Tuesday, November 15, 2011

Masih Ada Harapan Untuk Mereka

Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk menghadiri satu mesyuarat di Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya. Mesyuarat berkenaan khusus membincangkan mengenai pelaksanaan kurikulum muzik di sekolah untuk murid cacat penglihatan. Antara yang hadir dalam mesyuarat berkenaan termasuklah wakil daripada beberapa jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi, wakil beberapa buah sekolah yang berkaitan, wakil daripada Aswara dan tidak ketinggalan wakil-wakil badan-badan bukan kerajaan.

Saya pernah menulis menerusi blog ini mengenai fenomena yang masih menyelubungi golongan yang berbakat dalam bidang muzik dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Apa yang dapat dirumuskan ialah, ada dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan yang telah dikurniakan bakat yang begitu menyerlah dalam bidang muzik, tetapi bakat yang ada tidak dapat membawa mereka ke mana-mana lantaran ia tidak disertai dengan sijil yang berkaitan. Bagaimana mereka yang berbakat ini gagal memperoleh sijil? Ia tentunya ada kaitan dengan peluang dan ruang untuk golongan berkenaan mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan muzik sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat institusi pengajian tinggi.

Saya rasa, kita semua tentunya sudah terlebih maklum mengenai bakat muzik yang dipunyai oleh sesetengah mereka yang cacat penglihatan. Ia telah pun terserlah sejak di bangku sekolah rendah lagi. Murid-murid yang berbakat ini sering mendapat peluang untuk menonjolkan bakat mereka di pelbagai majlis dan di pelbagai tempat pula. Mereka yang berpeluang mendengar dan menonton persembahan daripada murid-murid ini akan memberikan pujian melangit kepada murid-murid berkenaan. Rata-rata mereka kagum dengan persembahan yang telah dilakukan. Reaksi daripada mereka yang menonton pula pelbagai. Ada yang bertepuk seakan tak mahu berhenti. Ada juga yang memuji sampai kehabisan kata. Ada juga yang sampai mengalirkan air mata. Pendek kata, kesemuanya mengakui dan tidak menafikan bakat besar yang dipunyai oleh murid-murid berkenaan dalam bidang muzik.

Fenomena sebagaimana di atas telah berjalan bertahun-tahun lamanya. Hari ini, fenomena sedemikian masih terus berlaku. Sampai bila ia akan berterusan seperti ini? Hanya Yang Maha Esa yang lebih mengetahuinya.



Bagi saya, antara yang menarik dalam mesyuarat berkenaan ialah perkongsian yang diketengahkan oleh Saudara Looi Chee Chau, seorang yang cacat penglihatan dan berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang muzik. Bakatnya dalam bidang muzik telah pun terserlah sejak beliau kecil lagi. Nasib beliau agak baik apabila setelah menamatkan persekolahan menengahnya, beliau mendapat kesempatan untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang muzik di peringkat diploma di Singapura. Mengapa beliau beroleh peluang sedemikian di Singapura dan tidak di Malaysia? Setelah menamatkan pengajiannya di peringkat diploma, Chee Chau telah berjaya melanjutkan pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda pula dalam bidang yang sama dan sekali lagi beliau memperoleh peluang tersebut di Singapura. Sekali lagi kita akan tertanya-tanya, mengapa beliau tidak mendapat peluang yang serupa di Malaysia? Kini Chee Chau bertugas di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Kerjayanya tidak lari daripada kelulusan yang beliau perolehi.

Apa yang telah dilalui oleh saudara Chee Chau merupakan suatu pengalaman yang sungguh mencabar dan getir. Bukan semua orang yang mampu untuk mengharungi cabaran penuh liku sebagaimana yang telah dilalui oleh Saudara Chee Chau.

Apa yang seharusnya kita sama-sama perlu laksanakan kini ialah bakat muzik yang dipunyai oleh golongan cacat penglihatan di negara ini sepatutnya digilap dan digarap di bumi bertuah ini. Sesungguhnya kalau sekadar pujian melangit, tepuk sorak yang menggegak gempita serta air mata kekaguman yang mengalir sehingga sebaldi tidak akan memberi apa-apa makna kepada golongan yang berbakat ini khasnya dalam menentukan hala tuju masa depan mereka dengan bersandarkan bakat yang ada. Apa yang sepatutnya kita laksanakan ialah memberikan peluang kepada golongan cacat penglihatan yang berbakat dalam bidang muzik ruang dan kesempatan untuk mengikuti kurikulum dalam bidang muzik sehingga ke peringkat tertinggi yang mereka mampu.



Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih dan tahniah khasnya kepada En. Ahmad Bustamam yang selama ini telah bekerja keras dalam usaha untuk mengangkat martabat mereka yang berbakat dalam bidang muzik. Selama ini pun, beliau sering bertukar-tukar fikiran dengan beberapa orang (termasuklah dengan saya) mengenai bagaimana untuk memberi peluang kepada murid-murid cacat penglihatan mengikuti pendidikan muzik di peringkat sekolah lagi. Terima kasih banyak-banyak Bus!

Masih ada harapan untuk golongan cacat penglihatan yang berbakat dalam bidang muzik, tetapi perjalanannya masih jauh dan penuh liku. Tanpa usaha dan gembelingan tenaga yang gitu, agak sukar untuk kita merealisasikan hasrat yang telah terpendam sejak sekian lama.

No comments: