Sunday, June 7, 2015

Pasca Muktamar PAS Ke-61




Semalam (6 Jun 2015) merupakan hari terakhir muktamar PAS kali ke-61 yang telah berlangsung di stadium tertutup, Kuala Selangor. Selepas berakhirnya muktamar berkenaan, ada dua perkara penting yang seharusnya diambil perhatian. Pertamanya ialah barisan AJK Pusat terkini yang telah terpilih bagi menerajui PAS hingga tahun 2017. Kedua ialah kelulusan salah satu usul iaitu memutuskan hubungan politik dengan DAP tetapi kekal dalam Pakatan Rakyat.

Berdasarkan senarai AJK PAS Pusat yang terpilih, terserlah di sini penguasaan oleh apa yang disebut sebagai kumpulan ulamak dalam kepimpinan PAS untuk sesi kali ini. Bagi saya, apa yang agak memeranjatkan ialah ketewasan para pencabar dengan jumlah margin yang besar. Sebagai contoh, Datuk Seri Tuan guru Abdul Hadi berjaya menewaskan lawannya, Ustaz Haji Ahmad Awang, dengan majoriti sekitar 595 undi. Manakala bagi jawatan timbalan presiden pula, kemenangan Datuk Tuan Ibrahim yang berjaya menewaskan penyandang sebelumnya, Haji Mohamad Sabu, dengan majoriti sekitar 604 undi.

Ada seorang penganalisis politik menyifatkan sesi pemilihan kali ini ialah kejayaan PAS menghapuskan apa yang disebut sebagai “kumpulan ANWARINAS” secara demokratik. Lebih jauh lagi, ada yang berpandangan, dengan selesainya sesi pemilihan kali ini, ia menandakan berakhirnya pengaruh Datuk Seri Anwar dalam PAS. Ini kerana mereka yang bersimpati dengan Datuk Seri Anwar telah tewas dan dengan itu akan berakhirlah juga pengaruh tokoh de fakto tersebut dalam PAS.

Dari satu segi, pendapat di atas seakan ada kebenarannya. Namun demikian, kita harus ingat, tempoh berkuasa barisan kepimpinan sekarang hanya dua tahun sahaja. Sekiranya ada yang tidak kena pada rentak pimpinan yang ada sekarang, keadaan boleh berubah melalui kaedah demokrasi juga. Berakhir atau tidaknya pengaruh Datuk Seri Anwar dalam PAS selepas ini akan bergantung kepada peranan oleh kumpulan yang masih bersimpati dengan beliau di luar barisan kepimpinan yang ada sekarang.

Sekiranya perbezaan antara kumpulan ulamak dengan kumpulan profesional dibiarkan terus menjurang, maka ia merupakan sesuatu yang kurang sihat dalam PAS itu sendiri. Kita tidak boleh menafikan peranan besar yang telah dimainkan oleh kumpulan profesional dalam membawa PAS ke mercu seperti yang ada sekarang. Selepas ini barisan kepimpinan yang ada harus mencari jalan bagi merapatkan semula jurang yang ada. Biarlah situasi akan kembali semula seperti kata orang, biduk berlalu kiambang bertaut. Sekiranya selepas biduk berlalu tetapi kiambang tidak bertaut juga, maka ia alamat kepada kehancuran PAS itu sendiri. Dari satu segi, undi para perwakilan dalam muktamar baru-baru ini bukan cerminan sebenar aspirasi majoriti ahli bawahan PAS.

Selain itu, tugas barisan kepimpinan yang ada sekarang juga akan bertambah rumit dan berat sekiranya pilihanraya umum selanjutnya diadakan lebih awal daripada tarikh matangnya. Hal ini merupakan sesuatu yang amat tidak mustahil. Keadaan politik UMNO/BN yang ada sekrang juga turut memungkinkan pilihanraya umum diadakan setahun lebih awal. Jika hal ini benar-benar berlaku, maka tanggungjawab barisan pimpinan yang ada amat berat. Kegagalan atau kejayaan PAS dalam pilihanraya umum selanjutnya amat bergantung kepada sejauh mana barisan pimpinan yang ada memacu PAS ke arah hala tuju yang boleh diterima bukan sahaja oleh para ahli PAS, tetapi oleh seluruh pengundi kelak. Pilihanraya umum sama sekali tidak sama dengan pemilihan dalam muktamar PAS. Kalau salah percaturan, apa yang sedang dikendong sekarang boleh keciciran dibuatnya.

