Monday, November 29, 2010

FQS USIM: Harapan Untuk Kita

Sudah beberapa kali saya menulis melalui blog ini mengenai Fakulti Quran Sunnah (FQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Apa yang istimewanya di FQS ini ialah, di sinilah bermulanya kaedah tulisan Alquran Braille dikuliahkan kepada para mahasiswa yang terlibat di peringkat pengajian tinggi di negara kita. Dengan kata lain, USIM menerusi FQS telah muncul institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di negara kita yang telah memperkenalkan kursus berkaitan kaedah penulisan Alquran Braille. Sesi akademik 2010-2011 merupakan musim ketiga kelangsungan kursus berkenaan di FQS, USIM.



Sebelah pagi tadi, saya telah menghadiri satu perbincangan dengan tiga orang pensyarah dari FQS, USIM di universiti berkenaan. Ketiga-tiga pensyarah yang dimaksudkan ialah Ustaz Hairi (Ketua Program), Ustaz Mahyudin dan Ustazah Najihan. Turut hadir ialah 2 orang pelajar tahun akhir. Perbincangan telah berlangsung sekitar 2 jam setengah. Intipati perbincangan terarah kepada sumbangan sosial yang boleh dilakukan oleh FQS USIM khususnya kepada golongan cacat penglihatan terutamanya yang melibatkan Alquran Braille serta tulisan Jawi Braille.

Apa yang menarik perhatian saya ialah, pihak FQS USIM tidak hanya sekadar mengkuliahkan kaedah penulisan Alquran Braille dalam bilik kuliah semata-mata. Sebenarnya mereka mempunyai hasrat, cita-cita dan rancangan yang lebih jauh daripada itu. Setelah tiga musim berlalu, para pelajarnya yang terlibat bukan sahaja telah mendapat pendedahan mengenai kaedah tulisan Alquran Braille di dewan kuliah, bahkan lebih jauh dari itu, para pelajarnya dengan bimbingan para pensyarah yang berdedikasi telah berjaya menghasilkan beberapa buah buku/kitab ke dalam bentuk tulisan Jawi Braille. Antara kitab-kitab yang telah siap terhasil termasuklah kitab Iqra’, buku teks Pendidikan Islam Tahun 6, Ratib Hadat, buku berkaitan haji dan umrah dan sebagainya. Saya sendiri pernah menyemak beberapa kitab yang telah dihasilkan dan saya dapati hasil kerja para pelajar berkenaan rata-ratanya memang memuaskan.



Pada masa ini, pihak FQS USIM telah mula mengadakan apa yang saya istilahkan sebagai pakatan strategik dengan beberapa institusi yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan. Menerusi pakatan ini, pihak FQS USIM akan membantu untuk menghasilkan bahan bacaan bentuk Jawi Braille berdasarkan keperluan dan permintaan daripada institusi berkaitan. Dengan cara ini, ia bukan sahaja akan dapat memantapkkan lagi pengetahuan dan kemahiran kaedah tulisan Jawi Braille dalam kalangan mahasiswanya, bahkan ia juga akan dapat membantu menambah lagi bahan bacaan berbentuk Jawi Braille kepada institusi yang terlibat. Memang selama ini pun, kekurangan bahan bacaan dalam tulisan Jawi Braille merupakan antara cabaran utama kepada golongan cacat penglihatan tanpa mengira usia dan profesion.

Di samping itu, setahu saya, pihak FQS USIM juga berhasrat untuk menjadi pusat pembangunan dan penyelidikan dalam bidang yang berkaitan dengan Alquran Braille. Pihak yang berkaitan sedang berusaha keras untuk meningkatkan kemahiran Braille di peringkat fakulti. Usaha sebegini akan diteruskan sehinggalah suatu hari nanti pihak FQS USIM berkemampuan untuk menerima calon-calon untuk program ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam bidang yang berkaitan dengan Alquran Braille dan Jawi Braille. Mudah-mudahan hasrat, cita-cita serta rancangan murni mereka akan dikabulkan Allah suatu hari nanti, insha-Allah.



Setelah selesai perbincangan, saya berkesempatan untuk melawat ke makmal Braille di fakulti berkenaan. Pada tahun 2008, fakulti ini hanya mempunyai 5 buah mesin taip Braille sahaja. Kini fakulti ini sudah mempunyai 15 buah mesin taip Braille. Kesemua mesin ini ditempatkan di makmal Braille ini. Di sini juga berlangsungnya kelas tutorial untuk kursus ini. Selain itu, di makmal ini juga terpampang maklumat mengenai tulisan Alquran Braille. Seperkara yang ingin saya ulangi untuk ke sekian kalinya ialah, kesemua mahasiswa yang mengikuti program berkaitan kaedah penulisan Alquran Braille di FQS USIM adalah mereka yang berpenglihatan.



Sesungguhnya kewujudan makmal Braille di fakulti ini membuktikan betapa seriusnya pihak FQS USIM untuk memartabatkan sistem tulisan Alquran Braille dan Jawi Braille untuk manfaat golongan cacat penglihatan seperti saya. Rata-rata mereka yang terlibat dengan program berkaitan dengan Braille di fakulti ini tidak pernah mendapat pendedahan mengenai dunia golongan cacat penglihatan, sama ada para pensyarahnya mahupun para mahasiswanya. Tetapi iltizam mereka untuk memartabatkan tulisan Alquran Braille kadang-kadang di luar kepercayaan.



Setakat yang saya maklum, usaha FQS USIM untuk memartabatkan Alquran Braille di peringkat universiti tidak bersendirian. Usaha mereka turut mendapat sokkongan dan dokongan daripada pihak tertinggi USIM termasuklah naib canselornya.

Setakat ini, pihak FQS USIM telah pun memulakan kursus berkaitan kaedah penulisan Alquran Braille. Manakala Darul quran yang terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah beberapa tahun membuka pintunya kepada golongan cacat penglihatan yang berkelayakan untuk mengikuti program diploma di bawah kelolaannya. Satu kelompangan yang semakin terserlah ialah sekolah-sekolah agama di peringkat menengah atau rendah masih belum lagi membuka pintunya kepada murid-murid cacat penglihatan yang berkelayakan untuk belajar di sekolah-sekolah yang berkaitan. Bagi saya, bilamana pihak FQS USIM dan Darul Quran sudah mula menghasilkan mereka yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam sistem tulisan Alquran Braille dan Jawi Braille, maka pengetahuan dan kemahiran yang ada kepada para lulusan FQS USIM dan Darul Quran boleh digunakan untuk memulakan program pendidikan khas dalam bidang keagamaan untuk murid-murid cacat penglihatan di peringkat rendah dan menengah. Dengan adanya program bersepadu dan terancang seperti ini, maka bidang yang boleh diceburi oleh golongan cacat penglihatan akan bertambah. Dengan itu, barulah masa depan untuk golongan cacat penglihatan pada masa hadapan akan lebih cerah lagi. Walaupun jauh beribu-ribu batu, jika kita memulakan langkah yang pertama, insha-Allah suatu hari nanti kita pasti akan tiba juga di penghujungnya.

Saya sering dalam kehairanan, mengapa masih kedapatan spesies yang sudah begitu lama di institusi pendidikan khas cacat penglihatan tapi masih tak mampu menguasai sistem tulisan Braille!!!

Saturday, November 27, 2010

Menungan Senja

Hutang

Dalam kehidupan kita sebagai insan, hutang memang sesuatu yang sukar untuk dielak. Suka tidak suka, mahu tidak mahu, adakalanya kita kena berhutang juga. Ada yang berhutang dengan kawan. Ada yang berhutang dengan keluarga. Ada yang berhutang dengan saudara-mara. Ada yang berhutang dengan syarikat. Ada yang berhutang dengan koperasi. Ada yang berhutang dengan kerajaan. Jangan berhutang dengan ah long sudahlah.

Punca kita berhutang pula bermacam-macam. Adayang berhutang kerana tak mampu untuk membayar secara tunai. Ada yang berhutang kerana sesak sangat dalam keadaan keperluan mendesak. Ada yang berhutang kerana kemiskinan. Ada yang berhutang kerana tak pandai mengawal perbelanjaan sendiri. Ada juga yang berhutang sekadar untuk hidup bermewah-mewah. Ada segelintir orang yang suka berhutang kerana memang hobinya suka berhutang.

Ada orang yang kononnya hendak pinjam kerana tak cukup wang. Katanya, esok lusa dia akan bayar. Malangnya sampai sudah pun dia tak bayar. Dia lakukan perkara yang serupa kepada hampir semua kawannya. Walaupun jumlahnya mungkin seringgit dua, tapi ia tetap dikira hutang juga. Kalau orang yang dia berhutang tidak halalkan, akan bertemulah keduanya di akhirat nanti.

Ada juga orang yang terjerumus dalam kancah hutang kerana kononnya untuk buat pelaburan. Wang dan modal pelaburannya pula dipinjam daripada rakan dan kawan baiknya. Jumlah yang dia ingin pinjam bukannya seringgit dua, tapi kadangkala jumlah yang dia mahukan sama dengan jumlah perbelanjaan kalau kita kahwin dua secara serentak. Itu analogi saja. Janji-janjinya memang termatlah manisnya. Kalaulah ia boleh diterjemahkan kepada gula, dah lama orang yang menerima janjinya dapat kencing manis. Bila tiba masa untuk hutangnya dibayar, batang hidungnya pun tak nampak. Kasihan orang yang memberikan hutang. Sepatutnya bila ada orang yang hendak pinjam wang daripada kita untuk melabur, kita suruh saja dia pinjam dari bank atau mana-mana institusi kewangan lain. Kalau institusi kewangan berkenaan tak luluskan pinjamannya, maknanya pelaburannya berisiko atau tak menguntungkan.

Ada juga orang yang sanggup untuk menolong kita membelikan barang yang kita perlukan. Untuk memudahkan orang ini, kita terus memberikannya wang secukupnya agar orang yang menolong kita tidak berhutang. Tapi bila tiba waktunya, barang yang dikirim tak kunjung tiba, wang yang sudah kita hulurkan pun tidak dikembalikan.

Saya amat kasihan kepada orang yang terjerumus ke kancah hutang hanya semata-mata kerana dia menjadi penjamin orang lain. Acap kali juga di mana orang yang dijaminnya merupakan saudara-maranya atau pun sahabat taulan akrabnya. Bila tiba masanya, orang yang dijaminnya hilang entah ke mana. Tinggallah dia keseorangan menanggung hutang yang tak sepatutnya. Lain kali, kalau hendak jadi penjamin, kena fikir berpuluh-puluh kali.

Ada segolongan orang muda yang belum pun masuk ke alam pekerjaan sudah pun memulakan hutang. Maklumlah zaman sekarang kalau hendak belajar tinggi kena buat pinjaman. Jadi acap kali juga surat minta bayar hutang sampai lebih dulu daripada surat tawaran dapat kerja.

Kesan kalau hutang tak dibayar juga bermacam-macam. Ada yang tidak bertegur sapa. Ada yang seakan putus hubungan silatul rahim. Ada yang terpaksa lari membawa diri ke tempat lain. Ada yang sampai berkerat rotan dan berpatah arang dek kerana hutang. Ada juga yang mati bukan mewariskan harta tapi mewariskan hutang.

Rasanya tak salah kalau kita memberikan hutang kepada orang yang benar-benar memerlukan. Umpamanya kepada orang yang benar-benar sesak kerana kemiskinan, bukannya kerana keborosannya. Bila tiba masanya untuk orang semacam ini bayar hutang tapi dia memang benar-benar tak mampu untuk menjelaskannya dan jumlahnya sekadar seringgit dua, maka kalau ada keikhlasan daripada pemberi hutang, tak salah kalau dihalalkan sahaja.

Kerana hutang, macam-macam boleh terjadi!

Thursday, November 25, 2010

Dewasa, Latah Dan Lucah

Pagi tadi, saya telah bertugas di sekolah bersempena dengan musim peperiksaan sekarang. Setelah murid-murid saya masuk ke dewan peperiksaan untuk menjawab kertas 1 mata pelajaran Sejarah, saya telah keluar kegerai makan berhampiran untuk bersarapan bersama-sama isteri saya. Lama juga saya tidak makan di gerai berhampiran JPJ ini.

Sewaktu saya dan isteri sedang menanti makanan yang dipesan, tiba-tiba telinga saya tertangkap sepatah perkataan lucah yang terkeluar dari mulut seorang dewasa. Saya berharap sangat agar perkataan yang tak senonoh itu tidak didengari oleh isteri saya. Malangnya harapan saya tidak kesampaian. Daripada reaksinya saya maklum telinga isteri saya juga turut tertangkap perkataan yang serupa daripada orang yang sama. Nasib baiklah Luqman tidak ada bersama. Kalau tidak, banyaklah soalannya yang perlu kami berdua jawab.

Orang yang mengungkapkan perkataan lucah tersebut ialah seorang wanita dan perkataan yang disebutnya ialah barang yang menjadi milik paling peribadi untuknya. Mungkin kerana dia beranggapan perempuan lain pun punya barang paling peribadi seperti dia, maka itu baginya tidak merasa segan bila mengungkapkan perkataan tersebut di khalayak orang.

Walaupun perkataan tersebut diucapkan Cuma sepatah, tapi ia diucapkan dengan kuat dan di tempat awam pula. Agaknya bukan telinga kami berdua sahaja yang tertangkap perkataan yang tidak sepatutnya itu. Saya agak yakin banyak lagi pasangan telinga orang lain yang berada di sekitar gerai tersebut turut tertangkap ungkapan perkataan yang tak sepatutnya itu.

Yang si pelucah pun satu hal juga. Kalau nak melucah pun pandanglah dulu kiri dan kanan. Nama saja ada penglihatan tapi tidak digunakan dengan betul. Saya tak fikir dia nak cari perhatian dengan cara macam ini. Mungkin akhlaknya memang sudah begitu sejak sekian lama.

Ada sesetengah orang, melucah di khalayak ramai semacam sudah jadi satu hobi dan keseronokan. Mereka merasa bangga yang amat tinggi bila dapat melepaskan walaupun cuma satu kalimat lucah dalam khalayak ramai. Kebanggaannya akan meningkat bila perbuatan yang tak senonoh itu dapat galakan pula dari rakan-rakan yang seakhlak dengannya. Golongan seumpama ini seakan sudah lupa dan tak peduli lagi pada adab, adat dan sopan-santun. Sedangkan bagi mereka yang rasional, matang dan waras memandang perlakuan ini dengan penuh kejijikan dan kebencian.

Sebenarnya fenomena seperti ini agak kerap berlaku di tempat awam dan terbuka. Bila ia berlaku, tiada siapa pun yang berani tampil untuk menasihati si pelucah tadi. Bagi saya pula, kalau yang melakukannya rakan-rakan sendiri, maka saya akan mengingatkan rakan berkenaan supaya tidak mengulangi lagi kelakuan yang tak senonoh itu, sambil itu mengingatkan juga pada diri sendiri agar tidak melakukan hal yang sama. Tapi kalau si pelucah itu orang yang tidak saya kenali, maka saya akan diamkan sahaja. Simpan benci dalam hati sahaja.

Agaknya inilah yang disabdakan oleh Rasulullah, “.... jika kamu tidak mampu untuk mencegahnya dengan lidah kamu, maka cegahlah dengan hati kamu, sesungguhnya itulah selemah-lemah iman”.

Sesungguhnya malu itu adalah cabang-cabang iman. Ada juga yang berkata, malu itu adalah perisai iman. Kalau sudah tak punya malu, maknanya bukan sahaja iman yang sudah tak ada, cabang dan perisainya pun turut hilang sama.

Persoalannya ialah, mengapa gejala seperti ini kian menular dan meliar dalam masyarakat kita? Bagi saya, antara sebabnya ialah sebilangan kita sudah hilang sifat malu sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain. Sebab itu, si pelucah tadi bukan sahaja tidak malu pada dirinya sendiri, tetapi rasa malunya terhadap orang di sekelilingnya juga sudah tiada. Orang di kelilingnya juga sudah hilang rasa malu sehingga tiada siapa pun yang berani tampil untuk menasihati si pelucah tadi.

Di samping itu, terdapat juga sebilangan ibu bapa yang akan menggunakan perkataan carut dan lucah ketika memarahi anak-anak mereka. Kesan jangka panjangnya ialah generasi anak-anak tadi merasakan bukanlah sesuatu yang salah bilamana perkataan carut dan lucah digunakan di tengah orang ramai. Sebaliknya, bila mereka ditegur, maka orang yang menegur tadi pula akan dianggap salah, ketinggalan zaman dan sebagainya.

Oleh kerana fenomena sebegini semakin kerap berlaku dan yang terlibat pula tidak lagi mengira peringkat usia, maka sesetengah orang menganggap perkara seperti ini sudah biasa dan tidak perlu ditegah lagi. Jika demikian, tidak hairanlah jika fenomena sebegini juga semakin menular dan meliar kepada golongan pelajar sekolah. Ini yang dikatakan, kalau bapak borek maka anaknya rintik, kalau orang dewasa semakin biasa sebagai si pelucah, maka golongan anak-anak sekolah pun kian menjadi-jadilah.

Oleh kerana yang biasa itu dianggap betul, maka perbetulkanlah yang biasa itu.

Tuesday, November 23, 2010

Lawatan Ke Parlimen

Pagi semalam (22 November), satu program lawatan ke parlimen telah diadakan. Lawatan ini dianjurkan di bawa Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Seramai 8 orang telah menyertai program lawatan ini yang terdiri daripada 4 orang kakitangan ibu pejabat PERTIS, 2 orang AJK Pusat (termasuklah saya) dan 2 orang Ahli Bersekutu PERTIS.

Antara objektif program lawatan ini ialah untuk mendedahkan kepada peserta suasana secara langsung persidangan di Dewan Rakyat; meningkatkan semangat jati diri; memupuk semangat patriotisme; mendedahkan kepada para peserta perjalanan persidangan; berinteraksi dengan ahli yang berhormat (jika ada kesempatan).

Secara peribadi, ini bukanlah lawatan pertama saya ke parlimen. Seingat saya, kali pertama saya melawat parlimen ialah pada tahun 1982 ketika di awal sekolah menengah iaitu ketika menghadiri majlis jamuan beersempena dengan keputeraan ke bawah duli Tuanku Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong waktu itu. Tuanku Yang Dipertuan Agong (Tuanku Sultan Pahang) turut berangkat hadir dalam majlis tersebut dan turut sama berinteraksi dengan yang hadir termasuklah saya.

Selepas itu, saya pernah melawat ke parlimen beberapa kali lagi. Saya juga pernah berkesempatan duduk di galari VIP ketika mengikuti persidangan Dewan Rakyat beberapa tahun lalu. Manakala bagi keempat-empat kakitangan PERTIS pula, ini merupakan lawatan pertama mereka ke parlimen.



Saya serta ahli rombongan yang lain tiba di perkarangan parlimen pada sekitar jam 9.35 pagi. Kami disambut oleh En. Rashid dan Engku Fauzi, iaitu dua orang kakitangan parlimen. Setibanya kami, semua peserta dibawa ke kantin parlimen untuk bersarapan.

Setelah itu, sekitar jam 10.00 pagi, kami dibawa naik ke tingkat di mana persidangan Dewan Rakyat berlangsung. Sebelum memasuki ke galari awam untuk mengikuti persidangan, Engku Fauzi telah memberikan taklimat ringkas mengenai beberapa peraturan yang harus kami patuhi terutamanya ketika mengikuti persidangan. Ini merupakan perkara dan prosedur biasa. Antaranya, semua telefon bimbit hendaklah dimatikan terus. Bila masuk dan keluar dari galari persidangan, kepala hendaklah ditundukkan sedikit tanda hormat kepada dewan yang mulia itu. Bercakap-cakap dan buat bising turut dilarang. Entah silapnya di mana, salah seorang daripada peserta rombongan memakai baju kemeja berlengan pendek. Nasib baik seorang lagi peserta memakai baju kemeja berlengan panjang dan juga memakai kot. Jadi kotnya telah dipinjamkan kepada peserta yang memakai kemeja berlengan pendek tadi. Demikianlah kalau sudah jadi peraturan, kena ikut dan kena patuh.

Sekitar jam 10.05 kami pun mula memasuki galari awam untuk mengikuti persidangan. Saya dimaklumkan, orang awam yang mengikuti persidangan sebelah pagi tidaklah begitu ramai. Begitu juga dengan jumlah ahli-ahli yang berhormat yang hadir di awal persidangan juga tidak ramai. Jumlah mereka semakin bertambah selepas setengah jam kemudian. Speaker persidangan kali ini ialah YB Datuk Ronald Kiandy, iaitu salah seorang daripada dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Saya serta para peserta lain terus berada di galari awam sehinggalah jam 11.45 pagi. Ianya meliputi sesi soal jawab serta peringkat awal sesi perbahasan. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak parlimen, khususnya Datuk Zamani Sulaiman (Setiausaha Dewan Negara) yang begitu peka dengan kesulitan dan kekurangan 2 orang peserta lawatan. Kedua-dua peserta berkenaan menghadapi masalah pendengaran di samping masalah penglihatan. Untuk membolehkan kedua-duanya mengikuti persidangan dengan lebih sempurna, maka kedua-duanya telah dibekalkan dengan alat bantuan pendengaran tanpa wayar. Dengan bantuan alat tersebut, maka bolehlah kedua-dua sahabat saya itu mengikuti persidangan Dewan Rakyat kali ini dengan baik sekali. Hal ini diakui sendiri kepada saya oleh salah seorang daripada mereka kemudiannya.



