Asam Garam Sebagai Pemimpin Kecil
Sebagai pemimpin, tidak kiralah besar atau kecil pemimpin itu, dia pasti berhadapan dengan pelbagai ujian, cabaran dan permasalahan. Justeru, golongan yang berpeluang memimpin harus mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi apa jua ujian dan cabaran yang mendatang. Jika gagal, tentulah dia akan ditempelak sebagai seorang pemimpin yang lemah, tidak berwibawa dan macam-macam lagi. Demikianlah kalau sudah jadi pemimpin.
Sebagai pemimpin, perkara utama dan pertama yang harus kita lakukan ialah bersifat amanah, jujur dan ikhlas dalam memimpin. Untuk itu, kita sepatutnya menghindarkan daripada gejala berkepentingan, berkroni, bermuslihat, nepotisme, mengambil kesempatan, atau apa jua gejala yang boleh menjerumuskan kita kepada sifat tidak amanah, tidak jujur dan juga tidak ikhlas.
Di samping itu, kita juga harus adil dan tegas ketika memimpin. Adakalanya kita harus berani membuat dan melaksanakan keputusan yang tidak popular demi menegakkan keadilan. Kita tidak sepatutnya mengenepikan prinsip-prinsip keadilan hanya kerana ingin mengemis populariti. Sesungguhnya keadilan, amanah serta keikhlasan amat penting ketika memimpin kerana ianya akan dipersoalkan nanti di padang mahsyar oleh Allah.
Selain itu, sebagai pemimpin, kita juga harus pandai membaca sikap sesetengah pihak yang suka mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan yang bukan haknya daripada kita mungkin kerana kita adalah rakan dan taulan rapatnya. Orang seperti ini akan mempergunakan kita untuk memperoleh sesuatu keuntungan, keistimewaan, faedah, manfaat atau apa sahaja keistimewaan lain, walhal hakikatnya pihak yang berkenaan tidak ada hak untuk memperolehinya. Dengan bahasa yang lebih mudah, kita harus berkemampuan untuk mengesan golongan pengampu dan pembodek. Jika seseorang itu lemah dalam kepimpinan, dia dengan mudah akan diperbodohkan oleh orang lain yang berkepentingan. Kemampuan untuk mengesan udang di sebalik batu amat penting bagi memastikan kewibawaannya selaku pemimpin sentiasa berada pada tahap yang terbaik.
Selaku pemimpin, ujian dan cabaran sebagai pemimpin merupakan asam garam dan perkara biasa. Bagi yang tidak kental menghadapinya, pasti akan kecundang dan terperosok ke tepi gelanggang. Bahkan, adakalanya pemimpin yang lemah akan ditempelak akibat kelemahannya dalam memimpin.
Adalah menjadi lumrah bagi mana-mana pemimpin, walaupun dia sekadar pemimpin pada sebuah organisasi yang kecil, untuk berhadapan dengan ujian dan cabaran. Adakalanya cabaran itu datangnya dari luar. Yang agak menggetirkan bilamana cabaran dan ujian itu berupa permasalahan yang ditimbulkan sendiri oleh rakan dan taulan sejawatnya dalam organisasi yang dipimpinnya.
Sekiranya permasalahan di atas tidak dibanteras dan diatasi segera, ia pasti akan menjadi api dalam sekam dan duri dalam daging yang akan melemahkan kepimpinan seseorang. Lebih parah lagi, jika permasalahan sedemikian akan memusnahkan organisasi yang sedang dipimpin. Maklumlah, orang kalau sudah tidak rasional, apa pun dia sanggup lakukan.
Agaknya sudah menjadi lumrah, orang yang tidak lagi rasional bukan sahaja sanggup melakukan apa sahaja untuk memuaskan hati dan nafsu serakahnya, bahkan orang sedemikian sengaja buat-buat lupa akan kesalahannya sendiri serta kerjasama baik yang telah diberikan oleh rakan-rakan sejawatnya yang lain selama ini.
Bagi saya, pemimpin yang berwibawa akan sering melakukan muhasabah terutama terhadap dirinya sendiri. Pemimpin berkenaan juga tidak boleh bersikap pilih bulu dalam memimpin. Kalau yang buat salah merupakan rakannya sendiri, tindakan yang adil dan wajar harus segera diambil. Sikap pilih bulu akan mengakibatkan kita berlaku tidak adil pula kepada orang lain.
Selain itu, pemimpin berkenaan juga harus pandai menilai sejarah supaya peristiwa hitam yang mungkin telah menimpa pemimpin lain tidak menimpa ke atas dirinya sendiri. Maklumlah, kalau kita gagal belajar dari sejarah, kita pasti akan dihukum dengan mengalaminya sendiri.
Saya sekadar mengutarakan pandangan sahaja.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment