Monday, June 30, 2014

Abu Zarin Husein Kembali Ke Rahmatullah (Catatan Lewat)



Sebagaimana yang mungkin kita semua sudah maklum, Abu Zarin Husein telah kembali ke rahmatullah malam tadi. Khabarnya beliau telah terjatuh lebih dahulu sebelum disahkan meninggal dunia.

Dalam tempoh sebulan ini sekurang-kurangnya sudah 3 rakan kita yang sudah dijemput Ilahi. Mesejnya ialah giliran kita juga semakin hampir.

Kali terakhir saya bertemu dengan Allahyarham ialah di surau MAB beberapa minggu lalu ketika sama-sama mengerjakan solat maghrib berjemaah.

Kepada ahli keluarga Allahyarham, takziah diucapkan. Bersama-samalah kita berdoa semoga Allahyarham akan ditempatkan bersama dengan para solihin.

Alfatihah ....


Sunday, June 29, 2014

Mari Kita Sama-sama Bantu Yusiran



Yusiran Ahmad merupakan salah seorang rakan senasib yang memang dikenalai khususnya dalam kalangan golongan cacat penglihatan. Sebagaimana yang kita sama-sama maklum, sebelah kakinya telah dipotong akibat penyakit kencing manis. Semasa kedua-dua belah kakinya masih sihat, beliau sekadar bekerja sendiri bagi menyara kehidupannya. Walaupun beliau bersuara merdu ketika menyanyi, kelebihan yang ada padanya tidak membawa sebarang erti untuk kehidupannya.

Setelah kakinya dipotong beberapa tahun lalu, beliau telah dibawa balik ke kampung halamannya. Maklumlah jika di Kl pun tiada siapa yang akan benar-benar peduli padanya. Demikian beritahu arwah ibunya kepada saya ketika saya mengunjungi Yusiran di kampung hampir setahun lebih yang lalu.



Setelah ibunya meninggal dunia, mungkin kerana tidak betah lagi tinggal di kampung, Yusiran telah membawa dirinya kembali semula ke KL. Sebagai salah seorang rakan senasib, saya amat faham mengapa beliau kembali semula ke KL walaupun beliau amat memahami kesusahan yang bakal ditempuhinya di KL. Kasih ibu tidak mungkin sama dengan kasih saudara. Saya tidaklah mengatakan beliau dibuang saudara. Hakikatnya menumpang kasih dengan ibu jauh bezanya dengan menumpang kasih dengan saudara.

Di Kl, Yusiran menumpang ihsan rakannya yang baik hati. Beliau tinggal di tingkat 3, flat Seri Langkawi. Jarang benar beliau turun ke bawah. Maklumlah sudahlah cacat penglihatan, kaki sebelah pula sudah dipotong. Ia memang menyukarkannya untuk turun naik sebagaimana biasa. Jika benar-benar mustahak sahaja beliau akan turun ke bawah. Waktu selebihnya beliau akan duduk di rumah rakannya sahaja.

Yusiran memang tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Justeru, beliau hanya menumpang ihsan rakan, jiran serta rakan-rakan yang prihatin. Setakat yang saya maklum, untuk makan tengah hari Yusiran akan mendapat ihsan daripada sebuah kedai makan berhampiran. Untuk makan malam pula, ada jiran yang akan memberinya makanan. Selagi ada ihsan sebegini, Yusiran akan dapat makan. Demikianlah.

Menurut Yusiran, beliau ada memohon bantuan daripada Baitulmal Wilayah Persekutuan, tetapi sudah 6 bulan tiada siapa yang membantunya. Masalah utamanya ialah beliau tidak dapat mengisi borang permohonan sebagaimana diperlukan. Dalam hal ini, rasanya tidak menjadi kesalahan jika ada pegawai daripada Baitulmal yang sudi mengunjungi Yusiran dan sekaligus membantunya untuk mengisi borang permohonan sepertimana yang diperlukan.

Ketibaan bulan Puasa kali ini juga tidak membawa sebarang makna kepada Yusiran. Beliau akan menjalani kehidupannya juga seperti biasa. Kehidupannya akan terus bergantung kepada ihsan orang lain. Bila saya tanya tentang hari raya nanti, Yusiran sekadar memberitahu kemungkinan besar beliau tidak pulang ke kampung seperti dulu-dulu.

Saya sering ketengahkan Yusiran untuk dibantu bukan kerana ibu saya dan arwah ibunya merupakan rakan baik dan lama, tetapi kerana Yusiran benar-benar perlu dibantu. Sejak kematian ibunya, beliau semakin kesunyian. Hari ini hari Yusiran, esok lusa belum tahu hari siapa pula.

Bersempena dengan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, marilah kita sama-sama membantu Yusiran. Tak dapat sumbang banyak, sedikit pun memadai. Kalau tak dapat menyumbang wang ringgit, dapat beri sokongan moral pun sudah mencukupi. Kepada mereka yang berhasrat untuk memberi sumbangan berbentuk wang, boleh sumbangkan secara tunai terus kepada beliau. Sumbangan ke dalam akaun bank tidak praktikal kerana Yusiran amat sukar untuk ke bank bagi membuat pengeluaran.

Yusiran boleh dihubungi di talian rakannya 019-3944047.

Kepada mereka yang sudi membantu, setinggi-tinggi terima kasih diucapkan. Semoga Allah akan memberi balasan yang setimpal dengan keikhlasan kita, insha-Allah.


Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan



Ahlan wasahlan wamarhaban ya ramadhan ....

Tatkala berkumandang sahaja azan maghrib tadi, tentunya kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah kerana kita telah diberi peluang sekali lagi untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini. Serentak dengan itu juga, tentunya kita akan teringat sebilangan orang yang kita kasihi atau yang dekat dengan kita yang telah bersama kita pada Ramadhan yang lalu tetapi kali ini tidak lagi beserta kita ketika kita melangkah ke detik pertama awal Ramadhan kali ini. Dalam konteks itu, kita masih beruntung dan masih diberi peluang. Alhamdulillah sebanyak-banyaknya.



Kelebihan serta keberkatan bulan Ramadhan memang tiada taranya. Terpulang saja kepada kita untuk merebutnya. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk melaksanakan kewajipan yang telah diwajibkan ke atas kita bersempena dengan bulan Ramadhan kali ini. Mudah-mudahan juga Allah akan memberikan kepada kita kekuatan, kesihatan, kesenangan serta kelapangan untuk melakukan apa jua bentuk kebaikan bersempena dengan kehadiran Ramadhan kali ini.

Mudah-mudahan juga kehadiran Ramadhan kali ini akan membawa perubahan kepada diri kita daripada buruk kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik. Sia-sialah Ramadhan yang kita lalui jika tiada sebarang perubahan khususnya yang berkaitan iman jika tiada langsung perubahan pada diri kita.

Bersempena dengan Ramadhan kali ini juga, saya suka berpesan kepada diri sendiri dan juga kepada mereka yang suka mendengar pesanan, marilah kita berpuasa seluruhnya dan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Maknanya, selain daripada selera yang kita puasakan, sama-samalah juga kita puasakan hati kita, lidah kita, telinga kita, tangan kita serta kaki kita.



Kepada seluruh muslimin dan muslimat di mana jua anda berada, saya ucapkan selamat berpuasa dan salam Ramadhan. Marilah sama-sama kita manfaatkan Ramadhan kali ini semaksimumnya kerana tiada jaminan yang kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang.

Ramadhan Karim.


Monday, June 23, 2014

Barisan Pimpinan SBM 2014-2016



Mesyuarat dwitahunan ke-10 Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) telah berlangsung dari 20 – 22 Jun 2014. Berikutan daripada mesyuarat berkenaan, maka pemilihan barisan pimpinan SBM bagi sesi 2014-2016 telah diadakan. Sebagaimana yang telah saya nyatakan lebih awal, 3 tempat telah dimenangi tanpa pertandingan. Pemilihan telah berlangsung untuk jawatan naib presiden dan 8 orang Ahli Majlis Presiden.

Berikut adalah senarai barisan pimpinan SBM 2014-2016:

Tuan Haji Mohd Nazari bin Haji Osman (presiden)
Cikgu Mohamad Fekkeri bin Md Jusoh (naib presiden)
En. Rosyam bin Sidek (Setiausaha Agung)
Pn. Jasmin Khoo (bendahari)

Manakala 8 orang Ahli Majlis Presiden ialah:
1. Pn. Fadhilah binti Abdul Aziz;
2. Cik Anisah binti Ismail;
3. Dr. Wong Huey Siew;
4. En. Mustaza bin Mohd Zain;
5. En. Moktar bin Soon;
6. Cik Siti Huraizah binti Ruslan;
7. En. Ahmad Samsuri bin Muhammad;
8. En. Loh Kong Kenn.

Secara sepintas lalu, populariti En.Loh Kong Ken nampaknya menurun sedikit jika dibandingkan dengan keputusan pemilihan dua tahun lalu. Manakala En. Mohd Bukhari pula merupakan satu-satunya calon yang tewas untuk merebut 8 tempat dalam Majlis Presiden. Walau bagaimanapun, En.Bukhari seharusnya tidak merasa dukacita dengan kegagalan untuk mendapat tempat dalam Majlis Presiden. Khabarnya undian yang anda perolehi agak banyak juga dan bukannya sekadar 17 undi sahaja.

Kepada mereka yang telah terpilih, tahniah diucapkan. Hakikatnya anda semua telah terpilih untuk memimpin sebuah badan bukan kerajaan yang paling ramai dianggotai oleh golongan cacat penglihatan di negara ini. Anggaplah ia sebagai suatu amanah.

Kepada yang telah dipilih, selamat bertugas!


Sunday, June 22, 2014

Tahniah Kepada Tuan Haji Mohd Nazari Osman



Pada ketika ini, mesyuarat dwitahunan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) sedang berlangsung. Ia berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Sejak awal lagi, topik yang menjadi perbualan hangat ialah mengenai pertandingan untuk jawatan dalam Majlis Presiden SBM. Saya juga turut dibabitkan dalam kehangatan topik berkenaan.

Awal pagi tadi, saya mendapat maklumat, Tuan Haji Mohd Nazari Osman telah berjaya mengekalkan kawatannya selaku Presiden SBM untuk tempoh dua tahun lagi. Ini bermakna, Tuan Haji Nazari bukan sahaja berjaya kekal selaku presiden SBM sekurang-kurangnya sehingga 2016, mungkin yang lebih manis lagi baginya ialah bilamana beliau berjaya mempertahankan jawatannya tanpa bertanding. Tiada sesiapa yang mencabar kedudukan beliau selaku presiden SBM setidak-tidaknya untuk masa ini.



Sejak awal lagi, saya ada memberitahu kepada rakan-rakan yang terdekat bahawa buat masa ini kedudukan Tuan Haji Nazari selaku presiden SBM sukar untuk dicabar oleh sesiapa pun. Ini kerana corak kepimpinannya dalam SBM boleh diterima oleh sebahagian besar ahli. Mereka merasa selesa dengan pelbagai aktiviti yang sedang dan telah dilaksanakan oleh SBM sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri.

Mereka yang ada niat dan berhasrat untuk mencabar kedudukan Tuan Haji Nazari selaku presiden SBM juga mungkin telah berfikir berkali-kali. Jika tiada isu besar dan tanpa asas kekuatan yang jitu kedudukan Tuan Haji Nazari tidak mungkin dapat dicabar dengan mudah. Sejarah pemilihan tahun 2012 mungkin telah banyak memberi pengajaran kepada semua pihak. Kedudukan dan gelaran seseorang bukan jadi ukuran utama kepada sebahagian ahli SBM. Ahli-ahli SBM sudah ada selera mereka yang tersendiri dalam membuat pilihan untuk barisan pimpinan SBM.

Kemenangan Tuan Haji Nazari tanpa dicabar boleh ditafsirkan daripada pelbagai sudut. Berkemungkinan besar, majoriti ahli SBM sudah selesa dengan corak kepimpinan beliau. Maka itulah sebahagian besar ahli SBM merasa tiada ada keperluan untuk menggantikan presiden SBM sekarang dengan orang lain.

Saya juga tidak menafikan ada mendengar konon khabarnya ada sebahagian ahli yang kurang berpuas hati dengan corak kepimpinan Tuan Haji Nazari. Walau bagaimanapun, berkemungkinan juga golongan berkenaan tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk mencabar kedudukan Tuan Haji Nazari.

Insha-Allah, jika ada kesempatan, saya akan cuba mengulas faktor-faktor kemenangan Tuan Haji Nazari pada kesempatan yang lain.

Selain Tuan Haji Nazari, En. Rosyam sidek dan Pn. Jasmin Khoo juga berjaya mengekalkan jawatan masing-masing juga tanpa pertandingan. En. Rosyam berjaya mempertahankan kedudukan beliau selaku Setiausaha Agung SBM. Manakala Pn. Jasmin Khoo pula tiada yang mencabar kedudukannya selaku bendahari SBM.

Kepada ketiga-tiga penjawat utama SBM yang telah menang tanpa pertandingan, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah. Kita masih menanti pengisian untuk sebilangan tempat lagi dalam Majlis Presiden. Keputusannya akan diketahui menjelang tengah hari nanti.

Saya sendiri tidak dapat menghadiri mesyuarat dwitahunan SBM pada kali ini. Saya berada di Port Dickson bagi menyertai program lain.


Thursday, June 19, 2014

SBM Dan Pendirian Saya




Satu berita hangat yang tersebar meluas terutamanya selepas saya tidak lagi mmenganggotai AJK Pusat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) ialah saya akan bertanding untuk jawatan nombor satu dalam Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM). Dengan erti kata lain, saya akan mencabar kedudukan presiden SBM yang ada sekarang. Ada juga berita yang mengatakan tujuan saya meninggalkan barisan pimpinan PERTIS ialah untuk beralih kepada SBM pula.