Di samping itu, ada ura-ura konon khabarnya barisan pimpinan PAS yang ada sekarang akan menyokong kedudukan Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri. Hal ini berdasarkan beberapa kenyataan oleh presiden PAS sendiri. Mungkin sokongan yang diberi kepada kepimpinan negara yang ada sekarang mempunyai udang di sebalik batu. Maklumlah, kalau tak ada apa-apa, tak akan tempua bersarang rendah. Sebab-musabab mengapa presiden PAS pernah membuat kenyataan untuk terus menyokong perdana menteri yang ada sekarang tidaklah diketahui dengan pasti. Kalau beliau berhasrat untuk menjadi menteri pusat, PAS harus menyertai BN terlebih dahulu ataupun mereka yang berkenaan harus menyertai UMNO. Kalau sokongan tersebut dengan harapan agar kerajaan pusat menyokong pula pelaksanaan enakmen kanun jenayah syariah di Kelantan, bagi saya ia adalah satu percaturan yang silap. Sesungguhnya pelaksanaan hukum Allah di mana-mana muka bumi ini tidak boleh diselitkan dengan apa-apa kepentingan lain. Mungkin sokongan kerajaan pusat juga dibuat kerana terdesak dan bukannya kerana benar-benar untuk melaksanakan hukum Allah tersebut. Ini kerana, jika pihak pusat benar-benar ingin melihat hukum tersebut dilaksanakan, maka sudah lama ia memberi sokongan terhadap pelaksanaannya. Hal inilah yang perlu ditimbang dengan teliti dan diperhalusi. Jangan sekali-kali bergayut pada dahan yang rapuh, nanti jatuh ke bumi sakit sendiri.

Walau apa pun, kita ucap selamat bekerja kepada barisan pimpinan PAS yang baru terpilih. Kegagalan atau kejayaan PAS untuk tempoh dua tahun ini sepenuhnya berada di bahu kalian. Mudah-mudahan barisan pimpinan yang didominasi oleh golongan alim ulamak akan sentiasa mendapat petunjuk serta taufiq dan hidayah daripada Allah.


Keputusan Pemilihan AJK Pusat PAS 2015-2017

Presiden

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang 928
Ustaz Ahmad Awang 233

Timbalan Presiden

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man 881
Mohamad Sabu 279

Naib Presiden

Ustaz Idris Ahmad 896
Datuk Mohd Amar Abdullah 710
Datuk Iskandar Abdul Samad 672
Salahuddin Ayub 435
Datuk Mahfuz Omar 378
Datuk Husam Musa 317

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (dipilih)

1. Nasruddin Hassan 782
2. Dr Riduan Mohd Noor 782
3. Datuk Nasruddin Daud 777
4. Sallehen Mukhyi 763
5. Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh 749
6. Datuk Dr Khairuddin Aman Razali 736
7. Datuk Dr Fadhli Hasan 722
8. Datuk Abdullah Hussin 679
9. Razman Zakaria 674
10. Dr Mohd Zuhdi Marzuki 670
11. Ustaz Mokhtar Senik 656
12. Zaharuddin Muhammad 611
13. Dr Ali Akbar Gulasan 596
14. Mazlan Aliman 593
15. Dr Rosni Adam 590
16. Mohd Noor Mohamad 566
17. Muhamad Sanusi Md Nor 556
18. Nor Azli Musa 544

(Sumber: Harakahdaily.net).


Saturday, June 6, 2015

Program "Nothing To Hide": Apa Sudah Jadi




Khabarnya pagi semalam telah berlangsung satu program untuk menemukan antara dua tokoh berkaitan dengan isu negara khususnya yang menyentuh 1MDB. Seorang tokoh namanya Tun Dr. Mahathir, mantan perdana menteri Malaysia dan seorang lagi tokoh ialah Datuk Seri Mohd Najib, perdana menteri sekarang. Mungkin tujuan program semalam ialah untuk mencari bukti lebih kukuh dakwaan tokoh mana yang benar dan sebaliknya.

Nampaknya Tun Dr. Mahathir lebih gentle bilamana beliau telah hadir dalam program semalam. Manakala Datuk Seri Najib pula tak muncul kelibatnya. Demikian apa yang dikhabarkan. Lebih jauh lagi, Tun Dr. Mahathir sempat bercakap untuk beberapa minit. Belum pun sempat tamat muqadimah, beliau (Tun) telah diminta supaya berhenti daripada bercakap. Akhirnya program terpaksa dibubarkan. Nampaknya pihak polis telah bertindak secara berdiplomasi. Maka itu tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku di lokasi program.

Situasi yang lebih kurang serupa biasa berlaku sebelum ini. Bezanya sebelum ini pihak polis akan membubarkan himpunan yang dianjurkan oleh pihak pembangkang. Maklumlah himpunan yang tidak dapat permit harus dibubarkan berlandaskan undang-undang. Soal susah atau senang untuk mendapatkan permit perhimpunan, itu cedrita lain pula.

Pembatalan program “Nothing To Hide” semalam mempunyai kesan yang tersendiri. Apa yang terserlah di sini ialah keberanian Tun Dr. Mahathir untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja khususnya bila membabitkan isu-isu negara. Walaupun darah yang mengalir dalam tubuhnya bukannya darah Bugis, tetapi keberaniannya menghadapi sesiapa sahaja secara diplomasi amat dikagumi oleh sebilangan besar rakyat. Beliau tidak pernah membangga-banggakan jenis darah yang sedang mengalir dalam tubuhnya. Kelantangan suara beliau hatta ke peringkat antarabangsa amat terserlah sejak dari dahulu lagi. Kalau kita teliti cara beliau berucap, Tun Dr. Mahathir tidak banyak berseloka, bermadah atau berpantun. Namun demikian, isi ucapannya padat dan kadangkala berupaya menerobos hingga ke tulang sumsum para pemimpin peringkat antarabangsa. Kelebihan yang dimiliki olen Tun Dr. Mahathir seperti inilah yang perlu diteliti dan diperhalusi sebelum mana-mana individu berhasrat untuk berhadapan dengan beliau di mana-mana meja perbincangan atau forum.

Seperti juga pandangan ramai rakyat Malaysia yang lain, pembatalan program “Nothing To Hide” semalam atas alasan keselamatan sukar untuk diterima. Bagi saya, lokasi program merupakan antara tempat yang paling selamat. Ia dikawal rapi 24 jam. Lagipun, setakat yang saya maklum, bukan semua orang boleh masuk ke lokasi program. Kalau tempat dan ruang sudah penuh, semakin sukarlah untuk orang yang tidak ada kad jemputan untuk masuk dan mengikuti program berkenaan secara lebih dekat lagi.

Lagipun, setakat yang dimaklumi, sebahagian daripada hadirin yang datang merupakan ahli-ahli UMNO juga. Tiada langsung ancaman daripada parti-parti pembangkang. Jadi bagaimana situasi sedemikian boleh mengancam keselamatan? Hal inilah yang sedang bermain ligat di benak ramai rakyat Malaysia.

Kalau diikuti komen daripada orang ramai mengenai pembatalan program semalam di media sosial, memang hebat dan dahsyat. Berkoyan-koyan kutukan dihamburkan ke atas perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib. Puncanya kerana kegagalan beliau untuk hadir dalam program “Nothing To Hide” yang diadakan semalam. Adakah darah Bugis yang sedang mengalir di tubuh beliau sudah hilang sel darah merahnya? Adakah perahu yang sudah terkembang layarnya rosak di tengah lautan? Sebelum ini, Datuk Seri Mohd Najib begitu seronok dengan sorakan sokongan sekitar 40 ribu orang. Mengapa semalam beliau seakan gentar dengan sorakan sekitar seribu lima ratus orang? Namun begitu, kita juga jangan lupa pepatah orang tua-tua, bukan tunduk sebarang tunduk, tunduk mungkin untuk menanduk.

Kita juga harus ingat bidalan orang tua-tua kita, berani kerana benar dan takut kerana salah. Tun Dr. Mahathir sudah menunjukkan keberanian beliau dengan hadir ke program semalam. Di kaca mata orang ramai, Tun Dr. Mahathir sedang berada atas landasan yang benar. Sebab itu beliau berani berhadapan dengan sesiapa sahaja bila membabitkan isu negara. Manakala kegagalan Datuk Seri Najib untuk hadir dalam program semalam dianggap takut untuk berhadapan dengan realiti dan isu yang sedang membelenggu diri dan kepimpinan beliau.

Kalau di Barat, perbahasan terbuka yang membabitkan isu-isu negara merupakan perkara biasa. Bahkan perbahasan sedemikian disiarkan secaralangsung di kaca-kaca TV. Jadi rakyat boleh membuat penilaian sendiri tentang apa yang dibahaskan oleh para pemimpin mereka. Kegagalan mana-mana pemimpin untuk hadir dalam forum terbuka seperti program semalam merupakan satu aib yang cukup besar.

Setakat ini Tun Dr. Mahathir masih bernasib baik kerana beliau adalah mantan perdana menteri. Sekiranya beliau merupakan pemimpin pembangkang, mungkin sudah lama beliau merengkok di mana-mana sel tahanan.

Boleh tonton di sini

Friday, June 5, 2015

Penerima Anugerah Khas PERTIS 2015




Sejak tahun 2010 lagi, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah mula memberikan anugerah yang lebih dikenali sebagai Anugerah Khas PERTIS. Ia dianugerahkan kepada golongan yang berpenglihatan yang banyak menabur jasa, bakti serta menyumbang kepada kesejahteraan hidup mereka yang tidak berpenglihatan. Lazimnya anugerah berkenaan akan disampaikan bersempena dengan majlis perasmian mesyuarat agung tahunan PERTIS. Manakala penerimanya pula boleh terdiri sama ada institusi ataupun individu. Dalam majlis perasmian mesyuarat agung tahunan kali ke-20 pada 31 Mei lalu, dua penerima Anugerah Khas PERTIS telah dipilih dan seterusnya telah menerima anugerah berkenaan.

Penerima Anugerah Khas PERTIS 2015 yang pertama ialah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Hubungan akrab antara PERTIS dan JAWI sememangnya sudah lama terjalin iaitu sejak seawal penubuhan PERTIS itu sendiri. Bantuan dan sumbangan JAWI terhadap PERTIS dan golongan cacat penglihatan beragama Islam sememangnya sudah pun bermula Sejak bermulanya hubungan antara kedua-dua pihak hampir dua dekad yang lalu.

Jawi merupakan badan yang paling banyak menaja penganjuran pelbagai majlis di bawah kendalian PERTIS. Bantuan sedemikian tidak terhad pada masa tertentu sahaja. Bahkan ia terus berjalan sepanjang masa. Antara majlis anjuran PERTIS yang sering mendapat bantuan daripada pihak Jawi termasuklah penganjuran majlis pelbagai ceramah, majlis sambutan hari raya, majlis berbuka puasa dan sebagainya.

Di samping itu, pihak Jawi juga terlibat secara aktif dalam penganjuran kelas Alquran (Alquran Braille) di bawah kendalian PERTIS. Antara bantuan yang dihulurkan ialah pembiayaan elaun tenaga pengajar untuk kelas Alquran berkenaan. Manakala tenaga pengajarnya pula merupakan ahli-ahli PERTIS sendiri yang berkelayakan untuk menggalas tanggungjawab selaku pengajar.

Selain itu, pihak Jawi juga tidak jemu-jemu memberikan khidmat nasihat dan pandangan bila diperlukan oleh PERTIS dalam pelbagai perkara yang mempunyai kepentingan bersama. Ada ketikanya kakitangan Jawi tidak keberatan untuk menyertai program anjuran PERTIS dan sanggup bermalam bersama-sama dengan para peserta yang terlibat.

Memandangkan hubungan yang terjalin sudah lama serta sumbangan yang berterusan, maka amat wajarlah kali ini Jawi diberi anugerah dengan Anugerah Khas PERTIS 2015.

Penerima Anugerah Khas PERTIS 2015 yang kedua pula ialah Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy bin Md Zain.

Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy bin Md Zain dilahirkan di Kangar, Perlis, pada 8 Ogos 1977. Beliau telah menerima pendidikan rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sahabat 16, LahadDatu, Sabah. Beliau telah melanjutkan pelajarannya di Sekolah Menengah Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Pada tahun 1999, Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy telah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Mekanikal, dari Universiti Teknologi Malasia (UTM), Johor. Pada tahun 2003 pula, beliau telah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Sistem Kawalan, dari University of Sheffield, United Kingdom. Pada tahun 2006 pula, ketika berusia 29 tahun, beliau telah berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah Sistem Kawalan, juga dari University of Sheffield, United Kingdom. Kini beliau bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Hubungan antara Prof. Madya Dr. Zarhamdy dengan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) mula terjalin sejak tahun 2009. Sejak itu, beliau telah memberi sumbangan yang besar dan cukup bermakna kepada PERTIS khususnya dan kepada masyarakat cacat penglihatan amnya.

