Wednesday, November 30, 2011

Menyusuri Sungai Sarawak

Salah satu aktiviti yang sedaya upaya tidak akan saya lepaskan bila berkunjung ke Kuching ialah menyusuri Sungai Sarawak. Saya akan cuba cari juga masa untuk membolehkan aktiviti berkenaan dapat dilakukan. Demikianlah dengan kunjungan kali ini. Jadual untuk menyusuri Sungai Sarawak telah pun saya tetapkan pada 27 November 2011 (Ahad) iaitu di sebelah petang. Alhamdulillah ia telah dapat dilaksanakan mengikut jadual walaupun sebelumnya hujan telah turun dengan lebat sekali.











Sejak dari sebelum kedatangan Brooke lagi, sungai Sarawak merupakan nadi penting kepada perkembangan dan kemajuan Kuching. Apatah lagi ketika itu di Sarawak sungai merupakan laluan perhubungan paling penting. Justeru tidak hairanlah bilamana Sungai Sarawak turut berperanan besar dalam mencorakkan perkembangan ekonomi Sarawak hingga kini.





Semasa era pemerintahan Brooke, perkembangan Sungai Sarawak semakin pesat. Brooke telah memusatkan kawasan pentadbirannya di tepi Sungai Sarawak. Kepentingan Sungai Sarawak sebagai sebuah lokasi yang strategik semakin terserlah bilamana sebuah kubu pertahanan telah didirikan oleh Charles Brooke di tebing Sungai Sarawak pada tahun 1879. Kubu yang dimaksudkan ialah Fort Magherita. Hari ini Fort Magherita merupakan antara mercu tanda klasik di Bandaraya Kuching.





Hari ini, Sungai Sarawak tetap mempunyai kepentingan serta daya tarikannya yang tersendiri. Sungai Sarawak merupakan pembahagi utama di antara Bandaraya Kuching Selatan dengan Bandaraya Kuching Utara. Dek kerana sungai ini jugalah Bandaraya Kuching mempunyai dua orang datuk bandar. Sungai ini merupakan pemisah di antara kawasan majoriti berpenduduk Melayu (Kuching Selatan) dengan kawasan majoriti berpenduduk Cina (Kuching Utara).











Antara keunikan Sungai Sarawak ialah di sekitar tebingnya terdapat banyak pangkalan perahu. Ini menunjukkan betapa pentingnya perkhidmatan perahu tambang di Sungai Sarawak. Sama ada kepada orang tempatan, apatah lagi kepada pelancong, perkhidmatan perahu tambang di Sungai Sarawak mempunyai daya penarik serta keunikannya yang tersendiri. Walaupun sudah ada jambatan konkrit yang menghubungkan antara kedua-dua tebing Sungai Sarawak, tetapi ia tidak menggugat keunikan perkhidmatan perahu tambang di Sungai Sarawak.



Kebijaksanaan kerajaan negeri Sarawak dalam memanfaatkan Sungai Sarawak telah membolehkan munculnya pembangunan industri pelancongan di sekitar kawasan tepi Sungai Sarawak. Kesan dan tinggalan sejarah, perkampungan Melayu di Kuching Selatan, bangunan-bangunan yang semakin menjulang tinggi di Kuching Utara telah membentuk suatu pemandangan yang padanya tersirat banyak makna yang boleh ditafsirkan.





Bagi pengunjung yang berpenglihatan, pemandangan sekitar pesisir Sungai Sarawak khususnya pada waktu petang amat memukau. Bagi pujangga pula, mungkin fenomena sebegini mampu mencetuskan ilham baru. Bagi yang sedang stress pula, ia boleh dilonglaikan dengan cara santai seperti ini.











Manakala bagi mereka yang tidak berpenglihatan, bersyukurlah bila dapat dengar bunyi air sungai yang mengalir, bau sungai yang adakalanya menusuk hidung, bau minyak enjin bot, bunyi bot lain bila bertembung, bunyi kanak-kanak bermain di sekitar perkampung tepi sungai, dapat mencecahkan tangan ke air tatkala bot sedang bergerak, merasai tiupan angin petang yang menyamankan, dan kalau nasib sedikit baik dapat dengar penerangan ringkas sama ada daripada ahli keluarga, rakan taulan yang sudi atau daripada pemilik bot sendiri.









Saya tidak lupa mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Abang Pian yang telah melancarkan rancangan saya untuk menyusuri Sungai Sarawak pada kali ini. Bahkan Abang Pian turut memberikan penerangan yang agak terperinci kepada saya berkenaan perkara-perkara yang terdapat di sekitar Sungai Sarawak tatkala kami menyusuri sungai. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Abang Pian.

Di bawah ini, saya kongsikan beberapa foto yang dikira menarik untuk tatapan kita semua.























style="display:block; margin:0px auto 10px; text-align:center;cursor:pointer; cursor:hand;width: 320px; height: 240px;" src="http://2.bp.blogspot.com/-YcGkaaGlxTE/TtesCZsDM-I/AAAAAAAACm8/xLZsnuNp0Pc/s320/sebuah%2Bbot%2Bberlatarbelakngkan%2Bdun%2B%2528cantik%2529.JPG" border="0" alt=""id="BLOGGER_PHOTO_ID_5681198612206531554" />

Tuesday, November 29, 2011

Rumah Panjang Annah Rais

Sebagaimana yang telah saya catatkan dalam posting sebelum ini, saya akan cuba berkongsi pengalaman saya tatkala mengunjungi negeri Sarawak baru-baru ini. Kali ini, saya akan cuba mengenengahkan mengenai rumah panjang Annah Rais.



Pada 26 November (Sabtu) lalu, saya serta ahli rombongan yang lain telah berkesempatan mengunjungi rumah panjang Annah Rais. Ia terletak kira-kira sejam perjalanan dari Kuching. Secara peribadi, ini merupakan kunjungan kedua saya. Kali pertama saya mengunjungi rumah panjang ini ialah pada bulan Jun lalu.











Secara umumnya, rumah panjang ini didiami oleh masyarakat Bidayuh. Rumah panjang ini agak moden. Justeru, banyak rumah yang sudah memiliki TV dan radio. Bahkan penggunaan parabola juga tidak ketinggalan. Umumnya masyarakat di sini mengamalkan kepercayaan tradisional ikutan daripada nenek moyang mereka. Walau bagaimanapun, kebanyakan penduduk di sini sudah menggunakan nama-nama ala kebaratan seperti Arthur, Christoffer, Gordon dan sebagainya. Namun begitu, masih ada juga masyarakat di sini yang menggunakan nama tradisional seperti Thabas. Terdapat puluhan rumah yang terdapat dalam kawasan rumah panjang ini.



Bagi pengunjung seperti saya, antara perkara yang dapat dirasai ialah pelbagai bau, bunyi-bunyian sekitar hutan, suasana yang mendamaikan, naik turun di persekitaran rumah dan kalau bernasib baik dapatlah menyentuh itu dan ini sekadar dapat.





Sekitar jam 3.45 petang, saya serta rombongan tiba di kawasan rumah panjang Annah Rais. Setiap pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM 8.00 seorang. Manakala saya dan Luqman pula dikecualikan daripada bayaran. Semasa kami tiba di tempat pembayaran, tiba-tiba salah seorang kakitangan di tempat tersebut terus berkata dengan agak kuat: “Saya rasa kenal dengan abang yang itu (maksudnya kepada saya)”. Saya segera mengucapkan terima kasih kerana beliau masih mengingati saya. Agaknya inilah antara hikmah dan hikmatnya kalau kita dikurniakan sedikit kelainan daripada yang lain. Orang mudah ingat dan mudah kenal.







