk melaksanakan ibadah ini ialah bermula selepas solat sunat aidil adha hingga habis waktu asar hari tashrik ketiga (13 Zulhijjah). Sesiapa yang berkemampuan disunatkan untuk melaksanakan ibadah qurban. Fadhilatnya memang besar dan banyak. Tahukah kita bahawa Nabi Muhammad S.A.W. merupakan titisan zuriat yang diselamatkan Allah daripada dua peristiwa qurban?



Satu lagi kelebihan yang ada pada bulan Zulhijjah ialah di mana terdapat 4 hari berturut-turut di mana umat Islam diharamkan berpuasa pada hari-hari berkenaan. Hari-hari yang dimaksudkan ialah pada 10 Zulhijjah (hari raya aidil adha) dan diikuti 3 hari selepasnya yang juga dikenali sebagai hari tashrik.

Bersempena dengan perayaan aidil adha tahun 1434 ini, saya mengucapkan selamat menyambut hari raya aidil adha kepada seluruh umat Islam di mana jua anda berada. Ucapan yang sama juga saya tujukan kepada seluruh ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di seluruh negara. Pada masa sama, marilah kita sama-sama memanjatkan doa ke hadhrat Ilahi semoga semua umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah haji di Makkah akan selamat dan akan mendapat haji yang mabrur.


Monday, October 7, 2013

Menghadiri Ceramah Mengenai Ibadah Qurban Anjuran PERTIS



Pada 6 Oktober 2013 (Ahad) yang lalu, saya berkesempatan menghadiri majlis ceramah mengenai ibadah qurban. Ia adalah anjuran Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) pusat. Majlis berkenaan telah diadakan di dewan utama, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.



Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Zamzuri. Kemudian ia telah diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Alquran oleh Nurfarihan Ahmad Zaini.



Penceramah jemputan ialah Ustaz Mashadi. Beliau merupakan seorang penceramah bebas. Beliau pernah berkhidmat dalam pasukan polis Diraja Malaysia selama sekitar 15 tahun. Kini beliau merupakan pendakwah bebas sepenuh masa.



Banyak juga ilmu yang telah beliau kongsikan bersama-sama hadirin. Ia berkisar di sekitar ibadah qurban dan juga sambutan perayaan aidil adha. Selain itu, penceramah juga tidak keberatan untuk menjawab beberapa soalan yang telah ditanyakan oleh beberapa orang yang hadir. Rata-rata sambutan daripada hadirin memuaskan.



Setelah selesai ceramah, majlis telah disisipkan dengan penyampaian pen pembaca Alquran secara percuma kepada 5 orang penerima yang telah terpilih. Selain itu, sumbangan ini juga turut dipanjangkan kepada individu yang telah berjasa besar dalam memartabatkan Alquran Braille khususnya di peringkat PERTIS sendiri. Antara kriteria pemilihan penerima ialah mereka yang terlibat secara aktif dalam kelas Alquran Braille anjuran PERTIS sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri. Kelima-lima penerima berkenaan ialah:



1. Tn. Hj. Muhammad Lee bin Abdullah.



2. En. Mohd Amin bin Md Nor.
3. En. Mohd Khairi bin Sulaiman.



4. Ustaz Sharif bin Baharom.



5. En. Samsudin bin Abdul Wahab (PERTIS Terengganu).

Dalam majlis berkenaan juga, En. Khairi dan Ustaz Sharif telah diwakili oleh Saudara Akmal Azhar yang menerimanya bagi pihak kedua-dua penerima berkenaan. Manakala Cik Lele Suyarni pula telah menerima bagi pihak En. Samsudin Wahab.



Dari segi sambutan dan kehadiran pula, menurut anggaran saksi mata, sekitar 80 orang telah menghadiri majlis berkenaan. Mudah-mudahan apa yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan akan benar-benar memberi manfaat khususnya kepada yang hadir. Manakala mereka yang telah hadir pula, sebaik-baiknya hendaklah menyampaikan pula apa yang didengar kepada orang lain yang tidak hadir dalam majlis berkenaan. Barulah berpanjangan barakah ilmu yang kita dapat.



Bagi pihak PERTIS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras menjayakan majlis ceramah berkenaan. Ia termasuklah pengacara majlis, qariah, AJK yang hadir serta mereka yang telah menghulurkan bantuan secara sukarela dalam apa jua bentuk.

Terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada mereka yang telah melapangkan masa untuk hadir ke majlis berkenaan. Untuk ke sekian kalinya saya ingin nyatakan bahawa tanpa sokongan daripada kalian sudah tentulah majlis berkenaan tidak bermakna. Sesungguhnya keutuhan persatuan kita amat bergantung kepada kesepaduan di antara ahlinya dengan AJK yang sedang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan persatuan ini.

Tuesday, October 1, 2013

Selamat Menduduki PMR



Mulai 2 Oktober, semua murid tingkatan 3 seluruh negara akan mula menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Peperiksaan ini akan berlangsung sekitar dua minggu lamanya.



Kepada semua murid yang bakal terlibat dengan PMR di seluruh negara, khususnya murid di sekolah tempat saya sedang bertugas, saya ucapkan selamat menempuh peperiksaan tersebut. Saya yakin, semua murid sudah membuat persediaan rapi untuk menghadapi peperiksaan berkenaan. Pesanan dan taklimat daripada semua guru yang terbabit juga sudah dilaksanakan. Kini terserah sepenuhnya kepada murid itu sendiri untuk meraih bentuk kejayaan yang diidamkan. Saya juga yakin, para ibu bapa yang terlibat juga sudah membuat persediaan rapi bagi memastikan anak-anak mereka dapat menduduki peperiksaan dengan tenang dan bersemangat.



Kepada semua murid, saya mendoakan semoga kalian akan beroleh kejayaan yang cemerlang kelak.