Prof. Madya Dr. Zarhamdy banyak menghasilkan kertas kerja khususnya berkaitan hasil penyelidikannya tentang teknologi yang boleh membantu golongan cacat penglihatan yang telah dibentangkan dalam pelbagai seminar, bengkel dan sebagainya. Antaranya termasuklah:
a. User Friendly System for the Visually Impaired in Learning Al-Quran yang telah dibentangkan dalam seminar WSEAS TRANSACTIONS on SYSTEMS;
b. Development of Piezoelectric Braille Cell Control System using Microcontroller Unit (MCU) yang juga telah dibentangkan dalam seminar WSEAS TRANSACTIONS on CIRCUITSAND SYSTEMS;
c. Dedicated Graphical User Interface System for the Visually Impaired User in Learning Al-Quran yang telah dibentangkan dalam 9th WSEAS International Conference on Applications of Computer Engineering, Penang, Malaysia;
d. A Novel Development Of Electronic Braille Al-Quran Teaching Aid yang telah dibentangkan dalam The 2010 Conference on Scientific and Sosial Science Research Kuala Lumpur, Malaysia;
e. KaedahPembelajaran Braille Digital: Ebraille Al-Quran (Digital Braille Educational Solution: Ebraille Al-Quran) yang telah dibentangkan dalam 4th International Conference And Exhibition On Islamic Education;
f. Augmentation Of Qibla Indicator For The Blind yang dibentangkan dalam An International Invention, Innovation & Design 2014 (Icon14);
g. Reliability of Compass Direction for Qibla yang telah dibentangkan dalam International Conference of innovation in science and technology.

Selain menghasilkan kertas kerja seperti di atas, Prof. Madya Dr. Zarhamdy bersama-sama dengan kumpulan penyelidiknya turut menghasilkan beberapa peralatan berteknologi tinggi khas untuk manfaat golongan cacat penglihatan. Antaranya termasuklah:
(1) Panel E-Braille Quran. Selama ini golongan cacat penglihatan menggunakan Alquran cetakan Braille yang terdiri daripada 6 jilid dengan beratnya hampir 10 kg untuk senaskah lengkap. Dengan Panel e-Braille Quran ini, seluruh Alquran Braille dimuatkan dalam sebuah panel yang bersaiz laptop dengan beratnya hanya sekitar 1.5 kg sahaja. Panel ini boleh dikendalikan dengan mudah. Selain berupaya menimbulkan ayat-ayat Alquran dalam bentuk tulisan Braille, ia turut dilengkapi dengan sistem audio yang memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Alquran Alkarim.
(2) Kompas penunjuk arah kiblat yang membolehkan golongan cacat penglihatan mencari arah kiblat secara bersendirian. Buat masa ini kegunaan alat tersebut hanya terhad di sekitar Asia Tenggara sahaja.
(3) Beliau serta beberapa ahli kumpulan penyelidiknya sedang membangunkan kompas kiblat generasi kedua juga khusus untuk golongan cacat penglihatan. Antara ciri-ciri kompas generasi kedua ini ialah ia lebih peka dengan arah kiblat, boleh digunakan di negara mana sahaja, bersaiz lebih kecil dan mudah dibawa dan mudah untuk dikendalikan.

Setakat yang diketahui, Panel e-Braille Quran dan kompas penunjuk arah kiblat merupakan alat pertama seumpamanya di dunia. Apa yang lebih membanggakan ialah ia merupakan kreativiti dan inovasi anak tempatan.

Sesungguhnya seluruh warga cacat penglihatan di negara ini merasa amat bersyukur dan sangat bertuah kerana dipertemukan dengan pihak seperti Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan juga insan seperti Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy. Keikhlasan mereka dalam membantu kehidupan golongan cacat penglihatan amat dihargai dan akan dikenang buat selama-lamanya. Seluruh warga PERTIS khasnya dan golongan cacat penglihatan umumnya sentiasa berdoa semoga kedua-dua pihak akan menerima balasan yang sebaiknya daripada Allah dan akan beroleh kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Penerima Anugerah Khas PERTIS 2015

Yayasan Alfitrah



Pada 2 Jun (Selasa) yang lalu, saya berkesempatan mengunjungi Yayasan Alfitrah. Ia terletak di sekitar Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Ini merupakan kunjungan saya kali kedua ke sini. Pada 15 November 2014 yang lalu, saya bersama Cikgu Mohd Jais pernah ke sini untuk menghadiri majlis doa selamat bersempena pembukaan pejabat yayasan berkenaan. Lebih jauh lagi, sewaktu cadangan untuk membuka yayasan ini, pandangan saya juga pernah ditanya mengenai masa hadapan yayasan ini oleh salah seorang pengasasnya jika cadangan untuk mewujudkannya menjadi realiti.



Kunjungan saya kali ini juga atas jemputan pengurusnya, En. Mohd Rafi. Selain beliau, terdapat 2 lagi kakitangan di yayasan ini. Mereka ialah En. Mohd Firdaus Khairi selaku kakitangan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal percetakan dan juga Cik Azimah kakitangan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perkeranian. Selain daripada peralatan komputer, yayasan ini juga turut mempunyai 3 unit embosser (printer untuk mencetak bahan Braille).