Oleh kerana saya dan isteri pernah mengunjungi rumah panjang ini, maka kali ini agak mudah untuk kami berdua membawa ahli keluarga yang lain berjalan di kawasan sekitarnya. Mungkin kerana hari semakin petang, kalau tak silap saya tiada pelancong lain yang ada di rumah panjang ini selain daripada rombongan kami. Manakala aktiviti penduduk di luar rumah pula sepi sahaja. Berbeza daripada kunjungan saya kali pertama dahulu di mana ketika itu ramai penduduk berada di luar rumah masing-masing dengan pelbagai aksi dan aktiviti. Agaknya kali ini, oleh kerana hari kian petang, jadi sebahagian besar penghuninya masih diulit mimpi petang.





Antara tempat yang mula-mula saya tuju ialah panggahramin. Di sinilah beberapa belas tengkorak disimpan. Ada di antara tengkoraknya masih berkeadaan baik. Menurut penghuni di sini, tengkorak-tengkorak berkenaan sudah berusia ratusan tahun. Ia diperolehi daripada tradisi ngayau yang pernah diamalkan suatu ketika dahulu.





Menurut kepercayaan masyarakat di sini, tujuan tengkorak-tengkorak berkenaan disimpan ialah sebagai penjaga kepada rumah panjang serta para penghuninya daripada gangguan hantu jahat. Selain itu, tengkorak-tengkorak berkenaan juga merupakan antara bahan penting yang digunakan dalam perayaan dan upacara tertentu yang diadakan di sekitar rumah panjang berkenaan. Demikianlah saya pernah dimaklumkan.



Sebenarnya saya dapat memperolehi maklumat mengenai ngayau ketika membaca novel yang juga diberi judul ”Ngayau”. Pengarangnya ialah Amil Jaya. Novel ini telah saya baca pada dekad 80-an lalu. Novel berkenaan ada ditranskripsikan dalam tulisan Braille dan mengandungi 5 jilid. Ketika itu novel berkenaan tersimpan di perpustakaan Braille kendalian Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) Di Brickfields. Saya tidak pasti sama ada novel berkenaan masih ada lagi atau sebaliknya.





Sesetengah bahagian rumah panjang berkenaan berkedudukan agak tinggi daripada aras tanah. Oleh itu, tidak hairanlah di bawah rumah berkenaan ada binatang peliharaan termasuklah babi. Binatang peliharaan ini pula merupakan sebahagian daripada sumber makanan penting bagi penghuni rumah panjang ini.



Berdasarkan kunjungan pertama saya pada Jun lalu, saya masih ingat nama beberapa orang penghuni rumah panjang ini. Menerusi salah seorang penghuninya, saya bertanyakan En. Tabas. Lalu penghuni berkenaan membawa saya ke rumah En. Tabah. Kemudiannya saya diberitahu En. Tabas sedang tidur.



Lalu saya bertanya pula mengenai En. Arthur. Penghuni berkenaan membawa saya ke rumah En. Arthur. Tidak lama kemudian, En. Arthur keluar dari rumahnya dengan bertuala sahaja. Jalannya huyung-hayang. Dia tidak dapat mengingati saya. Saya hanya mendengar Arthur berkata: ”Saya lagi mabuk .... ”. Fahamlah saya.

Sebenarnya saya kenal dan masih ingat dengan Tabas dan Arthur serta seorang lagi rakan mereka (saya lupa namanya) kerana pada kunjungan pertama saya dahulu, ketiga-tiga mereka sedang bermain muzik tradisional masyarakat Bidayuh. Ketika itu Arthur begitu ramah sekali melayan saya dan turut memberikan penerangan dengan agak panjang lebar mengenai muzik tradisional mereka. Bahkan saya turut diberi peluang menyertai ketiga-tiga mereka memainkan alatan muzik tradisional mereka. Arthur turut fasih berbahasa Inggeris. Beliau pernah bekerja di Kuching suatu ketika dahulu. Kini beliau bekerja sendiri sahaja. Perhatikan sahaja foto di bawah ini yang sempat dirakamkan ketika itu.









Sekitar jam 5.00 petang kami pun meninggalkan kawasan rumah panjang Annah Rais. Rasanya kunjungan kali pertama dahulu lebih panjang. Kali ini kami terpaksa kembali segera ke hotel penginapan bagi persediaan untuk memenuhi undangan makan malam oleh seorang rakan.