Siang tadi, saya sekeluarga telah ke Pulau Indah, Kelang. Tujuan saya ke sana adalah sekadar untuk santai dan merehatkan fikiran. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberikan pendedahan lebih dekat khasnya kepada anak tunggal kami (Luqman) berkenaan situasi di kawasan perkampungan nelayan. Selain itu, saya memilih Pulau Indah ialah kerana kami sekeluarga langsung tiada hasrat untuk shopping barangan mewah, berharga atau emas berlian.
Kalau tak silap saya, dahulu pulau ini dikenali sebagai Pulau Lumut. Kalau tak silap saya juga, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Syah (almarhum) telah menukar nama pulau ini daripada Pulau Lumut kepada Pulau Indah.
Mengikut meter kenderaan kami, jarak antara rumah saya dengan Pulau Indah adalah sekitar 65 km. Ia mengambil masa sekitar sejam perjalanan mengikut lebuhraya Kesas.
Sekitar jam 11.30 pagi, kami sekeluarga sudah tiba di Pulau Indah. Perjalanan lancar sahaja. Kami kemudiannya menuju ke kampung Teluk Nipah. Letaknya agak ke dalam dari jambatan Pulau Indah.
Di kampung Teluk Nipah, Faizuddin Zulkifli serta keluarganya sudah sedia menanti ketibaan saya sekeluarga. Faizuddin ialah anak murid isteri saya pada masa ini. Beliau dan keluarganya memang penduduk Pulau Indah. Kami disambut dengan begitu mesra sekali oleh keluarga Faizuddin. Kami dipersilakan masuk ke rumah mereka dan dijamu pula dengan minuman dan sedikit makanan. Sungguh tinggi budi bahasa keluarga Faizuddin terhadap saya sekeluarga. Bagi saya, yang paling penting ialah saya dapat menjalin dan melebarkan lagi jaringan persaudaraan dan persahabatan dengan penduduk di pulau berkenaan. Setelah berbual dan berkenal-kenalan sekitar setengah jam, saya sekeluarga pun memulakan ”ekspedisi” kami di sekitar Pulau Indah. Kami ditemani oleh Faizuddin.
Tempat yang mula-mula kami singgah ialah sebuah jeti yang terletak tidak jauh dari rumah keluarga Faizuddin. Jeti ini lebih digunakan sebagai tempat orang memancing. Sewaktu kami tiba, beberapa orang kelihatan sedang memancing. Manakala lautnya pula tenang. Saya tidak mendengar deruan ombak. Sekali-sekala saya terdengar bunyi enjin bot. Menurut Faizuddin, bot berkenaan merupakan bot nelayan yang sedang menangkap ikan. Angin pula bertiup sepoi-sepoi bahasa sahaja.
Kata Faizuddin, kalau malam minggu, ramai orang datang memancing di sini. Katanya lagi, orang dari luar pun ramai juga yang datang untuk tujuan yang sama.
Dari jeti berkenaan, kami bergerak pula ke tempat orang menjual ikan. Kata Faizuddin, di pulau ini terdapat beberapa tempat orang menjual ikansegar, tetapi istimewanya tempat ini ialah ia lebih besar dan ikan yang dijual di tempat ini lebih banyak pilihan. Hasrat saya untuk membeli ikan ditangguhkan kerana ia masih belum dibuka untuk jualan. Beberapa orang pekerja sudah ada, tapi menurut salah seorang daripada mereka, mereka hanya boleh menjual ikan bila taukeh tiba. Bila ditanya bila taukeh akan tiba, pekerja berkenaan menjawab, dia dalam perjalanan. Selain daripada kami, saya dapat mendengar suara beberapa orang pembeli lain. Salah seorang pembeli yang sempat saya tanya ialah seorang wanita yang tinggal di Subang. Kata wanita berkenaan, oleh kerana sudah biasa makan ikan segar, ikan di pasar sudah tidak sedap lagi rasanya.
Saya sekeluarga terus meninggalkan tempat berkenaan dengan niat akan datang lagi nanti. Kami menuju pula di pantai Aceh. Lokasinya tidaklah berapa jauh. Walau bagaimanapun, oleh kerana jalannya tidak berapa elok, kenderaan terpaksa bergerak perlahan. Itu pun saya rasa macam naik kereta kuda.