Bermula 1 Jun lagi, saya telah menerima banyak panggilan telefon, email serta SMS yang bertanyakan mengenai hal tersebut. Beberapa pandangan mengenai kemungkinan hasil keputusan pertandingan antara saya dengan presiden SBM sekarang juga turut kedengaran. Ada yang mengatakan saya akan tewas jika berlaku pertandingan. Ada juga yang mengatakan saya ada peluang besar untuk menang.

Ada juga dalam kalangan pemanggil yang memberikan beberapa sebab mengapa saya harus bertanding untuk mencabar kedudukan presiden SBM yang ada sekarang. Mereka juga turut mengutarakan kepada saya beberapa alasan mengapa presiden SBM yang ada sekarang harus diganti dengan orang laian iaitu saya sendiri. Bahkan ada beberapa pemanggil yang menyatakan kesediaan untuk berkempen habis-habisan jika saya benar-benar bersetuju untuk mencabar kedudukan presiden SBM sekarang. Kepada mereka, terima kasih banyak saya ucapkan.

Selain itu, ada juga rakan-rakan yang memberikan pandangan sebaliknya. Bagi mereka, saya tidak sesuai untuk bertanding dalam barisan pimpinan SBM. Golongan ini turut mengemukakan beberapa hujah sebagai asas pandangan mereka. Saya hormati pandangan rakan-rakan sedemikian, tetapi keputusan akhir tetap di tangan saya juga.

Setiap pendapat, pandangan dan luahan saya dengar dengan teliti. Mana yang patut dan sesuai, saya akan catat agar tidak lupa. Ia juga merupakan catatan yang akan saya gunakan sebagai sebahagian daripada bahan analisis saya kelak.

Sebelum ini, saya ada menyatakan ada 3 sebab mengapa saya tidak mempertahankan kedudukan saya selaku YDP PERTIS baru-baru ini. Tiada satu pun sebab bahawa saya akan bertanding di SBM. Ini bermakna, tujuan saya melepaskan kedudukan di PERTIS bukanlah untuk beralih kepada SBM pula.

Untuk maklumat semua, saya telah pun menyatakan pendirian saya mengenai hal ini kepada beberapa orang tertentu pada 4 dan 5 Jun lagi. Antaranya saya telah memaklumkan pendirian saya sebelum ini kepada pengerusi PERTIS Terengganu. Saya juga ada memaklumkan hal yang sama kepada dua orang yang masih menganggotai Majlis Presiden SBM sekarang. Oleh yang demikian, pendirian dan keputusan yang saya buat tiada kena-mengena dengan kurang atau lebihnya sokongan untuk saya jika saya masuk bertanding. Ia merupakan pendirian dan keputusan saya sejak awal lagi.

Kepada rakan-rakan yang telah menyatakan sokongan untuk saya jika saya bertanding, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Yang telah menyatakan sokongan dan kesediaan untuk berkempen bagi pihak saya bukannya seorang atau dua orang, jumlahnya entah berapa orang.

Dengan ini, dengan penuh sukacita ingin saya maklumkan iaitu saya tidak berhasrat untuk bertanding bagi mana-mana tempat dalam Majlis Presiden SBM dalam mesyuarat dwitahunan SBM ke-10 bagi tahun 2014. Harap semua maklum.


Sunday, June 15, 2014

Kenangan Bersama Allahyarham Aziz Syarif



Allahyarham Aziz Syarif telah kembali ke rahmatullah pada 9 Jun 2014 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Jenazahnya telah disempurnakan pada keesokan harinya. Menurut maklumat yang diterima, jenazahnya telah dikebumikan di Sungai Ramal, Kajang. Saya tidak sempat menziarahi jenazahnya buat kali terakhir.

SMS terakhir beliau kepada saya ialah pada 7 Mac 2014 yang lalu seperti berikut:

Boyot,sms alamat pertis,

Tujuan beliau meminta alamat PERTIS ialah untuk mengajukan permohonan sedikit bantuan untuk dirinya. Berdasarkan surat beliau, maka PERTIS telah meluluskan sedikit bantuan kewangan untuk beliau bagi tempoh 3 bulan dan boleh dipertimbangkan selepas 3 bulan berkenaan berakhir. Rupa-rupanya sebelum berakhir 3 bulan yang pertama, beliau telah dijemput Ilahi. Demikianlah hubungan di antara Allahyarham Aziz dengan PERTIS di saat-saat akhir hidupnya. Walaupun itu merupakan SMS terakhir beliau kepada saya, tetapi saya ada menemuinya di Brickfields beberapa kali selepas daripada SMS berkenaan.

Saya mula mengenali Allahyarham Aziz Syarif pada tahun 1981. Ketika itu saya di tingkatan 1 manakala Aziz pula di tingkatan 4 dan bersekolah di SMPK Setapak. Walaupun kami belajar di sekolah yang berlainan, tetapi kami tinggal di asrama yang sama iaitu asrama SMPK Setapak. Sejak dari bangku sekolah lagi, Aziz seorang yang sangat periang, mudah ketawa dan suka bergurau dengan rakan-rakan. Di mana ada Aziz, di situ ada keriuhan.

Salah satu sikap Aziz yang tidak mungkin dilupakan oleh rakan-rakan rapatnya ialah beliau gemar menolong kawan. Suatu ketika, beberapa rakan termasuk saya dan Aziz merancang untuk berpuasa sunat. Saya tidak ingat bersempena apa. Waktu sahur, kami makan mi megi sahaja. Aziz yang tolong masak mi megi tersebut. Waktu kami sama-sama makan mi berkenaan, salah seorang daripada kami bertanya Aziz, “Kau makan apa Ziz?” Aziz menjawab, “Tak apalah, aku dah kenyang.” Salah seorang daripada kami faham Aziz tak ada apa yang boleh beliau buat sahur. Lalu seorang yang lain yang kebetulan ada me megi lebih telah memberi sebungkus kepadanya.

Setelah meninggalkan bangku sekolah, Aziz mula menjalani hidup secara berdikari. Beliau pernah bertugas di sebuah institusi kewangan terkemuka sebagai operator telefon. Walau bagaimanapun, setelah bertugas untuk beberapa tahun, Aziz telah membuat keputusan untuk berhenti kerja. Setelah beberapa ketika, beliau bertugas pula di sebuah syarikat terkenal yang menjual pelbagai alat kelengkapan rumah. Di situ pun beliau tidak lama kerana turut memutuskan untuk berhenti kerja.

Boleh dikatakan sebahagian besar hidupnya dihabiskan dengan menetap di Brickfields. Aziz akan meninggalkan Brickfields hanya untuk keperluan tertentu seperti mencari rezeki. Sebagai orang bujang, sudah tentulah gerai-gerai makan di serata Brickfields menjadi “dapurnya”. Seperti saya katakan tadi, di mana ada Aziz di situlah akan ada keriuhan dan kemeriahan. Gelak dan tawanya sentiasa menghiasi suasana di sekelilingnya.

(Aziz pada 26 Ogos 2011)


Mungkin tidak ramai yang tahu, Aziz juga seorang yang pemurah yang sangat ikhlas. Saya masih ingat lagi, pada dekad 90-an lalu, ketika itu PERTIS merancang untuk menganjurkan majlis berbuka puasa. Maklumlah sebagai sebuah persatuan baru ketika itu, kedudukan kewangan masih belum teguh. Bantuan yang diterima pun masih kurang daripada yang diperlukan. Selaku Naib Yang Di-Pertua ketika itu, saya telah ditugaskan untuk mencari dana bagi majlis berkenaan. Manakala saya pula tidak kenal siapa-siapa pun orang besar, orang korporat atau orang politik. Orang yang saya kenal rapat ialah rakan-rakan yang tinggal di Brickfields atau yang sering ke Brickfields untuk pelbagai tujuan. Jadi kepada merekalah saya akan meminta bantuan kewangan. Seingat saya, bila saya minta bantuan untuk tujuan di atas, ia pasti tidak mengecewakan. Kalau pun tidak banyak, sepuluh dua puluh pasti mereka beri. Demikianlah ikhlasnya rakan-rakan kita ketika itu. Aziz adalah antara rakan yang pasti saya minta bantuan. Beliau akan menghulurkan kepada saya RM 50 atau RM 100. Sambil menghulur beliau akan berpesan, “Kau jangan tulis aku yang beri.” Seorang lagi rakan yang sedemikian ialah Abang Karim (Allahyarham Abdul Karim Dalib). Setiap kali menghulurkan wang untuk tujuan di atas, beliau akan berpesan “Kau jangan beritahu sesiapa pun aku yang beri.” Saya sekadar menjawab “Insha-Allah.” Dalam diam saya amat mengagumi keikhlasan mereka. Dalam diam juga saya belajar daripada mereka untuk menjadi orang yang ikhlas. Kini kedua-duanya sudah dijemput Ilahi. Jadi wajarlah saya menulisnya di sini buat teladan untuk kita yang masih ada.

Satu lagi peristiwa yang tidak mungkin luput dari ingatan saya ialah kenangan ketika saya bersama Allahyarham dan seorang lagi rakan, Raja Zainuddin, ke Genting Highlands. Ia juga berlaku pada awal dekad 90-an yang lalu. Ketiga-tiga kami merupakan cacat penglihatan. Suatu tengah hari, Aziz dan Raja Zainuddin telah mengajak saya ke Genting Highlands. Mulanya saya agak ragu. Walau bagaimanapun, selepas kedua-dua rakan saya meyakinkan saya, akhirnya saya bersetuju untuk menyertai mereka.

Dari Brickfields, kami ke hentian bas Pekeliling. Dari sana, kami menaiki bas ke Genting Highlands. Di Genting Highlands, kami ke bahagian permainan. Kami main redah sahaja. Bila perlu, kami tanya orang keliling. Mungkin kerana ketiga-tiga kami cacat penglihatan, jadi semua permainan yang kami sertai percuma belaka.

Kadangkala Aziz penakut orangnya. Salah satu permainan yang kami sertai akan membawa kami ke atas. Saya pun sudah lupa nama permainan tersebut. Mungkin kerana takut, Aziz dalam diam tidak menaiki permainan berkenaan. Jadi saya dan Raja Zainuddin sahajalah yang naik. Mulanya kami tak tahu Aziz tak naik sekali. Tatkala permainan berkenaan mula bergerak, saya memanggil nama Aziz tapi tiada jawapan. Salah seorang penumpang lain memberitahu, “rakan awak tak naik sama”. Tahulah kami Aziz tinggal di bawah.

Setelah permainan tamat dan kami turun semula ke bawah, tiba-tiba Aziz bersuara, “hebat ya tak permainan tadi”. Untuk memendekkan cerita, saya pun berkata, “Sudahlah Ziz, aku tahu kau tak naik tadi, tak payah cakap banyaklah!” Aziz kehairanan dan sambil ketawa beliau bertanya, “Macam mana kau tahu?” Lalu saya menjawab, “Mata aku berada di mana-mana saja.” Saya dan Raja ketawa besar kerana cubaan Aziz untuk menipu kami gagal.

Pada masa itu, orang ramai juga boleh naik kereta kabel yang akan membawa melintasi sebuah tasik. Kami bertiga juga tidak melepaskan peluang berkenaan. Walaupun kami tidak nampak, tetapi kakitangan di situ langsung tidak bersikap prejudis dan memandang rendah kepada kami. Kami diberi peluang untuk naik sama kereta kabel berkenaan dan secara percuma pula. Mulanya Aziz enggan naik kononnya sudah letih. Kami tahu itu Cuma alasannya sahaja. Setelah dipujuk berkali-kali, akhirnya Aziz naik juga. Bila berada di tengah-tengah tasik, kereta kabel tersebut akan berhenti seketika untuk memberi peluang kepada para penumpang menikmati keindahan panorama. Saya merasa bersyukur kerana kakitangan Genting yang mengiringi kami amat memahami dan tidak diam macam tikus jatuh ke beras. Beliau akan memberi penerangan tentang keindahan panorama di situ.

Manakala Aziz pula duduk diam membisu seribu bahasa. Raja Zainuddin membisik kepada saya, Aziz diam kerana takut. Lalu saya pun berkata kepada Aziz, “Ziz, cuba kau lompat tiga kali!” Aziz sekadar mendengus sahaja. Kemudian saya berkata lagi, “Ziz, macam mana ya, kalau tiba-tiba kabel putus?” Aziz berkata pula, “diamlah!” Kemudian beliau bertanya kepada kakitangan yang mengiringi kami, “Bila kita nak sampai ke seberang?” Kakitangan tersebut menjawab, “sekejap lagi.” Saya dan Raja Zainuddin ketawa besar sekali lagi kerana kami sedar Aziz memang dalam keadaan takut.

Aziz juga merupakan seorang yang mempunyai suara yang merdu dan pandai menyanyi. Seingat saya, beliau sering ikut bertanding dalam karnival nasyid anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) beberapa kali. Justeru, kemerduan suaranya masih tersimpan dalam bentuk MP3 ramai rakannya. Mungkin kerana peluang masih belum terbuka, maka Aziz tidak dapat menggunakan bakat nyanyian yang ada padanya untuk pergi lebih jauh lagi dalam bidang seni suara.

Satu lagi keistimewaan yang ada pada Allahyarham ialah kebolehannya sedikit-sedikit untuk berbahasa Tamil. Walaupun perbendaharaan katanya tidak sebanyak mana, yang istimewanya ialah lenggok Tamilnya yang menjadi. Kata seorang rakan yang berbangsa Tamil, kalau orang tidak melihat wajahnya, tentulah orang akan anggap Aziz orang Tamil.