Sekitar jam 11.45 pagi, iaitu sejurus setelah kami keluar daripada galari awam, kami berpeluang pula berinteraksi dengan YB Batang Sadong (Datuk Hjh Nancy Shukri). Ini juga merupakan salah satu daripada objektif lawatan kami kali ini. Sesi ini telah berlangsung selama setengah jam. Beliau terus bertanyakan mengenai permasalahan yang ingin diutarakan kepada beliau. Saya selaku ketua rombongan telah mengambil kesempatan yang ada dengan memperkenalkan sedikit mengenai PERTIS. Selain itu, saya juga telah mengutarakan beberapa permasalahan lain yang pada perkiraan saya selama ini ia kurang mendapat perhatian daripada pihak-pihak yang berkenaan walaupun setelah berkali-kali disalurkan mengikut saluran yang telah ditetapkan oleh pihak berkenaan. Mungkin oleh kerana salurannya “tersumbat”, maka permasalahan berkenaan masih belum ada jalan penyelesaiannya. Lagi pun, permasalahan yang saya maksudkan pada kali ini telah saya kemukakan semula (salurkan) kepada ahli YB dari BN dan bukannya kepada ahli YB daripada parti pembangkang.



Antara perkara yang telah saya utarakan ialah mengenai quota 1 peratus untuk orang kelainan upaya (OKU) dalam sektor awam. Setelah hampir 2 dekad dasar ini diperkenalkan, ia masih jauh untuk sampai ke matlamatnya. Permasalahan ini dikendalikan tak ubah macam pahat dengan penukul. Sekali kita berbunyi, maka sekali pihak tertentu memberi reaksi. Sebab itulah hampir 2 dekad ia masih belum dapat diselesaikan lagi. Statistik yang ada mengenai jumlah OKU yang berkhidmat di sektor awam masih jauh daripada sasaran iaitu 1% daripada jumlah keseluruhan kakitangan awam.



Permasalahan kedua yang saya utarakan ialah mengenai golongan cacat penglihatan yang berbakat besar dalam bidang muzik tetapi gagal menjadikannya sebagai profesion dan mata pencarian yang dapat menjamin kehidupan. Ia adalah gara-gara hampir kesemua mereka tidak mampu belajar muzik hingga ke tahap tertinggi. Mereka tidak berkemampuan untuk melakukannya kerana golongan tersebut tidak boleh membaca not muzik. Walhal not muzik dalam bentuk Braille sudah lama ada. Saya sendiri pernah menulis mengenai hal ini beberapa kali. Bahkan saya sendiri pernah melalui pengalaman yang tidak kurang pahitnya gara-gara cuba mengangkat martabat golongan pemuzik cacat penglihatan yang rata-rata masih di tahap jalanan. Walaupun saya tidak pandai bermain alat muzik dan biar apa pun yang berlaku, ia sama sekali tidak mematahkan semangat saya untuk terus membela nasib golongan pemuzik cacat penglihatan berkenaan. Lagi pun mereka bukannya orang lain, sahabat dan rakan saya juga.



Ada lagi satu dua permasalahan lain yang sempat saya utarakan untuk perhatian beliau. Seterusnya saya bertanya kepada YB berkenaan, adakah beliau pernah mendapat maklumat sebagaimana yang saya berikan kepada beliau hari ini? Katanya tidak pernah. Seterusnya beliau menyatakan betapa bersyukurnya beliau kerana dapat beroleh maklumat sebegini yang sukar untuk diperolehi dari punca lain. Sesi ini diakhiri dengan persepakatan untuk saling berhubungan antara satu sama lain pada masa-masa hadapan.

Program lawatan kami kali ini diakhiri dengan jamuan tengah hari di kantin parlimen. Boleh dikatakan semua peserta lawatan makan dengan berselera. Maklumlah lauk-pauknya sedap dan enak. Di sini, saya bagi pihak peserta lawatan ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YB Datuk Seri Mohd Nazri Aziz kerana telah menaja jamuan makan tengah hari kami.

Saya amat bersyukur ke hadhrat Allah kerana program lawatan ke parlimen kali ini telah berjalan dengan lancar. Setidak-tidaknya misi kali ini juga berjaya mengenengahkan PERTIS ke tengah masyarakat. Ia selaras dengan tema kepimpinan saya dalam PERTIS iaittu “Memasyarakatkan PERTIS”. Akhir sekali, saya bagi pihak semua peserta lawatan, ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang begitu baik sekali dalam menjayakan program lawatan ke parlimen kali ini.

Monday, November 22, 2010

Selamat Menduduki Peperiksaan SPM

Esok (23 November) akan bermula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara. Ada ketikanya, sebagai guru yang turut terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran tingkatan 5, sudah tentu sedikit sebanyak saya juga turut merasai debarannya. Debaran seorang guru kadangkala lebih hebat dirasakan kerana kejayaan atau kegagalan murid-muridnya akan dipertanggungjawabkan kepadanya kelak.



Kepada seluruh calon khususnya murid-murid saya yang akan mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok, diucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM. Saya sentiasa mendoakan kejayaan khusus buat murid-murid saya.



Dalam tempoh musim peperiksaan ini, jangan lupa untuk tidur lebih awal; jangan lupa juga untuk menghubungi ibu bapa memohon mereka mendoakan kejayaan masing-masing; jangan lakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan masalah dalam musim peperiksaan seperti bergaduh dengan rakan; jangan lupa sentiasa berdoa semoga akan beroleh kejayaan; jangan lupa bersarapan walaupun sedikit sebelum masuk ke dewan peperiksaan di sebelah pagi; gunakan nota dan catatan yang ada untuk ulang kaji.

Kepada yang berkenaan, selamat menduduki peperiksaan SPM. Buatlah yang terbaik semoga akan beroleh keputusan yang terbaik juga.

Sunday, November 21, 2010

Selamat Pengantin Baru Kepada Ustaz Zamani Dan Cikgu Siti Maisarah

Hari ini (21 November) merupakan hari perkahwinan di antara Ustaz Mohd Zamani bin Ibrahim dengan pasangan pilihannya Cikgu Siti Maisarah binti Mohd Nor. Kedua-dua mereka merupakan rakan saya dan kedua-duanya juga bertugas di sekolah yang sama dengan saya. Ustaz Zamani berasal dari Kelantan, manakala Cikgu Siti Maisarah pula berasal dari Bukit Besi, Dungun, Terengganu. Kedua-dua mereka telah bertemu di sekolah tempat mereka bertugas sekarang. Agaknya inilah yang dikatakan, asam di darat, ikan di laut, dalam periuk bertemu juga.

Kepada Ustaz Zamani dan Cikgu siti Maisarah, saya ingin meminta berbanyak-banyak maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan anda berdua sama ada di Dungun mahupun di Kelantan. Memang benar, sedari awal lagi saya sekeluarga telah merancang akan menghadiri majlis anda berdua di Dungun hari ini. Namun begitu, sepertimana yang telah saya nyatakan, pada hari Jumaat lalu saya sekeluarga terpaksa pulang semula ke KL untuk menyelesaikan satu tugas penting pada hujung minggu ini. Hari ini pun saya akan menyambung untuk menyelesaikan urusan penting berkenaan. Saya Cuma merancang, tetapi inilah yang telah ditentukan Allah, jadi saya tak mampu untuk mengelaknya.

Walaupun saya sekeluarga tidak dapat hadir, dari kejauhan saya tetap mendoakan semoga perkahwinan Ustaz Zamani dan Cikgu Siti Maisarah akan diberkati Allah, dirahmati serta kekal bahagia sehingga ke akhir hayat. Jangan lupa, dasar ke arah penduduk 70 juta yang telah dilancarkan pada masa Tun Dr. Mahathir sebagai perdana menteri masih terpakai hingga kini.

Mungkinkah SMPK Setapak akan dapat warden baru tahun hadapan?

Saturday, November 20, 2010

Kalau Judi Hukumnya Tetaplah Haram

Pagi tadi, saya telah ke satu tempat untuk urusan pengeluaran wang. Maklumlah saya memang tak simpan wang tunai yang banyak. Cukuplah seringgit dua untuk buat belanja barang sehari dua. Begitulah yang saya sekeluarga amalkan.

Kebetulan pula, tidak jauh dari tempat saya berurusan untuk mengeluarkan wang, ada sebuah premis nombor ekor tersohor. Kebetulan agaknya, sewaktu saya menghampiri tempat untuk menguruskan pengeluaran wang, tiba-tiba seorang lelaki berwajah Melayu yang kacak dan berpakaian kemas keluar dari premis nombor ekor berkenaan. Bila terpandang sahaja saya, lelaki berkenaan berubah mukanya menjadi malu. Walaupun riak wajahnya kemalu-maluan, beliau terus berjalan menuju ke kenderaannya dan menulis sesuatu.

Kebetulan juga agaknya, seorang lelaki Melayu yang lain pula tiba-tiba berjalan ke arah premis nombor ekor berkenaan. Bila lelaki berkenaan terpandang sahaja saya, beliau tak jadi pula masuk ke premis berkenaan, sebaliknya berjalan terus seakan mencari sesuatu atau menanti seseorang. Walau bagaimanapun, setelah saya berlalu dengan kenderaan, sempat juga orang yang memandu kenderaan saya meninjau ke belakang dan ternampaklah lelaki tadi masuk ke premis nombor ekor berkenaan.

Mengapa kedua-dua lelaki tadi harus malu kepada saya untuk masuk ke premis nombor ekor tadi? Saya bukannya penguat kuasa mana-mana jabatan agama. Lagi pun saya langsung tak berkopiah atau berserban. Bukankah lebih aula jika kedua-dua lelaki tadi malu kepada Allah? Bukankah Allah itu Maha Melihat apa sahaja yang dilakukan oleh makhluk-Nya?

Acap kali juga saya terdengar istilah “perjudian haram”. Kalau ada judi haram, maknanya adalah judi yang halal. Walhal Kitab telah memaklumkan bahawa semua yang berbentuk judi hukumnya tetaplah haram selama-lamanya hingga kiamat.

Saya juga pernah mendengar ungkapan “judi berlesen”. Maknanya, bila ada lesen maka aktiviti judi sudah menjadi halal. Besar sungguh kuasa “lesen” berkenaan sehingga boleh menghalalkan apa yang telah diharamkan.

Ada orang pernah memberitahu saya, nun di awan biru sana ada syurga judi lagi tersohor. Syurga judi yang ini agak alim sedikit kerana tidak membenarkan orang Malaysia yang beragama Islam menghampirinya. Seorang pemandu teksi yang suatu ketika dahulu pernah aktif di syurga judi berkenaan ada memberitahu saya, hanya orang Islam Malaysia sahaja yang diharamkan untuk menghampiri syurga judi berkenaan. Orang luar negara boleh menghampiri dan bermastautin dalam syurga judi berkenaan tanpa mengira agama dan akidahnya. Demikianlah saya dimaklumkan, wallahu aalam.

Hakikatnya, hukum haram terhadap judi terpakai kepada semua orang Islam almakani waz zamani. Sepatutnya semua orang Islam mesti diharamkan daripada menghampiri syurga judi berkenaan tanpa mengira warganegara, darjat dan pangkat. Sepatutnya juga, pusat-pusat judi yang kecil-kecilan juga seharusnya mengharamkan pusatnya dihampiri oleh mereka yang beragama Islam. Sepatutnya juga, di pintu utama dan di semua pintu lain semua pusat judi tanpa mengira di mana dan besar mana, harus memampangkan bannar gergasi yang ditulis dengan font bersaiz 50 atau lebih dengan ungkapan “Orang Islam dan beriman dilarang memasuki pusat ini”. Kalau pun orang yang berkenaan terlupa Allah sedang melihatnya, setidak-tidaknya tulisan yang sedemikian dapat mengingatkan mereka kepada Yang Maha Melihat. Barulah ada prasyarat untuk Malaysia jadi contoh sebagai sebuah negara Islam moden.

Hairan sungguh saya bila ada orang yang kononnya berakidahkan kepada Yang Satu boleh membuat cadangan supaya memberi kelulusan kepada aktiviti perjudian!!!

Friday, November 19, 2010

Intipati Khutbah Jumaat

Ketika ini saya masih lagi di Kuantan. Insha-Allah sebentar sahaja lagi saya sekeluarga akan bertolak untuk pulang semula ke KL. Saya harus pulang semula ke KL atas satu tugas yang saya kira penting untuk diselesaikan pada hujung minggu ini juga. Jadi rancangan untuk langsung ke Dungun Ahad ini terpaksa saya batalkan. Kepada yang berkenaan, saya minta banyak-banyak maaf.

Hari ini saya telah bersolat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Afzan yang juga terletak tidak jauh dari rumah kami. Apa yang menariknya ialah intipati khutbah Jumaat kali ini. Khutbah Kali ini membicarakan mengenai sumbang mahram.

Antara lain khatib memberikan takrif mengenai sumbang mahram, iaitu hubungan sex yang berlaku di antara pasangan yang haram bernikah di antara keduanya. Selain itu, khatib juga menerangkan punca dan sebab berlakunya sumbang mahram. Antaranya ialah tempat tinggal yang tidak sesuai; anak lelaki dan perempuan masih tinggal sebilik pada usia yang tidak sesuai; tiada didikan ugama yang secukupnya; penularan aksi lucah sama ada menerusi VCD, telefon bimbit dan juga internet dan sebagainya.

Menurut khatib lagi, sumbang mahram boleh berlaku di antara adik-beradik, antara bapa dengan anak, antara datuk dengan cucu, serta di antara adik-beradik susuan.

Seterusnya, khatib telah menyisipkan ayat 23 dari surah An-Nisa’ yang mana Allah telah menyatakan secara jelas golongan perempuan yang haram dinikahi oleh seseorang lelaki.

Mudah-mudahan Allah akan sentiasa memelihara kita semua daripada terlibat dengan perbuatan sumbang mahram yang amat keji ini.

Saya sendiri pernah berhadapan dengan mangsa perbuatan sumbang mahram. Kasihan si mangsa. Bukan sahaja masa depannya pudar, bahkan emosi si mangsa juga sentiasa terganggu dan sukar untuk dipulihkan. Seganas-ganas harimau pun tidak pernah ia memakan anaknya sendiri.

Kalau topiknya menarik dan khatibnya bersemangat, jarang benar ada jemaah yang tertidur sewaktu khatib sedang berkhutbah!

Salam dari Kuantan.

Wednesday, November 17, 2010

Salam Aidil Adha

Bersempena dengan sambutan Aidil Adha tahun ini (1431 Hijrah), saya sekeluarga ingin mengambil kesempatan yang ada untuk mengucapkan selamat menyambut Aidil Adha khusus kepada pengunjung blog ini. Saya berdoa semoga kita semua sentiasa berada dalam rahmat Yang Maha Esa. Ucapan Selamat aidil Adha juga ditujukan kepada sekalian muslimin di mana jua berada.



Saya sekeluarga menyambut perayaan Aidil Adha kali ini di Kuantan. Lagipun tahun lepas kami telah menyambutnya di Melaka. Alhamdulillah, dengan sedikit rezeki yang dikurniakan, keluarga kami di Kuantan turut mengadakan ibadah Qurban.



Perayaan ini juga turut dikenali sebagai Hari Raya Qurban. Ia bersempena dengan peristiwa qurban yang telah berlaku di antara Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Allah Ismail. Banyak pengajaran dan teladan yang dapat diperolehi daripada kisah tersebut. Sesungguhnya, Nabi Muhammad S.A.W. adalah titisan zuriat yang telah diselamatkan daripada dua peristiwa qurban.



Dari segi kemeriahan, saya rasa lebih kurang sama sahaja antara di Kuantan dengan di Melaka. Menu sarapan di pagi raya sahaja yang sedikit berbeza. Walau apa pun, yang pentingnya kita semua harus bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk menyambut perayaan ini. Jika ada rezeki lebih bolehlah adakan ibadah qurban.

Salam dari Kuantan.

Friday, November 12, 2010

Menungan Subuh

Kalau Cepat Naik, Biasanya Akan Cepat Turun Juga

Acap kali kita mendengar orang berkata, hidup ini umpama pusingan roda, kadangkala naik dan kadangkala turun. Kalau pusingan roda itu laju naiknya, maka pusingan turunnya akan laju juga. Kehidupan makhluk yang bernama insan pun begitulah juga agaknya.

Beberapa hari lepas, meletup cerita Datuk Zaid Ibrahim yang telah meletakkan semua jawatannya dalam PKR. Beliau juga telah menarik diri dari bertanding untuk jawatan timbalan presiden. Usia Datuk Zaid dalam PKR baru hampir mencecah setahun jagung. Mungkin kerana Datuk Zaid terlalu ingin cepat naik, maka beliau tidak sedar ramai lagi orang lain yang separti dengannya yang inginkan beliau cepat tersungkur. Itulah akibatnya kalau hendak cepat sangat naik, akhirnya lebih cepat turun sebelum betul-betul sempat naik. Walau apa pun, keputusan Datuk Zaid beberapa hari lalu telah merealisasikan hasrat dan impian golongan yang ingin supaya beliau cepat turun.

Kalau diimbas sejarah naik turun Datuk Seri Anwar Ibrahim pun lebih kurang sama sahaja. Tinggal lagi, masa yang diperolehi oleh Datuk Seri Anwar semasa di atas agak lama sedikit.

Pada awal dekad 80-an Datuk Seri Anwar menyertai UMNO. Tidak lama selepas itu, beliau dapat jadi timbalan menteri. Tidak lama kemudian beliau dapat jadi menteri pula. Pada tahun 1993 beliau dapat naik hingga ke tahap timbalan perdana menteri. Hanya setakuk lagi untuk jadi pemimpin nombor wahid negara. Sewaktu Datuk Seri Anwar jadi timbalan perdana menteri, beliau sebenarnya telah “memotong jalan” ramai ahli dan pemimpin UMNO yang lebih lama dan lebih kanan daripada beliau. Apa nak buat, nak cepat naik punya fasal, itu semua tidak jadi perkiraan lagi.

Walau bagaimanapun, pada bulan September 1998, Datuk Seri Anwar telah jatuh tersungkur dan terhempas. Berdentum bunyinya. Almaklumlah, beliau bukan jatuh dari kedudukan rendah, tapi dari kedudukan nombor dua dalam negara. Tinggi tu! Sekarang setelah 12 tahun Datuk Seri Anwar tersungkur, peluang untuknya naik semula masih belum kelihatan. Saya tidaklah sampai mengatakan peluang untuknya naik semula sudah di tahap mustahil, tetapi realitinya buat masa ini, kata orang, tak nampak cara.

Dalam kalangan artis negara pun hal yang sama juga turut terjadi. Adalah sebilangan artis baru yang tiba-tiba namanya begitu melonjak sekali. Di mana-mana namanya disebut orang. Fesyen rambutnya pun jadi ikutan anak-anak muda. Boleh dikatakan, popularitinya bukan setakat melantun, tetapi melonjak sehinggakan sang awan pun terpaksa ke tepi untuk memberikan laluan. Malangnya usia popularitinya seakan tak panjang. Hari ini, nama artis berkenaan sudah semakin jarang disebut orang. Mengapa? Adakah artis berkenaan sedang menuruni puncak kejayaannya?

Ada satu golongan manusia yang suka naik cepat tapi ambil masa juga untuk turun. Golongan sebegini ialah jenis orang yang suka naik dengan memijak kepala orang lain. Selagi ada kepala yang boleh dipijak, selagi itulah orang semacam ini sukar untuk turun. Orang jenis ini pun pandai juga. Mereka tidak akan pijak kepala yang hampir reput. Sebaliknya mereka akan pijak kepala yang masih keras tapi berotak lembik. Walaupun kepala nampak keras tetapi oleh kerana otaknya lembik dia tak perasan atau tak peduli kepala kerasnya sedang dipijak orang yang ingin naik cepat.

Jadi, kalau ada mana-mana orang yang terasa dirinya cepat sangat naik, atau memang berniat hendak naik cepat, berhati-hatilah. Saya tidaklah sampai mengatakan semua orang yang cepat naik akan cepat turun, tetapi potensi untuk orang berkenaan cepat turun memang ada.

Saya bukanlah termimpikan hal ini malam tadi!

Monday, November 8, 2010

Kemenangan BN Di DUN Galas: Sekadar Ulasan Dari Jauh

Pada 4 November (Khamis) lalu, dua pilihanraya kecil telah diadakan secara serentak, iaitu pilihanraya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan, dan juga pilihanraya kecil bagi kerusi parlimen Batu Sapi, Sabah. Kedua-dua kerusi tersebut telah kosong kerana penyandangnya telah meninggal dunia. Kedua-dua pilihanraya kecil tersebut telah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN), dan kedua-duanya telah dimenangi dengan jumlah majoriti yang besar.

Dalam tulisan saya kali ini, saya akan memberi tumpuan kepada keputusan pilihanraya kecil di DUN Galas. Bagi saya, sejak awal-awal lagi, saya telah menjangkakan kerusi parlimen Batu Sapi tetap menjadi milik BN. Hanya jumlah majoritinya sahaja yang masih menjadi tanda tanya.

Saya memberi tumpuan kepada keputusan pilihanraya kecil di DUN Galas atas beberapa sebab. Penyandang kerusi DUN Galas sebelum ini ialah (Allahyarham) Che Hashim Sulaima dari PAS. Beliau telah memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2008 dengan majoriti 646 undi, iaitu kurang dari seribu undi. Sebelumnya, kerusi DUN Galas merupakan antara kubu kuat BN di Kelantan. Penyandang kerusi berkenaan sebelum Che Hashim ialah Saufi Deraman yang telah memenangi kerusi berkenaan sejak tahun 1999 lagi. Bagi saya, kemenangan wakil PAS di kerusi berkenaan dalam pilihanraya umum 2008 lebih merupakan akibat tempias tsunami politik yang melanda politik tanah air dalam pilihanraya umum tahun 2008. Oleh itu, apabila pilihanraya kecil di DUN Galas diadakan, ia sebenarnya merupakan satu kesempatan bagi BN untuk membuktikan bahawa Galas adalah kubu tradisinya yang wajib dirampas semula daripada PAS. Maka itulah juga apabila ada dalam kalangan pemimpin PAS yang menggesa supaya UMNO/BN agar tidak meletakkan calonnya di Galas untuk memberi laluan kepada PAS mengekalkan kerusi berkenaan untuk terus menjadi miliknya sehingga ke pilihanraya umum berikutnya telah ditolak mentah-mentah oleh BN. Berdasarkan keputusan pilihanraya kecil DUN Galas kemudiannya, apa yang telah diputuskan oleh BN itu ternyata wajar dan tepat.

Dalam pilihanraya kecil DUN Galas baru-baru ini, Abdul Aziz Yusuf yang mewakili BN telah menang selesa dengan memperolehi 5324 undi. Manakala Dr. Zulkifli Muhammad yang mewakili PAS pula telah memperolehi sebanyak 4134 undi. Majoriti yang diperolehi oleh Abdul Aziz ialah sebanyak 1190 undi. Peratus pengundi yang keluar mengundi pula ialah sekitar 83%. Jumlah majoriti yang diperolehi oleh Abdul Aziz melebihi dua kali ganda daripada majoriti yang perneh diperolehi oleh (Allahyarham) Che Hashim Sulaima dalam pilihanraya umum tahun 2008.



Bagi saya, kemenangan BN dalam pilihanraya kecil DUN Galas boleh ditafsirkan dari beberapa sudut. Sejak awal-awal lagi, pimpinan tertinggi UMNO telah meletakkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihanraya kecil DUN Galas. Pelantikan ini bukannya untuk mengenepikan peranan dan kedudukan Datuk Seri Mustapha Muhammad selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan. Sebaliknya ia merupakan strategi bijak pemimpin tertinggi UMNO untuk memperoleh kemenangan di Galas. Sebenarnya corak percaturan politik yang dilaksanakan oleh pimpinan tertinggi UMNO bukanlah sesuatu yang asing. Bagi mereka, “siapa” tidak penting. Sebaliknya yang lebih aula dan utama ialah “menang”. Oleh kerana pada percaturan politik pimpinan tertinggi UMNO Tengku Razaleigh adalah tokoh yang diyakini boleh membawa kemenangan kepada UMNO dalam pilihanraya kecil di DUN Galas, maka Tengku Razaleigh telah dipilih selaku pengarah dalam pilihanraya kecil Galas. Walaupun sebelum ini Tengku Razaleigh pernah tidak sehaluan dengan pimpinan tertinggi UMNO yang sekaligus menyokong kerajaan PAS Kelantan mengenai tuntutan royalti minyak, tetapi bilamana “menang” menjadi keutamaan, maka tindakan Tengku Razaleigh sebelum ini seolah-olah sudah terampun. Kemenangan BN dalam pilihanraya kecil DUN Galas memungkinkan “dosa” Tengku Razaleigh sebelum ini bukan sahaja sudah terampun, bahkan akan terus terhapus. Oleh itu, dalam konteks Galas khususnya, keunggulan pengaruh Tengku Razaleigh sebagai king maker memang tidak tersangkal lagi.

Sewaktu penamaan calon, sebilangan penganalisis meramalkan bahawa dari sudut moral, PAS telah mencapai kemenangan. Analisis ini berdasarkan bilangan pengiring calon PAS dikatakan hampir dua kali ganda ramainya daripada bilangan penyokong dan pengiring calon BN. Bahkan ada yang menganggarkan jumlah penyokong BN sekitar 3500 orang, manakala jumlah penyokong PAS pula adalah sekitar hampir 7000 orang. Saya tidaklah mengatakan bahawa penganalisis berkenaan telah membuat kekhilafan. Mereka hanya penganalisis dan bukannya nujum Pak Belalang. Walau bagaimanapun, jika ada dalam kalangan pemimpin, pendokong atau penyokong PAS yang merasakan bahawa mereka sudah memperoleh kemenangan awal, maka ia merupakan satu kekhilafan besar. Secara psykologinya, bila kita mulai rasa menang, maka secara perlahan semangat untuk berjuang akan luntur sedikit demi sedikit. Apa yang sepatutnya kukuh dan utuh dalam jiwa pemimpin, penyokong atau pendokong PAS ialah, jangan sekali-kali merasa menang sebelum diisytiharkan menang secara rasmi.



Apabila keputusan rasmi diisytiharkan di mana kemenangan selesa berpihak kepada BN, ramai juga penyokong dan pendokkong PAS yang merasa begitu kecewa. Bagi saya, hal sebegini tidak sepatutnya berlaku. Kemenangan BN di Galas langsung tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS. PAS masih mempunyai 37 kerusi lagi dicampur dengan 1 kerusi milik PKR. Sedangkan UMNO/BN hanya mempunyai 7 kerusi sahaja termasuk kerusi DUN Galas yang baru mereka ambil semula.



Sebenarnya kerajaan PAS Kelantan pernah berada dalam situasi genting bilamana dalam pilihanraya umum 2004 ia hanya mampu memperolehi 24 kerusi di DUN Kelantan, berbanding dengan UMNO yang berjaya memperolehi 21 kerusi. Keadaan semakin genting apabila dalam pilihanraya kecil DUN Pangkalan Pasir pada tahun 2005, PAS telah kehilangan kerusi di DUN tersebut. Ini menyebabkan kedudukan kerusi di DUN Kelantan ketika itu PAS mempunyai 23 kerusi manakala UMNO memperolehi 22 kerusi. UMNO hanya memerlukan 1 kerusi sahaja lagi untuk menumbangkan kerajaan PAS Kelantan. Namun demikian, Allah tidak mengizinkan ia berlaku. Walaupun dengan kelebihan hanya 1 kerusi, kerajaan PAS Kelantan terus mampu bertahan sehinggalah ke pilihanraya umum 2008. Kekalahan PAS di DUN Galas sama sekali tidak meletakkan kerajaan PAS Kelantan berada pada kedudukan yang sangat genting seperti sebelumnya.

Walau bagaimanapun, sekiranya sesuatu tidak segera dilakukan, maka tidak menghairankan jika ditakdirkan berlaku pilihanraya kecil sekali lagi di Kelantan PAS akan kehilangan kerusi untuk kali yang seterusnya. Bagi saya, generasi pengundi millennium ketiga telah menunjukkan perubahan tertentu. Mereka lebih bersifat rasional daripada bersikap tegar. Kalau UMNO/BN boleh mereka hukum, inikan pula parti siasah seperti PAS.

Apa yang pernah berlaku di kerusi DUN Pangkalan Pasir juga boleh dijadikan teladan. Dalam pilihanraya umum tahun 2004, kerusi DUN Pangkalan Pasir telah dimenangi oleh (Allahyarham) Abdul Aziz Jaafar dari PAS. Walau bagaimanapun, dalam pilihanraya kecil tahun 2005, kerusi tersebut telah dimenangi pula oleh Hanafi Mamat, calon dari UMNO. Dalam pilihanraya umum 2008 pula, Hanafi Mamat gagal mempertahankan kerusi berkenaan apabila ia telah dirampas kembali oleh PAS. Hal yang serupa juga boleh berlaku pada kerusi DUN Galas. Walaupun Galas dikatakan kubu totok UMNO, tetapi perubahan tren generasi pengundi millennium ketiga ini tidak memungkinkan sesebuah kerusi sama ada DUN mahupun parlimen menjadi milik totok mana-mana kumpulan siasah untuk selama-lamanya. Jika PAS Kelantan berjaya melaksanakan apa jua bentuk perubahan yang perlu, maka bukanlah sesuatu yang mustahil untuknya merampas kembali Galas dari tangan UMNO.



Sepatutnya kemenangan tipis PAS dalam pilihanraya kecil di DUN Manek Urai setahun lalu menjadi titik tolak kepada PAS Kelantan untuk bermuhasabah dan seterusnya melakukan apa jua bentuk perubahan yang perlu agar ia terus relevan dengan tren serta kehendak pengundi masa kini. Mungkin kerana apa yang sepatutnya dilakukan selepas pilihanraya kecil DUN Manek Urai tidak dilaksanakan dengan sempurna, maka PAS telah dihukum dengan mengalami kekalahan dalam pilihanraya kecil di DUN Galas.

Dalam konteks UMNO/BN pula, nampaknya ada perubahan positif yang telah mereka lakukan khususnya setelah mereka menang di kerusi DUN Galas. Tidak seperti sebelumnya, kemenangan di Galas tidak lagi dikupas dan diulas oleh UMNO/BN melalui media yang menjadi penyokong dan pendokong mereka secara panjang dan lebar selama melebihi berhari-hari dan bermalam-malam. Ada juga pemimpin tertinggi UMNO yang menggesa ahli parti supaya jangan merasa selesa dengan kemenangan di Galas. Baguslah kalau sudah berubah begitu. Nampaknya orang UMNO juga mungkin sudah merasai betapa pentingnya bersikap “meraikan kemenangan jangan sampai melukakan hati lawan”. Manalah tahu esok lusa lawan akan menjadi kawan pula. Bukankah corak politik seringnya begitu.

Bagi UMNO/BN, setidak-tidaknya kemenangan di DUN Galas dapat mengubat luka di kerusi parlimen Kuala Terengganu. Dalam pilihanraya kecil kerusi parlimen Kuala Terengganu pada bulan Januari 2009, PAS telah berjaya merampas kerusi berkenaan yang sebelumnya telah dimenangi oleh wakil UMNO/BN dalam pilihanraya umum 2008. Selepas pertembungan di Parlimen Kuala Terengganu, UMNO dan PAS telah bertembung sebanyak 4 kali sebelum pertembungan terakhir mereka di DUN Galas. Keempat-empat pertembungan berkenaan iaitu di Parlimen Bukit Gantang (Perak), DUN Permatang Pasir (Pulau Pinang), DUN Bagan Pinang (Negeri Sembilan) dan DUN Manek Urai (Kelantan), keputusan keempat-empat pertembungan berkenaan hanya sekadar mengekalkan statusquo parti siasah yang telah menguasai keempat-empat kerusi berkenaan menerusi pilihanraya umum 2008. Apabila UMNO berjaya merampas kerusi DUN Galas daripada PAS, maka sedikit sebanyak ia telah membalut luka politik UMNO dalam pilihanraya kecil di Kuala Terengganu lebih setahun yang lalu.

Kemenangan UMNO/BN di Galas juga disokong oleh strategi berkempen mereka yang lebih berkesan. UMNO/BN amat menyedari bahawa pengundi minoriti seperti orang asli dan Cina merupakan pengundi penentu yang sangat penting. Justeru, mereka telah memberikan tumpuan khas kepada golongan pengundi berkenaan. Kesannya, perubahan sokongan para pengundi minoriti daripada PAS kepada UMNO/BN terutamanya di saat-saat akhir telah menyumbang kepada kemenangan selesa calon UMNO/BN.

Saya kurang bersetuju dengan kenyataan pemimpin tinggi UMNO/BN bahawa kemenangan UMNO/BN di Galas membuktikan rakyat kini semakin sedar mengenai perjuangan UMNO/BN. Pendapat tersebut telah dikemukakan oleh orang politik atas motif politik semata-mata. Apa yang seharusnya berlaku ialah kumpulan-kumpulan siasah sepatutnya peka dengan perubahan cara berfikir generasi pengundi millennium ketiga. Seperti yang telah saya nyatakan, mereka kini semakin kurang bersikap “menyokong secara tegar” dengan mana-mana kumpulan siasah. Sebaliknya mereka semakin rasional ketika membuat pilihan. Pertimbangan mereka tidak hanya terarah kepada parti siasah yang diwakili semata-mata, sebaliknya jenis calon yang diturunkan untuk mewakili mana-mana parti siasah turut menjadi perkiraan. Ia sekaligus merupakan petanda bahawa calon/wakil daripada spesies tunggul dan hanya bersikap pak angguk semakin tidak mendapat tempat.

Sesungguhnya keputusan pilihanraya kecil DUN Galas mempunyai petunjuk-petunjuk tertentu yang harus diberikan perhatian sama ada oleh UMNO/BN mahupun PAS. Sekiranya petunjuk yang terserlah gagal difahami, maka ia akan mengakibatkan pihak yang gagal memahaminya bakal kecundang sekali lagi.

Saya bukan pendokong tegar mana-mana kumpulan siasah, saya Cuma memerhati dari jauh sahaja.