Antara fungsi utama yayasan ini ialah untuk menghasilkan bahan-bahan bacaan yang bertemakan Islam dalam bentuk Braille. Ia juga bertujuan untuk berfungsi sebagai pusat sumber bagi bahan-bahan bercetak Braille yang bertemakan Islam pada masa hadapan. Dengan erti kata lain, penubuhan yayasan ini adalah bertujuan untuk menghasilkan koleksi bahan bacaan yang berorientasikan Islam dalam bentuk Braille bagi memenuhi kekurangan yang ada ketika ini.

Setelah beroperasi beberapa bulan, beberapa bahan bacaan sudah berjaya dihasilkan oleh yayasan ini. Antaranya termasuklah kitab surah Yasin dan tahlil, kitab yang mengandungi surah-surah terpilih, kitab solat jenazah, Muqaddam dan beberapa judul lagi. Selain itu, yayasan ini juga turut menghasilkan Alquran Braille yang lengkap jilid dan juzuknya. Alquran Braille yang dicetak di sini mengandungi 6 jilid dan dicetak dalam bentuk double sided.

En. Mohd Rafi merupakan seorang yang berpengalaman dalam menguruskan institusi seperti ini. Pengalaman luas yang pernah ditimba di tempat lain kini dicurahkan pula dalam menguruskan Yayasan Alfitrah. Berdasarkan perbualan saya dengan beliau, sememangnya En. Mohd Rafi mempunyai visi yang jelas bagi memajukan lagi yayasan ini. Beliau juga turut bersetuju dengan pandangan saya iaitu kewujudan yayasan ini semoleknya akan dapat bekerjasama dengan lain-lain pihak yang mempunyai matlamat dan objektif yang sama. Sekiranya hasrat sebegini dapat dicapai, yang akan untung nanti masyarakat orang buta juga. Sikap cantas-mencantas, persaingan yang tidak sihat serta saling menjatuhkan antara satu sama lain hanya akan merugikan masyarakat kita juga.



Setelah sekitar satu jam, saya pun meminta diri. Sebelum pulang, En. Mohd Rafi turut membekalkan kepada saya beberapa bahan bacaan yang sudah dihasilkan oleh Yayasan Alfitrah. Terima kasih daun keladi saya ucapkan kepada En. Rafi dan Yayasan Alfitrah atas layanan yang mesra di sepanjang kunjungan saya. Mudah-mudahan hasrat baik yayasan ini akan tercapai suatu hari nanti.


Wednesday, June 3, 2015

Usul Menolak Penggunaan Kod Wasilah Alquran Braille



Sepertimana yang mungkin kita telah ketahui, Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-20, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah berlangsung di Hotel Adamson, Kuala Lumpur hujung minggu lepas. Walaupun sejak mesyuarat agung tahun lalu saya tidak lagi merupakan Yang Di-Pertua PERTIS, namun ia bukan menghalang saya untuk terus menghadiri mesyuarat berkenaan pada kali ini. Sepertimana penjelasan saya sebelum ini, pengunduran saya selaku YDP PERTIS adalah atas kehendak sendiri atas sebab-sebab tertentu dan bukan kerana ditolak ahli.

Ada beberapa perkara yang saya rasa perlu untuk saya ketengahkan hasil daripada mesyuarat agung PERTIS kali ini. Satu daripadanya yang akan saya beri penekanan dalam tulisan kali ini ialah usul menolak penggunaan kod wasilah Alquran Braille. Saya sendiri telah membentangkan usul berkenaan dan dimasukkan sebagai usul tergempar dalam mesyuarat agung berkenaan.

Bagi mereka yang tidak akrab dengan sejarah dan kaedah tulisan Alquran Braille, tentulah hal ini tidak langsung memberi sebarang makna.Bahkan ada sesetengahnya beranggapan kod wasilah Alquran Braille dengan kaedah Alquran Braille yang sedang digunakan sekarang sama sahaja dan tiada apa beza pun. Maka itulah sudah beberapa kali ada pihak-pihak tertentu menggesa saya supaya terima sahaja kod wasilah Alquran Braille dan jangan banyak soal. Walau bagaimanapun, dalam hal ini, oleh kerana saya amat yakin saya berada atas landasan yang betul, maka saya tidak pernah bergerak dan berganjak daripada pendirian asal saya iaitu menolak sama sekali penggunaan kod wasilah Alquran Braille, dahulu, kini dan untuk selamanya. Maka itulah pernah suatu ketika dahulu ada pihak tertentu beranggapan saya seorang yang keras kepala.Amat menghairankan bilamana kata-kata sedemikian dilemparkan kepada saya oleh individu yang bukan pun pengguna Braille apatah lagi Alquran Braille. Sedangkan saya serta rakan-rakan yang sependirian dengan saya merupakan pengguna tegar sistem Braille dan juga pengguna Alquran Braille sepanjang hayat!

Secara ringkasnya, kaedah penulisan Alquran Braille yang sedang digunakan di negara kita hari ini (termasuklah kaedah penulisan Alquran Braille yang digunakan oleh PERTIS) sudah pun digunakan sejak naskah Alquran Braille yang pertama sampai ke Tanah Melayu pada sekitar dekad 50-an dahulu. Sistem penulisan Alquran Braille berkenaan dihasilkan oleh negara-negara Arab dan bukannya ciptaan orang tempatan di Tanah Melayu.Sistem penulisan Alquran Braille berkenaan lengkap dengan huruf, tanda baris dan juga tanda bacanya tetapi dalam bentul Braille.Sebarang perubahan kemudiannya amat bergantung kepada perubahan dan perkembangan yang berlaku di negara-negara Arab. Maknanya selaku pengguna Alquran Braille tempatan, kita sama sekali tidak membuat sebarang perubahan melainkan ikut apa sahaja perkembangan atau perubahan (jika ada) yang berlaku di negara-negara Arab.

Pada tahun 1983, satu usaha mula digerakkan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu untuk menstruktur semula kaedah penulisan Alquran Braille khususnya di Malaysia.Dengan itu, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk tujuan tersebut. Menurut Ustaz Mohd Nor Awang Ngah, salah seorang yang pernah menganggotai jawatankuasa berkenaan, tujuan asal jawatankuasa berkenaan ialah untuk membangunkan kaedah tulisan Braille mashaf Malaysia. Walau bagaimanapun, katanya lagi, apabila jawatankuasa berkenaan mula menyimpang daripada tujuan asal penubuhannya, beliau telah menarik diri daripada menganggotai jawatankuasa berkenaan.Saya tidak pasti jawatankuasa berkenaan mempunyai berapa ramai ahlinya.Setakat yang saya maklum, terdapat hanya sekitar 2 orang sahaja ahlinya yang merupakan mereka yang cacat penglihatan.

Setelah dibangunkan kod wasilah Alquran Braille berkenaan, selaku pengguna Alquran Braille sepanjang hayat, saya mendapati kod berkenaan jauh menyimpang daripada kaedah sebenar penulisan Alquran apatah lagi Alquran Braille. Hendak dikatakan kod Braille bahasa Arab pun bukan kerana kod wasilah berkenaan dipendekkan bersekali dengan tanda baris, sedangkan tulisan bahasa Arab Braille yang sebenar dibangunkan berasaskan tulisan tanpa baris.Hendak dikatakan kod Alquran Braille pun bukan kerana ada tanda-tanda baris tertentu yang “disembunyikan” dalam kod tertentu pula.Sebagai contoh, titik 5 dan huruf ta mewakili kalimah “ta bawah, lam mati, kaf atas”.Titik 5 dan huruf ba pula mewakili kalimah “ba atas, ain mati, dhod ataws”.Sedangkan Alquran Braille yang digunakan oleh seluruh dunia mempunyai huruf, tanda baris dan tanda baca yang boleh dilihat dan boleh dirasa secara jelas dan nyata. Tidak perlulah saya perturunkan lagi contoh-contoh lain kerana ia hanya akan memeningkan kepala para pembaca sahaja.

Jika tujuan asalnya untuk menyebarkan kod wasilah Alquran Braille berkenaan ke seluruh dunia, bagi saya ia hanya sekadar bermimpi di siang hari semata-mata. Hanya mereka yang terlebih telan panadol sahaja yang akan bercita-cita sedemikian. Sepertimana yang telahsaya nyatakan sebelum ini, negara-negara Arab dan Islam yang lain sudah pun mempunyai kod Braille Alquran yang boleh dikatakan seragam. Kalau ada pun perbezaan ia Cuma kecil dan tidak merosakkan keseragaman kod Braille Alquran itu sendiri. Bahkan di Malaysia sendiri penggunaan kod wasilah Alquran Braille tidak pernah mendapat sambutan daripada majoriti para penggunanya.Golongan cacat penglihatan yang hafiz Alquran dan mahir dengan tulisan Alquran Braille juga turut menolak penggunaan kod wasilah Alquran Braille berkenaan. Para pengkaji Alquran Braille juga tidak optimis dengan masa depan penggunaan kod wasilah Alquran Braille berkenaan. Jadi untuk siapa lagi kod wasilah Alquran Braille berkenaan?

Setelah sekitar 32 tahun berlalu, penggunaan dan sambutan terhadap kod wasilah Alquran Braille tidak pernah menunjukkan tanda-tanda positif.Malahan senaskah Alquran Braille yang berasaskan kod wasilah Alquran Braille berkenaan tidak pernah terhasil daripadanya.Ada ketikanya saya sendiri merasakan kehadiran kod wasilah Alquran Braille lebih banyak membantutkan usaha untuk memartabatkan Alquran Braille itu sendiri.Oleh itu, saya menggesa semua pihak yang berkaitan supaya berhentilah daripada terus berusaha untuk menyebarkan lagi kod wasilah Alquran Braille berkenaan.Bagi saya usaha sedemikian sia-sia dan buang masa sahaja.

Antara lain, usul berkenaan menyatakan iaitu seluruh ahli PERTIS menolak sekeras-kerasnya penggunaan kod wasilah Alquran Braille dengan apa cara sekali pun. Penggunaan kaedah tulisan Alquran Braille di Malaysia hendaklah berasaskan kod Alquran Braille yang sedang digunakan oleh PERTIS.Sebarang perubahan dalam kaedah penulisan Alquran Braille hendaklah tertakluk kepada perubahan dan perkembangan yang berlaku di negara-negara Arab iaitu sebagaimana yang diputuskan oleh pihak yang berauthoriti di rantau berkenaan.Sebagai maklumat semua, teks asal usul berkenaan tidak diketengahkan dalam tulisan ini.

Antara sebab penolakan penggunaan kod wasilah Alquran Braille ialah:

1. Ia tidak selaras dengan kaedah penulisan Alquran Braille di seluruh dunia.
2. Ia amat menyukarkan untuk mempelajari Alquran Braille sama ada oleh mereka yang tidak berpenglihatan mahupun mereka yang berpenglihatan.
3. Ia boleh membantutkan usaha untuk memartabatkan tulisan Alquran Braille.
4. Ia tidak selaras dengan kaedah penulisan Alquran yang sebenar.
5. Tiada sebarang keperluan untuk meringkaskan lagi kaedah penulisan Alquran Braille sebagaimana yang terkandung dalam kod wasilah Alquran Braille.
6. Kod wasilah Alquran Braille menyebabkan sukar untuk mempelajari tajwid bagi pengguna Alquran Braille.
7. Kod wasilah Alquran Braille juga mengandungi kekeliruan-kekeliruan tertentu terutama bagi huruf dan barisnya.
8. Kod wasilah Alquran Braille juga tiada kaitan dengan kaedah rasm Uthmani Braille.

Alhamdulillah sebesar-besar puji dan syukur ke hadhrat Allah kerana usul yang saya bentangkan itu telah mendapat kelulusan dan persetujuan sebulat suara oleh para ahli yang hadir dalam mesyuarat agung berkenaan.Rata-rata mereka adalah pengguna Alquran Braille sepanjang hayat. Sudah tentulah mereka (ahli PERTIS dan peserta mesyuarat agung) lebih memahami apa yang saya bentangkan dalam mesyuarat tersebut.

Sekitar seminggu sebelum berlangsungnya Mesyuarat Agung PERTIS Kali Ke-20, satu bengkel penyeragaman kod Braille telah diadakan.Bengkel berkenaan telah berlangsung di Melaka.Salah satu resolusi yang telah dipersetujui dalam bengkel berkenaan ialah menolak penggunaan kod wasilah Alquran Braille.Penulisan Alquran Braille hendaklah dilaksanakan sebagaimana kaedah yang biasa digunakan selama ini.

Kedua-dua hasil dan keputusan usul dan resolusi di atas menunjukkan bahawa para pengguna Alquran Braille di negara ini telah menolak dengan kuat penggunaan kod wasilah Alquran Braille.Ia juga merupakan mesej yang cukup jelas iaitu kod wasilah Alquran Braille sama sekali tidak mendapat tempat khususnya dalam kalangan pengguna dan pencinta Alquran Braille. Adalah diharapkan semoga isu dan persoalan mengenai kod wasilah Alquran Braille akan menemui titik noktahnya di sini. Selepas ini, harapnya tiada lagi mana-mana pihak yang cuba memaksa penggunaan kod wasilah Alquran Braille yang telah ditolak itu dengan apa alasan sekali pun. Besarlah harapan semua pihak agar usaha-usaha untuk memartabatkan Alquran Braille akan dapat dilaksanakan dengan lebih rancak lagi selepas ini.