Semalam (26 November), kami telah berkunjung ke kawasan pemeliharaan buaya yang letaknya tidak jauh dari Siburan, iaitu kira-kira 17 km dari hotel penginapan kami. Bagi saya sendiri, ini merupakan kunjungan kali ketiga. Kali pertama saya berkunjung ke sini ialah pada 1 Disember 2008. Manakala pada 4 Jun lalu merupakan kunjungan saya kali kedua. Pada pendengaran saya, bilangan pengunjung yang datang ke tempat ini semalam memang ramai. Boleh dikatakan rata-rata adalah pengunjung dari semenanjung seperti kami.
Untuk masuk ke kawasan pemeliharaan buaya ini, para pengunjung akan dikenakan bayaran. Bagi pengunjung yang datang dari semenanjung mereka akan dikenakan bayaran sebanyak RM 16.00 seorang. Manakala pengunjung dari Sarawak pula akan dikenakan bayaran sebanyak RM 10.00 seorang. Kanak-kanak pula akan dikenakan bayaran RM 8.00 seorang. Manakala saya pula tidak dikenakan bayaran. Saya rasa adil juga kerana saya sekadar mendengar sahaja aksi buaya. Kalau tidak ada sesiapa yang beritahu aksi yang sedang dipertontonkan oleh sang buaya berkenaan tentunya sukar bagi saya untuk mengagak apa sebenarnya yang sedang dilakukan oleh sang buaya berkenaan.
Sekitar jam 10.15 kami sekeluarga sudah pun berada di lokasi. Setiap hari, buaya-buaya yang diternak di kawasan ini akan diberi makan sebanyak dua kali, iaittu pada jam 11.00 pagi dan juga pada jam 3.00 petang. Para pengunjung seharusnya tidak melepaskan waktu berkenaan kerana pelbagai aksi buaya boleh dilihat. Sambil memberi makan, mereka turut “buat show”. Adakalanya kita juga boleh melihat buaya berkelahi sesama mereka kerana berebut makanan.
Kalau tak silap, jumlah buaya yang terdapat di sini ribuan jumlahnya. Ia pula terdiri daripada pelbagai saiz. Ada yang besar dan ada yang lebih besar. Salah seekor daripadanya ialah buaya yang diberi nama Bujang Sudin. Mengikut catatan yang ada, buaya berkenaan telah ditangkap di sungai sekitar Sarawak pada tahun 1988. Buayanya memang besar. Agaknya kalau ada yang terjatuh dalam kolamnya, habis dingapnya.
Selain buaya, terdapat beberapa haiwan lain lagi. Antaranya termasuklah ular, musang, binturong, pelbagai jenis burung, monyet, ayam, babi, pelbagai jenis ikan dan sebagainya. Namun begitu, buaya merupakan binatang yang sering menjadi tumpuan para pengunjung yang datang.
Antara yang menarik pada pemerhatian saya ialah, bila hampir tiba waktu untuk buaya makan, sang buaya berkenaan akan timbul di permukaan air. Tatkala inilah pelbagai aksi menarik oleh sang buaya berkenaan dapat disaksikan. Maknanya buaya-buaya berkenaan sudah tahu bahawa waktu untuk makan sudah hampir tiba. Bila waktu tepat jam 11.00 pagi, loceng dibunyikan. Maka timbullah sang buaya di permukaan air. Hal ini mengingatkan saya kepada teori Pavlov yang pernah saya pelajari semasa mengikuti kursus diploma pendidikan dahulu.
Di samping itu, beberapa foto yang menunjukkan aktiviti reptilia berkenaan turut dipamirkan. Ini termasuklah foto bagaimana sang buaya menyambar dan seterusnya membaham mangsanya termasuklah manusia.
Bagi pengunjung seperti saya, hanya dua perkara sahaja yang dapat diperolehi, iaitu mendengar aksi sang buaya di kolamg dan juga menghidu bau air kolam tempat menternak buaya yang sedikit berbau.
“Hai sang memerang, .... mentang-mentanglah aku begini, .... di hadapanku kau buat begitu ..... Sungguh kurang sopan .....”.
Di akhir kunjungan, para pelawat akan melalui kedai yang menjual pelbagai cenderamata. Paling istimewa ialah cenderamata yang diperbuat daripada kulit buaya. Ini termasuklah tali pinggang dan sebagainya.
Salam dari Kuching.
No comments:
Post a Comment