Di pantai aceh, ada sebuah resort. Kata Faizuddin, resort ini masih beroperasi tetapi ia tidaklah begitu mendapat sambutan. Mungkin sebab itulah juga bangunan serta kawasan persekitaranya seakan tidakdiselia dengan baik.
Di resort ini juga ada sebuah jeti lagi. Di jeti ini, kelihatan (kedengaran) orang memancing. Angin di sini agak kuat. Saya juga dapat mendengar bunyi ombak yang sungguh mengilhamkan. Bila mendengar orang ramai memancing, saya terus teringat kepada Dr. Zarhamdy. Beliau juga gemar memancing. Agaknya, kalau beliau tercampak di pulau ini, tak tahulah entah berapa hari akan melekat bersama pancingnya.
Agak lama juga saya menyandarkan diri pada besi penghadang di atas jeti di resort ini. Selain bunyi ombak, saya turut dapat mendengar bunyi enjin bot. Bot nelayan agaknya. Selain itu, sesekali saya turut dapat mendengar suara tukang pancing berbual, tapi saya tak ambil perhatian terhadap apa yang mereka perbualkan. Melayani ilham dan fikiran sendiri terlebih aula bagi saya.
Setelah agak puas menikmati suasana nyaman di sini, kami pun bergerak pula dan kali ini destinasi kami ialah ke tempat makan. Untuk makan memang tiada masalah. Di sekitar Pulau Indah agak banyak juga tempat makan. Kami singgah di sebuah tempat makan yang saya kira letaknya tidak berapa jauh dari laut. Saya sendiri dapat mendengar enjin bot yang lalu di sekitar laut yang berhampiran.
Setelah mengalas perut, kami bergerak pula ke masjid. Maklumlah matahari sudah pun tergelincir ke sebelah barat. Faizuddin membawa kami ke Masjid Sultan Abdul Aziz Syah. Sunyi juga masjid ini. Mungkin para jemaahnya sudah lama pulang selepas solat zohor tadi. Kami yang agak lewat. Kami solat 4 rakaat. Hendak jamak tak boleh pula kerana jaraknya yang tidak mengizinkan.
Setelah selesai solat, kami ke Lagoona Park pula. Tidak jauh dari sini terdapat perkampungan orang asli. Berdasarkan bentuk rumah mereka, masyarakat orang asli di sini sudah pun mengecapi arus kemodenan. Rumah-rumah mereka besar dan dilengkapi dengan kemudahan sama seperti penduduk yang lain.
Di sini juga ada jeti dan kegiatan memancing memang rancak. Walau bagaimanapun, kebersihan di sekitar kawasan ini boleh ditingkatkan lagi. Pemandangannya cantik tapi kurang menarik dek sampah-sarap yang berselerakan. Nampaknya di sekitar pulau ini, di sana sini boleh bertemu dengan kegiatan memancing.
Sebelum pulang semula ke KL, kami ke tempat menjual ikan semula. Memang banyak jenis ikan yang dijual. Harganya pun boleh tahan. Kami turut membeli sedikit ikan untuk dibawa pulang bagi menjamu kedatangan kedua-dua orang tua saya yang akan hadir ke rumah saya esok.
Setelah hampir 5 jam kami ronda-ronda di sekitar Pulau Indah, sekitar jam 4.35 petang, saya sekeluarga pun bertolak untuk pulang semula ke KL. Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Faizuddin dan keluarganya kerana telah memberikan layanan yang baik kepada saya sekeluarga. Insha-Allah, jika ada umur dan ada izin dari Allah, kita pasti akan bertemu lagi.
Sesungguhnya walaupun tanpa penglihatan, kita masih berupaya meneroka alam maya dengan cara sendiri.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
2 comments:
Terima kasih cikgu. Pengalaman yang cikgu kongsikan sangat berguna.
salam..terima kasih cikgu kongsi gambar dan pengalaman.sy akan berpindah ke pulau indah mungkin tahun depan.info yg cikgu kongsikan sgt berguna tuk saya.
Post a Comment