(Aziz di PPUM pada 22 April 2012)


Masih segar dalam ingatan saya ketika saya menziarahi Allahyarham Aziz di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di mana ketika itu kakinya baru sahaja dipotong akibat penyakit kencing manis. Bila Aziz menyedari kehadiran saya, beliau terus menyapa saya sambil berkata “Yot! Dah kena tebas ya tak!” Hati yang mula sedih pun pasti berubah jadi ketawa pula. Jururawat di situ ada memberitahu saya, Aziz tidak boleh duduk diam dan suka merayau dengan kerusi rodanya.

(Aziz dengan wajah bersahaja ketika menerima rawatan di PPUM pada 22 April 2012)


Tatkala di akhir hayatnya, Aziz yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan, agak kerap juga berada dalam kesempitan wang. Namun demikian, rakan-rakannya tidak berkira dalam membantu beliau. Ada sahaja rakan-rakan yang akan membantu beliau walaupun sekadar sepuluh dua puluh. Walaupun ketika itu sudah ketiadaan sebelah kaki, namun begitu Allahyarham seakan tidak kenal erti kesedihan. Keriangan dan keriuhan yang beliau pamirkan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Walaupun kesempitan hidup kian menghimpitnya, tetapi rasa murung seolah-olah masih enggan singgah ke wajah Allahyarham Aziz. Allahyarham terus tabah menjalani hidupnya dengan caranya sendiri.

(Aziz ketika menerima bantuan daripada PERTIS pada 24 Januari 2013)


Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakan-rakan serumah Allahyarham, iaitu Cikgu Mad Nor, Saudara Osman Nordin dan juga Saudara Firdaus kerana cukup tabah dalam melayani Aziz. Anda bertigalah yang paling mengetahui dan paling memahami watak semula jadi Allahyarham. Walaupun sama-sama cacat penglihatan, tanpa pertolongan anda bertiga, tidak mungkin Allahyarham dapat dibawa ke PPUM untuk rawatan penyakitnya. Anda juga yang lebih memahami betapa sukarnya untuk memujuk beliau agar ke hospital untuk rawatan. Rakan ketawa mudah dicari, rakan menangis anda bertigalah orangnya.

Kini Aziz sudah dijemput Ilahi. Beliau pergi untuk selama-lamanya dan tidak akan kembali lagi. Yang tinggal hanya kenangan manis tatkala beliau bersama-sama kita. Saya pasti rakan-rakan beliau akan merasai kehilangan dan kesunyian tanpa suara riang Allahyarham.

Rakan-rakan yang lain tentu juga ada bermacam kenangan manis dan indah bersama Allahyarham. Yang baik itu marilah sama-sama kita canangkan. Mana yang sesuai itu kita jadikan pengajaran. Sebagai tanda persaudaraan dan persahabatan abadi, marilah kita sama-sama bacakan Alfatihah kepadanya setiap kali kita teringat kepada Allahyarham. Itulah tanda persaudaraan sejati bak air dicincang tidak akan putus. Brickfields kehilangan seorang lagi warganya yang selama ini menjadi mercu kepada kemeriahan suasana di sekitarnya.

Sesungguhnya Allahyarham Aziz telah pergi demi menyahut panggilan Yang Esa. Beberapa orang rakan kita juga telah mendahului Allahyarham Aziz sebelumnya. Hanya kita yang masih menanti giliran untuk menyusuri mereka. Esok atau lusa entah siapa dalam kalangan kita yang akan menemui gilirannya pula. Hanya Dia Yang Esa yang lebih mengetahuinya. Sentiasalah kita berdoa semoga bila sampai giliran kita nanti, kita akan kembali kepada-Nya dalam keadaan redah dan diredhai, insha-Allah.


Friday, June 13, 2014

Hukum Hudud



Hudud merupakan antara topik paling hangat dan adakalanya panas yang sedang diperkatakan ramai khususnya di negara kita. Pelbagai lapisan masyarakat tidak mengira siapa tidak terkecuali memperkatakan hukum jenayah syariah tersebut. Masing-masing bercakap dengan berbekalkan tahap maklumat dan kefahaman yang tidak sama mengenai hudud. Daripada orang politik hinggalah kepada golongan pengganggur, isu hudud tetap diikuti dengan penuh minat. Bahkan orang bukan Islam pun turut terjebak dengan isu berkenaan.

Berdasarkan bentuk ulasan dan komen yang dilontarkan, maka jelaslah pemahaman tentang hudud amat pelbagai dan berbeza-beza pula. Bahkan kepelbagaian pemahaman hukum berkenaan turut wujud dalam kalangan orang Islam sendiri. Maka itulah pendirian orang Islam di negara ini tentang hudud masih tiedak sekata. Usaha-usaha untuk “mensekatakan” pandangan dalam kalangan umat islam mengenai hal ini pun masih belum nampak akan ada hasilnya.

Sepertimana yang sebahagian kita maklum, perintah pelaksanaan hudud sememangnya terdapat dalam Alquran. Manakala Alquran pula merupakan kitab suci yang wajib diimani dan dipercayai seratus peratus oleh umat Islam kerana ia salah satu daripada 6 perkara dalam rukun iman. Sesiapa yang tidak percaya atau menolak isi kandungan Alquran walaupun satu huruf, ia boleh mengakibatkan gugur iman (barang dijauhkan Allah daripadanya).

Justeru, mana-mana individu yang mengatakan hukum hudud tidak terdapat dalam Alquran, maka dia sudah sesat dalam nyata. Hukum hudud bukan ciptaan ahli fikah, sebaliknya ia adalah titah perintah Allah kepada hamba-hamba-Nya. Inilah akibatnya kalau baca Alquran menerusi terjemahan semata-mata. Sampai sekarang saya tidak pernah dengar ada pihak yang berani meminta agar orang kenamaan yang telah membuat dakwaan sedemikian agar bertaubat. Takut ke?

Sejak tahun 1993 lagi, ada pihak yang mendakwa hukum hudud yang hendak dilaksanakan di Kelantan bukan hukum hudud Islam, sebaliknya ia adalah hukum hudud PAS. Namun demikian, sampai sekarang pihak yang membuat dakwaan sedemikian masih gagal membuktikan perbezaan antara hukum hudud PAS dengan hukum hudud Islam. Lain kali kalau hendak mengenal maknikam, belajarlah dengan jauhari, jangan belajar dengan tukang besi.

Sampai sekarang pun saya masih tidak faham mengapa orang takut sangat dengan hukum hudud. Jika kita kaji sedikit mengenai hukum berkenaan, ia hanya menghukum orang yang membuat salah, itu pun jika cukup syarat dan cukup saksi yang adil. Hukum Shariah sama sekali tidak menghukum orang yang tidak bersalah. Bahkan jika hukum berkenaan dilaksanakan dengan sempurna, ia merupakan pembela kepada golongan yang tidak bersalah. Oleh yang demikian, mengapa kita harus takut atau mudah untuk ditakutkan dengan hukum berkenaan? Adakah kita sebahagian daripada golongan yang sedang berbuat salah yang akan tertempias oleh hukum berkenaan?

Apa yang lebih malang lagi, ada dalam kalangan umat Islam di negara ini sendiri yang mempermainkan hukum berkenaan. Kononnya jika hukum hudud dilaksanakan maka banyaklah akan kedapatan sup tangan. Cuba buktikan berdasarkan fakta sejarah di mana-mana negara lain yang telah melaksanakan hukum berkenaan maka kedapatan banyak sup tangan? Ingat, terlajak perahu boleh diundur, kalau terlajak kata, boleh kufur dan tercabut iman! Ada juga yang mengatakan, kalau sudah habis batu nanti hendak rejam dengan apa pula? Inilah bahananya bila hukum Allah diukur dengan lojik akal semata-mata.

Satu lagi pandangan kononnya mengatakan hukum hudud tidak sesuai untuk dilaksanakan di negara yang berbilang kaum dan berbilang kepercayaan seperti Malaysia. Sejarah telah membuktikan hukum berkenaan sesuai untuk dilaksanakan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Negara Islam Madinah di mana tempat pertama telah dilaksanakan hukum Islam merupakan sebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama. Selain orang Arab, di Madinah pada ketika itu juga ada orang Yahudi dan Rumawi. Selain orang Islam, penduduk Madinah ketika itu juga terdiri daripada orang musyrikin, munafiqin, majusi dan Yahudi. Kepelbagaian bangsa dan agama sama sekali tidak menghalang bagi hukum Shariah tersebut untuk dilaksanakan dengan cukup sempurna. Apa kurangnya Malaysia dengan Madinah ketika itu?

Kini hukum hudud yang mulia itu seakan sudah jadi mainan orang politik pula. Mereka menggunakan hukum hudud untuk mencabar pihak lawan. Mereka juga turut mempersendakan hukum hudud dengan menakutkan pihak lain. Hukum hudud turut digunakan untuk memecah-belahkan lawan politik masing-masing. Secara umumnya, orang-orang politik bukan membela hukum hudud, sebaliknya mempersendakannya pula. Orang politik yang Islam atau yang bukan Islam, dua kali lima sahaja.

Oleh kerana daif dan hinanya umat Islam di negara kita sudah berada di tahap yang amat rendah, mereka tidak mampu untuk membela hukum Allah tersebut daripada terus dihina dan dipersendakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Justeru tidak hairanlah bilamana hukum yang mulia itu terus-terusan dipersendakan waima oleh umat islam sendiri.

Media massa arus perdana juga tidak berperanan sebagaimana sepatutnya. Bahkan ada antara media berkenaan yang turut sama tumpang semangkuk dalam menghina dan merendahkan hukum Allah tersebut. Mereka turut bersekongkol dengan orang-orang politik tertentu dengan memberikan gambaran negatif terhadap hukum Allah tersebut. Mereka turut sama bersubahat dengan puak jahil dalam mempersendakan hukum berkenaan. Puak-puak ini langsung tidak rasa bersalah apatah lagi rasa berdosa tatkala mempersendakan hukum Allah yang mulia itu.

Sendaan dan hinaan terhadap hukum hudud di negara kita boleh dikatakan dilakukan hampir setiap hari dan dalam pelbagai bentuk dan cara. Akhirnya yang keliru dan celaru ialah orang awam. Oleh kerana tiada penerangan yang betul dan berkesan oleh mana-mana pihak di negara kita, maka hukum hudud akan terus menjadi hukum yang mengeliru dan mencelarukan. Yang terus keliru dan celaru bukan sahaja orang bukan Islam, bahkan ramai lagi Orang Islam yang masih celaru dan keliru dengan hukum berkenaan. Inilah padahnya jika pihak-pihak yang berkenaan takut untuk berperanan dengan betul.

Selaku umat Islam, kita harus ingat Allah mewajibkan pelaksanaan hukum hudud bukan untuk dipersendakan. Ia juga bukan untuk jadi bahan tarik tali di antara pelbagai pihak. Hukum hudud juga tidak sepatutnya digunakan oleh orang politik untuk mendapat keuntungan politik semata-mata.

Pada masa ini, umat Islam di Malaysia masih lagi punya kuasa politik biar pun ia semakin lemah gara-gara perpecahan sesama sendiri. Sepatutnya kita harus menggunakan apa yang masih ada untuk berusaha agar suatu hari nanti hukum Allah yang mulia itu akan terlaksana juga di tanah air kita. Penerangan yang betul tentang hukum syariah harus diberikan kepada rakyat jelata secara berkesan dan secara berterusan. Untuk itu, pelbagai kaedah dan pelbagai saluran media harus digerakkan supaya suatu hari nanti pemahaman orang ramai terhadap hukum Allah yang mulia itu akan dapat dibetulkan dan dapat ditingkatkan.

Namun demikian, apa yang sedang berlaku nampaknya tidak ke arah itu. Umat Islam di negara ini masih jauh untuk sekata dalam hal hukum hudud. Masing-masing dengan kepentingan masing-masing. Titah perintah Allah tidak diberi keutamaan yang betul. Nampaknya kepentingan peribadi dan keuntungan politik puak-puak tertentu lebih diutamakan. Konsep wasatiah (kesederhanaan) seakan sudah disalahertikan. Adakah mereka yang sentiasa memberi alasan untuk menolak pelaksanaan hukum Allah tergolong dalam kalangan ummatan wasatan?

Oleh kerana wujudnya kekeliruan dan kecelaruan dalam kalangan umat Islam sendiri, maka tidak menghairankan bilamana golongan bukan Islam tidak dapat pemahaman yang betul dan sahih mengenai hukum Allah yang mulia itu. Hari ini, kita hanya mampu mendengar sahaja hukum Allah yang mulia itu dihina dan dipersendakan oleh pelbagai pihak tanpa sebarang tindakan berkesan untuk membendungnya.

Lebih malang lagi, mereka yang berusaha untuk melaksanakan hukum berkenaan dilabel pula dengan pelbagai label yang negatif. Golongan berkenaan dikatakan pelampau agama, golongan ekstrim dan fundamentalis. Walhal dalam Alquran Allah menggambarkan golongan almusrifun ialah mereka yang menolak apa yang telah ditetapkan oleh Allah.

Dalam Alquran, Allah telah mewajibkan umat Islam untuk berpuasa sebagaimana yang terkandung pada ayat 183 dari surah Albaqarah. Kewajipan yang serupa juga terdapat untuk pelaksanaan hukum qisas sebagaimana dalam ayat 178 dari surah Albaqarah juga. Sewaktu bulan Ramadhan, tindakan yang tertentu akan dikenakan oleh pihak yang berwajib ke atas orang Islam yang didapati makan atau minum di khalayak ramai pada siang hari. Malangnya tindakan yang bersesuaian tidak dikenakan ke atas mereka yang telah mempersenda dan menghina hukum hudud. Walhal status wajib kepada kedua-duanya (qisas dan puasa) adalah sama.

Dalam hal ini, saya amat tertarik dengan perkembangan yang sedang berlaku di Negara Brunei Darul-Salam. Oleh kerana adanya kesepaduan yang jitu dalam kalangan pelbagai pihak ke arah pelaksanaan hukum Syariah Islam secara menyeluruh di negara berkenaan, maka pelbagai langkah yang betul sedang diambil. Ini termasuklah dalam memberikan penerangan dan kefahaman kepada orang ramai terhadap hukum berkenaan.

Dalam hal ini, media massa terutamanya radio dan televisyen Brunei telah memberikan maklumat, penerangan dan penjelasan yang cukup mantap mengenai hukum syariah yang telah mula dilaksanakan di negara berkenaan. Setiap hari radionya akan memperdengarkan info yang mencakupi pelbagai aspek mengenai hukum jenayah syariah kepada pendengar. Ia merangkumi keadilan dan kebaikan hukum jenayah syariah, perbezaan antara hukum jenayah syariah dengan undang-undang sivil, perbezaan objektif di antara kedua-dua undang-undang berkenaan dan juga kesan plaksanaan kedua-dua undang-undang tersebut terutamanya kepada masyarakat dan juga sistem bernegara. Tiada sedikit pun saya mendengar siarannya memperkecilkan apatah lagi mempersendakan hukum hudud.

Bermula dengan titah ucapan ke bawah duli baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei, siaran radionya akan memperdengarkan petikan-petikan ucapan daripada tokoh-tokoh lain yang berwibawa yang menerangkan tentang keadilan dan kebaikan hukum hudud kepada individu, masyarakat dan juga kepada negara. Para juruhebahnya juga turut sama menghebahkan apa yang betul mengenai hukum hudud. Dengan ini, sekalian rakyat akan sentiasa dapat memperolehi info yang sahih mengenai pelbagai aspek hukum hudud. Maka akan terhindarlah daripada apa jua bentuk kekeliruan dan kecelaruan. Dengan erti kata lain, seluruh lapisan masyarakat Brunei bersatu dan berpadu ke arah melaksanakan hukum Allah di bumi mereka.

Oleh itu, setiap hari saya akan mendengar radio Brunei untuk mendapatkan info lanjut yang amat berguna tentang hukum jenayah syariah. Info yang diketengahkan mudah difaham oleh semua orang. Penerangannya jelas dan mudah. Alangkah baiknya jika siaran dan penerangan yang serupa dapat saya dengan menerusi media massa negara sendiri!

Semoga Allah menambah barakah kepada raja dan negara Brunei. Semoga Allah sentiasa memberikan pertolongan yang seluas-luasnya kepada Yang Di-Pertuan Negara Brunei dalam melaksanakan hukum Allah di negaranya. Semoga Allah benar-benar menjadikan negara Brunei sebuah negara “Baldatun Toibatun Warabbun Ghafur”. Selepas ini, harapnya tidak adalah orang yang menyuruh saya tukar warganegara pula!

Sebagai umat Islam, pendirian saya tentang hukum hudud adalah jelas. Kalau pun hari ini kita masih belum mampu untuk melaksanakannya, ia tidak sepatutnya berada pada takuk ini buat selama-lamanya. Usaha perlu digerakkan agar suatu hari nanti hukum Allah akan dapat dilaksanakan secara menyuluruh di negara kita tanpa sebarang prejudis oleh mana-mana pihak.

Hubaya-hubayalah kita semua, barang siapa yang mengatakan hukum hudud tidak sesuai dalam negara yang berbilang bangsa, mereka hendaklah segera bertaubat. Barang siapa yang pernah mengatakan hukum hudud tidak ada dalam Alquran, dia hendaklah segera bertaubat. Barang siapa yang menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum hudud, dia juga hendaklah segera bertaubat. Barang siapa yang menghina dan mempersendakan hukum hudud, dia hendaklah segera bertaubat. Barang siapa yang sering mencipta alasan untuk menolak hukum hudud, dia hendaklah bertaubat. Jangan sampai nyawa sudah di ghargharah baru teringat hendak insaf. Kematian boleh menemui kita pada bila-bila masa sahaja. Bagaimanakah nasib orang yang mati dalam keadaan sangsi dan masih mempertikaikan hukum hudud? Barang dijauhkan Allah kita daripada yang demikian itu.


Tuesday, June 10, 2014

Aziz Syarif Kembali Ke Rahmatullah



Sekitar jam 1.37 pagi sebentar tadi, saya menerima SMS pertama yang memaklumkan Saudara Aziz bin Syarif telah kembali ke rahmatullah. Ini diikuti dengan beberapa panggilan telefon dan SMS seterusnya yang memaklumkan berita yang sama. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada rakan-rakan yang sudi berkongsi maklumat. Menurut maklumat yang saya terima, Saudara Aziz Syarif telah menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sekitar waktu maghrib tadi.



Perkhabaran terakhir mengenai Allahyarham saya dengar ketika berlangsungnya mesyuarat agung tahunan PERTIS lebih seminggu yang lalu. Saudara Osman Nordin Omar yang juga merupakan rakan serumah Allahyarham ada menceritakan mengenai situasi terkini Allahyarham ketika itu. Antara lain katanya, Aziz sering mengadu beliau sakit dada dan adakalanya sukar untuk bernafas. Kata Osman lagi, beliau dan dua rakan serumah lagi sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Saya akan cuba berkongsi kisah lanjut mengenai Allahyarham pada kesempatan yang lain, insha-Allah.

Kepada ahli keluarga Allahyarham, takziah saya ucapkan. Sebagai salah seorang sahabat, sudah tentu kita sama-sama kehilangan seorang rakan yang tidak pernah tahu erti kesedihan. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah mengampunkan apa jua dosa beliau dan seterusnya menempatkan Allahyarham bersama-sama dengan mereka yang mendapat keredhaan-Nya sepanjang masa.

Alfatihah ....


Monday, June 9, 2014

PERTIS Sudah Mula Mengorak Langkah





Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) kali ke-19 sudah lebih dari seminggu berlalu. Setelah berakhirnya mesyuarat dan selepas barisan pimpinan yang baru dipilih, sudah tentulah seluruh ahli ternanti-nanti langkah pertama yang akan dilaksanakan oleh PERTIS. Bilamana Yang Di-Pertua merupakan orang baru, sudah tentulah beliau harus mengambil sedikit masa untuk melakukan suai kenal terutamanya terhadap suasana dan budaya kerja dalam PERTIS itu sendiri. Walaupun En. Faizal bukan orang baru diPERTIS, tetapi posisi beliau selaku YDP merupakan sesuatu yang baru untuknya. Justeru, ruang yang secukupnya harus diberi kepada beliau untuk melakukan proses suai kenal tersebut.



Sehingga ke saat ini, masih belum ada pengumuman rasmi daripada saluran PERTIS tentang senarai AJK beserta biro yang akan mereka kepalai. Sudah tentu antara biro yang akan menjadi tumpuan ialah Biro Penerbitan. Sebelum ini, pada biro inilah tersandarnya tugas dan tanggungjawab untuk menguruskan kontrak yang berjaya diperolehi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Khabar dari jauh yang belum disahkan lagi kononnya mengatakan PERTIS juga telah mendapat kontrak terbaru. Walau bagaimanapun masih tidak pasti berapa buah buku yang berjaya diperolehi untuk ditranskripsikan ke dalam bentuk Braille kali ini.

Selain itu, sebelum ini juga Biro Penerbitan juga dipertanggungjawabkan dengan hal ehwal Quran Braille. Saya akui masih banyak yang perlu dilakukan terhadap Alquran Braille. Cabaran yang sedang menanti juga masih besar dan bukan calang-calang.

Walau bagaimanapun, ada desas-desus yang sampai ke telinga saya iaitu senarai portfolio sudah diputuskan semalam. Beberapa perubahan telah dilakukan ke atas portfolio AJK Pusat PERTIS. Ini termasuklah posisi 2 penjawat penting. Selain itu, khabarnya AJK yang akan mengepalai Biro Penerbitan juga sudah dinamakan.

Saya optimis AJK yang dipertanggungjawabkan untuk mengepalai Biro Penerbitan memang layak dan sesuai dengan tugas yang akan dipikulnya. Beliau bukan sahaja berkebolehan dan bersemangat tinggi, bahkan beliau juga mempunyai pengetahuan yang baik tentang Alquran Braille.



Saya kira, dengan berlangsungnya mesyuarat semalam, maka YDP PERTIS yang baru telah berjaya melepasi cabaran pertamanya. Ura-ura perletakan jawatan seorang dua AJK yang baru dipilih tidak menjadi kenyataan. Ia merupakan satu petanda yang cukup baik. Malahan perubahan posisi yang berjaya dilakukan merupakan tindakan kompromi yang bijak bagi mengekalkan keharmonian dalam kalangan barisan AJK Pusat yang baru dipilih.

Selaku ahli PERTIS, marilah sama-sama kita memberi sokongan kepada barisan pimpinan yang baru. Beri mereka peluang dan ruang yang secukupnya untuk menerajui persatuan yang sama-sama kita sayangi.

Walau apa pun, sama-samalah kita tunggu pengumuman melalui saluran rasmi PERTIS tentang barisan AJK Pusat beserta portfolio masing-masing.


SBM Perlukan Barisan Pemimpin Yang Mantap





Salah satu ciri penting Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) ialah ia telah ditubuhkan oleh golongan cacat penglihatan serta ditadbir oleh golongan tersebut di peringkat jawatankuasa yang lebih dikenali sebagai Majlis Presiden. Begitu juga di peringkat negeri, ia turut sama ditadbir oleh golongan yang cacat penglihatan. Manakala kakitangannya pula terdiri sama ada mereka yang berpenglihatan dan juga mereka yang cacat penglihatan.

Setelah 50 tahun bergerak, pertubuhan ini semakin membesar sama ada dari aspek strukturnya mahupun dari aspek keahliannya. Kini hampir di setiap negeri di Malaysia ada cawangan SBM. Manakala statistik terkini menunjukkan keahliannya sudah melebihi 5 ribu orang. Saya begitu optimis keahlian SBM akan terus bertambah memandangkan kemampuan pertubuhan ini memenuhi kehendak ahlinya terutama dalam kalangan golongan muda.

Saya tidak menafikan iaitu SBM juga tidak sunyi daripada dilanda masalah dan krisis. Maklumlah bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelombang. Namun demikian, seingat saya masalah dan krisis yang dihadapi oelh SBM tidak sampai ke tahap pendaftarannya dibatalkan sebagaimana yang pernah menimpa beberapa pertubuhan lain. Sekaligus ia membuktikan kemampuan golongan cacat penglihatan khususnya ahli-ahli SBM itu sendiri untuk mengurus dan mentadbir pertubuhan mereka dengan baik dan teratur. Situasi ini juga dibantu oleh tiadanya unsur cuai atau unsur khianat dari dalam SBM itu sendiri. Walaupun ada yang tidak setuju dengan pemimpin tertentu, setakat ini ahli-ahli SBM telah bertindak dengan matang. Tindakan mereka tidaklah sampai marahkan nyamuk kelambu pula yang dibakar.

Walau bagaimanapun, setiap ahliSBM harus faham iaitu walaupun harapan kita agar panas hingga ke petang, tetapi tidak mustahil jika hujan turun secara tiba-tiba pada waktu tengah hari. Sekiranya ahli-ahli SBM leka dan alpa, maka tidak hairan SBM boleh turut terjebak ke dalam kancah krisis yang tidak terduga. Perkara seumpama inilah yang sama-sama kita harus membendungnya dari awal sekiranya ada tanda ia akan berlaku.



Tonggak kepada kekuatan SBM terletak pada ahli-ahlinya, tetapi tonggak kepada kemajuan dan kejayaan SBM amat bergantung kepada kreativiti, inovasi serta sifat futuristik Majlis Presiden SBM itu sendiri. Sekiranya Majlis Presidennya lesu, lemah, tidak bermaya, maka akan lesu, lemah dan tidak bermayalah SBM walaupun punyai keahlian berlaksa atau berketi ramainya. Justeru, Majlis Presiden SBM harus dibarisi oleh mereka yang benar-benar mempunyai sifat kepimpinan yang luhur serta keikhlasan yang tinggi.

Pemilihan barisan pimpinan tertinggi SBM secara demokratik sudah lama diamalkan. Para ahli SBM berpeluang untuk menentukan barisan pemimpin mereka sekali dalam tempoh dua tahun. Ini bermakna, sekiranya kesilapan berlaku dalam pemilihan pemimpin SBM kali ini, maka kita harus menanti dua tahun lagi untuk membuat perubahan pula. Oleh itu, para ahli SBM khususnya yang akan hadir dalam mesyuarat dwitahunan kali ini sepatutnya tidak memandang remeh terhadap soal pemilihan barisan pemimpin yang baru yang bakal menerajui SBM untuk tempoh dua tahun yang akandatang. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Bagi memastikan kita akan membuat pilihan yang betul dan tepat, maka terlebih dahulu para ahli harus mengetahui dengan betul kriteria seseorang pemimpin yang layak dan boleh dipilih untuk memimpin SBM bagi tempoh dua tahun yang akan datang. Seperti mana yang telahsaya nyatakan tadi, kesilipan membuat pilihan, kita terpaksa menunggu dua tahun lagi untuk mengubahnya. Beberapa kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini tatkala memilih pemimpin harus dikenal pasti supaya ia tidak diulangi lagi.

Sebelum seseorang calon pergi lebih jauh untuk merebut tempat dalam Majlis Presiden, perkara penting yang kita semua harus tahu ialah apakah tujuan sebenar seseorang calon itu masuk bertanding. Ada calon tertentu masuk bertanding bukan disertai dengan sifat kesungguhan yang sebenar. Ada calon yang sekadar bertanding kononnya hanya untuk “test market” atau “test power”. Ada juga yang masuk bertanding sekadar untuk menjadi “pengacau” semata-mata. Jika mana-mana ahli mesyuarat dapat kenal pasti jenis calon yang seperti ini, maka calon sebegini harus ditolak dari awal-awal lagi. Perkara mengenai pentadbiran SBM bukannya boleh dibuat main-main. Sekiranya dari awal lagi sudah terserlah sikap ketidaksungguhan yang jelas, maka masa hadapan SBM pasti akan hancur jika puak seperti ini berada di teraju pentadbiran.

Apabila seseorang ahli SBM berhasrat untuk jadi pemimpin organisasi ini, mereka seharusnya sudah mengetahui beberapa perkara asas mengenai SBM itu sendiri. Mereka seharusnya sudah memahami perlembagaan SBM dengan baik. Mereka juga sepatutnya sudah mengetahui sedikit latar belakang dan sejarah SBM. Mereka juga sudah mempunyai maklumat tertentu tentang SBM seperti keahlian terkini, kedudukan kewangan secara umum, aktiviti terkini, masalah dan cabaran terkini dan seumpamanya. Mereka juga sepatutnya sudah membaca dokumen mesyuarat beberapa tahun yang lalu agar lebih memahami isu dan cabaran yang sedang mendepani SBM. Kalau perlembagaan SBM pun tak mahir, isu dan cabaran yang sedang menanti SBM pun tak tahu, maka tak payahlah nak tonjolkan diri untuk menduduki Majlis Presiden. Buat malu saja.

Saya tidak nafikan iaitu salah satu kriteria seseorang pemimpin walau di mana sekali pun ialah mereka mesti berupaya untuk bercakap. Kepetahan bercakap seseorang pemimpin memang satu aset yang tidak boleh diketepikan. Namun demikian, SBM tidak memerlukan pemimpin yang hanya banyak cakap. Mereka yang hanya banyak cakap kebiasaannya tidak tahu bekerja dengan betul. Tong kosong kalau dipalu memang kuat bunyinya, tapi seninya langsung tak ada. Antara tanda-tanda orang semacam ini ialah mereka tahu mengkritik tetapi tidak disusuli dengan cadangan yan konstruktif. Mereka juga hanya tahu melihat kekurangan orang lain tetapi tidak pernah melihat kekurangan diri sendiri. Mereka juga amat tidak suka kalau ditegur. Oleh itu, kepada yang berhasrat untuk jadi pemimpin dalam SBM, pastikan anda kurang bercakap supaya masa dan tenaga yang ada boleh dicurahkan untuk berfikir dan bekerja.

Ahli-ahli mesyuarat yang juga bakal pemilih nanti juga harus memastikan bahawa setiap calon mempunyai rekod perkhidmatan yang baik atau cemerlang sebelum ini. Kecemerlangan ini boleh diukur sama ada berlandaskan perkhidmatannya dalam SBM di mana-mana peringkat ataupun menerusi kecemerlangan perkhidmatannya di tempat lain sebelum ini. Rekod perkhidmatan cemerlang ini amat penting agar kesinambungan kecemerlangannya dapat diteruskan dalam Majlis Presiden SBM pula. Bilamana Majlis Presiden sudah dibarisi dan dipenuhi oleh mereka yang cemerlang, maka saya penuh yakin SBM pasti akan dapat menggapai era kecemerlangan dengan lebih pantas lagi.

Selain itu, ahli-ahli mesyuarat juga harus memastikan para calon yang bertanding nanti tidak mempunyai rekod perkhidmatan yang sudah dicemari dengan pelbagai virus penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan pelbagai bentuk. Perkara sebegini amat penting supaya SBM akan terhindar daripada virus seperti ini. Adalah amat tidak bijak jika puak seperti ini diberi peluang di SBM dengan alasan dan tanggapan mungkin mereka akan berubah setelah dipilih untuk menerajui SBM. Kita perlu ingat, teraju kepimpinan SBM bukan untuk jadi uji kaji tahap kesedaran dan keinsafan seseorang.

Di samping itu, Para pemimpin SBM mestilah sentiasa berakhlak mulia, jujur, ikhlas, merendah diri, tidak sombong dan tidak lupa diri. Barisan pemimpin yang telah dipilih harus faham SBM bukan organisasi yang boleh diperkudakan untuk menaikkan nama sendiri. Setiap pemimpin harus bekerjasama di antara satu sama lain bak tungku tiga sejerangan. Mana-mana pemimpin tidak boleh bersikap umpama enau dalam belukar yang hanya melepaskan pucuknya sendiri demi untuk menggapai cita-cita peribadi.

Selanjutnya, para pemimpin SBM juga harus berupaya memacu organisasi ini ke arah yang lebih cemerlang lagi. Saya tidaklah mengatakan pada masa ini SBM tidak cemerlang. Namun demikian, masih ada lompong-lompong kosong yang perlu diisi agar SBM benar-benar berada di landasan yang jitu untuk ke destinasi yang lebih cemerlang. Untuk itu, para pemimpin SBM harus berani melaksanakan anjakan paradigma yang lebih besar agar SBM dapat dipacu dengan lebih cepat untuk menuju ke arah kecemerlangan yang lebih disegani.



Sejarah pemilihan SBM tahun 2012 membuktikan iaitu title tertentu yang dimiliki oleh seseorang bukan jaminan dia akan diterima oleh para ahli untuk memimpin SBM. Di sinilah terserlahnya keberanian dan keunikan para ahli SBM. Mereka sudah ada selera tersendiri tatkala memilih pemimpin. Ini satu perkembangan kematangan yang amat saya banggakan. Berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 2000 terutamanya dalam isu yang melibatkan pembelian bangunan. Ketika itu saya perhatikan ahli-ahli amat terpengaruh dengan title dan profesion seseorang hingga mereka terlupa dengan realiti isu yang sedang dkputuskan waktu itu. Justeru, saya amat berharap agar seluruh ahli SBM akan berupaya mengekalkan kematangan yang ada agar SBM tidak membuat kesilapan kali yang ke seterusnya.

Selaras dengan era ledakan maklumat masa kini, maka sudah menjadi suatu kemestian bagi memastikan agar seluruh ahli SBM merupakan kumpulan insan yang sentiasa bermaklumat. Perkara sebegini boleh dicapai dengan pelbagai kaedah. Apatah lagi pada masa ini ramai yang sudah mempunyai pelbagai alat dan sistem canggih yang berupaya akses kepada pelbagai bentuk maklumat. Dengan adanya pelbagai bentuk maklumat, maka kita akan berupaya untuk membuat pertimbangan dan keputusan dengan lebih wajar lagi terutamanya yang berkaitan dengan organisasi kita.

Saya amat sedar berita panas yang sedang bertiup kencang dalam kalangan ahli SBM masa kini. Insha-Allah saya akan membuat penjelasan mengenainya tidak lama lagi.


Friday, June 6, 2014

SBM Kini Jadi Tumpuan Pula



Pada hujung minggu lepas, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) selesai mengadakan mesyuarat agung tahunannya kali ke-19. Sebagaimana yang kita sudah sama-sama maklum, dalam mesyuarat berkenaan berlaku sedikit perubahan dalam pucuk pimpinan persatuan tersebut. En. Mohamad Faizal Che Yusuf kini adalah Yang Di-Pertua PERTIS yang baru. Pada masa yang sama, beliau juga merupakan salah seorang ahli Majlis Presiden SBM yang telah terpilih dalam mesyuarat dwitahunan SBM dua tahun lepas. Saya adalah pencadangnya ketika itu.

Setelah selesai mesyuarat agung tahunan PERTIS, kini sebahagian besar golongan cacat penglihatan di negara kita akan menumpukan perhatian pula kepada mesyuarat dwitahunan SBM yang akan berlangsung dari 20 – 22 Jun ini. Mesyuarat kali ini akan berlangsung di Kuala Lumpur.



Dalam tulisan saya kali ini, saya akan cuba melihat persamaan dan perbezaan antara PERTIS dan SBM. Ada kalanya kita harus melihat kedua-dua aspek berkenaan supaya pertimbangan yang betul boleh dibuat. Mungkin kerana kegagalan melihat dari kedua-dua aspek ini secara lebih objektif, maka ia telah menjadi punca kekalahan kepada salah seorang calon presiden yang cukup dikenali dalam mesyuarat dwitahunan SBM pada tahun 2012 yang lalu.



Secara entitinya, PERTIS dan SBM adalah dua buah organisasi yang berbeza. Perbezaan ini amat jelas bilamana kita meneliti perlembagaan kedua-dua organisasi berkenaan. SBM adalah sebuah pertubuhan yang boleh disertai oleh semua golongan masyarakat cacat penglihatan tanpa mengira latar belakang, agama, kaum dan etnik. SBM bukan sebuah organisasi keagamaan. Majoriti ahli SBM masih berpegang teguh dengan aspirasi ini. Maka itulah cubaan untuk menghapuskan kalimah “bukan keagamaan” dalam Bahagian Pengenalan Perlembagaan SBM telah ditolak oleh ahli walaupun ia pernah dibentangkan sebanyak dua kali. Maknanya majoriti ahli SBM masih ingin mengekalkan elemen ini dalam pertubuhan mereka.

Manakala PERTIS pula adalah sebuah persatuan yang ditubuhkan khusus untuk golongan cacat penglihatan yang beragama Islam sahaja. Justeru, aktiviti yang berteraskan Islam merupakan tonggak kepada kegiatan persatuan berkenaan. Walau bagaimanapun, menurut perlembagaan PERTIS, ia boleh melaksanakan apa jua kegiatan seperti ekonomi, pendidikan, kebajikan, sosial dan sebagainya. Ia selaras dengan taraf Islam itu sendiri yang bersifat komprehensif.

Dari aspek sejarah pula, SBM merupakan sebuah organisasi yang sudah lama ditubuhkan iaitu sejak tahun 1964 lagi. Oleh yang demikian, dari sudut usia SBM lebih lama “makan garam” daripada PERTIS. Manakala PERTIS pula telah ditubuhkan pada tahun 1996. Usianya baru sahaja meningkat remaja 18 tahun.

Berasaskan kepada kedudukan aset dan liabiliti kedua-dua organisasi ini, memang jelas iaitu kedudukan SBM lebih teguh jika dibandingkan dengan PERTIS. SBM sudah lama mempunyai bangunan sendiri. Bahkan hasrat untuk memiliki wisma SBM juga boleh dikatakan sudah menjadi kenyataan. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan iaitu jumlah aset SBM sudah lama berada di paras jutaan ringgit. Sedangkan PERTIS pula masih bertatih untuk mengumpul aset. Walaupun sudah berusia 18 tahun, tetapi aset PERTIS masih berlegar pada paras setengah milion sahaja.

Seingat saya, kerjasama secara rasmi di antara PERTIS dan SBM amat jarang terjalin. Kalau ada pun kerjasama antara kedua-dua belah pihak, ia berlaku secara tidak langsung sahaja. Pernah ada usaha untuk menyelaraskan kerjasama di antara beberapa organisasi yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan, tetapi usaha tersebut terhenti di pertengahan jalan kerana penggeraknya tidak lagi menganggotai Majlis PRESIDEN SBM sejak tahun 2012.

Dari sudut keahlian pula, kedua-dua organisasi ini mempraktikkan konsep keahlian yang hampir sama. Kedua-duanya mempunyai Ahli Biasa dan juga Ahli Bersekutu. Ahli Biasa terdiri daripada mereka yang cacatg penglihatan, manakala Ahli Bersekutu pula ialah mereka yang berpenglihatan dan bersedia mendokong setiap objektif yang dihasratkan oleh organisasi tersebut.



Bilangan ahli SBM pula melebihi dua kali ganda daripada ahli PERTIS. Maka itulah SBM mempunyai cawangannya hampir di semua negeri di Malaysia. Bahkan di Sarawak, ia mempunyai lebih dari satu cawangan. Manakala PERTIS pula buat masa ini masih mempunyai 5 cawangan di 5 buah negeri. Kesemua cawangan PERTIS masih terletak di dalam semenanjung.

Sama ada kita sedar atau tidak, di antara SBM dan PERTIS, kedua-duanya sudah lama mempunyai tautan hubungan yang unik dan istimewa. Mereka yang menjadi pengasas PERTIS merupakan ahli-ahli SBM juga. Di antara tahun 2000 – 2002, Yang Di-Pertua PERTIS juga merupakan presiden SBM. Beberapa orang mantan YDP PERTIS juga merupakan ahli SBM. Bahkan majoriti ahli PERTIS juga merupakan ahli SBM. Secara tidak langsungnya, SBM dan PERTIS berkongsi keahlian orang yang serupa. Pada anggaran kasar saya, sekitar 30% ahli SBM terdiri daripada ahli PERTIS.

Bersandarkan fakta keahlian inilah, maka satu rumusan awal boleh disimpulkan, iaitu kebiasaannya jika pengaruh seseorang pimpinan PERTIS itu kuat dalam kalangan ahli PERTIS, kemungkinan pengaruhnya ke atas ahli-ahli SBM juga kuat adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan. Apatah lagi jika beberapa ahli SBM yang bukan Melayu turut tampil dan menyatakan sokongan mereka, sudah tentu ia bakal melonjakkan lagi pengaruh bakal calon berkenaan untuk merebut apa juga jawatan dalam Majlis Presiden. Berdasarkan sejarah lepas, jika seseorang ahli itu sudah buat hal di PERTIS, kemudian bertanding pula di SBM, ada kemungkinan dia akan ditolak oleh ahli-ahli SBM yang mana pada masa yang sama juga adalah ahli PERTIS. Realiti ini memang tidak boleh dinafikan. Seingat saya, sekurang-kurangnya dua calon pernah mengalami insiden seumpama ini.

Walau bagaimanapun, fakta yang saya ketengahkan di atas tidak semestinya berlaku pada semua orang. Ramai juga dalam kalangan pimpinan SBM dalam kalangan ahli Melayu berjaya naik ke puncak teraju pimpinan SBM hasil popularitinya dalam SBM itu sendiri dan tiada kaitan dengan perkembangan dalam organisasi yang lain. Selain itu, sejarah juga membuktikan ada mantan YDP PERTIS pernah gagal untuk merebut jawatan nombor 1 dalam SBM. Kegagalan beliau mungkin disebabkan beberapa faktor lain.

Seperti juga dengan organisasi yang lain, mesyuarat agung witahunan SBM merupakan kemuncak kegiatan yang amat dinanti-nantikan oleh semua ahli. Terdapat dua perkara penting yang akan mendapat perhatian semua ahli. Pertamanya ialah sejauh manakah berlaku perubahan dalam barisan pipinan SBM. Maklumlah ia boleh dilakukan hanya sekali dalam masa dua tahun. Keduanya, apakah isu-isu yang bakal mendapat perhatian dan akan dibangkitkan berdasarkan kepada laporan pelbagai aktiviti serta laporan kewangan yang bakal dibentangkan oleh Majlis Presiden.

Di peringkat ini, seseorang bakal calin yang berura-ura untuk menawarkandiri bertanding untuk merebut tempat dalam Majlis Presiden seharusnya berupaya untuk membuat congakan tertentu. Antaranya, berapa ramaikah ahli SBM yang hadir dalam mesyuarat berkenaan. Seterusnya, berapa ramai pula dalam kalangan ahli yang hadir itu merupakan ahli pula kepada organisasi lain. Selanjutnya, bagaimana pula track rekod bakal calon yang bertanding dalam organisasi yang lain. Sama ada suka atau tidak, faktor-faktor di atas tetap menjadi perkiraan kepada ahli untuk membuat pilihan. Apa yang menimpa kepada salah seorang calon dalam pemilihan 2012 adalah realiti pada apa yang dinyatakan. Kegagalan salah seorang calon dalam pemilihan SBM peringkat KL/Selangor pada tahun 2013 juga boleh dikaitkan dengan track rekod beliau dalam organisasi lain sebelumnya. Perlu diingat, jumlah kehadiran ahli SBM dalam mesyuarat agung dwitahunannya tidak sama dengan jumlah sebenar keahlian SBM itu sendiri. Seperkara lagi, secara relatifnya jumlah ahli SBM yang terlibat dengan organisasi lain yang akan hadir dalam satu-satu mesyuarat dwitahunan mungkin lebih tinggi daripada jumlah peratusan sebenar keahlian jenis ini dalam SBM.



Justeru, tidak hairan jika seseorang bakal calon yang merupakan ketua kepada organisasi lain tetapi asas organisasinya bukan golongan cacat penglihatan, maka dia tidak akan mendapat tempat dalam pemilihan SBM. Sekali lagi rekod keputusan pemilihan SBM 2012 menjadi rujukan dan buktinya. Bagi calon seperti ini untuk memperoleh 20 undi pun amat sukar. Ia sekaligus membuktikan track rekod perkhidmatannya dalam organisasi lain tetap menjadi kayu ukur dalam kalangan ahli SBM sewaktu membuang undi.

Barang diingat, mesyuarat dwitahunan SBM sentiasa mendapat perhatian daripada sebahagian besar ahlinya. Jumlah kehadiran dalam mesyuarat berkenaan kebiasaannya tidak mengecewakan.

Namun demikian, ke arah memantapkan sumbangan dan saranan buah fikiran dalam mesyuarat berkenaan, para ahli seharusnya mahir dengan selok-belok perlembagaan persatuan. Ahli-ahli juga seharusnya membaca terlebih dahulu setiap dokumen mesyuarat yang dibekalkan sebelum turut terlibat dengan sesi perbahasan. Dengan itu, barulah cadangan yang lebih konstruktif dapat diajukan bagi dipertimbangkan oleh ahli-ahli mesyuarat yang lain. Ia juga boleh mengelakkan mesyuarat daripada terjebak dalam situasi celaru yang hanya akan membuang masa.



Saya memang sedar berita panas yang sedang melingkari ahli-ahli SBM buat masa ini. Walaupun saya belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya, sudah ada orang yang mula membuat andaian serta ramalan itu dan ini. Bagus juga begitu. Walau apa pun, tunggu sahaja ulasan lanjut mengenainya.


Wednesday, June 4, 2014

Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim Penerima Anugerah Khas PERTIS 2014




(Kemas kini telah dilakukan pada 1 Disember dengan memasukkan video yang berkaitan)



Pendahuluan

Anugerah Khas PERTIS telah mula diwujudkan pada tahun 2010. Ia akan dianugerahkan bersempena dengan mesyuarat agung tahunan PERTIS yang lazimnya diadakan pada bulan Mei atau Jun setiap tahun. Anugerah Khas ini dianugerahkan kepada individu/pihak yang telah banyak menyumbang, menabur jasa bakti atau yang telah menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat sama ada kepada PERTIS atau kepada masyarakat cacat penglihatan di negara kita. Sehingga kini sudah 10 individu/pihak yang telah dianugerahkan dengan Anugerah Khas tersebut. Setiap penerima anugerah ini akan menerima sijil dan cenderamata kecil. Sehingga kini, pemberian berbentuk kewangan masih belum disertakan. Salah seorang penerima Anugerah Khas PERTIS bagi tahun 2014 ialah Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim bin Mohd Zarif. Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Latar Belakang



Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim bin Mohd Zarif lahir pada 1977 di Kuala Lumpur. Beliau telah menerima pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan (1) Kuala Ampang, Selangor. Selanjutnya beliau telah menuntut di Madrasah Irshadiah Addiniah, Batu 26 Bagan Datoh Perak untuk pendidikan menengah. Beliau telah berjaya memperolehi Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Quran Dan Sunnah dari universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Seterusnya beliau telah berjaya memperoleh ijazah Sarjana dalam bidang yang sama dan dari universiti yang sama. Selanjutnya beliau telah berjaya memperoleh ijazah Doktor Falsafah (phD) dalam bidang Islamic and Middle Eastern Studies, dari University of Edinburgh, Scotland. Prof. Madya Dr. Mustaqim mula berkhidmat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selaku pensyarah pada 3 Mac 2003.

Penglibatan Dalam Bidang Braille

Prof. Madya Dr. Mustaqim mula tercebur dalam bidang Alquran Braille setelah berkhidmat di USIM. Setelah berjaya menguasai asas Alquran Braille dengan begitu baik, beliau terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi dalam bidang tersebut. Walaupun beliau seorang yang berpenglihatan dan bidang Braille pula tiada apa-apa kepentingan kepadanya, namun ia bukan penghalang untuk beliau memberi komitmen yang cukup jitu dalam bidang berkenaan.

Bermula tahun 2009, Prof. Madya Dr. Mustaqim mula mengajar kursus yang berkaitan dengan Alquran Braille di Fakulti Quran Sunnah, USIM. Uniknya, selain daripada beliau selaku orang yang berpenglihatan, para penuntutnya juga terdiri daripada mereka yang berpenglihatan juga. Apa yang istimewa ialah, sehingga kini Fakulti Quran Sunnah dan USIM merupakan satu-satunya IPTA yang menawarkan kursus sedemikian di negara kita.



Selain daripada memberi kuliah, beliau tidak jemu untuk mempertingkatkan kemahirannya dalam bidang Alquran Braille. Hasilnya, kini beliau berupaya membaca dan menulis Alquran Braille dengan baik. Beliau turut melaksanakan usaha pengumpulan naskah-naskah Alquran Braille dari negara-negara lain. Hasilnya kini Fakulti Quran Sunnah, USIM, sudah pun mempunyai galeri Alquran Braille yang menghimpunkan koleksi naskah-naskah Alquran Braille daripada beberapa buah negara.

Prof. Madya Dr. Mustaqim merupakan orang yang telah berjaya membaca fatwa mengenai Alquran Braille yang dikeluarkan oleh kerajaan Mesir yang ditulis dalam tulisan Arab Braille tanpa baris yang terkandung dalam Alquran Braille cetakan 1964 yang masih tersimpan di pejabat PERTIS Malaysia. Mungkin kerana kagum dengan kebolehannya membaca Alquran Braille, Dr. Mustaqim telah dihadiahkan senaskah Alquran Braille semasa melaksanakan usaha pengumpulan Alquran Braille di negara Jordan.

Sumbangan

Usaha-usaha tanpa henti yang beliau laksanakan telah berjaya menghasilkan bahan-bahan ilmiah berkaitan Alquran Braille yang selama ini amat jarang diberi perhatian. Hasil kajian beliau termasuklah penulisan buku, kertas kerja, penulisan jurnal dan sebagainya.

Buku-buku yang pernah beliau tulis termasuklah:

1. Braille al-Quran: Sejarah dan Kaedah, Nilai, (Penerbit USIM), 179 halaman.

2. Pembangunan Braille al-Quran Rasm Uthmani, Nilai, (Penerbit USIM), 162 hal.

Khabarnya beliau sedang dalam proses untuk menghasilkan buku ketiga mengenai Alquran Braille. Mudah-mudahan usahanya akan beroleh kejayaan, insha-Allah.

Antara ARTIKEL JURNAL yang pernah beliau hasilkan termasuklah:

1. Hukum Penulisan al-Quran Braille Rasm Uthmani, “Jurnal al-Basirah” (Universiti Malaya) 2(2): hal. 213-224. (2012)

Antara pembentangan dalam seminar yang pernah beliau laksanakan termasuklah:

1. Uthmanic Model of Quranic Orthography in Braille, Creativity and Innovation Seminar: Inspiring Islamic Innovative Minds (Seminar Proceeding: CD-Rom), Nilai: Fakulti Sains dan Teknologi, USIM, 25 Okt 2013.

2. Penulisan al-Quran Braille: Cabaran dan Penambahbaikan, Program Perkongsian Ilmu Mesyuarat Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran Bil. 1/2012 Kementerian Dalam Negeri Malaysia Kuala Lumpur: Quality Hotel City Centre, 1 Mac 2012.

3. Penghasilan Bahan Bacaan Braille di USIM: Projek Transkripsi Buku IQRA” Seminar Perkhidmatan Perpustakaan kepada Golongan Khas. Pulau Pinang, 14-16 Dis 2010: 10 halaman.

4 Beberapa Pemerhatian Mengenai Penggunaan Kontraksi dalam Penulisan Braille al-Quran di Malaysia, Seminar Wahyu Asas Tamadun (SWAT 2009). Nilai: FPQS, USIM, 28-29 Julai 2009: 1-14.

5 Pengajaran Braille al-Quran di IPTA Malaysia: Kajian Kes di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Seminar al-Quran 2008 Peringkat Kebangsaan. Kuala Terengganu: Universiti Darul Iman Malaysia, 19-20 Ogos 2008.

Antara penyelidikan yang pernah beliau laksanakan termasuklah:

i) 2010-2014- Ketua projek Pembangunan Braille al-Quran Rasm Uthmani. Pembiayaan USIM.

ii) 2005-2008- Ahli projek Metode Pengajian Braille al-Quran. Pembiayaan KUIM.

Antara sumbangan beliau yang lain ialah:

i) Penyelia projek Latihan Ilmiah pelajar tahun akhir Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM berkaitan Braille, antaranya projek membraillekan buku Panduan Ibadah Haji terbitan Lembaga Tabung Haji dengan kerjasama PERTIS.

ii) Pernah memegang jawatan sebagai pemangku penyelaras Institut Quran Braille (IQ Braille) USIM selama 2 tahun (1 Okt 2011 hingga 30 Sept 2013).

iii) Menggerakkan usaha pelaksanaan projek Pembangunan Mashaf Braille Malaysia dengan kerjasama USIM, JAKIM, KDN, PERTIS dan organisasi OKU Penglihatan lain di Malaysia.

Antara anugerah yang pernah beliau menangi berkaitan dengan penglibatannya dalam bidang Alquran Braille termasuklah:

- Anugerah Utama Inovasi Islam dalam Ekspo Inovasi Islam (i-Inova 2013) anjuran USIM, USM dan Akademi Sains Malaysia

- Anugerah Khas Ibn Maqtum dalam Ekspo Inovasi Islam (i-Inova 2013) anjuran USIM, USM dan Akademi Sains Malaysia

- Pingat Emas dalam Ekspo Inovasi Islam (i-Inova 2013) anjuran USIM, USM dan Akademi Sains Malaysia

- Pingat Perak dalam International Conference and Exposition on Invention of Institutions of Higher Learning (PECIPTA 2013) anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia

Penutup



Hasil kerja keras yang tidak pernah kenal titik nokhtah, kini Prof. Madya Dr. Mustaqim merupakan tokoh pakar rujuk yang amat disegani dalam bidang Alquran Braille khususnya di negara kita. Berdasarkan hasil sumbangan yang beliau curahkan, intelektualisme dan kredibiliti beliau dalam bidang Alquran Braille sama sekali tidak boleh diketepikan. Justeru, anugerah yang telah diberi kepada beliau baru-baru ini amat kecil jika hendak dibandingkan dengan sumbangan yang telah beliau lakukan. Seluruh warga PERTIS merasa amat bertuah dan berbangga punya insan seperti beliau. Semoga Allah memberkati usaha beliau untuk selama-lamanya dunia dan akhirat.

Maklumat Tambahan

Senarai Penerima Anugerah Khas PERTIS Sejak Tahun 2010

Tahun 2010:
1. Cikgu Osman bin Isa.
2. Pn. Raja Aishah binti Raja Adnan.

Tahun 2011:
1. Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
2. Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.

Tahun 2012:
1. World Wide Holdings Bhd.
2. Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tahun 2013:
1. Yayasan May Bank.
2. Ustaz Hamdan Yusi bin Yusuf.

Tahun 2014:
1. Am bank Islamic.
2. Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim bin Mohd Zarih.


(Untuk menonton majlis penganugerahan yang telah dilangsungkan, sila klik di bawah)


Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim Penerima Anugerah Khas PERTIS 2014

Coretan Mesyuarat Agung PERTIS Ke-19




Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada barisan pimpinan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yang baru. Majoriti ahli telah memberi kepercayaan yang tidak ternilai kepada anda untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan PERTIS. Kini di bahu anda terpikulnya amanah dan tanggungjawab bagi memacu PERTIS ke tahap yang lebih cemerlang dan gemilang daripada sebelumnhya.



Di sini, untuk sekian kalinya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada para tetamu jemputan yang sudi hadir dalam majlsi perasmian mesyuarat agung tahunan berkenaan. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, mantan duta besar Malaysia ke Mesir kerana kesudiannya untuk merasmikan mesyuarat agung kali ini. Selain itu, saya juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tn. Hj. Wan Muhammad bin Wan Endot, Timbalan Pengarah, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia, atas kesudiannya menghadiri majlis perasmian kali ini. Memang saya ada mengundang BP-Khas, tetapi saya sama sekali tidak menduga yang hadir ialah timbalan pengarahnya.



Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para sukarelawan sama ada dalam kalangan ahli PERTIS sendiri mahupun para individu luar yang sememangnya diundang khas untuk berfungsi selaku sukarelawan. Dengan kerjasama baik daripada kalian, perjalanan mesyuarat agung kali ini telah berjalan dengan cukup baik dan lancar. Kehadiran dan pertolongan kalian juga telah banyak memudahkan ahli-ahli mesyuarat dalam pelbagai urusan. Di sini saya ingin memohon kemaafan khususnya kepada para sukarelawan jika kedapatan sebarang hal yang telah menggores hati ketika melaksanakan tugas di sepanjang mesyuarat berlangsung. Saya akui karenah para ahli PERTIS memang pelbagai. Ada yang begini dan ada pula yang begitu. Saya amat berharap, kalian semua tidak serik untuk menabur bakti lagi kepada insan seperti kami pada masa akan datang.





Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada dua penerima Anugerah Khas PERTIS 2014 iaitu Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim dan juga Am Bank Islamic. Mereka memang layak untuk menerima anugerah berkenaan tahun ini. Saya akan cuba berkongsi hasil sumbangan salah seorang penerima anugerah berkenaan menerusi blog ini dalam kesempatan selanjutnya, insha-Allah.



Barisan pimpinan PERTIS bagi sesi 2014-2016 ialah seperti berikut:
En. Mohamad Faizal bin Che Yusuf (Yang Di-Pertua);
En. Zamzuri bin Ghani (Naib Yang Di-Pertua);
Pn. Norlita Hanim binti Md Taha (Setiausaha Agung);
(Bendahari Pusat akan dipilih kemudian oleh AJK Pusat);
Cikgu Wan Mohd Suhaimi bin Wan Zawil Abidin (AJK Pusat Biasa);
Pn. Sariyah binti Nordin (AJK Pusat Biasa);
En. Osman Nordin Omar (AJK Pusat Biasa).

Pemeriksa kira-kira dalaman untuk tahun 2014 pula ialah Cikgu Mohd Jais Ismail dan En. Mohd Bukhari bin Zakaria.

Saya juga bersyukur ke hadhrat Allah yang tidak terhingga kerana mesyuarat agung kali ini telah berjalan dengan lancar dan penuh tertib sama ada sewaktu majlis perasmian mahupun semasa mesyuarat berlangsung. Tiada sebarang insiden yang tidak dikehendaki berlaku. Selain itu, para ahli juga cukup matang dalam membangkit dan membahaskan isu-isu berbangkit. Tiada sebarang provokasi melampau dilontarkan. Tiada sampukan tidak beradab kedengaran. Sepertimana yang sering saya tegaskan, perbezaan dalam kalangan sesama kita adalah perkara biasa, tetapi janganlah perbezaan berkenaan mengakibatkan kita tidak rasional, emosional dan tidak profesional. Amat malang jika perselisihan dalam mesyuarat terbawa-bawa pula hingga ke luar mesyuarat.

Mengikut rekod pendaftaran, kehadiran dalam mesyuarat kali ini juga memberangsangkan. Seramai 173 orang telah hadir. Dari jumlah tersebut, seramai 132 orang adalah ahli biasa. Manakala 23 orang pula merupakan ahli sekutu PERTIS. 4 orang adalah anak-anak ahli. 3 orang adalah bukan ahli. 11 orang pula merupakan sukarelawan daripada luar.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir kecil ahli mesyuarat yang telah tidak hadir dengan alasan yang tidak munasabah atau tidak memberitahu kepada PERTIS sebenarnya anda tidak berminat untuk hadir. Anda yang tidak hadir perlu faham iaitu setiap ahli PERTIS yang hadir hanya diminta membayar sebanyak RM 60.00 sahaja (bagi pakej dengan penginapan) sedangkan pada masa yang sama PERTIS telah membayar lebihan sekitar RM 160.00 untuk setiap orang ahli yang hadir. Jadi, bagi ahli yang telah tidak hadir tanpa alasan yang munasabah, anda sebenarnya telah membazirkan wang persatuan. Apa yang paling saya kesal ialah ada seorang bekas AJK Pusat yang tidak hadir langsung sedang tempat beliau telah dibayar penuh oleh PERTIS atas kapasitinya selaku AJK PERTIS. Di saat-saat pihak PERTIS masih menghubungi beliau dan saya dimaklumkan beliau memberitahu akan hadir. Golongan seumpama ini sebenarnya telah menyusahkan PERTIS. Ingat, hari ini anda menyusahkan orang, esok lusa belum tahu lagi siapa sebenarnya yang akan menerima susah!!!

Sehingga tulisan ini saya tulis, persoalan mengapa saya tidak bertanding untuk mempertahankan jawatan selaku Yang Di-Pertua PERTIS masih menjadi bual bicara dalam kalangan rakan dan taulan. Sebenarnya hasrat saya untuk melepaskan jawatan selaku YDP PERTIS bukan saya putuskan sejak sehari dua yang lalu. Saya telah pun memikirkannya sejak dua tahun yang lalu. Saya pernah menyatakan hasrat saya kepada presiden SBM sekarang sewaktu beliau berkongsi luahan rasa sejurus berakhirnya mesyuarat agung khas SBM pada 16 Disember 2012. Semasa kami berbalas SMS dan salah satu daripada SMS saya kepada beliau ada menyatakan bahawa saya akan memegang jawatan YDP PERTIS sehingga tahun 2014 sahaja. Masih simpan lagi ke SMS saya, Tuan Haji?

Beberapa hari sebelum berlangsungnya mesyuarat agung tahunan PERTIS, kisah mengenai kemungkinan saya tidak akan bertanding semakin kerap kedengaran. Pada masa yang sama, saya berada dalam keadaan yang agak sukar dan serba salah. Ada antara AJK Pusat ketika itu memaklumkan bahawa mereka hanya akan menawarkan diri untuk menjadi calon sekiranya saya turut sama bertanding. Saya sama sekali ingin mengelakkan seseorang itu menjadi calon hanya semata-mata kerana saya. Mereka harus yakin dengan kekuatan dan kebolehan diri sendiri. Saya tidak mahu mereka menyandarkan keyakinan diri mereka kepada saya. Saya Cuma seorang insan biasa yang punya terlalu banyak kelemahan. Adalah lebih praktikal jika mereka sandarkan keyakinan diri masing-masing hanya kepada Tuhan Yang Esa. Maka itulah akhirnya saya sekadar mendiamkan diri sahaja bila persoalan sama ada saya akan mempertahankan jawatan YDP diajukan kepada saya.

Kini sudah tiba waktunya untuk saya melepaskan jawatan selaku YDP PERTIS. Saya amat sedar dan insaf, PERTIS memerlukan sentuhan kumpulan pemimpin yang lebih bertenaga, lebih muda, kreatif, tahan uji serta punya semangat kental lagi jitu. Selaku sebuah organisasi, kita harus bersedia untuk menerima perubahan pemimpin dan corak pimpinan. Di samping itu, ahli-ahli PERTIS juga harus memberi peluang kepada ahli lain untuk mempamirkan bakat serta menabur bakti kepada persatuan. Mungkin yang diganti lebih baik daripada yang sebelumnya dan yang tumbuh mungkin lebih baik daripada yang sudah patah. Perkara inilah yang telah saya tekankan dalam ucapan aluan saya dalam majlis perasmian mesyuarat agung tahunan tempoh hari. Setakat yang saya tahu, hanya seorang sahaja ahli mesyuarat yang dapat mengesan apa yang tersirat daripada ucapan tersebut. Maka itulah beberapa kali beliau menyifatkan ucapan saya itu sebagai “ucapan widak”.

Di samping itu, keputusan saya untuk melepaskan jawatan juga adalah disebabkan saya kini harus memberi tumpuan pula kepada 3 perkara lain yang mana pada perkiraan saya amat perlu saya utamakan dalam hidup saya. Setelah mengira, mencongak, mengukur dan memikirkannya dengan halus dan teliti, saya tiada pilihan lagi melainkan harus melepaskan jawatan saya selaku YDP PERTIS bagi memberi tumpuan pula kepada perkara-perkara berkenaan.

Perlu saya tegaskan di sini, walaupun saya bukan lagi YDP PERTIS, saya masih lagi ahli PERTIS. Doa saya untuk kebaikan PERTIS tetap tidak berubah. Sekiranya masih diperlukan, saya bersedia untuk memberi sumbangan buah fikiran kepada PERTIS. Bila ada kesempatan, insha-Allah saya akan hadir dalam program anjuran PERTIS. Jika sebelum ini saya duduk di atas pentas, kali ini saya tiada masalah untuk duduk di bawah pentas pula. Jika sebelum ini saya makan bersama para tetamu dalam majlis rasmi PERTIS, sekarang tiada masalah bagi saya untuk makan semeja dengan ahli biasa PERTIS yang lain. Jika sebelum ini saya sekali-sekala muncul di kaca TV atau di dada akhbar atas kapasiti YDP PERTIS, selepas ini saya tidak bermasalah untuk mendengar atau membaca YDP PERTIS yang baru jika muncul di kaca TV atau di dada akhbar. Dengan erti kata lain, insha-Allah saya tidak akan menjauhkan diri daripada PERTIS. Lagi pun, saya memang sedar, saya tidak lagi berkedudukan sebagai YDP PERTIS bukan kerana ditolak ahli, tetapi ia adalah pilihan saya sendiri.

Kepada barisan pimpinan baru PERTIS, bila anda sudah bersetuju untuk dipilih menerajui organisasi ini, maka laksanakanlah tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Jangan sekali-kali tempangkan PERTIS dengan mengabaikan tugas dan amanah yang telah anda sendiri bersetuju. Jika benar-benar sudah tidak mampu untuk melaksanakan amanah, pulangkan semula amanah itu dengan baik. Jangan biarkan ia digantung tidak bertali. Akhirnya nanti yang tempang adalah persatuan kita juga.

Di samping itu, jangan sekali-kali bersifat kronisme atau nepotisme dalam berpersatuan. Berilah amanah dan tanggungjawab kepada seseorang kerana kemampuannya dan bukan kerana hubungan baiknya dengan kita.

Jika berlaku penyelewengan wang di mana-mana peringkat atau oleh sesiapa sahaja, maka tindakan segera yang berkesan perlu diambil. Jika tindakan secara dalaman lebih berkesan, maka tindakan sedemikian bolehlah diambil. Sebaliknya jika tindakan secara dalaman tidak lagi berkesan, maka tindakan lain yang lebih wajar hendaklah diambil. Risiko pasti ada tetapi selaku pemimpin kita harus berani menanggungnya.

Sebagai pemimpin, anda wajib mengambil tahu tentang hal ehwal persatuan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Jika ada mana-mana orang yang cuba menghalang maklumat sebenar daripada sampai ke pengetahuan anda, ingatlah orang sedemikian amat berbahaya kepada anda dan juga kepada persatuan. Tindakan segera dan wajar harus diambil ke atas orang sedemikian. Jangan tunggu hujan sudah turun baru hendak cari payung.

Di samping itu, jika ada mana-mana individu yang cuba mewujudkan organisasi dalam organisasi, maka ketahuilah bahawa organisasi kita dalam bahaya. Jika tindakan sewajarnya lambat diambil, maka organisasi kita akan musnah dalam sekelip mata.

Apabila kita sudah menjadi pemimpin PERTIS, jangan sekali-kali kita berharap semua orang akan suka dengan kita. Sedangkan Rasulullah lagikan ada orang yang tidak suka kepada baginda, inikan pula kita manusia biasa. Adalah amat salah sama sekali jika selaku pemimpin kita mengharapkan untuk jadi glamour. Sebaliknya selaku pemimpin, walaupun sekadar pemimpin PERTIS, kepimpinan kita pasti akan disoal di akhirat kelak.

Selaku pemimpin PERTIS, kita harus sentiasa ingat iaitu langit tidak selalunya cerah. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula antara sesama barisan pimpinan PERTIS. Jika wujud perselisihan antara sesama AJK PERTIS, cubalah sedaya upaya untuk menyelesaikannya secara dalaman. Jika pertikaian tersebut melimpah ke luar, ia akan mendedahkan PERTIS kepada spekulasi. Selaku sebuah organisasi yang masih kecil, PERTIS masih belum mampu untuk berhadapan dengan suasana spekulasi.

Para pemimpin PERTIS juga harus peka dengan maklumat terkini khususnya yang melibatkan PERTIS. Sebagai contoh, mungkin ada pihak lain yang sedang berusaha untuk menjadikan organisasinya lebih unggul daripada PERTIS dengan cara yang kurang sihat. Dalam menghadapi hal sebegini, para pemimpin PERTIS harus sentiasa bertawakal kepada Allah setiap ketika. Walaupun puak-puak jahat ini ada rancangan, tetapi rancangan Allah adalah yang terbaik.

Para pemimpin PERTIS juga harus berwaspada dengan puak yang bersikap talam dua muka. Sekiranya kurang berhati-hati, mereka akan berperanan umpama api dalam sekam. Jika boleh, para pemimpin PERTIS harus berupaya mengenal pasti tokoh yang bersikap sedemikian.

Para pemimpin PERTIS juga jangan berkira jika harus melakukan kerja lebih, sekali-sekala harus mengorbankan wang poket sendiri atau sekali-sekala mengorbankan masa yang sepatutnya untuk keluarga kepada PERTIS. Selaku pemimpin, perkara-perkara berkenaan seakan sudah menjadi suatu kewajipan. Jika terpaksa untuk berkorban sedemikian, lakukanlah dengan ikhlas dan tanpa sebarang rungutan. Insha-Allah, dengan keikhlasan yang ada, Allah pasti akan menganugerahkan balasan yang lebih baik daripada itu.

Kepada ahli-ahli PERTIS semua, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan dan kerjasama yang telah kalian berikan kepada saya di sepanjang saya bertugas selaku YDP PERTIS. Berdasarkan daripada respon dan reaksi daripada kalangan ahli sejurus sahaja saya mengumumkan bahawa saya tidak akan mempertahankan jawatan YDP PERTIS, telahan saya mungkin ada benarnya iaitu sokongan kepada saya khususnya daripada para ahli PERTIS masih ada tetapi saya tidak pasti ia sebesar mana. Saya insaf dan sedar iaitu PERTIS bukan hak milik peribadi saya. Sudah tiba masanya saya memulangkan teraju pimpinan PERTIS kepada para ahli untuk membuat pilihan yang baru.

Akhirnya, kepada seluruh barisan kepimpinan PERTIS, saya ucapkan selamat maju jaya. Selagi anda berada atas landasan yang diredhai Allah, anda pasti akan sentiasa mendapat pertolongan Allah.

Saya bukanlah orang yang pandai atau untuk menunjuk bijak. Saya sekadar berkongsi secebis pengalaman yang tidak seberapa.





Sunday, June 1, 2014

Teks Ucapan



Dibawah ini adalah ucapan saya selaku Yang Di-Pertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS dalam majlis perasmian mesyuarat agung tahunan kali ke-19 baru-baru ini. Ia adalah ucapan saya yang terakhir selaku YDP PERTIS.

Ucapan Alu-aluan Yang Di-Pertua
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)
Dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-19

Tarikh : 2 Shaaban 1435H / 31 Mei 2014 M (Sabtu)
Tempat : Hotel City Villa, Kuala Lumpur


1. Alu-aluan.

Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, mantan duta besar Malaysia ke Mesir dan pensyarah di Jabatan Akidah Dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, UM, KL; Yang Berbahagia, Datuk Zamani bin Sulaiman, Setiausaha Dewan Negara, Parlimen Malaysia; Yang Berbahagia, Tn. Hj. Wan Muhammad bin Wan Endot, Timbalan Pengarah, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia; Yang Berusaha, seluruh barisan pimpinan PERTIS peringkat pusat dan wilayah; yang dihormati wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan, wakil sektor korporat; yang dihormati, wakil institusi-institusi pengajian tinggi; yang dikasihi wakil-wakil badan bukan kerajaan; para sukarelawan, wakil-wakil media serta para hadirin dan muslimin sekalian.


2. Kesyukuran Dan Penghargaan

Terlebih dahulu, marilah sama-sama kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat hadir dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung PERTIS kali ke-19 bagi tahun 2014. Penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan khas kepada Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti di atas kesudian beliau untuk hadir dan seterusnya merasmikan mesyuarat agung PERTIS pada kali ini. Walaupun beliau diundang 3 hari sebelum berlangsungnya majlis ini, tetapi dek tingginya sahsiah dan peribadinya, beliau tidak pernah merasakan undangan ini sebagai undangan yang bersifat “bidan terjun”.

Saya juga tidak lupa mengalu-alukan kehadiran semua tetamu jemputan dan juga para hadiran ke majlis ini. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Mudah-mudahan kehadiran kita semua akan menambah lagi keberkatan dalam majlis ini, insha-Allah. Jika kedapatan cacat cela pada majlis ini nanti, saya terlebih dahulu mohon ribuan kemaafan. Nan elok bawalah pulang, nan buruk tinggalkan saja di sini.


3. Memasyarakatkan PERTIS

Selaku sebuah organisasi yang masih bertatih, PERTIS tidak boleh lari dari hakikat keperluan untuk bekerjasama dengan pihak lain jika ingin terus maju ke hadapan. Untuk itu, pelbagai langkah telah dan akan terus diambil bagi membawa PERTIS ke tengah-tengah masyarakat. Di sepanjang tahun 2013, PERTIS telah berjaya memperluas lagi kerjasama pintar dengan beberapa badan dan agensi. Sebagai contoh, pelaksanaan kerjasama dengan Al-Tasneem Malaysia Sdn Bhd telah berjaya menghasilkan pen pembaca Alquran yang mesra dengan golongan cacat penglihatan. Manakala kerjasama dengan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, USIM secara berterusan pula telah berjaya menambah koleksi bahan bacaan bentuk Braille bercorak Islam. Di samping itu, kerjasama yang sedia terjalin dengan jabatan dan agensi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, JAKIM, JAWI, FKM UTM dan sebagainya terus diperkukuh dari semasa ke semasa. Perolehan kontrak 4 tahun berturut-turut untuk penghasilan buku teks KSSR Pendidikan Islam dalam bentuk Braille oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan pengiktirafan kemampuan organisasi ini dalam menuyumbang bakti khususnya dalam bidang pendidikan. Pemilihan PERTIS oleh pihak berkuasa tempatan seperti DBKL untuk melaksanakan tanggungjawab audit aksessibiliti kemudahan awam untuk golongan OKU merupakan satu lagi pengiktirafan pihak berwajib kepada organisasi kita. Terkini ialah kerjasama yang mula terjalin di antara PERTIS dengan Shah Alam Convension Center (SACC) dengan tujuan utama untuk mengutip dana bagi penerbitan Alquran Braille.

PERTIS akan mengambil apa jua langkah yang wajar bagi memastikan organisasi ini dapat menjadi wadah yang berkesan kepada golongan cacat penglihatan bagi menyampaikan suara dan harapan mereka kepada masyarakat. Selain itu, PERTIS juga akan berusaha sekuatnya untuk menjadikannya sebagai sebuah organisasi yang dipandang orang dan tempat rujukan dalam bidang yang bersesuaian, insha-Allah.


4. Anjakan Paradigma

Selaras dengan kemampuan yang ada, maka kita telah mula mengora langkah dengan menggunakan sebahagian kemampuan yang ada untuk menghulurkan sumbangan pula kepada pihak-pihak lain yang memerlukan, terutamanya badan dan institusi yang ada kaitan dengan golongan cacat penglihatan. Walaupun sumbangan yang kita beri masih kecil tetapi jika ia dilaksanakan secara berterusan, lama-kelamaan ia akan dapat menukar imej PERTIS daripada sebuah badan yang hanya selaku penerima sumbangan kepada sebuah badan yang sama-sama boleh menyumbang pula. Namun demikian, ia amat bergantung pula kepada kemampuan semasa yang ada. Ia juga selaras dengan hadith daripada Rasulullah S.A.W. yang antara lain mafhumnya, tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang di bawah. “hati nyamuk sama dicecah, hati gajah sama dilapah”.


5. Alquran Braille

Untuk maklumat bersama, sehingga kini Alquran Braille yang dihasilkan oleh PERTIS merupakan satu-satunya Alquran Braille yang telah mendapat pengiktirafan daripada JAKIM dan juga kebenaran daripada Bahagian Teks Dan Kawalan Alquran, Kementerian Dalam Negeri Malaysia. Bahkan kita sentiasa mengambil apa jua langkah yang sesuai bagi memastikan kesucian dan ketinggian Alquran yang ada dalam jagaan kita sentiasa terpelihara dengan sebaiknya sesuai dengan tarafnya sebagai mukjizat yang paling agung. Untuk itu, organisasi ini sentiasa menyokong kuat usaha-usaha ke arah penambahbaikan terhadap aspek-aspek tertentu pada Alquran Braille yang sedia ada. Maka itulah PERTIS sentiasa memberi dokong kuat kepada jawatankuasa pembangunan Alquran Braille Mushaf Malaysia. Sayangnya usaha ini seakan terhenti di tengah jalan. Justeru, kami menggesa kepada pihak-pihak yang berkenaan agar tidak mengambil sikap lepas tangan dan tunggu dan lihat terhadap kesinambungan tugas, fungsi dan tanggungjawab jawatankuasa yang telah sama-sama dipersetujui ini. Hal ini saya ketengahkan kerana usaha jawatankuasa ini sudah terhenti lebih dari setahun lamanya. Apa jua yang tidak kena harus diselesaikan secara musyawarah agar golongan sasar akan beroleh manfaatnya dalam masa terdekat.

Di samping itu, pihak yang berwajib juga harus peka dengan naskah Alquran Braille yang dihasilkan oleh pihak-pihak lain. Saya ketengahkan perkara ini agar kita sama-sama dapat menghindarkan Alquran Braille itu daripada disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab. Pihak yang berwajib sepatutnya mengambil maklum, antaranya berapa ramaikah pihak lain yang turut menghasilkan Alquran Braille selain PERTIS? Dari sumber manakah mereka memperoleh soft copy Alquran Braille yang mereka keluarkan? Siapa pula yang menjadi penulis kepada soft copy Alquran Braille mereka? Ada satu laman sesawang yang menceritakan kononnya Alquran Braille yang mereka hasilkan ditulis oleh sifulan tertentu. Sedangkan sifulan yang dimaksudkan tidak langsung berkebolehan dalam bidang berkenaan. Jangan tunggu nasi sudah menjadi bubur atau hujan sudah turun baru hendak mencari payung.


6. Cabaran Masa Hadapan

Selaku ahli PERTIS, kita semua harus memastikan agar organisasi kita akan sentiasa relevan dengan keperluan semasa. Sekiranya kita gagal, kita pasti akan ketinggalan ke belakang. Selain itu, sudah tiba masanya untuk kita sama-sama menjadikan organisasi kita sebagai wadah perjuangan yang lebih berkesan untuk golongan seperti kita. Untuk itu, kita harus berani bersuara demi mendokong kebenaran dan kepentingan ahli masyarakat seperti kita. Kita juga harus berusaha untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat tentang keperluan golongan seperti kita. Di samping itu, setiap ahli persatuan harus mengelakkan sebarang peertikaian dalaman yang boleh merosakkan perpaduan antara sesama kita. Perbezaan antara sesama kita adalah perkara biasa, tetapi janganlah perbezaan berkenaan boleh menjadi punca kepada retak, belah dan seterusnya menghancurkan organisasi kita. “Bulat air kerana pembentung, bulat kita kerana muafakat”.

7. Harapan

Marilah kita sama-sama berdoa ke hadhrat Ilahi semoga organisasi kita dan seluruh ahlinya sentiasa beroleh keberkatan daripada-Nya untuk selama-lamanya. Datang dan pergi satu-satu kumpulan pemimpin merupakan lumrah bagi kita yang hidup. Yang tumbuh mungkin lebih baikdaripada yang telah patah dan yang berganti mungkin lebih baik daripada yang telah hilang. Apa yang lebih penting ialah seluruh ahli persatuan mestilah tergolong dalam kalangan mereka yang beriman dan bertakwa kerana kedua-dua elemen ini merupakan syarat penting agar jamaah kita beroleh keberkatan dari langit dan juga dari bumi.


8. Penutup

Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan berbanyak terima kasih khasnya kepada Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin bin Abdul Mukti, mantan duta besar Malaysia ke Mesir, yang telah sudi hadir untuk merasmikan mesyuarat agung PERTIS kali ke-19. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan bagi menjayakan mesyuarat agung kali ini. Ucapan terima kasih saya tujukan juga kepada Syarikat Al-Tasneem Malaysia Sdn Bhd kerana telah menaja pemberian cenderamata untuk para sukarelawan yang bertugas kali ini. Mudah-mudahan mesyuarat agung kali ini akan berjalan dengan baik dan lancar, insha-Allah.

Sekian, terima kasih.